Bab 26
Seminggu Syamsul merajuk hinggakan satu pun panggilan telefon
dari Mai tidak diangkatnya. Sudah puas Mai mendail, namun sedikit pun tidak
diendahkan. Gundah di hati Mai langsung tidak mampu diluahkan kepada sesiapapun
sehinggakan dia jadi pening memikirkan sikap suaminya ini. Lalu Mai cuba
menenangkan hatinya dengan pergi membeli-belah barang-barang keperluan yang
akan dibawa pulang ke kampung Syamsul
nanti. Satu set pancuran air panas untuk diletakkan di dalam bilik mandi, kereta mainan kawalan jauh
untuk Nabil, sebentuk kerongsang untuk Shuhaida dan sehelai baju panas untuk
emak. Yang memeningkan kepalanya ialah apa yang boleh dibelikan untuk Wawa.
Anak itu tidak sukakannya, jadi untuk membeli sesuatu buat Wawa dia perlu tahu
apa minat anak itu. Hampir buntu dia
memikirkannya. Akhir sekali setelah berbincang dengan jurujual di tempat dia
membeli belah, Mai membeli sebuah beg sandang bermotifkan barbie doll yang
berwarna pink. Menurut jurujual, selalunya anak seusia Wawa akan suka beg yang
sebegitu. Mungkin nanti beg itu boleh digunakan untuk membawa barang keperluan
Wawa bila dia mengajak Wawa berjalan-jalan di waktu cuti sekolah nanti.
Tersenyum bila mengingatkan Wawa yang tersenyum riang bila bersamanya nanti
membeli-belah barangan keperluan gadis sunti itu. Ya, Mai memasang tekad untuk
memenangi hati Wawa. Sekurang-kurangnya mereka mungkin boleh berkawan rapat
nanti.
Kebuntuan melanda lagi apabila
memikirkan apakah buah tangan yang patut dia belikan buat Syamsul. Dia mahu
membelikan sesuatu yang cukup istimewa buat lelaki itu sebagai tanda ucapan
maaf darinya. Namun apa? Apa yang mampu mewakilkan kata-kata maaf yang ingin
disampaikan? Untuk membeli pakaian, dia merasakan Syamsul tidak begitu perlukan semua itu. Lagipun dia
tidak begitu pasti saiz yang sesuai kerana Syamsul perlu mencuba terlebih dahulu. Akhirnya
selepas pening dia memikirkan apa yang
patut dibelikan, Mai singgah di sebuah kedai alat tulis. Matanya melilau
mencari sesuatu yang sesuai untuk Syamsul. Dan akhirnya dia menemui sesuatu.
Sebuah buku catatan yang dirasakan cukup sesuai sekali untuk Syamsul digunakannya untuk mencoret puisi-puisi yang
ditulisnya. Ingatannya kembali kepada buku catatan lama Syamsul yang penuh tertulis puisi-puisi yang cukup
indah. Buku itu hanyalah sebuah buku latihan sekolah milik Wawa yang tidak
habis digunakan oleh anak itu. Dan semua puisi-puisi itu telah dia salin semula
dalam komputer ribanya. Terlintas di hatinya kemungkinan untuk dia membawa
hasil karya itu kepada penerbit. Kemungkinan ada penerbit yang akan berminat
untuk menerbitkannya. Dan pasti itu akan dijadikan satu kejutan darinya buat
Syamsul. Bibirnya kembali menguntumkan semyum bila membayangkan wajah
Syamsul yang pastinya gembira jika hasil
karyanya di terbitkan. Ya... dia sekali lagi memasang tekad untuk mengusahakan
itu.
Dia tahu, Syamsul masih merajuk dan marah kerana keputusannya
mengikut Irfan pulang ke kampung bekas suaminya itu minggu lepas. Dia juga rasa
cukup bersalah, namun dia sudah berjanji dengan Irfan. Dan kalau boleh Mai
tidak mahu menimbulkan tanda tanya di hati kedua emak dan ayah mertuanya jika
Irfan balik berseorangan. Pasti orang tua itu marah dan kecewa dengan
perjanjian yang dibuatnya itu. Silap haribulan orang tua itu boleh terkena
serangan jantung pula nanti bila mendengarkan semua insiden hitam yang berlaku
dalam hidupnya itu.
Semua buah tangan itu disimpan
rapi di dalam bonet keretanya sehari sebelum hari perjalanan pulang. Cukup
teruja sekali dirasakan. Bila tiba harinya Mai jadi lebih teruja. Dia tahu
perjalanan itu pastinya amat panjang, namun dia bagaikan tidak hiraukan itu
semua. Dia akan memandu secara berkonvoi bersama dengan dua orang guru
sekolahnya yang berasal dari Kelantan, Cikgu Hashim dan Cikgu Mokhtar. Ini akan
membantunya dari kemungkinan sesat di perjalanan nanti. Untuk mengurangkan
bosannya, Cikgu Hashim, telah mencadangkan untuk menumpangkan anak gadisnya
yang sedang berada di tingkatan lima untuk menemaninya. Dan tanpa banyak soal,
Mai bersetuju. Riuh anak gadis itu bertanyakan itu dan ini kepada Mai di
sepanjang perjalanan, membuatkan dia tidak sempat merasa letih dalam perjalanan
yang panjang itu. Dia telah mengambil kputusan untuk tidak menghubungi
Syamsul untuk memberitahu tentang
kepulangannya itu. Dia ingin membuat kejutan kepada semua.
Semakin dekat untuk tiba ke
destinasi, makin teruja jadinya. Cikgu Hashim yang sepatutnya pulang ke rumah
emaknya di bandar Kota Bharu telah begitu baik sekali menunjukkan jalan untuk
dia pulang ke kampung Syamsul yang
terletak di Kampung Melawi, dalam daerah
Bachok. Apabila keretanya masuk ke kawasan kampung Syamsul, debar di hati
semakin menggila. Apa penerimaan Syamsul
terhadap kepulangannya itu nanti? Marahkah? Atau mungkinkah dia akan
disambut penuh rindu. Saat itu, detik-detik indah bersama Syamsul di lapangan terbang dua minggu lalu mula
bermain di matanya. Sungguh bahagia dirasakan bila mengingatkan bagaimana jari
jemari mereka bertaut. Bagaikan masih terasa kehangatan tubuh Syamsul yang menjadi tempat sandarannya semasa mereka
menunggu sementara penumpang dipanggil masuk ke balai berlepas. Walaupun ketika
itu, saat berlalu tanpa sepatah kata, namun terlalu indah dirasakannya. Sungguh
tidak mampu dia untuk menggambarkan perasaan itu dengan kata-kata.
Ketika Mai tiba di perkarangan
rumah Syamsul kira-kira jam enam petang,
kelihatan Nabil sedang bermain di halaman bersama beberapa orang teman.
Termanggu seketika anak kecil itu ketika melihat keretanya berhenti di hadapan
rumah. Wawa yang juga sedang bermain dengan kawan-kawan perempuannya turut sama
berhenti sambil memerhatikan kereta Mai. Apabila dia melangkahkan kakinya
keluar dari kereta, teriakan gembira dari Nabil membuatkan ada genang airmata
di pinggir matanya. Sungguh dia merasa terharu dengan sambutan begitu. Tubuh
kecil yang meluru mendapatkannya, di rangkul erat.
“Umi balik....,” jerit Nabil
riang. “Chu Ida... umi balik...,” jeritnya lagi memberitahu Shuhaida yang
berada di atas rumah.
Seketika kemudian wajah
Shuhaida menjengah dari jendela tempat dia selalunya duduk untuk menjahit manik
pada baju-baju yang ditempah. Demi melihatkan Mai, Shuhaida juga tidak mampu
membendung kegembiraannya lantas segera
meluru turun ke halaman untuk menjemputnya. Cuma Wawa sahaja yang terus diam
sambil memandangnya dari jauh.
Setelah berpelukan melepaskan rindu, Mai terus
mendekati MPV Cikgu Hashim untuk mengucapkan terima kasih. Anak gadis Cikgu Hashim
sudah kembali ke MPV ayahnya sejak mereka mula sampai lagi. Cikgu Hashim menolak pelawaannya untuk
singgah kerana ingin terus pulang ke rumah keluarganya di Kota Bharu. Setelah
berjanji untuk datang bertandang bila-bila masa sebelum pulang semula ke Shah
Alam, MPV Cikgu Hashim bergerak meninggalkan kawasan rumah Syamsul. Cepat-cepat
Mai naik ke atas rumah untuk bertemu dengan emak mertuanya yang sedang berehat
di ruang tamu rumah. Wanita tua itu sedang duduk di atas tilam kekabu sambil
tersenyum memandang kepadanya. Bila dia memeluk tubuh lemah itu, terasa erat
sekali kedua tangan yang membalas pelukannya. Dan bila kedua pipinya dicium
mesra, dia tahu, dia tidak mahu kehilangan rasa yang menyelubungi hatinya
ketika itu. Ah... cukup dia merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dengan
sambutan terhadap kepulangannya. Namun, tetap debaran di hati tidak mahu lenyap
selagi wajah yang di carinya belum lagi memenuhi ruang pandangannya.
“Abang tak balik lagi kak...,”
kata Shuhaida bila melihatkan Mai bagaikan tercari-cari.
“Oh.... ,” jawab Mai gugup.
Sungguh dia tidak menyangka yang perlakuannya itu tidak terlepas dari pandangan
mata Shuhaida. “Dia ke mana? ” tanya Mai perlahan.
“Eh... akak tak tahu?”
“Tahu apa..?”
“Abang sekarang ni buka gerai
kat tepi jalan nak masuk ke kampung ni. Kalau akak perasan tadi, ada gerai kat
simpang jalan tu, dia jual air tebu, air kelapa dengan mee hoon sup kat
situ...,”
“Ia?” kata Mai separuh
terkejut. “Dah lama ke?”
“Baru je seminggu..., itupun
sebab gerai tu kosong. Dia sewa gerai Kak Melah, tuan punya gerai tu... sebelum
ni dia yang berniaga kat situ. Tapi lepas anak dia bersalin, dia kena jaga
cucu...” kata Shuhaida sambil senyum.
“Oh....,”
“Sekejap lagi balik la tu...,”
kata Makcik Nisah perlahan. Matanya memandang ke wajah Mai yang kelihatan agak
terkejut dengan berita ini. Terasa agak hairan bila melihatkan Mai seperti
tidak tahu tentang hal ini. Adakah Syamsul
tidak memberitahunya? Tidak mungkin mereka tidak berhubung antara satu
sama lain? Dan tidak mungkin Syamsul tidak membincangkan hal ini dengan isterinya.
“Kak Mai tentu penat..
rehatla.. nanti Ida keluarkan barang dari kereta...”
“Umi... tu kereta umi ye?”
celah Nabil.
Mai mengalih pandang kepada
anak kecil yang tersandar manja di sisinya. Tersenyum memandang ke dalam mata
yang sedang galak merenung ke wajahnya. Lalu dia mengangguk. Lantas mata itu
kelihatan makin bercahaya. Dan senyum di bibir anak kecil itu mekar bak kembang
setaman.
“Besarnya kereta umi.... boleh
Nabil naik nanti... kita pergi pasar malam..?”
Senyum Mai juga turut bertambah
mekar. Lantas dia mengangguk.
“Esok nak?” tanya Mai sambil
menganggukkan kepalanya. Tambah mekar lagi senyuman yang meniti di bibir Nabil.
“Nak... nak...nak...,” kata
Nabil dengan nada cukup girang, buat Mai makin ingin terus tersenyum. Dan dia
pasti kini... tidak salah dia mengambil keputusan untuk menghabiskan cutinya di
sini. Seribu kebahagiaan menantinya di sini.
****
Syamsul memasukkan semua
peralatan gerainya ke dalam bilik kecil yang digunakan untuk menyimpan barang-barang
keperluan perniagaannya. Jam di telefon bimbitnya menunjukkan ke pukul 6.00
petang. Sudah kebiasaannya dia akan menutup gerai itu pada waktu-waktu begini.
Cukup masa untuk dia pulang ke rumah dan bersiap untuk ke masjid bagi
menunaikan solat maghrib nanti.
“Dah habis jualannya Syam?”
kedengaran suara lelaki menegurnya dari belakang. Cepat dia berpaling dan
dilihatnya Pak Da Soh sudah memberhentikan basikalnya di hadapan gerai. Terlalu
dia asyik dengan melayan angan hinggakan tidak sedar lelaki itu mendekatinya.
Senyuman Pak Do Soh cuba disambut dengan mesra sekali. Lelaki yang ada bau-bau
bachang dengannya itu sememangnya sering menjadi tempat rujukannya dalam apa
juga masalah yang dihadapinya. Namun masalahnya kali ini sedikit pun dia tidak
mampu untuk mengadu pada lelaki ini. Mana mungkin dia mampu menceritakan
masalah dia dengan Mai yang satu hari nanti akan berpisah, lantas akan
menjatuhkan maruah dirinya sebagai seorang lelaki. Dia tidak sanggup bergelar
dayus. Namun, bagaimana untuk dia meluahkan semua perasaannya itu? Dan kepada
siapa? Untuk dipendamkan saja, ia akan terus membara bagaikan api dalam sekam.
Terbakar dalam diam, lantas memusnahkan
diri dari dalam.
“Dah Pak Do,” jawabnya ringkas
sambil senyum meniti bibir. Senyum yang bagaikan dibuat-buat demi untuk menjaga
hati orang tua di hadapannya itu. Namun riak wajah yang menggambarkan keresahan
hati itu langsung tidak lepas dari pandangan mata Pak Do Soh. Lantas mengundang
segaris senyum yang terbersit di bibir lelaki tua itu. Seolah-olah mengerti
akan maksud resah itu.
“Aku nampak tadi ada kereta
baru kat rumah engkau Syam? Rasanya bini kau yang bawak...,” kata Pak Do Soh
sambil matanya melirik ke wajah Syamsul. Mencari rindu yang tersimpan diam di
situ.
Ternyata ada riak terkejut di
wajah Syamsul. Dia tidak menyangka sama
sekali Mai akan pulang dengan kereta. Sememangnya dia sedang tertunggu-tunggu
Mai menelefonnya, menyatakan dia sekarang berada di lapangan terbang ataupun di
stesen bas, meminta untuk dia mengambilnya di sana. Langsung tidak dia
menyangka Mai akan memandu pulang. Sendirian... atau.. mungkin.....?
“Dia balik sendiri ke Pak Do?”
cepat dia bertanya dengan wajah penuh kebimbangan, juga terselit seribu
keraguan. Mungkinkah Irfan ada menemaninya? Dia tahu bagaimana kuatnya cinta
mereka. Kalau tidak, tidak kan mungkin mereka sanggup meminta dia mengahwini
Mai hanya kerana untuk kembali bersama.
“Hem... nampak macam sendiri...
tak taulah pulak kut-kut ada orang lain yang balik sekali. Nampak macam
seorang-seorang je tadi..,”
“Dah lama?”
“Eh... masa Pak Do lalu tadi
baru je dia sampai.. baru je naik ke atas rumah..,”
“Oh.... kalau macam tu.. biar
saya balik dulu ye Pak Do..?”
“Hah... baguslah kalau macam tu. Pak Do pun nak pergi rumah
Haji Nawi ni. Nak beritau dia esok ada orang minta buat sembahyang hajat..”
“Siapa Pak Do...?”
“Pak Din tu... dia baru beli
motorbot baru,”
“Oh...,” kata Syamsul sambil menganggukkan kepalanya.
Pak Din atau Pak Nordin adalah
merupakan penduduk kampung yang paling kaya. Punya lima buah bot laut dalam yang memberi peluang
kerja kepada anak-anak kampung yang sanggup
meredah laut untuk mencari rezeki. Dulu, waktu dia muda dan kuat, dia
juga pernah bekerja dengan Pak Din. Pernah berhempas pulas dengan ombak dan
badai demi untuk sesuap nasi. Malah ketika dia mengahwini Madihah, dia masih
lagi seorang nelayan. Kerja itulah yang menyebabkan dia dipandang hina oleh
kedua ibu bapa Madihah. Sehinggakan segala tingkah lakunya menjadi bahan
cemuhan kedua ibu bapa mertuanya itu. Perkahwinan mereka memang tidak direstui
kerana harta dan pangkat. Ibu dan bapa Madihah terpaksa menerimanya kerana
cinta Madihah yang teramat dalam kepadanya. Dan kerana itu jugalah dia
memberanikan diri untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur. Demi untuk mendapatkan
harta seperti yang dikehendaki oleh ibu dan bapa Madihah. Namun bila Madihah
meninggal semasa melahirkan Nabil sedang dia pula dalam keadaan koma akibat
kemalangan di Kuala Lumpur, dia di cemuh lagi. Sehingga sekarang ibu dan bapa Madihah
seperti tidak ingin melihat ke wajahnya apabila terserempak. Kebetulan mereka
tinggal di kampung yang sama.
Dan kini, mengahwini Mai dia
mengalami nasib yang lebih buruk lagi. Kalau dulu, walapun dirinya tidak
diterima oleh keluarga arwah isterinya, setidak-tidaknya Madihah mencintainya
dengan sepenuh hati. Tapi bersama Mai, dia bagaikan dihina , bagaikan dayus
dibuat oleh Mai, kerana ingin kembali kepada Irfan. Dia jadi bingung
sebenarnya. Untuk apa Mai kembali ke
kampung kecil ini untuk menghabiskan cuti sekolahnya. Apa yang dia mahu? Ingin
mempercepatkan proses perceraian mereka? Mungkinkah begitu? Kemungkinan itu ada
kerana Mai tahu bahawa dia tidak akan
dapat ke Shah Alam untuk menyelesaikan semuanya di sana. Berat sekali keluhan
yang dilepaskan bila mengingatkan itu semua.
Dan entah mengapa, bagai ada satu rasa ragu untuk mempercayai bahawa Mai
memandu sendirian untuk pulang ke sini. Bukankah jaraknya terlalu jauh dari
Shah Alam ke Kelantan? Mana mungkin Mai cukup kuat untuk berbuat begitu,
terutamanya sendirian.
Diamnya Syamsul membuatkan Pak Do Soh bagaikan dapat membaca
keresahan hati anak muda itu. Walaupun dia tidak pasti mengapa adanya resah
itu, dia pasti ia tentu sekali
disebabkan oleh perkahwinan barunya ini. Terlalu banyak misteri tentang
perkahwinan ini. Kalau hubungan ini
normal, tak mungkin keduanya tidak pulang selepas majlis perkahwinan mereka
dulu. Walaupun emaknya berada dalam keadaan yang kurang sihat, tidak mungkin
Makcik Nisah tidak teringin untuk melihat menantunya disambut dalam satu majlis
walaupun sederhana. Pak Do Soh bagaikan yakin, ada sesuatu di sebalik
perkahwinan ini. Tapi apa agaknya? Semua itu buat dia tertanya-tanya. Yang
pasti, suatu hari nanti dia akan pastikan Syamsul menceritakan semuanya kepadanya. Mungkin
dengan menceritakan segalanya mampu buat keresahan anak muda ini hilang.
Mereka kemudiannya berpisah
menuju ke arah tuju masing-masing. Syamsul
cuba sedaya mungkin untuk menenangkan dadanya yang berdebar kencang.
Terlalu banyak persoalan yang bermain di mindanya sehinggakan waktu tiba di
rumah, dia masih belum mendapat jawapannya. Dan bila tiba di rumah, kereta Mai
yang terparkir di hadapan rumahnya membuktikan bahawa benar apa yang dikatakan
oleh Pak Do Soh. Mai pulang dengan memandu kereta. Sendiriankah atau berteman?
Cukup dia tidak mahu memikirkan tentang kemungkinan itu.
Bab
27
Syamsul
mengeluh perlahan meihatkan kereta Mai megah diparkir di hadapan rumahnya.
Entah mengapa hatinya kuat mengatakan bahawa Mai pulang bersama Irfan. Mana mungkin
isterinya itu cukup kuat untuk memandu dari Shah Alam ke Kota Bharu. Tidak
mungkin dia akan mampu tiba dalam perjalanan yang sejauh ini sendirian dan
dalam perjalanan yang tidak pernah dilaluinya.
Perlahan
dia memarkirkan motosikal buruknya di sebelah kereta Mai dan naik ke rumah.
Sedang dia menapak naik di tangga rumah, muncul wajah kecil Nabil di pintu
rumah. Ternyata riak girang di wajah anak kecil itu tidak mampu dinafikannya.
Perasaan marah dan kecewa yang bertandang di hati sejak tadi cuba untuk
disembunyikan. Cuba untuk memaniskan senyumannya.
“Ayah..
umi balik yah....,” kata Nabil sambil melompat dari pintu rumah ke beranda,
terus ke dalam pelukannya. Melihatkan kegembiraan anak kecil itu, hatinya jadi
sejuk. Lantas dipeluk dan diusapnya kepala Nabil dengan penuh kasih sayang.
Saat ini biarlah dia buang jauh perasaan marahnya buat seketika. Kegembiraan
Nabil adalah keutamaannya.
“Mana?”
“Kat
atas.. tu...,” kata Nabil sambil menundingkan jari telunjuknya yang kecil ke
arah Mai yang kelihatan sedang bersila berhampiran emaknya. Pada masa yang
sama, Wawa turut sama menyertai mereka di beranda. Riak keruh wajahnya
menunjukkan tanda protes di hatinya.
“Nabil,
kan akak dah cakap... dia bukan umi kita...,” katanya dengan marah.
Terpinga-pinga
Nabil dan Syamsul memandang ke wajah
anak gadis itu. Terkejut sekali mereka dengan perlakuan kasar Wawa ketika itu.
“Wawa...,”
kata Syamsul dalam nada memberi amaran.
Sungguhpun saat itu ada rasa marah terhadap Mai, namun dia tidak mahu anaknya
bersikap sedemikian terhadap ibu tiriya. Sebagai anak, tiada lain yang perlu
dilakukan selain dari menghormati kedua orang tuanya. Tiada kompromi untuk itu.
Wawa
hanya menjeling tajam ke arah ayahnya. Langsung dia tidak menghiraukan riak
marah di mata Syamsul. Terus berpaling kembali untuk turun ke halaman untuk
menyambung kembali aktivitinya bersama teman-teman. Namun jelas sekali moodnya
sudah berubah. Tiada lagi terasa ingin ketawa. Hatinya terasa begitu terhiris
dengan sikap ayahnya yang berpihak kepada perempuan itu.
Mata
Syamsul kembali menatap wajah Mai yang
sedang menyaksikan semua itu dari dalam rumah. Dapat dia melihat riak sedih di
wajah Mai dengan insiden kecil itu. Namun dia cuba buat tidak endah dengan
semua itu. Biarlah Mai terasa hati dengan perlakuan Wawa tadi. Biar dia juga
turut merasakan seperti yang orang lain rasakan. Merasakan sakit bila di sentuh
hatinya.
Perlahan
kakinya melangkah naik melepasi bendul pintu. Mata mereka terus bertatapan dan tanpa bicara. Tatapan itu
meluahkan rasa rindu yang berkecamuk dalam hati. Dua minggu yang lalu mereka
berpisah dengan debar hati yang begitu indah sekali. Dan hari ini mereka
kembali bertemu dengan debar yang sama. Namun ada sesuatu yang mencalarkan
perasaan itu ketika ini hinggakan terasa bagaikan tidak berani untuk mereka
menikmati indahnya perasaan itu.
Dengan
teragak-agak Mai bangun untuk menyalami tangan suaminya. Ternyata kucupan pada
jari-jemari kasar itu bagaikan mengembalikan kesyahduan di hatinya. Ya, dia
tidak mahu kehilangan rasa ini. Dia ingin rasa ini terus hidup di hatinya.
Suatu perasaan indah yang tidak pernah dirasakan sepanjang tujuh tahun bersama
Irfan. Tidak mahu dia melepaskan perasaan ini. Tidak ....
“Abang...,”
dilembutkan tutur bicaranya buat suaminya itu. Dan saat itu juga bagai ada
salji yang menyelubungi hati Syamsul
bila mendengarkan sapaan lembut itu. Lantas saat indah yang mereka lalui
semasa di lapangan terbang dua minggu lalu kembali bersketsa di mindanya.
Membuatkan dia mengeluh perlahan. Melepaskan
lelah yang rasanya tidak lagi mampu dibendung sejak Mai memberitahunya
yang dia terpaksa pulang ke rumah bekas emak mertuanya bersama Irfan.
Perlakuan
antara pasangan suami isteri itu tidak lepas dari pandangan mata Makcik Nisah
dan Shuhaida. Masing-masing menguntum senyum di bibir kerana kini mereka
sama-sama memahami punca keresahan yang menghantui Syamsul selama dua minggu ketiadaan Mai. Namun Nabil
yang masih belum mengerti rindu yang terpamer jelas di wajah kedua ibubapanya
itu terus memecahkan suasana syahdu itu. Anak kecil itu melompat-lompat untuk
mendapatkan perhatian kedua pasangan suami isteri itu. Membuatkan mereka
kembali tersedar dari indahnya perasaan sewaktu tenggelam dalam suasana syahdu
yang seketika itu.
“Umi..
Nabil nak air...,” kata Nabil sambil melompat.
Mai
tahu, bukan air yang anak kecil itu perlukan sangat ketika itu, tetapi dia
inginkan perhatian dari Mai. Lantas Mai tersenyum saat menyedari keadaan itu.
“Ok...
jom kita pergi ke dapur,”
“Nabil....
umi kan baru sampai... penat lagi tu... mari sini, Su Ida ambilkan,” tawar
Shuhaida.
“Tak
nak ah ngan Chu Ida... nak ngan umi jugak...,” tegas Nabil cuba mempertahankan
kehendaknya.
“Tak
apa Ida, akak pergi dengan Nabil,” kata Mai lantas memegang tangan anak kecil
itu. Matanya kembali menatap wajah Syamsul. “Abang nak air jugak?” sambungnya
sambil dilembutkan lagi suaranya. Dia sendiri tidak menyedari perlakuan spontan
itu.
“Tak...
abang nak mandi,” jawab Syamsul yang
buat seketika tenggelam kembali dalam keindahan mata bening yang menatapnya
penuh syahdu. Dan untuk seketika mereka berbalas senyum sebelum Mai terpaksa
akur mengikut langkah Nabil yang menarik tangannya ke dapur.
“Abang...
nanti janganlah garang lagi ye... Kak Mai dah balik tu...,” usik Shuhaida.
Syamsul Cuma mencemikkan mukanya sambil
menyembunyikan senyum yang bagaikan ingin sekali menghiasi bibirnya.
“Macam
mana jualan hari ni Syam?” pertanyaan makcik Nisah mengembalikan dia ke alam
nyata semula.
“Emmm...
baik mak... semuanya habis. Cuma air batu campur dengan air kelapa tak berapa
laku sangat...,”
“
Ye lah... abang ni pun. Hujan-hujan ni orang tak minum sangat air batu, sejuk
la..,” sampuk Shuhaida.
“Tapi
mee sup tu laku. Banding dengan semalam,
semuanya habis hari ni. Orang dah mula tahu yang Syam jual makanan tu. Ada yang
suruh Syam tambah sebab belum pukul lima lagi dah habis,”
“Ha...
abang kena jual hari-hari... jangan ponteng-ponteng... kalau orang datang nak
beli, tapi tengok abang tak menjual, mesti dia orang geram. Kalau asyik ponteng
aje... mesti lama-lama orang menyampah..,” sampuk Shuhaida lagi sebelum sempat
emaknya berkata apa-apa.
“Abang
taulah... ,” jawab Syamsul bersahaja.
“Tu
nanti kak Mai dah balik ni... tengok-tengok.. abang langsung tak nak buka
gerai. Asyik nak duduk dengan dia je...,”
“Hah...
ajaklah dia sekali... jual sama-sama. Boleh dia tolong Syam ..,” kata Makcik Nisah .
“Alah...
nak ke dia mak... tak kanlah nak kotorkan tangan dia tu...,” kata Syamsul dengan nada ragu-ragu. Dia kenal Mai dengan
kesombongannya. Dia lebih tau betapa kerasnya hati isterinya itu.
“Abang
ni... ada ke cakap macam gitu... Ajak la dulu.. mana tau kalau-kalau dia
suka..,” marah Shuhaida dengan sikap terburu-buru Syamsul menuduh tidak tentu hala.
“Hem...
ajakla Mai tu Syam, boleh kenal-kenal orang kampung nanti..,” kata Makcik Nisah pula.
“Emm...
apa ni... ajak Mai ke mana ni...?” tiba-tiba kedengaran suara Mai menyampuk.
Terlalu asyik mereka bersembang hinggakan tidak menyedari Mai sudah kembali
menyertai mereka di ruang tamu. Nabil pula diam tanpa kata kerana terlalu asyik
memamah biskut di tangannya.
“Esok
abang nak ajak kak Mai sama-sama jual mee kat gerai dia tu...,” kata Shuhaida
sebelum yang lain mampu berkata apa-apa. “Boleh kan kak...?”
“Ida....
tunggu lah dulu... kakak Ida tu baru sampai tadi... biarla dia rehat dulu..,”
kata Makcik Nisah perlahan.
“Eh...
boleh aje... boleh kan bang?” kata Mai sambil matanya kembali merenung wajah
Syamsul. Dan sekali lagi kedua-dua Shuhaida dan Makcik Nisah dapat melihat ada
cahaya yang bersinar dalam mata Mai bila dia menatap ke wajah Syamsul.
“Boleh...
tapi Mai rehatlah dulu... kalau nak pergi, nanti bagitau abang,” jawab Syamsul.
Dan tanpa dia menyedarinya, Mai membalas kata-kata itu dengan senyuman yang
paling manis yang mampu diukir.
“Nabil
pun nak ikut...,” sampuk Nabil.
“Eh...
Nabil nak ikut siapa? Selalunya bila ayah ajak, tak nak pergi...,” tanya
Shuhaida sambil tergelak. Dia sedar Nabil berkata tanpa menyedari buah butir
apa yang sedang dibicarakan.
“Nak
ikut umilah.... pergi naik kereta.... Umi kata esok ... kan umi..?” jelas Nabil
sambil matanya mencari anak mata Mai.
Pecah
tawa antara semua yang ada. Sudah sah dengan apa yang disangka oleh Shuhaida,
Nabil tidak menyedari apa yang dibicarakan oleh mereka. Riuh sekali mereka
mentertawakan Nabil yang kelihatan terpinga-pinga. Dan tanpa sedar tawa riang
mereka itu menimbulkan kemarahan kepada Wawa yang sedang tercegat di muka
pintu. Hanya hentakan kakinya ketika dia berlari menuju ke biliknya sahaja yang
menyedarkan semua akan kehadirannya. Dan jelas sekali ia membawa duka dan rajuk
di hati. Mai jadi terkedu lagi.
****
Jam
sudah menunjukkan ke pukul 11.00 malam. Mai diam di dalam bilik menunggu penuh
debar kehadiran Syamsul. Dia tidak tahu samada Syamsul akan bermalam di bilik ini bersamanya, atau
tidur di luar bersama emaknya. Emak mertuanya masih dalam keadaan lemah
walaupun lebih sihat berbanding dua minggu yang lalu. Dan menurut Shuhaida
waktu makan malam tadi, sejak hari Mai meninggalkan mereka dua minggu yang
lalu, setiap hari Syamsul akan menemani
emaknya tidur.
Selepas
makan malam tadi Mai mengeluarkan semua hadiah-hadiah yang dibawa pulang. Semua
yang menyambut hadiah-hadiah tersebut kelihatan begitu gembira sekali. Nabil
tidak melepaskan langsung permainan yang dihadiahkan untuknya. Malah anak itu
terlena ketika masih bermain dengan kereta kawalan jauh hadiah dari Mai.
Shuhaida pula terus memakai tudung untuk menggayakan kerongsang yang
bergemerlapan bila disematkan di
tudungnya dan Makcik Nisah terus memakai baju panas yang Mai hadiahkan
untuknya. Hanya Wawa sahaja yang masih belum lagi mendapat hadiahnya kerana
hanya berdiam diri di bilik tanpa mahu keluar walaupun dipanggil oleh Syamsul.
Syamsul pula hanya berwajah selamba bila
Mai menghulurkan buku nota yang dibelikan buatnya. Dia tidak memberikan apa-apa
komen bila mengetahui bahawa Mai sudah tahu akan kegemarannya itu. Cuma matanya
sahaja yang menjeling ke wajah Shuhaida kerana dia pasti bahawa adiknya itulah
yang memecahkan rahsia tentang minatnya dalam berkarya.
Bila
mengingatkan sikap Najwa pula, hati Mai jadi terhiris. Dia tahu dia tidak
sepatutnya menyalahkan anak gadis itu kerana membencinya. Pening kepalanya bila
memikirkan bagaimana cara untuk dia memenangi hati Wawa. Dia tahu, dia tidak
akan pernah mampu untuk mengambil tempat uminya yang telah tiada. Malah tidak
pernah dia ingin melakukan sebegitu. Kenangan Wawa yang mungkin terlalu sedikit
bersama uminya menyebabkan anak gadis
itu terlalu menyanjung segala apa yang dirasakan terhadap arwah. Dan tidak
membenarkan sesiapapun mengambil tempat uminya yang sudah tiada. Kalaulah boleh
dia meyakinkan bahawa dia tidak langsung berniat untuk mengambil tempat uminya,
pasti Wawa boleh menerimanya. Tapi, bagaimana?
Dia
mengeluh perlahan. Buntu rasanya untuk dia memikirkan tentang itu. Lantas
dibiarkan saja. Tidak mahu rasanya perkara itu menghantui mindanya. Buat masa ini ada yang lebih indah untuk dia
nikmati. Lantas bibirnya tersenyum sendiri bila mengenangkan saat-saat indah bersama
semua ahli keluarga Syamsul tadi. Tiada ternilai rasanya bila ada yang menghargai sebegitu. Dan dengan
senyuman itu dia merebahkan diri lantas terus terlena. Tubuh yang kepenatan
kerana memandu dalam jarak perjalanan yang begitu jauh membuatkan dia langsung
tidak sedar bila masanya Syamsul
mengambil tempat di sisinya. Malah sedikit pun tidak dia sedari saat
tubuhnya dirangkul erat penuh kerinduan. Cuma dia merasa lenanya kali ini cukup
selesa. Seolah-olah dia telah kembali ke tempat asalnya. Tempat di mana dia
sepatutnya berada.
Sepanjang
malam Syamsul hanya mampu merangkul
tubuh lembut itu sambil merenung wajah mulus yang amat dirindukan. Sungguh dia
tidak faham mengapa sekuat ini hatinya tertaut pada indahnya perasaan ketika
mereka bersama. Biarpun dalam rajuk dan sengketa, kenangan bersama wanita muda
ini amat indah dirasakan. Cintakah ini?
Atau semata-mata kerana keinginan naluri lelakinya yang terpaksa dilunasi?
Matanya tertancap kepada buku nota
hadiah dari Mai yang baru sahaja diletakkannya di atas meja kecil
bersebelahan katil. Kemudian mata itu
kembali merenung ke wajah mulus itu sambil tangannya mencapai buku itu. Perlahan
tangannya turut mengambil sebatang pen yang senantiasa ada di dalam cawan di
atas meja yang sama. Dia mula
mencoretkan sesuatu di halaman pertama nota itu. Sedar tidak sedar dia telah
menyiapkan sebuah sajak. Dibaca dan dibaikinya beberapa kali sehingga merasa
puas hati dengan sajak yang baru ditulisnya itu.
Perlahan
Syamsul kembali berbaring di sebelah Mai
sambil matanya terus memandang keindahan yang ada di hadapan mata. Dia mengelus
wajah mulus itu. Mindanya ligat befikir, cuba mengatur bicara yang selayaknya
untuk dia bertanyakan pada Mai samada
dia pulang sendirian atau bersama Irfan. Bila masuk ke bilik tadi, dia
sememangnya sudah bertekad untuk mendapatkan penjelasan dari Mai. Sudahkah Mai
memberitahu Irfan bahawa dia kini sudah layak untuk diceraikan? Apakah
kepulangannya kali ini adalah untuk mengakhiri segala-galanya? Mungkinkah Irfan
ada menanti di mana-mana chalet yang berdekatan untuk mempastikan dia ada di
sisi Mai apabila mereka sudah berpisah nanti?
Jika
saat–saat bersama Mai sudah tiba di penghujungnya, dia tidak mampu untuk
berkata apa-apa. Terasa bagaikan terjerut hatiya bila mengenangkan kemungkinan
yang berlaku itu. Di saat-saat dia mula mengharapkan ada sesuatu yang indah
mampu untuk dikecapinya bersama Mai, ini pula yang bakal berlaku. Sememangnya
dia sudah lama tahu saat ini akan tiba. Tetapi tidak pernah dia menyangka
sepedih ini perasaan yang bakal dilaluinya.
Perlahan
dia menarik Mai ke dalam pelukannya. Mungkinkah dia mampu untuk mempertahankan
pernikahan ini? Atau munkinkah dia sudah mula kalah sebelum memulakan
pejuangan? Mampukah dia berjuang sedangkan dia tahu kekalahan berpihak
kepadanya? Ah... sungguh dia merasa begitu kecewa sekali. Sungguh dia
sebenarnya membina harapan yang seindah istana pasir, yang hanya kukuh saat
dibasahi air. Namun begitu rapuh bila kering. Mula roboh satu persatu bila
angin mula membadai, memusnahkan segala harapan yang dia bina dalam diam.
Dalam
diam dia mula berdoa, memohon agar dia tidak akan kehilangan apa yang
didambakannya saat ini. Dia tahu dia tidak layak untuk meminta lebih dari apa
yang dijanjikan. Malah dia tahu sejak dari hari pertama dia menatap wajah Mai,
bukan dia pilihan wanita muda ini. Namun entah mengapa, ada segunung harapan
yang dibina dalam diam dan ada selaut impian yang dicipta di luar sedar.
Mungkinkah sudah tiba saatnya gunung akan ranap dan laut akan surut?
Dia
cuba untuk melelapkan matanya. Namun mana mungkin dia mampu berbuat begitu bila
tubuh lembut itu begitu hangat melekat kemas di tubuhnya. Mana mungkin bila hembus
nafas itu begitu lembut menampar di dadanya. Dan mana mungkin bila jemari halus
itu begitu erat membalas rangkulannya. Baru sahaja dia mula merasakan indahnya
kehadiran wanita muda ini di sisinya, perpisahan sudah mula menghantuinya.
Bergitu tercalar sekali perasaannya. Dan dia sendiri tidak pasti bagaimana
nanti dia mampu untuk menjelaskan segalanya kepada keluarganya. Terutamaya
kepada Nabil dan emaknya. Yang pastinya Wawa akan gembira mendengar berita itu
nanti.
Ah...
Syamsul mengeluh lagi. Semakin kuat dia
mengemaskan pelukannya. Dan dalam lenanya Mai
berkata sesuatu yang tidak difahaminya. Syamsul cuba memberikan perhatiannya untuk memahami
kata-kata itu. Namun ternyata itu hanyalah ucapan manja yang terlahir tanpa
sedar. Atau mungkin ditujukan buat Irfan. Terjerut lagi hatinya saat itu.
36 comments:
Salam untuk semua pembaca,
Kali ni saya uploadkan dua bab sekaligus. Harap berika komen ye..
Sayang dari...
Laila Hanni
wahh.. kak terlepas rindu... masing2 pun dah punya cinta.. semoga syam n mai bahagia
x cukup la LH.... nk lagi... bila mai nk declare kt irfan n trus dgn syam...:-) tq..
Harap2 esok akan terungkai persoalan yg dok bermain dlm fikiran Syamsul tu..
Ya Allah.. boleh tak if Irfan keluar dari the whole pic. Please make Syamsul and Mai .. cukup2 laa beban dan perasaan sakit hati ..
cian syamsul....bila lah dorg nk btrs trg ttg apa yg dorg rsa.
..
cepat2 la syamsul tau perasaan mai yg sbnrnye..jgn salah phm kat mai lagi..
waaahhhhh..... menyentuh kalbu tul laa.....
Masing2 masih menafikan perasaan kasih sayang yg bercambah...
Syamsul takut nak menyayangi Mai sbb dia sedar drp mula Mai mengahwininya kerana Cina Buta...
Dan Mai juga keliru dgn perasaan di hati, samada nak mulakan hidup baru dgn Syamsul atau kembali kpd Irfan.... Kelirunya.....
apa nak kata ya? suka n3 kali n tapi agak berat. simpati pada syamsul. harap mai tetapkan hati un tuk kekal dgn syamsul sebb walau apa tujuan mai kahwin dgn syamsul, syamsul tetap suami mai yg sah dan irfan hanyalah ex husband.
pasal wawa, maikan cikgu sekolah, mesti tahu cara nak tackle hati wawa.
hopefully lepas ni mai akan minta tukar sekolah ke kelantan, bantu syamsul dirikan chalet. tapi rasanya irfan akan buat onar nanti...
sy suka konflik yang ditonjolkan dalam n3 kali ini... cepat2 sambung ye. tq
alahai,bestnye...mcm2 ade!..
pergh..kenapalah mesti membuat andaian sendiri syamsul..dengan kepulangan isteri sebaik Mai tu.. Berikan dia ruang dan peluang utk menyatakan isi hatinya sebelum dengan sinis nya ko memuntahkan kata kata yg akan membuat dia menjauhi ko dan meninggalkan ko dengan rajuknya..
Just go with d flow la..ya..syamsul ngan Mai bila bersama ngan ko.. tanya eluk eluk pasal bekas suaminya irfan dan jgn jump to conclusion sendiri..Mai mmg berhak utk memilih kehidupannya..dah dia balik kg nak bertemu dengan ko jgn lah byk songeh pulak kan..try to tackle her heart..
Harap syamsul berterus terang dgn mai begitu gak mai. harap2 mai mengandungle.....
Syamsul dah ada perasaan kasih kpd Mai,
moga dia punya keberanian untuk meluahkannya..
sebab antara mereka masih lagi ada tanda tanya
dan prasangka di hati;
mesti ada 2-way communication baru segalanya jelas.
harap Mai minta ditukar sekolah, berdekatan dgn Syamsul dan dpt. menjinakkan hati Wawa yang benci dengannya. Bagi Mai peluang untuk menunjukkan kasih seorang ibu..
Thank you,bila nak di bukukan, saya cuma ada satu aja buku awak, Syurga Diwajahmu.
Semuga perkahwinan mereka berdua akan kekal
sehingga akhir hayat. perniaagaan kecil-kecilan
Syam akan menjadi maju dn akan menjadi usahawan
yg berjaya satu hari nanti dgn berkat kegigihannya
utk memperbaiki kehidupan keluarga. Bagaimana
pun nak Shamsul dgn Maisarah dn Wawa akan
berubah perangai yg dia benci pd ibu tirinya.
cepat sambung lagi ye...
kesangsian shamsul thdp mai mngkin akan buat hubngan diaorg retak menati belah..Mai pun kena la btegas skit dgn Irfan tu..terus terang pda family..ni dok selindung2..cian dkt shamsul..dh mula ada perasaan kasih dan syg pada mai
me kasih dek,ilang rindu kat shamsul n mai!jangan rase salah faham akan memisah kan pasangan yg dah mula ade rase cinta di ati masing2.jangan lh syamsul layan emosi tu,sat g nyesal lak!!rase nye cam mai pun tk nak kehilangan syamsul.........buang lah ego,luah kan ape yg terpendam pasti ketemu ape yg tersirat dari tunggu ape yg tersurat!agar jodoh syamsul n mai diberkati ALLAH SAW.Amin
kak, nex entry :) best
n3 dari SCB slalu xmenghampakan. main emosi.
tp kalau kak hanni perbanyakkan sikit dialog lg best!
heeehehe.
maybe mlm masa dorang bagi hadiah tu... ada dialog sikit, mesti meriah.
peace.
tq semua... saya appreciate all the comment. nanti mana yang perlu akan diperbaiki... luv u all...
laila hanni
bestttt... tq hani
bertahan syamsul.... irfan g jauh2 dr idup dorg.. wawa ni sampe bila ati nk keras mcm batu... pape pn best...
hope mai dapat terangkan kat sham..
pujukla sham tu
comel nabil
laila, saya sentiasa mengikuti karya saudari. sangat kagum dan berharap agar mai dan syamsul akan mengecapi kebahagiaan yang selayaknya. meskipun tulisan laila mengandungi unsur saspens tapi saudari bijak mengadun tulisan laila dengan baik dan kemas. saya suka. cuma satu yang saya nak komen, kenapa nama arwah isteri syamsul berubah-ubah? pada bab awal, suhaila kemudian suzana dan kali ni madihah pulak? harap laila tolong tengok-tengokkan ye? itu je komen saya. selebihnya saya doakan semoga laila maju dalam penulisan ini. yes laila!
suke sangat sebab k Laila dah hadirkan n3 baru yang cukup panjang, rasa puas hati bace n3 kali ni, hehe. makin menarik, pembicaraan dua hati ni, bila la nak terungkai rindu dendam antara Syam dan Mai, thanks k Laila, ^_^.
best sangat kalau mai n syamsul luahkan isi hati mereka, mai tak perlu jaga hati irfan n familynya lagi...terus terang adalah yang terbaik...
novel ni ada kelainan ckit. mula baca di penulisan2u, terus cari blog penulisnya. cerita best cuma nama watak isteri syamsul tu ada kesilapan. mungkin sebab LH banyak tulis cerita yang lain. semoga akan dibuat dalam versi cetak. ^-^
Laila, setiap kali ada n3 baru utk SCB sy amat teruja.
Bait-bait kata yang ada dlm plot dan cerita ini membuatkan saya terharu. Sesungguhnya sy amat berbangga dengan awak kerana mampu bermain dgn emosi. Sy sendiri bila baca setiap patah kata yg ada, hati ini bagai meruntun kesedihan seperti sy adalah Syamsul. Seorang lelaki yg tidak punya apa-2 kemewahan yang mampu diberikan kepada orang yg bergelar isteri. Hanya secebis kasih, sayang dan cinta yang hakiki untuk insan tersayang.
X sabar nk tggu kisah selanjutnya, wasalam.
Thanks K.Laila...:-)
berat sikit perasan ni baca entry kali ni sebab banyak bermain dgn perasaan yang tak terluah..yg membaca pun terasa berat hati dgn keadaan Mai dan Syamsul yg masih belum settle..
Hopefully Mai kuatkan hati dan semangat dan dapat merubah suasana di sana, gunakan sepenuhnya peluang di cuti sekolah utk dekati, ambil hati dan serasikan diri terutamanya dengan Syamsul dan Wawa..
K.Laila, nak request part2 happy & sweet times diorang di kampung... :-) TQ!
salam semua...
mula-mula kak laila nak jawab tentang nama arwah isteri syamsul.pada mulanya masukkan nama suzana, lepas tu baru perasan nama tu sama dengan nama kawan Unie dalam SYKT, jadi kak laila tukar kepada madihah. Insyaallah tak tukar lagi dah lepas ni..
tentang dialog dalam cerita, memang susah nak buat sebab kedua-dua mai dan sy sebenarnya memendam rasa. rahsia perkahwinan tu cuma dia, irfan dan syamsul saja yang tahu. so, bila tension dan buntu, masing-masing tak berani nak citer pada sesiapa. sebab tu lebih pada bisikan hati sendiri..
banyak dugaan lagi yang akan mereka tempuhi. tapi buat masa ni, kasi diorang happy dulu dengan apa yang ada... penat betul buat citer ni...
thanks semua kerana beri kak laila kekuatan untuk menyudahkannya.... appreciate it so much... terharu rasanya
Terujanya akak coz dua bab sekaligus. The story has developed. Good!
Aduhai.. benarlah bila komunikasi gagal, syak wasangka akan bermukim buat minda mereka-reka cerita akhirnya hati sendiri yang penasaran. Mainan emosi dua perasaan yang sangat baik diolah Laila. Mata bertentang namun tak kesampaian bicara hati.. Akak memang amat meminati cerita ini.
Tahniah jua untuk Semalam Yang KuTinggalkan.
Thanks Anon... :) harap akan suka juga pengakhirannya...
Syamsul luahkan apa yang terbuku di hati ni sementara Mai bercuti di kampung.... jangan buat andaian sendiri.... karang merana diri ....
best2...nak lagi...biarlah syamsul hilang ragu kat mai...
bla nk smbung, xsbr nk bca seterusnya....best sgt....
Post a Comment