Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 12

 

Terbeliak mata Fazila pada saat pertama kali halaman yahoo mail terpapar di skrin komputernya. Dari lima pesanan yang dia terima, salah satu darinya begitu menarik perhatiannya. Membuatkan dia cepat-cepat menekan butang tetikus komputer itu pada pesanan yang dia terima dari Abang Faris.

 “Assalamualaikum Ila,

Apa khabar? Abang dapat alamat email Ila ni dari Fauzi. Dah lama abang nak cuba hubungi tapi masa tak mengizinkan.  Kali ini baru abang dapat cuba. Abang ada request friend dekat fb Ila sejak dua minggu lepas lagi, tapi Ila masih belum accept frenship abang itu lagi. Ila sibuk juga ye sampaikan tak sempat nak buka fb. Harap dapat Ila terima friendship dengan abang supaya lebih mudah untuk kita berhubung.

Insyaallah hari Sabtu akan datang abang dan emak akan ke Skudai untuk berjumpa dengan Ila. Mak kata dia rindu Ila ... Sekali lagi abang harap Ila dapat terima friendship abang di fb. Lebih mudah untuk kita berhubung di situ. Abang akan update semua tentang perjalanan kami di sana nanti.

Sekian,

Terima kasih

Abang Faris.”

 Jadi menggila debaran di hati Fazila saat terbaca pesanan yang kelihatan begitu skema dalam emailnya.  Rupanya begini rasanya bila pertama kali ditegur oleh seorang yang amat diharap-harapkan. Debaran yang sama sekali berlainan dengan debaran yang dirasakan bila bersama dengan Amir Hamzah.

Matanya meneliti baris-baris ayat dalam kedua-dua perenggan. Doktorlah katakan, ayat-ayatnya begitu tersusun dan teratur sekali, menyampaikan maksud dengan jelas dan nyata. Tentunya disebabkan biasa dengan penulisan laporan dalam pemeriksaan pesakit. Tepat dan kelihatan kaku tanpa kemesraan. Ayat kedua dalam perenggan itu menarik perhatiannya. ‘Mak kata dia rindu Ila ...’. Hemmm ... Makcik Hasmah sahajakah yang rindukan dirinya?

Fazila mengabaikan semua bisikan-bisikan negatif yang mula singgah di hatinya. Cepat-cepat dia membuka akaun fb miliknya. Tak semena-mena hatinya jadi teruja. Sungguh dia tidak menyangka akan mendapat pesanan email ini dari Abang Faris pada pagi-pagi hari begini. Kebetulan dia membuka email untuk menghantar laporan  kertas kerjanya kepada Doktor Nordin untuk diselidiki oleh pensyarahnya itu selaku penyelia kedua bagi projek kajiannya. Melihatkan pada tarikhnya, email itu dia terima dua hari yang lalu. Tetapi kerana baru sahaja dia membuka emailnya hari ini, maka barulah dia dapat tahu tentang email Abang Faris ini.

Cepat-cepat Fazila menerima pelawaan persahabatan dari tunangannya itu. Sungguh dia amat berharap semua ini akan membawa sesuatu yang lebih baik nanti. Sungguh dia berharap supaya Abang Faris serius kali ini untuk membaiki hubungan mereka yang sepatutnya sudah akrab ketika ini berbanding dengan waktu mereka mula2 bertunangan dahulu. Dia menunggu seketika kalau-kalau Abang Faris ada untuk mennyapanya selepas persahabatan diterima. Ternyata hampa, namun akur kerana waktu begini tentunya tidak sesuai sekiranya Abang Faris ada di talian. Dia tentunya sedang sibuk memeriksa pesakit samada di wad ataupun di klinik di awal pagi begini. Fazila tersenyum sendiri. Bagai terangkat batu yang seberat satu tan dari bahunya.

Tiba-tiba telefon baru yang diberikan kepadanya oleh Amir Hamzah berdering kuat sekali di meja belajarnya. Nada dering yang pertama kali dia dengar itu cukup membuatkan dia tersentak. Dendangan irama lagu “Sayang” nyanyian penyanyi Indonesia, Shae menggamit pendengarannya. Lantas tiba-tiba ada debar yang amat mengujakan memalu hatinya. Cepat-cepat dia mengangkat telefon itu.

“Hello... Assalamualaikum?” sapanya penuh tanda tanya.

“Waalaikummussalam... hem.. ok tak telefon ni? Dah baca manualnya? Dah tahu kan cara nak gunakannya..?” terus pertanyaan demi pertanyaan menerjah ke telinga Fazila, membuatkan debar yang menggodam di dadanya bagaikan mampu menghilangkan rindu yang mengetuk pintu hatinya sejak semalam. Rindu pada dia? Pada Amir Hamzah? Pelahan satu keluhan lepas dari bibirnya. Membuatkan dia sedar akan hakikat bahawa dia kini bagaikan tersepit antara dua keadaan.

“Hei.... kenapa ni.... rindu sangat ke kat aku ni sampaikan bila dengar suara aku kau terus mengeluh lega?” kata Amir Hamzah sambil ketawa.

Bagaikan diketuk kepalanya Fazila sedar dari perlakuannya sebentar tadi.

“Eee... awak ni perasan betul....,” balasnya dengan kerut di dahi. Terasa begitu malu sekali kerana tertangkap sebegitu. Mujurlah mereka hanya berhubung di talian kerana dia dapat merasakan panas mukanya saat itu dek rasa malu.

Amir Hamzah masih lagi ketawa di hujung talian.

“Perasan engkau kata....? Hahaha ...,” Amir Hamzah masih terus menyambung tawanya.

“Awak nak bagitahu apa pada saya ni... kalau sekadar nak gelakkan saya...,”

Belumpun habis Fazila meluahkan rasanya, suara Amir Hamzah memotong ayat-ayat marah yang mula bersketsa di mindanya.

“Opp... oppp...opp.... ok...ok.. ok... hehehe.... aku cuma nak tanyakan khabar... kut-kut kau dah telefon semua kawan-kawan kau, bagitau yang kau dah ada telefon..,”

Kata-kata Amir Hamzah itu membuatkan bertambah berkerut dahinya. Kali ini akibat rasa marah kerana dituduh sebegitu. Sungguh tidak patut bila lelaki ini bersangka sebegitu.

“Awak ni... teruk tau... awak baru bagi saya semalam... Takkanlah pagi ni saya dah gunakan ... semata-mata nak bagitau semua orang pasal telefon ni...,” kata Fazila dalam nada yang semakin menunjukkan kemarahannya. Sungguh-sungguh dia marah ketika ini.

“Manalah taukan... kut-kut selama ni engkau saja aje kedekut nak beli telefon... bila dah ada. Gunalah sehabis-habisnya...,” sindirnya dalam gelak tawa yang membuatkan Fazila menjadi semakin geram. Airmata mula merembes di tubir matanya kerana marah yang dirasakan. Sungguh dia merasakan dirinya dipermainkan.

“Dahlah... malas la nak layan awak ni... buat apa bagi saya telefon ni kalau awak nak mengutuk saya je... Saya dah tak nak cakap dengan awak...,” kata Fazila geram. Dan tanpa menunggu, terus dia menekan butang merah untuk memutuskan talian.

Terkedu Amir Hamzah di hujung talian bila melihatkan dia mungkin telah menjolok sarang tebuan. Dan kini tebuan itu telah betul-betul marah sehinggkan sanggup menyengat dirinya. Sungguh dia tidak menyangka Fazila boleh jadi emosional sebegini.

****

“Kak Ila .... petang esok, kita pergi KFC nak?” ajak Eisya penuh mengharap.

“Alamak.. tak bolehlah Eisya... kawan Kak Ila nak datang hujung minggu ni. Dia sampai petang esok...,” cepat-cepat Fazila memberikan alasan untuk tidak keluar bersama dua beradik itu. Dia pasti, kalau mereka pergi tentunya akan ditemani oleh lelaki yang seringkali membuat dia marah di setiap perbualan mereka.

Sejak menerima panggilan dari Amir Hamzah tiga hari yang lalu, hampir tak putus-putus  ia menerima sms dari lelaki itu. Ada sahaja yang diusiknya. Ada sahaja yang ingin ditanyakan kepadanya...  Adakalanya dia membalas semula pertanyaan-pertanyaan itu. Namun sering kali bicara tanpa suara mereka itu akan berakhir tanpa jawab bila dia mula terasa malas untuk terus melayan sindiran demi sindiran serta usikan demi usikan lelaki itu.

“Ala... kita pergi awallah sikit... dah lama sangat Eisya tak makan KFC... jomla...,”

“Ehh.... neng Eisya... bukan aja Sabtu lepas baru neng ke sana bersama mama?” suara bibik pula menyampuk. Sempat lagi dia mendengar perbualan kedua-dua gadis itu meskipun sedang sibuk mengacau air minuman petang di ruang memasak di dapur. Ternyata sekali perbualan kedua-dua gadis sunti dan gadis yang sudah cukup matang untuk berteman itu menjadi perhatiannya.

“Ala bibik ni.... hari tu kan Eisya pergi dengan mama... sekarang ni Eisya nak ajak kak Ila la pulak...,” katanya dalam nada mendayu. “Jomla Kak... bolehla... kita pergila awal sikit... lepas Eisya balik sekolah, Pak Uda ambik Eisya dengan abang kat sekolah... Lepas tu, kita pergilah... bila petang, kalau kawan akak sampai, akak balikla...,” rayunya lagi.

Kan dah kata, mesti Pak Udanya ada sama... bisik Fazila dalam hati. Sepontan dia mengetap bibirnya geram.

“Emm... akak tak pasti kawan akak tu sampai pukul berapa. Jadi akak kenalah tunggu dia kat rumah...,” katanya selepas seketika dia diam melayan perasaan geramnya.

“La... telefonla dia, cakap kat dia, kalau dia sampai, biar dia telefon akak. Nanti akak balik... Kan sekarang akak dah ada telefon...,” pujuknya lagi.

“Ehhh... mana boleh macam tu. Telefon ni kan mama Eisya yang bagi untuk senangkan dia hubungi akak. Telefon ni untuk kerja, bukan untuk senang-senang akak pakai..,”

Berkerut wajah Eisya mendengarkan kata-kata Fazila.

“La... kan telefon tu hadiah Pak Uda pada akak. Bukannya dari mama. Kenapa pulak akak kata telefon kerja?” kata Eisya.

Terkejut Fazila di situ. Bulat matanya merenung ke wajah Eisya. Bukankah itu yang dinyatakan oleh Amir Hamzah kepadanya dalam smsnya apabila Fazila meminta penjelasan tentang pemberian tersebut? Amir Hamzah menjelaskan telefon ini adalah milik Professor Ruquiyah, kakaknya. Malah, menurut Amir Hamzah  bayaran bil bulanannya juga akan dibuat oleh Professor Ruquiyah. Dan Fazila dengan mudah mempercayai semua kata-kata itu. Sementelah lagi Professor Ruquiyah pernah meminta dia mendapatkan telefon untuk mudah dihubungi.

“Bolehlah kak... kita pergi nanti....,” 

Kata-kata Eisya itu membuatkan Fazila  kembali memandang ke dalam mata Eisya. Baru kembali tersedar tentang topik utama yang diperbualkan bersama gadis sunti itu. Mata bulat Eisya yang bagaikan merayu dia tatap dengan perasaan serba-salah.

“Tak boleh lah Sya... akak ada janji tengahari tu..... dengan pensyarah akak... ,” katanya berbohong.

Sungguh dia mahu mengelak dari terus bertemu dengan Amir Hamzah di saat-saat dia sudah mula mengembalikan tumpuannya kepada Abang Faris. Sungguh dia tidak sanggup lagi untuk terus membiarkan dirinya larut dengan daya tarikan yang ada di antara mereka. Meskipun kelihatan mereka sering saja bergaduh, dia pasti tarikan yang ada juga begitu kuat sekali. Sungguh dia dapat rasakan sebegitu. Jadi sebelum daya tarikan antara mereka menjadi lebih kuat, dia tahu, dia perlu mencipta jurang di antara mereka. Dan perhatian dari Abang Faris akan dia jadikan sandaran untuk dia menjarakkan diri dari Amir Hamzah.

“Lepas akak jumpa pensyarah akak laaa.. Takkanlah akak pergi jumpa dia berjam-jam lamanya. Masa Sya kat bilik mama, Sya biasa tengok pelajar mama pergi jumpa mama... paling lama pun sejam je,”

‘Aduhai... susah nya nak jelaskan pada anak gadis yang bijak ini,’ bisik Fazila dalam hati. Matanya terus memandang ke wajah Eisya yang seakan-akan memujuk rayunya dalam diam. Tidak tahu apa yang harus dia katakan untuk mengelakkan diri dari terus dipujuk rayu sebegitu.

Fazila akhirnya mengeluh perlahan.

“Yesss.... hemm... esok, Eisya telefon akak bagitau bila kami nak datang ambil akak,”

“Kami...? Maksud Sya..?” soalnya meskipun dia dapat meneka siapa yang dimaksudkan Eisya.

“Abang dengan Pak Udalah...,” pantas sekali Eisya pertanyaan tersebut.

“Ohh..... emmm.. tapi.... akak nak beritahu, kalau kawan akak tu sampai, akak mesti pergi jumpa dia. Jadi kalau dia sampai awal, akak tak jadi pergilah ye. Eisya pergi dengan abang dan Pak Uda aje ye?” katanya mengingatkan.

“Ok... tak pe... tapi kalau masa Eisya datang kawan akak tu belum sampai, akak mesti ikut kami. Akak janji ye....?”

Terdiam Fazila  seketika. Tidak pasti apa yang harus dia katakan. Lalu dengan perasaan serba salah dia mengangguk perlahan.

Yes.... best....,” kata Eisya dan mengangkat ibujarinya sambil tersengeh. Kegembiraan yang buat Fazila bagaikan mengesyaki ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik senyuman itu.

 

****

 

Fazila cepat-cepat mengatur langkah. Dia tidak mahu mengambil risiko terserempak  samada dengan Professor Ruquiyah, maupun dengan Amir Hamzah. Semasa di kampus tadi,  dia cukup berhati-hati untuk mengelakkan diri kalau-kalau terserempak dengan Professor Ruquiyah. Semasa dia keluar dari makmal di kampus tadi dia terpandangkan Professor Ruquiyah sedang berjalan dari pejabatnya ke bilik kuliah. Mungkin pensyarahnya itu ada kuliah di sebelah petang. Sengaja dia menunggu sehingga Professor Ruquiyah hilang dari pandangan barulah dia keluar dari persembunyiannya dan berjalan pada hala yang berlainan. Semua itu dilakukan supaya mereka tidak terserempak. Dia tidak mahu nanti Professor Ruquiyah menyampaikan kepada Eisya bahawa mereka terserempak. Jika itu berlaku, pasti nanti Eisya dapat meneka bahawa dia sebenarnya sudah tidak ada kuliah ataupun tidak ada janji dengan mana-mana pensyarah. Sepanjang perjalanannya juga dia cukup berhati-hati supaya tidak mengambil laluan yang berhampiran dengan jalanraya. Mana tau kalau-kalau Amir Hamzah turut sama melalui jalan tersebut dengan keretanya.  Mungkin perjalanannya jadi semakin jauh, sekurang-kurangnya dia selamat dari terserempak dengan lelaki itu. Dia tidak mahu tembelangnya pecah. Kalaulah tembelangnya pecah dan mereka tahu, tentunya ada yang berkecil hati nanti.

Sampai sahaja di pintu masuk bangunan hostel, telefonnya mula mendendangkan lagu “Sayang”. Terasa segan sekali dia dengan beberapa orang teman sehostel yang kebetulan sedang duduk bersantai di ruang lobi bangunan, apabila kuat sekali lagu itu berdendang. Dia masih belum lagi meneliti satu persatu isi kandungan telefonnya itu untuk mengetahui cara-cara untuk mengubah nada deringnya kepada nada yang lain.

“Hello...,” ucapnya perlahan.

“Hello kak Ila .. akak kat mana ni... jadi tak ikut kami...?” kedengaran suara Eisya bagaikan sedang sebak di hujung talian. Aduhai.. sepontan dia menggigit jari mendengarkan suara itu.

‘Ada ni... emm.... dah balik hostel ni....,” jawabnya tanpa sedar. Apabila sudah keluar kata-kata tersebut barulah dia menyedari kesilapannya. Semuanya gara-gara terlalu berhati-hati. Aduhaiii....

“Aaaa... bolehla pergi kan? Eisya suruh Pak Uda ambil akak kat hostel ye...?”

“A... eemmmm... ,” Fazila teragak-agak.

“Akak.... akak dah janji kan...?”

‘Ehh... bila pulak aku berjanji ...’ terdetik kata-kata itu di dalam hatinya. Namun tidak diluahkannya demi untuk menjaga hati si adiknya itu.

“Akak...?” tegur Eisya bila melihatkan dia diam.

Perlahan dia mengeluh.

“Oklah... tapi Eisya.. kena tunggu... akak belum solat lagi...,” katanya lambat-lambat.

“Emm... ok, sepuluh minit lagi Pak Uda pergi ambil akak...,” katanya penuh yakin.

“Emmm.... a....,” gumam lagi Fazila tanpa mampu membuat keputusan yang bisa menyakitkan hati Eisya.

Setengah jam kemudian dia sudah berada di atas kereta Amir Hamzah. Saat pertama kali memandang ke wajah itu dia terus menarik muncungnya. Apa tidaknya, wajah itu terus senyum sinis dan seperti biasa, seakan-akan ada tawa yang menyindirnya. Hanya wajah Eisya dan Epul sahaja yang menunjukkan bahawa kehadirannya di kalangan merka amat disenangi.

Mereka pergi ke restoren KFC yang terletak di Pusat Beli Belah Skudai Parade. Semasa Amir Hamzah memesan makanan, Fazila hanya diam di meja makan. Eisya dan Epul pula sibuk menemankan Pak Udanya mengambil makanan. Bila mereka kembali ke meja, masing masing terus menghadapi hidangan. Eisya dan Epul kelihatan lapar sekali sehinggakan masing-masing menghabiskan dua dan tiga ketul ayam goreng, satu set kentang lecek bersaiz besar dan semangkuk salad yang termasuk di dalam set yang ditawarkan di restoren itu. Sepanjang waktu makan mereka begitu rancak sekali berbual. Perbualan mereka berkisar kepada keadaan di sekolah masing-masing. Apa yang berlaku hari ini dan juga apa yang bakal mereka lakukan pada hujung minggu ini.

“Kenapa awak tipu saya?” akhirnya Fazila dapat mencari ruang untuk bertanyakan soalan tersebut apabila Epul dan Eisya kembali ke kaunter untuk membeli makanan untuk dibawa pulang buat bibik di rumah. Untuk papa dan mama, tidak perlu kerana kebetulan malam nanti papa dan mama mereka akan menghadiri majlis makan malam untuk meraikan persaraan salah seorang teman sekerja papa mereka.

Amir Hamzah memandang ke wajah manis di hadapannya itu. Menikmati keindahan yang ada di depan mata.

“Apa...?”

Kerut di wajah lelaki itu kelihatan seperti pura-pura sahaja mengajukan pertanyaan di mata Fazila.

“Telefon tu... kenapa awak tipu saya. Awak kata Prof Ruquiyah yang berikan. Tapi Eisya dengan Epul kata, awak yang nak berikan. Mana satu yang betul ni?” katanya separuh membentak.

“Ohhh... itu....,” lambat-lambat Amir Hamzah menjawab.

“Awakkkk...,” bentak Fazila apabila Amir Hamzah mengambil masa yang agak lama untuk menjawab soalannya itu.

Does it make any different? Kalau awak tau sebabnya?” soalan pula yang ditanya kepadanya.

“Maksud awak?”

“Iyelah... kalau engkau tau sebabnya aku bohongkan engkau... adakah itu akan mengubah keadaan?”

“Tentulah... sebab kalau awak  tipu, saya akan serahkan balik pada awak...,” kata Fazila geram.

“Hem... tak payah fikir nak buat macam tu. Telefon tu kan untuk kemudahan kau jugak. Kakak aku selalu cakap susah sangat nak hubungi kau. Jadi aku belikanlah. Lagipun bukannya mahal sangatpun. Kenapa yang engkau risau sangat pasal hal ni?”

“Saya tak nak terhutang budi...,” jawab Fazila setelah agak lama mendiamkan diri untuk memikirkan jawapan yang paling munasabah.

“Takut tergadai body ye?” kata Amir Hamzah sambil ketawa kuat sekali. Pelanggan-pelanggan di meja lain semuanya memandang ke arah mereka. Amir Hamzah hanya tersenyum sambil mengangkat tangannya kepada pelanggan yang memerhatikan mereka.

Terasa pucat wajah Fazila ketika itu. Sungguh dia tidak pernah terfikir sehingga ke arah itu.

“Kalau macam tu, saya pulangkanlah balik...,” kata Fazila sambil mengeluarkan telefon itu dari poket beg sandangnya.

“Ehhh... tak boleh. Kalau kau pulangkan aku buangkan je nanti.” Kata Amir Hamzah.

Berkerut kening Fazila memandang ke wajah separuh tampan Amir Hamzah.

“La... kenapa pulak sampai macam tu... kenapa sampai nak buang? Kan sayang kalau dibuang?” terluncur kata-kata itu dari bibir Fazila.

“Habis... buat apa lagi aku simpan kalau kau dah tak nak guna ... aku dah tak boleh hubungi kau lagi... tak boleh dengar suara kau tu... tak boleh dengar kau marah-marah bila aku usik...? Aku nak jugak dengar suara yang aku suka tu... nak jugak usik orang yang aku sayang tu...,”

“Jom balik Pak Uda..... Ini ha... kami beli untuk bibik. Dan burger untuk kita semua. So, malam ni tak payahla bibik masak nasi... dah boring rasanya asyik makan nasi aje...,” suara Epul yang menyampuk perbualan mereka itu membuatkan Fazila terkejut.

Makin berdebar jantungnya yang sudah sedia berdetak kencang apabila kata-kata Amir Hamzah sebentar tadi terus-terusan terngiang di telinganya. Seakan tidak percaya, namun ingin sekali dia percaya. Seakan tidak percaya, namun takut sekali untuk mempercayainya. Salah dengarkah dia atau mungkin kata-kata itu hanya terlantun dalam anganannya?

Namun wajah Amir Hamzah sedikitpun tidak menunjukkan bahawa dia bergurau  bila dia mengucapkan sepatah perkataan iaitu, “Serius...,”

Sehinggakan terlopong Fazila dek rasa terkejut.

 

****

 

Kira-kira jam enam petang mereka sampai di perkarangan hostel Fazila. Cepat-cepat dia turun dari kereta apabila Amir Hamzah berhenti betul-betul di hadapan pintu hostel. Sepantas itu jugalah dia mengambil sedikit barang-barang yang dibelinya sebentar tadi. Sepanjang perjalanan dia terus diam seperti tikus. Hanya suara Eisya sahaja yang kedengaran menceritakan itu dan ini.

Sebaik sahaja dia keluar dari kereta, matanya tertancap kepada sebuah Kia Sorento yang terpakir di perkarangan pejabat asrama yang terletak tidak jauh dari bangunan hostelnya. Kereta yang terletak di seberang padang kira-kira 50 meter dari pintu hostelnya itu diamati. Sudah sampaikah mereka? Mungkinkah itu ......

“Kak Ila .. tunang akak datang ... dah lama dia sampai..,” tiba-tiba suara Ana, teman satu hostelnya menjawab pertanyaan yang bermain di mindanya sebentar tadi. Lantas dia berpaling kepada wajah Amir Hamzah yang  kelihatan terkejut sambil memandang ke wajahnya. Dan saat itu terasa bagaikan lemah lututnya. Dia bagaikan tidak mampu  untuk terus berdiri kerana terasa begitu lemah lututnya.     
Dia hanya mampu menatap wajah Amir Hamzah. Cuba meminjam kekuatan daripada anak muda itu.

7 comments:

laila said...

Assalam buat semua pembaca,

ada sedikit perubahan telah dibuat untuk latarbelakang cerita ini. jadi harap jangan terkejut dengan beberapa perkara yang telah berubah.

selamat membaca..

laila hanni

tini said...

Best! Tp lama sgt nk tgu LH update. Dh nk dibukukan ker?

IVORYGINGER said...

okay kak Laila... tak kisah la... apapun msti pastikan this stories menarik n different from others. plz keep post another entry for our follow up... :D

laila said...

tengah menyiapkannya ni tini... :) kalau ada rezeki.... insyaallah dibukukan nanti...

laila said...

na bagi lain dari yang lain tu yang susahnya Ivoryginger... huhuhu.... insyaalllah akan cuba selalu update

Anonymous said...

Lamanya menanti... perubaha story line bagus Laila supaya boleh menimbulkan tanda tanya.. Faris mesti mengelak bila tengok Amir.. yela itukan aturan maknya..
Amir mesti terluka.. menyukai menyayangi tunang orang.. takut nanti dua-dua saling member laluan.. Ila yang merana..

Kang Zeer El-Watsi said...

izin nyimak di kunjungan perdana...salam kenal :)

Post a Comment

Popular Posts