Bab
29
Kereta
Mai perlahan-perlahan berhenti di tepi jalan berhampiran warung tempat
Syamsul berniaga. Syamsul mengerling ke arah jam buruk di tangannya
yang sedang menunjukkan ke pukul 9.00 pagi. Dia
baru sahaja selesai memotong dan membasuh daging untuk direbus. Sedikit
pun dia tidak menyangka Mai akan datang ke warung itu seawal ini. Pagi tadi dia
hanya meninggalkan Mai tanpa memberitahu akan pemergiannya. Sakit hatinya
dengan sikap Mai yang memperalatkannya sekali lagi.
Dia
mula menjerang periuk sup di atas dapur. Cuba buat-buat sibuk untuk
menyembunyikan perasaannya yang sedang gusar itu. Pelanggan yang sedang
membeli juadah sarapan pagi begitu ramai
sekali mengerumuni Kak Mariah. Semuanya dilayan dengan tenang oleh wanita itu
bersama dua orang anak-anaknya. Suaminya,
Abang Derasid pula sibuk menyediakan minuman bagi pelanggan yang sedang
makan di warung tersebut.
Kedatangan
Mai, Shuhaida dan Nabil disambut mesra oleh mereka. Dan pantas sekali Kak
Mariah memperkenalkan Mai kepada pelanggan yang ada. Mai bersalaman dengan
beberapa orang pelanggan perempuan yang menegurnya. Mata mereka kelihatan
meneliti rupa parasnya dengan penuh minat. Membuatkan dia merasa tidak begitu
senang kerana diperhatikan oleh pelanggan lelaki dan perempuan. Mungkin mereka
begitu ingin tahu tentang dirinya sehinggakan bila bertemu, dia di perhatikan
sebegitu. Dia membetulkan selendang yang disebarkan di kepalanya. Membetulkan
anak rambut yang terjuntai di dahi. Saat itu dia merasa amat menyesal kerana
memilih untuk mengenakan pakaian yang agak
mendedahkan susuk tubuhntya. Baju T berlengan pendek yang agak pendek
dan ketat beserta dengan seluar sendatnya membuatkan dia merasakan seperti
ditelanjangi oleh mata-mata yang memandangnya saat itu. Pakaian sebegini sudah
amat biasa dipakainya di Kuala Lumpur dan tiada yang pernah membuatkan dia
merasa teragak-agak sebegini. Hinggakan dia lupa pakaian sebegini tidak sesuai
untuk dipakai di sini. Hatinya merungut
dalam diam kerana Shuhaida langsung tidak memberikan apa-apa komen
terhadap pakaiannya itu semasa mereka di rumah tadi. Emak mertuanya juga tidak
berkata apa-apa.
Syamsul yang sejak dari tadi memerhatikan Mai dengan
ekor matanya cepat-cepat menggamitnya supaya masuk ke bahagian dalam gerai,
tempat dia memasak.
“Mai
pakai macam ni memang cantik... tapi tak
sesuai kat kampung macam ni...,” komen Syamsul
secara sepontan.
Kata-katanya
itu sengaja dikeraskan sehingga dapat dia melihat riak wajah Mai yang merah
akibat rasa malu. Muncung mulut isterinya itu begitu menggoda menyebabkan
terasa geram di hatinya. Ingin sekali dia mencium bibir itu untuk menghilangkan
perasaan marah Mai di saat itu. Tapi yang pastinya dia tidak akan berbuat
begitu di sini. Pasti nanti akan riuh sekampung akibat perlakuan yang terlintas
di hatinya itu. Dia senyum sendiri bila mengingatkan kemungkinan yang bakal
berlaku bila itu yang dilakukannya. Bila dia menyedari perlakuan sepontannya
itu, Syamsul kembali menyibukkan dirinya
dengan kerja yang tertangguh seketika tadi. Dia tidak mahu Mai sedar yang
hatinya mudah sejuk bila berhadapan dengan isterinya itu.
“Abang
ni... kut ye pun nak tegur Kak Mai, biarlah beralas sikit. Kecik hati Kak Mai
tu..,” rungut Shuhaida sambil tangannya menampar lengan Syamsul.
“Habis...
masuk kampung, pakai macam ni... mestilah abang marah...,” kata Syamsul.
“Yelah...
elok-elok la tegur tu... malu Kak Mai kalau orang kampung dengar. Mulut abang
tu lazer benar,”
“Tak
apalah... kalau tak suka... Mai baliklah... tukar baju,” kata Mai sambil
melayan rajuk di hatinya. Cepat dia berpaling untuk pergi. Tetapi langkahnya
terhenti bila jari Syamsul menggenggam
erat tangannya. Menghalang dari dia terus mengatur langkah.
“Jangan
keluar sekarang... pelanggan tengah ramai tu. Nanti banyak mata yang tengok body Mai tu. Mai hak abang.. abang saja
yang boleh tengok. Nanti biar Ida balik dengan motosikal, ambilkan baju yang
longgar sikit,” kata Syamsul tegas
sekali.
Dan
demi mendengarkan kata-kata itu bagaikan ada sesuatu yang mengelus lembut di
hati Mai. Syamsul mengistiharkan yang dirinya milik lelaki itu. Ketegasan
Syamsul mengucapkan kata-kata itu
bagaikan mengisyaratkan penerimaan suaminya itu terhadap dirinya. Tidak pernah
sesekali pun dia merasakan dimiliki sebegitu.
Betapa sebelum ini Irfan tidak pernah menghalang dia dari memakai apa
sahaja yang diinginkannya. Malah dia bebas melakukan apa sahaja yang
dimahukannya. Tidak langsung ada tanda-tanda yang Irfan cemburu bila dia
dipandang rakus oleh mata-mata lelaki yang terdedah dengan susuk tubuhnya yang
menggiurkan itu.
Tetapi lelaki ini, dalam kata dan tingkahnya,
telah mengistiharkan bahawa ada rasa cemburu di hati itu. Entah mengapa ada
rasa bahagia memeluk hati Mai saat mendengar Syamsul berkata begitu. Dia sepatutnya marah apabila
kebebasannya diikat seperti yang selalu berlaku antara dia dengan Irfan. Tetapi
saat ini bukan marah yang dirasakan. Namun bahagia, kerana terasa dirinya
dimiliki. Hinggakan dia terdiam, tidak mampu berkata apa-apa.
“Hah..
sekarang kupas bawang tu... abang nak masak sup ni...,” kata Syamsul yang bagaikan cuba untuk memecahkan suasana
hening yang berlalu seketika tadi. Dia tidak mengerti perasaan apakah yang
tergambar di wajah Mai. Bagaikan terkejut, bagaikan bahagia malah bagaikan ada
cahaya indah di mata isterinya bila dia berkata begitu sebentar tadi. Dan dia
tidak mahu biarkan dirinya larut dalam kolam mata itu. Bukan waktunya untuk
hanyut di saat ini. Dan dia tidak akan membiarkan Mai membuatkan dia hanyut
lagi.
Pantas
sekali tangannya menghulurkan bekas bawang dan pisau ke tangan Mai. Dan
bagaikan dalam mamai Mai menyambutnya dan mula duduk di meja kecil dalam ruang
dapur yang sempit itu. Peluh mula merintik di dahinya. Tetapi dia tidak
hiraukan itu.
Shuhaida
hanya memandang dengan penuh minat semua perlakuan kedua insan di hadapannya. Hatinya
terdetik rasa bahagia kerana akhirnya dia tahu abangnya sudah menemui cintanya
kembali. Jelas terpamer pada tingkah dan katanya. Dalam diam hatinya bagaikan
cemburu melihatkan semua ini. Ingin sekali rasanya dia menemui cinta yang
sebegini.
“Heee...
teruk la abang ni... paksa Kak Mai buat kerja-kerja macam tu,” rungut Shuhaida
demi untuk memecahkan kebisuan yang tiba-tiba antara mereka bertiga.
“Hah..
dah datang ke sini... janganla nak duduk goyang kaki... kenalah tolong..,” kata
Syamsul dengan sinis sekali.
“Akak
ni pun, ikut aje cakap abang tu. Tak bolehla macam tu... main paksa-paksa. Akak
datang tadi cakap nak tengok-tengok... Bukan kerja akak ni..,”
“Tak
apalah Ida... sengaja nak sakitkan hati akak tu.. biarlah dia..,” jawab Mai
perlahan. Ada rajuk di dalam suara itu. dan Syamsul menyedari semua itu. Tetapi dibiarkan sahaja
Mai berkata begitu.
“Heee...
tak faham betullah dengan abang ni. Bila akak tak ada... bukan main lagi menung
sini menung sana. Macam angau.. Tapi bila dah ada depan mata, nak menyakitkan
hati Kak Mai aje...,”
Mai
terdiam mendengarkan kata-kata itu. Rindukah Syamsul kepadanya? Lantas dia senyum sendiri.
Sangkanya dia sahaja yang merindu. Rupa-rupanya dirinya juga dirindui. Benarkah
begitu? Entah mengapa terasa berbunga di hati mendengarkan semua itu. Debaran
indahnya terasa begitu menyesakkan.
Mereka
menyibukkan diri untuk cuba mengelakkan satu sama lain. Selepas Shuhaida pulang
ke rumah untuk mengambil pakaian untuk Mai, barulah terasa agak selesa untuk
Mai keluar dan beramah mesra dengan pelanggan yang datang ke warung tersebut.
Juadah sarapan pagi yang dijual oleh Kak Mariah begitu tinggi permintaannya
sehinggakan Kak Mariah terpaksa memasak lauk tambahan untuk dijual. Hingga ke
pukul 12.00 tengahari masih lagi ada yang datang untuk membeli. Aktiviti jualan
terus disambung pula oleh Syamsul dan
kali ini juadah yang berlatarbelakangkan sup pula menjadi tumpuan pelanggan.
Nasi sup, meehoon sup, kueteow sup dan bubur nasi bersama sup adalah di
antaranya. Anak kak Mariah membantu membakar daging dan ayam sebagai lauk
pilihan untuk para pelanggan.
Berada
di dalam suasana sibuk sebegini menyebabkan timbul suatu rasa seronok di hati
Mai. Keakraban semua yang ada, diselangi pula dengan senda gurau menyebabkan
tidak terasa sedikit pun kepenatan walau sepanjang hari berada di warung
tersebut. Kedudukan warung yang strategik pula menyebabkan ramai pelanggan yang
singgah untuk membeli. Dan seperti biasa bila tiba waktu Zohor, Syamsul dan
Hafiz bergegas ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat jemaah. Sementara
itu Kak Mariah dan anak-anak perempuannya lah yang membantu mengambil alih
melayan pelanggan yang sedang ramai. Suasana sibuk hanya mula reda pada
kira-kira jam 3.00 petang. Kesempatan itu diambil oleh Mai untuk berehat
seketika sambil menikmati meehoon sup hasil tangan suaminya. Mereka duduk
semeja untuk makan bersama. Dan saat itu, bagaikan mengerti keinginan untuk
berdua bersendirian, maka mereka yang lain, terutamanya Shuhaida, tidak datang
mengganggu. Gadis itu hanya menjeling dari ekor matanya sahaja, mengintip
pasangan itu dalam diam.
“Mai,
nanti abang nak nombor akaun Mai,” tiba-tiba suara Syamsul memecah kebisuan antara mereka.
“Eh...
nak buat apa?” kata Mai dengan nada terkejut.
“Abang
nak pulangkan balik duit yang Mai bagi pinjam hari tu, masa mak sakit dulu,”
“Ohhh...,”
Syamsul diam memerhatikan wajah Mai yang sedikit
terkejut, bagaikan terkedu dengan kata-katanya itu.
“Abang
tak guna sesen pun,”
“Abang
boleh guna... untuk warung ni..,”
Kali
ini Syamsul pula yang terperanjat dengan
kata-kata itu. Dahinya berkerut sambil matanya memandang ke wajah Mai.
“Apa
maksud Mai?”
Nada
terkejutnya itu membuatkan Mai berhenti menyuap meehoon sup ke mulutnya. Dia
mengangkat muka memandang ke wajah suaminya.
“Abang
gunalah duit tu... untuk elokkan warung ni. Buat modal berniaga. Ataupun, kalau
nak... abang boleh siapkan chalet abang yang kat rumah mak tu..,” kata Mai
sambil kembali menyuap meehoon supnya.
“Eh...
mana boleh macam tu..,” kata Syamsul
pantas sekali.
“Kenapa
pulak tak boleh?”
“Itu
duit Mai,”
“Duit
tu Mai nak hadiahkan pada abang..”
“Tapi
kenapa..?”
“Sebab....
abang sudi jadi suami Mai,”
Terkedu
Syamsul mendengarkan kata-kata itu.
Terdiam dia seketika. Sedar akan apa yang dimaksudkan oleh Mai, dia bagaikan
terjaga dari mimpi.
“Ohhh.....,”
Mai
bagaikan dapat melihat perubahan di wajah Syamsul. Dia cuba membaca apa yang
tersirat di hati suaminya itu. Dan bagaikan mengerti, cepat-cepat dia memegang
tangan Syamsul. Menggenggam erat jari-jari yang terletak di atas meja.
“Bang....
maksud Mai, duit tu... Mai nak abang gunakan untuk baiki hidup abang...,”
“Mai
dah nak kita berpisah?”
“Abang...?”
“Dulu
Mai pernah kata, lepas tiga bulan. Tempoh tu dah lepas, maknanya sekarang Mai
dah nak minta abang lepaskan? Dan Mai nak bagi duit tu macam saguhati pada
abang?”
“Abang?”
“Dan
Mai balik ni... dengan Irfan ye? Tunggu masa abang lafazkan...,”
“Abang....,”
kata Mai dengan nada terkejut. “Jangan kata macam tu...,” sambungnya lagi.
“Habis...?
Bukan ke itu yang Mai rancang dulu...?”
“Abang...
janganla suka tuduh macam ni... Dengarla dulu apa Mai nak cakap..,” kata Mai
dengan nada yang marah juga. Cukup dia tidak suka dituduh sebegitu. Sememangnya
Syamsul
suka sekali menuduh yang bukan–bukan, tanpa usul periksa. Sakit sekali
hatinya di tuduh sebegitu.
Syamsul pula memandang ke wajah isterinya itu dengan
perasaan yang marah. Cukup dia merasa terhina diperlakukan sebegini. Dulu dia
terpesona dengan lagak gaya Mai yang menggodanya. Dan pagi tadi, sekali lagi
dia terpedaya. Dayus sungguh dirasakannya.
“Apa
lagi yang Mai nak cakap. Semuanya jelas sekarang. Mai balik, nak dapatkan lafaz
tu dari abang kan? Sogok kami dengan hadiah-hadiah semua tu. Mai tau tak, Nabil
sekarang dah berharap sangat Mai jadi umi dia? Kalau Mai tinggalkan dia nanti,
apa nak jadi dengan dia? Mai bagi harapan palsu pada dia, pada mak. Dan bila
masanya Mai nak pergi, senang hati je Mai pergi. Buat semua sedih...,”
“Semua....
termasuk abangkan?” pintas Mai sebelum Syamsul
meneruskan bicara. Matanya menatap jauh ke dalam mata Syamsul. Cuba
mencari jawapan bagi soalannya itu. Syamsul
terdiam.
“Tiap
kali kita cakap hal ini abang mesti akan kaitkan dengan Nabil atau mak. Kenapa
abang sendiri tak nak mengaku bahawa abang pun ada perasaan macam tu? Susah
sangat ke nak mengaku? Lepas tu, senang-senang aje buat tuduhan melulu.
Bukannya nak tanya apa yang sebenarnya, pakai tuduh aje tanpa usul periksa.
Macam mana kita nak bincang kalau macam ni. Mai pun ada perasaan jugak,”
“Apa
lagi nak bincang.... terus terang sajala..,” kata Syamsul tidak mahu beralah.
Saat
itu bagaikan ada yang dapat menghidu ketegangan di antara mereka. Setiap
mata yang ada di situ memandang penuh
minat dengan apa yang mereka bicarakan.
“Malasla
macam ni..., baik Mai balik aje..,” katanya dengan rajuk di hati. Lantas dia
bangun tanpa menghabiskan meehoon sup yang sedang dimakannya tadi. Seleranya
hilang dek tuduhan melulu Syamsul. Bila melihatkan Mai merajuk, rasa kesal
tiba-tiba menyentuh hati Syamsul. Dia sedar akan kesilapannya. Terlalu hanyut
dengan perasaan cemburu hinggakan tuduhan demi tuduhan dibuat tanpa usul
periksa. Cemburu....?
Saat
itu bagaikan ada yang memetik jari di hadapan matanya, hinggakan dia bagaikan
tersedar dari satu igauan. Cepat-cepat dia bangun untuk mendapatkan Mai yang
baru keluar dari ruang memasak setelah mengambil begnya yang ditinggalkan di
situ tadi. Pantas sekali tangannya memegang lengan Mai untuk menghentikan
langkah isterinya yang begitu laju, membawa rajuk di hati.
“Kita
cakap malam nanti...,” katanya cuba memujuk. Mai memandang ke wajahnya
seketika, menarik tangannya dari genggaman suaminya itu dan kemudian terus mengatur langkah tanpa
menghiraukan sesiapapun.
Nasib
baiklah ketika itu hanya ada dua orang pelanggan sahaja yang sedang makan di
sudut sebelah kiri warung tersebut. Pun begitu, insiden ini sedikitpun tidak
lepas dari pandangan mereka. Mai hanya menjeling meminta pengertian dari
Shuhaida ketika dia melintasi gadis itu dan Shuhaida pula bagaikan kelu
seketika melihatkan apa yang berlaku. Dan sepontan pula Shuhaida berpaling ke
arah abangnya sambil memberikan jelingan marah. Jelingan maut itu membuatkan
hati Syamsul makin lagi dicuit dengan rasa cukup bersalah.
“Nabil,
jom balik... umi dah penatla...,” ucapnya lembut pada Nabil yang sedang bermain
di halaman warung. Dia terus berlalu tanpa berpaling lagi, diekori oleh Nabil
yang langsung tidak menyedari keadaan tegang antara umi dan ayahnya. Yang dia
tahu, mereka akan pulang ke rumah. Pastinya nanti boleh bermain dengan kereta
kawalan jauh yang Mai hadiahkan untuknya. Hati kecil itu berlonjak riang.
Sepanjang
perjalanan pulang, Mai cuba untuk mengawal rasa marahnya. Bersama Nabil dia
bagaikan tidak mampu untuk terus merajuk. Setiap kata-kata manja anak kecil itu
dilayannya dengan mesra. Dan untuk seketika, diletakkan ketepi perasaan itu.
Dia tidak mahu anak kecil itu menghidu
apa yang dia rasakan terhadap ayahnya itu saat ini.
18 comments:
tersiksa jiwa raga baca sekerat2 ni..adesss..baru nk feeling kena tgg next entry...hihihi mai ngan syam jgn la gaduh2.. bincang elok2.. kak laila tq so much ..sangat2 best..
adessss da abis le plak... nape syamsul tuu... gabra tahap gaban latuuu...
alaaa nak merajuk dah mai.. 2la syamsul nie main tuduh2 plak..
Aduh Syamsul ni!!!!! Argggggg
Seksa ny tgu en3 cik writer keke,.jgn gaduh2 eh kome bdua,bincg leklok,. Mai kne bterus terang psl prsaan dia kt symsul keke
Waaaaa...tgok2 ada n3 bru...sukeeeee sgt2....harap mlm nanti mai cter la pkra sbnr...mtak2 la symsul tahu pkra sbnr...eeerr x sbrnye...
apa kata kita kasi takzirah kat mamat stone poyo yg berlagak tu..cuba bila nak lontarkan kata kata tu..cer fikir dulu.. mmg betui mai cakap..bila dia buka mulut ..tak ada satu pun perkataan dia yg menyentuh jiwa wanita mai selain kata kata sinis..macam manalah wanita tu nak jatuh hati dengan dirinya.. kan..
Cubalah mamat tu ambik pendekatan yg lain..cuba gunakan psikologi sikit bila cakap ngan mai..dia kan bini awak..macam awak cakap tadilah kan..kalau mai nak bercerai dengan dia ...dah lama dia minta..kan..sedangkan pagi tadi..minah tu dah layan dia cukup bagus..maknanya..apa.. mestilah sudah ada rasa cinta dan kasih buat dirinya..cuba tanya eluk eluk..kadang kadang action speaks better than words..
ish ish ish ... ingat kan dah nak luahkan perasaan td ... xper xper we wait next entry....rasa xpuas....
Susah..susah kalau dua-dua macam ni. Sorang dengan syak wasangka, dan yang sorang lagi pula malu nak berterus terang. Apa salahnya Mai dan Syam duduk dan berbincang dari hati ke hati. Barulah mereka mengerti tentang hati dan perasaan masing-2 yg dah mula menyintai satu sama lain. Harap-2 lepas ini tak ada lagi perselisihan faham diantara mereka berdua.
Berbincang lah elok-elok syamsul... jangan buat andaian sendiri x baik.... dengar apa yang Mai nak cakap.... dan berterus terang tentang hati masing-masing.... nexttt.... x sabar tau...
Sungguh happy dihari Jumaat ni...buka2 jer dah ada new n3...Kak Laila..bestttnya...rasa nak tak sabar nak tunggu for the next n3...dan tahniah untuk novel terbaru akak yg sekarang ini saya tengah berusaha ukt mendapatkannya...
Nampaknya Syamsul terburu2 buat serkap jarang dengan Mai, ialah cemburulah katakan... pujuklah Mai tu dan berbincanglah... kalau perlu suruh je Mai pindah ngajar kat kg boleh sentiasa di sisi...
Bestnyer.. Buka je blog, ada n3 br.. Syamsul ni nyampah tul lah.. Suka btindak melulu. Kan mai dh merajuk.. Xsbr nk bc n3 baru.. Jgn lelama tau kak laila.. Hehehhe
-Ika Hatika-
Best....nk lgi..jgn arr gaduh2 xbaek....nnti mesti mai m'gandung anak syamsul kan....
Mai ni lemah lembut. Tak reti nak marah @ melawan. Tau merajuk jer... ^_^
apa ler samsul neh...asal bukak mulut je macam naga berapi...baran tak abis2...kang mai lari betul2 kang baru tau menyesal...baru ler meroyan 40 ari 40 malam...dah ada depan mata tu tak mo layan leklok...sengal + poyo betul ler samsul neh...
**kak novel baru kak baru jek lepas khatam...nak komen tak reti tapi saya nak bagi 4 bintang..besttttt bangatttt...
ego,cemburu,tercabar dah tahap kritikal wat shamsul,mane tk nye perkhawinan 'cina buta' akhir nye makan ati sndri...tu lh rase cinta ne bukan bleh di buat2 kalu dah ter.. tu bleh ke buang perasaan tu!!!ape pun berlaku pas ne untuk berpisah or teruskan...Tepuk Dada Tanye Lah Hati,....tp cam shamsul n mai dh sama2 fall in lov so why not go no jer....cian kat mak shamsul n nabil dua insan yg ingin menumpang kasih mai.
Post a Comment