Bab 3
“Siapa kawan Ila ni? Tak pernah cerita pun pada mak
dengan abah?” Encik Dahlan bertanya malam itu selepas Puan Norhayati menceritakan
tentang kawan Fazila yang mengajak anaknya itu
menjadi tourist guide
keluarganya.
“Kawan satu kelas abah... dia cuti kat sini dengan
keluarganya, kata dia... sampai hari Ahad nanti mereka kat sini. Hari ni mak
dia nak pergi Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang. Itu yang dia ajak Ila. Ila
dah cakap Ila tak tau jalan, tapi dia mintak jugak Ila temankan. Terpaksa Ila
ajak Kak Rini sama,”
“Pukul berapa dia orang sampai?”
“Entahlah... tadi dia cakap dah dekat nak sampai nanti
dia telefon,”
“Kawan lelakikan? Mak kata namanya Fauzi?”
“Haah...,”
“Hemmm... jaga diri baik-baik...,”
“Insyaallah bah.. Ila
kenal dia, kami rapat... dia tu baik bah.... lagi pun Kak Rini kan
ada...,” kata sambil meyakinkan dirinya sendiri tentang keluarga Fauzi yang
akan dia temui sekejap saja lagi.
“Dah kenal pun... kenalah jaga-jaga jugak. Yang Ila kenal
tu dia, keluarganya entahkan macam mana pun kita tak tau ... dia tu pun entah
macam mana kita tak tau...,”sampuk Puan Norhayati menggambarkan kebimbangan
yang di rasakan sejak semalam. “Mak pun rasa macam tak sedap hati je... sejak
semalam mata ni asyik bergerak je... hati asyik berdebar aje... macam tak
senang je rasanya nak lepaskan Ila pergi hari ni...,” sambungnya lagi.
“Sambil-sambil tak sedap hati, siap jugak nasi dagang tu
ye? Macam nak sambut tetamu istimewa je ..,” kata Encik Dahlan dengan nada
bergurau. Emak mencebirkan bibirnya mendengarkan kata-kata abah.
“Alah... kebetulan lauknya dah ada... berasnya pun dah
ada... buat ajelah. Kita pun boleh makan jugak. Memang dah bercadang nak buat
nasi dagang pun pagi ni...,”
“Apa-apapun... Ila yang suka.... nanti dah balik Skudai,
susahla nak jumpa nasi dagang sedap macam gini lagi..,” kata Fazila sambil
mengangkat ibu jarinya. Senyuman terukir di bibir walapun dalam hati bertandang
debaran yang menggila.
“Kak Ila ... ada orang telefon..,” kedengaran jerit Ayis
dari ruang hadapan rumah teres di Taman Perumahan Tanjung Chat, yang terletak
dalam bandar Kota Bharu itu.
“Haa... mesti itu dia...,” kata Fazila sambil berlari ke
ruang hadapan untuk menjawab telefon.
Perlakuan sepontan anak gadisnya itu dipandang penuh
minat oleh Encik Dahlan. Matanya kembali tertancap ke wajah isterinya.
“Seronok semacam aje Ila tu Yati? Ada apa-apa ke?” dia
bertanya penuh makna.
“Entahla bang... Yati pun rasa semacam je...
berdebar-debar je...,”
“Patutla orang tu masuk dia tak nak... orang ni masuk dia
tolak... dah ada pilihan hati rupanya...,” kata Encik Dahlan lagi sambil
tersengeh.
“Mak... dia orang dah nak sampai tu. Dah dekat dah...,”
kedengaran Fazila menjerit dari ruang hadapan.
“Hei... tengoklah anak dara abang tu... terjerit-jerit...
kalau orang dengar malu je... hemm..,” keluh Puan Norhayati sambil
menggelengkan kepalanya.
“Tak menyempat-nyempat nak bersiaplah tu. Kita suruh
terus siap dari tadi dia kata lambat lagi... ini ha...orang dah sampai baru nak
tergesa-gesa ..,” keluh Encik Dahlan yang juga tidak puas hati dengan sikap
anak gadisnya itu.
Di dalam bilik Fazila jadi serba salah. Satu persatu dia
mencuba baju yang harus dia pakai. Rasanya seperti semuanya tidak kena. Semalam
dia bercadang untuk memakai baju kurung. Pagi tadi pula dia mengubah fikiran,
lantas dia menggosok sehelai baju labuh berupa jubah ringkas yang selalu
dikenakannya apabila bertandang ke rumah saudara maranya. Bila dia melihat baju
itu kali ini terasa terlalu formal pula untuk dipakai pergi membeli-belah. Lalu
dia memilih sehelai baju T yang labuh dan berlengan panjang, dipakai bersama
sehelai jeans longgar berwarna biru. Dia melengkapkan semuanya dengan sehelai
tudung yang disarungkan ringkas di kepala. Selepas melihat bayangnya di cermin
beberapa kali, dia merasa puas hati. Tidaklah terlalu formal rasanya.
Sejak dari tadi kedengaran emak dan abah telah menyambut
kehadiran tetamu. Kedengaran riuh sekali seperti masing-masing gembira dengan
pertemuan ini. Pelik juga rasa di hati, baru pertama kali bertemu sudah
kedengaran begitu mesra sekali. Ah... biarlah mereka, yang penting dia perlu
cepat-cepat siap. Segan juga rasanya kerana membiarkan tetamu menunggunya.
Malah Ayis pula sudah beberapa kali mengetuk pintu biliknya sejak dari tadi,
meminta supaya dia cepat keluar. Entah mengapa dia bagaikan sengaja
melambat-lambatkan diri untuk bersiap.
Dan entah mengapa debaran di hati terasa kian menggila di saat itu.
Akhirnya, bila pintu bilik yang dia kongsikan bersama
semua adik-adik perempuannya itu diketuk untuk kali ke tiga, Fazila tahu dia
tidak sepatutnya berlengah lagi. Dengan
tarikan nafas dan bacaan Bismillah untuk menenangkan debaran yang entah mengapa
mengganggunya saat itu, Fazila membuka pintu biliknya yang terus berhadapan
dengan ruang tamu rumahnya. Terasa segan sekali apabila dia melihat Fauzi dan
emaknya serta dua orang lagi ahli keluarganya sudah duduk di kerusi ruang tamu,
berbual dengan abah. Kelibat emak sudah kelihatan masuk ke dapur untuk
menyediakan sarapan pagi.
“Amboi... lamanya anak dara bersiap...,” usik abah,
menyebabkan merona wajahnya saat itu. Dia memandang ke wajah abahnya sambil
mencebikkan mukanya dengan aksi manja. Tanpa sedar yang dia juga diperhatikan
oleh empat pasang mata. Matanya melirik ke arah Fauzi dan jelas kelihatan
sahabatnya itu sedang menggelakkannya. Makin merona wajahnya.
“Kenapa Ila tak cakap Fauzi ni anak Kak Hasmah ni...?
Kawan abah dulu ni...,” kata Encik Dahlan dengan nada riang. Terkejut Fazila
mendengarkan kata-kata abahnya itu. Cepat-cepat dia menghampiri emak Fauzi dan
menyalami wanita yang kelihatan beberapa tahun lebih tua dari abah. Perempuan
di hadapannya itu memeluk tubuhnya erat sekali. Buat dia makin terkesima.
“Ini rupanya Ila. Dah besar sekarang... masa duduk kat
Melaka dulu umurnya berapa ye Dahlan?” tanya emak Fauzi kepada abah.
“Tiga tahun kak...,”
“Hemmm... patutlah hati ni berdebar-debar aje sejak dari
semalam. Rupanya nak jumpa kawan lama...,” kata emak Fauzi pula.
Sedikit sebanyak Fazila dapat meneka apa yang berlaku.
Bila masa pula mereka ni berkawan? Seingat dia dia tidak pernah kenal wanita di
hadapannya ini.
“Mesti Ila tak ingat... kalau dah umur tiga tahun mana
nak ingat lagikan? Dulu selalu dia manja dengan Faris ni. Mana pergipun dia
mesti ikut. Si Fauzi ni pulak suka sangat mengusik dia. Selalu sangat menangis
kena usik... siap Faris pulak yang kena pujuk.... ingat tak Faris?”
“Entah la mak.... dah lama sangat....,”
Garau kedengaran suara itu di telinga Fazila. Ingin
sekali dia mengangkat muka menatap wajah itu, tetapi entah mengapa ada rasa
malu yang menyapa hati. Dia sendiri hairan dengan apa yang dirasakan itu.
Selalunya dia tidak begitu. Dia bukan jenis pemalu orangnya. Tetapi kali
ini.... dan... ah ... kenapa ada debar di hati .... Sungguh berbeza suara itu
dari suara Fauzi yang selalu kedengaran ceria.
“Makcik duduk dulu ye.... Ila nak ke dapur, tolong
mak...,” katanya sambil melemparkan senyuman manis kepada Fauzi yang juga diam
tidak menyapanya. Sebelum berlalu ke dapur sempat lagi Fazila bersalaman dengan
adik perempuan Fauzi yang memperkenalkan dirinya sebagai Farisya. Lantas dia
mengajak Farisya turut sama ke dapur.
Dalam sibuk keluar masuk dari dapur ke meja makan untuk
menghidangkan juadah sarapan pagi, telinga Fazila sedikit pun tidak dibiarkan
sepi dari mendengar perbualan abah dengan Makcik Hasmah, emak Fauzi. Kedengaran
satu persatu cerita lalu yang mereka perbualkan. Seorang demi seorang sahabat
yang mereka sebut, bertanyakan perkhabaran lama. Sesekali kedengaran Fauzi dan
abangnya Faris menjawab pertanyaan-pertanyaan yang abah tanyakan kepada mereka.
Hemmm... abah kalau dah bercakap, memang susah mahu berhenti, rungut Fazila
dalam hati.
Akhirnya setelah semuanya siap, emak menjemput semua
untuk sama-sama menghadap meja menjamu selera dengan juadah pagi itu. Nasi
dagang berlaukkan gulai ikan aya serta sambal ikan, juga sedikit kuih muih yang
abah belikan awal pagi tadi di warung berhampiran. Kelihatan laju sekali
semuanya makan, terutamanya Fauzi. Sememangnya tadi emak telah meminta Fazila
supaya memberitahu Fauzi dan keluarganya supaya tidak singgah untuk makan di
mana-mana kerana juadah istimewa telah disediakan untuk mereka.
“Sedap nasi dagang ni... mana nak jumpa yang rasa macam
ni kat KL tu...,” puji Fauzi apabila dia dihulurkan dengan pinggan nasi tambah.
Tersenyum emak bila dipuji begitu. Ala... tu nak cover malu sebab makan
banyakla tu.... bisik hati Fazila.
"Ini biasa je Fauzi, banyak lagi kedai-kedai yang
jual nasi dagang sedap kat sini,” kata emak merendah diri.
“Tapi makcik... masakan kat rumah macam ni lagi sedap... homemade orang kata... mana boleh tanding...,” jawab Fauzi lagi yang
kelihatan sudah hilang malunya dengan emak dan abah.
“Eh.. nanti akak nak la resepinya Yati... dulu ada cuba
buat, belajar dengan jiran... orang Kelantan jugak... tapi tak jadi macam
ni.... ,” kata Makcik Hasmah.
“Ala.. Senang aje mak... ambil aje Ila ni jadi menantu...
boleh suruh dia yang masakkan. Kan Faris?” kata Fauzi sambil mengangkat keningnya
kepada Faris, tanpa segan mengusik Fazila di hadapan semua orang. Kata-katanya
itu yang mengundang tawa dari semua yang ada.
Saat itu Fazila merasa sungguh malu. Tidak tahu di mana
mahu dia letakkan mukanya. Sungguh Fauzi nak kena agaknya, detik hatinya.
Matanya turut mengerling selintas untuk melihat reaksi Faris. Pertama kali
bertentang mata, terasa bertambah panas wajah Fazila apabila dia mendapati lelaki itu turut
merenungnya dengan senyum terukir di bibir. Ah, sungguh dia merasa tidak selesa
berada di dalam situasi sebegini.
“Alah... nak suruh Ila masak? Alamatnya makan nasi
mentahlah jawabnya. Bukannya pandai pun dia tu. Masa makcik engkau masak ni,
dia tengah dok tidur lagi. Kalau nak tau Ila ni, kalau tak dipaksa datang ke
dapur menolong, alamatnya berpeluh sorang-soranglah makcik kau kat dapur tu..,”
usik abahnya pula.
Kata-kata abah yang mulanya disangkanya akan menjadi
penyelamat dirinya, rupa-rupanya turut sama menjadikan dia bahan lawak untuk
mereka. Sungguh dia tidak menyangka yang abah juga akan turut mengusiknya di
hadapan mereka. Ah, malu sungguh dia rasakan.
“Abah ni... ,” katanya separuh merajuk sambil bangun
untuk ke dapur. Menyibukkan diri untuk mengambil air minuman yang telah luak di
tekoh. Rasanya bagaikan tidak mahu dia keluar semula ke ruang makan bila
mendengarkan galak tawa mereka yang menghantar dia ke dapur sebentar tadi.
Sesungguhnya ahli keluarga Fauzi memang mesra orangnya.
Sekian lama tidak berjumpa tidak membataskan kemesraan antara mereka dengan emak dan abahnya yang sememangnya
peramah. Tambahan lagi mereka sebenarnya sudah kenal lama, cuma terpisah oleh
waktu. Cuma Fazila melihat, Faris agak pendiam orangnya, tidak seperti Fauzi,
emaknya dan Farisya. Sejak mereka tiba tadi, baru beberapa kali lelaki itu
bersuara. Itu pun hanyalah untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang ditujukan
kepadanya. Selain dari itu dia lebih banyak tersenyum sahaja. Agak jauh berbeza
perwatakkannya dari Fauzi dan Farisya yang asyik riuh berkata-kata, mengusik
dan bergurau dalam berbicara.
****
“Nasib baik Kak Rini sanggup temankan Ila. Kalau tak tak
tau rasanya macam mana nak hadap keluarga ni..,” bisik Fazila semasa mereka
menjemput kakak sepupunya untuk turut
bersama menjadi tourist guide bagi
keluarga ini.
“La... kenapa pulak..?” tanya Kak Rini yang usianya
hampir sepuluh tahun lebih tua dari Fazila.
Kak Rini masih belum berkahwin dan bertugas sebagai
seorang guru. Orangnya cepat mesra dan memang sangat suka shopping. Sesuai sekali Fazila memilih kakak sepupunya ini untuk
membantunya dalam tugasannya itu.
“Manalah Ila tau jalan nak ke Pengkalan Kubur tu....,”
rungut Fazila.
“Dah tu... kenapa terima... tolak ajelah...,”
“Tak sampai hatila pulak kak...,”
“Tak sampai hati ke... atau....,” meleret suara Kak Rini
mengusiknya. Matanya menjeling kepada kedua-dua lelaki yang berada dalam kereta
yang sedang menunggunya. “handsome tu... mamat tu.... yang mana satu ni... yang adik ke...
yang abangnya...?” sambung Kak Rini lagi.
Aduhai... Fazila
mencebirkan bibirnya tanda tidak suka diusik. Kenapalah semua orang
asyik mengusiknya hari ini? Sungguh tak faham rasanya. Namun begitu dia
sungguh-sungguh rasa bersyukur kerana Kak Rini sanggup menemaninya. Kalau tidak
sudah pasti dia akan menolak pelawaan mereka.
Sikap Kak Rini yang peramah nampaknya mampu memeriahkan
suasana yang sudah sememangnya ceria. Sepanjang perjalanan mereka bagaikan
sudah lama kenal. Ada sahaja celoteh yang membuatkan mereka ketawa. Berada di
kalangan keluarga itu, bagaikan menonton rancangan Raja Lawak. Ada sahaja
perkara lucu yang diperkatakan hinggakan tak kering gusi dibuatnya.
Ternyata Makcik Hasmah, emak Fauzi memang suka
membeli-belah. Tiba sahaja di Rantau Panjang, dia kelihatan bagaikan tidak
sabar-sabar untuk memulakan aktiviti membeli-belah. Satu persatu kedai yang
ingin dia jelajahi sehinggakan hampir semua deretan kedai yang ada di situ
dikunjunginya. Gerai-gerai di dalam pasar juga dijelajahi satu persatu.
Tangannya sarat membawa beg plastik berisi pelbagai barangan yang dibeli. Dan
semua yang ada menjadi mangsanya, terpaksa menjadi kuli tukang angkut
barangnya. Adoiii.....
Setelah hampir dua jam berjalan Makcik Hasmah kelihatan
sudah mula keletihan. Lalu Kak Rini mengajak mereka rehat seketika dan menjamu
selera di sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis kuih-muih dan makanan
ringan. Masing-masing memilih juadah yang mereka gemari. Fauzi, Farisya dan Kak
Rini memilih pulut durian manakala Fazila, Makcik Hasmah dan Faris pula memilih
pulut pauh. Kemanisan pulut yang dimakan bersama buah pauh dan santan itu
kelihatan amat digemari oleh Makcik Hasmah. Habis sepiring pulut yang
dihidangkan. Faris pula kelihatan seperti tidak begitu menggemari rasa hidangan
tersebut. Mungkin kerana lemak santan yang digunakan membuatkan Faris terasa
muak untuk menghabiskannya.
“Kenapa tak habiskan ni Faris?” kata Makcik Hasmah
menegur anaknya.
“Manis la mak... buah mangga Faris ni dah habis. Kalau
ada lagi, taklah manis sangat rasanya pulut ni sebab buah tu masam-masam
sikit...”
“La... kan dah memang makanan orang Kelantan ni
manis-manis semuanya.... macam orang-orangnya la.... ,’ kata Fauzi menyampuk.
Mulutnya laju sekali mengunyah pulut durian yang
terhidang di hadapannya. Mungkin pulut durian kurang manis rasanya kerana
pelanggan sendiri yang menambah gula di dalam hidangan itu. Jadi bagi mereka
yang suka manis, boleh menambah gula dengan kadar yang banyak, tetapi kalau
yang tidak suka manis, bolehlah kurangkan gulanya. Tetapi untuk pulut pauh,
pulutnya itu sendiri telah digaul dengan santan dan gula. Dan dihidangkan
dengan santan pekat yang telah dimasak dan dicampur dengan sedikit garam untuk
menaikkan rasa lemak santan tersebut.
“Kalau nak kurangkan manis, tambahla buah pauhnya...,”
perlahan Fazila memberikan cadangan.
“Haah... tambahlah... nanti kurangla sikit rasa
manisnya...,” kata Makcik Hasmah sambil senyum.
Faris terus memberikan senyuman kepada Fazila sehinggakan
terkedu seketika Fazila melihatkan senyuman itu. Cepat-cepat dia melarikan
pendangannya kepada Makcik Hasmah untuk menutup debaran di hatinya. Perilakunya
itu dipandang dengan penuh minat oleh Fauzi. Hati anak muda itu sedikit
terguris, tetapi cuba untuk tidak diendahkannya. Dia meyakinkan dirinya bahawa
semua ini adalah takdir. Dia tidak boleh memaksa Fazila untuk menyukainya. Dan
jika Fazila sukakan Faris, seperti apa yang dia lihat sekarang, dia harus
menerima semua itu dengan tangan terbuka. Dia tidak pernah melihat gadis ini
tergamam dan malu-malu sebegitu di hadapan mana-mana lelaki sebelum ini.
Mungkinkah Faris orangnya?
Semua perkara yang diinginkan Fazila kelihatan begitu
berpihak pada Faris. Faris memenuhi semua kriteria yang pernah Fazila sebut
kepadanya dahulu tentang calon suami yang dia mahu. Lebih berusia, lebih
matang, lebih baik, dan.. lebih handsome....
aduhai.... terjerut perasaannya mengingatkan kata-kata Fazila itu. Namun dia
menghormati kehendak gadis itu meskipun dia tahu syarat yang terakhir itu cuma
satu gurauan yang keluar dari bibir munggil Fazila. Fazila bukanlah seorang
yang terlalu memilih untuk berkawan. Dia mesra orangnya dan tidak suka
membuatkan orang marah padanya. Selalu dia mengambil berat tentang kesusahan
teman-temannya. Meskipun begitu, ada juga keadaan di mana gadis ini melakukan
saja apa yang dia mahu sesuka hatinya. Walaupun tidak sempurna, Fazila masih
lagi antara calon yang memenuhi
kehendaknya dalam senarai calon gadis-gadis yang dia minati. Walaupun
adakalanya mulutnya terlalu telus dalam berkata-kata, namun sifat itulah yang
membuatkan Fauzi menyukainya. Fazila bukan seorang yang suka berpura-pura hanya
untuk memuaskan hati orang lain. Dia bukan seorang yang hipokrit. Dan Fauzi tahu, Faris juga sukakan gadis yang
sebegitu. Selera mereka biasanya sama.
5 comments:
Laila.. terkedu sejenak.... mencernakn rasa fazila pd faris......
kesian kat fauzi.
kak laila mmg suka cipta byk hero kan? hee.
nak fauzi.. kesian dia.
mimi... kat sini ada banyak hero dan banyak heroin... nanti mimi pilih yang mana berkenan..hehe..
igt lagi cerpen ni...best2....tq kak laila hanni
Post a Comment