Bab 25
“Mai, kalau tidur kat sini apa
salahnya.... esok pagi-pagi baliklah...,” pujuk bekas emak mertuanya untuk cuba
mengubah pendirian wanita muda itu.
“Tak boleh mak... Mai kena
pergi sekolah awal pagi esok. Mai AJK bahagian pendaftaran bagi program tu.
Kalau lewat mesti pengetua marah. Dah lah susah sangat nak sambutan dari
cikgu-cikgu kat sekolah tu bila nak buat program hari keluarga macam tu. Bila
mereka dah setuju macam ni, kita pulak buat hal, mesti nanti mereka marah,” panjang
lebar Mai memberikan alasan.
Puan Normah mengeluh perlahan
melihatkan kedegilan menantunya itu. Memang dia kurang senang dengan sikap Mai
yang selalu ingin menang dalam semua hal. Inilah juga punca yang menyebabkan
hubungan mereka tidak begitu rapat. Tetapi selama ini dia selalunya tidak
begitu menghiraukan kerenah Mai. Sikap menantunya itu tidak pernah dijadikan
alasan untuk tidak bertegur sapa ataupun untuk dijadikan permulaan sebuah
sengketa antara mereka.
“Bukannya apa, dah tengah malam
ni. Mak risau... kalau nak balik ke KL tu mesti ambil masa lima enam jam jugak
ni... sekarang ni dah pukul 11.00 malam. Pukul berapa nak sampai nanti. Badan
tu kan dah letih...,” katanya sambil memandang ke arah anaknya Irfan. Cuba
untuk merayu Irfan dengan pandangan matanya supaya anaknya itu memujuk Mai
untuk merehatkan diri terlebih dahulu sebelum bertolak balik. Namun Irfan hanya
diam dan termenung, bagaikan berada dalam dunianya sendiri.
“Tak apa mak... kami gilirla
memandu... kalau Abang Ifan penat, Mai pulak yang memandu..,” dia beralasan
lagi.
Kata-kata Mai itu buat Irfan
makin menyampah mendengarkan alasan demi alasan darinya untuk mengelakkan
mereka dari terpaksa tidur sebilik. Dan dia begitu pasti selepas ini, tentunya
mereka akan menginap di mana-mana hotel di bandar yang berdekatan. Begitulah
yang diulang sebut oleh Mai semasa dalam perjalanan pulang ke sini pagi tadi.
Encik Yusof, ayah Irfan yang
berada di sebelah emaknya tidak berkata apa-apa. Dia hanya memperhatikan kedua
mertua dan menantu itu bersalaman dan berpelukan. Terlihat kekecewaan di mata
Irfan sepanjang hari ini. Pasti Mai dan Irfan bergaduh lagi, duganya dalam
hati. Jelas nampak di matanya ketegangan antara mereka berdua. Mungkin ada
perselisihan antara mereka kerana terpaksa pulang ke sini hari ini dalam keadaan
yang terburu-buru.
En Yusof sedar akan
perselisihan faham yang sering berlaku antara anak dan menantunya itu. Sejak
setahun terakhir ini kedua Irfan dan Mai
selalu mengelakkan diri dari mereka. Mreka tidak lagi pulang ke kampug
sejak enam bulan terakhir ini. Entah mengapa dia merasakan bagai ada sesuatu
yang tidak kena dengan hubungan mereka berdua. Untuk bertanya lebih
lanjut, dia tidak punya masa yang sesuai
memandangkan seharian mereka begitu sibuk melayan tetamu. Mulanya dia menyangka
yang kedua anak menantunya ini akan terus berada di rumah sehingga ke esok
hari. Maka mungkin peluang itu akan digunakan untuk merisik khabar. Tapi
rupa-rupanya mereka akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini juga.
Ketika Mai menyalaminya sebelum
dia masuk ke kereta, dia merenung ke dalam mata Mai untuk mencari jawapan pada
pertanyan-pertanyaan yang terlintas di kepalanya. Ternyata tanggapannya tidak
salah bila Mai tidak mampu untuk membalas pandangannya. Sama juga seperti Irfan
yang terus cuba untuk mengelakkan diri dari berbual bersamanya. Ya, dia yakin
ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka berdua. Tetapi, apa agaknya?
“Hati-hati memandu tu Irfan,
tak payah gopoh-gopoh,” hanya pesan itu yang keluar dari bibirnya. Selalunya,
biarpun beribu persoalan bermain di mindanya tentang hubungan mereka yang
sering bergelora sejak akhir-akhir ini, dia merasakan dia tidak perlu campur
tangan dalam hal rumah tangga anak-anaknya kecuali mereka datang mengadu hal
kepadanya. Dia berharap mereka cuma mengalami masalah kecil sahaja dan tiada
apa yang perlu dirisaukan.
“Baik ayah, “ sambut Irfan
perlahan. Masih mengelak dari bertembung pandang dengan ayahnya. “Kami pergi
dulu,”
“Hem...,” gumam En Yusof. Dalam
hatinya dia mengingatkan dirinya akan cuba membawa anaknya itu berbincang
tentang hal ini.
Bila kereta Irfan mula bergerak
meninggalkan rumah, dia dan Puan Normah berpandangan antara satu sama lain.
“Kenapa ye budak-budak tu bang?
Lain macam je saya tengok...” kata Puan
Normah.
“Entah la... abang pun perasan
macam ada yang tak kena aje dengan mereka ni. Nak tanya pun tak sempat,”
keluhnya.
“Macam nak elakkan diri dari
kita je... Tak nak duduk kat sini lama-lama. Takut kita tanya ke bang?”
“Haah... ,”
“Kita kena bincang hal ni
bang... Mah rasa tak sedap hati je...,”
“Hem... nantilah, bila senang
nanti kita pergi rumah mereka. Tanya sendiri... biar terus terang,”
Puan Normah hanya mengangguk
sambil matanya terus merung di kegelapan malam. Entah mengapa dia merasa ada
sesuatu yang tidak kena dan tidak mahu membiarkan semua itu berlalu tanpa
pengetahuan mereka. Sekurang-kurangnya rumahtangga anaknya yang goyah sejak
akhir-akhir ini mampu mereka tangani dengan sebaiknya.
****
Mai menarik nafas panjang. Sejak tadi dia langsung tidak
memandang ke wajah Irfan yang diam sambil memandu. Sedikitpun dia tidak
bersuara apa-apa dan membiarkan sahaja Irfan mengambil keputusan untuk terus
balik ke Shah Alam malam itu juga. Dia hanya mampu melayan perasaannya sendiri.
Terlalu asyik mengenangkan perbualannya dengan Syamsul di telefon malam semalam semasa dia meminta izin untuk pulang ke
rumah bekas emak mertuanya.
“Tak apa ye bang... kalau Mai
pergi..?”
Hanya sunyi di hujung talian.
Membuatkan dia merasa bersalah kerana menyatakan persetujuannya terlebih dahulu
kepada Irfan tanpa meminta izin dari Syamsul.
“Bang...?” dia bersuara lagi
bila Syamsul masih tak berkata apa-apa.
“Terpulang pada Mai lah... Mai
dah buat keputusan sebelum tanya abangkan?” tegang sekali kedengaran suara itu.
Dan untuk seketika Mai jadi serba salah.
Sedar akan kesilapan yang telah dia lakukan.
“Tapi, kalau abang tak bagi,
Mai boleh tolak,” perlahan dia cuba membaiki keadaan.
“Mai... tadi Mai cakap, Mai dah
setuju nak ikut. Bukannya nak minta izin nak ikut dari abang kan? Ikut
sajalah... kalau itu yag Mai nak...,” kata-kata Syamsul itu buat hati Mai makin terjerut dek rasa
bersalah. Bukan itu yang dia mahukan. Saat itu apa yang dia mahu ialah untuk
bersama Syamsul, ingin sekali dia katakan begitu. Tetapi entah mengapa bibirnya
tidak mampu meluahkan kata-kata itu.
“Kalau abang tak suka.. Mai
batalkan saja...,”
“Hem... rugilah kalau macam
tu... bukan ke Mai memang selalu nak bersama dia. Entahkan sekarang ni masa
abang tak ada.. Mai memang pun selalu dengan dia kan? Tak ada halangan lagi
kan?” rajuk Syamsul di hujung talian
membuatkan Mai makin terasa bersalah. Dia sepatutnya marah dengan kata-kata
Syamsul yang begitu curiga terhadapnya.
Kalau bersama Irfan selalunya dia sudah melenting jika Irfan menunjukkan sikap
curiga sebegitu. Namun entah mengapa bila kata-kata itu keluar dari bibir
Syamsul , Mai merasa amat sedih sekali.
Perbualan-perbualan mereka di
talian telefon di sepanjang minggu itu telah menjanjikan hubungan yang lebih
baik. Hampir setiap hari mereka berbual untuk bertanyakan khabar masing-masing.
Tetapi, baru semalam Mai memberanikan dirinya untuk memberitahu tentang
permitaan Irfan untuk dia turut sama pulang ke kampung Irfan. Dan sungguh tidak
di duganya Syamsul memberi respon yang
sebegitu. Dia marah rupa-rupanya.
“Abang...,” entah mengapa Mai
bagaikan ingin memujuk rajuk Syamsul. Tidak mahu keadaan ini berpanjangan.
Terasa amat bersalah kerana membuat keputusan tanpa mendapatkan keizinan.
“Pergilah... lagipun Mai kan
tak mahu yang mak dan ayah dia tahu yang dia dengan Mai dah bercerai...,” kata
Syamsul dengan nada rajuk yang bagaikan
tidak mampu untuk dipujuk lagi.
Belum sempat berkata apa-apa,
Syamsul terus mematikan talian. Puas Mai
menelefon kembali untuk memujuk, namun tidak diangkatnya panggilan itu.
Serba salah jadinya Mai dengan
sikap suaminya itu. Kalau diikutkan hati tidak mahu dia mengikut Irfan awal
pagi tadi. Namun bila Irfan menuntut janji, dia tidak mampu untuk menolak.
Keliru sungguh dengan perasaannya. Irfan ... Syamsul .... mana satu yang
sepatut diikutkan? Adakah Irfan.... kerana cinta yang sekian lama bersemi di
hati, dia ingin sekali akur pada setiap kata lelaki itu? Atau adakah Syamsul ... suami yang dinikahi untuk
pastikan dia mampu untuk kembali bersama Irfan? Ah... buntu jadinya. Di ingin
mentaati Syamsul .... namun tidak rela
rasanya untuk melepaskan Irfan. Sungguh buntu jadinya.
Bila bersama Irfan dia bagaikan
terikat dengan janji yang pernah dilafazkannya. Tapi bila bersama Syamsul,
tidak mampu dia gambarkan perasaan indah yang dirasakan. Bila getar rasa itu
menghuni setiap ruang hati, hinggakan degup jantungnya jadi rancak bagaikan
gendang dipalu. Ah.... tidak mampu untuk digambarkan rasa itu. Setiap kali
bersama, lelaki itu mampu membuat dia ingin terus mengenang saat-saat indah
itu. Hinggakan terasa untuk mengulangi kembali setiap detik yang dilaluinya.
Bagaikan ingin terus rasa itu mengelus hati dan
perasaannya. Sungguh dia tidak mengerti apakah maknanya perasaan ini.
Getarnya begitu hebat sekali, sehinggakan terasa nafasnya bagaikan terhenti
seketika bila mengenangkan saat-saat bersama lelaki itu. Ah.... sungguh dia
tidak mengerti.
Sepanjang hari ini dia mencuba
lagi menghubungi Syamsul. Dan seperti yang disangkannya, Syamsul masih tidak menjawab panggilan demi panggilan
yang dibuat. Merajuk sehingga begitu sekali. Dan semua itu buat dia jadi resah
sepanjang hari. Hinggakan setiap perilakunya terasa bagaikan salah semuanya.
Duduk salah, berdiri pun salah. Kekok terasa apabila terpaksa melayan tetamu di
rumah bekas emak mertuanya. Dan setiap kali Puan Normah mendekatinya, dia cuba
menjauhkan diri. Bimbang sekali seandainya bekas emak mertuanya itu dapat
mengesan keresahannya.
Tanpa sedar, akhirnya dia
terlena akibat keletihan yang dirasakan. Terus terlena sehinggalah kereta Irfan
berhenti di hadapan pintu pagar rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Lama Irfan
merenung ke wajah Mai dengan begitu asyik. Serba salah jadinya. Imannya
bagaikan tercabar bila melihatkan Mai yang terlena di sampingnya. Kalau
diikutkan hati ingin sekali dia memeluk tubuh kecil molek itu. Ingin melepaskan
rindu dendam yang merajai hati sejak hampir lapan bulan yang lalu. Namun dia
tahu dia tidak sepatutnya melakukan itu. Dia tidak mahu menyemarakkan lagi
sikap dingin Mai terhadapnya. Jika bukan kerana sikap Mai yang begitu dingin
terhadapnya sejak pagi, sudah pasti dia akan melakukan apa yang diingininya.
Dia juga tahu yang dia perlu menjaga tanggapan Mai terhadapnya. Tidak ingin
disebabkan keterlanjurannya menyebabkan Mai hilang kepercayaan terhadapnya. Dia
tidak mahu kehilangan Mai selama-lamanya. Maka terpaksalah dia akur dengan
sikap Mai yang dirasakan bagaikan sudah mula berubah. Kalau dulu Mai bagaikan
mudah menurut segala kehendaknya. Sehinggakan dia sanggup menikahi Syamsul untuk kembali kepadanya. Namun kelihatannya
sejak akhir-akhir ini Mai begitu menjaga maruahnya sebagai seorang isteri. Dia tidak
lagi mahu tubuhnya disentuh oleh Irfan seperti dulu. Sering cuba mengelak dari
jemarinya diraih walaupun dalam keadan yang sepontan. Malah sering mengingatkan
bahawa mereka bukan lagi suami isteri apabila Irfan berkelakuan agak berlebihan
terhadapnya. Semua perlakuan ini membuat Irfan merasa bagaikan dia mula kalah.
Dan untuk memenangi kembali hati Mai, dia terpaksa mengikut rentak Mai.
Tidak ingin kepercayaan Mai terhadapnya hilang.
Wajah mulus yang sedang lena
itu direnungnya dengan penuh rasa kasih dan sayang. Dia cintakan Mai, itu sudah
pasti. Namun dia bagaikan tidak pasti dengan perasaan Mai terhadapnya sekarang
ini. Masihkan ada cinta di hati bekas isterinya itu? Atau mungkinkah, perasaan
itu sudah beralih arah? Segera perasaan marah membuak-buak di hatinya
membuatkan dia bagaikan tidak mampu bernafas seketika. Tidak.... dia tidak akan
membiarkan semua itu berlaku. Tidak sesekali. Tanpa sedar dia menumbuk stering
keretaya dengan kuat sekali sehinggakan terasa sakit buku limanya. Kalaulah itu berlaku... dia tidak pasti apa
yang mungkin akan dilakukannya pada Syamsul. Dan dia tidak akan memaafkan Mai
jika itu yang berlaku.
Bila menyedari perlakuannya itu
mampu buat Mai terjaga, dia cepat-cepat berpaling kepada bekas isterinya itu.
Ternyata Mai masih lena. Lantas direnungnya lagi wajah yang dirasakan cukup
indah itu. Perlahan dia mendekatkan wajahnya ke muka Mai sehinggakan wajah
mereka hanya terpisah pada jarak beberapa inci sahaja. Terasa hangat hembusan
nafas Mai singgah di pipinya. Sesuatu yang mampu membuat Irfan lupa akan
dirinya. Lupa dengan tekadnya untuk kembali memenangi hati Mai dengan sikap
bertolak ansurnya. Ingin sekali rasanya dia menyentuh bibir lembut itu dengan
bibirnya. Dia sudah tidak kesah apa yang bakal berlaku. Yang pasti, dia ingin
kembali menikmati keindahan yang pernah jadi miliknya.
Mai tersedar di saat-saat akhir
sebelum bibrnya disentuh oleh bibir Irfan. Dalam keadaan mamai, dia dapat
merasakan kehangatan nafas Irfan yang singgah di bibirnya. Dan secara sepontan
dia menjerit. Kedua-dua tangannya menolak tubuh Irfan yang begitu hampir dengan
tubuhnya. Sedaya yang dia ada dia menumbuk tubuh lelaki itu. Dan dalam keadaan
terperanjat dengan situasi itu Irfan jadi terkedu. Mai menjerit sekuat hatinya
sambil memukul tubuh Irfan dengan beg tangan yang diribanya sejak tadi.
Jeritannya itu membuatkan Irfan terkejut lantas menjauhkan diri. Dan bagaikan
sedang hesteria, Mai terus memukul dada Irfan dengan sekuat mungkin.
“Apa abang nak buat pada Mai
ni?” jerit Mai dengan marah.
“A... abang.... abang...,”
tergagap Irfan untuk menjawab pertanyaan itu.
“Abang jahat tau tak...
jahat... Mai terlena abang buat Mai macam ni. Jangan harap Mai nak keluar
dengan abang lagi..,” jerit Mai lagi.
Cepat-cepat tangannya membuka
pintu kereta dan dia melangkah keluar meninggalkan kereta itu. Terketar-ketar
tangannya mengeluarkan kunci mangga pintu pagar rumahnya dari beg tangan. Irfan
turut sama keluar dari kereta untuk memohon maaf. Cuba memegang tangan Mai
untuk meredakan kemarahan bekas isterinya itu, namun ternyata Mai cukup marah
dengan apa yang telah dilakukannya itu. Mai terus memukulnya lagi dengan beg
tangan.
“Pergi... pergi... Mai tak nak
tengok abang lagi... pergi...” jerit Mai.
“Mai, sabar sayang... abang
minta maaf... abang tak sengaja...,””
“Tak sengaja...? Abang boleh
cakap tak sengaja.... ?” jeritnya lagi.
Dalam suasana penuh kekalutan
itu Irfan cuba menenangkan Mai. Tidak ingin sesekali dia menarik perhatian
semua jiran di sekeliling rumah itu.
“Mai, jangan jerit macam ni...
nanti semua orang dengar... malu kita...,” katanya perlahan. Cuba untuk
menenangkan perasaan Mai, tetapi ternyata tidak mampu untuk dia melakukan itu.
“Pergi.... Mai tak mahu jumpa
abang lagi... pergi... ,” jeritnya.
“Mai, sekarang ni dah pukul
empat pagi... janganla macam ni... malu kita nanti...,” pujuk Irfan lagi.
“Pergi.....” jerit Mai tanpa
menghiraukan suasana sekeliling yang tadinya sunyi, tapi kini telah mengundang
perhatian beberapa orang jirannya yang terbangun dari tidur mereka dan sedang
menjenguk keluar dari jendela rumah masing-masing.
“Ok... ok.... abang pergi...
Mai masuklah... abang pergi...,” kata Irfan sambil cuba untuk menenangkan
perasaan wanita muda itu. Lantas dia masuk ke kereta, tetapi tidak terus pergi.
Dia perlu memastikan Mai selamat masuk ke dalam. Tapi kemarahan Mai terus
membuak-buak, lalu dilemparnya beg tangannya ke arah kereta Irfan. Tiada
pilihan lain, Irfan menghidupkan enjin kereta dan bergerak perlahan
meninggalkan kawasan rumah. Namun dia tidak terus pergi. Dia memberhentikan
kereta itu pada jarak sepuluh kaki untuk memastikan Mai selamat masuk ke dalam
rumah. Saat itu dia mampu melihat betapa Mai cuba berkali-kali untuk membuka
mangga pintu pagar rumah.
Terketar-ketar wanita muda itu
menahan perasaan. Marah, terkejut, kesal... dan pelbagai rasa lagi singgah di
hatinya. Sungguh dia tidak akan percaya pada lelaki ini lagi, bisik hatinya.
Akhirnya Mai berjaya membuka mangga yang mengunci pintu pagar rumahnya.
Cepat-cepat dia masuk dan mengunci kembali mangga tersebut. Terus dia berlari
ke pintu rumah. Dan sekali lagi dalam terketar-ketar dia mengambil masa yang
agak lama untuk membuka pintu. Tidak mampu untuk dia menggambarkan apa yang
dirasakan sepanjang waktu itu. Sungguh da menyesal mengikuti Irfan. Dia tidak akan
mempercayai Irfan. Tidak lagi...., dia meyakinkan dirinya saat itu.
Tiba di dalam rumah barulah
hatinya sedikit lega. Setelah memastikan pintu rumahnya berkunci, barulah dia
dapat menenangkan perasaannya. Terduduk dia di muka pintu dan saat itu barulah
dia menyedari bahawa pipinya sudah basah lencun dek air mata. Ya... dia tidak
akan percaya pada lelaki itu lagi.... ratapnya dalam hati.
13 comments:
syabas mai kerna mampu mengawal nafsu dari godaan...tabah n kuat iman mu mai biar pun masih ade rase cinta di ati wat ex suami.irfan harus terima andai ape pun pilihan mai...muga jodoh mai ngan syamsul di berkati ALLAH SAW.menarik sngt kisah ne wat...........
jahatla ipan ni..
cian mai..
baik die balik umah shamsul je..
Kesiannya pd semua pihak...
- Kesian kat Mai sbb dlm keadaan serba salah sbb dah mula kasihkan Syamsul dan tidak lagi pasti dgn perasaannya terhadap Irfan.
- Kesian kat Irfan sbb menyesal tak sudah kerana terlajak melafazkan talak 3 dan kini ingin kembali bersama Mai semula.
- Dan kesian kat Syamsul sbb telah mula menyayangi Mai tetapi tau bhw masa sbg suami kpd Mai ada hadnya dan dia was2 dgn kasihsayang Mai terhadapnya....
alahai, hukum tetap hukum mai oiii, telajak prahu blh la 'go-stan' (kata arwah nenek dulu2),but kalu dah terkata, terbuat huhuhuhu cian syamsul,mai pikir2 kan ye
makin suspens...
thumbs up kak hanni.
still best mcm dulu!
huhu
Hanni,
Macam biasa setiap kali n3 baru utk 'SCB' ini pasti menyentuh perasaan saya. Macam sy pula Mai, watak dlm cite ni.
Harap-2 Mai tdk lagi percaya dgn Irfan dan akan terus bersama Syamsul. Sesungguhnya cinta Mai kini sudah pun beralih arah kepada suami barunya iaitu Syamsul. Harap juga Syamsul lebih peka dgn keadaan yg dilalui oleh Mai.
Hanni,n3 baru bila? hari-2 sy akanbuka blog awk sbb tggu n3 baru. Thanks a lot dear for this n3.
Berdebor-debor baca entry ni till abis... suspen tu... mmg takut kalau2 Irfan buat something kat Mai... kan dah jadi..
Hopefully lepas ni Mai betul2 xkan percaya kat Irfan lagi.. jgnlah berani2 nak kuar dgn Irfan tu... bgtau ajelah kat parents Irfan tu hal sebenar, biar Irfan x kacau Mai lagi..
Mesti Syamsul tgh terluka bila Mai keluar dgn Irfan, dahlah jauh di kampung... cepat2lah Mai pujuk Syamsul, lupakan je si Irfan tu..
* Thanks, K.Laila!
betul tu berdebar rasa hati bila membaca entry kali ni...
Mai sekarang U isteri Syamsul so jagalah maruah suami dan diri sendiri lebih-lebih lagi sekarang Syamsul jauh ..... Mai pujuk lah Syamsul ...
Irfan tolong jaga sikit cara U bila dengan Mai.... Mai sekarang isteri orang.... cuba minta pendapat ibu bapa ya... berterus terang dengan family masalah Irfan dan Mai..... carilah penganti yang lain.... ... telajak perahu boleh ditarik, telajak talak 3 siapa yang susah???.... sendiri fikirkan lah
betul mai, jangan percaya lagi kat irfan ye, meh ngan abang syamsul je, ^_^. thanks k Laila,
Tahniah cerita anda dapat di garap dengan baik sekali, penulis mempunyai daya imaginasi yang memberangsangkan.....keep it up.
terima kasih Anon... saya cuma cuba buat sebaik mungkin. dan komen-komen membina amat saya alu-alukan..
Eee jahat la irfan tu.ambil kesempatan kat mai.mai baik berterus-terang ja kat parent irfan.cepat pujuk syamsul.
ada potensi selingkuh si mai tu..ramai tul orang dia nak..ishh-ishh..tahniah kat penulis..sebab pandai reka-reka cerita...sb ;)
sukses..
Post a Comment