Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 26

Seminggu Syamsul  merajuk hinggakan satu pun panggilan telefon dari Mai tidak diangkatnya. Sudah puas Mai mendail, namun sedikit pun tidak diendahkan. Gundah di hati Mai langsung tidak mampu diluahkan kepada sesiapapun sehinggakan dia jadi pening memikirkan sikap suaminya ini. Lalu Mai cuba menenangkan hatinya dengan pergi membeli-belah barang-barang keperluan yang akan dibawa pulang ke kampung Syamsul  nanti. Satu set pancuran air panas untuk diletakkan di  dalam bilik mandi, kereta mainan kawalan jauh untuk Nabil, sebentuk kerongsang untuk Shuhaida dan sehelai baju panas untuk emak. Yang memeningkan kepalanya ialah apa yang boleh dibelikan untuk Wawa. Anak itu tidak sukakannya, jadi untuk membeli sesuatu buat Wawa dia perlu tahu apa minat anak itu. Hampir buntu  dia memikirkannya. Akhir sekali setelah berbincang dengan jurujual di tempat dia membeli belah, Mai membeli sebuah beg sandang bermotifkan barbie doll yang berwarna pink. Menurut jurujual, selalunya anak seusia Wawa akan suka beg yang sebegitu. Mungkin nanti beg itu boleh digunakan untuk membawa barang keperluan Wawa bila dia mengajak Wawa berjalan-jalan di waktu cuti sekolah nanti. Tersenyum bila mengingatkan Wawa yang tersenyum riang bila bersamanya nanti membeli-belah barangan keperluan gadis sunti itu. Ya, Mai memasang tekad untuk memenangi hati Wawa. Sekurang-kurangnya mereka mungkin boleh berkawan rapat nanti. 

Kebuntuan melanda lagi apabila memikirkan apakah buah tangan yang patut dia belikan buat Syamsul. Dia mahu membelikan sesuatu yang cukup istimewa buat lelaki itu sebagai tanda ucapan maaf darinya. Namun apa? Apa yang mampu mewakilkan kata-kata maaf yang ingin disampaikan? Untuk membeli pakaian, dia merasakan Syamsul  tidak begitu perlukan semua itu. Lagipun dia tidak begitu pasti saiz yang sesuai kerana Syamsul  perlu mencuba terlebih dahulu. Akhirnya selepas  pening dia memikirkan apa yang patut dibelikan, Mai singgah di sebuah kedai alat tulis. Matanya melilau mencari sesuatu yang sesuai untuk Syamsul. Dan akhirnya dia menemui sesuatu. Sebuah buku catatan yang dirasakan cukup sesuai sekali untuk Syamsul  digunakannya untuk mencoret puisi-puisi yang ditulisnya. Ingatannya kembali kepada buku catatan lama Syamsul  yang penuh tertulis puisi-puisi yang cukup indah. Buku itu hanyalah sebuah buku latihan sekolah milik Wawa yang tidak habis digunakan oleh anak itu. Dan semua puisi-puisi itu telah dia salin semula dalam komputer ribanya. Terlintas di hatinya kemungkinan untuk dia membawa hasil karya itu kepada penerbit. Kemungkinan ada penerbit yang akan berminat untuk menerbitkannya. Dan pasti itu akan dijadikan satu kejutan darinya buat Syamsul. Bibirnya kembali menguntumkan semyum bila membayangkan wajah Syamsul  yang pastinya gembira jika hasil karyanya di terbitkan. Ya... dia sekali lagi memasang tekad untuk mengusahakan itu.

Dia tahu, Syamsul  masih merajuk dan marah kerana keputusannya mengikut Irfan pulang ke kampung bekas suaminya itu minggu lepas. Dia juga rasa cukup bersalah, namun dia sudah berjanji dengan Irfan. Dan kalau boleh Mai tidak mahu menimbulkan tanda tanya di hati kedua emak dan ayah mertuanya jika Irfan balik berseorangan. Pasti orang tua itu marah dan kecewa dengan perjanjian yang dibuatnya itu. Silap haribulan orang tua itu boleh terkena serangan jantung pula nanti bila mendengarkan semua insiden hitam yang berlaku dalam hidupnya itu.

Semua buah tangan itu disimpan rapi di dalam bonet keretanya sehari sebelum hari perjalanan pulang. Cukup teruja sekali dirasakan. Bila tiba harinya Mai jadi lebih teruja. Dia tahu perjalanan itu pastinya amat panjang, namun dia bagaikan tidak hiraukan itu semua. Dia akan memandu secara berkonvoi bersama dengan dua orang guru sekolahnya yang berasal dari Kelantan, Cikgu Hashim dan Cikgu Mokhtar. Ini akan membantunya dari kemungkinan sesat di perjalanan nanti. Untuk mengurangkan bosannya, Cikgu Hashim, telah mencadangkan untuk menumpangkan anak gadisnya yang sedang berada di tingkatan lima untuk menemaninya. Dan tanpa banyak soal, Mai bersetuju. Riuh anak gadis itu bertanyakan itu dan ini kepada Mai di sepanjang perjalanan, membuatkan dia tidak sempat merasa letih dalam perjalanan yang panjang itu. Dia telah mengambil kputusan untuk tidak menghubungi Syamsul  untuk memberitahu tentang kepulangannya itu. Dia ingin membuat kejutan kepada semua.

Semakin dekat untuk tiba ke destinasi, makin teruja jadinya. Cikgu Hashim yang sepatutnya pulang ke rumah emaknya di bandar Kota Bharu telah begitu baik sekali menunjukkan jalan untuk dia pulang ke kampung Syamsul  yang terletak di Kampung Melawi,  dalam daerah Bachok. Apabila keretanya masuk ke kawasan kampung Syamsul, debar di hati semakin menggila. Apa penerimaan Syamsul  terhadap kepulangannya itu nanti? Marahkah? Atau mungkinkah dia akan disambut penuh rindu. Saat itu, detik-detik indah bersama Syamsul  di lapangan terbang dua minggu lalu mula bermain di matanya. Sungguh bahagia dirasakan bila mengingatkan bagaimana jari jemari mereka bertaut. Bagaikan masih terasa kehangatan tubuh Syamsul  yang menjadi tempat sandarannya semasa mereka menunggu sementara penumpang dipanggil masuk ke balai berlepas. Walaupun ketika itu, saat berlalu tanpa sepatah kata, namun terlalu indah dirasakannya. Sungguh tidak mampu dia untuk menggambarkan perasaan itu dengan kata-kata.

Ketika Mai tiba di perkarangan rumah Syamsul  kira-kira jam enam petang, kelihatan Nabil sedang bermain di halaman bersama beberapa orang teman. Termanggu seketika anak kecil itu ketika melihat keretanya berhenti di hadapan rumah. Wawa yang juga sedang bermain dengan kawan-kawan perempuannya turut sama berhenti sambil memerhatikan kereta Mai. Apabila dia melangkahkan kakinya keluar dari kereta, teriakan gembira dari Nabil membuatkan ada genang airmata di pinggir matanya. Sungguh dia merasa terharu dengan sambutan begitu. Tubuh kecil yang meluru mendapatkannya, di rangkul erat.

“Umi balik....,” jerit Nabil riang. “Chu Ida... umi balik...,” jeritnya lagi memberitahu Shuhaida yang berada di atas rumah.

Seketika kemudian wajah Shuhaida menjengah dari jendela tempat dia selalunya duduk untuk menjahit manik pada baju-baju yang ditempah. Demi melihatkan Mai, Shuhaida juga tidak mampu membendung kegembiraannya  lantas segera meluru turun ke halaman untuk menjemputnya. Cuma Wawa sahaja yang terus diam sambil memandangnya dari jauh.

 Setelah berpelukan melepaskan rindu, Mai terus mendekati MPV Cikgu Hashim untuk mengucapkan terima kasih. Anak gadis Cikgu Hashim sudah kembali ke MPV ayahnya sejak mereka mula sampai lagi.  Cikgu Hashim menolak pelawaannya untuk singgah kerana ingin terus pulang ke rumah keluarganya di Kota Bharu. Setelah berjanji untuk datang bertandang bila-bila masa sebelum pulang semula ke Shah Alam, MPV Cikgu Hashim bergerak meninggalkan kawasan rumah Syamsul. Cepat-cepat Mai naik ke atas rumah untuk bertemu dengan emak mertuanya yang sedang berehat di ruang tamu rumah. Wanita tua itu sedang duduk di atas tilam kekabu sambil tersenyum memandang kepadanya. Bila dia memeluk tubuh lemah itu, terasa erat sekali kedua tangan yang membalas pelukannya. Dan bila kedua pipinya dicium mesra, dia tahu, dia tidak mahu kehilangan rasa yang menyelubungi hatinya ketika itu. Ah... cukup dia merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dengan sambutan terhadap kepulangannya. Namun, tetap debaran di hati tidak mahu lenyap selagi wajah yang di carinya belum lagi memenuhi ruang pandangannya.

“Abang tak balik lagi kak...,” kata Shuhaida bila melihatkan Mai bagaikan tercari-cari.

“Oh.... ,” jawab Mai gugup. Sungguh dia tidak menyangka yang perlakuannya itu tidak terlepas dari pandangan mata Shuhaida. “Dia ke mana? ” tanya Mai perlahan.

“Eh... akak tak tahu?”

“Tahu apa..?”

“Abang sekarang ni buka gerai kat tepi jalan nak masuk ke kampung ni. Kalau akak perasan tadi, ada gerai kat simpang jalan tu, dia jual air tebu, air kelapa dengan mee hoon sup kat situ...,”

“Ia?” kata Mai separuh terkejut. “Dah lama ke?”

“Baru je seminggu..., itupun sebab gerai tu kosong. Dia sewa gerai Kak Melah, tuan punya gerai tu... sebelum ni dia yang berniaga kat situ. Tapi lepas anak dia bersalin, dia kena jaga cucu...” kata Shuhaida sambil senyum.

“Oh....,”

“Sekejap lagi balik la tu...,” kata Makcik Nisah perlahan. Matanya memandang ke wajah Mai yang kelihatan agak terkejut dengan berita ini. Terasa agak hairan bila melihatkan Mai seperti tidak tahu tentang hal ini. Adakah Syamsul  tidak memberitahunya? Tidak mungkin mereka tidak berhubung antara satu sama lain? Dan  tidak mungkin Syamsul  tidak membincangkan hal ini dengan isterinya.

“Kak Mai tentu penat.. rehatla.. nanti Ida keluarkan barang dari kereta...”

“Umi... tu kereta umi ye?” celah Nabil.

Mai mengalih pandang kepada anak kecil yang tersandar manja di sisinya. Tersenyum memandang ke dalam mata yang sedang galak merenung ke wajahnya. Lalu dia mengangguk. Lantas mata itu kelihatan makin bercahaya. Dan senyum di bibir anak kecil itu mekar bak kembang setaman.

“Besarnya kereta umi.... boleh Nabil naik nanti... kita pergi pasar malam..?”

Senyum Mai juga turut bertambah mekar. Lantas dia mengangguk.

“Esok nak?” tanya Mai sambil menganggukkan kepalanya. Tambah mekar lagi senyuman yang meniti di bibir Nabil.

“Nak... nak...nak...,” kata Nabil dengan nada cukup girang, buat Mai makin ingin terus tersenyum. Dan dia pasti kini... tidak salah dia mengambil keputusan untuk menghabiskan cutinya di sini. Seribu kebahagiaan menantinya di sini.

****

Syamsul memasukkan semua peralatan gerainya ke dalam bilik kecil yang digunakan untuk menyimpan barang-barang keperluan perniagaannya. Jam di telefon bimbitnya menunjukkan ke pukul 6.00 petang. Sudah kebiasaannya dia akan menutup gerai itu pada waktu-waktu begini. Cukup masa untuk dia pulang ke rumah dan bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat maghrib nanti.

“Dah habis jualannya Syam?” kedengaran suara lelaki menegurnya dari belakang. Cepat dia berpaling dan dilihatnya Pak Da Soh sudah memberhentikan basikalnya di hadapan gerai. Terlalu dia asyik dengan melayan angan hinggakan tidak sedar lelaki itu mendekatinya. Senyuman Pak Do Soh cuba disambut dengan mesra sekali. Lelaki yang ada bau-bau bachang dengannya itu sememangnya sering menjadi tempat rujukannya dalam apa juga masalah yang dihadapinya. Namun masalahnya kali ini sedikit pun dia tidak mampu untuk mengadu pada lelaki ini. Mana mungkin dia mampu menceritakan masalah dia dengan Mai yang satu hari nanti akan berpisah, lantas akan menjatuhkan maruah dirinya sebagai seorang lelaki. Dia tidak sanggup bergelar dayus. Namun, bagaimana untuk dia meluahkan semua perasaannya itu? Dan kepada siapa? Untuk dipendamkan saja, ia akan terus membara bagaikan api dalam sekam. Terbakar dalam diam, lantas  memusnahkan diri dari dalam.

“Dah Pak Do,” jawabnya ringkas sambil senyum meniti bibir. Senyum yang bagaikan dibuat-buat demi untuk menjaga hati orang tua di hadapannya itu. Namun riak wajah yang menggambarkan keresahan hati itu langsung tidak lepas dari pandangan mata Pak Do Soh. Lantas mengundang segaris senyum yang terbersit di bibir lelaki tua itu. Seolah-olah mengerti akan maksud resah itu.

“Aku nampak tadi ada kereta baru kat rumah engkau Syam? Rasanya bini kau yang bawak...,” kata Pak Do Soh sambil matanya melirik ke wajah Syamsul. Mencari rindu yang tersimpan diam di situ.

Ternyata ada riak terkejut di wajah Syamsul.  Dia tidak menyangka sama sekali Mai akan pulang dengan kereta. Sememangnya dia sedang tertunggu-tunggu Mai menelefonnya, menyatakan dia sekarang berada di lapangan terbang ataupun di stesen bas, meminta untuk dia mengambilnya di sana. Langsung tidak dia menyangka Mai akan memandu pulang. Sendirian... atau.. mungkin.....?

“Dia balik sendiri ke Pak Do?” cepat dia bertanya dengan wajah penuh kebimbangan, juga terselit seribu keraguan. Mungkinkah Irfan ada menemaninya? Dia tahu bagaimana kuatnya cinta mereka. Kalau tidak, tidak kan mungkin mereka sanggup meminta dia mengahwini Mai hanya kerana untuk kembali bersama.

“Hem... nampak macam sendiri... tak taulah pulak kut-kut ada orang lain yang balik sekali. Nampak macam seorang-seorang je tadi..,”

“Dah lama?”

“Eh... masa Pak Do lalu tadi baru je dia sampai.. baru je naik ke atas rumah..,”

“Oh.... kalau macam tu.. biar saya balik dulu ye Pak Do..?”

“Hah... baguslah  kalau macam tu. Pak Do pun nak pergi rumah Haji Nawi ni. Nak beritau dia esok ada orang minta buat sembahyang hajat..”

“Siapa Pak Do...?”

“Pak Din tu... dia baru beli motorbot baru,”

“Oh...,” kata Syamsul  sambil menganggukkan kepalanya.

Pak Din atau Pak Nordin adalah merupakan penduduk kampung yang paling kaya. Punya  lima buah bot laut dalam yang memberi peluang kerja kepada anak-anak kampung yang sanggup  meredah laut untuk mencari rezeki. Dulu, waktu dia muda dan kuat, dia juga pernah bekerja dengan Pak Din. Pernah berhempas pulas dengan ombak dan badai demi untuk sesuap nasi. Malah ketika dia mengahwini Madihah, dia masih lagi seorang nelayan. Kerja itulah yang menyebabkan dia dipandang hina oleh kedua ibu bapa Madihah. Sehinggakan segala tingkah lakunya menjadi bahan cemuhan kedua ibu bapa mertuanya itu. Perkahwinan mereka memang tidak direstui kerana harta dan pangkat. Ibu dan bapa Madihah terpaksa menerimanya kerana cinta Madihah yang teramat dalam kepadanya. Dan kerana itu jugalah dia memberanikan diri untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur. Demi untuk mendapatkan harta seperti yang dikehendaki oleh ibu dan bapa Madihah. Namun bila Madihah meninggal semasa melahirkan Nabil sedang dia pula dalam keadaan koma akibat kemalangan di Kuala Lumpur, dia di cemuh lagi. Sehingga sekarang ibu dan bapa Madihah seperti tidak ingin melihat ke wajahnya apabila terserempak. Kebetulan mereka tinggal di kampung yang sama.

Dan kini, mengahwini Mai dia mengalami nasib yang lebih buruk lagi. Kalau dulu, walapun dirinya tidak diterima oleh keluarga arwah isterinya, setidak-tidaknya Madihah mencintainya dengan sepenuh hati. Tapi bersama Mai, dia bagaikan dihina , bagaikan dayus dibuat oleh Mai, kerana ingin kembali kepada Irfan. Dia jadi bingung sebenarnya.  Untuk apa Mai kembali ke kampung kecil ini untuk menghabiskan cuti sekolahnya. Apa yang dia mahu? Ingin mempercepatkan proses perceraian mereka? Mungkinkah begitu? Kemungkinan itu ada kerana Mai tahu bahawa dia  tidak akan dapat ke Shah Alam untuk menyelesaikan semuanya di sana. Berat sekali keluhan yang dilepaskan bila mengingatkan itu semua.  Dan entah mengapa, bagai ada satu rasa ragu untuk mempercayai bahawa Mai memandu sendirian untuk pulang ke sini. Bukankah jaraknya terlalu jauh dari Shah Alam ke Kelantan? Mana mungkin Mai cukup kuat untuk berbuat begitu, terutamanya sendirian.

Diamnya Syamsul  membuatkan Pak Do Soh bagaikan dapat membaca keresahan hati anak muda itu. Walaupun dia tidak pasti mengapa adanya resah itu, dia pasti ia  tentu sekali disebabkan oleh perkahwinan barunya ini. Terlalu banyak misteri tentang perkahwinan ini. Kalau  hubungan ini normal, tak mungkin keduanya tidak pulang selepas majlis perkahwinan mereka dulu. Walaupun emaknya berada dalam keadaan yang kurang sihat, tidak mungkin Makcik Nisah tidak teringin untuk melihat menantunya disambut dalam satu majlis walaupun sederhana. Pak Do Soh bagaikan yakin, ada sesuatu di sebalik perkahwinan ini. Tapi apa agaknya? Semua itu buat dia tertanya-tanya. Yang pasti, suatu hari nanti dia akan pastikan Syamsul  menceritakan semuanya kepadanya. Mungkin dengan menceritakan segalanya mampu buat keresahan anak muda ini hilang.

Mereka kemudiannya berpisah menuju ke arah tuju masing-masing. Syamsul  cuba sedaya mungkin untuk menenangkan dadanya yang berdebar kencang. Terlalu banyak persoalan yang bermain di mindanya sehinggakan waktu tiba di rumah, dia masih belum mendapat jawapannya. Dan bila tiba di rumah, kereta Mai yang terparkir di hadapan rumahnya membuktikan bahawa benar apa yang dikatakan oleh Pak Do Soh. Mai pulang dengan memandu kereta. Sendiriankah atau berteman? Cukup dia tidak mahu memikirkan tentang kemungkinan itu.

 

 

 

 

 

Bab 27

Syamsul mengeluh perlahan meihatkan kereta Mai megah diparkir di hadapan rumahnya. Entah mengapa hatinya kuat mengatakan bahawa  Mai pulang bersama Irfan. Mana mungkin isterinya itu cukup kuat untuk memandu dari Shah Alam ke Kota Bharu. Tidak mungkin dia akan mampu tiba dalam perjalanan yang sejauh ini sendirian dan dalam perjalanan yang tidak pernah dilaluinya.

Perlahan dia memarkirkan motosikal buruknya di sebelah kereta Mai dan naik ke rumah. Sedang dia menapak naik di tangga rumah, muncul wajah kecil Nabil di pintu rumah. Ternyata riak girang di wajah anak kecil itu tidak mampu dinafikannya. Perasaan marah dan kecewa yang bertandang di hati sejak tadi cuba untuk disembunyikan. Cuba untuk memaniskan senyumannya.

“Ayah.. umi balik yah....,” kata Nabil sambil melompat dari pintu rumah ke beranda, terus ke dalam pelukannya. Melihatkan kegembiraan anak kecil itu, hatinya jadi sejuk. Lantas dipeluk dan diusapnya kepala Nabil dengan penuh kasih sayang. Saat ini biarlah dia buang jauh perasaan marahnya buat seketika. Kegembiraan Nabil adalah keutamaannya.

“Mana?”

“Kat atas.. tu...,” kata Nabil sambil menundingkan jari telunjuknya yang kecil ke arah Mai yang kelihatan sedang bersila berhampiran emaknya. Pada masa yang sama, Wawa turut sama menyertai mereka di beranda. Riak keruh wajahnya menunjukkan tanda protes di hatinya.

“Nabil, kan akak dah cakap... dia bukan umi kita...,” katanya dengan marah.

Terpinga-pinga Nabil dan Syamsul  memandang ke wajah anak gadis itu. Terkejut sekali mereka dengan perlakuan kasar Wawa ketika itu.

“Wawa...,” kata Syamsul  dalam nada memberi amaran. Sungguhpun saat itu ada rasa marah terhadap Mai, namun dia tidak mahu anaknya bersikap sedemikian terhadap ibu tiriya. Sebagai anak, tiada lain yang perlu dilakukan selain dari menghormati kedua orang tuanya. Tiada kompromi untuk itu.

Wawa hanya menjeling tajam ke arah ayahnya. Langsung dia tidak menghiraukan riak marah di mata Syamsul. Terus berpaling kembali untuk turun ke halaman untuk menyambung kembali aktivitinya bersama teman-teman. Namun jelas sekali moodnya sudah berubah. Tiada lagi terasa ingin ketawa. Hatinya terasa begitu terhiris dengan sikap ayahnya yang berpihak kepada perempuan itu.

Mata Syamsul  kembali menatap wajah Mai yang sedang menyaksikan semua itu dari dalam rumah. Dapat dia melihat riak sedih di wajah Mai dengan insiden kecil itu. Namun dia cuba buat tidak endah dengan semua itu. Biarlah Mai terasa hati dengan perlakuan Wawa tadi. Biar dia juga turut merasakan seperti yang orang lain rasakan. Merasakan sakit bila di sentuh hatinya.

Perlahan kakinya melangkah naik melepasi bendul pintu. Mata mereka terus  bertatapan dan tanpa bicara. Tatapan itu meluahkan rasa rindu yang berkecamuk dalam hati. Dua minggu yang lalu mereka berpisah dengan debar hati yang begitu indah sekali. Dan hari ini mereka kembali bertemu dengan debar yang sama. Namun ada sesuatu yang mencalarkan perasaan itu ketika ini hinggakan terasa bagaikan tidak berani untuk mereka menikmati indahnya perasaan itu.

Dengan teragak-agak Mai bangun untuk menyalami tangan suaminya. Ternyata kucupan pada jari-jemari kasar itu bagaikan mengembalikan kesyahduan di hatinya. Ya, dia tidak mahu kehilangan rasa ini. Dia ingin rasa ini terus hidup di hatinya. Suatu perasaan indah yang tidak pernah dirasakan sepanjang tujuh tahun bersama Irfan. Tidak mahu dia melepaskan perasaan ini. Tidak ....

“Abang...,” dilembutkan tutur bicaranya buat suaminya itu. Dan saat itu juga bagai ada salji yang menyelubungi hati Syamsul  bila mendengarkan sapaan lembut itu. Lantas saat indah yang mereka lalui semasa di lapangan terbang dua minggu lalu kembali bersketsa di mindanya. Membuatkan dia mengeluh perlahan. Melepaskan  lelah yang rasanya tidak lagi mampu dibendung sejak Mai memberitahunya yang dia terpaksa pulang ke rumah bekas emak mertuanya bersama Irfan.

Perlakuan antara pasangan suami isteri itu tidak lepas dari pandangan mata Makcik Nisah dan Shuhaida. Masing-masing menguntum senyum di bibir kerana kini mereka sama-sama memahami punca keresahan yang menghantui Syamsul  selama dua minggu ketiadaan Mai. Namun Nabil yang masih belum mengerti rindu yang terpamer jelas di wajah kedua ibubapanya itu terus memecahkan suasana syahdu itu. Anak kecil itu melompat-lompat untuk mendapatkan perhatian kedua pasangan suami isteri itu. Membuatkan mereka kembali tersedar dari indahnya perasaan sewaktu tenggelam dalam suasana syahdu yang seketika itu.

“Umi.. Nabil nak air...,” kata Nabil sambil melompat.

Mai tahu, bukan air yang anak kecil itu perlukan sangat ketika itu, tetapi dia inginkan perhatian dari Mai. Lantas Mai tersenyum saat menyedari keadaan itu.

“Ok... jom kita pergi ke dapur,”

“Nabil.... umi kan baru sampai... penat lagi tu... mari sini, Su Ida ambilkan,” tawar Shuhaida.

“Tak nak ah ngan Chu Ida... nak ngan umi jugak...,” tegas Nabil cuba mempertahankan kehendaknya.

“Tak apa Ida, akak pergi dengan Nabil,” kata Mai lantas memegang tangan anak kecil itu. Matanya kembali menatap wajah Syamsul. “Abang nak air jugak?” sambungnya sambil dilembutkan lagi suaranya. Dia sendiri tidak menyedari perlakuan spontan itu.

“Tak... abang nak mandi,” jawab Syamsul  yang buat seketika tenggelam kembali dalam keindahan mata bening yang menatapnya penuh syahdu. Dan untuk seketika mereka berbalas senyum sebelum Mai terpaksa akur mengikut langkah Nabil yang menarik tangannya ke dapur.

“Abang... nanti janganlah garang lagi ye... Kak Mai dah balik tu...,” usik Shuhaida.

Syamsul  Cuma mencemikkan mukanya sambil menyembunyikan senyum yang bagaikan ingin sekali menghiasi bibirnya.  

“Macam mana jualan hari ni Syam?” pertanyaan makcik Nisah mengembalikan dia ke alam nyata semula.

“Emmm... baik mak... semuanya habis. Cuma air batu campur dengan air kelapa tak berapa laku sangat...,”

“ Ye lah... abang ni pun. Hujan-hujan ni orang tak minum sangat air batu, sejuk la..,” sampuk Shuhaida.

“Tapi mee  sup tu laku. Banding dengan semalam, semuanya habis hari ni. Orang dah mula tahu yang Syam jual makanan tu. Ada yang suruh Syam tambah sebab belum pukul lima lagi dah habis,”

“Ha... abang kena jual hari-hari... jangan ponteng-ponteng... kalau orang datang nak beli, tapi tengok abang tak menjual, mesti dia orang geram. Kalau asyik ponteng aje... mesti lama-lama orang menyampah..,” sampuk Shuhaida lagi sebelum sempat emaknya berkata apa-apa.

“Abang taulah... ,” jawab Syamsul  bersahaja.

“Tu nanti kak Mai dah balik ni... tengok-tengok.. abang langsung tak nak buka gerai. Asyik nak duduk dengan dia je...,”

“Hah... ajaklah dia sekali... jual sama-sama. Boleh dia tolong Syam ..,”  kata Makcik Nisah .

“Alah... nak ke dia mak... tak kanlah nak kotorkan tangan dia tu...,” kata Syamsul  dengan nada ragu-ragu. Dia kenal Mai dengan kesombongannya. Dia lebih tau betapa kerasnya hati isterinya itu.

“Abang ni... ada ke cakap macam gitu... Ajak la dulu.. mana tau kalau-kalau dia suka..,” marah Shuhaida dengan sikap terburu-buru Syamsul  menuduh tidak tentu hala.

“Hem... ajakla Mai tu Syam, boleh kenal-kenal orang kampung nanti..,”  kata Makcik Nisah pula.

“Emm... apa ni... ajak Mai ke mana ni...?” tiba-tiba kedengaran suara Mai menyampuk. Terlalu asyik mereka bersembang hinggakan tidak menyedari Mai sudah kembali menyertai mereka di ruang tamu. Nabil pula diam tanpa kata kerana terlalu asyik memamah biskut di tangannya.

“Esok abang nak ajak kak Mai sama-sama jual mee kat gerai dia tu...,” kata Shuhaida sebelum yang lain mampu berkata apa-apa. “Boleh kan kak...?”

“Ida.... tunggu lah dulu... kakak Ida tu baru sampai tadi... biarla dia rehat dulu..,” kata Makcik Nisah perlahan.

“Eh... boleh aje... boleh kan bang?” kata Mai sambil matanya kembali merenung wajah Syamsul. Dan sekali lagi kedua-dua Shuhaida dan Makcik Nisah dapat melihat ada cahaya yang bersinar dalam mata Mai bila dia menatap ke wajah Syamsul.

“Boleh... tapi Mai rehatlah dulu... kalau nak pergi, nanti bagitau abang,” jawab Syamsul. Dan tanpa dia menyedarinya, Mai membalas kata-kata itu dengan senyuman yang paling manis yang mampu diukir.

“Nabil pun nak ikut...,” sampuk Nabil.

“Eh... Nabil nak ikut siapa? Selalunya bila ayah ajak, tak nak pergi...,” tanya Shuhaida sambil tergelak. Dia sedar Nabil berkata tanpa menyedari buah butir apa yang sedang dibicarakan.

“Nak ikut umilah.... pergi naik kereta.... Umi kata esok ... kan umi..?” jelas Nabil sambil matanya mencari anak mata Mai.

Pecah tawa antara semua yang ada. Sudah sah dengan apa yang disangka oleh Shuhaida, Nabil tidak menyedari apa yang dibicarakan oleh mereka. Riuh sekali mereka mentertawakan Nabil yang kelihatan terpinga-pinga. Dan tanpa sedar tawa riang mereka itu menimbulkan kemarahan kepada Wawa yang sedang tercegat di muka pintu. Hanya hentakan kakinya ketika dia berlari menuju ke biliknya sahaja yang menyedarkan semua akan kehadirannya. Dan jelas sekali ia membawa duka dan rajuk di hati. Mai jadi terkedu lagi.

****

Jam sudah menunjukkan ke pukul 11.00 malam. Mai diam di dalam bilik menunggu penuh debar kehadiran Syamsul. Dia tidak tahu samada Syamsul  akan bermalam di bilik ini bersamanya, atau tidur di luar bersama emaknya. Emak mertuanya masih dalam keadaan lemah walaupun lebih sihat berbanding dua minggu yang lalu. Dan menurut Shuhaida waktu makan malam tadi, sejak hari Mai meninggalkan mereka dua minggu yang lalu, setiap hari Syamsul  akan menemani emaknya tidur.

Selepas makan malam tadi Mai mengeluarkan semua hadiah-hadiah yang dibawa pulang. Semua yang menyambut hadiah-hadiah tersebut kelihatan begitu gembira sekali. Nabil tidak melepaskan langsung permainan yang dihadiahkan untuknya. Malah anak itu terlena ketika masih bermain dengan kereta kawalan jauh hadiah dari Mai. Shuhaida pula terus memakai tudung untuk menggayakan kerongsang yang bergemerlapan bila disematkan di  tudungnya dan Makcik Nisah terus memakai baju panas yang Mai hadiahkan untuknya. Hanya Wawa sahaja yang masih belum lagi mendapat hadiahnya kerana hanya berdiam diri di bilik tanpa mahu keluar walaupun dipanggil oleh Syamsul. Syamsul  pula hanya berwajah selamba bila Mai menghulurkan buku nota yang dibelikan buatnya. Dia tidak memberikan apa-apa komen bila mengetahui bahawa Mai sudah tahu akan kegemarannya itu. Cuma matanya sahaja yang menjeling ke wajah Shuhaida kerana dia pasti bahawa adiknya itulah yang memecahkan rahsia tentang minatnya dalam berkarya.

Bila mengingatkan sikap Najwa pula, hati Mai jadi terhiris. Dia tahu dia tidak sepatutnya menyalahkan anak gadis itu kerana membencinya. Pening kepalanya bila memikirkan bagaimana cara untuk dia memenangi hati Wawa. Dia tahu, dia tidak akan pernah mampu untuk mengambil tempat uminya yang telah tiada. Malah tidak pernah dia ingin melakukan sebegitu. Kenangan Wawa yang mungkin terlalu sedikit bersama uminya  menyebabkan anak gadis itu terlalu menyanjung segala apa yang dirasakan terhadap arwah. Dan tidak membenarkan sesiapapun mengambil tempat uminya yang sudah tiada. Kalaulah boleh dia meyakinkan bahawa dia tidak langsung berniat untuk mengambil tempat uminya, pasti Wawa boleh menerimanya. Tapi, bagaimana?

Dia mengeluh perlahan. Buntu rasanya untuk dia memikirkan tentang itu. Lantas dibiarkan saja. Tidak mahu rasanya perkara itu menghantui mindanya. Buat  masa ini ada yang lebih indah untuk dia nikmati. Lantas bibirnya tersenyum sendiri bila mengenangkan saat-saat indah bersama semua ahli keluarga Syamsul tadi. Tiada ternilai rasanya  bila ada yang menghargai sebegitu. Dan dengan senyuman itu dia merebahkan diri lantas terus terlena. Tubuh yang kepenatan kerana memandu dalam jarak perjalanan yang begitu jauh membuatkan dia langsung tidak sedar bila masanya Syamsul  mengambil tempat di sisinya. Malah sedikit pun tidak dia sedari saat tubuhnya dirangkul erat penuh kerinduan. Cuma dia merasa lenanya kali ini cukup selesa. Seolah-olah dia telah kembali ke tempat asalnya. Tempat di mana dia sepatutnya berada.

Sepanjang malam Syamsul  hanya mampu merangkul tubuh lembut itu sambil merenung wajah mulus yang amat dirindukan. Sungguh dia tidak faham mengapa sekuat ini hatinya tertaut pada indahnya perasaan ketika mereka bersama. Biarpun dalam rajuk dan sengketa, kenangan bersama wanita muda ini amat indah dirasakan. Cintakah  ini? Atau semata-mata kerana keinginan naluri lelakinya yang terpaksa dilunasi? Matanya tertancap kepada buku nota  hadiah dari Mai yang baru sahaja diletakkannya di atas meja kecil bersebelahan katil.  Kemudian mata itu kembali merenung ke wajah mulus itu sambil tangannya mencapai buku itu. Perlahan tangannya turut mengambil sebatang pen yang senantiasa ada di dalam cawan di atas meja yang sama.  Dia mula mencoretkan sesuatu di halaman pertama nota itu. Sedar tidak sedar dia telah menyiapkan sebuah sajak. Dibaca dan dibaikinya beberapa kali sehingga merasa puas hati dengan sajak yang baru ditulisnya itu.

Perlahan Syamsul kembali  berbaring di sebelah Mai sambil matanya terus memandang keindahan yang ada di hadapan mata. Dia mengelus wajah mulus itu. Mindanya ligat befikir, cuba mengatur bicara yang selayaknya untuk  dia bertanyakan pada Mai samada dia pulang sendirian atau bersama Irfan. Bila masuk ke bilik tadi, dia sememangnya sudah bertekad untuk mendapatkan penjelasan dari Mai. Sudahkah Mai memberitahu Irfan bahawa dia kini sudah layak untuk diceraikan? Apakah kepulangannya kali ini adalah untuk mengakhiri segala-galanya? Mungkinkah Irfan ada menanti di mana-mana chalet yang berdekatan untuk mempastikan dia ada di sisi Mai apabila mereka sudah berpisah nanti?

Jika saat–saat bersama Mai sudah tiba di penghujungnya, dia tidak mampu untuk berkata apa-apa. Terasa bagaikan terjerut hatiya bila mengenangkan kemungkinan yang berlaku itu. Di saat-saat dia mula mengharapkan ada sesuatu yang indah mampu untuk dikecapinya bersama Mai, ini pula yang bakal berlaku. Sememangnya dia sudah lama tahu saat ini akan tiba. Tetapi tidak pernah dia menyangka sepedih ini perasaan yang bakal dilaluinya.

Perlahan dia menarik Mai ke dalam pelukannya. Mungkinkah dia mampu untuk mempertahankan pernikahan ini? Atau munkinkah dia sudah mula kalah sebelum memulakan pejuangan? Mampukah dia berjuang sedangkan dia tahu kekalahan berpihak kepadanya? Ah... sungguh dia merasa begitu kecewa sekali. Sungguh dia sebenarnya membina harapan yang seindah istana pasir, yang hanya kukuh saat dibasahi air. Namun begitu rapuh bila kering. Mula roboh satu persatu bila angin mula membadai, memusnahkan segala harapan yang dia bina dalam diam.

Dalam diam dia mula berdoa, memohon agar dia tidak akan kehilangan apa yang didambakannya saat ini. Dia tahu dia tidak layak untuk meminta lebih dari apa yang dijanjikan. Malah dia tahu sejak dari hari pertama dia menatap wajah Mai, bukan dia pilihan wanita muda ini. Namun entah mengapa, ada segunung harapan yang dibina dalam diam dan ada selaut impian yang dicipta di luar sedar. Mungkinkah sudah tiba saatnya gunung akan ranap dan laut akan surut?

Dia cuba untuk melelapkan matanya. Namun mana mungkin dia mampu berbuat begitu bila tubuh lembut itu begitu hangat melekat kemas di tubuhnya. Mana mungkin bila hembus nafas itu begitu lembut menampar di dadanya. Dan mana mungkin bila jemari halus itu begitu erat membalas rangkulannya. Baru sahaja dia mula merasakan indahnya kehadiran wanita muda ini di sisinya, perpisahan sudah mula menghantuinya. Bergitu tercalar sekali perasaannya. Dan dia sendiri tidak pasti bagaimana nanti dia mampu untuk menjelaskan segalanya kepada keluarganya. Terutamaya kepada Nabil dan emaknya. Yang pastinya Wawa akan gembira mendengar berita itu nanti.

Ah... Syamsul  mengeluh lagi. Semakin kuat dia mengemaskan pelukannya. Dan dalam lenanya Mai  berkata sesuatu yang tidak difahaminya. Syamsul  cuba memberikan perhatiannya untuk memahami kata-kata itu. Namun ternyata itu hanyalah ucapan manja yang terlahir tanpa sedar. Atau mungkin ditujukan buat Irfan. Terjerut lagi hatinya saat itu.

36 comments:

Laila Hanni said...

Salam untuk semua pembaca,

Kali ni saya uploadkan dua bab sekaligus. Harap berika komen ye..

Sayang dari...
Laila Hanni

Lieynaim mohd noor said...

wahh.. kak terlepas rindu... masing2 pun dah punya cinta.. semoga syam n mai bahagia

Akulah.zaty said...

x cukup la LH.... nk lagi... bila mai nk declare kt irfan n trus dgn syam...:-) tq..

Unknown said...

Harap2 esok akan terungkai persoalan yg dok bermain dlm fikiran Syamsul tu..

Adina Najla said...

Ya Allah.. boleh tak if Irfan keluar dari the whole pic. Please make Syamsul and Mai .. cukup2 laa beban dan perasaan sakit hati ..

eija said...

cian syamsul....bila lah dorg nk btrs trg ttg apa yg dorg rsa.
..

blinkalltheday said...

cepat2 la syamsul tau perasaan mai yg sbnrnye..jgn salah phm kat mai lagi..

Anonymous said...

waaahhhhh..... menyentuh kalbu tul laa.....

Masing2 masih menafikan perasaan kasih sayang yg bercambah...

Syamsul takut nak menyayangi Mai sbb dia sedar drp mula Mai mengahwininya kerana Cina Buta...

Dan Mai juga keliru dgn perasaan di hati, samada nak mulakan hidup baru dgn Syamsul atau kembali kpd Irfan.... Kelirunya.....

ainulrida said...

apa nak kata ya? suka n3 kali n tapi agak berat. simpati pada syamsul. harap mai tetapkan hati un tuk kekal dgn syamsul sebb walau apa tujuan mai kahwin dgn syamsul, syamsul tetap suami mai yg sah dan irfan hanyalah ex husband.
pasal wawa, maikan cikgu sekolah, mesti tahu cara nak tackle hati wawa.
hopefully lepas ni mai akan minta tukar sekolah ke kelantan, bantu syamsul dirikan chalet. tapi rasanya irfan akan buat onar nanti...

yanti ishak said...

sy suka konflik yang ditonjolkan dalam n3 kali ini... cepat2 sambung ye. tq

Anonymous said...

alahai,bestnye...mcm2 ade!..

kak ida said...

pergh..kenapalah mesti membuat andaian sendiri syamsul..dengan kepulangan isteri sebaik Mai tu.. Berikan dia ruang dan peluang utk menyatakan isi hatinya sebelum dengan sinis nya ko memuntahkan kata kata yg akan membuat dia menjauhi ko dan meninggalkan ko dengan rajuknya..
Just go with d flow la..ya..syamsul ngan Mai bila bersama ngan ko.. tanya eluk eluk pasal bekas suaminya irfan dan jgn jump to conclusion sendiri..Mai mmg berhak utk memilih kehidupannya..dah dia balik kg nak bertemu dengan ko jgn lah byk songeh pulak kan..try to tackle her heart..

Anonymous said...

Harap syamsul berterus terang dgn mai begitu gak mai. harap2 mai mengandungle.....

Anonymous said...

Syamsul dah ada perasaan kasih kpd Mai,
moga dia punya keberanian untuk meluahkannya..
sebab antara mereka masih lagi ada tanda tanya
dan prasangka di hati;
mesti ada 2-way communication baru segalanya jelas.
harap Mai minta ditukar sekolah, berdekatan dgn Syamsul dan dpt. menjinakkan hati Wawa yang benci dengannya. Bagi Mai peluang untuk menunjukkan kasih seorang ibu..

Wati said...

Thank you,bila nak di bukukan, saya cuma ada satu aja buku awak, Syurga Diwajahmu.

Anor said...

Semuga perkahwinan mereka berdua akan kekal
sehingga akhir hayat. perniaagaan kecil-kecilan
Syam akan menjadi maju dn akan menjadi usahawan
yg berjaya satu hari nanti dgn berkat kegigihannya
utk memperbaiki kehidupan keluarga. Bagaimana
pun nak Shamsul dgn Maisarah dn Wawa akan
berubah perangai yg dia benci pd ibu tirinya.
cepat sambung lagi ye...

aneesanuraim said...

kesangsian shamsul thdp mai mngkin akan buat hubngan diaorg retak menati belah..Mai pun kena la btegas skit dgn Irfan tu..terus terang pda family..ni dok selindung2..cian dkt shamsul..dh mula ada perasaan kasih dan syg pada mai

Unknown said...

me kasih dek,ilang rindu kat shamsul n mai!jangan rase salah faham akan memisah kan pasangan yg dah mula ade rase cinta di ati masing2.jangan lh syamsul layan emosi tu,sat g nyesal lak!!rase nye cam mai pun tk nak kehilangan syamsul.........buang lah ego,luah kan ape yg terpendam pasti ketemu ape yg tersirat dari tunggu ape yg tersurat!agar jodoh syamsul n mai diberkati ALLAH SAW.Amin

Anonymous said...

kak, nex entry :) best

Unknown said...

n3 dari SCB slalu xmenghampakan. main emosi.

tp kalau kak hanni perbanyakkan sikit dialog lg best!

heeehehe.

maybe mlm masa dorang bagi hadiah tu... ada dialog sikit, mesti meriah.

peace.

laila hanni said...

tq semua... saya appreciate all the comment. nanti mana yang perlu akan diperbaiki... luv u all...

laila hanni

mila said...

bestttt... tq hani

iezzlucky said...

bertahan syamsul.... irfan g jauh2 dr idup dorg.. wawa ni sampe bila ati nk keras mcm batu... pape pn best...

MaY_LiN said...

hope mai dapat terangkan kat sham..
pujukla sham tu
comel nabil

madyzah said...

laila, saya sentiasa mengikuti karya saudari. sangat kagum dan berharap agar mai dan syamsul akan mengecapi kebahagiaan yang selayaknya. meskipun tulisan laila mengandungi unsur saspens tapi saudari bijak mengadun tulisan laila dengan baik dan kemas. saya suka. cuma satu yang saya nak komen, kenapa nama arwah isteri syamsul berubah-ubah? pada bab awal, suhaila kemudian suzana dan kali ni madihah pulak? harap laila tolong tengok-tengokkan ye? itu je komen saya. selebihnya saya doakan semoga laila maju dalam penulisan ini. yes laila!

muda_13 said...

suke sangat sebab k Laila dah hadirkan n3 baru yang cukup panjang, rasa puas hati bace n3 kali ni, hehe. makin menarik, pembicaraan dua hati ni, bila la nak terungkai rindu dendam antara Syam dan Mai, thanks k Laila, ^_^.

Unknown said...

best sangat kalau mai n syamsul luahkan isi hati mereka, mai tak perlu jaga hati irfan n familynya lagi...terus terang adalah yang terbaik...

misza said...

novel ni ada kelainan ckit. mula baca di penulisan2u, terus cari blog penulisnya. cerita best cuma nama watak isteri syamsul tu ada kesilapan. mungkin sebab LH banyak tulis cerita yang lain. semoga akan dibuat dalam versi cetak. ^-^

has_1309 said...

Laila, setiap kali ada n3 baru utk SCB sy amat teruja.

Bait-bait kata yang ada dlm plot dan cerita ini membuatkan saya terharu. Sesungguhnya sy amat berbangga dengan awak kerana mampu bermain dgn emosi. Sy sendiri bila baca setiap patah kata yg ada, hati ini bagai meruntun kesedihan seperti sy adalah Syamsul. Seorang lelaki yg tidak punya apa-2 kemewahan yang mampu diberikan kepada orang yg bergelar isteri. Hanya secebis kasih, sayang dan cinta yang hakiki untuk insan tersayang.

X sabar nk tggu kisah selanjutnya, wasalam.

Seorg wanita... said...

Thanks K.Laila...:-)

berat sikit perasan ni baca entry kali ni sebab banyak bermain dgn perasaan yang tak terluah..yg membaca pun terasa berat hati dgn keadaan Mai dan Syamsul yg masih belum settle..

Hopefully Mai kuatkan hati dan semangat dan dapat merubah suasana di sana, gunakan sepenuhnya peluang di cuti sekolah utk dekati, ambil hati dan serasikan diri terutamanya dengan Syamsul dan Wawa..

K.Laila, nak request part2 happy & sweet times diorang di kampung... :-) TQ!

laila hanni said...

salam semua...

mula-mula kak laila nak jawab tentang nama arwah isteri syamsul.pada mulanya masukkan nama suzana, lepas tu baru perasan nama tu sama dengan nama kawan Unie dalam SYKT, jadi kak laila tukar kepada madihah. Insyaallah tak tukar lagi dah lepas ni..

tentang dialog dalam cerita, memang susah nak buat sebab kedua-dua mai dan sy sebenarnya memendam rasa. rahsia perkahwinan tu cuma dia, irfan dan syamsul saja yang tahu. so, bila tension dan buntu, masing-masing tak berani nak citer pada sesiapa. sebab tu lebih pada bisikan hati sendiri..

banyak dugaan lagi yang akan mereka tempuhi. tapi buat masa ni, kasi diorang happy dulu dengan apa yang ada... penat betul buat citer ni...

thanks semua kerana beri kak laila kekuatan untuk menyudahkannya.... appreciate it so much... terharu rasanya

Anonymous said...

Terujanya akak coz dua bab sekaligus. The story has developed. Good!

Aduhai.. benarlah bila komunikasi gagal, syak wasangka akan bermukim buat minda mereka-reka cerita akhirnya hati sendiri yang penasaran. Mainan emosi dua perasaan yang sangat baik diolah Laila. Mata bertentang namun tak kesampaian bicara hati.. Akak memang amat meminati cerita ini.

Tahniah jua untuk Semalam Yang KuTinggalkan.

laila hanni said...

Thanks Anon... :) harap akan suka juga pengakhirannya...

Kak Sue said...

Syamsul luahkan apa yang terbuku di hati ni sementara Mai bercuti di kampung.... jangan buat andaian sendiri.... karang merana diri ....

teja melayu@didi_kruz said...

best2...nak lagi...biarlah syamsul hilang ragu kat mai...

Anonymous said...

bla nk smbung, xsbr nk bca seterusnya....best sgt....

Post a Comment

Popular Posts