Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 29
Sungguh aku amat bersyukur atas pelawaannya untuk kami bersarapan pagi terlebih dahulu. Memang sungguh-sungguh aku lapar ketika ini. Kali terakhir aku makan adalah pada waktu makan tengahari semalam. Di waktu malamnya aku cuma makan sebiji epal dengan segelas susu. Manakala pagi ini pula aku cuma sempat minum segelas minuman bijirin.
Sememangnya itulah juadah sarapan pagiku setiap hari. Seawal jam tujuh pagi aku sudah berada dalam kereta untuk memulakan perjalananku ke UPM. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lima belas minit, selalunya berlanjutan sehingga setengah jam. Ada ketika, ia mengambil masa 45 minit hanya untuk sampai ke pajabatku. Ini  semua gara-gara kesesakan lalu lintas di kawasan Seri Kembangan.
Umar Rafiki membawa kami ke sebuah restoren mamak. Hai... bagaikan tahu-tahu saja yang saat ini terasa ingin sekali aku makan tosei, sejenis makanan bangsa india yang amat popular. Sebaik sahaja pelayan datang mengambil pesanan, aku terus sahaja memesan makanan itu.
Kak Madihah, Kak Sufiah dan Ellen bangun dan bergerak  ke kaunter. Masing-masing teruja untuk melihat apa makanan yang terhidang di kaunter untuk dipilih oleh pelanggan. Umar Rafiki pula entah ke mana, mungkin masih di keretanya kerana ketika tiba sebentar tadi telefon bimbitnya berdering mintakan perhatian darinya.
Sedang aku asyik memberikan perhatianku kepada  rancangan Malaysia Hari Ini siaran  TV3 di televisyen yang terpasang di restoren tersebut, dia mengambil tempat betul-betul di hadapanku. Terus hatiku jadi berdebar kembali. Mengapakah setiap kali dia hadir di sisi, perasaan ini yang bertandang di hati? Apa yang ada pada dirinya sehinggakan aku jadi begini? Mengapa aku tidak mampu untuk berlagak seperti biasa? Acuh tidak acuh sahaja seperti yang aku lakukan  bila ada yang datang mengetuk pintu hati ini?
Bagaikan gadis remaja yang pertama kali mengenal cinta, aku jadi gugup, tidak mampu bersuara. Munirah, kau seorang wanita berusia 28 tahun. Tidak sepatutnya engkau bersikap seperti gadis remaja berusia 18 tahun..., getus hatiku mengingatkan keadaan diri ini.
Aku menarik nafas panjang-panjang dan perlahan-lahan mengalih pandanganku kepadanya. Cuba memberanikan diri untuk berhadapan dengannya. Ah... matanya seperti tadi, masih tertancap di wajahku. Senyumannya… ah….. Dan dia mengeluh perlahan.
“Nak bercakap dengan awak pun saya macam terpaksa tertunggu-tunggu? Nampak gugup sangat, kenapa ye?”dia bersuara perlahan.
Terasa berderau darahku dengan kata-kata yang polos dan bersahaja itu. Sungguh lelaki ini seorang yang cukup berterus terang dengan apa yang ingin diperkatakannya. Dengan begitu mudah sekali memberikan komen-komen yang terlintas di hatinya. Mampu membuatkan hatiku sering resah untuk berhadapan dengannya.
“Mana ada... taklah... mana ada gugup,” kataku, cuba menutup perasaanku.
Dia senyum mendengarkan kata-kataku.
“Sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan betina...,”
Amboi.... bicaranya bagaikan orang dulu-dulu. Setiap butir bicara diselitkan dengan madah dan kiasan. Kata-kata yang membuatkan aku tersenyum sendiri. Dia juga diam, memerhatikan aku yang terdiam tidak mampu untuk membalas kata-katanya itu. Aku kalih pandang ke arah lain. Terasa malu sendiri.
“Awak tau Unie ...? Sampai  sekarang saya masih lagi menunggu tau,”
Kata-katanya itu membuatkan aku jadi hairan. Aku kembali memandang ke wajahnya.
“Tunggu apa?”
“Tunggu Unie minta maaf,”
Aku mengerutkan dahiku sambil menggelengkan kepala tanda tidak mengerti. Dia senyum lagi.
You owe me an apologise, remember?”
Apologise? Apa... maksud awak? Apa... silap saya pada awak?” tanyaku hairan.
Ya, cukup hairan sekali dengan bicaranya itu. Apa yang dimaksudkannya? Sungguh aku tidak mengerti.
“Empat tahun dulu, bila Unie  tuduh saya ambil meja Unie kat Kenny Rogers tu?”
Kata-katanya membuatkan kenangan lalu terimbau kembali. Rasa malu dengan sikap bodohku dulu kembali menerjah di hati. Ah... mengapa dia masih mengungkit kisah dulu? Pertemuan pertama yang datang kembali menjengah ke pintu hatiku. Yang juga kini sering kali aku kenang kembali bila aku sendiri. Yang sering setiap perlakuan, tutur kata malah pandangan matanya aku kenangi semula. Dan tanpa disedari kenangan itu aku nikmati kembali keindahannya satu persatu.
“Saya masih tunggu lagi tau,” ucapnya kembali.
“Hei... tunggu apa ni Umar?” sampuk Kak Madihah tiba-tiba.
Aku berpaling pada Kak Madihah. Dia mengambil tempat di sebelahku sambil meletakkan sepinggan nasi lemak. Aku jadi malu lagi. Mungkin merah padam mukaku saat itu.
“Tunggu... bulan jatuh ke riba... ,”
“Aik... bulan jatuh ke riba?”
Umar Rafiki menangguk sambil tersenyum. Ah... mengapa terlalu polos perlakuannya itu. Sedikitpun dia tidak menyembunyikan perasaannya itu. Walaupun di hadapan orang lain. Ah... malu sungguh rasanya.
“Bulan yang mana satu ni.... yang kat depan mata tu ke?” usik Kak Madihah lagi.
Matanya meleret ke padaku. Kak Madihah ini, pertama kali bertemu dan berkenalan sudah  bisa mengusikku sebegini. Bagaimana agaknya jika sudah kenal, mesra nanti. Hai....
“Hei... cerita apa ni?” tiba-tiba Kak Sufiah pula menyampuk. Di belakangnya Ellen terjenguk-jenguk penuh minat.
“Ini hah Sufiah, Umar kita ni, dah jadi macam pungguk... menunggu bulan jatuh ke riba,”
Kak Sufiah ketawa kelucuan manakala Ellen terpinga-pinga. Mungkin tidak faham dengan gurauan kedua-dua teman yang lebih senior itu. Masing-masing bagaikan merancang kata-kata yang mengusikku. Membuatkan aku jadi terus malu.
“Unie... jangan lah jadi bulan yang tak jatuh-jatuh... Kesian akak tengok pungguk yang menunggu Unie tu,” usik Kak Madihah sambil ketawa.
Tawa yang menyebabkan tercetus pula tawa di bibir Kak Sofiah. Ellen juga turut tertawa walaupun aku pasti dia sendiri tidak mengerti apa yang diketawakannya itu. Aku jadi malu lagi. Hanya tersenyum. Itu sahaja yang aku mampu lakukan. Malu dengan gurauan itu, malu dengan keadaan itu dan malu dengan keadaan diriku.
Sepanjang waktu makan, aku cuma diam sahaja. Kekok rasanya bila setiap gerak lakuku berada dalam perhatiannya. Sesekali aku memberanikan diri untuk mengangkat muka, memandang kepadanya. Dan tiap kali dia senyum, hatiku bagaikan terubat. Terasa bahagia bila ada yang memberi perhatian begitu. Matanya, kelihatan begitu ikhlas sekali. Namun, mampukan aku menerima keikhlasan itu? Ah... tidak, bukan keikhlasan yang ada dalam mata itu.
Yang ada hanya usikan-usikan yang sama seperti yang dilakukan oleh lelaki-lelaki lain yang mengetahui statusku sebagai seorang janda. Cuba untuk mengambil kesempatan dengan keadaan diri ini. Hanya untuk bersuka-suka. Tidak ada arah tujuan sebenarnya. Lantas aku membuang jauh rasa bahagia yang bertenggek seketika di tangkai hati.
Lupakan angan-anganmu itu Munirah... lupakan. Kau ingin terluka lagi? Adakah apa yang berlaku dulu tidak cukup lagi untuk membuat kau sedar siapa dirimu itu? Hanya untuk dijadikan bahan gurauan. Hanya untuk diperalatkan. Tidak lebih dari itu. Sedarlah dirimu Munirah....
Setelah selesai bersarapan, kami bergerak semula ke kereta. Aku yang terakhir bangun meninggalkan meja makan. Sengaja aku berbuat begitu supaya aku tidak lagi perlu duduk di tempat duduk yang sama dalam MPVnya tadi. Tidak mahu lagi berada di bawah perhatiannya melalui cermin pandang belakang itu. Namun, hasrat itu terbantut pula bila Kak Sufiah dan Ellen mengambil tempat yang mereka duduki sebelum ini. Tiada pilihan lain aku terpaksa duduk di tempat yag sama, memandang ke wajah yang sama melalui cermin itu dan terus-terusan menjadi bahan renungannya. Dan bisikannya sebelum memasukki perut kereta tadi terus terngiang-ngiang di telingaku.
“Antara kita masih belum selesai ye...,”
****
Selesai makan, Umar Rafiki membawa kami ke sebuah syarikat penerbitan di Batu Caves. Banyak buku-buku ilmiah yang kami pilih di situ. Kebanyakkannya adalah buku-buku berbentuk pengetahuan am.  Ada juga beberapa buah yang merupakan buku keagamaan. Namun di syarikat ini, nampaknya terdapat kurang koleksi buku-buku ilmiah yang berkaitan dengan bidang kejuruteraan yang diikuti oleh pelajar-pelajar di fakulti kami.
Selepas itu kami dibawa pula ke syarikat penerbitan di Shah Alam. Sepanjang perjalanan itu, sedikitpun aku tidak menghiraukan perbualan rancak teman-teman lain dalam kenderaan itu. Malah aku jadi leka melayan lamunan hinggakan aku terlupa seketika dengan mata yang terus-terusan mengelus lembut biasan wajahku di cermin pandang belakang. Leka aku melayan perasaan hinggakan aku lupa pada perhatian yang diberikan oleh lelaki ini.
Ingatanku  kembali menerawang mengingati Sarah. Apa khabar anakku itu saat ini? Semalam aku tidak dapat mengunjunginya seperti biasa. Pagi-pagi lagi Kak Reen menelefonku mengatakan mereka perlu menghadiri program hari keluarga jabatan Abang Izwan di Hulu Langat. Terpaksalah aku melupakan hasratku untuk mengunjungi Sarah  seperti selalu hujung minggu itu. Dan kini rinduku terasa begitu membuak-buak pada anakku itu.
Pertemuan demi pertemuan yang kami sering lakukan secara rahsia sehingga sekarang, sering membawa seribu rasa bahagia di hati. Ada ketikanya Kak Reen sendiri yang  membawa Sarah  untuk menemuiku. Semua itu kami lakukan di luar pengatahuan Abang Izwan. Aku, malah Kak Reen masih belum mampu untuk  berterus terang pada lelaki yang hatinya penuh dengan keegoan itu.
Biarlah, setakat ni aku cukup bahagia dengan keadaan ini. Berada bersama Sarah  mampu membuatkan aku bahagia seketika. Bagaikan terasa hidup ini terisi. Tiada lagi resah dan gundah kerana keseorangan bila tiba hujung minggu. Kini aku tidak lagi sanggup untuk mengganggu Suzana supaya menemaniku di waktu-waktu begitu. Dia kini punya tanggungjawab yang lebih utama untuk dipenuhi.  Yang pastinya suatu hari nanti aku akan pastikan hakku akan dipenuhi. Jadi sehingga ke saat itu, aku akan mengambil semua peluang yang terbuka di depan mata.
Di Shah Alam, Umar Rafiki membawa kami ke syarikat penerbitan McGraw Hill. Aku jadi teruja sekali bila melihatkan begitu banyak buku-buku rujukan dalam bidang kejuruteraan yang boleh aku pilih. Kak Sufiah dan Ellen juga begitu. Setu persatu buku-buku itu aku pilih dan meletakkan ke atas sebuah meja yang disediakan di ruang pemeran buku-buku tersebut. Sedar tak sedar, sudah hampir lima puluh biji buku yang aku pilih untuk aku telitikan sebelum pemilihan dibuat.
Aku kemudiannya duduk di meja dan mula membelek buku-buku tersebut satu persatu. Mana yang aku inginkan aku asingkan dan mana yang tidak sesuai, aku letak ke tepi. Malah buku yang dicadangkan oleh teman-teman sekerja juga terdapat di situ. Lega rasanya apabila dapat memenuhi kehendak diri sendiri dan juga orang lain.
Sedang aku asyik membelek buku-buku yang bertimbun di hadapanku, Umar Rafiki perlahan-lahan mengambil tempat di sebelahku. Dia turut sama meneliti buku-buku itu. Aku sedaya mungkin cuba untuk terus menumpukan perhatiaku kepada tugas yang sepatutnya aku selesaikan. Namun, kehadirannya di sisi sesungguhnya mempu menggugat ketenangan jiwaku.
“Yang ini saya rasa sesuai,” katanya sambil menunjukkan beberapa buah buku yang tajuknya berkisar kepada penggunaan automasi dalam kejuruteraan pertanian.
Wajahnya kelihatan serius ketika ini. Tiada lagi renungan tajam yang menusuk ke kalbu. Dia kelihatan begitu profesional sekali memberikan pendapat. Aku mengambil buku di tangannya itu. Lantas aku teliti bahagian isi kandungan dan indeksnya. Ya, buku ini kelihatan menarik. Bila dibaca isi kandungannya ternyata bahasa yang digunakan juga agak mudah difahami.
“Thanks...,” ucapku sepatah sambil tersenyum kepadanya.
Dia senyum kembali. Matanya mengelus kembali ke wajahku. Perlakuan yang membuatkan aku terasa terbuai seketika. Kami berpandangan, dan saat itu aku rasakan hanya aku dan dia sahaja berada di ruang itu.  Dia mengeluh perlahan.
You know what? We  need to talk,” tiba-tiba dia bersuara.
“Maksud Encik Umar?” tanyaku selepas seketika kata-katanya itu cuba aku fahami.
See... you did it again...,”
What?”
“Rasanya macam dah berkali-kali saya beritahu ... panggil saya Rafiki,” katanya dengan suara yang sedikit tegas.
“Emmm... kenapa pula Rafiki. Kan tadi awak sendiri yang minta kami panggil awak Umar?”
“Saya nak awak panggil saya Rafiki. Lain dari orng lain,”
“Tapi, kenapa?”
“Sebab Unie istimewa pada saya. Dan.... saya juga nak jadi seseorang yang istimewa untuk Unie,” katanya dengan nada suara yang cukup romantis.
Berdebar kencang jantungku saat kata-kata itu dilafazkan. Apa maksudnya? Mengapa dia berkata begitu? Apa mahunya? Ingin menjadi seseorang yang istimewa untukku? Ah... Umar Rafiki, mengapa sering kata-katamu mengundang resah dan gundah di hati ini? Aku menggelengkan kepalaku tanda kurang faham.
“Tak faham? Susah sangat ke nak faham apa yang nak saya sampaikan ni?”
Aku menggelengkan kepalaku lagi. Terperanjat dan keliru sebenarnya.
“Saya suka Unie. Dan... saya inginkan hubungan yang lebih serius dengan Unie ,” katanya perlahan-lahan. Seolah-olah ingin menyatakan dengan jelas hasrat hatinya itu.
Aku menarik nafas panjang. Kalau tadi jantungku berdetak, bergetar di tangkainya, kali ini aku rasakan bagaikan ianya sudah jatuh berguguran. Apa yang dilakukannya ini? Menduga hatiku? Mempermainkan perasaanku? Atau cuma bergurau dengan kata-katanya yang polos itu?  Ah... keliru, sungguh aku keliru.
Dia meletakkan sikunya di meja dan memanggung tangannya di dagu. Terus-terusan merenung ke wajahku. Waktu itu aku rasa cukup gugup. Bagaikan hilang kata-kata aku hanya mampu diam sahaja. Kemana perginya teman-teman yang lain? Mengapa tinggalkan aku sendirian di sini?
“Sekarang ni tak ada privasi. Boleh tak... kalau saya nak ajak Unie keluar? Kita perlu bincangkan hal kita ni,”
Aku diam lagi. Mengalihkan pandanganku kepada buku di hadapanku.
“Maaf... saya tak sepatutnya cakap hal peribadi masa kerja macam ni kan? Tapi, saya perlu katakan apa yang ada dalam hati saya ni. Saya takut peluang macam ni tak ada lagi nanti... Unie  memang selalu nak jauhkan diri dari saya,”
“Tapi...,” jawabku setelah sekian lama membisu.
“Syy... tak perlu cakap apa-apa lagi. Fikirkan dulu. Saya akan tuntut jawapannya nanti,”

11 comments:

Eijan said...

harap2 unie realise kesungguhan rafiki ni...biarlah unie bahagia juga...

Ana Joe said...

yeay! suke gilerr cter nih..gelak sorang2 jer...

hani said...

nak lg......biarlah unie menemui kebahgiannya gan rafiki....smbg cepat2.........!!!!

MaY_LiN said...

alahai..
pandainye rafiki nak beli jiwa unie

Anonymous said...

cptla smbg....nk unie ngn umar...sweet sgt doirg..huhuhu..

Anonymous said...

kak hani tahniah retorik sangat menjadi :) perasan sorang-sorang baca cerita ni :)

Rohaida Rahman said...

apsal i senyum tak habis ni? hehehehe...
unie, bg peluang yea pd umar, jgn tergesa2 reject dia tau....

aqilah said...

aduhhhhhhhhhhh...........cayalah Rafiki!!!!! Gentelman gitu!!!!!

Anor said...

hai suke sgt cerita ni..cepatlah sambung lagi..
hendak rafiki kawen dgn unie..biarlah Unie
hidup bahgia dgn Rafiki dan akan dpt semula
Sarah dibawah jagaannya. telah lama Unie
menderita....

hud said...

nak unie dengan umar...

yeah, akak laila, bila nak sambung lagi ni.tak sabar nak tahu kisah dorang seterusnya.

Anonymous said...

bila n3....ni

Post a Comment

Popular Posts