Bab 1
“Ya Allah Ila.... banyaknya barang-barang kau....,” rungut Nadia sambil
matanya melatari tiga buah beg dan dua buah kotak bersaiz sederhana milik
Fazila yang diletakkan satu persatu di
dalam bonet kereta ayahnya.
“Itula... Yaya, aku pun tak sangka barang aku banyak gini. Tengok dalam
almari tu macam sikit je...,” kata Fazila dengan suara yang direndahkan. Cuba
tidak menarik perhatian Encik Zulkifli , ayah Nadia. “Eh... tak pe ke? Nanti
kang menyusahkan kau je nak letak semua ni kat rumah kau...,”sambungnya lagi.
“Memang pun... mana entah mak aku nak letakkan semua ni.... hish kau
ni...,”
“Tapi, kat mana lagi aku nak letak semua ni.... kau aje kawan aku yang
tinggal kat sini... takkan aku nak bawak balik semua ni... nanti bila daftar
semester depan kena bawak ke sini balik...jauh tu,” rungut Fazila sambil
menggigit jarinya, cuba untuk meraih simpati dari Nadia.
“Eleh… tak payah buat muka kesian….,” kata Nadia sambil mencebirkan
bibirnya. Fazila membalas kata-kata itu dengan menjelirkan lidahnya kepada
Nadia.
“Jelirlah... aku gigit kang lidah tu...,” gertak Nadia terhadap temannya.
Cuba menangkap tubuh tinggi lampai Fazila yang mula melarikan dirinya dan
bersembunyi di belakang Puan Rosnah, emak Nadia. Perlakuan dua anak dara itu
menjadi bahan ketawa oleh emak dan ayah Nadia. Sungguh mereka gembira melihatkan
keakraban yang dikongsi bersama sejak dari tahun pertama pengajian kedua anak
gadis itu lagi.
Fazila tahu semua kata-kata yang keluar dari bibir itu cuma gurauan semata dari
Nadia. Temannya itu memang mulutnya sedikit laser, tetapi hatinya baik. Kalau
tidak, tak mungkin Nadia sanggup mencadangkan supaya dia menyimpan
barang-barangnya di rumah sahabatnya itu sepanjang cuti semester kali ini. Maka
tidaklah perlu untuk dia membawa semua barangnya pulang ke kampungnya nun jauh
di pantai timur Semenanjung Malaysia.
“Hei... sudah-sudahla bergurau tu... kita kena bergerak sekarang ni. Nanti kang lambat sampai pulak. Malam nanti
Ila nak balik Kelantan kan? Lewat sampai nanti kang terkocoh-kocoh pulak nak kejar
bas...,” kata Encik Zulkifli mengingatkan dua anak gadis itu tentang jadual
aktiviti mereka hari ini. Seperti biasa semuanya perlu diingatkan. Kalau tidak,
tentunya ada yang tertinggal dan ada yang terlewat. Masing-masing masih lagi
lemah mengatur waktu walaupun usia dah meningkat ke bilangan nombor yang ke 24
tahun.
“Dah angkat semua barangnya Ila?” tanya Puan Rosnah kepada Fazila.
“Dah makcik,” jawab Fazila sambil tersengeh.
“Ok... kalau dah tak ada apa-apa lagi yang tertinggal.... kita gerak
sekarang..,” cadang Encik Zulkifli.
“Eh.... aku rasa ada lagilah yang tertinggal....,” kata Nadia, tiba-tiba
memetik sambil matanya dicelikkan ke wajah Fazila.
“Dah.... aku dah ambik semua la....,” kata Fazila, cuba mengingatkan
kembali kalau-kalau ada lagi barangnya yang tertinggal di dalam bilik sewaannya
tadi. Malah pintu rumah sewa mereka itu pun telah dia kuncikan untuk diserahkan
kepada Pak Hamzah, wakil penyewa rumah yang tinggal selang beberapa pintu dari
rumah sewa mereka ini.
“Ada.... ,” jawab Nadia dengan nada serius. “Tertinggal yang ini, habisla
kau...,”
“Apa?”
“Fauzi.....,” kata Nadia sambil mencelikkan lagi matanya. Gelak ketawanya
membuatkan semua yang ada di situ tahu bahawa kata-kata itu adalah gurauan
darinya. Cepat-cepat Fazila memukul lengan temannya itu sambil mengetap
bibirnya tanda geram.
“Huh...,” katanya sambil terus meninggalkan Nadia untuk menutup bonet
kereta Encik Zulkifli. Merah mukanya bila kedua emak dan ayah Nadia turut
ketawa bersama anak mereka. Mempermainkan dirinya lagi. Aduhhh...
Setelah semuanya masuk ke perut kereta, Encik Zulkifli mula memandu
perlahan. Mereka singgah di rumah Pakcik Hamzah, wakil penyewa yang menguruskan
rumah-rumah sewa di perumahan Taman Sri Skudai bagi pelajar-pelajar yang sedang
mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak di
Skudai, Johor itu. Kedudukan Taman Perumahan yang letaknya kurang dari 10 minit
perjalanan ke UTM Skudai menyebabkan ia menjadi pilihan ramai pelajar untuk
menyewa di situ. Fazila dan Nadia juga begitu. Kemudahan pengangukutan awam
juga menjadi syarat utama mengapa mereka memilih untuk tinggal di situ sejak
dari awal pengajian mereka lagi.
Fazila menyerahkan kunci rumah sewanya kepada Pakcik Hamzah dengan janji
untuk membayar deposit bagi menyambung tempoh sewaan untuk semester akan
datang, sekiranya permohonannya untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana
diluluskan nanti.
Akhirnya kawasan Taman Perumahan Seri Skudai itu mereka tinggalkan. Ada
janji yang terpatri di hati Fazila bahawa perginya kali ini adalah juga untuk
seketika. Dia akan kembali untuk menyambung semula jejak-jejak langkahnya demi
meraih cita-citanya.
****
Tiket bas yang dihulurkan oleh pemandu bas disimpan kembali ke dalam beg
sandangnya. Dia mula menapak naik melalui tangga sempit bas ekspress dua
tingkat yang akan membawanya pulang ke tempat asalnya. Semua tempat duduk di
dalam bas telah dipenuhi menandakan semua penumpang sudah naik. Hanya dia
seorang sahaja yang naik di Perhentian Bas Kulai ini. Bermakna selepas ini
perjalanan ke Kota Bharu Kelantan, akan diteruskan tanpa perlu berhenti
mengambil penumpang lain di destinasi seterusnya. Cepat-cepat Fazila mendapatkan
tempat duduknya yang terletak tiga tempat duduk dari barisan paling belakang.
Terhoyong hayang dia dibuai oleh bas yang mula bergerak perlahan.
Sedang elok saja dia duduk di kerusinya, dia hanya menyapa penumpang yang
duduk di sebelahnya dengan sebuah senyuman. Kemudian terus memejamkan mata
kerana malas untuk bertegur sapa dengan lelaki yang hampir sebaya dengannya itu.
Terus fikirannya melayang. Ingatannya kembali kepada perbualan telefonnya dengan
Fauzi sebentar tadi. Setibanya di Perhentian Bas Pekan Kulai, Fauzi
menghubunginya melalui telefon bimbit Nadia. Masih ingat lagi nada marah
temannya itu sebentar tadi.
“”La... habis saya dah siapkan semuanya. Report tesis pun saya dah submit, so buat apa tunggu lagi....
balikla....,” jawabnya pada pertanyaan Fauzi yang kedengaran ada nada marah.
“Sekurang-kurangnya cakaplah sepatah kat aku kau balik malam ni... Dah la tak
ada handphone, nak contact pun susah..,” rungut Fauzi di hujung talian.
“Ok.... drop that matter please..
dah banyak kali saya explain pada awak
pasal tu. so, malaslah nak ulang-ulang lagi...,” jawab Fazila. “Pasal apa awak call saya ni?”
“Haritukan aku ajak kau keluar malam ni... kebetulan tesis aku pun dah
selesai semuanya. Tinggal nak hantar aje lagi esok pagi. Jadi nak ajak kau celebrate sebelum masing-masing balik.. Tak sangka la pulak kau
dah nak balik...,”
“La... hari tu kan dah celebrate....
dah pergi dinner pun ngan awak...
berapa kali nak celebrate ni...,”
rungut Fazila.
‘Hari tu keluar ramai-ramai.... aku nak keluar sorang-sorang dengan
kau...gi lepak kat JB ke.....,”
“Emmm... sorryla Fauzi.... apasal lambat sangat bagitau saya...,” Fazila tergelak,
sambil di dalam hatinya terdetik kata-kata... “Sorryla nak lepak berduaan
dengan engkau ....”
“Eleh... kau tu bukannya nak keluar dengan aku. Elok-elok dah setuju,
alih-alih dia boleh cancel last
minute. Elok-elok je janji nak keluar
berdua, tengok-tengok dia boleh bawak orang lain buat teman.... sabar ajelah
aku...,” Fauzi merungut lagi. Melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap
sikap Fazila yang terlalu menjaga pergaulannya. Walaupun ada ketikanya
kelihatan tanpa segan dia bebas dan santai bergaul, namun masih sukar untuk
gadis ini dibawa keluar dari kepompongnya. Ada sahaja alasan yang diberikan
untuk mengelakkan dirinya dari didekati secara lebih dekat, terutamanya dalam
hal-hal berkaitan dengan hati.
“Mana ada.... tak ada lah...,”
“Tak ada kata kau... habis, bila aku belanja kau pergi dinner Kelab Silat hari tu, kenapa engku pergi belanja orang lain
temankan kau...?”
Fazila tergelak sendirian mengingatkan peristiwa lebih dua bulan lepas
apabila diajak Fauzi untuk ke Majlis Makan Malam Anjuran Kelab Silat Gayung
ngeri Johor tempohari. Kebetulan Fauzi adalah ahli kelab itu di peringkat
universiti. Dia telah mengajak Fazila ke majlis tersebut. Fazila telah
bersetuju, tapi di saat akhir, dia rasa meyesal kerana mudah sekali dia
menyatakan persetujuan. Masih terlihat di matanya wajah kecewa Fauzi bila dia
membawa Siti Khairiah, juniornya untuk menemani dia ke majlis makan malam
tersebut. Sangka Fauzi, bolehlah mereka
dipandang seperti pasangan lain yang datang bersama, bolehlah duduk di kerusi
bersebelahan di meja makan maupun di atas bas universiti yang membawa mereka ke
Hotel Selesa di bandar Johor Bahru di mana majlis itu diadakan. Namun semua itu
hampa bagi Fauzi, sehinggakan keesokkan harinya Fauzi datang kepadanya sebelum
waktu kuliah Professor Nordin bermula untuk memberitahunya bahawa dia sudah
mengalah dalam usahanya untuk memikat Fazila untuk menjadi couplenya.
Fazila tergelak sendirian lagi. Tiba-tiba terasa bagaikan sedang
diperhatikan. Fazila membuka mata, memandang sekeliling dan mendapati
rupa-rupanya penumpang lain sedang memerhatikannya tergelak sendirian dalam
kesamaran lampu dalam bas tersebut. Lalu dia tersengih kepada penumpang di
sebelahnya yang sedang memerhatikannya itu. Segan pula rasanya. Mesti ada yang
mengatakan dia gedik kerana tergelak sendirian. Ah.... suka hati merekalah....
yang penting aku tak kacau orang..., detik hatinya sendiri. Lalu dia kembali memejamkan
matanya untuk terus melayan anganan.
Fauzi. Sejak awal pertemuan mereka di tahun kedua pengajian lagi pemuda itu
sudah begitu yakin ingin menawan hatinya. Namun mana mungkin. Dia punya
perinsipnya sendiri. Dia datang ke universiti untuk belajar. Bukan untuk
mencari teman lelaki. Masih banyak agenda dalam hidupnya yang perlu dia
laksanakan. Lagipun tidak mungkin dia akan menerima seseorang yang sebaya
dengannya untuk dijadikan teman lelaki, apatah lagi seorang pasangan hidup
seperti yang selalu Fauzi bayangkan kepadanya. Sekadar kawan, itu jawabnya
sejak dulu lagi. Namun Fauzi kelihatan begitu nekad sekali untuk mencuba. Sering
menjadi teman yang menjaga kebajikannya. Selalu bertanya khabar tentang
dirinya, selalu ada dalam saat kepayahan yang dia lalui dan selalu bersama
dalam saat gembira yang dia rasai. Sepanjang hampir lima tahun pengajian mereka
Fauzilah yang seolah-olah menjaganya dari gangguan dari mana-mana lelaki. Terkadang
terasa lebih selamat bila diberi perlindugan sebegitu kerana sememangnya dia
masuk ke universiti ini untuk mengejar segulung ijazah, bukannya untuk mencari
teman lelaki.
Tambahan lagi dia bukan termasuk dalam senarai pelajar yang popular di
kampus. Sebagai pelajar di bidang kejuruteraan, dia dan teman-teman wanita yang
sekuliah dengannya tidak termasuk dalam golongan yang menarik. Mereka bagaikan
ada dunia mereka tersendiri. Dilihat berpewatakan kasar kerana cara berpakaian
yang menuntut mereka untuk melakukan kerja-kerja lasak di bengkel
kejuruteraan. Mana mungkin mereka mampu
bergaya sakan ke kuliah sekiranya terpaksa masuk bengkel mesin untuk amali
dalam kerja kimpalan arka maupun kimpalan gas, kerja-kerja fabrikasi logam di
bengkel mesin larik dan bengkel kepingan logam. Itulah dunia mereka yang bakal
bergelar jurutera mekanikal.
Ada waktunya dia juga merasakan terpinggir dalam dunia ini. Naluri gadis
sudah pasti menuntut dirinya untuk kelihatan cantik dan menarik. Namun semua
itu terpaksa dilupakan. Kalau pelajar kursus lain boleh bergaya sakan dengan
gincu di bibir dan eyeshadow di
kelopak mata, Fazila terpaksa menerima bahawa dia tak boleh lepas dari minyak
pelincir yang terpercik dari mesin larik dan juga percikan api dari alat kimpalan
arka yang mampu menghasilkan lubang-lubang kecil di pakaiannya jika outfit yang tidak sesuai untuk
tugas-tugas sebegitu dikenakan. Lantas dia perlu akur dengan ketetapan
berpakaian yang ditetapkan oleh pihak fakulti dalam aktiviti hariannya. Namun
masih dia mampu menjaga auratnya dari terdedah di mata teman-teman sekuliah
yang majoritinya lelaki.
Berkecimpung dalam bidang kejuruteraan yang majoritinya adalah kaum lelaki
sebegini bukan menjadi cita-cita Fazila pada asalnya. Berlatarbelakangkan
kelulusan agama di sekolah agama sehingga ke peringkat SPM membuatkan dia
begitu teliti menjaga penampilan dan perlakuannya untuk tidak melanggar
batas-batas yang ditetapkan dalam Islam. Namun dalam dunia yang menuntut untuk dia
menerima apa sahaja kemungkinan yang datang membuatkan dia terpaksa akur. Dia
bukan anak orang kaya yang mampu mengatur segalanya. Peluang pengajian sebegini terpaksa dia terima
kerana inilah satu-satunya peluang yang ada. Untuk melanjutkan pelajaran dalam
bidang yang diminati adalah tidak mampu kerana dia hanya ditawarkan untuk
melanjutkan pelajaran di dalam bidang ini setelah gagal mendapat tempat di
bidang yang dia inginkan. Maka mau ataupun tidak dia terpaksa menerima. Cuma
yang diharapkannya nanti agar dia mampu membalas jasa kedua emak dan abahnya
yang telah banyak berkorban untuk dirinya dan adik-adik.
“Mak...... Ila dah nak balik ni....,” hatinya berbisik dalam senyuman yang
terukir di bbir saat membayangkan wajah emaknya yang selalu tenang dan
mendamaikan.
****
Senyuman wanita separuh umur yang berdiri di kaki lima Terminal Bas Kota Bharu itu membuatkan hatinya
terlonjak riang. Mak.... suara dalam hatinya berbisik. Kalau boleh dia ingin
bas yang dinaikinya itu berhenti cepat-cepat supaya dia boleh turun untuk
memeluk emak yang amat dia rindukan itu. Tapi keadaan sesak di pagi itu
menyebabkan bas tersbut perlu menunggu giliran untuk berhenti di terminal yang
ditetapkan. Sabar je la Fazila..... detik hatinya lagi. Lalu dia melambaikan
tangannya untuk meraih perhatian emaknya yang masih sabar menunggu. Kelihatan abah
yang berdiri di sebelah emak menunding jari kepadanya untuk memberitahu emaknya
tentang anak mereka yang kelihatan gembira di atas bas.
Sungguh dia rindu pada mereka. Keluarganya adalah segala-galanya bagi
Fazila. Lebih dua bulan tidak menemui emak dan abah membuatkan rindunya
bagaikan membuak-buak dirasakannya. Selalunya dia akan pulang sebulan sekali
untuk melepaskan rindu. Namun apa daya dia, kesibukkan dengan peperiksaan akhir
dan juga projek tahun akhirnya membuat dia tidak dapat pulang sekerap mungkin.
Walaupun emak selalu marah kerana dia sanggup menghabiskan duitnya untuk
membeli tiket bas, namun tidak diendahkannya. Dia rela mengikat perut
semata-mata untuk membeli tiket bas untuk pulang menemui emak, abah dan
adik-adik.
Bila bas berhenti, cepat-cepat Fazila turun. Terus pergi memeluk emak yang
sudah berada berhampiran pintu bas.
“Makkk....,” jeritnya manja sambil memeluk erat tubuh separuh gempal itu.
Puan Norhayati hanya senyum melihatkan gelagat anak sulungnya itu.
“Eh... pergilah ambil beg dulu...,” tegur Encik Dahlan, abahnya.
“Biarla bah.... malas nak berebut... nanti orang lain dah ambil, kita
pergilah ambil.. Ila nak peluk mak ni dulu...,” ucapnya manja sambil terus
memeluk tubuh emaknya.
“Habis, abah Ila tak nak peluk...?” kata Encik Dahlan.
“Nak....,” jawab Fazila manja sambil melepaskan emaknya dan memeluk abahnya
pula. Tersenyum-senyum Encik Dahlan bila dibuat begitu di khalayak ramai. Ramai
yang memerhatikan gelagat mereka itu, namun langsung tidak diendahkan oleh
Fazila. Lantaklah apa orang nak kata, yang dia peluk ini adalah emak dan
abahnya. Kalau gadis lain tentunya merasa segan untuk berbuat demikan. Tapi
kenapa perlu segan? Bukankah emak dan abah, atau mama dan papa, atau ibu dan
ayah, atau daddy dan mummy itu lebih layak untuk dipeluk cium berbanding dengan
orang lain?
“Mak dengan abah sihat?”
“Alhamdulillah...,” jawab Puan Norhayati. “Ila pun nampak sihat,” jawab
Puan Norhayati sambil senyum.
“Jom kita ambil barang Ila, tak kan nak borak kat sini pulak. Orang lain
pun nak turun dari bas jugak,” kata Encik Dahlan mengingatkan bahawa mereka
masih lagi berdiri di hadapan pintu bas, menghalang laluan penumpang lain untuk
turun.
“Haah ekk.... lupa..,” kata Fazila
sambil berpaling ke pintu bas di mana seorang penumpang sedang menunggu untuk
turun. Dia tersengeh sambil bibirnya mengucapkan kata maaf.
Terus dia beredar ke tempat simpanan barang bersama Encik Dahlan memberi
ruang kepada penumpang lain turun dari bas. Fazila antara yang terakhir turun.
Jadi tiada yang marah bila dia tidak mampu untuk menahan hatinya yang cukup
teruja menyebabkan dia beraksi sepontan dengan emak dan ayahnya sebenatar tadi.
Sepuluh minit kemudian mereka sudah berada di atas kereta untuk
meninggalkan stesen bas. Suasana pagi agak sibuk dengan kenderaan keluar masuk
di kawasan perniagaan yang menempatkan banyak gedung-gedung besar seperti Tesco, kedai pakaian Gulatis dan
lain-lain lagi berhampiran dengan terminal bas tersebut. Tambahan lagi Tesco
Kota Bharu dibuka seawal jam 8.30 pagi di hari minggu begini untuk memudahkan
pelanggan mereka datang membeli-belah di awal pagi.
“Kenapa Ayis dengan Noni tak datang sama mak... kalau tak boleh pergi breakfast nasi kerabu, dah lama tak
makan nasi kerabu. Emmm....sedap,”
“Nak bawa macam mana... lepas subuh tadi masing-masing tarik selimut
semula. Semalam entah pukul berapa tidur... dok mengadap tv,” rungut Puan
Norhayati.
“Ala... Singgah beli je.... balik makan kat rumah...,” kata Encik Dahlan.
“Tak bestla makan kat rumah, kat kedai boleh order teh tarik... Ila belanja... ,”
“Tengah banyak duit ke? Orang lain tengah kering nak tunggu gaji hujung
bulan, Ila siap nak belanja lagi..,” kata Puan Norhayati pula.
“Ala mak... bukannya mahal pun nasi kerabu tu... bukan macam kat JB tu,
breakfast pun dah sampai tujuh lapan ringgit seorang,” sambut Fazila
mengingatkan kos sara hidup yang tinggi di Johor Bharu. Puan Norhayati tersenyum
mendengarkan kata-kata Fazila.
“Tapi, sekarang ni pun dah mahal kat sini... bandingkan dengan dulu...,”
katanya perlahan.
“Habis, kalau semua harga barang dah naik.... macam mana penjual nak jual
murah...,” jawab Encik Dahlan pula.
“Ala.... abah ni... mula la tu... tak naklah cakap hal gitu-gitu..... Ila
baru je balik ni....,” rungut Fazila manja. Dia tahu, kalaulah abah dah mula
sebut hal-hal sebegitu, nanti panjang lebarlah khutbahnya. Tak mau.... tak
mau.....
Encik Dahlan ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Oklah.... jom
kita pergi makan nasi kerabu... dah ada yang kempunan tu....,” katanya dalam
tawa yang meniti di bibir.
4 comments:
Yeay!!! Dah ada cerita baru! Macam mana perkembangan SCB?
Insyaallah kak yang... dalam proses kut... hehe...
Permulaan yg bagus.. Tak sabar nak baca next one...
setia menanti.
^^
Post a Comment