Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 11


Bas yang Fazila naiki berhenti perlahan-lahan di perhentian bas yang paling hampir dengan kawasan perumahan Professor Ruquiyah. Perkataan hampir itu bagaikan tidak bermakna kerana dia masih perlu berjalan selama hampir dua puluh minit untuk sampai ke rumah prof. Dia  tidak pernah menyukat jarak perjalanan sebenar yang dia harus lalui, apapun dia masih perlu berpeluh untuk sampai ke rumah teres mewah milik prof. Dalam suasana petang yang tidak menentu cuacanya itu, terasa amat memenatkan sekali. Namun ini sahaja cara untuk dia menambah pendapatan bagi menambah wang saku untuk menyara kehidupan hariannya.  Sekurang-kurangnya itu boleh dijadikan aktiviti riadah untuk menyihatkan tubuh badannya. Seboleh-bolehnya dia tidak lagi mahu menyusahkan abah dan emak. Sudah cukup dia menyusahkan mereka selama ini. 

Rutin hariannya kini masih tetap sama. Pagi, dia ke kuliah, ataupun jika waktu-waktu tiada kuliah, dia terus ke makmal untuk menjalankan kajiannya. Buat masa ini dia masih lagi di peringkat mencari kaedah terbaik untuk dia cadangkan di dalam kertas kerjanya untuk  melaksanakan projeknya nanti. Professor Ruquiyah mencadangkan supaya dia mendapatkan sekurang-kurangnya seratus kertas kajian dari jurnal-jurnal yang berkaitan dengan kajian yang akan dia laksanakan nanti. Untuk mencari seratus kertas kajian bermakna dia perlu membaca dua ratus,  atau mungkin lebih kertas kajian yang berkaitan dengan kajian-kajian pengkaji yang terdahulu. Aduhai ... bukannya mudah rupanya. Semuanya bergantung kepada kekuatan diri untuk melaksanakan semuanya kerana di peringkat pengajian sarjana sebegini dia perlu bergerak sendiri. Tiada lagi yang akan mengatur perjalanan  proses pengajiannya seperti yang berlaku di peringkat sarjana muda dahulu. Penyelia seperti Professor Ruquiyah cuma menjadi penasihat sahaja supaya dia tidak tersasar dalam menjalankan kajian berdasarkan objektif yang telah dia sendiri tetapkan. Aduhai... penat dan mencabar sekali rupa-rupanya....

Rutin petangnya pula dia akan ke rumah Professor Ruquiyah untuk bersama Eisya dan Epul. Mengikut jadualnya dia perlu datang hanya tiga kali. Tetapi ada waktunya dia memang dipanggil oleh anak-anak itu untuk belajar bersama mereka. Dan prof sudah menjanjikan akan memberikan bayaran tambahan dari apa yang dipersetujui di peringkat awal dia menjalankan tugasnya itu. Semua itu tidak menjadi masalah kepadanya kerana dia masih boleh turut sama belajar bersama kedua-duanya yang sudah dianggap seperti adiknya itu. Malah kehadiran Epul dan Eisya sebenarnya meminjamkan kekuatan untuk dia terus belajar. Berada bersama mereka seolah-olah dia berada bersama-sama sebahagian daripada adik-adiknya di kampung.

Sepanjang sebulan ini dia sebenarnya hanya menjadi peneman kepada kedua-duanya. Mereka adalah anak-anak yang bijak, yang tidak memerlukan  guru tusyien sebenarnya, jadi dia cuma bertindak sebagai peneman. Dan dalam tugas menemani anak-anak itu, dia sebenarnya tidak terlalu terikat dengan jadual yang tertentu. Dia cuma perlu mempastikan Epul dan Eisya menyiapkan kerja-kerja sekolah mereka sentiasa yang berlambak. Jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, barulah dia berperanan untuk membantu. Jika tidak, dia hanya menjadi pemerhati sahaja. Dan jika tiada kerja sekolah yang perlu mereka selesaikan, barulah dia berperanan untuk membantu dengan menyediakan aktiviti-aktiviti tambahan. Jadi waktu begitu dia gunakan sepenuhnya untuk memilih dan membaca mana-mana jurnal yang berkaitan dengan kajian untuk tesisnya.

Fazila tiba di lorong berhadapan dengan rumah Professor Ruquiyah  ketika mendung mula bertukar menjadi titis-titis hujan. Cepat-cepat dia berlari memasuki lorong itu. Tanpa memandang ke kiri dan kanan, dia terus sahaja berlari memasuki pintu pagar yang memang telah sedia terbuka untuk menanti kepulangan prof dan suaminya. Setiba saja dia di muka pintu, terus sahaja pintu itu terbuka dan terjengul wajah itu di situ. Dan sedetik itu juga darahnya bagaikan dipam laju. Debaran jantungnya tak bisa dia kawal sehinggakan bagai tercungap-cungap dia rasakan. Benarkah apa yang dia lihat di hadapan mata? Ataukah ini cuma khayalan semata? Khayalan yang sungguh membahagiakan.

 “Hei.... awak ni memang takutkan air hujankan?”

Teguran sinis itu singgah di telinganya sehinggakan dia bagaikan tersedar dari lamunan. Sejak wajah itu muncul di pandangan, dia sendiri tidak sedar berapa lama dia terpaku di tempat dia berdiri. Gumam menggigit bibirnya hingga tidak mampu melontarkan walaupun sepatah kata. Bibir Amir Hamzah yang kemerah-merahan itu menguntum senyum. Buat dia makin terpaku memandang wajah yang amat dia rindukan itu.

****

“Minumla Kak Ila.... best ni Eisya buat...,” kata–kata Saidatul Batrisya mengejutkan Fazila dari lamunan. Tak habis-habis aku mengelamun... rungutnya dalam hati terhadap sikap barunya itu.    

Fazila menghirup perlahan jus tomato yang di hidangkan oleh Eisya. Jus yang pekat dan berbuih terasa begitu sedap sekali.

“Eiii... bestnya... macam mana Eisya buat ni... ,” pujinya sambil matanya kembali tertumpu pada gelas setinggi 10 cm itu.  Dia tidak pernah merasa jus yang sesedap ini. Pekat dan sangat bersari. Fazila tidak pernah tahu yang tomato boleh dibuat jus yang begini enak rasanya.

“Lain rasanya kan kak dari jus tomato yang biasa minum kat kedai. Selalunya dia orang letak sikit je buah tomato tu. Eisya bubuh banyak... barulah best...,”

“Emmm betul... sedap... nanti ajarkan akak buat jus gini ye... bestnya,” pujinya lagi. Sememangnya dia ikhlas memuji. Dan buat seketika dia menumpukan perhatiannya kepada Eisya. Tidak seperti sebentar tadi, saat mindanya asyik melayan detik-detik indah sewaktu bertatapan dengan sidia. Walau hanya dengan sebaris ayat, masih sidia mampu menjentik ruang ingatannya hampir setiap detik. Amir Hamzah ... terlintas nama itu di dalam hatinya.

Mereka meneruskan aktiviti pengajian masing-masing diselang-selikan dengan perbualan-perbualan kecil. Namun sepanjang waktu itu Fazila jadi tidak menentu. Bagaikan ternanti-nanti wajah itu menjengah di pintu bilik Eisya tempat dia, Eisya dan Epul sedang sama-sama belajar. Kehadiran Amir Hamzah itu kembali membawa debar yang menggetarkan perasan. 

“Bukan takut hujanlah... tak nak basah... nanti habislah laptop dengan kertas-kertas saya ni,” matanya melilau pada hujan yang mula turun membasahi bumi. 

“Nasib baik awak sempat sampai kan? Kalau tidak memang lencun awak petang ni...,”  balas Amir Hamzah yang masih lagi berdiri di muka pintu seolah-olah tidak mahu membenarkan Fazila masuk ke rumah. Teragak-agak Fazila dibuatnya.

“Emmm.. boleh saya masuk?” pinta Fazila akhirnya.

Tanpa sepatah kata Amir Hamzah memberi laluan walaupun dia masih berdiri di tengah-tengah gerbang pintu. Demi sahaja Fazila melintasinya, sesuatu yang sungguh tidak dia sangka singgah di telinganya. Antara dengar dengan tidak suara itu berbisik,

“Silakan... masuk saja terus ke pintu hati aku ni...,”

Dalam debar yang menguatkan lagi pecutan jantungnya Fazila hanya menyambut kata-kata itu dengan diam. Mana mungkin dia berkata apa-apa sedangkan dia sendiri tidak yakin samada kata-kata itu benar-benar diucapkan oleh Amir Hamzah atau hanya sekadar angan-angan yang tercipta di mindanya semata-mata.
Dia memandang ke dalam mata Amir Hamzah. Berlagak berani walaupun hatinya cukup gementar saat itu. Dia tidak pernah tahu yang dia boleh sebegini gementar di hadapan lelaki. Dan sepintas lalu wajah Faris menjelma di hadapan matanya. Membuatkan Fazila bagaikan tercungap dek rasa terkejut. Cepat-cepat Fazila memalingkan mukanya dan melangkah masuk. Seribu rasa bersalah hinggap di hatinya.

“Kak....,”

Lamunannya terhenti apabila Eisya menggoncang tubuhnya dengan kuat sekali.

“Eiii... Kak Ila ni kuat berangan la... abang Epul... ,” rungut Eisya pada abangnya.

“Mesti ingatkan boyfriend dia tu..,” kata Epul sambil terus dengan kerja sekolah yang sedang dia siapkan. Tidak begitu mengambil berat dengan kerenah Fazila dan adiknya. Dia perlu menumpukan perhatiannya terhadap latihan matematik yang sedang dia buat, markah peperiksaan pertengahan tahunnya telah jatuh dan papa dan mama telah memberi amaran “tak boleh main iPad sampai Epul baiki balik keputusan ujian akan datang”. Aduhhhh....

Fazila meletakkan kertas kajian yang sedang dia baca dan mencubit kedua-dua belah pipi Eisya sambil pura-pura marah kepada gadis sunti tersebut, “eee..... sibuknya dia...,”

“Eleh... orang panggil dua tiga kali tak dengar.... ingat boyfriend la tu...,” kata Eisya selepas menjelirkan lidahnya kepada Fazila. Dia turut mencubit kedua-dua pipi Fazila bagi membalas semula semua perlakuan Fazila terhadapnya. Akhirnya mereka ketawa dalam gurauan yang menggeletek hati masing-masing. Epul hanya memandang dengan penuh minat. Ada waktu terasa seperti mau dia bergurau dengan kak Fazila seperti yang Eisya lakukan. Tetapi mesti kak Ila tidak suka. Dia sudah berada di alam remaja dan mereka bukan muhrim. Kalaulah kak Ila ini kakaknya sendiri, tentu seronok. Bolehlah dia bergurau dan bermesra-mesra dengan kak Ila.

Sehabis bergurau, Eisya mengubah kedudukannya pula. Dia kini sudah terbaring di ribaan Fazila. Fazila terus meletakkan jurnal yang sedang dibacanya dan menumpukan perhatiannya kepada Eisya.

“Kak Ila ...,” panggil Eisya.

“Iya dik... apa...?”

“Akak ada boyfriend ya?”

“Ehhh... kenapa pulak Eisya tanya macam tu...?”

 “Akak selalu je termenung.. ingatkan boyfriend akak ye?”

“Ehhh... mana ada...,”

“Iya.... akak selalu gitu... ,”

“Tak adalah....,”

“Iya.... kan abang Epul...,”

“Haah...” sahut Epul mengiakan kata-kata adiknya.

“Selalu Eisya tengok akak senyum sorang-sorang... kadangtu... nampak sedih...,”

“Mana ada.... pandai je Eisya buat cerita...,”

“Iya...,”

Fazila diam.

“Eisya cakap kat Pak Uda.... dia kata akak ingatkan boyfriend akak...,”

“Eiii... memandai aje lah... akak mana ada boyfriend...,” wajah Fazila sudah mula memerah. Sungguh dia tidak menyangka dia dijadikan bahan perbualan antara dua anak suadara dan bapa audara itu.

“Tapi Sya tengok... kak Ila tak pernah gayut kat handphone kan?”

“Macam mana nak gayut. Kak Ila mana ada handphone...,” kata Epul pula. Matanya terus berada pada buku latihan yang berada di hadapannya. Kak Ila sudah beritahu bahawa dia perlu siapkan tiga set contoh soalan yang terdapat di dalam buku latihan tersebut sebelum dia boleh berhenti. Jadi seboleh mungkin dia cuba untuk menyiapkannya secepat mungkin. Kalau ada peluang nanti bolehlah dia bermain dengan playstationnya sebelum masuk tidur pukul 11.00 nanti.

“Malam ini mama dan papa balik lewat sikit... kak Ila tidur kat sini ye?” kata Eisya.

“Eh... tak boleh... esok akak ada kerja. Awal pagi lagi kena pergi cek alat kat lab, ... untuk kajian akak...,”

“Nanti pak Uda yang hantarkan ye... macam selalu tu?” tanya Eisya penuh minat.

Fazila diam. Tidak tahu bagaimana untuk memberi respon kepada kenyataan itu.

 “Ala... Kak Ila jadi girlfriend Pak Udalah... kan senang...,” ucap Eisya lagi.

Tersentak Fazila dengan kenyataan itu. Kenyataan yang membuatkan ada debar bak gendang yang dipalu di perdu hatinya. Namun semua perasaan itu disembunyikan diam di hatinya. Hanya ada cebir di bibir menjawab saranan itu. Mana mungkin sedang dirinya sudah terikat dengan janji. Meskipun hatinya ingin sekali, namun mana mungkin. Tak mungkin dia mampu untuk melakukan sesuatu yang mampu buat abah dan emak terluka.

“Mesti nanti mama suka.... Eisya lagi suka... abang Epul pun suka... abang kan,” bebel Eisya sendirian. Tangannya laju menulis di buku latihan yang telah Fazila tugaskan untuk dia siapkan malam itu juga.
Fazila menarik nafas panjang sambil  buat-buat tidak layan sahaja kepada kenyataan itu. Malu pada diri sendiri. Dia yang sudah bertunangan, kini melayan debaran demi debaran yang melibatkan lelaki lain. Sungguh dia tidak layak untuk merasakan debaran itu. Namun masih lagi debaran itu mahu singgah di hatinya. Untuk seketika ini biarlah dia menikmatinya. Nanti akan tiba masanya dia tidak lagi dapat menikmati rasa itu.

****

 Mata Fazila melilau mencari orang yang dia perlu temui. Tengahari tadi Professor Ruquiyah meminta supaya dia menunggu di tempat biasa. Dan seperti biasa dia sudah terpacak di situ sejak awal lagi. Dia tidak mahu Professor Ruquiyah yang menunggunya pula. Tidak sepatutnya begitu. Majikan menunggu pekerjanya.
Dan bila kereta Suzuki Swift milik Amir Hamzah yang menghampirinya, Fazila tiba-tiba jadi resah. Professor Ruquiyah tidak pula mnegatakan yang lelaki ini yang akan menjemputnya. Selepas bicara yang terluah dari bibir Eisya tentang dia dan lelaki ini semalam, dia cuba sedayanya untuk membuang semua keinginan yang berpaut di hatinya. Dia tidak layak untuk itu semua. Dia sudah menjadi tunangan orang. Seharusnya dia menyimpan rindu buat Faris, bukan buat lelaki ini.

Bila tiba sahaja kereta itu di hadapannya, pintu kereta terus terbuka. Dengan hati yang berbelah bagi, dia masuk ke dalam ruang tempat duduk penumpang di bahagian hadapan. Ucap salam anak muda itu menyapa di telinganya. Sambil menjawab salam, dia menghalakan pandangannya ke luar tingkap tanpa memandang ke wajah Amir Hamzah. Terus matanya memandang keluar tanpa melihat apa yang ada dalam arah yang dipandangnya.

Amir Hamzah juga diam. Mata anak muda itu hanya memerhatikan jalan di hadapannya. Sesekali dia menjeling kepada Fazila. Setiap kali bersua, bagaikan ada ketegangan antara mereka.  Dia cukup tidak suka dengan keadaan sebegitu. Namun dia diamkan sahaja gelodak jiwa yang sedang dirasakan  ketika itu.
Seperti biasa dari ekor matanya dia meneliti wajah gadis yang sederhana menawan itu. Kalau bukan kerana sikapnya yang seolah-olah jual mahal, tentunya dia tidak tertarik untuk mendekati gadis ini. Wajahnya biasa-biasa sahaja, walaupun terselit kemanisan apabila dia tersenyum dan ketawa. Namun, sikap jual mahal dan juga sedikit kemanisan yang ada itulah rupa-rupanya yang sering menyapa pandangan matanya walapun di mana dia berada sejak kebelakangan ini. Sehingga dia bagaikan tidak mampu untuk menafikan rasa sukanya kepada gadis ini. Perasaan yang hadir perlahan-lahan di hatinya. Yang bagaikan tak mampu dia sekat dari terus berkembang memenuhi segenap ruang hati.

Lima belas minit masa berlalu dalam sepi sehinggalah mereka sampai di pintu pagar rumah Professor Ruquiyah. Masing-masing masih lagi diam tanpa kata. Bila Amir Hamzah memberhentikan keretanya di situ, cepat-cepat Fazila membuka pintu dan keluar. Dia perlu pergi jauh dari lelaki ini. Dia tidak mahu hatinya terus remuk digodam dek sejuta perasaan yang hadir setiap kali mereka bersama. Namun, langkahnya yang cuba dipercepatkan terhenti bila tangannya diraih oleh Amir Hamzah. Perlakuan yang buat dia gamam seketika, hingga gumam jadinya. Sedikitpun tidak mampu untuk menarik tangannya untu melepaskan diri dari disentuh lelaki ini. Dia  hanya mampu memandang ke dalam mata yang kali ini memandang redup ke dalam matanya.

“Saya ada sesuatu untuk awak...,”

Mata Fazila melahirkan persoalan yang yang berbisik di hatinya. Saat ini tiada suara yang mampu keluar dari bibirnya.

“Ini.... awak bukalah nanti... instruction semuanya ada kat dalam. Saya nak awak gunakan sebaik saja awak buka kotaknya...,” kata Amir Hamzah separuh memberi arahan.


Jemarinya melepaskan tangan Fazila lalu mengambil sesuatu dari tempat duduk belakang. Tanpa banyak soal, beg kertas sederhana besar itu berpindah tangan.  Fazila masih gamam di pintu pagar rumah Professor Ruquiyah apabila kereta Amir Hamzah berlalu meninggalkannya  yang masih gumam, tak mampu berkata apa-apa.



4 comments:

Anonymous said...

dapat handphone la tuh ... heheheh

IVORYGINGER said...

Alahai... Amir Hamzah yg tlg belikan handfon... Faris too slow la. huhuhu... Hati Fazilah n Amir blagu rentak yg sama. Tp mungkin kah dgn phatian Faris nnti akan sbbkan Fazilah brentak lagu yg sm???

Anonymous said...

Hati sy plak yg bdebor x sabar nk tau apa yg Amir hamzah kasi, walau dah boleh agak pedia...huhuhu

Mohamad Kamil said...

Ko minat baca novel ye? Tahniah! Dulu waktu ak still budak sekolah, ak mmg minat gila baca novel. Minat tu mula bercambah ketika ak form 1. Dan seterusnya ak jadik Pengawas Pusat Sumber bagi memudahkan ak utk pinjam buku. Ak ingat lagi, daya membaca ak tiba2 jadik lemah masa ak form 5 sampai la ak masuk poli. Bila ak baca je, ak terpaksa berbicara dgn jelas menggunakan hatiku. Tapi syukur la ak dh pulih. Dan skang ak bole baca guna balik teknik imbas dan faham. Alhamdulilah!

Post a Comment

Popular Posts