Bab 19
“Apa...?”
Mai diam mendengarkan nada
terperanjat dari Irfan. Dia sememangnya sudah menjangkakan Irfan akan marah. Dia sendiri tidak mengerti
mengapa harus dia menceritakan semua itu kepada Irfan. Bukan wang Irfan yang
dia minta. Semua itu adalah wang dari simpanannya.
“Dah lah Mai tak cakap masa nak
pergi kampung dia. Terus senyap aje hilangkan diri. Balik dari outstation, abang cari Mai tak ada. Mai
tau tak betapa rindunya abang pada Mai sepanjang dua minggu kat sana. Jauh dari
Mai, tak dapat nak tengok Mai. Bila Mai balik, ini pulak yang abang dengar dari
Mai ...,”
“Abang... tak kanlah semua yang
Mai buat kena beritahu abang. Kita bukan suami isteri lagi..,” kata Mai geram.
“Tak payahlah Mai nak ingatkan
abang dengan perkara tu lagi. Tiap kali Mai cakap macam tu abang rasa bersalah
dan menyesal. Tapi, perkara macam ni perkara besar. Mai sepatutnya tanya abang
dulu tentang keputusan Mai tu. Duit yang Mai bagi kat dia banyak tau Mai.
banyak...,”
“La... sebelum ni pun kan abang
memang nak bagi duit kat dia supaya dia kahwin dengan Mai? Bukan ke abang yang
ada niat nak jual Mai pada dia? Jadi tak salahkan kalau Mai bagi duit tu pada
dia...,” keras nada suara wanita muda itu singgah di telinga Irfan.
Kata-kata itu membuat dia
dihujani seribu kekesalan lagi. Buat seketika, dia terdiam tak mampu untuk
membalas kata. Dia mengeluh melepaskan beban yang menimpa kepalanya. Kemudian
dia menarik nafas panjang, cuba untuk
meringankan beban itu. Namun bagaikan tidak mampu untuk dia berbuat begitu.
“Memanglah... Memanglah hari tu
abang ada niat macam tu. Nak bagi dia duit, tapi bukan untuk jual Mai. Abang
minta Mai jangan sekali-kali cakap macam tu lagi. Lagipun, bukannya banyak
sangat duit yang abang nak bagi dia. Untuk belanja dia kahwin dengan Mai
semuanya abang dah tanggung. Dan bila dia ceraikan Mai nanti, abang memang pun
nak bagi dia lima ribu ringgit sebagai saguhati. Bukan atas dasar upah macam
yang abang niatkan masa awal-awal minta dia jadi cina buta hari tu. Tapi
sekarang ni, Mai bagi dia sampai dua puluh ribu ringgit... banyak tu Mai ...,” katanya kembali setelah
lama diam berfikir.
“Dia perlukan duit tu bang....
lagipun dia suami Mai. Tak salah Mai cuba ringankan beban suami Mai,” jawab Mai
sinis.
Jawapan yang membuatkan hati
Irfan bagaikan terhiris bila mendengarkannya. Untuk meringankan beban di
hatinya itu dia cuba meraih jemari Mai yang duduk di sebelahnya dalam kereta
yang terparkir di kawasan parkir Taman Tasik Shah Alam. Cepat-cepat Mai
melarikan tangannya dari diraih oleh Irfan. Membuatkan Irfan sedikit terkejut
dengan perlakuan sepontan Mai itu. Selama ini Mai tidak pernah menolak jika dia
ingin memegang jari jemari bekas isterinya itu. Malah dia tahu kalau dia ingin
memeluk Mai pun, pasti wanita itu tidak akan menolak. Namun selama ini dia
terus mengelak dari melakukan sebegitu kerana dia tahu, jika itu yang
dilakukan, pastinya dia dan Mai akan terjebak ke dalam sesuatu yang akan mereka
sama-sama kesali nanti.
Mai cuba untuk menangkis debar
di dadanya. Entah mengapa dia merasakan tidak mahu disentuh oleh Irfan. Tidak
seperti hari-hari lalu sewaktu mereka bertemu untuk berbicara. Entah mengapa
semua itu dirasakan tidak kena baginya kini. Terasa bagaikan sepatutnya ada
jurang yang memisahkan mereka.
Sebaik sahaja Mai keluar dari kawasan sekolahnya tadi, Irfan
menahan dan terus menaiki keretanya. Lantas mengarahkan dia untuk memandu ke
sini. Ingin berbicara katanya. Dan dia cukup terkajut sekali bila mendengar
Irfan memarahinya kerana menghilangkan diri selama dua hari untuk melawat emak
mertuanya yang sedang sakit. Dan bila dia membuka cerita tentang masalah Syamsul untuk menjelaskan mengapa dia pergi ke sana,
dia dimahari lagi. Sungguh dia merasakan tidak adil baginya dimarah sebegini
oleh Irfan.
“Mai... tolong jangan cakap... yang Mai... dah jatuh cinta... pada dia...,”
tersekat-sekat suara Irfan menduga hati bekas isterinya. Kata-kata yang buat
Mai terkedu seketika. Tidak pernah terlintas sedikit pun di hatinya akan
kemungkinan itu. Mana mungkin dia jatuh cinta pada lelaki itu dalam tempoh yang
begitu singkat. Bukan... bukan cinta yang dirasakan. Hanya satu perasaan
memiliki dan dimiliki sahaja. Ia, itu yang sebenarnya. Dan untuk mengesahkan
semua itu dia menggelengkan kepalanya. Cuba untuk meyakinkan Irfan dan dirinya
sendiri.
“Abang... dia baik bang. Dia
sanggup tolong kita... dia jaga diri Mai, maruah Mai. Dia hormati kehendak Mai
untuk tidak bersama walaupun dah lebih sebulan bulan kami tinggal
sebumbung...,” ucap Mai perlahan. Cuba untuk tidak memperkatakan lagi soal ini.
Dia tidak sanggup untuk memberitahu bahawa dia dan Syamsul sudah pernah bersama. Entah mengapa dia merasakan
Irfan tidak perlu tahu itu semua.
“Dia tak pernah usik Mai ...? Sampai hari ni..?” perlahan Irfan bertanya.
Hati Irfan berdebar-debar
menantikan jawapan dari Mai. Tetapi Mai tetap diam, membuatkan terasa ada ragu
di hatinya terhadap sikap Mai itu.
“Mai...,”
“Bang... nanti kalau semua dah
selesai, Mai akan cakap pada abang,” cepat sekali Mai memotong apa sahaja
kata-kata yang mungkin akan keluar dari mulut Irfan. Tidak lagi mahu
membicarakan hal itu.
“Bila Mai? Bila semua ni akan
selesai? Abang dah tak sanggup tunggu lagi,” bisik Irfan. Untuk seketika Mai
bagaikan terkedu. Hatinya tertanya-tanya mengapa kini dia tidak lagi merasakan
seperti apa yang Irfan rasakan? Sudah
berubah hatikah dia?. Ah ... sungguh dia keliru....
“Emak dia sakit bang.., dan dia
terpaksa jaga mak dia tu. Nanti bila lepas operate,
things will be back to normal. Jadi, masa tu nanti Mai akan selesaikan
semuanya dengan dia,” akhirnya Mai menjawab kata-kata Irfan demi untuk
menyenangkan hati lelaki itu. Walaupun di hatinya sendiri terhimpun sejuta
keraguan dengan apa yang dirasakan saat itu.
****
Pagi itu awal-awal lagi Mai
telah siap dan bertolak ke sekolah pada kira-kira jam 6.45 pagi. Setengah jam
kemudian dia telah berada di sekolah. Seperti biasa dialah yang pertama tiba di
bilik guru. Selepas meletakkan beg kerjanya di mejanya dalam bilik guru, dia
bergegas ke bilik pusat sumber. Hari ini dia tidak bertugas mengawal
peperiksaan, maka dia berhajat untuk menyiapkan tugas pusat sumber yang
sememangnya sentiasa berlambakan. Minggu lepas dia telah menerima penghantaran
beberapa buah alat pandang dengar yang telah dibeli oleh pihak sekolah. Peralatan itu perlu direkodkan terlebih
dahulu sebelum ia boleh di letakkan di bilik pandang dengar untuk kegunaan
pelajar. Walaupun dia boleh melakukan tugas merekod peralatan-peralatan
tersebut semasa cuti sekolah akhir tahun nanti, dia tidak suka menangguhkan
kerja. Jadi sementara ada masa terluang, dia ingin menyelesaikan segala
tugas-tugas yang masih belum selesai.
Dalam
dia begitu asyik melaksanakan tugasnya itu, telefon bimbitnya berdering minta
diangkat. Dia menatap skrin telefonnya dan di situ terpapar nama sipemanggil
iaitu Syamsul. Dan saat itu juga hatinya berdetak laju. Debar yang datang
tiba-tiba itu bagaikan membuat lututnya
terasa lemah dan longlai. Aduhai... penangan aura lelaki ini begitu kuat
dirasakan. Tiap kali mengenangnya kini, bagaikan terhenti detik dan waktu.
“Halo...,”
dalam debar dia menjawab telefon. Menanti suara itu menyahut sapaannya.
“Assalamualaikum
kak..,” sepatah kedengaran suara riang seorang perempuan memberikan salam.
Shuhaida rupanya. Dan entah mengapa sedikit rasa kecewa singgah di pinggir hati
Mai. Bukan suara ini yang diharapkannya sebentar tadi.
“Waalaikummusssalam
Ida...,” sedaya mungkin dia cuba untuk menceriakan suaranya. Tidak ingin rasa
kecewa sebentar tadi dapat dikesan oleh Shuhaida.
“Apa
khabar kak?”
“Baik...
macam mana semua kat sana..? Mak ok ke?”
“Ok
kak.. semuanya ok... pasal mak la Ida telefon ni. Doktor dah putuskan nak bedah
dia petang ni.. pukul dua petang
katanya,”
“Ia?
Alhamdulillah... baguslah kalau macam tu. Harap semua akan selamat nanti,”
“Insyaallah
kak... doktor dah jamin . Kalau tak ada masalah lain, selalunya semua
pesakitnya akan ok dalam masa dua tiga hari. Tapi kak, ada satu lagi berita
baik kak..,”
“Apa
tu Ida...?”
Mendengarkan
kata Shuhaida, hatinya turut berdebar. Bagaikan sangat teruja untuk mendengar
apa yang ingin disampaikan kepadanya.
“Orang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tu baru aje
telefon abang sekejap tadi... Dia cakap permohonan bantuan rawatan mak tu dah
lulus. Jadi tak ada masalah la tentang bayaran tu...,”
“Ia?
Alhamdulillah.... ,” jawabnya dengan nada gembira.
“Abang
cakap, duit Kak Mai tu nanti dia akan bagi
balik pada akak. Dia minta akak SMSkan nombor akaun akak...,”
Terperanjat
deengan kata-kata Shuhaida itu, membuatkan Mai terdiam seketika. Ah, begitu
cepat Syamsul cuba untuk menyelesaikan
urusan antara mereka. Mungkinkah begitu cepat dia akan melepaskannya nanti.
Entah mengapa bagai ada sedikit rasa terjerut di hati.
“Ida...
biarlah dulu hal duit tu. yang penting sekarang mak sihat. Pasal duit tu
nantilah kita bincang semula ok? Lepas semua dah selesai nanti,”
“Tapi
kak... abang minta akak bagi nombor akaun akak tu dulu..,”
“Dia
ke mana ni Ida? Kenapa pulak Ida yang telefon akak?”
“Dia
tengah bercakap dengan doktor tu. Dia yang minta Ida telefon akak. Ida tak ada
telefon... jadi Ida gunakanlah telefon dia ni.”
“Ok...
tak apalah kalau macam tu. Ida kirim salam ye pada abang Syam,” perlahan dia
menyebut nama itu. Entah mengapa dia tidak mengerti, terasa ingin sekali dia
memanggil lelaki itu begitu. Dan terasa bagaikan terbelai hatinya bila menyebut
nama itu.
“Ok...
nanti Ida sampaikan. Istimewa dari akak. Kenapa akak tak telefon dia sendiri...
cakap rindu... ,” usik Shuhaida sambil ketawa. Usikan yang membuat wajah Mai
terasa panas disebabkan rasa malu.
“Ida
ni...,” ucapnya perlahan sambil turut sama ketawa. Kalaulah Shuhaida berada di
hadapannya, pasti akan dapat melihat rona merah di pipinya.
“Nanti
petang akak telefonla dia, cakap rindu... ,” kata Mai, cuba untuk menyakinkan
dirinya sendiri bahawa dia cukup berani untuk berbuat begitu. Dan pecah lagi
tawa Shuhaida di hujung talian.
“Ok...
nanti Ida bagitau abang, suruh dia tunggu..,”
“Hish..
Ida ni... jangan la...,”
“La...
kenapa pulak? Akak malu ya..?’ usik Shuhaida lagi.
“Tak...
Cuma nak bagi.. emm.... kejutan... pada dia,” kata Mai teragak-agak. Buat pecah
lagi tawa di bibir Shuhaida. Dan dia sungguh merasa bersyukur kerana mereka hanya
berbicara dalam telefon. Jika tidak, pasti Shuhaida dapat mengesan kekalutan
yang dirasakannya saat itu.
Petang
itu ketika Mai menelefon Syamsul untuk
bertanyakan khabar, dia sememangnya memberikan kejutan kepada suaminya itu
apabila dia memberitahu bahawa dia akan pulang ke kampung hari minggu akan
datang. Rasa gembira yang menyelubungi hati anak muda itu bagaikan tidak mampu
rasanya untuk dibendung. Sudahlah emaknya telah selamat menjalani rawatan
angioplastinya. Dan kini isterinya akan kembali lagi untuk menjenguk orang tua
itu. Biarpun Syamsul tahu kehadiran Mai
ini hanyalah untuk mengaburi mata semua tentang betapa perihatinnya dia sebagai
seorang menantu, namun rasa gembiranya itu tetap terasa. Membawa senyum yang
tak lepas dari bbir lelaki itu.
“Wah...
abang.. gembiranya lepas dengar suara kak Mai. Rindu ye? Itulah... pagi tadi
Ida suruh cakap sendiri dengan Kak Mai, abang tak nak...,” usik Ida bila
melihatkan abangnya itu tersenyum sendirian selepas mematikan talian
telefonnya. Dia tahu abangnya pasti sedang merasa cukup gembira kerana amat
jarang sekali dia kelihatan tersenyum sendirian begitu. Selama ini hidupnya
sering dibaluti dengan kesedihan, hinggakan terlalu jarang sekali dia tersenyum
bahagia. Dan Shuhaida tahu, sekali abangnya itu tersenyum, menunjukkan dia
sememangnya sedang bahagia. Buat dia juga turut merasakan amat teruja sekali.
“Dia
nak balik lagi hujung minggu ni..,” kata Syamsul sambil senyum.
“Ia...?”
ucap Shuhaida dengan nada yang cukup teruja.
Syamsul hanya menganggukkan kepalanya. Suara Mai yang
didengarnya melalui telefon sebentar tadi terasa bagaikan air yang mengelus
nyaman di hatinya. Baru sahaja lima hari mereka berpisah, terasa seperti sudah
bertahun tidak bersua. Setiap detik yang dilalui bagaikan tak mampu untuk
dihitung lagi. Setiap kali nama Mai terlintas di hatinya ada getar rindu yang
dirasakan. Buat dia yakin dengan perasaannya terhadap isterinya itu. Namun,
segala itu bagai hanya satu anganan. Tidak
mungkin Mai akan membalas rasanya itu.
Pun begitu, masih dia merasakan ingin terus melayani rasa rindu yang
bergetar di dada. Mungkin buat seketika
ini, cukup bagi dia berpegang kepada apa adanya. Mungkin untuk seketika
ini biarlah dia dibuai oleh angan yang dicipta dalam mindanya. Dan bila sampai
waktu perpisahan itu nanti, sekurang-kurangnya dia ada sesuatu yang indah untuk
dikenang. Dan, tanpa dia sedari, perlahan dia menyebut nama Mai. Mengharapkan
Mai turut sama sedang mengingatkannya. Biarpun untuk sesaat cuma.
19 comments:
nampaknya hubungan syamsul dan mai semakin kukuh..
ada perasaan rindu yang bertamu.ada getar cinta dalam hati masing2 hehe..best kak Hanni..
Bestnye sabar nk tgu mai blik kg...bila tu yer...jgn lama sgt yer...
agak pendek..tp cukup untuk melerai rindu
sy menantikan momen cinta mai n syam, ahaks!
-che`leen-
biar la mereka berdua bahagia....ignore irfan tu
kak ....bergetar jiwa bile bace part nie
syam n mai semoga bahagia milik kamu
aaaa..rindu jgk kat syam...hahaha..
awt pndek sgttt...
abaikan sj irfan tu..biarlah mai bhgia dgn syam..harp2 mai prgnant nti..hehe..mloponglah irfan..pdn muka..haha..
::TR::
Walau bagai pungguk merindukan bulan yang kerap dilitupi awan gelap persis di musim tengkujuh, namun bila ianya berlalu, bulan bercahaya indah sekali buat si pungguk mampu melerai rindu yang bertamu walau seketika, begitulah umpamanya menanti Laila menyambung n3nya... menuntut kesabaran yang bukan sedikit namun hasilnya amat mengagumkan... Laila.............. jangalah 1 bulan 1 entri.. parah Rosy tunggu.. publish jelah... ;-)
thank akak... terubat rasa rindu kat syam dan mai.... (^_^).... waiting for the next episode~
Terdapat perbezaan fakta Mai berada di Kampung Syam.. 2 minggu atau 2 hari sekiranya dibaca di perenggan 3 dan 12..
Harap sgtlh Mai dh jatuh cinta dgn Syamsul. Usalah Mai balik
semula pada Irfan biarlah dia terus menjadi isteri Syamsul
hingga keakhir hayat ye penulis... cepatlah sambung lagi rasa
tak sabar nak tunggu n3 baru pula....
nak Mai dengan Syamsul..abaikan Irfan...kak Laila walaupun lama menunggu n3 baru..tapi memang berbaloi-baloi...bestttt...
emmm... dua minggu tu merujuk pada masa irfan out station. sorry atas silap tu.. nanti akan diperbaiki... thanks pada komennya ye... ^_^
sy juga suka la mai gan sham....satu pengajaran wat lelaki cam Irfan...gila talak!!
Akhirnya, ada juga n3 baru. dah lama saya tunggu kisah mereka berdua. Tapi kenapa sikit sangat, x puas rasanya. X sabar nk tgk Irfan gila talak sebab Mai dah jatuh cintan kat Syam.
Ala, pendek jer entry ni.. Belum sempat melepaskan rindu pada Mai & Syam ni.. :-)
Tak suka Mai gi jumper Irfan, tapi moga-moga lepas ni dia sedar Irfan dah tak ada dlm hati dia...
Tak sabar nak baca entry Mai gi jumper Syam lagi kat kampung... mungkin kali ni dah boleh jumper mak mertua... :-)
Thanks, K.Laila
bestnyer... walaupun pendek ajer citernyer..
hope syamsul & mai will be happy together forever..
lepas tu ada anak and family and hopefully anak2 syamsul can accept mai as their stepmom to replace their mom..
terujenye akak baca cite laila kali ini lain dari cerite yg lain2 tu walau bagaimana pun cerite2 laila memang sentiasa akak tunggu. Ape kata kite ikat Mai dgn Syam dengan kehadiran orang baru dalam rahim Mai hasil sentuhan pertama dulu tentu kalut si Irfan nanti....
Laila, bila nak smbg ni. Dah puas baca dr bab 1 hingga ke bab 19. Best sgt citer ni. Cara olahan pun teratur.
Saya suka.idea ni...bestkn...hehhehe biar mai terus bsma ngan shamsil...lantak la ngan irfan tu heheheh
Post a Comment