Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 9
Wajah Mak Ngah yang kelihatan serba salah sejak aku mula tiba sebentar tadi ku tatap dengan perasaan yang berbelah bagi. Pagi-pagi lagi aku sudah nekad bahawa hari ini juga aku akan pergi mencari Sarah. Rinduku padanya sudah aku rasakan begitu menbuak-buak. Wajahnya yang sering aku tatap dalam dinding facebook Kak Reen menyedarkan bahawa anakku itu kini sudah besar. Manis dan comel sungguh anak gadisku itu pada usia tiga tahun.
Pada waktu awal perpisahan dulu, aku dan Kak Reen  begitu akrab berhubung melalui alam maya itu. Pada hari-hari permulaan aku menjejakkan kaki ke Australia untuk menyambung pengajianku, seperti yang dijanjikan, ada sahaja berita mengenai Sarah dan Abang Izwan yang sampaikannya untukku. Abang Izwan yang selalunya sibuk dengan tugasnya memang amat jarang sekali menghubungiku.
Seperti biasa, dia dengan sikapnya yang tidak betah untuk berbicara melalui talian telefon. Setiap kali menelefonnya, pasti perbualan kami hanya setakat bertanyakan khabar dan menyampaikan apa-apa perkara yang penting sahaja. Terlalu cepat dia ingin memutuskan talian.  Hanya bila rindu yang datang tak mampu kubendung,  barulah aku menghubunginya. Pun begitu bicara kami selalunya tidak lama. Selepas sahaja menyampaikan rasa rindu yang bersarang di hati, talian diputuskan.
Kak Reenlah yang menjadi penghubung tetap antara kami. Berkirim salam, menyampaikan berita dan sebagainya. Namun selepas enam bulan perpisahan berlaku, bicara antara aku dan Kak Reen mula menjadi semakin kurang. Kesibukkanku dengan pengajianku menyebabkan aku jadi leka dan tidak menyedari akan tanda-tanda masalah itu mula timbul.
Kak Reen juga mula menyepikan diri. Ada ketikanya bila aku menegurnya di alam maya itu, dia hanya mendiamkan diri. Abang Izwan pula bagaikan sudah mula mengelak dari berbicara denganku melalui telefon. Bicaranya juga sudah tidak seromantis selalu. Dan entah mengapa aku tetap juga tidak mengendahkan perubahan ini. Sangkaku ini perkara biasa. Setiap kali aku bertanyakan khabar bila mereka akan datang mengunjungiku, Abang Izwan bagaikan cuba untuk mengubah topik perbualan.
Janji Abang Izwan untuk membawa Sarah kepadaku rupanya tidak kesampaian. Ada sahaja alasan yang diberikan oleh Kak Reen untuk mengelak dari aku terus mendesak Abang Izwan menunaikan janjinya untuk membawa Sarah kepadaku. Dan aku yang sedar waktu itu betapa sukarnya jika aku membawa Sarah bersamaku terus membiarkan keadaan itu. Ya, mungkin aku tidak mampu untuk menjaga Sarah sendirian di sana. Rakyat Malaysia di Autralia sememangnya ramai, tetapi tidak ramai yang aku kenali hati budinya. Dan rasanya waktu itu aku lebih mempercayai bahawa Sarah lebih selamat berada di bawah jagaan ayahnya sendiri.
Setelah hampir tiga bulan aku bagaikan bercakap sendirian, aku mula berhenti menegur Kak Reen di alam maya. Seringkali aku hanya membiarkan sahaja facebook atau emailku sentiasa berada dalam talian. Menanti dan menanti setiap kali dia menghantarkan perkabaran tentang dirinya dan Sarah di situ. Semua perubahan itu hanya mula aku sedari selepas setahun tempoh pemergianku ke sana. Setelah surat dari Abang Izwan yang sungguh tidak ku duga isi kandungannya tiba ke ribaanku.
Mengapa...? Mengapa aku diperlakukan sebegitu? Mengapa hanya melalui sekeping kertas? Sekeping kertas putih yang menjadi wakil darinya, melafazkan kata-kata yang cukup menggegarkan suluruh  jantungku, memusnahkan harapanku dan meranapkan anganku. Bagaikan tercabut nyawaku saat aku membaca coretannya itu. Lafaz yang sesungguhnya tidak mungkin akan dapat diterima oleh seorang isteri yang tidak mengetahui apa alasannya si suami berbuat begitu. 
Selepas dari itu, setiap kali aku cuba berhubung secara online dengannya, Kak Reen  terus mengelakkan diri dan mematikan taliannya. Langsung tidak mahu menjawab semua persoalan yang aku berikan. Berdiam diri dari soalan-soalanku yang memohon penjelasan darinya.  Bila aku menelefon pula, ternyata dia telah menukar nombornya. Sama seperti Abang Izwan, yang terus dan terus mengelak dariku.
Desakan demi desakan aku luahkan. Tidak dapat menghubungi talian telefon bimbitnya, aku hubungi pula telefon di tempat kerjanya. Saban hari aku menghubingi Abang Izwan untuk menuntut penjelasan.  Dan mereka terus-terusan mengelak dariku. Sehinggakan apabila aku pulang ke Malaysia selama seminggu semasa cuti pertengahan semester pengajianku, juga mereka mengelakkan diri dariku. Sanggup pergi melancong ke Eropah selama tiga minggu.
Kepulanganku ketika itu aku rasakan amat merugikanku. Sudahlah aku terpaksa membayar tambang yang mahal untuk pulang ke mari, malah bila tiba di sini orang yang ingin aku temui pula tiada. Sungguh... sungguh aku amat kecewa ketika itu. Kesedihanku tidak tertanggung rasanya. Aku  yakin mereka sengaja mengelak dari bertemu denganku kerana aku telah memberitahu Kak Reen tentang kepulanganku itu. Tak mungkin kalau perkara itu hanya kebetulan berlaku.
Bila ditanyakan kepada bekas emak dan ayah mertuaku, mereka hanya mengatakan mereka tidak tahu apa-apa.  Malah mereka turut terkejut dengan berita itu. Sedikitpun Abang Izwan tidak pernah memberitahu mereka tentang perkara itu. Sungguh... sungguh aku tidak mengerti dengan keadaan itu. Sungguh  maruahku terasa dicampakkan jauh ke dasar jurang yang tidak tergapai dek tangan ini. Aku tidak mampu untuk mengutipnya kembali.
Aku terus mendesak dan mendesak Kak Reen untuk memberikan alasan setelah aku dapati Abang Izwan diam membisu. Desakan-desakan yang mungkin menyebabkan dia merasa bosan denganku. Akhirnya sekeping surat aku terima darinya. Surat yang menghancur luluhkan harapanku untuk terus membina bahagia bersama mereka. Surat yang menjelaskan segalanya. Betapa selama ini aku tidak pernah memberikan apa-apa makna dalam hidup Abang Izwan. Betapa selama ini aku hanya diperalatkan mereka untuk mendapatkan Sarah. Betapa aku cuma dijadikan batu sandaran untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mampu untuk dia sempurnakan.
Surat yang tidak lepas dari memohon seribu kemaafan dariku itu menyedarkan hakikat bahawa sebenarnya tiada cinta untuk diri ini dari Abang Izwan. Selama ini semuanya dusta semata-mata. Dusta yang sungguh menyakitkan. Tergamak sungguh mereka memperlakukan aku sebegitu. Setelah selama ini aku korbankan segalanya untuk mereka. Tergamak mereka menghancurkan segalanya.
Selepas dari peristiwa itu, aku tidak lagi mengganggu mereka. Aku bagaikan sudah mati. Aku hanya hidup atas kekuatan yang Allah berikan untuk aku terus bernafas. Hari-hari aku lalui bagaikan dalam keadaan luar sedar. Aku jadi sedar  diri akan siapa diri ini. Aku diperalatkan dengan begini kejam sekali. Sungguh tidak aku menyangka mereka tergamak melakukan sebegitu kepadaku. Sungguh aku tertipu dengan pembohongan yang dilakukan. Sungguh kejam mereka. Sungguh kejam....
 “Bila Unie sampai dari Australia?”
Pertanyaan Mak Ngah mengembalikan aku dari lamunanku. Aku cuba menghadiahkan senyuman kepadanya. Ingin mengembalikan kemesraan yang pernah terjalin satu masa dulu. Perasaan serba-salahnya masih lagi jelas di penglihatanku.
“Dah dua hari Mak Ngah,” jawabku jujur.
“Sekarang ni tinggal kat mana? Kenapa tak balik ke sini?”
Entah mengapa aku bagaikan dapat merasakan ketidakjujurannya dalam mempelawa aku supaya pulang ke rumahnya ini. Aku tidak yakin dengan sikapnya yang seakan-akan pura-pura baik itu.
“Unie tumpang rumah kawan kat Subang Jaya. Insyaallah nanti nak cari rumah sewa yang dekat sikit dengan Serdang. Bila dah mula kerja nanti, taklah jauh sangat nak berulang ke tempat kerja,” jawabku perlahan.
Mak Ngah terdiam lagi. Mungkin menanti apa yang ingin aku persoalkan. Ya, memang sesungguhnya kami tak mungkin akan dapat lari dari hakikat sebenar kehidupan ini. Kalau dulu dia mungkin boleh mengelak dari pertanyaan demi pertanyaan yang aku persoalkan.  Jarak yang memisahkan kami menyebabkan dia mampu untuk terus diam membisu. Namun kini tidak akan aku biarkan lagi persoalan-persoalan itu menghambat diri ini.
Aku inginkan kepastian. Cuma yang pastinya bukan dari dia. Selain dari Abang Izwan, tak akan ada orang lain yang mampu merungkaikan tanda tanya yang bersarang dalam hati ini. Kak Reen juga pastinya tidak akan mampu.
“Kak Reen tinggal kat mana sekarang Mak Ngah?”
Terdiam dia mendengarkan soalan yang keluar dari bibirku. Mungkin dia telah menjangkakan aku akan bertanyakan soalan itu.
“Unie dah banyak kali telefon dia, tapi dia tak jawab. Sejak Unie terima... surat cerai dari Abang Izwan....,” aku bertanya perlahan dengan sebak yang kembali menyelinap masuk ke dalam dada.
Mataku yang mula berkaca aku pejamkan seketika. Aku tidak mahu menangis sekarang.  Sudah terlalu banyak aku menangis sejak dua tahun yang lalu. Jika aku menangis lagi saat ini, aku pasti persoalan yang ingin aku ketahui tidak akan terjawab. Aku telah diceraikan. Hakikat itu sudah lama berlalu. Dan aku juga telah menerima hakikat itu. Setelah kenyataan itu aku baca sendiri dari surat Kak Reen yang menghancur luluhkan segenap jiwa ragaku. Cuma kini yang menjadi persoalannya ialah mengapa. Mengapa aku diperlakukan sebegitu?
Namun saat ini bukan persoalan itu yang ingin aku dengar dari Mak Ngah. Yang ingin aku ketahui ialah di mana Sarah. Kerana saat dan ketika ini aku ingin sekali menemuinya. Sudah terlalu lama aku membiarkan perpisahan ini menjerut perasaanku. Saat  ini ingin sekali aku melepaskan rindu yang sarat bersarang di hati. Ingin sekali aku menyambung kembali tali yang telah putus itu. Diputuskan oleh tangan-tangan manusia yang kejam.
“Unie nak minta alamat dan nombor telefon dia boleh tak? Unie rindu sangat pada Sarah,”
Aku  tidak lagi mampu membendung kesedihan yang aku rasakan. Tumpah airmataku akhirnya di hadapan Mak Ngah. Mak Ngah juga tidak mampu menahan tangisannya. Dia mendekatiku sambil memeluk tubuhku. Untuk pertama kalinya aku meluahkan semua kesedihan yang aku rasakan kepada seseorang selain dari Suzana dan  Zaimah, teman rapatku semasa di Australia.  Tiada seorang pun yang tahu tentang masaalahku dulu kecuali mereka berdua dan juga Puan Anderson, kauselorku semasa di Curtin University yang terletak di kampus Bentley, Perth.
Selama dua tahun menanggung derita di Perth, semua kesedihan ini aku pendam sendirian. Tidak ramai di kalangan teman sekuliahku yang tahu derita di hatiku ini. Mereka mungkin boleh menduga bahawa aku punya masalah besar dalam rumah tangga sehingga aku diceraikan oleh Abang Izwan. Sehinggakan aku terpaksa menangguh pengajianku selama lebih enam bulan setelah aku diceraikan. Di sana masalah itu tidak pernah aku kongsi bersama sesiapa pun kecuali dengan Puan Anderson dan Zaimah. Merekalah yang banyak memberikan dorongan kepadaku untuk menghadapi keadaan itu. Membuatkan aku kembali tabah mengharungi kehidupanku di sana. Tabah untuk menamatkan pengajianku dan seterusnya kembali ke Malaysia untuk menyelesaikan masaalah yang sekian lama tertangguh ini.
“Sejak Izwan ceraikan Unie, dia tukar tempat kerja. Sekarang dia tak kerja kat Bangi lagi. Mereka dah pindah ke Shah Alam, sejak Kak Reen dengan Abang Izwan kau tu pindah kerja kat sana,” jelas Mak Ngah.
Aku mengangguk dalam tangisanku. Ah... sungguh Abang Izwan nekad meninggalkan tempat kerjanya yang sudah sekian lama menjadi tempat dia mencari rezeki. Aku masih ingat lagi satu ketika dulu dia pernah mengatakan bahawa dia akan setia di tempat kerjanya dahulu. Dia senang bekerja di situ. Tiada banyak masalah yang membebankan di situ, katanya dulu. Tapi kini, hanya kerana masalah yang timbul antara kami, dia sanggup meninggalkan tempat kerja lamanya dan bekerja di tempat lain. Begitu nekad dia ingin membuang kenangan aku dalam hidupnya. Tapi mengapa? Mangapa?
Hampir satu jam aku dan Mak Ngah berbual. Panjang ceritanya. Terlalu banyak yang ingin dikongsi bersama. Namun, dia masih terus menghindarkan dirinya dari membicarakan tentang punca perceraianku. Mungkin dia juga tidak tahu punca sebenarnya perpisahan itu. Dan aku juga sepertinya, cuba untuk tidak menyebut tentang kisah duka itu. Bukan dia tempatnya untuk aku mempersoalkan mengapa Abang Izwan menghantarkan surat berisi coretan lafaz talak untukku. Bukan dia yang sepatutnya menjelaskan duduk perkara sebenarnya. Jadi, tidak ingin aku membebankan kepalaku dan juga Mak Ngah mengenai perkara itu. Ada sesuatu yang lebih indah untuk kami bicarakan saat ini.
Ya, Sarah. Segalanya tentang Sarah yang menjadi butir bicara kami. Selepas berlakunya peristiwa hitam itu, hampir saban minggu Kak Reen memasukkan gambarnya bersama Sarah ke facebook. Aku  sendiri tidak mengerti mengapa dia melakukan itu sedangkan tidak sesekalipun dia menjawab teguranku. Mungkin dia hanya mahu aku melihat keadaan Sarah. Tidak lebih dari itu. Malah aku juga keliru mengapa selama ini tidak pernah sedikitpun dia menyentuh tentang Abang Izwan di situ. Mungkin untuk memastikan agar aku tidak akan tahu apa-apa tentang bekas suamiku itu.
Semua gambar-gambar anak gadisku itu dikeluarkan Mak Ngah untuk aku tatapi. Walaupun sebahagian besarnya ada dalam simpananku, aku tetap juga menatap gambar-gambar tersebut. Semua gambar-gambar yang dimasukkan ke dalam facebook oleh Kak Reen telah aku simpan dalam komputer ribaku. Tak kurang banyaknya juga yang aku telah cetak dan simpan di dalam album untuk aku tatapi saat-saat rindu datang melanda. Dan sepanjang waktu itu, pastinya ada airmata yang terus menemaniku, berlinangan jatuh di pipi.
Namun semua ini tidak cukup bagiku. Setakat memandang wajah bundarnya yang saling tak tumpah dengan wajahku masih belum cukup bagiku. Aku ingin memeluk tubuhnya, menghidu bau manisnya tubuh anak gadisku itu, menyentuh kulit lembutnya dan mendengar suara ciliknya. Suara itu pasti lembut dan manja megalunkan pertanyaan demi pertanyaan seperti yang sering dilakukan oleh anak kecil seusia dengannya.  Aku ingin dia mendakap tubuhku, mencium pipiku, bermesra denganku dan akhirnya terlena di ribaanku. Dan pada saat ini terasa sanggup aku lakukan apa sahaja supaya semua itu dapat aku kecapi. Sungguh rinduku padanya tidak mampu untuk aku bendung lagi.
“Mak Ngah, tak boleh ke kalau Unie nak jumpa dia?” akhirnya aku bertanya sekali lagi tentang itu. Menyatakan hasrat hati melalui soalan itu. Mak Ngah menatap wajahku dengan penuh sayu. Mungkin dia mengerti perasaan yang berkocak di jiwaku. Dia juga seorang ibu. Pastinya dia mengerti perasaanku sebagai seorang ibu. Bagaimana rindunya hati seorang ibu terhadap anaknya.  
“Kalau Mak Ngah bagi alamat dan nombor telefon rumahnya, Unie jangan telefon waktu malam ye?” katanya perlahan. Membawa rasa hairan di hatiku.
“Kenapa Mak Ngah?”
“Nanti kalau Izwan tahu dia mesti marah. Dulu... dia selalu pesan supaya jangan beritau Unie kalau Unie telefon. Dia... dia.. tak nak Unie dekat dengan Sarah,”
Berderau darahku mendengarkan kata-kata Mak Ngah itu. Begitu bencinya Abang Izwan terhadapku. Hinggakan dia tidak mahu aku mendekati anak kami. Bukti cinta kami yang  pernah satu ketika dulu begitu bersemarak menghiasai dunia kecil kami. Ketika hanya dia sahaja yang bertakhta di ruang hatiku. Yang memberikan nafas pada cintaku saat aku merasa begitu terasing. Ketika hidupku terasa dipinggirkan kerana menjadi orang ketiga di dalam rumahtangganya. Dan kini dia ingin memisahkan kami. Mengapa? Apa dosaku padanya?
Mengapa sekejam ini tindakannya terhadap diriku? Ketika diceraikan melalui sepucuk surat dua tahun lalu, aku masih lagi boleh menahan sabar walaupun kecewaku saat itu bagaikan separuh mati kurasakan. Tapi kini, mendengar kenyataan Mak Ngah sebentar tadi, nafasku bagaikan tersekat di kerongkong, tubuhku terasa bagaikan dicincang lumat. Bagaikan gelap dunia aku rasakan saat ini.
“Kenapa Mak Ngah...? Apa salah Unie padanya Mak Ngah? Sampai macam tu sekali bencinya dia pada Unie? Apa yang Unie dah buat?” pecah lagi tangisku di hadapan Mak Ngah. Kali ini aku tidak mampu untuk berselindung lagi. Pertanyaaku kini terus menjurus kepada persoalan yang cuba kami hindari tadi.
“Selama kat sana... Unie tak pernah sekalipun sakitkan hatinya. Masa nak pergi dulu pun Unie dah minta izin dari dia. Memang Unie tahu dia tak suka Unie pergi,” kataku dalam tangisku.
Mak Ngah diam tidak bersuara. Dia turut sama mengetap bibirnya. Turut sama menahan tangisnya. Menyebabkan makin hiba lagi perasaanku. Melihatkan dia diam, aku menyambung bicara.
“Unie langsung tak sangka yang dia akan marah Unie sampai macam tu sekali. Masa mula-mula pergi... dia ok... bila Unie telefon dia jawab elok aje. Siap beritahu Unie yang dia rindukan Unie. Tapi... tiba-tiba aje dia diam, tak nak cakap dengan Unie, tak nak jawab panggilan Unie. Tanpa sebab dia ceraikan Unie. Bila tanya Kak Reen, lain pula katanya. dia kata sebenarnya Abang Izwan bukannya suka pada Unie. Mereka cuma nakkan Sarah aje. Sebab tu dia ceraikan Unie,”  aku meratap lagi.
Mak Ngah memelukku erat. Dia turut sama menangis bersamaku.
“Mak Ngah tak tau Unie, dah puas Mak Ngah tanya Kak Reen. Dia cakap dia pun tak tahu  apa-apa....  Yang tahu cuma Izwan. Tak pernah sekalipun dia ceritakan apa yang berlaku masa dia ke sana dulu...,” ucap Mak Ngah. Jejarinya mengusap airmata di pipi ini. Kemudian dia mengusap pula airmata di pipinya yang turun laju bak air sungai yang mengalir deras.
Timbul rasa hairan di hatiku saat mendengarkan kat-kata Mak Ngah. Abang Izwan pernah ke sana? Bila? Mengapa aku tidak tahu tentang itu?
“Apa maksud Mak Ngah? Abang Wan pernah ke sana? Bila? Unie tak tahupun?” ku ulangi pertanyaan yang mula mengasak di mindaku.
“Masa tu, lepas lebih kurang enam bulan Unie pergi, dia ke sana. Dia memang tak bagi kami beritahu Unie. Katanya nak bagi kejutan pada Unie. Sebulan dia ambil cuti untuk bersama Unie. Dia kata masa tu Unie pun cuti semester. Mulanya dia nak bawa Sarah sekali. Tapi kebetulan masa tu Sarah kena demam campak. Jadi dia terpaksa pergi sendiri,” uapnya panjang lebar.
“Unie tak jumpa pun dia Mak Ngah. Bila dia pergi? Kenapa tak jumpa pun dengan Unie?” tanyaku penuh hairan.
“Ha... dia pergi. Tapi, tak sampai seminggu dia balik semula. Sikapnya berubah terus. Dia jadi pendiam. Lama juga dia macam tu. Sarah pun dia tak hiraukan masa tu. Dan... akhirnya dia beritahu kami dia dah ceraikan Unie. Adalah, dekat tiga bulan lepas dia ke sana. Dia siap lafazkan depan Mak Ngah. Siap minta Pak Long kau jadi saksi dia. Kami sendiri pun tak tau apa yang berlaku semasa dia kat sana. Cuma dia asyik ulang..., cakap Unie dah curang padanya...,”
Hampir pengsan aku mendengarkan kata-kata Mak Ngah itu. Terasa  lemah dan longlai tubuhku mendengarkan kata-kata Mak Ngah. Selama  ini aku tidak pernah tahu yang dia pernah ke sana. Langsung tidak pernah diberitahu tentang kehadirannya. Apa yang berlaku sebenarnya sehinggakan dia bertindak begini? Curang? Apa maksudnya aku curang padanya? Tidak pernah sesekalipun dalam hidup ini aku melakukan itu. Malah, kehidupan yang maha mencabar saat jauh darinya membuatkan aku lebih tabah melawan pelbagai godaan yang datang melanda.
Memang aku akui bukan tiada yang cuba menggodaku semasa di sana. Seawal bulan pertama aku di sana, hatiku sudah mula disapa oleh lelaki-lelaki penggoda yang ingin mengambil kesempatan ke atas jarak yang memisahkan kami. Masih aku ingati lagi sikap Rosyam, teman sekuliah yang pernah memujuk rayu supaya kami menjalani hubungan sulit di sana. Pernah dia berkata padaku bahawa aktiviti kami di sana pastinya tidak akan dapat dihidu oleh Abang Izwan dan juga isterinya.

Aku nekad ketika itu menjauhi dirinya. Cukup rimas aku dengan sikap gatal lelaki itu. Lantas aku meminta beberapa orang sahabat supaya menasihatinya. Namun, dia masih meneruskan sikap gatalnya terhadapku.Akhirnya bila aku sudah tidak tahan lagi dengan sikapnya itu, aku  dengan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa kampus. Dia kemudiannya dipanggil untuk diberikan nasihat.

Sehinggalah peristiwa dia memalukan dirinya sendiri, dengan memasukki bilik tidurku di rumah sewaku. Nasib baiklah ketika itu aku tiada di bilik. Perbuatannya itu rupanya ada yang memerhatikan dan menyampaikannya ke padaku. Lantas aku membuat laporan lagi. Akhirnya dia dipanggil dan diberi amaran akan digantung pengajian atas alasan disyakki cuba mengganggu ketenteraman individu. Selepas itu dia tidak lagi mengganggu ku. Aku bagaikan bebas dari gangguannya selepas itu. Mungkin dia tahu, dia telah bertemu buku dengan ruas.
Memang aku akui bukan tiada yang cuba menggodaku semasa di sana. Seawal bulan pertama aku di sana, hatiku sudah mula disapa oleh lelaki-lelaki penggoda yang ingin mengambil kesempatan ke atas jarak yang memisahkan kami. Masih aku ingati lagi sikap Rosyam, teman sekuliah yang pernah memujuk rayu supaya kami menjalani hubungan sulit di sana. Pernah dia berkata padaku bahawa aktiviti kami di sana pastinya tidak akan dapat dihidu oleh Abang Izwan dan juga isterinya.
Aku nekad ketika itu menjauhi dirinya. Cukup rimas aku dengan sikap gatal lelaki itu. Lantas aku meminta beberapa orang sahabat supaya menasihatinya. Namun, dia masih meneruskan sikap gatalnya terhadapku. Sehinggalah peristiwa dia memalukan dirinya sendiri, dengan memasukki bilik tidurku di rumah sewaku. Nasib baiklah ketika itu aku tiada di bilik. Perbuatannya itu rupanya ada yang memerhatikan dan menyampaikannya ke padaku. Dia kemudiannya dipanggil untuk diberikan nasihat. Akhirnya bila aku sudah tidak tahan lagi dengan sikapnya itu, aku  dengan segera membuat laporan kepada pihak berkuasa kampus. Dia dipanggil dan diberi amaran akan digantung pengajian atas alasan disyakki cuba mengganggu ketenteraman individu. Selepas itu dia tidak lagi mengganggu ku. Aku bagaikan bebas dari gangguannya selepas itu. Mungkin dia tahu, dia telah bertemu buku dengan ruas.    
Peristiwa yang berlaku seawal lima bulan pertama aku di sana, tidak pernah aku ceritakan kepada Abang Izwan. Aku tidak ingin dia risau dengan keadaanku di sana. Dia pasti marah dan cemburu lantas bertindak memaksa supaya aku pulang segera. Pastinya dia akan melakukan sesuatu supaya aku terpaksa pulang dan meneruskan pengajianku di Malaysia. Sedangkan aku tidak mahu itu berlaku. Aku hanya ingin meneruskan dan menamatkan pengajianku dan kembali ke Malaysia secepat mungkin. Sehingga kini aku masih menganggap peristiwa itu cumalah satu rentetan sejarah yang langsung tidak memberi apa-apa makna dalam hidupku.



********
Untuk pembaca sekelian, 
satu lagi bab dalam SYKT yang amat susah untuk Kak Laila buat. Harap dikomen supaya jika ada kesilapan, Kak Laila boleh perbaiki.  Kak Laila perlukan sangat komen dari semua. Thanks kerana membaca

5 comments:

keSENGALan teserlah.. said...

aaaa..ntah2 si rosyam tu buat cerita sbb nk bls dendam.
tak pun,masa rosyam pecah masuk tu,izwan nampak..
walaaweyhh...

along said...

sian kt unie....saya pun rasa mcm si rosyam tu je buat fitnah...mana tau izwan terjzumpa dia ke semasa ke sana.....si izwan ni pun satu...cemburu sgt x kan x percaya kt unie....anyway hope sgt izwan dan umie rujuk balik ke...demi sarah...dia org sweet couple le....nak le happy ending...x larat dah nagis srg2,,smpai hubby saya tu naik hairan..hehehe cite kak laila mmg best.....suke sgt izwan dan unie....

IVORYGINGER said...

akak kenapa ceta kat part 8 xsambung bg abis dl.
xbest la skip camni. ceta dl kisah awl pkahwinan unie smpai dia dpt ank n sambung pengajian.
tetiba muncul part ni rs ceta cam tskip jauh sgt btahun. akak harus ikt flow masa. tu ja leh suggest. hope akak xmarah ya sy komen lagu ni. sy suka ceta ni kisah sal isteri kedua jarang org nk tulis ceta camni. sbb takut pembaca xsuka. but reality khidupan ada kisah ni. so pembaca kena lah open. cuba lak rs perasaan isteri kedua. xsemua isteri kedua tu perampas. jgn hukum lagu tu. mgkin ksilapan or sikap isteri pertama jgk yg bt laki kahwin lain. so kena fikir kemungkinan tu. ;D

laila hanni said...

ivory,

akak kononnya nak buat sikit pembaharuan. nak bagi hint sikit ttg apa yang berlaku. kononnya dia flash back and then balik semula ke masa kini. then flash back semula.

mungkin cara ni kurang sesuai kalau hantar bab by bab mcm ni. tapi bila dah hantar banyak2 dan pembaca baca secara keseluruhan, mungkin nampak dgn lebih jelas. OK, nanti aka cuba hantar lebih sikit supaya pembaca semua boleh nilai dengan lebih baik.

flash back ni akan berlangsung hingga bab 22 tau. then yang the rest barulah cirita tu pasal kisah hari ini Unie, dia jumpa somebody else, konflik dia dengan Izwan dan K Reen dan sebagainya.

Chenta Eyfa Latieyfa said...

wah ni mesti sbb rosyam..abg izwan ceraikan unie nih..x sabar nak baca episod seterusnye..gud job kak laila

Post a Comment

Popular Posts