Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 31


Setelah hampir setengah jam berlalu sejak azan Maghrib berkumandang dari corong radio di dalam MPV, Umar Rafiki masih duduk mendiamkan diri di pinggir bukit. Suasana senja sudah sedikit kelam, menunjukkan waktu solat Maghrib sudah semakin berlalu pergi. Aku yang tadinya sudah sedikit tenang, jadi resah kembali. Sampai bila dia mahu terus di sini. Kami ada hutang yang masih belum berbayar. Aku tidak mahu terlepas waktu solat kali ini.

Hairan rasa di hati. Tengahari dan petang tadi, dia kelihatan begitu menjaga solatnya. Seawal jam 12.45 tengahari dia sudah mempastikan kami semua sudah keluar dari syarikat penerbit yang pertama. Cepat-cepat dia mencadangkan supaya kami singgah dulu di masjid untuk sembahyang Zohor selepas makan tengahari. Begitu juga dengan Solat Asar. Tepat masuk waktunya, kami sudah berada di perkarangan masjid.

Dia memastikan kami tidak terlepas untuk turut sama berjemaah dengan imam, satu sikap yang aku rasakan begitu baik sekali. Kerana seseorang yang menjaga solat selalunya seorang yang bertanggungjawab dalam hidupnya. Waktu itu aku mula merasa kagum dengannya. Sudahlah orangnya kacak dan pekertinya mulia sekali. Dihiasi pula dengan sikap bertanggungjawab begitu. Dia seorang yang cukup sempurna di mataku. Namun mengapa hati ini bagaikan tidak sanggup menerimanya walaupun setiap tingkah dan kata-katanya sering mendamaikan hatiku? Mengapa masih ada ragu di hati ini dengan keikhlasannya? Benar-benarkah dia ikhlas? Ah....

Perlahan aku melangkah keluar dari MPVnya. Dengan hati yang penuh dengan debaran, aku menghampirinya. Aku berdiri di belakangnya yang masih diam di tempat dia mula-mula duduk tadi. Masih merajuk dengan kata-kataku tadi. Pastinya dia berkecil hati. Dalam marah, aku sendiri tidak tahu apa yang telah aku katakan kepadanya tadi.

“Awak.... waktu Maghrib dah dekat nak habis ni...,”

Diam.. Dia terus-terusan duduk sambil memeluk lututnya. Matanya terus merenung ke arah matahari yang sedang terbenam itu. Tidak ada sedikit pun reaksi darinya. Aku cuma mampu mamandang kepada belakang tubuhnya yang sedikit membongkok. Melihatkan otot-otot pejalnya yang terselindung di balik kemeja yang dipakainya hatiku jadi bergelodak kembali. Ah... dia ada segala-galanya. Dan aku? Apa yang aku ada? Cuma sekeping hati yang gersang. Layakkah untuk kami berganding bersama? Layakkah aku memenuhi apa yang diangan-angankan olehnya?

“Awak... kita kena solat ni...,” ulangku lagi setelah agak lama dia mendiamkan diri.

Diam lagi.

“Encik Um... em... Rafiki... berdosa kalau abaikan solat...,” untuk sekian kalinya aku merayu.

Dia berpaling kepadaku perlahan-lahan. Mata kami tertemu dan debar di hati ini jadi kian lega. Tiada lagi riak marah di situ. Aku menelan air liur sambil senyum padanya. Cukup aku rasa bersalah dengan sikapku yang kasar padanya petang tadi. Aku tidak sepatutnya mengatakan apa yang aku katakan tadi. Dia memandangku dengan wajah selamba.

“I thought you’re not going to ask,” katanya lembut. Tiada nada merajuk di situ. Lega sungguh rasa di hati.

Ah... sungguh lelaki ini mampu menggugat ketahanan dalam diri yang aku bina sejak Abang Izwan melukakan hatiku lama dulu. Sungguh aku terpikat kepadanya. Satu perasaan baru yang terasa begitu mendamaikan jiwa yang sering gundah selama ini. Yang tidak mampu untuk aku nafikan lagi. Dan... yang perlu aku buang jauh-jauh.... jika aku tidak mahu diri ini dikecewakan lagi.

Lama kami berpandangan.

“Janji dengan saya Unie tak jerit macam tadi lagi?” ucapnya kemudian.
Aku terpaku. Cuma mampu memberikan jawapan dengan kerdipan mataku untuk soalan itu.

“Janji yang Unie akan beri saya peluang untuk bersama Unie, rawat luka di hati Unie, jadi pendamping Unie?”

Aku menarik nafasku mendengarkan soalan itu. Hati masih ragu-ragu.

“Janji untuk beri saya peluang untuk bersama Unie, selesaikan masalah Unie tu?”

Mampukah aku berjanji dengannya? Bolehkah aku menerima huluran tangannya itu? Bisakah dia merawat hati yang telah parah dilukakan ini? Ya Allah, jika Kau kurniakan aku dengan lelaki sebaik ini, aku memohon agar nikmatMu ini Kau perluaskan lagi. Sesungguhnya Engkaulah yang memberikan segala nikmat untuk hambaMu. Aku memohon agar dia cukup baik untukku yang lemah ini. Cukup kuat untuk membimbing aku ke jalan yang Kau redhai. Cukup ikhlas untuk merawat kegersangan di hati ini. Aku tidak ingin dilukakan lagi ya Allah.

Akhirnya tanpa aku sedari, aku mengangguk perlahan. Dan dengan perlahan pula dia bangun sambil matanya terus merenung ke dalam mataku. Terus memaku aku di tempat aku berdiri. Mengkagumi rahmat tuhan yang ada di depan mataku ini.
Tubuh tegapnya disimbahi cahaya remang senja yang indah itu. Cahaya matahari yang kian jatuh itu menyuluh dari arah belakangnya membuatkan raut wajahnya kelihatan berbalam-balam di mataku. Menyembunyikan riak wajahnya dari pandangan mataku. Namun, tidak perlu lagi rasanya aku melihat reaksi wajah itu. Hatiku bagaikan terpanggil untuk menerima keikhlasan hatinya. Yang terlahir dari kata-kata dan perlakuannya selama ini.

“Janji lepas ni, Unie percayakan saya? Janji akan ikut saya ke mana saya akan bawa Unie? Tidak marah-marah macam tadi?”

Aku menarik nafas lagi? Perlukah aku berjanji? Dia senyum. Walaupun hambar sekali, dapat aku lihat keihklasan dalam senyuman itu.
“Jangan bimbang, saya tak akan bawa Unie ke tempat yang tak baik,”

Lama aku diam tanpa reaksi.

“Boleh?” dia bertanya separuh merayu.

Dan tanpa sedar aku mengangguk perlahan. Ada riak lega kelihatan di wajahnya.

“Jom… kita pergi solat,” katanya perlahan sekali.

Damai terasa di hati. Dia memandangku dengan sinar mata yang begitu meyakinkan. Bibirnya kembali tersenyum. Sambil melangkah ke MPVnya, hati kami berkata-kata sendiri. Aku menurut dengan seribu rasa yang tidak aku mengertikan. Permintaannya itu tadi terus terngiang di telinga.

****

Aku tidak pasti di mana kami berada. Tidak sampai pun lima minit, keretanya sudah berada di satu kawasan perumahan mewah. Ke mana dia ingin membawaku? Bukankah tadi dia mangajak aku bersolat? Tapi kenapa kami ke sini? Mungkinkah di celah-celah kawasan perumahan mewah ini ada sebuah masjid? Atau surau mungkin? Namun pertanyaan-pertanyaan itu hanya bergema di dalam mindaku sahaja. Masih tidak mampu untuk bersuara dek kerana debaran yang masih menggila di hati dengan apa yang berlaku pada kami tadi.

Akhirnya dia memberhentikan MPVnya di hadapan sebuah banglo besar yang tersergam indah. Dia menekan remote control dan perlahan-lahan pintu pagar rumah itu terbuka. Aku menarik nafas. Hatiku kembali berkocak. Rumah siapa?

“Rumah mummy saya,” bagaikan mengerti dengan kekeliruanku dia bersuara.

Aku menarik nafas panjang. Belum sempat aku berkata apa-apa, dia cepat-cepat bersuara.

“Tadi janji nak ikut saja ke mana saya bawa Unie kan?”

“Tapi, awak tak cakap nak bawa saya ke rumah emak awak?”

“Ini tempat sembahyang yang terdekat sekali yang saya boleh fikirkan setakat ini.
Waktu solat dah nak habis. Tadi kata tak nak terlepas waktu solat kan?” katanya yakin sambil menunjukkan jam di tangannya.

Kalaulah bukan kerana waktu Maghrib cuma tinggal kurang lebih limabelas minit sahaja lagi, pastinya aku sudah menunjukkan kedegilanku. Ingin sekali aku berdiam diri dalam kereta sehingga dia membawa aku ke tampat lain. Atau mungkin juga aku boleh terus pergi meninggalkan rumah ini. Mendapatkan teksi dan pergi ke mana-mana masjid terdekat. Namun, aku tidak mampu lakukan itu. Kawasan ini terlalu asing bagiku.

Badai di hati kembali melanda bila dia memberhentikan kertanya di bawah porch. Terletak di situ beberapa buah kereta mewah yang lain. Sebuah BMW yang aku tidak tahu siri yang entah ke berapa, sebuah Honda Accord dan sebuah Nissan Swift berwarna perak. Dan akhirnya kelihatan juga motosikal miliknya yang sering kali membuatkan hati ini berangan untuk membonceng bersamanya setiap kali aku terserempak dengan dia yang sedang menunggang. Dalam keadaan yang mendebarkan itu aku masih mampu untuk tersenyum sendiri bila mengingatkan betapa gatalnya aku mengangankan keadaan sebegitu.

“Kita dah sampai. Jom...,” katanya lembut.

Ah... mata itu, masih terus memainkan peranannya untuk terus-terusan mengocak ketenangan di jiwa. Badai di hati kian menggila apabila mengingatkan bahawa aku akan bertemu buat pertama kalinya dengan keluarganya. Terutama sekali dengan mummynya. Ah... Munirah, jangan perasan. Kamu hanya datang untuk tumpang sembahyang. Tidak lebih dari tu. Dan Umar Rafiki juga tidak pernah menggambarkan sesuatu yang lebih dari itu.

Ketibaan kami disambut oleh pembantu rumah yang membuka pintu apabila dia menekan loceng. Benar cakapnya itu, kehadiran kami ini tidak diketahui oleh ahli keluarganya. Dan di waktu-waktu begini pastinya masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Mandi dan bersembahyang. Maka tiada yang lain yang menyambut kehadiran kami ini.

“Eh... Rafiki? Dari mana ni?” tegur wanita berusia akhir tiga puluhan itu.

“Kak Odie ni... Nantilah kita cakap lepas ni. Kami belum solat lagi ni. Ini Cik Munirah. Dia pun nak solat. Akak bawa di ke bilik tamu ye?” pintanya dengan suara yang mesra juga.

“Ok ..., mari Cik Munirah, akak tunjukkan biliknya,”

Sambil memandang sekilas ke wajah Rafki, aku menurut langkah Kak Odie. Patutlah dia meminta aku memanggil dia dengan nama itu. Rupa-rupa itu panggilan ahli keluarganya. Dan, dia mahu aku memanggilnya begitu. Mengapa? Teringat aku pada kata-katanya tadi.

“Sebab Unie istimewa pada saya. Dan.... saya juga nak jadi seseorang yang istimewa untuk Unie,”

Ah... benarkah begitu? Setakat mana keistimewaanku pada dirinya? Cukup istimewa untuk diperkanalkan kepada ahli keluarganya? Meskipun perkenalan kami sendiri masih lagi setahun jagung usianya?

“Cik Munirah sembahyang kat sini. Kalau nak mandi, itu bilik airnya ye,” katanya sembil menunding kepada sebuah pintu yang bersebelahan dengan almari kayu jati yang tersergam indah di dalam bilik itu. Almari yang sarat dengan ukiran yang begitu halus sekali buatannya sungguh menarik perhatianku. Terdapat juga sebuah katil bersaiz king yang sama ukirannya dengan almari. Meja solek yang ada juga dibuat dengan ukiran yang sama. Suasana bilik tamu ini cukup mewah sekali. Kalaulah bilik tamunya sudah semewah ini, aku tidak mampu untuk bayangkan bagaimana mewahnya pula bilik tidur tuan empunya milik rumah ini.

“Kak Odie keluar dulu ye...,” katanya sambil berlalu pergi.

“Terima kasih kak,” jawabku sopan sambil mataku menyorot memandang dia yang berlalu pergi.

Tanpa membuang masa lagi aku cepat-cepat ke bilik mandi untuk mengangkat hadas kecil. Bila sahaja aku melangkah masuk ke bilik itu, aku terpana lagi. Bilik bersaiz kurang lebih 10 kaki x 10 kaki itu sekali lagi menunjukkan rekaan dalaman yang cukup menarik sekali. Ah... bilik mandinya pun cukup besar, sebesar bilik kedua di apartmen mulikku di Seri Kembangan. Kalaulah begini mewah rumahnya, apa perlu lagi lelaki ini berpindah ke rumah yang perlu disewanya? Bukankah menyusahkan tinggal sendirian begitu?

Aku cepat-cepat menunaikan solat Maghrib. Selesai sahaja solatku itu, kedengaran dari jauh suara azan tanda masuk waktu Isyak. Hatiku jadi sedikit tertanya-tanya. Bukankah tadi Rafiki mengatakan bahawa tiada masjid yang berdekatan dengan rumah ini. Bahawa rumah ini satu-satunya tempat sembahyang yang terdekat untuk kami bersolat. Aku jadi ragu-ragu.

Sebaik sahaja habis azan berkumandang aku berhajat untuk meneruskan solat Isyak. Tetapi tiba-tiba pintu bilik diketuk dan kemudian dikuak perlahan dari luar. Kepala Kak Odie terjenguk di situ. Dia sudah siap memakai telekung menunjukkan dia juga ingin bersolat.

“Cik Munirah, Rafiki ajak solat bersama dengan ahli keluarganya. Mari...,” ajaknya perlahan.

Aku agak terkejut dengan ajakkan itu jadi termanggu-manggu seketika.

“Marilah...,”

“A... iye...,”

Lantas aku bangun dengan teragak-agak. Solat berjemaah? Dengan keluarganya? Aku jadi kalut. Tidak mengerti apa yang sedang berlaku pada diriku di saat ini. Aku, berada di sini, di kalangan keluarganya dan akan bersolat jemaah bersama dia dan keluarganya. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di kepalaku. Sesuatu yang terlalu peribadi aku rasakan. Layakkah aku? Layakkah aku...?

“Selalunya kalau dia balik awal dia pergi solat kat masjid dengan Pak Cik Safuan, ayah dia. Kalau dia tak sempat ke masjid memang kami sama-sama solat jemaah di rumah,” terang Kak Odie panjang lebar.

“Masjid dekat ke dengan rumah ni Kak Odie?”

“Dekat je... kat luar tu aje...berjalan kaki pun sampai. Cik Munirah tak perasan ke masa datang tadi?”

“A... em... tak perasan pulak...,”

Mana mungkin aku perasan jika waktu datang ke sini tadi aku dengan fikiran yang bercelaru. Tidak ada satu perkara pun yang aku nampak waktu itu. Sambil menurut langkahnya menuju ke tingkat atas, melilau mataku memerhatikan kemewahan rumah agam ini. Langsung tidak terbayangkan olehku akan berada di rumah yang begini mewah dan indah.

Kami tiba di hadapan pintu bilik yang terbuka luas. Aku melangkah perlahan. Terasa teragak-agak untuk masuk. Debaran di hati aku cuba redakan dengan menarik nafas panjang-panjang. Namun tidak sedikit pun debaran itu berkurangan. Lantas aku melangkah masuk. Bersedia untuk menghadapi keluarganya. Dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang datang.

Aku disambut dengan senyuman yang cukup mesra oleh tiga wanita yang peringkat usianya berbeza. Yang pertama aku kira emaknya, berusia dalam lingkungan akhir lima puluhan atau awal enampuluhan. Yang kedua masih muda, mungkin lebih muda dariku. Dan yang ke tiga, lebih tua usianya, mungkin dalam lingkungan usia lapan puluhan. Itu mungkin neneknya.

Mereka bertiga sedang duduk dalam saf untuk berjemaah. Wanita yag lebih tua itu duduk di atas kerusi yang diletakkan di atas sejadah. Mungkin sudah terlalu uzur untuk solat sambil berdiri. Umar Rafiki tidak pula kelihatan di situ. Senyuman mereka kepada ku kelihatan begitu ikhlas sekali. Dan dalam ragu-ragu begitu, aku senyum kembali kepada mereka.

“Em... Cik Munirah... mari... kita solat sama-sama....,” tegur wanita yang paling muda itu. Siapakah dia? Hatiku terus tertanya-tanya.

Perlahan aku melangkah menghampirinya. Kami bersalaman buat pertama kalinya. Entah mengapa wajah itu bagaikan pernah aku lihat satu masa dulu. Tapi di mana?

“Em... ini rupanya Munirah... selama ni asyik duk dengar nama aje... hari ni baru dapat jumpa orangnya,”

Aku terpana mendengarkan kata-kata yang keluar dari bibir wanita yang aku rasakan emaknya. Aku lantas mengulurkan tanganku kepadanya sambil senyuman ragu-ragu terukir di bibir. Tidak pasti apa yang patut aku katakan. Debaran di hati makin kencang. Kami bersalaman seketika. Kemudian aku bersalaman pula dengan wanita yang lebih tua itu. Dia hanya tersenyum memandang ke wajahku tanpa sepatah kata.

“Em... puan... apa khabar?” tanyaku dengan ragu-ragu. Apa panggilan sebenar yang perlu aku gunakan untuknya? Datin? Puan Sri?

“Khabar baik... Sejuknya tangan Munirah...kenapa ni?”

“Emm... Tak ada apa-apa puan,”

“Eh... panggil makcik aje... tak payah panggil puan. Nak panggil mummy pun tak apa,”

Aku cuma senyum mendengarkan kata-katanya itu. Terasa malu dilayan sebaik itu.
“Maaflah ye tak sambut Munirah masa sampai tadi. Selalunya lepas sembahyang Isyak baru makcik turun ke bawah. Malaslah nak turun naik tangga tu. Tak larat nak turun naik. Bila dah selesai semua, barulah turun. Munirah dahaga ke? Belum minum kan?”
Pertanyaan demi pertanyaannya itu membuatkan aku tergamam lagi. Sungguh mesra orangnya. Senyumannya bagaikan senyuman seorang ibu yang sering meluahkan kasih sayang yang tidak bertepi kepada anaknya. Senyuman penuh ikhlas yang pernah satu ketika dulu aku pernah lihat di bibir ibuku sendiri. Tidak semana-mena sebakku datang bertandang lagi. Lantas aku berdehem, memperbetulkan suara ku.

“Tak apalah puan... ,”

“Kita solat dulu tak apa ye? Tunggu kejap lagi Rafiki datang, kita solat sama-sama. Lepas ayah Rafiki balik, kita makan malam ye?”

Aku mengangguk perlahan. Terasa damai memandang wajahnya.

Saat itu aku dapat rasakan seseorang melangkah masuk ke dalam bilik yang dikhaskan untuk bersolat itu. Aku tidak berpaling, tetapi aku bagaikan tahu siapa yang berada di belakangku itu. Aku bagaikan dapat merasakan panahan matanya menusuk jantungku walaupun dari belakang.

Ah, lelaki ini, kehadirannya dalam bilik ini bagaikan dapat aku rasakan biarpun aku tidak melihatnya. Aku menarik nafas panjang. Tidak sudah-sudah cuba melegakan debaran di dada yang bagaikan tidak mahu meninggalkan diri ini sejak pagi. Membuatkan aku kini bagaikan begitu letih sekali. Alangkah penatnya aku melayan rasa resah di hati begini.

“Semua dah siap rupanya,” suara riangnya itu menggambarkan perasaan hatinya.

Dan aku turut senyum bersama emaknya, neneknya dan gadis yng cukup menarik itu. Dan hati ini tidak putus-putus bertanya, siapa gerangan gadis ini? Apa hubungannya dengan Rafiki? Istimewakah dia pada lelaki ini?

“Unie, semuanya ok?”

Pertanyaan itu membuatkan aku berpaling perlahan kepadanya. Dia kini lengkap dengan baju melayu yang dipakai dengan sehelai kain pelikat. Di kepalanya terletak kemas sebiji kupiah putih. Dalam keadaan begitupun dia kelihatan begitu tampan sekali. Sungguh, hati ini sudah terpikat padanya.

“Unie...?”

Pertanyaan itu membuatkan aku tersentak dari lamunanku. Terasa malu apabila perilakuku itu disedarinya. Dia senyum tanda mengerti. Dan aku tidak lepas dari menyedari yang mummynya dan gadis itu juga turut tersenyum. Mungkin mereka juga tidak lepas dari menyedari perlakuan luar sedar ku sebentar tadi. Ah malunya.

“A... ya...ok. semuanya ok,” jawabku gugup.

Senyum di bibir itu terus mekar. Dan dengan nakal sekali dia mengenyitkan matanya kepadaku.

“Rafiki...?” sampuk mummynya menyedarkan kami yang sedang berbicara dengan isyarat mata, tanpa suara, namun penuh dengan makna. “Sembahyang dulu...,” meleret suaranya memberi nasihat.

Aku jadi malu dan hanya mendiamkan diri.

“Ha’ahlah, tak menyempat-nyempat. Solatlah dulu, baru main mata,” sampuk gadis itu.

Aku jadi bertambah malu bila perlakuan polos kami tadi ditegur. Alahai...
Rafiki ketawa riang sekali. Sungguh moodnya sudah kelihatan baik. Mudah sekali moodnya itu bertukar dari riang pada waktu paginya, menjadi marah dan merajuk pada waktu petangnya dan kini kembali riang semula.

‘Ok, jom kita solat,” katanya riang sambil mengambil tempat di hadapan sekali sebagai imam.

Lantas dia membaca bismillah dan mengucapkan dua kalimah shahadat. Dan sebagai satu-satunya lelaki yang ada hari ini dia melaungkan qamat sebagai tanda untuk memulakan solat. Gagah sekali kedengaran suaranya. Aku menghayati satu persatu kalimah dalam qamat yang dilaungkan itu. Rasa damai meresap ke hatiku.
Malam itu, buat pertama kalinya dia menjadi imamku dan aku menjadi makmumnya. Setiap bait bacaan surah Al-Fatihah dan surah-surah pendek yang dibacanya menyuntik rasa damai dan tenang di hati. Aku menghayatinya satu persatu. Alunan suaranya yang membaca kedengaran begitu gagah sekali memandu kami makmum-makmumnya melaksanakan rukun islam yang kedua itu. Tidak… tidak pernah rasanya hatiku sedamai ini.

12 comments:

laila said...

pembaca sekelian..... kak laila akan hantar satu lagi bab iaitu bab 32 dalam beberapa hari lagi. dan kemudian, akan memberhentikan penghantaran buat SYKT kerana sekarang ia berada dalam penilaian pihak penerbit. selepas ini, akan memulakan dengan novel baru. harap teruskan membaca ye semua.... terima kasih kerana menyokong karya kak laila...

salam sayang pada semua

Laila Hanni...

Seorg wanita... said...

Best!!! Woww.. tak sangka yg Rafiki akan bawa Unie sampai ke rumah besar family dia... akhirnya Unie hanya terima dan ikut je apa yg Umar Rafiki nak lakukan utk dia... Family Rafiki ok jer terima Unie.. hopefully Unie pun sama, terima Umar & family dia...

Rasa tenang dan damai sekali bila Umar Rafiki imamkan solat isyak berjemaah family dia dan 1st time solat dgn Unie.. :-) Moga Unie boleh terima Umar Rafiki seadanya...

Anonymous said...

Tahniah Kak Laila kerana citer ni akan ke versi cetak.

Moga endingnya Unie dan Rafiki berbahagia. Tak mau sad ending dan jangan pisahkan dorang.

laila said...

anonymous.....

tak sure lagi diterima untuk versi cetak... baru dalam proses penilaian... doakan ye?

fieza said...

best cite ni..insyaAllah semoga proses penilaian berjalan lancar..x sbr rasanyer nak tau endingnyer...:)

aqilah said...

suka sgt dgn cite ni!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!best!!!!!!!!!!!!!!!!!
sinar baru buat Unie dan Rafiki!!!!!!!!!!!!

kak long said...

Bila nak sambung.... best , dan best...best sgt!

Anonymous said...

best3 sgt cite ni..tahniah tuk kak laila dpt ke versi cetak..xsabar nk bce nvel pnuhnye..hehe

Eijan said...

Didoakan tiada masalah ke versi cetak...Tak sabar nak tgk unie & rafiki bahagia...Apa2 pun kami tetap sokong versi cetaknya

AniLufias said...

kak Laila hanni : saya x sabar nak miliki novel nie...the best novel tahun nie...insyallah
tahniah kak....yahooooo

hud said...

akak, tahniah kalau jadi ke versi cetak..tapi lambat lagi lak pulak nak nunggunya..

saya xsabar nak tunggu akak sambung SCB ni..lama betul nak tunggu cerita itu di sambung.

arap-arap akak dikurniakan kesihatan yang baik supaya lekas-lekas dapat menulis banyak-banyak..

laila hanni said...

tq hud.... kesihatan mmg tak izinkan dua tiga hari ni. jadi mood menulis pun hilang.... nanti dah sihat semula akak sambung ok?

Post a Comment

Popular Posts