Bab 12
Terbeliak mata Fazila pada saat
pertama kali halaman yahoo mail
terpapar di skrin komputernya. Dari lima pesanan yang dia terima, salah satu
darinya begitu menarik perhatiannya. Membuatkan dia cepat-cepat menekan butang
tetikus komputer itu pada pesanan yang dia terima dari Abang Faris.
Apa khabar? Abang dapat alamat email Ila ni dari Fauzi. Dah lama abang
nak cuba hubungi tapi masa tak mengizinkan.
Kali ini baru abang dapat cuba. Abang ada request friend dekat fb
Ila sejak dua minggu lepas lagi, tapi Ila masih belum accept frenship abang itu lagi. Ila sibuk juga ye sampaikan tak
sempat nak buka fb. Harap dapat Ila
terima friendship dengan abang
supaya lebih mudah untuk kita berhubung.
Insyaallah hari Sabtu akan datang abang dan emak akan ke Skudai untuk
berjumpa dengan Ila. Mak kata dia rindu Ila ... Sekali lagi abang harap Ila
dapat terima friendship abang di fb. Lebih mudah untuk kita berhubung di
situ. Abang akan update semua
tentang perjalanan kami di sana nanti.
Sekian,
Terima kasih
Abang Faris.”
Matanya
meneliti baris-baris ayat dalam kedua-dua perenggan. Doktorlah katakan,
ayat-ayatnya begitu tersusun dan teratur sekali, menyampaikan maksud dengan
jelas dan nyata. Tentunya disebabkan biasa dengan penulisan laporan dalam
pemeriksaan pesakit. Tepat dan kelihatan kaku tanpa kemesraan. Ayat kedua dalam
perenggan itu menarik perhatiannya. ‘Mak kata dia rindu Ila ...’. Hemmm ... Makcik
Hasmah sahajakah yang rindukan dirinya?
Fazila mengabaikan semua
bisikan-bisikan negatif yang mula singgah di hatinya. Cepat-cepat dia membuka
akaun fb miliknya. Tak semena-mena hatinya
jadi teruja. Sungguh dia tidak menyangka akan mendapat pesanan email ini dari Abang Faris pada
pagi-pagi hari begini. Kebetulan dia membuka email untuk menghantar laporan
kertas kerjanya kepada Doktor Nordin untuk diselidiki oleh pensyarahnya
itu selaku penyelia kedua bagi projek kajiannya. Melihatkan pada tarikhnya, email itu dia terima dua hari yang lalu.
Tetapi kerana baru sahaja dia membuka emailnya
hari ini, maka barulah dia dapat tahu tentang email Abang Faris ini.
Cepat-cepat Fazila menerima
pelawaan persahabatan dari tunangannya itu. Sungguh dia amat berharap semua ini
akan membawa sesuatu yang lebih baik nanti. Sungguh dia berharap supaya Abang
Faris serius kali ini untuk membaiki hubungan mereka yang sepatutnya sudah
akrab ketika ini berbanding dengan waktu mereka mula2 bertunangan dahulu. Dia
menunggu seketika kalau-kalau Abang Faris ada untuk mennyapanya selepas
persahabatan diterima. Ternyata hampa, namun akur kerana waktu begini tentunya
tidak sesuai sekiranya Abang Faris ada di talian. Dia tentunya sedang sibuk
memeriksa pesakit samada di wad ataupun di klinik di awal pagi begini. Fazila
tersenyum sendiri. Bagai terangkat batu yang seberat satu tan dari bahunya.
Tiba-tiba telefon baru yang
diberikan kepadanya oleh Amir Hamzah berdering kuat sekali di meja belajarnya.
Nada dering yang pertama kali dia dengar itu cukup membuatkan dia tersentak.
Dendangan irama lagu “Sayang” nyanyian penyanyi Indonesia, Shae menggamit
pendengarannya. Lantas tiba-tiba ada debar yang amat mengujakan memalu hatinya.
Cepat-cepat dia mengangkat telefon itu.
“Hello... Assalamualaikum?”
sapanya penuh tanda tanya.
“Waalaikummussalam... hem.. ok
tak telefon ni? Dah baca manualnya? Dah tahu kan cara nak gunakannya..?” terus
pertanyaan demi pertanyaan menerjah ke telinga Fazila, membuatkan debar yang
menggodam di dadanya bagaikan mampu menghilangkan rindu yang mengetuk pintu
hatinya sejak semalam. Rindu pada dia? Pada Amir Hamzah? Pelahan satu keluhan
lepas dari bibirnya. Membuatkan dia sedar akan hakikat bahawa dia kini bagaikan
tersepit antara dua keadaan.
“Hei.... kenapa ni.... rindu
sangat ke kat aku ni sampaikan bila dengar suara aku kau terus mengeluh lega?”
kata Amir Hamzah sambil ketawa.
Bagaikan diketuk kepalanya Fazila
sedar dari perlakuannya sebentar tadi.
“Eee... awak ni perasan
betul....,” balasnya dengan kerut di dahi. Terasa begitu malu sekali kerana
tertangkap sebegitu. Mujurlah mereka hanya berhubung di talian kerana dia dapat
merasakan panas mukanya saat itu dek rasa malu.
Amir Hamzah masih lagi ketawa di
hujung talian.
“Perasan engkau kata....? Hahaha
...,” Amir Hamzah masih terus menyambung tawanya.
“Awak nak bagitahu apa pada saya
ni... kalau sekadar nak gelakkan saya...,”
Belumpun habis Fazila meluahkan
rasanya, suara Amir Hamzah memotong ayat-ayat marah yang mula bersketsa di
mindanya.
“Opp... oppp...opp.... ok...ok..
ok... hehehe.... aku cuma nak tanyakan khabar... kut-kut kau dah telefon semua
kawan-kawan kau, bagitau yang kau dah ada telefon..,”
Kata-kata Amir Hamzah itu
membuatkan bertambah berkerut dahinya. Kali ini akibat rasa marah kerana
dituduh sebegitu. Sungguh tidak patut bila lelaki ini bersangka sebegitu.
“Awak ni... teruk tau... awak
baru bagi saya semalam... Takkanlah pagi ni saya dah gunakan ... semata-mata
nak bagitau semua orang pasal telefon ni...,” kata Fazila dalam nada yang
semakin menunjukkan kemarahannya. Sungguh-sungguh dia marah ketika ini.
“Manalah taukan... kut-kut selama
ni engkau saja aje kedekut nak beli telefon... bila dah ada. Gunalah
sehabis-habisnya...,” sindirnya dalam gelak tawa yang membuatkan Fazila menjadi
semakin geram. Airmata mula merembes di tubir matanya kerana marah yang dirasakan.
Sungguh dia merasakan dirinya dipermainkan.
“Dahlah... malas la nak layan
awak ni... buat apa bagi saya telefon ni kalau awak nak mengutuk saya je...
Saya dah tak nak cakap dengan awak...,” kata Fazila geram. Dan tanpa menunggu,
terus dia menekan butang merah untuk memutuskan talian.
Terkedu Amir Hamzah di hujung
talian bila melihatkan dia mungkin telah menjolok sarang tebuan. Dan kini
tebuan itu telah betul-betul marah sehinggkan sanggup menyengat dirinya.
Sungguh dia tidak menyangka Fazila boleh jadi emosional sebegini.
****
“Kak Ila .... petang esok, kita
pergi KFC nak?” ajak Eisya penuh mengharap.
“Alamak.. tak bolehlah Eisya...
kawan Kak Ila nak datang hujung minggu ni. Dia sampai petang esok...,”
cepat-cepat Fazila memberikan alasan untuk tidak keluar bersama dua beradik
itu. Dia pasti, kalau mereka pergi tentunya akan ditemani oleh lelaki yang
seringkali membuat dia marah di setiap perbualan mereka.
Sejak menerima panggilan dari
Amir Hamzah tiga hari yang lalu, hampir tak putus-putus ia menerima sms dari lelaki itu. Ada sahaja yang diusiknya. Ada sahaja yang
ingin ditanyakan kepadanya... Adakalanya
dia membalas semula pertanyaan-pertanyaan itu. Namun sering kali bicara tanpa
suara mereka itu akan berakhir tanpa jawab bila dia mula terasa malas untuk
terus melayan sindiran demi sindiran serta usikan demi usikan lelaki itu.
“Ala... kita pergi awallah
sikit... dah lama sangat Eisya tak makan KFC... jomla...,”
“Ehh.... neng Eisya... bukan aja
Sabtu lepas baru neng ke sana bersama mama?” suara bibik pula menyampuk. Sempat
lagi dia mendengar perbualan kedua-dua gadis itu meskipun sedang sibuk mengacau
air minuman petang di ruang memasak di dapur. Ternyata sekali perbualan
kedua-dua gadis sunti dan gadis yang sudah cukup matang untuk berteman itu menjadi
perhatiannya.
“Ala bibik ni.... hari tu kan
Eisya pergi dengan mama... sekarang ni Eisya nak ajak kak Ila la pulak...,”
katanya dalam nada mendayu. “Jomla Kak... bolehla... kita pergila awal sikit...
lepas Eisya balik sekolah, Pak Uda ambik Eisya dengan abang kat sekolah...
Lepas tu, kita pergilah... bila petang, kalau kawan akak sampai, akak
balikla...,” rayunya lagi.
Kan dah kata, mesti Pak Udanya
ada sama... bisik Fazila dalam hati. Sepontan dia mengetap bibirnya geram.
“Emm... akak tak pasti kawan akak
tu sampai pukul berapa. Jadi akak kenalah tunggu dia kat rumah...,” katanya
selepas seketika dia diam melayan perasaan geramnya.
“La... telefonla dia, cakap kat
dia, kalau dia sampai, biar dia telefon akak. Nanti akak balik... Kan sekarang
akak dah ada telefon...,” pujuknya lagi.
“Ehhh... mana boleh macam tu.
Telefon ni kan mama Eisya yang bagi untuk senangkan dia hubungi akak. Telefon
ni untuk kerja, bukan untuk senang-senang akak pakai..,”
Berkerut wajah Eisya mendengarkan
kata-kata Fazila.
“La... kan telefon tu hadiah Pak
Uda pada akak. Bukannya dari mama. Kenapa pulak akak kata telefon kerja?” kata
Eisya.
Terkejut Fazila di situ. Bulat
matanya merenung ke wajah Eisya. Bukankah itu yang dinyatakan oleh Amir Hamzah
kepadanya dalam smsnya apabila Fazila meminta penjelasan tentang pemberian
tersebut? Amir Hamzah menjelaskan telefon ini adalah milik Professor Ruquiyah,
kakaknya. Malah, menurut Amir Hamzah bayaran bil bulanannya juga akan dibuat oleh
Professor Ruquiyah. Dan Fazila dengan mudah mempercayai semua kata-kata itu.
Sementelah lagi Professor Ruquiyah pernah meminta dia mendapatkan telefon untuk
mudah dihubungi.
“Bolehlah kak... kita pergi
nanti....,”
Kata-kata Eisya itu membuatkan
Fazila kembali memandang ke dalam mata
Eisya. Baru kembali tersedar tentang topik utama yang diperbualkan bersama
gadis sunti itu. Mata bulat Eisya yang bagaikan merayu dia tatap dengan
perasaan serba-salah.
“Tak boleh lah Sya... akak ada
janji tengahari tu..... dengan pensyarah akak... ,” katanya berbohong.
Sungguh dia mahu mengelak dari
terus bertemu dengan Amir Hamzah di saat-saat dia sudah mula mengembalikan
tumpuannya kepada Abang Faris. Sungguh dia tidak sanggup lagi untuk terus
membiarkan dirinya larut dengan daya tarikan yang ada di antara mereka. Meskipun
kelihatan mereka sering saja bergaduh, dia pasti tarikan yang ada juga begitu
kuat sekali. Sungguh dia dapat rasakan sebegitu. Jadi sebelum daya tarikan
antara mereka menjadi lebih kuat, dia tahu, dia perlu mencipta jurang di antara
mereka. Dan perhatian dari Abang Faris akan dia jadikan sandaran untuk dia
menjarakkan diri dari Amir Hamzah.
“Lepas akak jumpa pensyarah akak
laaa.. Takkanlah akak pergi jumpa dia berjam-jam lamanya. Masa Sya kat bilik
mama, Sya biasa tengok pelajar mama pergi jumpa mama... paling lama pun sejam
je,”
‘Aduhai... susah nya nak jelaskan
pada anak gadis yang bijak ini,’ bisik Fazila dalam hati. Matanya terus
memandang ke wajah Eisya yang seakan-akan memujuk rayunya dalam diam. Tidak
tahu apa yang harus dia katakan untuk mengelakkan diri dari terus dipujuk rayu
sebegitu.
Fazila akhirnya mengeluh
perlahan.
“Yesss.... hemm... esok, Eisya
telefon akak bagitau bila kami nak datang ambil akak,”
“Kami...? Maksud Sya..?” soalnya
meskipun dia dapat meneka siapa yang dimaksudkan Eisya.
“Abang dengan Pak Udalah...,”
pantas sekali Eisya pertanyaan tersebut.
“Ohh..... emmm.. tapi.... akak
nak beritahu, kalau kawan akak tu sampai, akak mesti pergi jumpa dia. Jadi
kalau dia sampai awal, akak tak jadi pergilah ye. Eisya pergi dengan abang dan
Pak Uda aje ye?” katanya mengingatkan.
“Ok... tak pe... tapi kalau masa
Eisya datang kawan akak tu belum sampai, akak mesti ikut kami. Akak janji
ye....?”
Terdiam Fazila seketika. Tidak pasti apa yang harus dia
katakan. Lalu dengan perasaan serba salah dia mengangguk perlahan.
“Yes.... best....,” kata Eisya dan mengangkat ibujarinya sambil
tersengeh. Kegembiraan yang buat Fazila bagaikan mengesyaki ada sesuatu yang
tersembunyi di sebalik senyuman itu.
****
Fazila cepat-cepat mengatur
langkah. Dia tidak mahu mengambil risiko terserempak samada dengan Professor Ruquiyah, maupun
dengan Amir Hamzah. Semasa di kampus tadi,
dia cukup berhati-hati untuk mengelakkan diri kalau-kalau terserempak
dengan Professor Ruquiyah. Semasa dia keluar dari makmal di kampus tadi dia
terpandangkan Professor Ruquiyah sedang berjalan dari pejabatnya ke bilik
kuliah. Mungkin pensyarahnya itu ada kuliah di sebelah petang. Sengaja dia
menunggu sehingga Professor Ruquiyah hilang dari pandangan barulah dia keluar
dari persembunyiannya dan berjalan pada hala yang berlainan. Semua itu
dilakukan supaya mereka tidak terserempak. Dia tidak mahu nanti Professor
Ruquiyah menyampaikan kepada Eisya bahawa mereka terserempak. Jika itu berlaku,
pasti nanti Eisya dapat meneka bahawa dia sebenarnya sudah tidak ada kuliah
ataupun tidak ada janji dengan mana-mana pensyarah. Sepanjang perjalanannya
juga dia cukup berhati-hati supaya tidak mengambil laluan yang berhampiran
dengan jalanraya. Mana tau kalau-kalau Amir Hamzah turut sama melalui jalan
tersebut dengan keretanya. Mungkin
perjalanannya jadi semakin jauh, sekurang-kurangnya dia selamat dari
terserempak dengan lelaki itu. Dia tidak mahu tembelangnya pecah. Kalaulah
tembelangnya pecah dan mereka tahu, tentunya ada yang berkecil hati nanti.
Sampai sahaja di pintu masuk
bangunan hostel, telefonnya mula mendendangkan lagu “Sayang”. Terasa segan
sekali dia dengan beberapa orang teman sehostel yang kebetulan sedang duduk
bersantai di ruang lobi bangunan, apabila kuat sekali lagu itu berdendang. Dia
masih belum lagi meneliti satu persatu isi kandungan telefonnya itu untuk
mengetahui cara-cara untuk mengubah nada deringnya kepada nada yang lain.
“Hello...,” ucapnya perlahan.
“Hello kak Ila .. akak kat mana
ni... jadi tak ikut kami...?” kedengaran suara Eisya bagaikan sedang sebak di
hujung talian. Aduhai.. sepontan dia menggigit jari mendengarkan suara itu.
‘Ada ni... emm.... dah balik hostel
ni....,” jawabnya tanpa sedar. Apabila sudah keluar kata-kata tersebut barulah
dia menyedari kesilapannya. Semuanya gara-gara terlalu berhati-hati.
Aduhaiii....
“Aaaa... bolehla pergi kan? Eisya
suruh Pak Uda ambil akak kat hostel ye...?”
“A... eemmmm... ,” Fazila
teragak-agak.
“Akak.... akak dah janji kan...?”
‘Ehh... bila pulak aku berjanji
...’ terdetik kata-kata itu di dalam hatinya. Namun tidak diluahkannya demi
untuk menjaga hati si adiknya itu.
“Akak...?” tegur Eisya bila
melihatkan dia diam.
Perlahan dia mengeluh.
“Oklah... tapi Eisya.. kena
tunggu... akak belum solat lagi...,” katanya lambat-lambat.
“Emm... ok, sepuluh minit lagi
Pak Uda pergi ambil akak...,” katanya penuh yakin.
“Emmm.... a....,” gumam lagi
Fazila tanpa mampu membuat keputusan yang bisa menyakitkan hati Eisya.
Setengah jam kemudian dia sudah
berada di atas kereta Amir Hamzah. Saat pertama kali memandang ke wajah itu dia
terus menarik muncungnya. Apa tidaknya, wajah itu terus senyum sinis dan
seperti biasa, seakan-akan ada tawa yang menyindirnya. Hanya wajah Eisya dan
Epul sahaja yang menunjukkan bahawa kehadirannya di kalangan merka amat
disenangi.
Mereka pergi ke restoren KFC yang
terletak di Pusat Beli Belah Skudai Parade. Semasa Amir Hamzah memesan makanan,
Fazila hanya diam di meja makan. Eisya dan Epul pula sibuk menemankan Pak Udanya
mengambil makanan. Bila mereka kembali ke meja, masing masing terus menghadapi
hidangan. Eisya dan Epul kelihatan lapar sekali sehinggakan masing-masing
menghabiskan dua dan tiga ketul ayam goreng, satu set kentang lecek bersaiz
besar dan semangkuk salad yang termasuk di dalam set yang ditawarkan di
restoren itu. Sepanjang waktu makan mereka begitu rancak sekali berbual.
Perbualan mereka berkisar kepada keadaan di sekolah masing-masing. Apa yang
berlaku hari ini dan juga apa yang bakal mereka lakukan pada hujung minggu ini.
“Kenapa awak tipu saya?” akhirnya
Fazila dapat mencari ruang untuk bertanyakan soalan tersebut apabila Epul dan
Eisya kembali ke kaunter untuk membeli makanan untuk dibawa pulang buat bibik
di rumah. Untuk papa dan mama, tidak perlu kerana kebetulan malam nanti papa
dan mama mereka akan menghadiri majlis makan malam untuk meraikan persaraan
salah seorang teman sekerja papa mereka.
Amir Hamzah memandang ke wajah
manis di hadapannya itu. Menikmati keindahan yang ada di depan mata.
“Apa...?”
Kerut di wajah lelaki itu
kelihatan seperti pura-pura sahaja mengajukan pertanyaan di mata Fazila.
“Telefon tu... kenapa awak tipu
saya. Awak kata Prof Ruquiyah yang berikan. Tapi Eisya dengan Epul kata, awak
yang nak berikan. Mana satu yang betul ni?” katanya separuh membentak.
“Ohhh... itu....,” lambat-lambat
Amir Hamzah menjawab.
“Awakkkk...,” bentak Fazila
apabila Amir Hamzah mengambil masa yang agak lama untuk menjawab soalannya itu.
“Does it make any different? Kalau awak tau sebabnya?” soalan pula
yang ditanya kepadanya.
“Maksud awak?”
“Iyelah... kalau engkau tau
sebabnya aku bohongkan engkau... adakah itu akan mengubah keadaan?”
“Tentulah... sebab kalau
awak tipu, saya akan serahkan balik pada
awak...,” kata Fazila geram.
“Hem... tak payah fikir nak buat
macam tu. Telefon tu kan untuk kemudahan kau jugak. Kakak aku selalu cakap
susah sangat nak hubungi kau. Jadi aku belikanlah. Lagipun bukannya mahal
sangatpun. Kenapa yang engkau risau sangat pasal hal ni?”
“Saya tak nak terhutang budi...,”
jawab Fazila setelah agak lama mendiamkan diri untuk memikirkan jawapan yang
paling munasabah.
“Takut tergadai body ye?” kata Amir Hamzah sambil ketawa
kuat sekali. Pelanggan-pelanggan di meja lain semuanya memandang ke arah
mereka. Amir Hamzah hanya tersenyum sambil mengangkat tangannya kepada
pelanggan yang memerhatikan mereka.
Terasa pucat wajah Fazila ketika
itu. Sungguh dia tidak pernah terfikir sehingga ke arah itu.
“Kalau macam tu, saya
pulangkanlah balik...,” kata Fazila sambil mengeluarkan telefon itu dari poket
beg sandangnya.
“Ehhh... tak boleh. Kalau kau
pulangkan aku buangkan je nanti.” Kata Amir Hamzah.
Berkerut kening Fazila memandang
ke wajah separuh tampan Amir Hamzah.
“La... kenapa pulak sampai macam
tu... kenapa sampai nak buang? Kan sayang kalau dibuang?” terluncur kata-kata
itu dari bibir Fazila.
“Habis... buat apa lagi aku
simpan kalau kau dah tak nak guna ... aku dah tak boleh hubungi kau lagi... tak
boleh dengar suara kau tu... tak boleh dengar kau marah-marah bila aku usik...?
Aku nak jugak dengar suara yang aku suka tu... nak jugak usik orang yang aku
sayang tu...,”
“Jom balik Pak Uda..... Ini ha...
kami beli untuk bibik. Dan burger untuk kita semua. So, malam ni tak payahla
bibik masak nasi... dah boring rasanya asyik makan nasi aje...,” suara Epul
yang menyampuk perbualan mereka itu membuatkan Fazila terkejut.
Makin berdebar jantungnya yang sudah
sedia berdetak kencang apabila kata-kata Amir Hamzah sebentar tadi
terus-terusan terngiang di telinganya. Seakan tidak percaya, namun ingin sekali
dia percaya. Seakan tidak percaya, namun takut sekali untuk mempercayainya.
Salah dengarkah dia atau mungkin kata-kata itu hanya terlantun dalam
anganannya?
Namun wajah Amir Hamzah
sedikitpun tidak menunjukkan bahawa dia bergurau bila dia mengucapkan sepatah perkataan iaitu,
“Serius...,”
Sehinggakan terlopong Fazila dek
rasa terkejut.
****
Kira-kira jam enam petang mereka
sampai di perkarangan hostel Fazila. Cepat-cepat dia turun dari kereta apabila
Amir Hamzah berhenti betul-betul di hadapan pintu hostel. Sepantas itu jugalah
dia mengambil sedikit barang-barang yang dibelinya sebentar tadi. Sepanjang
perjalanan dia terus diam seperti tikus. Hanya suara Eisya sahaja yang
kedengaran menceritakan itu dan ini.
Sebaik sahaja dia keluar dari
kereta, matanya tertancap kepada sebuah Kia Sorento yang terpakir di
perkarangan pejabat asrama yang terletak tidak jauh dari bangunan hostelnya.
Kereta yang terletak di seberang padang kira-kira 50 meter dari pintu hostelnya
itu diamati. Sudah sampaikah mereka? Mungkinkah itu ......
“Kak Ila .. tunang akak datang
... dah lama dia sampai..,” tiba-tiba suara Ana, teman satu hostelnya menjawab
pertanyaan yang bermain di mindanya sebentar tadi. Lantas dia berpaling kepada
wajah Amir Hamzah yang kelihatan
terkejut sambil memandang ke wajahnya. Dan saat itu terasa bagaikan lemah
lututnya. Dia bagaikan tidak mampu untuk
terus berdiri kerana terasa begitu lemah lututnya.
Dia hanya mampu menatap wajah Amir Hamzah. Cuba
meminjam kekuatan daripada anak muda itu.
7 comments:
Assalam buat semua pembaca,
ada sedikit perubahan telah dibuat untuk latarbelakang cerita ini. jadi harap jangan terkejut dengan beberapa perkara yang telah berubah.
selamat membaca..
laila hanni
Best! Tp lama sgt nk tgu LH update. Dh nk dibukukan ker?
okay kak Laila... tak kisah la... apapun msti pastikan this stories menarik n different from others. plz keep post another entry for our follow up... :D
tengah menyiapkannya ni tini... :) kalau ada rezeki.... insyaallah dibukukan nanti...
na bagi lain dari yang lain tu yang susahnya Ivoryginger... huhuhu.... insyaalllah akan cuba selalu update
Lamanya menanti... perubaha story line bagus Laila supaya boleh menimbulkan tanda tanya.. Faris mesti mengelak bila tengok Amir.. yela itukan aturan maknya..
Amir mesti terluka.. menyukai menyayangi tunang orang.. takut nanti dua-dua saling member laluan.. Ila yang merana..
izin nyimak di kunjungan perdana...salam kenal :)
Post a Comment