Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 14


Mata Fazila sekali lagi menatap pesanan ringkas di telefon bimbit pemberian Amir Hamzah yang dia terima malam tadi. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Lalu dia biarkan sahaja SMS itu tanpa jawapan. Dan bagaikan mengerti, tiada lagi SMS yang dihantar buatnya selepas pesanan terakhir itu. Pertanyaan lelaki itu hanya mati di situ sahaja.

Apa yang harus dia perkatakan? Lelaki itu memohon jawapan. Lalu apa alasan yang harus dia berikan? Mengiakan atau menidakkan, kedua-duanya membuatkan dia merasa cukup serba salah. Untuk mengiakan, dia sendiri tidak tahu hakikat sebenar hubungan dia dengan Abang Faris. Hanya sekadar hubungan yang dijanjikan tanpa sedikitkun ikatan perasaan. Untuk menidakkan, telah jelas dan nyata mereka telah ditunangkan. Lalu apa yang harus dia katakan untuk menjawab pertanyaan yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu?

Matanya singgah di jam tangannya. Sebentar lagi Abang Faris dan Mak Cik Hasmah akan sampai. Dia telah berjanji akan menunggu mereka di perkarangan pejabat asrama pada jam 11 pagi. Selepas makan malam bersama Abang Faris dan Mak Cik Hasmah semalam, Fazila menelefon emak di kampung dengan menggunakan telefon bimbit Abang Faris untuk meminta izin keluar bersama tunangannya itu. Sebaik sahaja dia menekan butang merah untuk menamatkan talian, terus Mak Cik Hasmah bertanyakan samada dia dibenarkan keluar atau tidak. Bila Fazila mengangguk, terlihat jelas riak gembira di wajah Mak Cik Hasmah. Dia kelihatan ceria sekali apabila emak membenarkan Fazila keluar dengan Abang Faris. Apa yang mengecewakan Fazila ialah tiada sedikit pun riak sebegitu terpamer di wajah Abang Faris. Lelaki ini jelas sekali begitu dingin dan tidak pernah mempamerkan apa yang dia rasakan pada riak di wajahnya. Membuatkan Fazila terus tertanya-tanya, apa sebenarnya yang ada di dalam hatinya.

Matanya tersorot kembali ke skrin telefon bimbit pemberian Amir Hamzah. Kembali membaca persoalan yang lelaki itu tanyakan semalam:

“Betul ke apa yang aku dengar dari mulut budak tu? Betul ke yang datang tu tunang engkau? Kenapa selama ni kau tak cakap kau dah bertunang?”

Apa yang harus dia katakan kepada Amir Hamzah? Hatinya serba salah. Selama ini dia cuba untuk menafikan daya tarikan di antara mereka. Namun sejak dari awal perkenalan, terasa bahagia sekali setiap kali mereka berjumpa. Malah dia bagaikan ternanti-nanti saat mereka akan bertemu. Menghitung tiap detik yang berlalu. Saat-saat yang dilalui bersama lelaki itu dia hayati sepenuhnya agar senang untuk dikenang saat-saat tidak bersama nanti. Dan bila tiba waktu berpisah, bagaikan terasa enggan menerima hakikat bahawa mereka tidak seharusnya sering bersama. Seketika lupa pada keadaan dirinya yang telah dijanjikan untuk orang lain. Bagaimana untuk dia tafsirkan perasaan yang dia alami ini? Cintakah itu? Atau mungkin hanya daya tarikan yang disebut sebagai chemistry? Keliru Fazila jadinya.

Jam yang menunjukkan pukul 11 menggamit perhatian Fazila. Cepat-cepat Fazila mengambil beg sandangnya dan hampir berlari untuk cepat tiba di tempat yang dijanjikan. Menyesali diri kerana begitu asyik sehingga lewat dari waktu yang dijanjikan. Dari jauh kelihatan Kia Sorento milik Abang Faris sudah gagah terparkir di situ. Makin laju dia berjalan menuju ke kereta itu dan bila sahaja tiba, cepat-cepat naik ke atas SUV yang sudah terbuka pintu di sebelah penumpang tempat duduk hadapan.  Siapa yang membukakan pintu itu untuknya, dia sendiri tidak pasti. Yang nyatanya kelihatan wajah teruja Mak Cik Hasmah menyambutnya di kerusi belakang.

“Eh... Mak Cik... kenapa duduk kat belakang. Mak Cik duduk kat depanlah, biar Ila yang duduk kat belakang tu...,” katanya sambil melangkah ke arah pintu belakang. Tanpa sepatah kata dia membuka pintu yang bersebelahan dengan tempat duduk Mak Cik Hasmah.

“Eh... ehhh... ehhh... Ila duduk kat depan tu. Mama nak duduk kat belakang ni. Mama nak jadi mem besar hari ni...,” ujar Mak Cik Hasmah sepontan. Dia lantas menutup kembali pintu SUV sambil tersenyum penuh ceria. Terpinga-pinga Fazila jadinya.

Namun untuk tidak menimbulkan masalah lain dia terus menaiki kereta tersebut. Dia berpaling sejenak kepada Abang Faris. Cuba mencari apa yang terselindung di sebalik renungan mata lelaki itu ke wajahnya. Namun seperti biasa tidak dia temui makna yang tersurat di situ. Lantas terus dia memalingkan wajahnya sambil menyibukkan diri dengan talipinggang  keledar yang dia sedang cuba pasangkan. Terkial-kial jadinya dek rasa malu. Dan tiba-tiba tangan Abang Faris mengambil alih tugas itu. Sentuhan lembut jemari yang sering bermain dengan pisau bedah itu membuatkan bergetar jantungnya. Cepat-cepat Fazila melepaskan talipinggang keselamatan itu untuk diuruskan oleh Abang Faris. Beku seketika dia di kerusinya. Terus dia terpaku sebegitu sehingga selesai talipinggang itu dipasang oleh Abang Faris. Bila Abang Faris kembali menjauhkan tubuhnya barulah Fazila kembali melepaskan nafasnya yang tersekat sejak tadi.  

Perlahan-lahan SUV tersebut meninggalkan kampus UTM Skudai. Jam di tangannya menunjukkan ke pukul 11.15 pagi. Fazila tidak berani untuk bertanyakan ke mana mereka akan pergi. Dia cuma diminta untuk membawa telekung untuk memudahkan mereka singgah untuk bersolat nanti. Jadi dia pasti mereka tidak akan pergi jauh. Mungkin di sekitar kawasan Skudai sahaja untuk makan tengahari.

“Ila dah makan pagi ke?” suara garau Abang Faris menyapanya perlahan.

“Dah...” jawabnya sambil menganggukkan kepala.

“Makan apa tadi?”

“Emm... biskut... cicah air milo...,” lambat sekali dia menjawab. Segan untuk memberitahu tentang menu sarapan pagi hariannya itu.

“Ehh... Ila makan biskut aje... tahan ke perut tu?” suara mem besar di tempat duduk belakang menyapanya. Fazila senyum sambil berpaling kepada Mak Cik Hasmah di belakang.

“Cukup Mak Cik... Ila dah biasa makan macam tu... insyaallah tahan sampai tengahari..,”

“Hemm...  kita ni dah habis semangkuk soto pagi tadi. Macam-macam ada kat hotel tu tadi. Ingat nak makan sikit je... tapi tengok semuanya, jadi terliur. Cuma rasanya tu tak bolehlah nak kalahkan masakan kat restoren tepi jalan kan Faris?” panjang sekali Mak Cik Hasmah mencecer.

Fazila hanya senyum mendengarkan kata-kata bakal ibu mertuanya itu. Matanya menjeling ke wajah Abang Faris yang turut tersenyum mendengarkan kata-kata mamanya itu. Dan selepas dari itu telinga mereka dijamu dengan cerita Mak Cik Hasmah tentang bagaimana mereka kebetulan singgah di kedai makan yang menyajikan masakan yang lazat-lazat semasa dalam perjalanan ke sini semalam. Bagaimana sedapnya asam pedas yang dijual di kedai tersebut. Dan bagaimana nanti bila pulang, mereka pasti akan singgah lagi. Dan di sepanjang waktu itu sesekali Abang Faris akan tersenyum bila merasakan ada kelucuan dalam cerita itu. Kalaulah hati Fazila tidak diselubungi rasa bersalah, pastinya dia akan benar-benar menikmati saat-saat indah sebegitu. Saat yang mampu membuat dia terus mengenang lelaki di sebelahnya ini.

‘Kalaulah mereka tahu apa yang ada di dalam hatinya saat itu... mungkinkah mereka akan terus tertawa gembira sebegini?’ hatinya bermonolog sendiri. Senyum di bibirnya tiba-tiba jadi hambar.

****

Suasana hujung minggu di Komplek Beli Belah Skudai Parade membuatkan Fazila kembali teringat kepada waktu dia bersama Eisya, Epul dan Amir Hamzah semalam. Di sinilah mereka menghabiskan hampir dua jam untuk menjamu selera di restoren KFC yang menjadi idaman Eisya. Apabila mereka berjalan melintasi restoran KFC, semakin kuat ingatannya menerawang ke arah apa yang telah berlaku pada hari itu. Seakan-akan terdengar lagi di telinganya kata-kata Amir Hamzah yang sedikitpun tidak dia duga. Ucapan yang kedengarannya sepontan, tetapi kini bagaikan tanpa henti, terus bergema di telinga, malah di hatinya. Benarkah kata-kata yang diucapkan itu? Dalam diam dia mengeluh sendiri.

“Ila nak makan apa?” pertanyaan Mak Cik Hasmah mengejutkan dia dari lamunannya. Tersedar dia dari anganan. Matanya terus tertancap ke wajah Abang Faris. Kelihatan lelaki itu sedang menatap wajahnya. Diam dan memerhati.

“ Ila ... nak makan apa?” sekali lagi soalan itu ditanya buat dia sekali lagi terpinga-pinga.

‘Hai... Mak Cik Hasmah ni asyik ingatkan makan aje...,’ bisiknya lagi dalam hati.

“Owh... tak apa... Ila belum rasa lapar lagi Mak Cik..,”jawabnya setelah kelihatan teragak-agak untuk menjawab pertanyaan tersebut.

“Hem... mak rasakan, Ila dah patut belajar panggil mama ye....? Bila dah kawin nanti, memang kena panggil mamakan?” kata Mak Cik Hasmah sambil melirikkan senyumnya.

Fazila terkedu. Tidak berani untuk memandang walau sedikitpun ke wajah Abang Faris.

“Betul ke Ila belum lapar ni? Kalau belum mak nak tengok handbegla kut-kut ada yang berkenan.... jom Ila ...,” kata Mak Cik Hasmah sambil berpaling kepada Abang Faris.

‘Hemmm... Mak Cik Hasmah ni... shopping je kerjanya. Padahal kat KL tu banyak shopping kompleks, masih juga nak membeli belah kat sini...,’ terus Fazila  bermonolog sendiri. Lemah rasanya melihatkan kegemaran bakal emak mertuanya itu.

Mereka berjalan lagi sehinggalah menemui kedai menjual beg tangan. Bulat mata Fazila melihatkan harga beg tangan yang dipamerkan. Kalau buat belanja makan dia untuk sebulan pun lepas.

Mak Cik Hasmah kemudiannya begitu asyik meneliti beg tangan  yang dipamerkan dan kemudian beralih ke rak-rak yang lain sehingga meninggalkan Fazila sendirian. Jari-jemari Fazila mengelus satu persatu beg yang berjenama itu. Cantik sekali. Pastinya diperbuat dari kulit asli kerana ada yang harganya mencecah ribuan ringgit.

‘Beranganlah aku nak beli beg macam ni...,’ bisiknya lagi di dalam hati.

“Ada yang berkenan?” suara perlahan Abang Faris bagaikan berbisik di telinganya membuatkan Fazila tersentak. Terus debaran jantungnya menggodam di dada. Seketika dia hanya mampu diam.

“Kalau ada ambillah..., abang bayarkan,” suara garau itu mengelus  hatinya lagi.

“Emmm... Ila nak buat apa dengan handbag? Pakai beg sandang ni je... ke mana-mana...,” kata Fazila sambil menunjukkan beg sandangnya yang sudah agak lusuh.

“Ila tak pernah pakai handbag?”

“Tak...,” jawabnya sambil menggelengkan kepala. “Susah... kalau yang kecil, ruangnya terhad nak masukkan semua barang keperluan...,”

“Owh..... ambillah yang besar...,”

“Kalau yang besar susahla pulak nak bawak... kalau beg sandang macam ni... semua benda boleh letak kat dalam ni... Nak apa... semuanya ada... ,” katanya cuba untuk berjenaka. Sedangkan hakikatnya, dia sedang cuba untuk meredakan debaran di dadanya.

Abang Faris tersenyum mendengarkan kata-kata tunangannya itu. Buat pertama kalinya dalam sejarah hubungan mereka, hatinya merasa senang bila bersama gadis ini. Selalunya hatinya merasa cukup gundah dengan apa yang sedang dan bakal dia lalui. Bimbang jika Fazila tahu tentang sejarah silamnya. Fazila akan rasa tertipu. Bimbang Fazila akan mengambil keputusan yang akan menghancurkan harapan mamanya. Dan seribu kebimbangan lagi yang sering menghantuinya. Dia tahu dia perlu berterus terang. Tapi mungkin bukan sekarang masanya. Dia ingin menikmati detik-detik sebegini. Yang pasti akan dia kenangkan apabila mereka berpisah nanti.

“Abang nak belikan sesuatu pada Ila ... Tapi bukan kat sini.... nanti ye... ,”katanya sambil bulat matanya memandang ke wajah mulus di depannya.

Renungannya itu membuatkan ada resah yang singgah di hati Fazila. Entah mengapa, dia bagaikan terasa yang Abang Faris seakan-akan sedang menyelami hatinya. Bimbang sekali tunangannya itu dapat membaca segala yang ada di situ.

Dan waktu itu juga wajah Amir Hamzah melintas lagi di mindanya.

****

Resah.... jiwanya resah. Dua hari dia cuba menghubungi Fazila tetapi gadis itu terus diam. SMS tidak dijawab, telefon tidak di angkat. Sungguh dia merasakan keresahan begitu kuat menghambat hatinya. Terjeruk jiwanya menahan keresahan yang Fazila ciptakan di hatinya.

Kenapa? Dua hari lalu gadis itu bagaikan terkejut dengan luahan hati yang dia lafazkan secara sepontan. Dan selepas itu dia lebih banyak diam walaupun tergambar di wajahnya riak-riak teruja yang menunjukan ada debar di hatinya. Dia yakin, debaran itu hadir dek kerana Fazila turut merasakan sesuatu yang sama seperti apa yang dia rasakan. Memang jelas terpamer di wajah manis gadis itu, membuatkan Amir Hamzah merasa begitu yakin akan perasaan gadis itu terhadapnya. Ataukah hanya dia yang berangan-angan sendirian?

“Pak Uda... kenapa Kak Ila tak jawab telefon ye? Dah banyak kali Eisya telefon, tapi dia tak angkat,” suara manja Eisya kedengaran seolah-olah membuat pengaduan. “Lepas kita balik dari KFC hari tu sampai sekarang dia tak jawab telefon. Dia sakit ke Pak Uda?”

Amir Hamzah diam sambil menghirup teh o yang dihidangkan sebentar tadi di hadapannya. Tiba-tiba hangat air itu terasa menggigit bibir dan lidahnya. Cepat-cepat dia meletakkan kembali cawan ke piringnya. Matanya tertancap ke wajah kakaknya yang duduk di buaian kayu jati berhadapan dengannya.

“Ishhhh.... kenapa gelojoh sangat ni Meer....? Kan panas air tu...? Tunggula sekejap... biar sejuk dulu...,” kata Professor Ruquiyah. “Ni... makan goreng pisang ni dulu...,” katanya lagi sambil menghulurkan piring kepada Amir Hamzah. Cepat-cepat Amir Hamzah meletakkan cawannya ke atas meja. Piring disambut dan dia mengambil sekeping goreng pisang dari pinggan hidangan. Kemudian dia mengambil sedikit sambal kicap yang turut dihidangkan bersama goreng pisang tersebut. Perlahan-lahan dia menyuapkan goreng pisang yang dicicah dengan sambal kicap. Cuba menunjukkan riak bersahaja di depan mata kakaknya.  Abang ipar yang duduk di sebelahnya pula begitu asyik dengan iPadnya. Sedang membaca isu-isu semasa yang di paparkan di ruang blog yang sedang dilawatinya. Sedikitpun tidak menyedari riak wajah isterinya yang kelihatan keruh sambil memandang ke wajah adiknya.

Petang hari minggu sebegini sememangnya mereka biasa bersantai bersama keluarga. Mereka sedang menikmati minum petang di beranda aras satu yang berhampiran dengan dapur. Kawasan lapang yang penuh dengan pokok-pokok bersebelahan dengan rumah membuatkan suasana terasa begitu nyaman sekali. Tambah nyaman lagi dengan pelbagai polok hiasan yang mengelilingi kawasan tempat mereka duduk. Bunyi air mengalir dari kolam buatan yang terdapat di beranda itu membuatkan suasana menjadi lebih nyaman. Lanskap kecil di beranda itu membuatkan suasana petang yang agak hangat itu menjadi lebih selesa. Kawasan perumahan mewah yang terjaga rapi itu membuatkan penghuninya senang dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak yang menguruskan kawasan tersebut. Ia menjanjikan kemewahan, keselesaan dan keselamatan bagi penduduk di kawasan tersebut.

 “Pak Uda.... kenapa diam ni... Kak Ila mana....,” rengek Eisya lagi. Gadis kecil itu duduk bersandar manja di sebelah ibunya.  Kakinya perlahan-lahan menolak buaian supaya bergerak. Lintang pukang dibuatnya Professor Ruquiyah yang sedang memegang piring berisi goreng pisang di tangan kiri dan tangan kanannya pula sedang menceduk sambal kicap untuk suaminya.

“Eisya... janganla ayun buai ni... nanti tumpah ni....,” separuh marah dia menegur perlakuan anak gadisnya.
Eisya hanya mencebirkan bibirnya sambil memandang ke wajah ibunya. Masih tidak puas hati dengan kebisuan pak udanya.

“Pak Uda....,” makin geram Eisya dibuatnya.

 Amir Hamzah tidak tahu apa yang harus dia katakan. Kalau dia memberikan komen pastinya akan ada nada marah dalam bicaranya nanti. Kerana sekarang ini dia merasakan cukup geram dengan sikap Fazila yang diam membisu.

“Kan kak Ila cakap kawan dia nak datang? Mesti dia sibuk dengan kawan dia tu,” kedengaran suara Epul yang sejak tadi begitu asyik dengan games di tabnya. Cukup  bersahaja nada suaranya seolah-olah menyokong sikap Fazila.

“Selalunya hari minggu gini dia mesti datang sini...,” rungut Eisya lagi. Ada nada kecewa dalam suara itu.
“Alah... bagila peluang dia pergi jalan-jalan dengan kawan dia. Hari-hari Eisya panggil dia datang sini temankan kita. Dia pun ada kawan lain jugak...,” kata Epul lagi.

Kata-kata anak saudaranya itu bagaikan belati tajam menusuk ke jantung Amir Hamzah. Dia mengetap bibirnya denga rasa marah. Patutkah dia marah? Ya.. dia sepatutnya marah dengan sikap Fazila yang seketika memberikan harapan untuknya. Walaupun tanpa kata, sikap gadis itu bagaikan meyakinkan bahawa mereka berkongsi perasaan yang sama.

“Yelah... nak kawan dengan siapa tu suka hati dia lah.. tapi kenapa tak nak jawab telefon? Pak Uda.... telefonlah dia... Eisya rindukan Kak Ila ...,” rengek gadis kecil itu lagi.

“Ah... sudahlah.....  lantaklah dia dengan kawan dia.... ,” kata Amir Hamzah dengan nada geram.
Terkejut semua yang ada di situ sambil masing-masing memandang ke arah satu sama lain.  Amir Hamzah menarik nafas panjang. Cuba mengawal perasaan marah yang dia rasakan saat itu.

“Ha.. tengok tu... abang. Pak Uda pun marah dengan Kak Ila ... ,” kata Eisya kepada abangnya. Kata-kata itu membuatkan semua berpandangan, terutamanya Professor Ruquiyah dan suaminya. Hati masing-masing membuat telahan.

“Dahlah.. jom... kita pergi tengok wayang.... ,” kata Amir Hamzah sambil bangun  dari kerusi kayu jati yang dia duduki itu. Laju sekali dia menuruni tangga beranda menuju ke         keretanya yang terletak di aras paling bawah rumah tersebut. Sedikitpun dia tidak menendahkan suara Eisya yang bersorak riang kerana diajak menonton. Tak kiralah cerita apa yang akan mereka tonton, janji ia menyeronokkan. Seketika Eisya lupa pada  Kak Ilanya yang sejak dari tadi mengganggu fikirannya. Terjerit-jerit gadis sunti itu meminta supaya pak udanya menunggu dia dan Epul bersiap

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts