Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 4

Senyuman kemenangan lelaki di hadapanku ini menyemarakkan lagi rasa marahku padanya. Sesungguhnya aku tidak mahu bertemu dengannya. Tapi apakan dayaku. Pertemuan ini perlu berlaku. Mungkin dengan pertemuan ini akan membuatkan dia sedar akan tanggugjawabnya yang sudah mula diabaikan. Mungkin dengan ini dia akan tahu betapa deritanya hati seorang perempuan yang bergelar isteri bila suaminya meminta untuk berkahwin lain. Ya Allah, berikanlah aku ketabahan untuk menghadapinya. Berilah aku kekuatan untuk menyapu senyuman sinis di bibirnya. Aku benci dengan kesombongan yang dipamerkan padaku saat ini.

“So.... when will it be? Unie ke yang tetapkan tarikhnya sendiri...? Kalau boleh kita nikah hari ni pun tak apa...,”

Aku menarik nafas panjang mendengarkan kata-katanya. Tidak sedarkah kata-katanya ini mampu merobek sekeping hati? Bagaikan bisa racun, mampu mengalir dalam darah dan melumpuhkan seluruh urat saraf seorang wanita bergelar isteri? Kalaulah Kak Reen mendengar kata-katanya ini, pasti dia akan terjelepuk rebah di sini. Lemah lumpuh tubuhnya tak mampu untuk terus berdiri.

Aku mengalihkan pandangan mataku ke meja di ruang makan yang diduduki Kak Reen bersama Mak Ngah. Kami berada di rumah Mak Ngah hari ini. Aku yang memohon untuk bertemu dengannya. Meminta dia datang untuk berbincang. Puas aku memujuk Kak Reen supaya duduk bersamaku di ruang keluarga ini. Supaya dia terus kuat dan mampu memberikan kekuatan kepadaku untuk berhadapan dengan lelaki ini. Tapi dia enggan. Ternyata dia tidak sanggup mendengar apa yang akan kami perkatakan. Kelihatan mereka diam di sana. Kak Reen hanya merenung ke hadapan. Tidak sedikit pun pandangannya dihalakan kepada kami. Mak Ngah hanya tersenyum hambar kepadaku. Kelihatan seperti dia sedang memujuk Kak Reen.

“Bukan itu yang Unie nak bincangkan hari ni,”

“Habis, kenapa nak jumpa abang? Atau... Unie nak luahkan rindu Unie yang dah lama terpendam dalam hati tu? Macam rindu yang abang tanggung pada Unie selama ni?”

“Abang... be serious please...,” marahku.

“I am serious Unie. Abang rindu Unie ... Dah sebelas tahun lamanya rindu ni terpahat dalam hati. Dan rindu tu semakin menyala sejak dua tahun ni. Jangan nafikan yang Unie pun rindu pada abang jugak kan?”

Ah... benci sungguh aku mendengarkan kata-kata itu. Terlalu yakin pada dirinya sendiri, itu tanggapan ku terhadapnya saat ini. Ingin sekali aku hilangkan keyakinan itu. Mampukah aku melakukan itu?

“Kita jumpa ni bukan nak cerita pasal kita....,”

“Habis tu? Pasal siapa...?”

“Kak Reen...,”

Matanya beralih ke arah Kak Reen. Aku juga kalih pandang ke sana. Kelihatan Mak Ngah cepat-cepat melarikan pandangannya ke arah lain. Mungkin sejak tadi lagi dia memerhatikan kami.

“Nak cerita apa lagi? Abang dah minta izin dia... dan dia dah benarkan. Untuk apa lagi nak bincang pasal dia... Lebih baik kita bincang pasal kita,”

“Abang... tak tahu ke yang abang dah hancurkan hati dia? Sanggup abang buat dia begini. Dia isteri yang baik. Tak patut abang buat macam ni padanya,”

“Apa yang abang buat pada dia hemm...? Cuba Unie cakap. Abang tak pukul dia, abang tak pernah marah padanya. Abang cuma berterus terang pada dia yang abang nak kahwin lain. Dan abang cuma tetapkan syarat, abang nak kan Unie. Itu aje...,”

Ah... begitu polos jawapannya. Kalau dalam keadaan lain pasti di saat ini aku sudah terbang melayang di awang-awangan. Bahagia kerana ada yang mencintaiku. Kerana ada yang ingin menjadikan aku isterinya. Malangnya aku kini dalam situasi yang berbeza. Serba salah aku jadinya dengan perhatiannya ini.

“Apa yang abang cakap pada dia tu dah lebih dari menyakitkan hati dia. Sakitnya lebih dari abang pukul dia tau tak? Abang sedar tak?”

“Unie.... kalau abang beritahu dia yang abang nak kahwin lain, tanpa tetapkan syarat dengan siapa pun dia akan tetap sedih juga kan? Kalau macam tu, mungkin ke Unie akan minta untuk jumpa dengan abang? Nak nasihatkan abang macam ni? Tentu tidak kan?”

“Tahu pun abang dah sakitkan hatinya. Kenapa abang buat juga?”

Dia mengeluh. Saat itu barulah kelihatan dia mula serius.

“Unie... dah lima tahu kami kahwin. Dulu Unie minta abang cuba terima dia. Abang dah cuba Unie. Abang terima dia, belajar mencintai dia. Abang tak nafikan abang sayang padanya. Tapi sayang abang tu tak melebihi cinta abang pada Unie,”

Matanya menyapu lembut ke wajahku. Entah mengapa saat dia mengucapkan kata-kata itu, ada debar di hatiku. Marah yang aku rasakan tadi bagaikan perlahan-lahan meninggalkanku. Aku kalih pandang. Tak mampu untuk aku terus memandang ke dalam matanya yang begitu menggoda. Aku perlu kuat untuk Kak Reen. Aku tak boleh membiarkan dia mempengaruhi keputusan yang ku buat. Tidak boleh...

“Abang tak tahu kenapa. Abang tak boleh kawal perasaan tu. Abang dah cuba. Tiga tahun abang mengharapkan satu keajaiban. Abang nak ikatan kami diperkukuhkan lagi dengan adanya anak-anak. Tapi kami gagal Unie. Bila doktor sahkan dia tak akan boleh mengandung sebab kecacatan pada ovarinya, abang kecewa Unie. Abang cuba terima hakikat tu. Tapi... abang manusia biasa. Bukannya malaikat. Abang ada kehendak yang perlu dipenuhi. Dan abang tak minta buat dosa. Apa yang abang minta tu adalah sesuatu yang halalkan? Yang dibenarkan syariat kan?”

Aku mengetap bibirku. Marahku datang lagi.

“Lelaki... selalu saja gunakan alasan macam tu...,” rungutku.

Dia ketawa senang mendengarkan kata-kataku.

“Perempuan... selalu marah kalau lelaki minta yang itu...,”

Aku memandang ke wajahnya semula. Dia tersenyum menggoda. Sakit sungguh hatiku melihatkan senyuman itu. Terlalu yakin bagaikan tiada apa-apa kesalahan yang dilakukan. Benci... sungguh aku benci padanya.

“So? Apa lagi yang kita nak bincangkan? Majlis kita nanti, Unie nak pakai baju apa? Abang rasa warna ungu cantik untuk Unie ...”

“Abang... please,”

“Ye sayang...please what...,” tegurnya lembut.

“Huh...,” sakit sugguh hatiku bila dipermainkan begitu. Dia mempermainkan aku. Apa lagi yang aku boleh katakan?

“Masa belum kahwin dengan dia dulu, abang dah beritahu perasaan abang pada Unie. Ingat lagi kan?” setelah beberapa lama dia bersuara. Bicaranya kembali serius. “Unie cakap Unie belum bersedia. Nak belajar dulu. OK abang terima hakikat tu. Tapi bila perkahwinan abang jadi macam ni, tak ada orang lain yang boleh abang fikirkan untuk memenuhi ruang hati abang yang kosong ni. Abang cuma mahukan Unie sahaja,”

Lembut sekali suara itu menyapa hatiku. Selembut renungannya yang terus-terusan mengelus lembut di wajahku. Membuatkan mukaku terasa panas. Pasti saat ini wajahku sedang merona merah warnanya. Dan aku pasti, benar-benar pasti yang Abang Izwan sedar akan perubahan di wajahku. Kerana saat itu senyum di bibirnya semakin mekar.

“Reen pun sebenarnya dah tahu yang lambat laun abang pasti akan minta untuk kahwin lain. Dua tahun abang tunggu Unie. Sekarang, Unie dah tamat belajar. Dah kerja pun kan? Jadi, abang rasa tak ada apa-apa halangan lagi untuk abang memiliki Unie.”
Aku cuma dapat menelan air liur bila mendengarkan kata-kata itu. Apa yang patut aku katakan?

“Sengaja abang zahirkan perasaan abang ni pada pandangan mata Reen. Abang tak nak dia terkejut. Bila abang beritahu dia minggu lepas, dia marah. Ingatkan kita ada affair di belakang dia. Sebab tu dia pergi jumpa Unie,”

"Emmm... tak semestiya abang kahwin lain. Abang boleh ambil anak angkat ...,” bila kata-kata itu keluar dari bibirku, entah mengapa kedengarannya seperti tidak munasabah. Aku mencari alasan sebenarnya. Dia ketawa lagi mendengar kata-kataku. Ah... aku memperbodohkan diriku sendiri rupanya. Dan di hadapan dia pula....

“Unie mesti dah tau sebabnya kan? Kenapa perlu tanya lagi ... hem...?” dia diam seketika . Senyum masih lagi mekar di bibirnya. Melihatkan aku diam, dia terus menyambung. “Umur abang dah 33 tahun Unie. Abang nak anak abang sendiri. Dari zuriat abang sendiri. Doktor dah sahkan yang abang normal. Hakikat tu dia tak boleh nafikan. Dan Reen pun dah setujukan? Dia dah approach Unie. Dah beritahu hasrat abang pada Unie kan? Jadi, apa lagi masalahnya sekerang? Unie tak nak? Kalau Unie tak nak tentu Unie dah cakap tak nak. In tidak, Unie tak bagi apa-apa jawapan pun. Unie sengaja buat abang ternanti-nanti jawapannya,”

Gulp, aku menelan air liurku yang terasa pahit. Mahukah aku dengan perhubungan yang sebegini? Perhubungan yang dibina atas penderitaan orang lain? Tidak ... tentunya aku tidak mahu. Jika aku menjadi Kak Reen pasti aku juga akan sedih dan kecewa seperti dia. Tapi, bagamana untuk aku menolak permintaan Kak Reen. Dia begitu tulus meminta aku menikahi suaminya. Hanya kerana dia mengerti akan cinta Abang Izwan terhadapku. Lelaki itu telah menerangkan jelas-jelas kepada Kak Reen akan perasaannya terhadapku. Tanpa sedikit pun berselindung.

“Kenapa Unie diam? Kalau jadi katakan jadi... tidaklah abang ternanti-nanti....,” katanya dengan tawa lembut di bibir.

Aku mendengus perlahan. Apa yang patut aku perkatakan. Di awal pertemuan aku begitu yakin dengan kemampuanku untuk menolak permintaan ini. Aku yakin aku dapat menghentikan segala kemungkinan yang akan menyakitkan hati Kak Reen. Tetapi kini aku goyah. Aku sedikit pun tidak mampu untuk melawan segala hujah-hujahnya. Apa yang diperkatakannya itu semuanya benar belaka. Benar, aku masih lagi suka padanya. Kata-kata benci yang aku ucapkan di bibir sebenarnya hanyalah untuk melindungi rasa sayang yang telah lama terpahat di hati.

Kalaulah kami berada dalam situasi yang berbeza pasti lain jadinya. Kalaulah dia masih keseorangan aku pasti tidak teragak-agak untuk menerimanya dengan tangan yang terbuka. Pada usia 24 tahun aku masih lagi bersendirian. Dalam usia sebegini tidak pernah ada mana-mana lelakipun yang datang mengetuk pintu hatiku. Kalau pun ada yang datang, hanyalah seketika. Setelah salam perkenalan dimulakan, mereka akan membisu tanpa kata. Tak pasti mengapa begitu sedangkan aku bukanlah dalam golongan yang buruk rupa parasnya. Walau aku akui aku tidak secantik bidadari. Mungkin ada sesuatu yang kurang pada diri ini. Mungkin aku tidak pandai bergaul, tidak pandai bermesra menyebabkan yang datang menjenguk akhirnya bertempiaran lari menjauhkan diri. Ah.... aku mengeluh sendiri.

Salahkah aku jika selama ini aku masih menaruh hati padanya? Jahatkah aku jika ada ketikanya aku cemburu pada Kak Reen bila melihat mereka mesra bersama. Atau kejamkah aku jika ada ketikanya aku mengharapkan hubungan kami lebih dari abang dan adik ipar angkat? Di awal perkahwinan mereka dulu sering aku menjauhkan diri hanya kerana aku cemburu melihat dia melayan Kak Reen dengan baik. Aku sering mengangankan aku berada di tempat Kak Reen. Aku tahu salah untuk aku mengharapkan keadaan yang sebegitu. Berdosa untuk aku mengangan-angankan seorang lelaki sebegitu. Jadi aku mula mengubah pendirianku. Akhirnya aku mula akur dengan keadaan. Menerima hakikat bahawa dia adalah milik Kak Reen.

Tapi bila dia mula kembali memberikan perhatiannya kepadaku aku jadi marah. Aku jadi benci padanya kerana seolah-olah membiarkan aku kembali membina angan-angan. Lantas aku terus menjauhkan diri kerana tidak mahu pergi jauh dalam angan-anganku itu. Sehinggakan kata-kata benci itu bagaikan sudah sebati kurasakan untuknya. Sering aku ucapkan bila saja aku mendengar namanya disebut. Ah... aku sendiri jadi buntu dengan perasaanku ini.

Diamku membuatkan dia seperti semakin teruja. Bibirnya terus mengukir senyuman yang begitu manis sekali. Menyebabkan aju jadi semakin serba-salah. Adakah dia tahu apa yang ada di hatiku ini? Adakah dia tahu rahsia yang aku pendam selama ini? Mungkinkah dia dapat membaca apa yang ada di hatiku, menyebabkan dia begitu sinis sekali menghulurkan kata-kata. Menyedarkan aku dari hakikat sebenar perasaanku terhadapnya?

“Unie, jangan lari dari perasaan sendiri. Kak Reen tak akan salahkan Unie jika Unie terima abang. Sebab dia tak tahu perasaan Unie pada abang. Yang dia tahu hanyalah perasaan abang yang tergila-gilakan Unie. Pandai sungguh Unie sembunyikan perasaan Unie tu. Tapi, sepandai-pandai Unie, masih lagi belum dapat nak tipu abang. Abang tahu apa yang ada dalam hati Unie tu. Jangan nak bohong pada abang,”
Terkedu aku dengan kata-katanya itu. Sungguh aku tak mampu untuk berselindung lagi. Rona merah di wajahku bagaikan menggambarkan segalanya. Bisu aku saat itu bagaikan mengiakan semua kata-kata yang keluar dari ulas bibirnya. Selepas mengakhiri kata-katanya itu dia bangun dan mendekatiku yang sedang duduk di sofa berhadapan dengannya. Bila dia berada betul-betul di hadapanku, mataku masih lagi menatap wajahnya. Terdongak aku memandang ke dalam matanya. Bagaikan terpukau dek kata-katanya sebentar tadi.

“Tak perlu berselindung dari abang...,”

Lantas dia meletakkan jari telunjuk dan jari hantunya ke bibirnya sendiri. Mengucup lembut jejarinya itu. Dan perlahan-lahan dia meletakkan dua jarinya itu ke bibirku. Aku terpampan dengan perlakuannya itu. Terkaku di tempat duduk tanpa mampu bergerak sedikitpun. Bagaikan bermimpi, aku dibuatnya.

“I wish that I could do more then that...,” bisiknya.

Selepas perlakuan yang cukup romantis itu dia senyum lantas berpaling untuk pergi. Mengatur langkahnya satu persatu dengan begitu yakin sekali. Menggeletar tubuhku dengan perlakuannya itu. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Lantas aku menarik nafasku dan berpaling kepada Mak Ngah dan Kak Reen yang juga terpaku menyaksikan perlakuan Abang Izwan sebentar tadi.

9 comments:

Hafia Hana said...

kak nk hero lain bole x?
xnk la izwan
bg org lain la
x mau la kawen ngan laki org

Laila Hanni said...

itu_aku.

itulah konflik pertamanya. dari situ... timbullah pelbagai konflik lain. Hakikat kehidupan, tak mampu untuk kita hindarkan...

Laila Hanni said...

tapi jangan risau, bukan Izwan heronya. akan ada hero lain. Akak tengah pening fikir nama yg paling sesuai utk dia. boleh bagi cadangan tak? ingat nak letak nama Amir Hamzah. OK tak?

norsuriati said...

Unie..if pasangannya Umar..pasti ngam..Umar sahabat Rasulullah yg gagah n berani..pasti secocok buat Unie....yg agak goyah..bila sedikit digugat godaan izwan...

laila hanni said...

emmm hazulfa, ok jugak kalau Umar... bolah dipertimbangkan ...
cadangan lain???????

Anonymous said...

kalau hero nama Amir Ehsan biar terserlah sifatnya dgn maknanya .....just a sugg..hehe

Laila Hanni said...

amir ehsan....
sedap jugak nama tu,
maksudnya pun baik : Pemimpin yg diberkati...
ok... blh dipertimbangkan...

Anonymous said...

iyelah...biarlah ada hero yg lain]
nama Emir Iqwan ke..nama biarlah glamour & orgnya mestilah glamour gak..barulah best

Anonymous said...

hero yg glamour tp baik & berbudi bahasa
lelaki yg kehilangan cinta pertama kerana curang ttp menggilai Unie wpun janda anak satu...he3

Post a Comment

Popular Posts