Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 25

 

“Mai, kalau tidur kat sini apa salahnya.... esok pagi-pagi baliklah...,” pujuk bekas emak mertuanya untuk cuba mengubah pendirian wanita muda itu.

“Tak boleh mak... Mai kena pergi sekolah awal pagi esok. Mai AJK bahagian pendaftaran bagi program tu. Kalau lewat mesti pengetua marah. Dah lah susah sangat nak sambutan dari cikgu-cikgu kat sekolah tu bila nak buat program hari keluarga macam tu. Bila mereka dah setuju macam ni, kita pulak buat hal, mesti nanti mereka marah,” panjang lebar Mai memberikan alasan.

Puan Normah mengeluh perlahan melihatkan kedegilan menantunya itu. Memang dia kurang senang dengan sikap Mai yang selalu ingin menang dalam semua hal. Inilah juga punca yang menyebabkan hubungan mereka tidak begitu rapat. Tetapi selama ini dia selalunya tidak begitu menghiraukan kerenah Mai. Sikap menantunya itu tidak pernah dijadikan alasan untuk tidak bertegur sapa ataupun untuk dijadikan permulaan sebuah sengketa antara mereka.

“Bukannya apa, dah tengah malam ni. Mak risau... kalau nak balik ke KL tu mesti ambil masa lima enam jam jugak ni... sekarang ni dah pukul 11.00 malam. Pukul berapa nak sampai nanti. Badan tu kan dah letih...,” katanya sambil memandang ke arah anaknya Irfan. Cuba untuk merayu Irfan dengan pandangan matanya supaya anaknya itu memujuk Mai untuk merehatkan diri terlebih dahulu sebelum bertolak balik. Namun Irfan hanya diam dan termenung, bagaikan berada dalam dunianya sendiri.

“Tak apa mak... kami gilirla memandu... kalau Abang Ifan penat, Mai pulak yang memandu..,” dia beralasan lagi.

Kata-kata Mai itu buat Irfan makin menyampah mendengarkan alasan demi alasan darinya untuk mengelakkan mereka dari terpaksa tidur sebilik. Dan dia begitu pasti selepas ini, tentunya mereka akan menginap di mana-mana hotel di bandar yang berdekatan. Begitulah yang diulang sebut oleh Mai semasa dalam perjalanan pulang ke sini pagi tadi.

Encik Yusof, ayah Irfan yang berada di sebelah emaknya tidak berkata apa-apa. Dia hanya memperhatikan kedua mertua dan menantu itu bersalaman dan berpelukan. Terlihat kekecewaan di mata Irfan sepanjang hari ini. Pasti Mai dan Irfan bergaduh lagi, duganya dalam hati. Jelas nampak di matanya ketegangan antara mereka berdua. Mungkin ada perselisihan antara mereka kerana terpaksa pulang ke sini hari ini dalam keadaan yang terburu-buru.

En Yusof sedar akan perselisihan faham yang sering berlaku antara anak dan menantunya itu. Sejak setahun terakhir ini kedua Irfan dan Mai  selalu mengelakkan diri dari mereka. Mreka tidak lagi pulang ke kampug sejak enam bulan terakhir ini. Entah mengapa dia merasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan mereka berdua. Untuk bertanya lebih lanjut,  dia tidak punya masa yang sesuai memandangkan seharian mereka begitu sibuk melayan tetamu. Mulanya dia menyangka yang kedua anak menantunya ini akan terus berada di rumah sehingga ke esok hari. Maka mungkin peluang itu akan digunakan untuk merisik khabar. Tapi rupa-rupanya mereka akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini juga.

Ketika Mai menyalaminya sebelum dia masuk ke kereta, dia merenung ke dalam mata Mai untuk mencari jawapan pada pertanyan-pertanyaan yang terlintas di kepalanya. Ternyata tanggapannya tidak salah bila Mai tidak mampu untuk membalas pandangannya. Sama juga seperti Irfan yang terus cuba untuk mengelakkan diri dari berbual bersamanya. Ya, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka berdua. Tetapi, apa agaknya?

“Hati-hati memandu tu Irfan, tak payah gopoh-gopoh,” hanya pesan itu yang keluar dari bibirnya. Selalunya, biarpun beribu persoalan bermain di mindanya tentang hubungan mereka yang sering bergelora sejak akhir-akhir ini, dia merasakan dia tidak perlu campur tangan dalam hal rumah tangga anak-anaknya kecuali mereka datang mengadu hal kepadanya. Dia berharap mereka cuma mengalami masalah kecil sahaja dan tiada apa yang perlu dirisaukan.       

“Baik ayah, “ sambut Irfan perlahan. Masih mengelak dari bertembung pandang dengan ayahnya. “Kami pergi dulu,”

“Hem...,” gumam En Yusof. Dalam hatinya dia mengingatkan dirinya akan cuba membawa anaknya itu berbincang tentang hal ini.

Bila kereta Irfan mula bergerak meninggalkan rumah, dia dan Puan Normah berpandangan antara satu sama lain.

“Kenapa ye budak-budak tu bang? Lain macam je saya tengok...” kata Puan  Normah.

“Entah la... abang pun perasan macam ada yang tak kena aje dengan mereka ni. Nak tanya pun tak sempat,” keluhnya.

“Macam nak elakkan diri dari kita je... Tak nak duduk kat sini lama-lama. Takut kita tanya ke bang?”

“Haah... ,”

“Kita kena bincang hal ni bang... Mah rasa tak sedap hati je...,”

“Hem... nantilah, bila senang nanti kita pergi rumah mereka. Tanya sendiri... biar terus terang,”

Puan Normah hanya mengangguk sambil matanya terus merung di kegelapan malam. Entah mengapa dia merasa ada sesuatu yang tidak kena dan tidak mahu membiarkan semua itu berlalu tanpa pengetahuan mereka. Sekurang-kurangnya rumahtangga anaknya yang goyah sejak akhir-akhir ini mampu mereka tangani dengan sebaiknya.

****

      Mai menarik nafas panjang. Sejak tadi dia langsung tidak memandang ke wajah Irfan yang diam sambil memandu. Sedikitpun dia tidak bersuara apa-apa dan membiarkan sahaja Irfan mengambil keputusan untuk terus balik ke Shah Alam malam itu juga. Dia hanya mampu melayan perasaannya sendiri. Terlalu asyik mengenangkan perbualannya dengan Syamsul  di telefon malam semalam semasa          dia meminta izin untuk pulang ke rumah bekas emak mertuanya.

“Tak apa ye bang... kalau Mai pergi..?”

Hanya sunyi di hujung talian. Membuatkan dia merasa bersalah kerana menyatakan persetujuannya terlebih dahulu kepada Irfan tanpa meminta izin dari Syamsul.

“Bang...?” dia bersuara lagi bila Syamsul  masih tak berkata apa-apa.

“Terpulang pada Mai lah... Mai dah buat keputusan sebelum tanya abangkan?” tegang sekali kedengaran suara itu. Dan untuk seketika  Mai jadi serba salah. Sedar akan kesilapan yang telah dia lakukan.

“Tapi, kalau abang tak bagi, Mai boleh tolak,” perlahan dia cuba membaiki keadaan.

“Mai... tadi Mai cakap, Mai dah setuju nak ikut. Bukannya nak minta izin nak ikut dari abang kan? Ikut sajalah... kalau itu yag Mai nak...,” kata-kata Syamsul  itu buat hati Mai makin terjerut dek rasa bersalah. Bukan itu yang dia mahukan. Saat itu apa yang dia mahu ialah untuk bersama Syamsul, ingin sekali dia katakan begitu. Tetapi entah mengapa bibirnya tidak mampu meluahkan kata-kata itu.

“Kalau abang tak suka.. Mai batalkan saja...,”

“Hem... rugilah kalau macam tu... bukan ke Mai memang selalu nak bersama dia. Entahkan sekarang ni masa abang tak ada.. Mai memang pun selalu dengan dia kan? Tak ada halangan lagi kan?” rajuk Syamsul  di hujung talian membuatkan Mai makin terasa bersalah. Dia sepatutnya marah dengan kata-kata Syamsul  yang begitu curiga terhadapnya. Kalau bersama Irfan selalunya dia sudah melenting jika Irfan menunjukkan sikap curiga sebegitu. Namun entah mengapa bila kata-kata itu keluar dari bibir Syamsul , Mai merasa amat sedih sekali.

Perbualan-perbualan mereka di talian telefon di sepanjang minggu itu telah menjanjikan hubungan yang lebih baik. Hampir setiap hari mereka berbual untuk bertanyakan khabar masing-masing. Tetapi, baru semalam Mai memberanikan dirinya untuk memberitahu tentang permitaan Irfan untuk dia turut sama pulang ke kampung Irfan. Dan sungguh tidak di duganya Syamsul  memberi respon yang sebegitu. Dia marah rupa-rupanya.

“Abang...,” entah mengapa Mai bagaikan ingin memujuk rajuk Syamsul. Tidak mahu keadaan ini berpanjangan. Terasa amat bersalah kerana membuat keputusan tanpa mendapatkan keizinan.

“Pergilah... lagipun Mai kan tak mahu yang mak dan ayah dia tahu yang dia dengan Mai dah bercerai...,” kata Syamsul  dengan nada rajuk yang bagaikan tidak mampu untuk dipujuk lagi.

Belum sempat berkata apa-apa, Syamsul  terus mematikan talian. Puas Mai menelefon kembali untuk memujuk, namun tidak diangkatnya panggilan itu.

Serba salah jadinya Mai dengan sikap suaminya itu. Kalau diikutkan hati tidak mahu dia mengikut Irfan awal pagi tadi. Namun bila Irfan menuntut janji, dia tidak mampu untuk menolak. Keliru sungguh dengan perasaannya. Irfan ... Syamsul .... mana satu yang sepatut diikutkan? Adakah Irfan.... kerana cinta yang sekian lama bersemi di hati, dia ingin sekali akur pada setiap kata lelaki itu? Atau adakah  Syamsul ... suami yang dinikahi untuk pastikan dia mampu untuk kembali bersama Irfan? Ah... buntu jadinya. Di ingin mentaati Syamsul .... namun  tidak rela rasanya untuk melepaskan Irfan. Sungguh buntu jadinya.

Bila bersama Irfan dia bagaikan terikat dengan janji yang pernah dilafazkannya. Tapi bila bersama Syamsul, tidak mampu dia gambarkan perasaan indah yang dirasakan. Bila getar rasa itu menghuni setiap ruang hati, hinggakan degup jantungnya jadi rancak bagaikan gendang dipalu. Ah.... tidak mampu untuk digambarkan rasa itu. Setiap kali bersama, lelaki itu mampu membuat dia ingin terus mengenang saat-saat indah itu. Hinggakan terasa untuk mengulangi kembali setiap detik yang dilaluinya. Bagaikan ingin terus rasa itu mengelus hati dan  perasaannya. Sungguh dia tidak mengerti apakah maknanya perasaan ini. Getarnya begitu hebat sekali, sehinggakan terasa nafasnya bagaikan terhenti seketika bila mengenangkan saat-saat bersama lelaki itu. Ah.... sungguh dia tidak mengerti. 

Sepanjang hari ini dia mencuba lagi menghubungi Syamsul. Dan seperti yang disangkannya, Syamsul  masih tidak menjawab panggilan demi panggilan yang dibuat. Merajuk sehingga begitu sekali. Dan semua itu buat dia jadi resah sepanjang hari. Hinggakan setiap perilakunya terasa bagaikan salah semuanya. Duduk salah, berdiri pun salah. Kekok terasa apabila terpaksa melayan tetamu di rumah bekas emak mertuanya. Dan setiap kali Puan Normah mendekatinya, dia cuba menjauhkan diri. Bimbang sekali seandainya bekas emak mertuanya itu dapat mengesan keresahannya.

Tanpa sedar, akhirnya dia terlena akibat keletihan yang dirasakan. Terus terlena sehinggalah kereta Irfan berhenti di hadapan pintu pagar rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Lama Irfan merenung ke wajah Mai dengan begitu asyik. Serba salah jadinya. Imannya bagaikan tercabar bila melihatkan Mai yang terlena di sampingnya. Kalau diikutkan hati ingin sekali dia memeluk tubuh kecil molek itu. Ingin melepaskan rindu dendam yang merajai hati sejak hampir lapan bulan yang lalu. Namun dia tahu dia tidak sepatutnya melakukan itu. Dia tidak mahu menyemarakkan lagi sikap dingin Mai terhadapnya. Jika bukan kerana sikap Mai yang begitu dingin terhadapnya sejak pagi, sudah pasti dia akan melakukan apa yang diingininya. Dia juga tahu yang dia perlu menjaga tanggapan Mai terhadapnya. Tidak ingin disebabkan keterlanjurannya menyebabkan Mai hilang kepercayaan terhadapnya. Dia tidak mahu kehilangan Mai selama-lamanya. Maka terpaksalah dia akur dengan sikap Mai yang dirasakan bagaikan sudah mula berubah. Kalau dulu Mai bagaikan mudah menurut segala kehendaknya. Sehinggakan dia sanggup menikahi Syamsul  untuk kembali kepadanya. Namun kelihatannya sejak akhir-akhir ini Mai begitu menjaga maruahnya sebagai seorang isteri. Dia tidak lagi mahu tubuhnya disentuh oleh Irfan seperti dulu. Sering cuba mengelak dari jemarinya diraih walaupun dalam keadan yang sepontan. Malah sering mengingatkan bahawa mereka bukan lagi suami isteri apabila Irfan berkelakuan agak berlebihan terhadapnya. Semua perlakuan ini membuat Irfan merasa bagaikan dia mula kalah. Dan untuk memenangi kembali hati Mai, dia terpaksa mengikut rentak Mai. Tidak  ingin kepercayaan Mai terhadapnya hilang.

Wajah mulus yang sedang lena itu direnungnya dengan penuh rasa kasih dan sayang. Dia cintakan Mai, itu sudah pasti. Namun dia bagaikan tidak pasti dengan perasaan Mai terhadapnya sekarang ini. Masihkan ada cinta di hati bekas isterinya itu? Atau mungkinkah, perasaan itu sudah beralih arah? Segera perasaan marah membuak-buak di hatinya membuatkan dia bagaikan tidak mampu bernafas seketika. Tidak.... dia tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Tidak sesekali. Tanpa sedar dia menumbuk stering keretaya dengan kuat sekali sehinggakan terasa sakit buku limanya.  Kalaulah itu berlaku... dia tidak pasti apa yang mungkin akan dilakukannya pada Syamsul. Dan dia tidak akan memaafkan Mai jika itu yang berlaku.

Bila menyedari perlakuannya itu mampu buat Mai terjaga, dia cepat-cepat berpaling kepada bekas isterinya itu. Ternyata Mai masih lena. Lantas direnungnya lagi wajah yang dirasakan cukup indah itu. Perlahan dia mendekatkan wajahnya ke muka Mai sehinggakan wajah mereka hanya terpisah pada jarak beberapa inci sahaja. Terasa hangat hembusan nafas Mai singgah di pipinya. Sesuatu yang mampu membuat Irfan lupa akan dirinya. Lupa dengan tekadnya untuk kembali memenangi hati Mai dengan sikap bertolak ansurnya. Ingin sekali rasanya dia menyentuh bibir lembut itu dengan bibirnya. Dia sudah tidak kesah apa yang bakal berlaku. Yang pasti, dia ingin kembali menikmati keindahan yang pernah jadi miliknya.

Mai tersedar di saat-saat akhir sebelum bibrnya disentuh oleh bibir Irfan. Dalam keadaan mamai, dia dapat merasakan kehangatan nafas Irfan yang singgah di bibirnya. Dan secara sepontan dia menjerit. Kedua-dua tangannya menolak tubuh Irfan yang begitu hampir dengan tubuhnya. Sedaya yang dia ada dia menumbuk tubuh lelaki itu. Dan dalam keadaan terperanjat dengan situasi itu Irfan jadi terkedu. Mai menjerit sekuat hatinya sambil memukul tubuh Irfan dengan beg tangan yang diribanya sejak tadi. Jeritannya itu membuatkan Irfan terkejut lantas menjauhkan diri. Dan bagaikan sedang hesteria, Mai terus memukul dada Irfan dengan sekuat mungkin.

“Apa abang nak buat pada Mai ni?” jerit Mai dengan marah.

“A... abang.... abang...,” tergagap Irfan untuk menjawab pertanyaan itu.

“Abang jahat tau tak... jahat... Mai terlena abang buat Mai macam ni. Jangan harap Mai nak keluar dengan abang lagi..,” jerit Mai lagi.

Cepat-cepat tangannya membuka pintu kereta dan dia melangkah keluar meninggalkan kereta itu. Terketar-ketar tangannya mengeluarkan kunci mangga pintu pagar rumahnya dari beg tangan. Irfan turut sama keluar dari kereta untuk memohon maaf. Cuba memegang tangan Mai untuk meredakan kemarahan bekas isterinya itu, namun ternyata Mai cukup marah dengan apa yang telah dilakukannya itu. Mai terus memukulnya lagi dengan beg tangan.

“Pergi... pergi... Mai tak nak tengok abang lagi... pergi...” jerit Mai.

“Mai, sabar sayang... abang minta maaf... abang tak sengaja...,””

“Tak sengaja...? Abang boleh cakap tak sengaja.... ?” jeritnya lagi.

Dalam suasana penuh kekalutan itu Irfan cuba menenangkan Mai. Tidak ingin sesekali dia menarik perhatian semua jiran di sekeliling rumah itu.

“Mai, jangan jerit macam ni... nanti semua orang dengar... malu kita...,” katanya perlahan. Cuba untuk menenangkan perasaan Mai, tetapi ternyata tidak mampu untuk dia melakukan itu.

“Pergi.... Mai tak mahu jumpa abang lagi... pergi... ,” jeritnya.

“Mai, sekarang ni dah pukul empat pagi... janganla macam ni... malu kita nanti...,” pujuk Irfan lagi.

“Pergi.....” jerit Mai tanpa menghiraukan suasana sekeliling yang tadinya sunyi, tapi kini telah mengundang perhatian beberapa orang jirannya yang terbangun dari tidur mereka dan sedang menjenguk keluar dari jendela rumah masing-masing.

“Ok... ok.... abang pergi... Mai masuklah... abang pergi...,” kata Irfan sambil cuba untuk menenangkan perasaan wanita muda itu. Lantas dia masuk ke kereta, tetapi tidak terus pergi. Dia perlu memastikan Mai selamat masuk ke dalam. Tapi kemarahan Mai terus membuak-buak, lalu dilemparnya beg tangannya ke arah kereta Irfan. Tiada pilihan lain, Irfan menghidupkan enjin kereta dan bergerak perlahan meninggalkan kawasan rumah. Namun dia tidak terus pergi. Dia memberhentikan kereta itu pada jarak sepuluh kaki untuk memastikan Mai selamat masuk ke dalam rumah. Saat itu dia mampu melihat betapa Mai cuba berkali-kali untuk membuka mangga pintu pagar rumah.

Terketar-ketar wanita muda itu menahan perasaan. Marah, terkejut, kesal... dan pelbagai rasa lagi singgah di hatinya. Sungguh dia tidak akan percaya pada lelaki ini lagi, bisik hatinya. Akhirnya Mai berjaya membuka mangga yang mengunci pintu pagar rumahnya. Cepat-cepat dia masuk dan mengunci kembali mangga tersebut. Terus dia berlari ke pintu rumah. Dan sekali lagi dalam terketar-ketar dia mengambil masa yang agak lama untuk membuka pintu. Tidak mampu untuk dia menggambarkan apa yang dirasakan sepanjang waktu itu. Sungguh da menyesal mengikuti Irfan. Dia tidak akan mempercayai Irfan. Tidak lagi...., dia meyakinkan dirinya saat itu.

Tiba di dalam rumah barulah hatinya sedikit lega. Setelah memastikan pintu rumahnya berkunci, barulah dia dapat menenangkan perasaannya. Terduduk dia di muka pintu dan saat itu barulah dia menyedari bahawa pipinya sudah basah lencun dek air mata. Ya... dia tidak akan percaya pada lelaki itu lagi.... ratapnya dalam hati.

13 comments:

Unknown said...

syabas mai kerna mampu mengawal nafsu dari godaan...tabah n kuat iman mu mai biar pun masih ade rase cinta di ati wat ex suami.irfan harus terima andai ape pun pilihan mai...muga jodoh mai ngan syamsul di berkati ALLAH SAW.menarik sngt kisah ne wat...........

MaY_LiN said...

jahatla ipan ni..
cian mai..
baik die balik umah shamsul je..

Anonymous said...

Kesiannya pd semua pihak...

- Kesian kat Mai sbb dlm keadaan serba salah sbb dah mula kasihkan Syamsul dan tidak lagi pasti dgn perasaannya terhadap Irfan.

- Kesian kat Irfan sbb menyesal tak sudah kerana terlajak melafazkan talak 3 dan kini ingin kembali bersama Mai semula.

- Dan kesian kat Syamsul sbb telah mula menyayangi Mai tetapi tau bhw masa sbg suami kpd Mai ada hadnya dan dia was2 dgn kasihsayang Mai terhadapnya....

zoora said...

alahai, hukum tetap hukum mai oiii, telajak prahu blh la 'go-stan' (kata arwah nenek dulu2),but kalu dah terkata, terbuat huhuhuhu cian syamsul,mai pikir2 kan ye

Unknown said...

makin suspens...
thumbs up kak hanni.
still best mcm dulu!
huhu

has_1309 said...

Hanni,

Macam biasa setiap kali n3 baru utk 'SCB' ini pasti menyentuh perasaan saya. Macam sy pula Mai, watak dlm cite ni.

Harap-2 Mai tdk lagi percaya dgn Irfan dan akan terus bersama Syamsul. Sesungguhnya cinta Mai kini sudah pun beralih arah kepada suami barunya iaitu Syamsul. Harap juga Syamsul lebih peka dgn keadaan yg dilalui oleh Mai.

Hanni,n3 baru bila? hari-2 sy akanbuka blog awk sbb tggu n3 baru. Thanks a lot dear for this n3.

Seorg wanita... said...

Berdebor-debor baca entry ni till abis... suspen tu... mmg takut kalau2 Irfan buat something kat Mai... kan dah jadi..

Hopefully lepas ni Mai betul2 xkan percaya kat Irfan lagi.. jgnlah berani2 nak kuar dgn Irfan tu... bgtau ajelah kat parents Irfan tu hal sebenar, biar Irfan x kacau Mai lagi..

Mesti Syamsul tgh terluka bila Mai keluar dgn Irfan, dahlah jauh di kampung... cepat2lah Mai pujuk Syamsul, lupakan je si Irfan tu..

* Thanks, K.Laila!

Kak Sue said...

betul tu berdebar rasa hati bila membaca entry kali ni...
Mai sekarang U isteri Syamsul so jagalah maruah suami dan diri sendiri lebih-lebih lagi sekarang Syamsul jauh ..... Mai pujuk lah Syamsul ...
Irfan tolong jaga sikit cara U bila dengan Mai.... Mai sekarang isteri orang.... cuba minta pendapat ibu bapa ya... berterus terang dengan family masalah Irfan dan Mai..... carilah penganti yang lain.... ... telajak perahu boleh ditarik, telajak talak 3 siapa yang susah???.... sendiri fikirkan lah

muda_13 said...

betul mai, jangan percaya lagi kat irfan ye, meh ngan abang syamsul je, ^_^. thanks k Laila,

Anonymous said...

Tahniah cerita anda dapat di garap dengan baik sekali, penulis mempunyai daya imaginasi yang memberangsangkan.....keep it up.

laila hanni said...

terima kasih Anon... saya cuma cuba buat sebaik mungkin. dan komen-komen membina amat saya alu-alukan..

Anonymous said...

Eee jahat la irfan tu.ambil kesempatan kat mai.mai baik berterus-terang ja kat parent irfan.cepat pujuk syamsul.

Anonymous said...

ada potensi selingkuh si mai tu..ramai tul orang dia nak..ishh-ishh..tahniah kat penulis..sebab pandai reka-reka cerita...sb ;)

sukses..

Post a Comment

Popular Posts