Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 29

Kereta Mai perlahan-perlahan berhenti di tepi jalan berhampiran warung tempat Syamsul  berniaga. Syamsul  mengerling ke arah jam buruk di tangannya yang sedang menunjukkan ke pukul 9.00 pagi. Dia  baru sahaja selesai memotong dan membasuh daging untuk direbus. Sedikit pun dia tidak menyangka Mai akan datang ke warung itu seawal ini. Pagi tadi dia hanya meninggalkan Mai tanpa memberitahu akan pemergiannya. Sakit hatinya dengan sikap Mai yang memperalatkannya sekali lagi.

Dia mula menjerang periuk sup di atas dapur. Cuba buat-buat sibuk untuk menyembunyikan perasaannya yang sedang gusar itu. Pelanggan yang sedang membeli  juadah sarapan pagi begitu ramai sekali mengerumuni Kak Mariah. Semuanya dilayan dengan tenang oleh wanita itu bersama dua orang anak-anaknya. Suaminya,  Abang Derasid pula sibuk menyediakan minuman bagi pelanggan yang sedang makan di warung tersebut.

Kedatangan Mai, Shuhaida dan Nabil disambut mesra oleh mereka. Dan pantas sekali Kak Mariah memperkenalkan Mai kepada pelanggan yang ada. Mai bersalaman dengan beberapa orang pelanggan perempuan yang menegurnya. Mata mereka kelihatan meneliti rupa parasnya dengan penuh minat. Membuatkan dia merasa tidak begitu senang kerana diperhatikan oleh pelanggan lelaki dan perempuan. Mungkin mereka begitu ingin tahu tentang dirinya sehinggakan bila bertemu, dia di perhatikan sebegitu. Dia membetulkan selendang yang disebarkan di kepalanya. Membetulkan anak rambut yang terjuntai di dahi. Saat itu dia merasa amat menyesal kerana memilih untuk mengenakan pakaian yang agak  mendedahkan susuk tubuhntya. Baju T berlengan pendek yang agak pendek dan ketat beserta dengan seluar sendatnya membuatkan dia merasakan seperti ditelanjangi oleh mata-mata yang memandangnya saat itu. Pakaian sebegini sudah amat biasa dipakainya di Kuala Lumpur dan tiada yang pernah membuatkan dia merasa teragak-agak sebegini. Hinggakan dia lupa pakaian sebegini tidak sesuai untuk dipakai di sini. Hatinya merungut  dalam diam kerana Shuhaida langsung tidak memberikan apa-apa komen terhadap pakaiannya itu semasa mereka di rumah tadi. Emak mertuanya juga tidak berkata apa-apa.

Syamsul  yang sejak dari tadi memerhatikan Mai dengan ekor matanya cepat-cepat menggamitnya supaya masuk ke bahagian dalam gerai, tempat dia memasak.

“Mai pakai macam ni  memang cantik... tapi tak sesuai kat kampung macam ni...,” komen Syamsul  secara sepontan.

Kata-katanya itu sengaja dikeraskan sehingga dapat dia melihat riak wajah Mai yang merah akibat rasa malu. Muncung mulut isterinya itu begitu menggoda menyebabkan terasa geram di hatinya. Ingin sekali dia mencium bibir itu untuk menghilangkan perasaan marah Mai di saat itu. Tapi yang pastinya dia tidak akan berbuat begitu di sini. Pasti nanti akan riuh sekampung akibat perlakuan yang terlintas di hatinya itu. Dia senyum sendiri bila mengingatkan kemungkinan yang bakal berlaku bila itu yang dilakukannya. Bila dia menyedari perlakuan sepontannya itu, Syamsul  kembali menyibukkan dirinya dengan kerja yang tertangguh seketika tadi. Dia tidak mahu Mai sedar yang hatinya mudah sejuk bila berhadapan dengan isterinya itu.

“Abang ni... kut ye pun nak tegur Kak Mai, biarlah beralas sikit. Kecik hati Kak Mai tu..,” rungut Shuhaida sambil tangannya menampar lengan Syamsul.

“Habis... masuk kampung, pakai macam ni... mestilah abang marah...,” kata Syamsul.

“Yelah... elok-elok la tegur tu... malu Kak Mai kalau orang kampung dengar. Mulut abang tu lazer benar,”

“Tak apalah... kalau tak suka... Mai baliklah... tukar baju,” kata Mai sambil melayan rajuk di hatinya. Cepat dia berpaling untuk pergi. Tetapi langkahnya terhenti bila jari Syamsul  menggenggam erat tangannya. Menghalang dari dia terus mengatur langkah.

“Jangan keluar sekarang... pelanggan tengah ramai tu. Nanti banyak mata yang tengok body Mai tu. Mai hak abang.. abang saja yang boleh tengok. Nanti biar Ida balik dengan motosikal, ambilkan baju yang longgar sikit,” kata Syamsul  tegas sekali.

Dan demi mendengarkan kata-kata itu bagaikan ada sesuatu yang mengelus lembut di hati Mai. Syamsul mengistiharkan yang dirinya milik lelaki itu. Ketegasan Syamsul  mengucapkan kata-kata itu bagaikan mengisyaratkan penerimaan suaminya itu terhadap dirinya. Tidak pernah sesekali pun dia merasakan dimiliki sebegitu.  Betapa sebelum ini Irfan tidak pernah menghalang dia dari memakai apa sahaja yang diinginkannya. Malah dia bebas melakukan apa sahaja yang dimahukannya. Tidak langsung ada tanda-tanda yang Irfan cemburu bila dia dipandang rakus oleh mata-mata lelaki yang terdedah dengan susuk tubuhnya yang menggiurkan itu.

  Tetapi lelaki ini, dalam kata dan tingkahnya, telah mengistiharkan bahawa ada rasa cemburu di hati itu. Entah mengapa ada rasa bahagia memeluk hati Mai saat mendengar Syamsul  berkata begitu. Dia sepatutnya marah apabila kebebasannya diikat seperti yang selalu berlaku antara dia dengan Irfan. Tetapi saat ini bukan marah yang dirasakan. Namun bahagia, kerana terasa dirinya dimiliki. Hinggakan dia terdiam, tidak mampu berkata apa-apa.

“Hah.. sekarang kupas bawang tu... abang nak masak sup ni...,” kata Syamsul  yang bagaikan cuba untuk memecahkan suasana hening yang berlalu seketika tadi. Dia tidak mengerti perasaan apakah yang tergambar di wajah Mai. Bagaikan terkejut, bagaikan bahagia malah bagaikan ada cahaya indah di mata isterinya bila dia berkata begitu sebentar tadi. Dan dia tidak mahu biarkan dirinya larut dalam kolam mata itu. Bukan waktunya untuk hanyut di saat ini. Dan dia tidak akan membiarkan Mai membuatkan dia hanyut lagi.

Pantas sekali tangannya menghulurkan bekas bawang dan pisau ke tangan Mai. Dan bagaikan dalam mamai Mai menyambutnya dan mula duduk di meja kecil dalam ruang dapur yang sempit itu. Peluh mula merintik di dahinya. Tetapi dia tidak hiraukan itu.

Shuhaida hanya memandang dengan penuh minat semua perlakuan kedua insan di hadapannya. Hatinya terdetik rasa bahagia kerana akhirnya dia tahu abangnya sudah menemui cintanya kembali. Jelas terpamer pada tingkah dan katanya. Dalam diam hatinya bagaikan cemburu melihatkan semua ini. Ingin sekali rasanya dia menemui cinta yang sebegini.

“Heee... teruk la abang ni... paksa Kak Mai buat kerja-kerja macam tu,” rungut Shuhaida demi untuk memecahkan kebisuan yang tiba-tiba antara mereka bertiga.

“Hah.. dah datang ke sini... janganla nak duduk goyang kaki... kenalah tolong..,” kata Syamsul  dengan sinis sekali.

“Akak ni pun, ikut aje cakap abang tu. Tak bolehla macam tu... main paksa-paksa. Akak datang tadi cakap nak tengok-tengok... Bukan kerja akak ni..,”

“Tak apalah Ida... sengaja nak sakitkan hati akak tu.. biarlah dia..,” jawab Mai perlahan. Ada rajuk di dalam suara itu. dan Syamsul  menyedari semua itu. Tetapi dibiarkan sahaja Mai berkata begitu.

“Heee... tak faham betullah dengan abang ni. Bila akak tak ada... bukan main lagi menung sini menung sana. Macam angau.. Tapi bila dah ada depan mata, nak menyakitkan hati Kak Mai aje...,”

Mai terdiam mendengarkan kata-kata itu. Rindukah Syamsul  kepadanya? Lantas dia senyum sendiri. Sangkanya dia sahaja yang merindu. Rupa-rupanya dirinya juga dirindui. Benarkah begitu? Entah mengapa terasa berbunga di hati mendengarkan semua itu. Debaran indahnya terasa begitu menyesakkan.

Mereka menyibukkan diri untuk cuba mengelakkan satu sama lain. Selepas Shuhaida pulang ke rumah untuk mengambil pakaian untuk Mai, barulah terasa agak selesa untuk Mai keluar dan beramah mesra dengan pelanggan yang datang ke warung tersebut. Juadah sarapan pagi yang dijual oleh Kak Mariah begitu tinggi permintaannya sehinggakan Kak Mariah terpaksa memasak lauk tambahan untuk dijual. Hingga ke pukul 12.00 tengahari masih lagi ada yang datang untuk membeli. Aktiviti jualan terus disambung pula oleh Syamsul  dan kali ini juadah yang berlatarbelakangkan sup pula menjadi tumpuan pelanggan. Nasi sup, meehoon sup, kueteow sup dan bubur nasi bersama sup adalah di antaranya. Anak kak Mariah membantu membakar daging dan ayam sebagai lauk pilihan untuk para pelanggan.

Berada di dalam suasana sibuk sebegini menyebabkan timbul suatu rasa seronok di hati Mai. Keakraban semua yang ada, diselangi pula dengan senda gurau menyebabkan tidak terasa sedikit pun kepenatan walau sepanjang hari berada di warung tersebut. Kedudukan warung yang strategik pula menyebabkan ramai pelanggan yang singgah untuk membeli. Dan seperti biasa bila tiba waktu Zohor, Syamsul dan Hafiz bergegas ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat jemaah. Sementara itu Kak Mariah dan anak-anak perempuannya lah yang membantu mengambil alih melayan pelanggan yang sedang ramai. Suasana sibuk hanya mula reda pada kira-kira jam 3.00 petang. Kesempatan itu diambil oleh Mai untuk berehat seketika sambil menikmati meehoon sup hasil tangan suaminya. Mereka duduk semeja untuk makan bersama. Dan saat itu, bagaikan mengerti keinginan untuk berdua bersendirian, maka mereka yang lain, terutamanya Shuhaida, tidak datang mengganggu. Gadis itu hanya menjeling dari ekor matanya sahaja, mengintip pasangan itu dalam diam.

“Mai, nanti abang nak nombor akaun Mai,” tiba-tiba suara Syamsul  memecah kebisuan antara mereka.

“Eh... nak buat apa?” kata Mai dengan nada terkejut.

“Abang nak pulangkan balik duit yang Mai bagi pinjam hari tu, masa mak sakit dulu,”

“Ohhh...,”

Syamsul  diam memerhatikan wajah Mai yang sedikit terkejut, bagaikan terkedu dengan kata-katanya itu.

“Abang tak guna sesen pun,”

“Abang boleh guna... untuk warung ni..,”

Kali ini Syamsul  pula yang terperanjat dengan kata-kata itu. Dahinya berkerut sambil matanya memandang ke wajah Mai.

“Apa maksud Mai?”

Nada terkejutnya itu membuatkan Mai berhenti menyuap meehoon sup ke mulutnya. Dia mengangkat muka memandang ke wajah suaminya.

“Abang gunalah duit tu... untuk elokkan warung ni. Buat modal berniaga. Ataupun, kalau nak... abang boleh siapkan chalet abang yang kat rumah mak tu..,” kata Mai sambil kembali menyuap meehoon supnya.

“Eh... mana boleh macam tu..,” kata Syamsul  pantas sekali.

“Kenapa pulak tak boleh?”

“Itu duit Mai,”

“Duit tu Mai nak hadiahkan pada abang..”

“Tapi kenapa..?”

“Sebab.... abang sudi jadi suami Mai,”

Terkedu Syamsul  mendengarkan kata-kata itu. Terdiam dia seketika. Sedar akan apa yang dimaksudkan oleh Mai, dia bagaikan terjaga dari mimpi.

“Ohhh.....,”

Mai bagaikan dapat melihat perubahan di wajah Syamsul. Dia cuba membaca apa yang tersirat di hati suaminya itu. Dan bagaikan mengerti, cepat-cepat dia memegang tangan Syamsul. Menggenggam erat jari-jari yang terletak di atas meja.

“Bang.... maksud Mai, duit tu... Mai nak abang gunakan untuk baiki hidup abang...,”

“Mai dah nak kita berpisah?”

“Abang...?”

“Dulu Mai pernah kata, lepas tiga bulan. Tempoh tu dah lepas, maknanya sekarang Mai dah nak minta abang lepaskan? Dan Mai nak bagi duit tu macam saguhati pada abang?”

“Abang?”

“Dan Mai balik ni... dengan Irfan ye? Tunggu masa abang lafazkan...,”

“Abang....,” kata Mai dengan nada terkejut. “Jangan kata macam tu...,” sambungnya lagi.

“Habis...? Bukan ke itu yang Mai rancang dulu...?”

“Abang... janganla suka tuduh macam ni... Dengarla dulu apa Mai nak cakap..,” kata Mai dengan nada yang marah juga. Cukup dia tidak suka dituduh sebegitu. Sememangnya  Syamsul  suka sekali menuduh yang bukan–bukan, tanpa usul periksa. Sakit sekali hatinya di tuduh sebegitu.

Syamsul  pula memandang ke wajah isterinya itu dengan perasaan yang marah. Cukup dia merasa terhina diperlakukan sebegini. Dulu dia terpesona dengan lagak gaya Mai yang menggodanya. Dan pagi tadi, sekali lagi dia terpedaya. Dayus sungguh dirasakannya.

“Apa lagi yang Mai nak cakap. Semuanya jelas sekarang. Mai balik, nak dapatkan lafaz tu dari abang kan? Sogok kami dengan hadiah-hadiah semua tu. Mai tau tak, Nabil sekarang dah berharap sangat Mai jadi umi dia? Kalau Mai tinggalkan dia nanti, apa nak jadi dengan dia? Mai bagi harapan palsu pada dia, pada mak. Dan bila masanya Mai nak pergi, senang hati je Mai pergi. Buat semua sedih...,”

“Semua.... termasuk abangkan?” pintas Mai sebelum Syamsul  meneruskan bicara. Matanya menatap jauh ke dalam mata Syamsul. Cuba mencari jawapan bagi soalannya itu. Syamsul  terdiam.

“Tiap kali kita cakap hal ini abang mesti akan kaitkan dengan Nabil atau mak. Kenapa abang sendiri tak nak mengaku bahawa abang pun ada perasaan macam tu? Susah sangat ke nak mengaku? Lepas tu, senang-senang aje buat tuduhan melulu. Bukannya nak tanya apa yang sebenarnya, pakai tuduh aje tanpa usul periksa. Macam mana kita nak bincang kalau macam ni. Mai pun ada perasaan jugak,”

“Apa lagi nak bincang.... terus terang sajala..,” kata Syamsul  tidak mahu beralah.

Saat itu bagaikan ada yang dapat menghidu ketegangan di antara mereka. Setiap mata  yang ada di situ memandang penuh minat dengan apa yang mereka bicarakan.

“Malasla macam ni..., baik Mai balik aje..,” katanya dengan rajuk di hati. Lantas dia bangun tanpa menghabiskan meehoon sup yang sedang dimakannya tadi. Seleranya hilang dek tuduhan melulu Syamsul. Bila melihatkan Mai merajuk, rasa kesal tiba-tiba menyentuh hati Syamsul. Dia sedar akan kesilapannya. Terlalu hanyut dengan perasaan cemburu hinggakan tuduhan demi tuduhan dibuat tanpa usul periksa. Cemburu....?

Saat itu bagaikan ada yang memetik jari di hadapan matanya, hinggakan dia bagaikan tersedar dari satu igauan. Cepat-cepat dia bangun untuk mendapatkan Mai yang baru keluar dari ruang memasak setelah mengambil begnya yang ditinggalkan di situ tadi. Pantas sekali tangannya memegang lengan Mai untuk menghentikan langkah isterinya yang begitu laju, membawa rajuk di hati.

“Kita cakap malam nanti...,” katanya cuba memujuk. Mai memandang ke wajahnya seketika, menarik tangannya dari genggaman suaminya itu dan  kemudian terus mengatur langkah tanpa menghiraukan sesiapapun.

Nasib baiklah ketika itu hanya ada dua orang pelanggan sahaja yang sedang makan di sudut sebelah kiri warung tersebut. Pun begitu, insiden ini sedikitpun tidak lepas dari pandangan mereka. Mai hanya menjeling meminta pengertian dari Shuhaida ketika dia melintasi gadis itu dan Shuhaida pula bagaikan kelu seketika melihatkan apa yang berlaku. Dan sepontan pula Shuhaida berpaling ke arah abangnya sambil memberikan jelingan marah. Jelingan maut itu membuatkan hati Syamsul makin lagi dicuit dengan rasa cukup bersalah. 

“Nabil, jom balik... umi dah penatla...,” ucapnya lembut pada Nabil yang sedang bermain di halaman warung. Dia terus berlalu tanpa berpaling lagi, diekori oleh Nabil yang langsung tidak menyedari keadaan tegang antara umi dan ayahnya. Yang dia tahu, mereka akan pulang ke rumah. Pastinya nanti boleh bermain dengan kereta kawalan jauh yang Mai hadiahkan untuknya. Hati kecil itu berlonjak riang.

Sepanjang perjalanan pulang, Mai cuba untuk mengawal rasa marahnya. Bersama Nabil dia bagaikan tidak mampu untuk terus merajuk. Setiap kata-kata manja anak kecil itu dilayannya dengan mesra. Dan untuk seketika, diletakkan ketepi perasaan itu. Dia tidak mahu  anak kecil itu menghidu apa yang dia rasakan terhadap ayahnya itu saat ini.

18 comments:

Unknown said...

tersiksa jiwa raga baca sekerat2 ni..adesss..baru nk feeling kena tgg next entry...hihihi mai ngan syam jgn la gaduh2.. bincang elok2.. kak laila tq so much ..sangat2 best..

Akulah.zaty said...

adessss da abis le plak... nape syamsul tuu... gabra tahap gaban latuuu...

Lieynaim mohd noor said...

alaaa nak merajuk dah mai.. 2la syamsul nie main tuduh2 plak..

Unknown said...

Aduh Syamsul ni!!!!! Argggggg

Wan Ruzana said...

Seksa ny tgu en3 cik writer keke,.jgn gaduh2 eh kome bdua,bincg leklok,. Mai kne bterus terang psl prsaan dia kt symsul keke

Anonymous said...

Waaaaa...tgok2 ada n3 bru...sukeeeee sgt2....harap mlm nanti mai cter la pkra sbnr...mtak2 la symsul tahu pkra sbnr...eeerr x sbrnye...

kak ida said...

apa kata kita kasi takzirah kat mamat stone poyo yg berlagak tu..cuba bila nak lontarkan kata kata tu..cer fikir dulu.. mmg betui mai cakap..bila dia buka mulut ..tak ada satu pun perkataan dia yg menyentuh jiwa wanita mai selain kata kata sinis..macam manalah wanita tu nak jatuh hati dengan dirinya.. kan..

Cubalah mamat tu ambik pendekatan yg lain..cuba gunakan psikologi sikit bila cakap ngan mai..dia kan bini awak..macam awak cakap tadilah kan..kalau mai nak bercerai dengan dia ...dah lama dia minta..kan..sedangkan pagi tadi..minah tu dah layan dia cukup bagus..maknanya..apa.. mestilah sudah ada rasa cinta dan kasih buat dirinya..cuba tanya eluk eluk..kadang kadang action speaks better than words..

aida_burn said...

ish ish ish ... ingat kan dah nak luahkan perasaan td ... xper xper we wait next entry....rasa xpuas....

has_1309 said...

Susah..susah kalau dua-dua macam ni. Sorang dengan syak wasangka, dan yang sorang lagi pula malu nak berterus terang. Apa salahnya Mai dan Syam duduk dan berbincang dari hati ke hati. Barulah mereka mengerti tentang hati dan perasaan masing-2 yg dah mula menyintai satu sama lain. Harap-2 lepas ini tak ada lagi perselisihan faham diantara mereka berdua.

Kak Sue said...
This comment has been removed by the author.
Kak Sue said...

Berbincang lah elok-elok syamsul... jangan buat andaian sendiri x baik.... dengar apa yang Mai nak cakap.... dan berterus terang tentang hati masing-masing.... nexttt.... x sabar tau...

Anonymous said...

Sungguh happy dihari Jumaat ni...buka2 jer dah ada new n3...Kak Laila..bestttnya...rasa nak tak sabar nak tunggu for the next n3...dan tahniah untuk novel terbaru akak yg sekarang ini saya tengah berusaha ukt mendapatkannya...

Unknown said...

Nampaknya Syamsul terburu2 buat serkap jarang dengan Mai, ialah cemburulah katakan... pujuklah Mai tu dan berbincanglah... kalau perlu suruh je Mai pindah ngajar kat kg boleh sentiasa di sisi...

Hatika said...

Bestnyer.. Buka je blog, ada n3 br.. Syamsul ni nyampah tul lah.. Suka btindak melulu. Kan mai dh merajuk.. Xsbr nk bc n3 baru.. Jgn lelama tau kak laila.. Hehehhe

-Ika Hatika-

Anonymous said...

Best....nk lgi..jgn arr gaduh2 xbaek....nnti mesti mai m'gandung anak syamsul kan....

misza said...

Mai ni lemah lembut. Tak reti nak marah @ melawan. Tau merajuk jer... ^_^

kak nora said...

apa ler samsul neh...asal bukak mulut je macam naga berapi...baran tak abis2...kang mai lari betul2 kang baru tau menyesal...baru ler meroyan 40 ari 40 malam...dah ada depan mata tu tak mo layan leklok...sengal + poyo betul ler samsul neh...

**kak novel baru kak baru jek lepas khatam...nak komen tak reti tapi saya nak bagi 4 bintang..besttttt bangatttt...

Unknown said...

ego,cemburu,tercabar dah tahap kritikal wat shamsul,mane tk nye perkhawinan 'cina buta' akhir nye makan ati sndri...tu lh rase cinta ne bukan bleh di buat2 kalu dah ter.. tu bleh ke buang perasaan tu!!!ape pun berlaku pas ne untuk berpisah or teruskan...Tepuk Dada Tanye Lah Hati,....tp cam shamsul n mai dh sama2 fall in lov so why not go no jer....cian kat mak shamsul n nabil dua insan yg ingin menumpang kasih mai.

Post a Comment

Popular Posts