Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 6

Talipon yang sejak dari tadi berbunyi membingitkan telingaku. Menyedarkan aku dari lena yang panjang. Dangan malas aku membuka mata dan mengamati nama pemanggil yang tertera pada skrin telefon. Agak lama juga mataku untuk fokus pada nama yang tertera itu. Akhirnya  deringan itu terhenti sendiri. Ah, siapa lagi kalau bukan Suzana yang menelefonku. Bukannya ada orang lain yang mengetahui kepulanganku ini. Aku masih belum bersedia untuk memberitahu orang lain. Bila tiba masanya nanti akan aku hebahkan kepulangan ini. Itu sudah pasti. Kerana akan aku pastikan Sarah tahu tentang keujudan diri ini.

Mungkin dulu aku silap kerana meninggalkan dia di sini. Apa daya yang aku ada waktu itu. Janji Kak Reen yang akan memastikan kebajikannya terjaga menguatkan tekadku waktu itu. Kenaifanku waktu itu mengaburi mata tentang  kemungkinan yang berlaku. Pada usia 25 tahun aku menyangka semua manusia di sekelilingku ini berlaku jujur padaku. Pengalaman hidup yang sedikit membuatkan aku lupa akan kemungkinan ada hati yang akan dikaburi oleh perasaan hasad dengki yang selalu dibisikkan syaitan ke telinga mereka. Sebuah hakikat kehidupan sebenar yang amat asing  bagi diriku waktu itu. Telefon berbunyi lagi. Cepat-cepat aku menekan butang hijau dan mendekatkan ke telingaku. Tidak mahu membiarkan teman baikku menunggu lama.

“Assalamualaikum Su,” sapaku dengan suara yang masih lagi dipengaruhi rasa mengantuk.

“Waalaikumussalam... kau tengah tidur lagi Unie? Dahsyatnya anak dara ni.... eh..eh..mak dara ni...,”

Aku senyum sendiri dengan gelaran yang diberikan kepadaku sejak Sarah aku lahirkan lebih tiga tahun yang lalu. Sedikitpun tiada rasa tersinggung dengannya. Untuk apa aku marah padanya hanya kerana dia mengingatkan aku pada memori lama? Terlalu banyak gundah dan resahku yang telah dipujuk oleh temanku ini.  Tatkala tiada yang ingin mendengar keluhan hati ini, dialah yang terus setia menadah telinga. Memberi harapan bahawa ada bahagia menantiku hadapan sana.

“Sorry, aku ngantuk sangat. Dah pukul berapa ni?”tanyaku dengan malas.

“10.30 pagilah. Eiii bangunlah... membuta aje. Sembahyang Subuh tak tadi?”

“Sembahyang.... lepas Subuh aku tidur balik. Ngantuklah... semalam tak dapat tidur,”

“Hah tu dok sorang-sorang tu mesti dok layan perasaan. Itu yang tak boleh nak tidur,”

Aku hanya mendengus perlahan. Membiarkan kata-kata Suzana berlalu begitu sahaja.

“Sorrylah ye, kau telefon semalam aku tengah meeting. Sebab tu aku cuma sms aje pada kau tentang kunci rumah aku tu. Pukul berapa kau sampai kat rumah semalam?”

“Dalam pukul 12.30 tengah malam. Nasib baik Kak Maziah belum tidur lagi. Tengah tunggu hubby dia balik kerja.”

“Ala... kak Maziah tu baik. Senang minta tolong. Kalau ada apa-apa cakap aje pada dia,”

“Emmm...,”

“Kau ok ke Unie? Semalam tidur nyenyak tak?”

“Ok Su, tapi bukan semalam. Pagi ni, lepas Subuh baru lena.,”

“Bila kau mula kerja balik?”

“Seminggu lagi Su, aku ingat nak rehat aje dulu. Bila dah mula kerja balik mesti susah nak cuti kan? Biasanya lepas tiga bulan baru boleh cuti kan?”

“La... manalah aku tahu. Itu kenalah tanya kerani dekat fakulti kau tu kan?”

“Emmm...,”

Kami diam seketika. Aku bangun dari pembaringan lantas duduk menyandarkan diri di kepala katil. Mendapatkan kedudukan paling selesa untuk terus berbicara dengannya.

“Sorryla Unie ye. Kau balik dari jauh,  aku tak ada kat rumah. Terpaksalah kau sesuaikan diri kau tu sendiri. Itulah... awal-awal tak nak beritau aku yang kau dah nak balik. Bila aku dah confirmkan kehadiran aku dalam meeting ni baru kau telefon. Nak ganti dengan orang lain, dah tak boleh sebab projek ni aku yang handle. Report kewangannya ni aku yang buat.  Orang lain tak tau sangat dengan maklumat yang ada dalam report tu. Itu yang aku tak boleh nak ponteng dari meeting ni,”

“It’s oklah Su, aku faham. Aku pun pernah kerja kan?”

“Jadi, apa rancangan kau sebelum kau mula kerja ni?”

“Entahlah Su, aku belum plan apa-apa lagi. Nantilah dulu, harini aku ingat nak rehat aje kat rumah kau ni. 
 Mungkin esok, aku akan pergi cari rumah sewa yang dekat sikit dengan tempat kerja aku tu.”

“La... kau nak sewa rumah lain ke? Tak payah lah Unie, duduk aje dengan aku,”

“Emmm, tak apa ke? Tak ganggu kau ke?” aku bertanya dengan teragak-agak. Aku tidak mahu kehadiranku di rumahnya nanti mengganggu dia yang suka bersendirian itu.

“Tak ada halnya... Lagipun aku suka kalau kau tinggal kat  rumah aku. Sekurang-kurangnya aku balik malam-malam ada yang menunggu nanti...,”

Aku senyum mendengarkan kata-katanya yang polos. Kami sebaya. Sama-sama belajar di universiti semasa peringkat sarjana muda dahulu. Aku dibidang kejuruteraan pertanian  manakala dia di bidang perakaunan . Pada usia 28 tahun kini, hatinya masih belum disapa oleh mana-mana lelaki. Kesibukkan dengan tugasnya sebagai akauntan bagaikan membataskan waktu untuknya bersosial. Aku simpati dengannya, tetapi apa boleh aku lakukan. Aku juga sudah kembali keseorangan kini. Lebih teruk lagi aku kini memegang status yang ingin dihindari oleh semua wanita. Status yang dihadiahkah oleh Abang Izwan yang pernah satu waktu dulu mencanangkan cintanya untukku ke seluruh dunia. Status yang dihadiahkan tanpa sebab yang nyata. Mengenangkan kenangan lalu itu aku sebak lagi, mataku kembali berkaca. Diamku di sini mungkin mengundang tanda-tanya di hati Suzana.

“Unie, sorry ye. Aku tak sengaja nak kecilkan hati kau...,” perlahan bicara itu kembali menyapa di telingaku. 

Dia bagaikan mengerti kemelut di hatiku ini. Turut sama menghulurkan simpati dengan nasib diriku ini.

“Tak lah... Bukannya aku kacil hati, cuma... cuma.... ,”

Aku tak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Entah dari mana datangnya,  airmataku meluncur laju menuruni pipi. Aku kalah kini dengan tekadku. Tekad untuk tidak menangis lagi. Tekad  untuk menerima  kenyataan dalam hidup ini. Airmata, mengapa tak mahu berhenti mengalir? Mengapa tempoh lebih dua tahun  ini kau sudah bagaikan begitu akrab denganku. Sering menjadi temanku di kala kesunyian. Sering melegakan keresahan ketika ksedihan ini tak mampu untuk aku bendung. 

“Unie, sabar ye... esok aku balik. Kau rehat dulu ye. Jangan fikir sangat kisah lalu tu. You have to be brave ok. Kalau kau nak ambil balik Sarah kau kena kuat tau,”

“Aku tau Su. Tapi... aku tak mampu nak jadi kuat macam yang kau nakkan tu. Aku kalah Su, belum berjuang lagi aku dah kalah,” kataku dalam esak tangis yang makin menjadi-jadi.

“Jangan cepat mengaku kalah. Jangan kalah dengan perasaan kau sendiri. Kau ada hak kau atas Sarah. Tapi, kau kena tabah Unie. Demi masa depan kau dan masa depan Sarah,”

Aku menarik nafas mendengarkan kata-kata Suzana itu. Ya, aku perlu tabah. Kerana lelaki yang akan aku hadapi untuk mendapatkan Sarah bukanlah calang-calang orang. Bukanlah seorang yang mudah mengalah. Setahun aku melalui hidup bersamanya, membuatkan aku mengenalinya luar dan dalam. Aku tahu laluan untuk aku mendapatkan Sarah pastinya akan penuh dengan onak dan duri. Penuh dengan ranjau yang menanti untuk melukakan aku lagi. Aku tidak akan biarkan dia melukakan hatiku lagi.  Tidak......
 
****

“Muhammad Izwan bin Muhammad Ali, aku nikah akan dikau dengan Munirah binti Muhammad Hanafi dengan mas kahwin seratus ringgit tunai...,”

Tangan yang digenggam oleh Tok Kadi itu dikocak lembut. Aku lihat Abang Izwan menarik nafas panjang 
lantas menjawab.

“Aku terima nikahnya Munirah binti Muhammad Hanafi dengan mas kahwin seratus ringgit tunai...,”

Dengan sekali lafaz yang begitu meyakinkan, aku sah menjadi isteri kepada Abang Izwan. Satu perasaan indah yang menyelirat bersama urat sarafku, menyuntik satu rasa bahagia yang tidak dimengertikan. Mungkinkah ini yang dirasakan oleh setiap gadis yag baru bergelar isteri? Namun dalam bahagia ada rasa gundah. Disebalik gundah ada lagi satu perasaan yang cukup membuatkan aku resah. Rasa bersalah bagaikan bergayut kemas di tangkai hati. Mana bisa bahagia itu aku kecapi sepenuhnya jika ianya dibina atas kesedihan orang lain? Mana bisa aku mampu tersenyum puas jika di luar sana ada hati yang terluka dengan senyuman yang terukir di bibir ini?

Setelah lafaz itu disahkan, tok kadi menghampiriku untuk menghulurkan beberapa dokumen yang perlu aku tandatangani.  Mengesahkan aku kini sudah selamat diijab kabulkan dengan Abang Izwan. Selesai semuanya aku mula beredar. Bersedia untuk kembali semula ke rumah Mak Long. Upacara pernikahan ini dibuat di pejabat kadi dan sedikit kenduri kecil-kecilan dibuat di rumah Mak Long. Semuanya atas permintaanku. Mak Ngah sendiri yang meminta supaya kenduri ini tidak dijalankan di rumahnya. Aku tak mampu untuk berhadapan dengan Kak Reen dan kesedihannya. Tidak mahu menambah luka di hati Kak Reen  bila melihat persiapan perkahwinanku dibuat di situ. Aku akur. Pada mulanya Abang Izwan bercadang supaya kenduri ini dibuat di rumah emaknya. Tetapi, akhirnya Mak Long bersetuju dengan permintaanku. Apa gunanya ada emak saudara kalau saat begini tidak mampu untuk menolong anak saudaranya yang sebatang kara ini, kata Mak Long.

Saat keputusan di mana kenduri itu akan dilaksanakan, hatiku menangis lagi meratapi nasib diri. Kalaulah emak dan ayah masih ada, mungkin hatiku tidak sesedih ini. Mungkin resahku tidah sehebat ini. Di saat-saat begini, terasa diri ini bagaikan terbuang.  Tiada tempat untuk aku mengadu. Yang tidak faham dengan tujuan pernikahan ini mengutukku kerana menganggap aku tergamak merampas Abang Izwan dari Kak Reen. Ada suara-suara halus yang kedengaran berbisik dan mengataku. Tergamak sungguh aku melukakan hati kakak sepupu sendiri, kata mereka. Walaupun ada suara-suara lain yang menjelaskan bahawa pernikahan ini adalah atas permintaan Kak Reen, masih lagi ada suara-suara sumbang yang  menyalahkan aku.

Riak gembira di wajah Abang Izwan dapat ku lihat begitu jelas sekali. Matanya terus-terusan memandang diriku ini. Bagaikan tidak sabar untuk berada di sisiku. Namun kehadiran Mak Long dan Pak Long bagaikan menghalangnya dari mendekatiku. Atas permintaan Mak Long yang menemaniku ke upacara pernikahan ini, majlis membatalkan air sembahyang akan diadakan di rumahnya. Suzana yang juga hadir bersamaku, memerhatikanku bagaikan ibu ayam memerhatikan anak-anaknya. Hatinya masih seperti tidak merelakan Abang Izwan mendekatiku. Bagaikan ada satu konfrantasi secara senyap antara dia dengan Abang Izwan. Dia seperti menyimpan dendam kepada lelaki yang kini bergelar suamiku itu. Memang sesungguhnya dia menentang keras keputusan yang aku ambil untuk memenuhi permintaan Kak Reen supaya aku menikahi Abang Izwan.

Setibanya kami di rumah Mak Long, Abang Izwan memohon untuk melakukan sembahyang sunat. Timbul rasa kagum di hati saat aku melihat dia menghadapi Allah dengan rasa syukur atas kemenangannya untuk memiliki diri ini. Kemenangan yang diraih atas kekalahan Kak Reen yang terpaksa akur dengan kehendak suaminya. Terpaksa makan hati dengan keputusan yang diambil atas dasar terpaksa begini. Mana mungkin ada isteri yang redha bila dirinya dimadukan. Aku sendiri tidak rela sebenarnya. Tapi apalah daya diri ini. Terhutang dengan budi yang dihulurkan padaku. Tersepit antara rasa cinta yang telah lama terpahat jauh di satu sudut paling sunyi dalam hati ini.

Sebuah pelamin simpuh kecil disediakan untuk upacara membatalkan air sembahyang.  Aku bersimpuh di situ menanti kehadiran lelaki yang sudah bergelar suamiku untuk melaksanakan upacara itu. Ada debar dalam hati, ada resah dalam jiwa. Bercampur aduk dengan rasa gundah yang sedah lama bertapak dalam hati. Perasaan yang bagaikan menjeruk hati ini sejak mula Kak Reen menemuiku untuk meminta aku melaksanakan permintaannya.  Membuatkan aku terus-terusan rasa bersalah dengan keputusan yang aku ambil itu.

Namun, saat ini mana mungkin aku tarik balik keputusanku itu. Keputusan yang aku buat atas dasar gerak hati yang diberikan oleh Allah. Saban malam selepas Kak Reen datang meminta aku menjadi isteri Abang Izwan, istkharah aku lakukan. Memohon petunjuk dari Allah dalam membuat keputusan. Bila gerak hati ini  bagaikan berbisik untuk aku menerima, aku jadi akur  kepadanya. Mungkin ini ketentuan Allah untukku. Mungkin ini takdir untukku. Menjadi isteri kedua bagi lelaki ini. Menjadi madu pada sepupuku sendiri.

Saat jejarinya aku salami, rasa gundah di hati ini bagaikan terbang melayang jauh. Bagaikan ada damai yang membaluti perasaan ini. Terasa bagaikan ada yang melindungi diri ini dari segala rasa gundah yang menyelubungi hati. Dia bagaikan menyuntik satu kekuatan untuk aku menghadapi semua ini. Ketika matanya melatari wajahku, ketika bibirnya menyentuh lembut di dahiku dan ketika mata kami bertemu buat kali pertamanya selepas bergelar suami isteri, terasa bagaikan ada lafaz yang keluar dari bibirnya. Seolah-olah berbisik kepadaku bahawa semua ini adalah takdir yang terbaik untukku. Seolah-olah memberi keyakinan bahawa pernikahan ini sebenarnya mendapat redha Ilahi. 

“Unie ....,” sepatah bisikannya menyebut namaku memberikan kekuatan untuk aku mengukir senyum. Mungkin hambar, tetapi senyum itu aku zahirkan untuk menyatakan rasa damai yang ada di jiwaku saat itu. Perasaan yang hadir tatkala kehadirannya di sisi ini memberi sedikit kekuatan untukku menghadapi masa depan yang belum pasti. Ya, mungkin keputusan yang aku buat ini adalah yang terbaik untuk diri ini, untuknya dan untuk Kak Reen.  

“Senyum sikit ye...,” bisiknya lagi.

Lantas dia meraih jejariku. Mengenggam erat tanganku dan memberikan kekuatan untukku menghadapi semua ini. Kerdipan cahaya kamera yang merakam saat itu tidak lagi aku hiraukan. Yang aku tahu, aku kini berada di sisi suamiku. Seorang yang akan melindungiku saat aku dilanda kesusahan, yang akan mendamaikan resahku dan yang akan menyuntik kekuatan untuk aku menghadapi dugaan di masa hadapan.


0 comments:

Post a Comment

Popular Posts