Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 8
Sambil menunggu teman-temannya beredar, tangan Abang Izwan meraih jari-jemariku, mengenggam erat tanganku. Setelah mereka pergi, aku membisikkan tentang solatnya yang belum tertunai. Abang Izwan lantas menarik tanganku. Terkocoh-kocoh kaki ku melangkah  untuk menuruti langkahnya. Sambil melalui tetamu yang memerhatikan kami, Abang Izwan menghadiahkan senyum kepada mereka. Ada yang senyum kembali dan ada juga yang memandang kami dengan pandangan sinis. Perlakuan polos Abang Izwan nampaknya tidak begitu disenangi oleh semua. Terutamanya emak mertuaku yang memandang kami dengan wajah yang tidak senang.
Begitulah adanya bila perlakuan ini berlaku antara suamiku dengan aku, seorang isteri kedua. Aku pasti,  jika ini berlaku antara Abang Izwan dan Kak Reen di hari pernikahan mereka, yang melihat pasti akan tersenyum gembira. Turut sama bahagia bersama dengan kebahagian yang dirasakan oleh pasangan yang baru bernikah. Ah... beginilah hakikat kehidupan. Yang kedua sering dianggap buruk, jahat dan perampas. Tidak ada yang sanggup menyelami hatiku yang terus-terusan resah kerana tersepit dalam keadaan ini.
Setiba di bilik, Abang Izwan terus menarikku untuk bersamanya. Belum sempat pintu bilik ditutup rapat dia terus menolak tubuhku ke pintu. Merapatkan tubuhnya pada tubuhku hinggakan tidak ada sedikit pun ruang kosong antara tubuh kami. Debaran yang mengocak tangkai hati bercampur baur dengan rasa bahagia bila dibuat semesra itu. Perlahan sekali wajahnya dirapatkan ke wajahku. Hela nafasnya yang lembut menampar ke wajahku perlahan-lahan membawa senyum malu di bibirku. Lantas, tanpa sempat berkata apa-apa aku tenggelam dalam cumbuannya. Lupa aku seketika dengan dengan keresahanku sebentar tadi. Lupa juga dengan keadaannya yang belum bersolat.
“Abang cinta ... sayang.... rindu... pada Unie,” bisiknya selepas seketika.
Aku yang masih lelah dan sesak nafas dengan perlakuannya sebentar tadi hanya mampu senyum malu. Terasa panas wajahku saat itu dek kata-katanya. Bahagia menyelubungi segenap jiwaku kerana dilayan dengan penuh kasih sayang oleh suami sendiri. Lantas dengan teragak-agak, jejariku menyentuh lembut di pipinya. Ah, sungguh syahdu perasaan itu. Di saat ini hanya dia yang mampu membuatkan aku rasa bahagia. Hanya ketika bersamanya begini, resahku bisa hilang. Walaupun hanya seketika waktu.
“Maaf dengan sikap mak dan adik-adik abang pada Unie, ye? Nanti, esok kita balik ke rumah kita. Tapi malam ni, kita terpaksa tidur kat sini. Nanti kecil pulak hati mak abang. Dia dah siapkan bilik ni untuk kita. Boleh kan?”
Aku hanya menganggukkan kepalaku. Apa daya yang aku ada. Kehadiran yang tidak diinginkan ini tidak boleh aku jadikan alasan untuk tidak menghormati emak mertuaku. Sebagai anak, aku perlu mentaatinya seperti aku taat kepada emakku sendiri. Wajib aku melakukan itu untuk menyenangkan hati suami.
“Satu malam saja ye? Lepas tu, malam lain, kita berdua aje. Tak akan ada gangguan lagi,” bisiknya sambil merapatkan wajah kami sehingga dahinya menyentuh ke dahiku. Kemudian dia memelukku erat-erat. Aku mengeluh perlahan dan membalas pelukannya. Mendengarkan keluhan itu dia melonggarkan kembali pelukan. Merenung ke dalam mataku.
“Unie mengeluh?”
Aku senyum malu melihatkan kekeliruannya bila mendengarkan keluhanku itu. Mungkin dia menyangka aku mengeluh kerana terpaksa tidur di sini malam ini dan berdepan dengan  keluarganya  yang bersikap acuh tak acuh denganku.
“Unie rasa gembira sangat. Bila dengan abang, Unie tak kisah kat mana kita berada,” ucapku dengan lembut sekali. Mataku aku larikan dari menatap wajahnya. Dia tertawa bahagia. Perilaku luar sedarku itu  rupa-rupanya menggoda dan mengocak naluri lelakinya. Lantas dia dengan pantas sekali mengangkat dan mengendongku ke katil. Perlakuan yang cukup membahagiakan itu aku sambut dengan ketawa kecil. Tiba di katil dia perlahan sekali meletakkan aku di situ. Mula mengambil tempat di sebelahku. Cuba mencium bibirku. Tapi, pantas sekali aku meletakkan jariku di bibirnya.
“Solat....,” bisikku manja.
“Ahhh... ,” keluhnya sambil matanya memandang ke atas. 

****

“Pinggan ni kalau tak dilap sampai betul-betul kering nanti bila simpan hapak baunya. Hah lap elok-elok,”
Suara emak mertuaku bagaikan sembilu menusuk ke hati. Kedengarannya seperti cukup benci dia dengan kehadiran aku di sini. Semua yang aku lakukan untuk membantu, ada saja yang tidak kena. Ketika menyendukkan nasi untuk Abang Izwan sebelum makan malam tadi, aku ditegur kerana tidak merapikan nasi di dalam pinggan itu. Ketika membasuh pinggan pula aku ditegur kerana membuka paip air terlalu kuat sehinggakan terpercik air ke lantai berhampiran sinki. Dan kini, sehinggalah kerja sekecil ini pun dia masih lagi ingin  memberikan komen yang sungguh memalukan sebegini. Bukannya aku tidak tahu cara untuk mengelap pinggan.
“Baik mak,” hanya kata-kata itu sahaja yang keluar dari bibirku.
Ingin sekali rasanya aku melemparkan kain tuala kecil di tanganku lantas berlalu ke bilik untuk menunjukkan protes. Kalaulah aku mampu melakukan sebegitu, pastinya aku kini sudah berada di bilik, membawa rajuk di hati. Tapi, naluri itu  terpaksa aku simpan saja di sudut hati ini. Mana mungkin aku bisa lakukan sebegitu? Aku tidak sepatutnya mencetuskan ketegangan antara kami. Tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan perasaan sedihku. Dia orang tua, maka perlulah aku menjaga hatinya. Malah aku pasti, itulah yang Abang Izwan ingin aku lakukan. Terus menjaga dan mengambil hati tua itu meskipun aku sendiri makan hati berulam jantung.
Perilaku itu hanya diperhatikan Abang Izwan dari meja makan. Dia juga tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ketika mata kami bertentangan, renungannya seolah-olah meminta pengertian dariku. Saat itu terasa ada air yang bergenang di tubir mata. Lantas aku seka perlahan. Cuba menyembunyikan perasaan hiba yang tiba-tiba merenggut tangkai hati ini. Selesai mengemas serba sedikit ruang dapur yang ternyata masih bersepah dengan peralatan kenduri tengahari tadi, aku terus masuk ke bilik. Penat sekali terasa tubuhku ini.
Sememangnya ingin sekali aku terus berada di kalangan semua ahli keluarga ini. Berbual mesra dan berkenalan antara satu sama lain. Tetapi, aku tidak mampu untuk melakukan begitu. Bila aku merapati mereka, semua kelihatan seperti bungkam. Suasana yang mulanya mesra, jadi bisu tiba-tiba. Mereka seakan-akan tidak mahu aku berada di kalangan mereka. Mungkin merasa serba-salah untuk menerima diriku. Mungkin bimbang kalau-kalau penerimaan mereka terhadapku akan menyebabkan hati Kak Reen tersinggung.
Aku tidak mampu untuk menyembunyikan perasaan sedihku setiap kali diperlakukan sebegitu. Lantas, untuk apa aku terhegeh-hegeh duduk bersama mereka. Lebih baik aku mendiamkan diri di bilik. Sikapku  itu rupa-rupanya mendatangkan rasa tidak puas hati emak terhadapku. Dari dalam bilik jelas sekali kedengaran suaranya mengomel, menyesali sikapku yang terus terperap di bilik.
“Hah, bukannya nak duk kat luar ni... kenal-kenal dengan keluarga kita. Asyik nak terperap aje kat bilik. Sombong...,” kedengaran suara rungutan emak mertuaku.
Sungguh... sungguh aku berkecil hati mendengarkan kata-kata sinisnya itu.
“Alah... dia letih tu... biarlah dia berehat... Dia duduk kat luar ni pun bukannya awak layan dia bercakap. Sepatah dia bertanya, sepatah awak menjawab. Tak nak bermesra langsung dengan anak menantu...,” kedengaran pula suara ayah mertuaku menyindirnya. Terasa sedikit lega di hati. Sekurang-kurangnya ada juga yang tidak menolak kehadiranku di rumah ini.
“Ah... nak bermesra. Macamana nak bermesra, kalau nak terima dia pun saya tak sudi. Abang tau tak macamana sedihnya Reen tu, Izwan buat dia macam ni. Kalau ikutkan hati, memang saya tak nak pun buat kenduri ni. Anak sulung awak tulah. Ambil apa-apa keputusan, tak adanya nak tanya pun pendapat kita ni...,”
“Jangan cakap macam tu Ramlah..., bukan ke saya dah cakap, Izwan tu ada bincang dengan saya tentang hal ni.  Saya yang tak bagi dia tanya pendapat awak. Kalau dia tanya, awak mesti tak bagi dia kahwin dengan Munirah tu. Kan dia dah cakap, dia nak kan anak. Reen mana boleh bagi dia anak...,”
“Hah... yelah awak tu.... sama aje dengan Izwan. Kalau dah lelaki tu, lelakilah juga.... Suka ambil kesempatan dengan kekurangan perempuan. Dahlah... malaslah saya nak layan cakap awak tu...”
Suasana di luar bilik kembali sepi. Aku mengetap bibir menahan airmata yang mula menitis. Tidakkan mereka sedar perbualan mereka ini boleh aku dengari dari dalam bilik? Atau mungkinkah emak sengaja berbicara sekuat itu untuk menyedarkan kedudukanku di matanya?
Tangisanku masih lagi bersisa ketika Abang Izwan masuk ke bilik untuk beradu. Demi terpandangkan dia, aku terus tak mampu untuk menahan perasaan. Lantas aku tenggalam dalam dakapannya dengan tangisan yang tidak mampu untuk aku bendung. Dia yang pada mulanya terpegun dengan keadaanku, akhirnya hanya mampu mengusap lembut belakangku. Mungkin mula mengerti apa yang menyebabkan perasaanku terusik. Tanpa sepatah kata dia memelukku erat. Membawa aku berbaring di katil. Mencium mesra di segenap ruang wajahku. Dan seperti semalam, dia bagaikan tahu apa yang perlu dilakukannya untuk merawat resahku. Membuatkan aku hanyut dalam dakapannya, lena dalam pelukannya dan lupa seketika akan perasaan duka yang menghambat di hatiku.

****

Pintu utama rumah kami dibuka perlahan. Senyum di bibir Abang Izwan semakin mekar. Sebelum sempat aku melangkah masuk, dia memaut erat lenganku. Seolah-olah menghalang aku masuk ke dalam rumah. Perlakuannya itu mengundang seribu persoalan di hatiku. Mengapa dia membawaku pulang ke mari jika tidak mahu membenarkan aku masuk ke dalam rumahnya?
“Itu bukan caranya abang akan benarkan isteri tersayang pertama kali masuk ke rumah,” bisiknya ke telingaku.
Aku memandang ke wajahnya dengan penuh tandatanya. Demi terpandang riak menggoda di matanya aku jadi lemah lagi. Membahang panas rasanya di pipiku saat itu. Perlahan-lahan riak di wajahnya aku fahami. Lantas aku menggelengkan kepalaku. Meminta dia tidak melakukan apa yang ingin dilakukannya saat itu. Tolonglah... janganlah dia buat begitu di depan khalayak ramai begini. Jiran kami yang kebetulan sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya ketika kami mula-mula tiba tadi masih lagi tercegat di depan pintu pagar rumahnya. Selepas bertanya khabar dan berkenalan tadi, dia masih berdiri di situ sementara kami masuk ke rumah. Senyum kelihatan terukir di bibirnya menyaksikan kemesraan kami.
Tangan Abang Izwan yang mula merayap di tubuhku aku pegang. Tidak mahu kami dijadikan bahan bualan jiran-jiran sekeliling pula nanti jika ada yang menyaksikan sesuatu yang sepatutnya tidak kami dedahkan pada orang lain. Dia tertawa perlahan melihatkan keresahanku bila diperlakukan begitu. Mengerti dengan permintaanku itu, dia akhirnya melangkah masuk ke dalam rumah sambil menarik tanganku. Aku bergerak perlahan menuruti langkahnya, memasuki ruang tamu rumah teres setingkat itu dengan rasa lega. Nasib baik dia tidak meneruskan niatnya tadi. Namun setelah masuk ke dalam rumah, tiba-tiba dia memelukku erat.  Bagaikan hampir luruh jantungku saat itu dek rasa terkejut dan malu dengan perlakuannya itu.
“Selamat datang ke... rumah kita... dunia kita....,” bisiknya perlahan.
Lantas bibirnya singgah di bibirku, membawa debar di hati yang bukan sedikit. Hanyut aku seketika dalam cumbuannya. Longlai terasa lututku diperlakukan sebegitu. Ah, indahnya perasaan ini. Mungkin beginilah rasanya setiap insan yang baru mengenal alam berumahtangga. Semuanya indah dan membahagiakan. Bagaikan tiada apa-apa yang boleh memisahkan antara kami. Bagaikan dunia ini milik kami, bak kata P Ramlee dalam lagunya, “Seperti..., dunia..., ana yang empunya...,”. Namun, hakikatnya..... tak mampu untuk aku hindari.
Hakikat itulah yang tiba-tiba menyedarkan aku dari lenaku. Perlahan aku menolak tubuhnya, lantas meleraikan dakapan mesra sebentar tadi. Dengan perasaan malu yang masih bersisa aku menatap lembut ke dalam matanya. Ya, jelas sekali tergambar rasa bahagianya di mata itu. Menyebabkan untuk seketika waktu, ingin sekali aku buang jauh rasa gundahku. Kalaulah aku mampu berbuat begitu, pastinya aku turut merasa cukup bahagia saat itu.
“Bang...,” bisikku.
“Hemm...,”
“Abang dah....,” Ah, aku teragak-agak lagi. Marahkah dia jika aku luahkan perasaanku, gundahku dan resahku?
“Dah apa Unie ... nak masuk bilik? Kalau nak, tunggu sekejap ye, abang angkat barang dan kunci kereta. Abang pun dah tak sabar ni....,” usiknya.
Lantas jejariku mengetip di lengannya. Membawa jerit kesakitan ke bibirnya. Bercampur baur dengan gelak tawanya. Aku hanya mampu tersenyum. Ada sesuatu yang belum selesai antara kami. Sesuatu yang perlu aku ingatkan padanya. Agar dia jangan terlalu leka dengan kebahagiaan ini. Biar dia ingat bahawa di luar sana ada hati yang sedang terluka, yang pastinya sedang menanti kehadirannya di sisi.
“Abang dah telefon ... Kak Reen?” aku bertanya perlahan.
Mataku melatari wajahnya. Menanti reaksinya dengan pertanyaanku sebentar tadi. Marahkah dia bila aku mengingatkannya kepada hakikat itu? Dia mengetap bibirnya sambil mengeluh perlahan. Ada riak kesal dengan pertanyaanku itu. Lantas dia meleraikan pelukannya lalu duduk di sofa dan meraup mukanya. Aku menurutinya lalu duduk di sebelahnya. Jejarinya aku gapai dan ku genggam erat. Kepalaku aku lentokkan kebahunya, ingin memujuk hatinya.
“Kenapa Unie tanya soalan macam tu? Tak boleh ke untuk sehari dua ni kita lupakan dia? Abang nak kecap rasa bahagia ni  tanpa ingatkan dia..,” katanya perlahan.
“Bang... tak baik macam tu. Dia mesti tengah sedih sekarang. Kalau abang call dia mungkin terubat sikit sedih dia tu, at least dia tahu yang abang pun tengah ingatkan dia...,”
“Unie..., Unie taukan yang hak seorang isteri kedua ialah selama tujuh hari selepas menikah. Lepas tu barulah abang akan gilir-gilir ikut giliran masing-masing,”
“Bukannya Unie nak suruh abang balik ke rumah Kak Reen. Cuma minta abang telefon dia aje. Tunjukkan yang abang tak lupakan dia masa abang tengah gembira macam ni,”
“Walaupun hakikatnya abang memang hampir lupakan dia masa-masa macam ni? Masa yang sepatutnya abang hanya untuk Unie aje...,”
“Tak baik abang kata macam tu... kalau bukan sebab Kak Reen, tentu hubungan kita ni tak adakan? Kalau bukan sebab dia beria-ia paksa Unie kahwin dengan abang, tentunya abang tak dapat Unie kan?”
Matanya buntang memandang ke dalam mataku. Kerut di dahinya menandakan dia tidak suka aku berkata begitu. Marahkah dia?
“Jangan kata macam tu. Hubungan antara kita ni, bukan sebab dia. Ini jodoh kita... yang Allah dah tentukan sejak lama dulu,”
Tegas sekali kedengaran suaranya mengingatkan aku dengan hakikat itu. Ya, jodohku. Begini yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kami. Aku akur dengan kata-katanya itu. Aku memeluk lengannya. Lantas ku kucup lembut jejarinya yang masih dalam genggamanku sejak dari tadi. Perlahan-lahan aku mengambil telefon bimbitnya yang terletak di dalam poket baju kemejanya. Lantas aku hulurkan kepadanya.
“Tak apalah... Memang dah jodoh kita. Tapi, sekarang, Unie nak abang call dia, tanyakan khabar ye?” kataku dengan nada merayu.
Dia memandangku seketika. Aku suakan kembali telefon bimbitnya. Meletakkan telefon itu ke dalam tangannya yang ku genggam erat sebentar tadi. Mengangguk sekali lagi untuk menunjukkan kesungguhanku. Akhirnya dia akur. Menekan punat di telefon dan meletakkannya di telinganya. Mata kami masih terus bertatapan.
“Helo...,”
Aku lantas mencium pipinya dan bangun meninggalkannya untuk berbicara dengan Kak Reen. Tidak mahu mengganggu mereka. Terasa sedikit terkilan di hati kerana terpaksa membiarkan dia berbicara dengan sidia. Siapa kata aku tidak cemburu. Aku bukanlah manusia sempurna yang tidak merasakan cemburu bila terpaksa membiarkan suaminya membahagikan cinta. Isteri mana yang tidak merasakan begitu? Tapi apa dayaku. Dia bukan milikku seorang dan aku terpaksa pasrah dengan hakikat sebegitu. 
Aku menyibukkan diriku sepanjang waktu mereka berbicara. Mengangkat beg-beg kecil dan beberapa bahan-bahan yang kami beli sebelum tiba di rumah ini tadi dari bonet kereta. Barang-barang yang lebih besar aku tinggalkan untuk diangkat oleh Abang Izwan nanti. Aku kemudiannya terus menjenguk ke dalam ketiga-tiga bilik tidur. Dua darinya telah dilengkapi dengan bilik mandi dan katil. Manakala yang satu lagi sesuai untuk dijadikan stor buat sementara waktu ini. Selepas itu aku ke dapur untuk melihat keadaan di situ. Rumah ini disewa dengan kelengkapan asasnya sekali. Cukup selesa kelengkapannya untuk kegunaan kami berdua. Ruang dapur juga dilengkapi dengan peti sejuk, dapur, kabinet dan meja makan kecil.
Cepat-cepat aku keluarkan kelengkapan memasak yang kami beli tadi. Tiga biji periuk, sebiji kuali, beberapa biji besen plastik, pisau dan alat-alat memasak yang lain. Semuanya kami beli serba sedikit untuk memenuhi keperluan aku di dapur. Teringat ketika Kak Reen dan adik-adiknya berkahwin sebelum ini. Apabila mereka mula berpindah ke rumah masing-masing, Mak Ngahlah yang paling sibuk mempastikan semua kelengkapan rumahtangga mereka disediakan. Tapi kini, aku.... terpaksa melakukannya sendiri.
Perasaan sebak kembali cuba berpaut pada hati. Lantas aku menarik nafas panjang. Membuang segala perasaan itu. Aku ingin kuat menghadapi segalanya. Bukankah aku sendiri yang menerima permintaan Kak Reen. Kalaulah aku tahu begini rasanya disisihkan keluarga, pasti aku tidak menerimanya. Tapi apalah dayaku kini. Buang emak, buang saudara... kerana kasihku untuk Kak Reen, aku turutkan segalanya. Abang Izwan, semuga kau menghargainya.
Aku tidak akan biarkan perasaan ini terjeruk lagi hanya kerana meratapi nasib diri. Di hadapanku ada banyak lagi ranjau yang terbentang. Aku perlu kuat untuk menghadapi segalanya. Untuk memenuhi kehendak semua orang. Abang Izwan, Kak Reen, Mak Ngah dan yang lain-lainnya. Semuga perkahwinan ini membuahkan hasil seperti yang diinginkan oleh semua orang. Abang Izwan dengan cintanya, Kak Reen dan Mak Ngah dengan keinginan mereka untuk mendapatkan zuriat dan aku....? Ah.... untuk apa perkahwinan ini padaku? Untuk cinta? Atau hanya untuk memenuhi kehendak manusia-manusia lain? Ah... aku sendiri keliru...., keliru dengan tekad yang aku bina itu.
Ah... biarlah. Biarlah apa jua tujuanku membina hubungan ini. Yang pastinya aku ingin membahagiakan semua orang. Membahagiakan Abang Izwan dengan cintanya dan Kak Reen dengan harapannya. Dan mungkin juga membahagiakan diri ini yang sejak dulu ketandusan kasih sayang.  Dengan  tekad baru aku mula mengeluarkan bahan-bahan memasak yang kami beli tadi. Ketika membeli belah sebentar tadi, Abang Izwan meminta aku memasak juadah tengahari kami hari ini. Ingin merasa air tangan isterinya ini katanya.
Sedang asyik aku memasak, terasa dua tangan memaut pinggangku, lantas memelukku dari belakang. Siapa lagi kalau bukan dia, suamiku. Sebuah kucupan hinggap di belakang leherku yang terdedah. Seperti biasa jika aku sedang memasak, rambutku yang panjang ke paras pinggang akan aku sanggul tinggi di kepala. Bau cologne yang digunakannya menusuk terus ke hidungku. Aku menarik nafas dalam-dalam, menikmati perasaan indah itu. Senyum terukir di bibir, cuba untuk menampakkan rasa bahagia.
“Kak Reen kirim salam. Dia doakan kita bahagia,” bisiknya di telingaku.
Aku senyum lagi. Insyaallah dengan berkat doa Kak Reen aku akan cuba bahagiakan kami. Aku, Abang Izwan dan Kak Reen. 
******
Untuk pembaca semua,
Selamat Hari Raya Aidil Adha Kak Laila ucapkan.
Dimana juga semua berada, semuga pengorbanan kita selama ini diberkati Allah..




2 comments:

IVORYGINGER said...

Salam Aidiladha too.

Best la ceta ni wlaupun sedih.
Sgt tsentuh dihati dgn pengorbanan Unie demi kebahagiaan smua org tp xde sapa hargainya. huhuhu...

Anonymous said...

saya suka cara Akak mengolah cerita ni best sgt hingga dpt rasa pergolahan perasaan unie..

Post a Comment

Popular Posts