Bab 18
Mai mengeluh perlahan. Hatinya sayu mengingatkan
bagaimana cemasnya wajah Syamsul
mendengarkan kata-kata doktor petang tadi. Bagaimana dia boleh membantu
lelaki itu? Patutkah dia menghulurkan bantuan? Melihatkan wajah Syamsul yang begitu bimbang akan keadaan emaknya itu,
Mai dapat merasakan betapa besarnya kasih sayang lelaki itu kepada orang
tuanya. Dan dia tidak pernah melihat keadaan Syamsul yang sebegitu resah sepanjang hampir dua
bulan perkenalan mereka itu. Namun dia dapat merasakan perasaan lelaki itu,
menyebabkan terselit sedikit rasa bangga kerana bersuamikan lelaki yang begitu
mengambil berat tentang ahli keluarganya.
Setibanya mereka dari lapangan terbang petang tadi,
doktor yang merawat emak Syamsul mengatakan bahawa keadaan emaknya semakin
teruk. Dia perlu diberi rawatan segera. Dan untuk rawatan tersebut, dia
memerlukan sekurang-kurangnya RM30, 000.00. Itupun sebenarnya hanyalah kos
rawatan asas. Dan yang pastinya dia tahu
Syamsul tentunya tidak memiliki wang
sebanyak itu.
Penyakit jantung kronik yang dialami oleh emak mertuanya
sudah berada di tahap yang membimbangkan. Menurut doktor yang ditemuinya petang
tadi, setelah menjalani ujian angiogram dua minggu lepas doktor telah mendapati
bahawa terdapat beberapa kedudukan di mana pembuluh darah emak Syamsul
tersumbat. Rawatan yang paling sesuai untuk keadaan ini adalah rawatan
angioplasti koronori di mana satu dawai halus dan satu
gegelung besi dimasukkan ke bahagian pembuluh darah yang tersumbat untuk
memastikan aliran darah mampu menjadi lebih lancar. Namun, yang menjadi
masalahnya, rawatan itu memakan belanja yang amat tinggi. Dan akibat dari itu
mereka terpaksa menunggu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat meluluskan
permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan tersebut. Namun,
kelulusan itu mengambil masa yang begitu
lama untuk diluluskan. Dan mungkin mereka tidak mampu lagi untuk menunggu masa yang begitu lama.
Dapat dia melihat wajah cemas
Syamsul bila mendengarkan kata-kata dari
doktor petang tadi. Dia tahu Syamsul bimbang dengan keadaan emaknya. Dia
merasakan ketegangan yang dialami Syamsul
untuk memenuhi keperluan emaknya itu. Meskipun dia baru sahaja mengenali
lelaki itu, dia tahu, Syamsul adalah seorang yang cukup bertanggungjawab.
Terlihat jelas dari setiap perlakuannya sejak dia mengenali lelaki itu.
“Kak...,”
Lamunannya dikejutkan oleh sapaan lembut Shuhaida. Dia
berpaling menatap wajah adik iparnya yang kelihatan berbalam dalam cahaya lampu
neon di beranda rumah emak Syamsul. Lantas dia tersenyum manis kepada gadis
berusia lapanbelas tahun itu.
“Dah senyap semua... dah tidur ye budak-budak tu?”
“Haah... letih betul Wawa tu, hari ni Ida paksa dia kemas
almari dia yang bersepah. Semua kain baju dia Ida punggah keluar dan suruh dia
lipat dan susun balik. Kalau tak buat macam tu, alamatnya macam sarang tikuslah
dalam almari tu,” kata Shuhaida bagaikan mengadu.
“Garang jugak Ida ni ye?” kata Mai dalam senyum.
“Terpaksa buat macam tu kak. Kalau tidak, penat lah kita
nak buat semuanya. Lagipun dah darjah tiga. Kenalah belajar buat sendiri. Dan
yang pentingnya kenalah ajar kemas sikit. Kalau
tidak nanti sampai besarla macam tu...,”
Mai mengeluh perlahan mendengarkan tanggungjawab yang
terpaksa dipikul oleh gadis semuda ini. Tanggungjawab yang membuatkan dia
kelihatan lebih matang.
“Apa yang akak menungkan tadi...? Duduk kat sini dalam gelap macam ni, banyak nyamuk ni kak..,”
“Tak adalah... mana ada nyamuk kat sini... kan berangin
ni... Nyaman betul duduk kat sini ye. Angin pantai bertiup macam ni... bau air
laut... terasa masinnya sampai ke bibir,” kata Mai sambil tersenyum. Sungguh
dia terasa amat damai sekali menghayati suasana yang sebegitu nyaman.
“Hem... masa ni, kebetulan angin tak berapa kuat kak... Kalau
masa angin kuat, macam nak tercabut rumah ni. Memang kalau musim tengkujuh
macam ni cuacanya tak menentu. Kadang angin sepoi-sepoi bahasa.. kadang tu,
bila ribut datang, takut tau kak...,”
“Hai... entahlah.... tapi akak suka suasananya... Sejuk
dan nyaman sangat...,”
Shuhaida tersenyum sambil matanya beralih tepi pantai
yang terletak hanya kira-kira 300 meter dari rumahnya. Kelihatan di kejauhan,
cahaya-cahaya kecil dari lampu-lampu yang berbaris di benteng pemecah ombak
yang dibina di muka kuala sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari situ.
Bulan yang sedang mengambang penuh menyimbah cahaya suram ke pada malam yang
damai itu. Bunyi ombak bagaikan berlagu lembut menyapa di kesunyian malam.
Keindahan yang terpapar di depan matanya dinikmati dengan penuh bangga sekali.
Lantas dia melepaskan satu keluhan halus.
“Sebab tu lah abang Syam sayang sangat nak tinggalkan
kampung ni kak. Tapi dia terpaksa sebab katanya kat KL dia boleh dapat kumpul
modal perniagaan dia tu cepat sikit
banding dengan kat sini..,”
Mai diam seketika mendengarkan kata-kata Shuhaida itu.
Sesuatu yang baru diketahuinya tentang lelaki ini.
“Apa maksud Ida? Modal? Modal apa?”
“Masa arwah ayah ada dulu dia berangan nak buka chalet
kat sini, tapi tak ada modal. Sebab tu dia tanam banyak pokok ketapang kat
kawasan ni. biar teduh katanya. Dia nak buat pondok kecil dua tiga buah dulu.
Bila ada modal bolehlah tambah lagi. Sempat juga dia bina dua buah bilik untuk
disewakan kat sana tu, tapi belum sempat siap.. ayah meninggal,” kata Shuhaida
membuka cerita. Bibirnya menjuih menunjukkan arah pada dua buah bangunan
terbengkalai yang hanya sempat disiapkan hingga ke tahap pembinaan dinding bata
dan atap sahaja.
“Bila ayah meninggal, abang Syam macam rasa dia wajib
tunaikan angan-angan ayah tu. Tapi nak bina chalet tu, perlukan modal banyak.
Itu sebabnya dia pergi KL nak kerja katanya. Kerja kat sana dapat kumpul modal
cepat banding kat sini. Tapi masa kat
sana dia kemalangan teruk. Putus kaki dan patah dua-dua tangannya. Nasib baik
doktor dapat sambung balik kaki dia tu. Lama betul dia kena duduk di hospital
kat sana. Masa yang sama pulak, arwah
Kak Su meninggal masa lahirkan Nabil kat sini. Lepas abang Syam dah ok sikit
baru kami bawa balik dia ke sini. Dekat tiga tahun jugak dia tak mampu buat
apa-apa kerja. Sampailah akhir tahun lepas, barulah dia boleh kerja-kerja yang
ringan balik. Itu yang dia pergi ke Shah Alam ikut kawan dia kat sana...,”
Mendengarkan cerita itu, Mai jadi gumam. Dia tidak
menyangka semalang itu nasib Syamsul.
“Abang tak pernah cerita ke hal dia ni kat akak?”
Terkejut Mai mendengarkan soalan itu. Mana mungkin
Syamsul bercerita jika hampir tiada
pertemuan antara mereka sejak pernikahan dilangsungkan. Bagaimana untuk
bercerita jika tiada langsung kemesraan antara mereka. Dan bagaimana untuk
bercerita jika dia hanya menunggu Syamsul di pagi itu, dua minggu yang lalu,
hanya untuk melaksanakan hasrat Irfan? Ah... kenangan itu masih lagi mengelus
rasa bahagia di hati. Membuatkan timbul rasa bersalah pada kedua-dua lelaki
itu. bersalah pada Syamsul, kerana mencabar keegoannya sebagai seorang suami.
Dan bersalah pada Irfan, bila dia merasa bagaikan kesetiaannya pada bekas
suaminya itu ternoda dek keinginan untuk mengulangi lagi keindahan yang
dirasakan bersama Syamsul pada saat itu.
“Ada... tapi tak banyak..,”
Mai mengangguk sambil berkata-kata, timbul rasa hiba di
hati. Kemudian diam untuk memberi ruang kepada Shuhaida untuk terus menyambung
cerita.
“Masa dia dirawat hari tu, banyak belanja yang kami
terpaksa tanggung. Duit simpanan dia tu, terpaksa kami guna sedikit demi
sedikit. Jadi, sampai sekarang, masih belum banyak yang dia boleh kumpul. Bila
mak jadi macam ni, lagilah banyak terpaksa guna duit. Dah dua minggu dia tak
kerja. Dia kata tak sanggup tinggalkan mak sorang-sorang kat hospital tu. Nak
bawa balik ke rumah, doktor kata risiko tinggi sebab rumah kami jauh dari
hospital...,” dia mengeluh perlahan sambil matanya terus menatap ombak di
pantai yang nampak berbalam. Mengkagumi deru ombak yang bagaikan simpati dengan
kesedihan hidup Syamsul yang di
luahkannya itu.
“Duit yang dia kumpul tu terpaksa kami guna sekarang ni.
Nak buat belanja rawatan mak, bukannya cukup. Kesian abang Syam, macam-macam
dia fikir macam mana nak dapatkan duit. Itupun dia kerja tau kak. Ambil upah
jual makanan dari wad ke wad. Sekurang-kurangnya ada lah jugak duit buat dia
belanja kat hospital tu. Dapatlah jimat-jimt sikit duit simpanan dia tu. Tapi,
kesian kak, dengan kaki dia yang macam tu, terpaksa jalan dari wad ke wad,
bawak bakul makanan untuk dijual pada pesakit-pesakit yang nak beli. Ida nak bantu, kerja kat mana-mana... abang
tak bagi. Dia suruh Ida jaga budak-budak tu. Itupun ada jugak Ida ambil upah
jahit manik pada baju-baju yang tukang jahit tempah kat Ida. Sekurang-kurangnya
tak la rasa tak berguna sangat duduk kat rumah ni...,”
Terkebil-kebil mata Mai memandang wajah gadis itu. Tidak
pernah dia mendengar luahan hati seseorang yang amat memerlukan sebegitu. Pilu
di hati mendengarkan kesusahan yang dialami oleh keluarga suaminya. Terbit
perasaan simpati yang tidak bertepi.
“Akak tahu kan.. abang pandai tulis puisi?” kata Shuhaida
tiba-tiba dengan mata yang bercahaya sekali. Kelihatan begitu gembira dengan
apa yang ingin disampaikannya itu.
Tanpa dia sedari, dia menggelengkan kepala. Lelaki itu
pandai berpuisi...? Wah ... ini sesuatu yang menarik.
“Ia...?”
“Ia kak...., nanti Ida bagi buku catatan sajak-sajak yang
dia tulis. Mesti akak pun suka nanti...,”
“Akak tak pandailah baca puisi... tak faham ...,” kata
Mai sambil ketawa kecil. Shuhaida turut ketawa.
“Masa dia dengan kak Suzana dulu, banyak dia tulis puisi
cinta. Dia ada tulis untuk akak tak,?”
‘Aduhai... soalan cepu emas ni... macam mana nak jawab
ni...?,’ Mai bermonolog sendiri. Sebagai jawapan, dia menggelengkan kepalanya
perlahan sambil senyum terukir di bibir. Sungguh tidak dia menyangka akan
kebolehan Syamsul itu. Menulis puisi...?
“Patutlah dia... a.... abang Syam tu..., macam itu. Orang
seni rupanya...,” katanya sambil terus senyum. Melegakan sedikit kepiluan yang
dirasakan bila mendengar akan kesusahan yang dialami suaminya itu. Dan tanpa
sedar dia bagaikan menggambarkan hubungan mereka yang tidak begitu mesra.
“Pelik jugak akak tak tau.... tapi memang abang Syam tu
cukup perahsia orangnya. Mungkin dia nak kejutkan akak kut. Tak nak cerita
kebolehan dia tu. Tau-tau aje nanti dapat surat cinta penuh dengan puisi...,”
usik Shuhaida dengan ketawa mesra di bibir.
“Ish... Ida ni... mana lah sempat nak berpuisi...
Hari-hari balik pukul dua... tiga pagi...,” kata Mai untuk menutup keadaan
sebenar perkahwinan mereka itu. Dan kata-kata itu bagaikan mematikan tawa di
bibir Shuhaida. Lalu dia melapaskan satu keluhan.
“Emmm.. itulah kan?”
Suasana jadi diam seketika.
“Tapi kan kak... sambil-sambil buat kerja pun dia sempat
tulis tau. Diam-diam je.. siap satu puisi....,” katanya menyambung bicara.
Menunjukkan betapa dia begitu menyokong abang kesayangannya itu. Membawa senyum
di pinggir bibir munggil Mai.
“Tak sabar rasanya nak baca puisi dia tu..,” ucap Mai.
“Nanti Ida cari buku catatan dia tu ye..? Esok ok...?,”
Mereka diam semula. Merenung di kegelapan malam yang
hanya disimbahai cahaya suram bulan yang sedang mengambang penuh. Mendengar
nyanyian ombak yang memukul pantai. Merasakan dinginnya elusan angin malam di
pipi masing-masing.
“Ida...,”
Lama kemudian Mai bersuara. Cuba untuk menjawab teka-teki
yang menyelubungi hatinya sejak dia tiba ke rumah itu lewat petang tadi. Masih
dia ingat bagaimana dia di sambut dingin oleh Wawa, ketika dia tiba di rumah
ini bersama Syamsul tadi. Setelah solat maghrib, Syamsul terus kembali ke hospital untuk menemani
emaknya semula. Pada mulanya dia enggan dihantar oleh Syamsul kerana tidak mahu menyusahkan lelaki itu. Dia
bercadang untuk mengambil teksi. Tetapi, Syamsul tidak membenarkan dia berbuat
begitu. Bimbang akan keselamatannya untuk melepaskan dia pulang dengan teksi
bersendirian, terutamanya di waktu lewat petang begitu. Namun bila mengingatkan
Syamsul yang bimbangkan keadaan emaknya waktu itu menghantarnya pulang, dia
merasa lebih bersalah lagi kerana menyusahkan lelaki itu.
“Ia kak... kenapa?”
“Wawa tak suka kat akak ke Ida? Nampak macam tak nak bercakap
aje bila akak bertanya. Lepas tu, suka jauhkan diri dari akak. Tak macam Nabil,
asyik sekaki aje dengan akak. Asyik tanya itu ini dengan akak,”
Terdiam Shuhaida mendengarkan kata-kata Mai. Memang dia
tau tentang itu. lalu dia mengangguk perlahan.
“Wawa tu memang kuat memberontak sikit kak. Dia, selalu
tak boleh sembunyikan perasaan dia tu. Dari dulu lagi, kalau abang Syam usik
dia, cakap nak kahwin dan gantikan arwah emaknya, dia mesti marah kat ayahnya
tu. Entahlah kak... Ida pun tak tau macam mana nak cerita perangai budak-budak
ni...,” keluh Shuhaida perlahan.
“Hem... patutlah...,” kata Mai perlahan. Menyedari
keadaan dirinya yang tidak di terima oleh Wawa.
“Tak apa kak... Wawa tu memang manja. Tak boleh bagi muka
sangat. Kena tegas sikit dengan dia.
Kalau tak nanti naik tocang dia tu kak...,”
Mai hanya senyum mendengarkan kata-kata Shuhaida walaupun
dia tidak begitu setuju dengan pendapat gadis tersebut.
‘Tapi Nabil tu... bukan main seronok lagi dapat jumpa umi
dia ni. masa abang balik tadi dengan akak, dia tengah mandi. Bila Ida cakap
akak datang, terus keluar dari bilik mandi sampai lupakan kain tualanya. Berlari
keluar nak tengok umi barunya sampaikan lupa dia tu tak berbaju.... ,” cerita
Shuhaida dengan tawa yang tak mampu dibendungnya. Ketawa mesra yang membuat Mai
turut sama tertawa.
“Haah... bila sedar dia tak pakai baju, lari lintang
pukang sembunyikan diri. Tapi sekejap aje malu dia. Lepas pakai baju, elok-elok
aje dia datang bersalam dengan akak,...,” kata Mai bila tawanya makin surut. Buat senyuman terus bermain di pinggir bibirnya
mengingatkan inseden lucu itu.
“Nanti bila dapat anak sendiri, mesti lebih seronok lagi
kan kak...?,”
Kata-kata Shuhaida itu bagaikan belantan yang meredam
kuat di hatinya. Perlahan dia menarik nafas panjang. Mungkinkah semua itu akan
berlaku?
****
Bulat mata Syamsul
memandang ke wajah wanita di hadapannya. Wajah lembut yang kini sudah
dihafal bagaimana tiap ekspresi yang dirasakan oleh pemiliknya. Bila marah,
bila bingung, bila resah dan bila sedih, wajah itu menggambarkan semuanya
dengan mudah sekali. Cuma yang dirasakan saat ini adalah ingin sekali untuk
melihat wajah itu dalam keadaan gembira dan bahagia. Pasti wajah itu akan jadi
lebih indah lagi jika perasaan itu yang dirasakan oleh pemiliknya.
Menyedari renungannya itu membuatkan isterinya itu resah,
dia berpaling ke arah lain. Entah mengapa tiap kali memandang Mai, dia jadi
terpegun. Dua minggu tidak bertemu rupanya menggamit satu perasaan yang sungguh
tidak dimengertikannya. Dalam kesibukkan dan kebimbangannya menemani emaknya
dihospital, rupanya wajah itu tak pernah meninggalkan kotak ingatannya. Wajah
itu bagaikan kemas terlukis di hamparan hatinya.
“Kenapa kau nak buat macam tu?” katanya perlahan,
mengembalikan dirinya kepada perbincangan mereka yang tergendala seketika
kerana keasyikkannya melayan perasaan.
“Saya nak bantu awak sekeluarga,” jawab Mai ringkas.
“Tapi semua tu bukannya sikit. Aku tak nak terhutang budi
pada kau pulak,”
“Saya yang terhutang budi pada awak. Awak kahwin dengan
saya dengan niat nak membantu. Jadi saya rasa, apa salahnya kalau saya turut
sama bantu awak pula. Lagipun emak awak memang perlukan bantuan tu,”
Entah mengapa kata-kata Mai yang kedengaran lembut itu
bagaikan belati mengguris hatinya. Ya, dia perlu terus sedar bagaimana hubungan
mereka akan berakhir. Semua ini hanya atas dasar simpati. Semua ini hanya untuk
membalas budi. Dia tahu bagaimana pengakhiran hubungan mereka. Namun mengapa
terasa sakit sekali untuk menerima hakikat itu.
“Aku berbudi... tak pernah minta berbalas..,”
“Saya tahu...,” jawab Mai sambil menatap wajah itu.
Mungkin wajah itu tidak setampan Irfan, tetapi aura kelelakiannya cukup kuat
menambat hatinya. Tidak mampu untuk dia menafikan lagi hakikat itu.
“Tak payahlah... nanti esok aku pergi jumpa orang kat
Jabatan Kebajikan Masyarakat tu. Minta dia orang cepatkan kelulusan tu..,”
“Tapi nanti mesti semua tu ambil masa lagi. Saya tengok
mak awak tu, perlu cepat dirawat. Doktor pun cakap macam tu hari tu. Kalau kita
dapat adakan duit tu, mesti dia boleh cepat sembuh,”
“Bukan mesti Mai, insyaallah... Ingat semua ni di tangan
Allah,”
Bagaikan terpukul Mai rasakan bila mendengarkan teguran
itu.
“Ya, insyaallah..,” ucapnya perlahan.
Dia diam menantikan sepatah kata dari Syamsul berkenaan dengan keinginannya itu. namun
lelaki itu tetap diam.
“Syam ...?”
Syamsul memejamkan
matanya. Untuk kesekian kalinya namanya disebut oleh isterinya. Bagaikan ada
embun dingin yang menyelubungi hatinya saat itu. Terasa seperti dibelai
perasaannya mendengarkan sebutan namanya yang memang jarang sekali di dengar
dari wanita muda ini. Terasa amat bahagia mendengarkan kata-kata yang sepatah itu.
“Tapi aku tak boleh terima semua tu,” ucapnya perlahan.
Cuba menafikan perasaan indah yang dirasakan seketika nanti.
“Macam nilah.. anggap ini satu pinjaman dari saya. Nanti
kalau ada duit awak bayarlah..,” ucap Mai memberikan cadangan. Membuatkan
Syamsul kembali merenung tajam ke dalam
matanya. Buat hatinya berkocak lagi.
“Kau yakin aku boleh bayar?” katanya menduga. Sekali lagi
buat Mai tak mampu membalas kata-kata itu. Tidak yakin apa patut dia
perkatakan.
“Kalau awak kerja, mestilah boleh bayar... kalau mak awak
terus sakit macam ni.. macam mana awak nak bayar? Kalau dia dirawat, dan
sihat.. awak boleh kerja balik kan?” akhirnya timbul idea itu di mindanya.
Sesuatu yang buat Syamsul terdiam tanpa
mampu berkata apa-apa.
11 comments:
lamanya dok tunggu n3 ni, akhirnya ada gak.
pasni smbung cpt2 ye kak.
ok gak rupa penerimaan mai terhadap keluarga syamsul...
igt x ikhlas nk terima
Setuju ngan kata siti tu...sambunglah cpt skt
KAK....BIARKAN SAHAJA MAI DAN SHAM SALING JATUH CINTA......
CINTA BOLEH DIPUPUK KAN???
Finally ada gak n3 baru. Suka sgt kalu Mia jatuh cinta dekat Syamsul. Biar padan muka si Irfan tuh, sape suruh ceraikan isteri yg sebaik Mai. Thanks and good luck dear.
saya sokong dne cik writer
Salam Sayang buat semua pembaca,
Thanks kerana masih lagi mengikuti karya-karya kak laila. Kak laila agak sibuk sejak kebelakangan ini dengan urusan peribadi. sebab tulah tak mampu berkarya secepat yang diinginkan oleh pembaca. insyaallah akan cuba baiki keadaan ini. dan semuga diberikan kekuatan oleh Allah untuk terus berkarya... doakan supaya akak terus kuat ye...
thanks...
sedihnyerr... syam ni kaki cmner.. tempang ke ape
insyallah kak laila. mudah mudahan urusan kak Laila dipermudahkan-Nya. Amin... Keep up writing. we will wait no matter what until it be publish. he... ;D
Terima kasih, by the way buku awak tajuk 'Syurga Di Wajahmu' memang best. dh banyak kali sy baca tanpa jemu. Insyaallah, jika 'Sesaat cukup bagiku' ini siap dibukukan, sy akan beli buat tambah koleksi. All the best Laila Hanni. :-)
akhirnya.. berbaloi saya menanti...
Post a Comment