Bab 2
Fauzi mengeluh perlahan sambil matanya buntang
memandang ke skrin telefon. Memang cukup susah berurusan dengan gadis ini.
Terlalu banyak tindakan Fazila yang dia tidak dapat jangkakan. Baru dua hari
lepas dia telah berpesan supaya Fazila memberitahunya sebelum gadis itu balik
ke kampung. Dia ingin keluar dengan gadis manis itu. “For the sake off friendship” katanya pada Fazila. Dalam diam gadis itu senyum bagaikan bersetuju.
Sangkanya itulah yang akan berlaku, walaupun ada sedikit ragu dengan sikap Fazila
waktu itu. Namun hatinya tetap berlagu dan dia cukup teruja menanti saat-saat
itu tiba. Malah dia sudah merancang untuk membawa Fazila ke satu tempat
istimewa. Manalah tau kalau-kalau Fazila berubah fikiran tentang hubungan
mereka. Mungkin sedikit dari ruang itu masih ada buatnya. Dia masih tidak mahu
kalah dalam mengatur harapan.
Tapi lain pula jadinya. Malam ini Fazila pulang ke
kampung tanpa sedikit pun memberitahunya. Kalau bukan Nadia yang SMS
memberitahunya tentang perkara ini sebentar tadi, tentu dia terus tidak akan
tahu. Bila dia mengubungi Fazila, temannya itu sudah pun berada di perhentian bas
untuk pulang ke kampung. Kalaupun dia datang, pasti tidak sempat untuk menemui
Fazila. Selepas berbual seketika, Fazila
minta untuk memutuskan talian. Tak selesa katanya kerana terpaksa bercakap
dalam nada berbisik. “Macam kekasihla
pulak pakai bisik-bisik gini, Kalau
cakap kuat-kuat nanti satu stesen bas ni dapat dengar suara saya...,” itu kata
Fazila dalam gurauannya sebentar tadi. Tapi memang dia akui, suara Fazila yang bernada
perlahan begitu bagaikan berbisik menyapa hati. Manja dan lembut sekali. Dia
tahu bukan Fazila sengaja bersuara lunak sebegitu. Sememangnya Fazila sopan
bila berbicara malah dalam setiap tingkah lakunya. Walaupun dia tahu adakalanya
Fazila cuba untuk berpura-pura supaya
perwatakan kelihatan kasar terutamanya apabila berada di kalangan teman-teman
yang majoritinya lelaki. Namun Fazila tidak mampu menyembunyikan kelembutan
yang ada dalam dirinya itu.
Sikap itulah yang begitu memikat hati lelakinya. Berada
dalam dunia lelaki dia tahu Fazila cuba mengelak dari mempergunakan sifat
kewanitaannya untuk mengambil kesempatan. Dia sanggup melakukan sendiri semua
kerja-kerja kasar yang diarahkan oleh pensyarah mereka. Malah seringkali dia
menolak bila ada yang sangup untuk menawarkan diri untuk menyiapkan
projek-projek yang perlu mereka hantar. Dia tidak seperti teman-teman perempuan
lain yang selalunya akan mengayat
kawan-kawan lelaki mereka untuk menyiapkan projek di bengkel kejuruteraan. Ada
sesetengahnya pula sanggup keluar bersama juruteknik-juruteknik bengkel yang
kesemuanya lelaki sebagai balasan dalam
kerja-kerja mengayat mereka.
Sejak dia
mengenali Fazila apabila bersama dalam kelas Thermodinamik di tahun kedua
pengajian mereka, hatinya sudah terpikat. Namun telah puas dia berusaha untuk
memenangi hati gadis manis itu. Kini, bagai sudah malas untuk dia terus
berusaha lagi. Fazila dengan tegas telah mengisyaratkan ‘NO’ kepadanya. Maka dia perlu menghormati keputusan itu walaupun
hatinya pernah sakit seketika dulu. Nasib baik Fazila menjelaskan tentang
pendiriannya dalam sebuah perhubungan. Hanya itu yang buat dia dapat menerima
kenyataan.
“Bila kau balik kampung kau Pudji..,” tanya temannya
Tojo yang sejak dari tadi memerhatikannya. Risau melihatkan teman yang sejak
mematikan talian telefonnya sebentar tadi diam melayan perasaan sehinggakan
suasana bingar di warung tempat mereka makan itu sedikit pun tidak Fauzi
hiraukan.
“Esok kut... ,” jawab Fauzi. Bagaikan baru tersedar di
mana dia berada saat itu. Tempat yang memang tidak sesuai untuk melayan
perasaan.
“Huh.. aku pelik la dengan kau ni. Kan dah lama kau submit report project kau tu? Tunggu
apa lagi...?”
“Tak adalah... lepas ni mana ada nak datang ke sini
lagi. Jadi aku nak nikmati hari-hari terakhir aku kat sini. Bila dah start
kerja nanti mana boleh lepak gini lagi...,”
“Kau dah contact
Texas ke beritahu kau dah habis ni?”
“Belum... malas lagi. Aku nak rehat dulu seminggu
dua.. Dia orang pun mana ada set tarikh bila aku kena mula kerja. Cuma dia
orang pesan, kalau dah clear semua subject, baru contact
dia orang. So, relexla bro...,”
“Dah puasla lepak ni ye? Itu yang nak balik dah tu...,
entah-entah Fazila pun balik esok kut?” Tojo meneka. Dia tahu perasaan Fauzi
terhadap teman sekuliah mereka yang jinak-jinak merpati itu.
Fauzi diam. Malas hendak bertekak dengan Tojo
yang seringkali mengusiknya bila saja
nama Fazila disebut. Bukan hanya Tojo yang tahu tentang perasaannya terhadap
Fazila , malah mungkin semua teman-teman lain pun tahu. Tapi itu semua tidak
menjadi masalah buat dirinya. Mungkin ada yang mengutuknya, mengatakan dia
bertepuk sebelah tangan. Namun bukankah ramai lagi yang sebegitu dengan Fazila,
seorang gadis manis yang terlalu menjaga maruah dan peradabannya.
“Dia dah nak balik pun.... sekejap lagi naik bas...,”
“Huh.... kau tak pergi hantar ke?”
“Tak... dia naik bas kat Kulai sebab dia hantar
barang-barang dia tumpangkan kat rumah Yaya. Sikitpun dia tak call aku, cakap nak balik malam ni,”
rungut Fauzi.
Tiba-tiba Tojo ketawa kuat sekali sehinggakan beberapa
orang pelanggan yang turut menjamu selera di warung tempat mereka melepak itu
memandang mereka penuh minat.
“Ehhh... apasal kau gelak...?” tanya Fauzi.
“Aku dah agak dah.... hahaha... mesti bercakap dengan
dia tadi kan? Sampaikan macam ayam berak kapur kau tenung handset kau tu...,” kata Tojo dalam tawa yang masih terus bersisa.
“Tak serik-serik lagi ke... kan dah kena reject...,”
“Engkau jangan mengutuk aku lebih-lebih. Reject-reject ni tak mainla... We are friends okay..... and will always be
friend... ,”
“BFF la
ye...,” Tojo ketawa lagi.....
“Kau tengok sini... apa tentang that girl yang boleh buat engkau benci dia....? She’s too perfect... well for her looks...
yes... dia tak la cantik macam Taylor Swift engkau tu.... Tapi quite ok kan....,” Fauzi cuba mempertahankan
gadis yang dia minati itu.
“Iyalah.... tapi takkan lah kau sampai gila bayang
macam ni...,”
“Hei... mana ada aku gila bayang ok... dah dia kata
dia tak suka couple dengan yang
sebaya... aku terima ajelah. Aku hormat pendirian dia. And for that we’re still friends.. dan aku hormati dia as a friend,”
Tojo ketawa lagi. Fauzi diam, mengetap bibirnya geram.
Sakit hati rasanya dengan sikap Tojo yang memperli dirinya. Bukan dia tidak tahu
Tojo juga pernah cuba mendekati Fazila di awal persahabatan mereka dulu. Dan
bukan dia tidak tahu bahawa Fazila pernah buat tidak tahu pada Tojo. Cemburulah
tu. Sekurang-kurangnya Fazila masih
tetap mahu berkawan dengannya sedangkan
dengan Tojo, Fazila hanya buat layan tak layan sahaja. Itulah kalau kerjanya
asyik mengutuk dan memperli orang sahaja. Tentunya orang tidak suka.
“Alah.... kalau dia tak suka yang sebaya.... engkau
pulak sayang sangat kat dia.... kenapa kau tak rekomenkan dia pada abang kau
tu...,”
Terdiam Fauzi mendengarkan kata-kata Tojo.
****
“Bila dapat tau pasal permohonan master Ila tu?”
Fazila tersenyum gembira mendengarkan pertanyaan
emaknya itu. Jari-jemarinya pantas menyusun pinggan-pinggan yang telah di basuh
di atas rak pinggan. Dia kembali semula ke sinki untuk mengambil
pinggan-pinggan lain yang telah siap dicuci. Berada dalam keluarga yang ramai,
sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu setiap kali pulang bercuti.
“Dah ada dah mak... semalam Ila cek kat web UTM. Ni nak bagitau mak la ni.... Sebenarnya dah
tau Ila dapat... lecturer Ila dah
bagitau hari tu. Tapi kenala tunggu tawaran rasminya. Itu yang nak pergi rumah
kak Rini ni, nak tumpang print surat
tawaran tu lah...,”
“Bila daftarnya Ila?
“Empat sampai enam haribulan September ni. Dua minggu
lagi tu mak..,”
“Sekejap aje rasanya kan? Dah dekat dua bulan Ila dok
kat rumah ni. Sekarang dah nak pergi lagi...,” rungut Puan Norhayati.
“Ala mak... janganla sedih gitu. Ila kan pergi
belajar. Insyaalah kalau berjaya nanti, Ila kerja. Nak jadi engineer, Ila rasa macam tak mampu je...
siang malam nak kena hadap masalah kat kilang... hee tak laratla rasanya. Kalau
berjaya dan boleh terus sampai buat PhD, Ila boleh jadi lecturer,” kata Ila untuk mengukuhkan alasannya supaya emaknya
tidak sedih dengan pemergiannya kali ini.
“Mak faham Ila .... saja je cakap gitu... sebab sedih
Ila nak pergi lagi. Jauh pulak tu...,”
“Bukannya lama mak... setahun je...,” pujuk Fazila
sambil memeluk tubuh Puan Norhayati dari belakang.
Puan Norhayati mengeluh perlahan. Walaupun sedih dia
tetap menyokong cita-cita anak gadisnya itu. Sekurang-kurangnya jika Fazila
menjadi pensyarah, beban kerja tidaklah seberat kerja sebagai jurutera di
kilang. Dia pernah dengar bagaimana beratnya kerja di kilang yang tidak
mengenal waktu siang dan malam dari anak saudaranya yang bekerja sebagai
jurutera di sebuah kilang di Shah Alam. Kalau lelaki, mungkin tidak mengapa.
Tetapi bagi perempuan, tentunya kurang sesuai kerja sebegitu sedangkan mereka
nanti akan punya tangungjawab lain yang lebih besar setelah berkahwin dan
berkeluarga nanti.
“Bila nak pergi nanti... Ila taukan...? Mak dengan
ayah tak boleh nak hantarkan..,” katanya setelah lama diam.
“La... tak apa mak... Ila kan dah biasa kat sana. Ila
pergi sorang aje nanti. Macam biasalah...,”
“Ila taulah kan... Johor tu jauh... tiket basnya
mahal... nanti lari budget abah bulan
ni...,”
“Tak apa mak... jangan bimbang ... Ila faham...,”
katanya tegas untuk melegakan kebimbangan emaknya itu.
“Belanja nak belajar nanti macam mana?”
“Insyaallah mak.... Ila dah ada simpanan. Duit
biasiswa masa belajar hari tu ada lagi. Ila dah tau nak belajar lagi jadi Ila
dah simpan siap-siap untuk buat bayar yuran belajar tu. Untuk hidup sebulan dua
tu insyaallah ada. Nanti Ila cari kerja yang sesuai... boleh buat belanja masa belajar
nanti...,”
“Kerja apa Ila nak buat..?”
“La... kat sana banyak mak... boleh mengajar kat pusat
tusyen, kerja kat kedai makan, dan banyak lagi. Tapi Ila ingat nak ambil upah
mengajar tusyen dari rumah ke rumah. Bukan mengajar sangat sebenarnya... Cuma
temankan anak-anak mereka buat belajar kat rumah. Ramai senior Ila yang buat
kerja gitu. Dapatlah buat belanja harian..,” kata Fazila sambil mengambil
tempat di kerusi bersebelahan dengan Puan Norhayati yang sedang memotong buah
nangka yang dipetik dari pokok di belakang rumah mereka awal pagi tadi.
“Habis... tak kacau masa belajar ke?”
“Tak la mak... kami buat masa hari minggu je.... tak
kacau masa belajar pun. Lagipun kalau yang kerja macam tu, kita boleh aturkan
hari bila kita free...,”
“Ohhh.... mak tak nak nanti terganggu masa belajar Ila
tu je....,’
“Tak.... insyaallah mak, pandaila Ila atur masa Ila
nanti...,”
“Mak cuma nak Ila berjaya... tak nak nanti hidup susah
macam mak dengan abah ni....,”
“Mak.... jangan cakap gitu... hidup kita ni bukan
susah sangat... Cuma sederhana je.... tapi kita bahagia kan mak...?” katanya
kepada Puan Norhayati yang hanya menyambut kata-kata itu dengan senyuman.
Fazila jadi insaf seketika. Dia tahu keadaan
keluarganya bagaimana. Dengan cuma abah seorang yang bekerja sebagai seorang
Ketua Kerani di sebuah sekolah, tentunya perbelanjaan mereka perlu dirancang
sebaiknya. Emak yang hanya mengambil upah menjaga anak jiran mereka bukannya
mempunyai pendapatan tetap. Sekadar dapat membantu sedikit keperluan keluarga
yang agak besar itu. Enam orang adik-adiknya Sharida,
Hafiz, Aiman, Razman, Ayis dan Noni, masih lagi memerlukan perbelanjaan
yang besar dalam persekolahan mereka. Dia tidak risau akan
Sharida kerana adiknya itu sudah mendapat biasiswa penuh dari Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pengajiannya di Institusi Perguruan Batu Rakit,
Terengganu. Yang masih di bawah tanggungan abah sepenuhnya sekarang ialah lima
orang adik-adiknya yang lain yang kesemuanya masih lagi bersekolah. Tambahan
lagi dua adiknya, Hafiz dan Aiman akan
menjalani peperiksaan SPM dan PMR tahun ini. Sebagai anak sulung dia terpaksa akur
dengan keadaan hidup mereka.
Terdetik rasa kesal kerana masih mahu melanjutkan
pengajian sedangkan keluarga begitu memerlukan bantuan darinya. Namun kata-kata
semangat dari abah membuatkan Fazila nekad untuk meneruskan tekadnya. Dia tidak
mahu bekerja di kilang kerana merasakan begitu tidak sesuai dengan naluri
dankemampuan dirinya. Lalu dia menyatakan hasrat untuk sambung belajar dan
mencapai hasratnya untuk menjadi seorang pensyarah. Abah cukup bersetuju dengan
hasratnya itu. Malah menyokong penuh cita-citanya itu.
“Em... ni.. mak nak tanya ni. Macam mana... setuju tak
dengan hajat Mak Cik Senah kau tu...?” tiba-tiba Puan Norhayati membuka kembali
bicara setelah agak lama mereka diam. Fazila mengeluh perlahan sambil
memejamkan matanya.
“Ala mak.... Ila nak belajar lagi...,” katanya dengan
nada manja.
“Dah lama mereka tanya... kalau tak nak cakap
ajelah.... boleh dia orang cari yang lain...,”
“Tak nak la mak... tak nak kawin lagi sekarang ....,”
“Mak pun risaulah tengok Ila ni.... yang macam mana la
yang dia nak. Orang tu masuk, dia tolak, orang ni masuk, dia tolak...,” rungut
Puan Norhayati.
Fazila diam. Dalam hati berkata, “entahla mak....,”
“Ila .... mak tanya ni..,”
“Tanya apa...,” masih dalam nada manjanya.
“Ila nak yang macam mana... cubalah kenal-kenal
dulu.... manalah tau kut-kut
tersangkut..,”
“Biarlah dulu mak... kalau ada jodoh, Ila kawin la
nanti...,”
“Ini satu lagi yang mak dengan abah risaukan...,”
Fazila diam. Bungkam jadinya. Dia pun tidak tau apa
alasannya untuk meneruskan kata.
****
Ring…ring…ring….
Telefon talian tetap rumahnya berbunyi minta diangkat.
Fazila yang sedang berehat di atas katil cepat-cepat bangun dan berlari ke meja
telefon yang letaknya bersebelahan dengan pintu bilik tidurnya.
“Hallo,” dia menyapa penuh sopan.
“Assalamualaikum,” kedengaran satu suara di hujung
talian. Seakan-akan pernah dia mendengar suara itu. Tetapi tak mungkin, bisik
hatinya.
“Waalaikumsalam,”
“Boleh saya cakap dengan Fazila?”
“Ya...
Saya...,”
“Hei Ila... tak kenal aku ke?”
Siapa? Mesra semacam saja bunyinya. Berkerut dahi
Fazila memikirkan suara siapakah di hujung talian itu.
“Siapa ye?”
“Akulah... Fauzi,”
“Eh.. Fauzi. Tak camlah suara awak...,” katanya
perlahan. Memang suara teman yang seorang itulah yang dia sangkakan tadi. Nyata
tepat sekali sangkaannya itu.
“Yelah... suara kita ni manalah orang tu nak cam,”
“Taklah.... tak pernah pun awak call nombor rumah saya ni...,
tiba-tiba hari ni call pulak. Ada
apa-apa ke?”
“Rindu....,”
Fazila tersenyum sendiri. ‘Rindu? Padaku ? Ah,
mengarut sajalah’ bisik hatinya.
Fauzi diam di hujung sana, mungkin menunggu reaksi
dari Fazila. Fazila pula tak mampu untuk
berkata-kata buat seketika. Tidak pasti sebenarnya bagaimana untuk memberikan
respon pada kata-kata Fauzi sebentar
tadi. Setelah agak lama mereka diam, Fauzi bersuara semula. Mungkin sudah tidak
sabar untuk menunggu jawapan dari Fazila.
“Kau apa khabar?”
“Baik..., awak?”
“Baik juga. Kau dah confirm dapat buat master kan?
“Haah... dah ...,” jawab Fazila ringkas. Diam lagi
menanti kata-kata seterusnya dari Fauzi.
“Akupun, bulan Oktober ni dah mula kerja,”
“Eh... ia...? Kat mana? Texas ya? Jadi awak kerja kat
situ?” kata Fazila menunjukkan nada ceria.
“Haah... Texas Instrument KL. Dia orang dah confirm terima aku...,”
“Alhamdulillah... Tahniah...,” kata Fazila cukup
teruja dengan kejayaan Fauzi mendapat pekerjaan.
“Tahniah untuk kau jugak..., bila kau nak balik semula
ke Skudai?”
“Insyaallah hari Sabtu ni... satu haribulan... aku
daftar empat haribulan sembilan ni... kena pergi awal sikit, nak uruskan rumah
sewa ...,”
“Satu
haribulan? Lusalah tu....? Dah beli tiket balik ke sana ke?”
Makin hairan Fazila dibuatnya. Kenapa pula Fauzi
menelefonnya hanya untuk bertanyakan soalan sebegitu? Sudah tentu dia telah
membeli tiket. Cuma tinggal dua hari saja lagi untuk pulang ke sana.
“Dah...,” jawabnya ringkas.
“Kau jual balik
boleh...?”
Makin Fazila terkejut dengan permintaan Fauzi itu.
“Kenapa?”
“Aku nak bagi kau satu tugas baru...,”
“Ehh... Saya tak fahamlah maksud awak ni,”
“Kau nak buat kerja sambilan tak?”
“Maksud awak?”
“Nak jadi tourist
guide tak?”
“Eiii, tak fahamlah...,” kata Fazila sambil menggaru
kepalanya.
“Aku tengah bercuti kat kampung kau ni. Tu yang nak
ajak kau jadi tourist guide aku,”
Fazila jadi hairan, rasanya tidak pernah pun Fauzi memberitahunya yang dia akan datang bercuti ke
sini. Atau mungkin dia yang terlupa. Dan, sekarang Fauzi meminta dia untuk jadi
tourist guide nya pula. Manalah dia
tahu sangat jalan-jalan di sini. Walaupun dia tinggal di sini hampir limabelas
tahun, dia bukalah seorang yang suka berjalan. Ke bandar pun, kalau tidak
dibawa emak atau abah, dia tidak akan pergi sendirian.
“Oh... bila awak datang sini?” katanya cuba untuk menutup
kekalutan yang timbul dalam hatinya saat itu.
“Semalam. Tak pandailah nak jalan kat sini, ini yang
aku call kau ni. Kut-kut kau sudi
temankan aku,”
“Emmm...,”
“Haaa... tergagap kau. Ini mesti tak nak kan?”
“Tiket saya tu macamana?” Fazila beralasan.
“Macam ni, aku belikan tiket lain untuk kau. Boleh?”
“Ehhh...,” kaget Fazila dengan cadangan Fauzi yang
lebih merupakan paksaan itu. Tidak pernah sahabatnya ini berbuat begitu
padanya, menentukan apa yang patut atau tidak untuk dia lakukan.
“OK set, aku
belikan tiket untuk kau hari Ahad, dua haribulan. Siap hantarkan lagi ke bus
station. Kalau kau nak balik ke kampus dengan aku pun boleh. Kami pun dah nak
balik ke KL hari Ahad tu nanti sebab Isnin abang aku dah start kerja. Kalau hantarkan kau sampai ke JB pun kami sanggup. Kau
nak?”
“Ehhh... mana boleh, mak saya mesti tak benarkan,
keluar berdua dengan awak,”
“Aku bukan datang seoranglah... family aku ada jugak. Kami datang satu kereta ni. Please Ila..., mak aku nak sangat shopping kat Rantau Panjang dengan
Pengkalan Kubur tu. Kami tak tau macamana nak pergi ke situ...,”
“Eh... malulah... dengan keluarga awak?” makin kaget
dia jadinya.
“La.. apa nak malu, bukannya suruh jumpa bakal mak
mentua, suruh jadi tourist guide
aje,”
Berderau darah Fazila mendengarkan kata-kata Fauzi yang
polos itu.
“Nantilah... saya tanya mak dulu,”
“Ok... tanya tau, lepas sepuluh minit nanti aku call
balik. Make it positif. OK?”
“Tengoklah...,” jawab Fazila dengan rasa serba salah.
Untuk menolak, dia tidak sampai hati. Untuk menerima, dia rasa seperti tidak
sepatutnya.
Permintaan itu Puan Norhayati persetujui dengan dua syarat. Pertama, Fazila mesti
mengajak sesiapa yang emaknya kenali. Lega rasa di hatinya kerana memanglah dia
amat memerlukan bantuan seseorang untuk
melakasanakan tugas ini. Lantas aku menghubungi Kak Rini. Kak Rini tahu selok
belok jalan di Kota Bharu. Bila dihubungi, Kak Rini bersetuju. Fazila memang sudah
mengagak kerana Kak Rini memang terkenal dengan sikapnya yang suka shopping. Cara menghilangkan stress katanya.
Syarat yang kedua pula ialah, Fauzi dan keluarganya
mesti datang ke rumah untuk menjemput Fazila. Emak dan abah mahu mengenali
keluarga teman yang akan membawa anak daranya itu keluar nanti. Malu sungguh
rasa di hatinya. Apa tidaknya, emak dan abahnya ini memberikan syarat macamlah
orang datang untuk meminang anaknya pula. Siap mahu kenal keluarganya dahulu.
Padahal mereka cuma mahu mengajaknya untuk menunjukkan jalan sahaja kepada
mereka. Tiada niat lain. Fazila yakin, pastinya Fauzi sudah faham dengan
keengganannya untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan sahabatnya
itu.
Apabila Fauzi menghubunginya sepuluh minit kemudian,
kedengaran ceria sekali suara anak muda itu apabila mendengarkan jawapan
positif dari Fazila. Biarlah berapa banyak sekali pun syarat yang emak dan abah
berikan, dia sanggup memenuhinya asalkan mereka sudi membenarkan Fazila pergi dengannya, itu katanya. Hati Fazila jadi
sedikit curiga, terasa seolah-olah bagaikan kehadirannya untuk menemani
keluarga Fauzi amat-amat diharapkan. Entahlah...
3 comments:
Kekekeke nnt diorg nk kenenkan ila tu ngn abg fauzi tu kan? Hehe
ini lanjutan dari cerpenke? tapi memang suka
Teringat kisah dulu², pernah kerja operator kat Taxes tapi dua hari jer.
Post a Comment