Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 32

Selesai bersolat dan berdoa aku menyalami kedua wanita tersebut, Kak Odie dan gadis yang lebih muda itu. Sememangnya kami belum lagi diperkenalkan secara rasmi. Terasa kekok untuk berbicara dalam keadaan begini. Aku memandang pada Rafiki, mengharapkan dia memperkenalkan kami. Dan saat itu aku sedar yang dia juga sedang asyik memandang padaku.

“Unie, saya kenalkan, ini mummy saya, Puan Rogayah” katanya sambil dia memeluk erat bahu wanita yang sedang tersenyum memandangku itu. Dia kemudiannya mengalihkan pandangannya kepada emaknya sambil tersenyum kepada wanita itu. Nampak mesra sekali.

Ada persamaan pada raut wajah kedua mereka. Walaupun mereka tidak seiras, apabila tersenyum tiada siapa yang dapat menyangkal bahawa mereka ada pertalian persaudaraan. Aku menghulurkan senyuman yang seikhlas mungkin untuk membalas senyuman manis dari wanita itu.

“Mummy, ini Munirah. Akhirnya sampai juga hasrat mummy nak kenal dia kan?” katanya kepada emaknya.

Sungguh aku terperanjat mendengarkan kata-kata itu? Apa maksudnya melontarkan kata-kata itu? Hasrat? Mummynya ada hasrat untuk menemui diri ini? Adakah dia mengenaliku? Kalau begitu dari siapa dia kenal diri ini? Dan sejak bila? Bukankah ini baru pertama kali kami bertemu? Ah... hairan, sungguh hairan.

“Apa khabar puan?” tanyaku perlahan.

“Baik... alhamdulillah. Munirah kan tadi mummy dah cakap, jangan panggil puan. Panggil mummy, semua orang panggil macam tu. Lagi mesra rasanya kan?” katanya dengan senyuman yang makin melebar.

Aku jadi malu sendiri. Berada bersama wanita ini aku boleh jadi lupa diri. Senyumannya itu membuatkan aku merasa cukup dihargai.

“Yang ini pula, Tok Wan saya. Telinga dia dah tak dengar. Tapi kalau bercakap dengan dia, dia boleh faham bila tengok bibir kita,” katanya sambil menarik wanita yang lebih tua itu ke dalam dakapannya.

Dia kini berada di antara keduanya. Ya, jelas sekali adanya pertalian saudara antara mereka bertiga. Raut wajah Puan Rogayah saling tak tumpah dengan wajah Tok Wan. Mesra dan sering tersenyum.

“Tok Wan sihat?” tanyaku dengan suara yang lembut. Cuba bercakap perlahan supaya wanita tua yang sering tersenyum manis itu mudah memahami kata-kataku.

“Sihat...,” katanya ringkas. Kemudian dia berpaling pada Rafiki. “Pandai Rafiki cari... cantik...,” Katanya dengan nada lembut memuji.

Rafiki ketawa kuat sekali, disambut oleh mereka yang ada di situ. Riang sungguh dia saat itu. Berbeza sungguh dengan sikap merajuknya petang tadi. Cuma aku sahaja yang tidak mengerti maksud tawa mereka itu.

“Ehem..ehem... dah lupa pada Adah...?” gadis yang menjadi tanda tanya di hatiku itu bersuara sambil menarik tangan Rafiki denga mesra.

Aku hanya memandang kemesraan itu dengan satu perasaan yang tidak aku mengertikan. Terasa seperti ada tangan kasar yang meramas hati ini melihatkan perlakuan mesra itu. Adakah aku cemburu melihatkan adengan mesra begitu? Cemburu? Munirah...?
Rafiki ketawa lagi. Lantas dia meraih jari jemari gadis itu dan menariknya dekat kepadaku.

“Unie kenal tak budak manja ni?” dia bertanya padaku.

Matanya kembali mengelus lembut di wajahku. Lantas cepat-cepat aku mengalih pandang ke wajah gadis di sebelahnya. Cuba menenangkan hati ini yang kembali berkocak laju. Cukuplah Umar Rafiki, jangan goda hatiku lagi. Hentikanlah godaanmu itu.

Aku mengamati wajah gadis itu.

“Siapa ye? Kita pernah jumpa ke?”

Dia mengangguk laju. Sambil bibirnya mengukir senyum mengusik, dia berkata,
“Emm... empat tahun lepas...Sampai hati Kak Unie dah lupakan Adah. Pak Ngah ni akak tak lupa pun....,” matanya menjeling kepada Rafiki. Membawa tawa bahagia di hati lelaki itu. Jelas terserlah perasaan itu di wajahnya.

Berkerut dahiku cuba untuk mengingatkan peristiwa empat tahun lepas. Pertemuan pertama aku dengan Rafiki dan... bersamanya seorang gadis. Bermakna..., dia gadis yang bersamanya waktu itu?

“Unie, kenalkan my niece... Syuhadah. Atau, manjanya... Adah,”

Aku senyum padanya. Cukup bersalah aku rasakan bila aku sedikitpun tidak mengenalinya. Sungguh dia sudah banyak berubah dari dulu. Ketika itu dia tidak bertudung. Memang sukar untuk aku mengenalinya yang sedang memakai telekung sebegini.

“Masa tu... Adah baru dapat surat panggilan ke UPM. Saya bawa dia ke Kenny Rogers untuk raikan kejayaan dia tu. Tak sangka pulak hari ada yang marah pada kami,”

“Nasib baik ada yang datang marah. Lepas pada itu, ada orang tu… dok gila bayang tau kak. Bila Adah cerita yang Adah pernah tengok akak kat UPM, dia suka sangat. Siap nak berkenalan. Siap minta Adah bawak dia ke UPM. Tapi bila Adah beritahu dia yang akak dah kahwin…, tengah mengandung, siap frust menonggeng kak,”

Kata-kata yang polos itu membuatkan aku tersentap. Sedikit demi sedikit hakikat diri ini datang berpaut kembali pada hati ini. Hilang pergi kedamaian dan kegembiraan yang aku rasakan sebentar tadi. Aku menarik nafas panjang.

“Adah....,” sampuk Rafiki pantas. Mungkin dia menyedari apa yang terlintas di hatiku saat itu.

“Oops.... maaf kak... maaf....Adah tak sengaja kak...,”

Puan Rogayah menampar lembut bibir Syuhadah. “Lain kali, nak cakap tu... pandang-pandang la sikit... Jangan ikut sedap mulut aje,” marahnya pada gadis itu.

“Sorrylah nek...,” rengek Syuhadah manja.

Puan Rogayah berpaling kepadaku. Senyum kembali meniti di bibirnya.

“Unie, jangan kecil hati ye? Mulut Syuhada ni memang macam tu. Celupar betul,”

****

Hal itu akhirnya dilupakan begitu sahaja. Mereka kelihatan seperti merasa bersalah dengan keadaan yang membuatkan aku sedikit tersinggung. Dan untuk menjaga hati mereka aku juga cuba melupakan perkara itu. Cuba untuk bermesra dengan keluarga yang kelihatan cukup bahagia itu. Rupa-rupanya Syuhadah sekarang masih lagi sedang belajar di UPM di Fakulti Pengajian Alam Sekitar.

Bila ayahnya pulang dari masjid bersama dengan adik lelakinya yang paling bongsu, aku dapati bahawa keluarga ini memang cukup lengkap segalanya. Ayahnya juga mesra orangnya. Dia melayanku denga baik sekali. Bertanyakan itu dan ini tentang diri ini. Bila aku ditanya mengenai keluargaku aku menceritakan segalanya. Dan mereka cukup bersimpati dengan diriku yang telah menjadi yatim piatu sejak kecil lagi. Kata-katanya memberi semangat untuk aku teruskan kehidupanku. Namun sepanjang waktu itu mereka sedikit pun tidak menyentuh lagi mengenai statusku, walaupun aku tahu mereka semua telah arif mengenai perkara itu.

Selesai makan malam aku minta diri untuk pulang. Terasa cukup penat diri ini. Terlalu banyak yang berlaku dalam masa satu hari ini. Terlalu banyak rahsia yang aku ketahui hari ini. Semuanya begitu mendebarkan. Semuanya mampu menggugat ketenangan yang aku rasakan selama ini.

“Eh, tidur kat sini sajalah malam ni. Esokkan nak pergi lagi dengan Rafiki. Boleh terus pergi aje dari sini,” kata emaknya.

“Em... tak payahlah makcik. Saya... tak biasa tidur kat tempat lain,” terkejut sekali aku mendengarkan pelawaannya itu.

Sudahlah mereka melayanku dengan baik. Aku terasa malu sebenarnya dengan layanan yang cukup baik begini. Kini mempelawa aku tidur pula di rumah mereka. Sesuatu yang sungguh di luar jangkaanku.

“Jangan balik lagilah kak... belum puas berbual dengan akak,” rengek Syuhadah manja.

“Tak boleklah Adah. Lagipun Kak Unie tak ada baju,” aku memberikan alasan.

“Hei... baju Adah kan ada. Badan kitakan sama aje saiznya. Janganlah balik kak... Pak Ngah, janganlah hantar Kak Unie balik lagi. Boraklah dulu...,” rayu Adah agi sambil memandang ke wajahku penuh mengharap.

“Ialah Unie, tidur aje kat sini. Unie boleh tidur dengan Adah,” kata Pak Cik Safuan bagaikan memberi kata putus.

“Em... terima kasih lah pakcik, makcik... Tapi saya rasa tak bolehlah. Bukan tak sudi tapi saya rasa tak selesa macam ni,” kataku dengan sopan kepada kedua orang tu itu, tidak mahu rasanya aku menyinggung perasaan mereka. Kemudian aku berpaling kepada Syuhadah. “Adah, lain kali kita boleh borak lagi ye. Tapi malam ni akak kena balik...,”

Aku malu sebenarnya dengan keadaan ini. Tidak pernah aku mendapat perhatian sebegini dalam hidupku. Kemesraan mereka membuatkan aku merasa seperti diterima dalam keluarga ini. Sesuatu yang amat aku impikan selama ini. Sesuatu yang mengisi lompang dalam hidupku ini. Jauh dari suasana yang aku alami sejak aku berkahwin dengan Abang Izwan lama dulu. Dan jika mampu aku inginkan suasana sebegini terus ujud dalam hidupku. Tidak mahu kehilangan kebahagiaan yang aku rasakan ini selama-lamanya.

“Pak Ngah... do something please... Jangan hantar Kak Unie balik dulu, please....,”

“Adah... tak bolehlah macam tu. Kita kena hormat pada Kak Unie. Mungkin dia ada hal lain kut. Atau dia penat dan tak selesa beralih tempat tidur,” kata Rafiki memujuk anak saudaranya itu. Syuhadah sudah mula menarik muka. Panjang sekali muncungnya menunjukkan rajuknya.

“Emm... lain kali Kak Unie datang lagi ye. Lagipun Adah boleh datang ofis Kak Unie bila ada masa terluang,” aku pula yang memujuk.

“Kalau macam tu, hari minggu ni, Unie kena datang lagi ke sini. Mummy pun tak puas lagi berbual dengan Unie,” kata Puan Rogayah. Aku tersentap seketika. Mana mungkin aku menerima pelawaan ini sehinggakan aku tidak dapat pergi untuk bersama dengan Sarah. Tetapi aku rasakan cukup tidak tergamak untuk menolak pelawaan ini.
Aku memandang kepada Rafiki untuk mendapatkan pengertiannya. Dari riak wajahnya aku tahu dia mengerti. Dia mengangguk perlahan membuatkan aku merasa sedikit lega.

“Mummy, tadi Unie ada beritahu Fik yang dia ada hal sikit hujung minggu ni, betulkan Unie?”

Laju aku menganggukkan kepala tanda setuju.

“Mungkin dia boleh datang lain kali. Unie tahu, kat rumah kami ni setiap hari Ahad akhir bulan, macam Hari Raya. Masa tu semua abang, kakak dan adik-adik saya balik. Riuh rendah tau. Seronok. Mungkin masa tu Unie boleh datang, boleh kenal-kenal dengan semua adik beradik saya,”

“Haah... betul tu. Unie datang ye hari Ahad terakhir hujung bulan ni. Boleh kenal dengan semua. Mummy harap sangat tu tau….,” kata Puan Rogayah dengan riang sekali.
Dan akhirnya aku terpaksa akur dengan permintaan mereka itu. Aku telah dilayan dengan baik sekali. Tidak tergamak rasanya di hati untuk menolak pelawaan mereka.


*****

“Sebenarnya sejak bila keluarga awak kenal saya?” aku memberanikan diri untuk bertanyakan soalan itu sebaik sahaja MPVnya bergerak meninggalkan kawasan perumahan mewah di Damansara Heights itu.

Rafiki senyum melihatkan aku yang tidak sabar-sabar untuk bertanyakan soalan itu. Mungkin sejak dari tadi dia sudah menjangka aku akan bertanyakan tentang perkara tersebut.

“Sejak... pertama kali saya jumpa orang yang matanya cantik sangat…., Yang….. ada tahi lalat kat bawah bibir kirinya tu…. Yang…. marah-marah sebab saya ambil meja dia kat Kenny Rogers dulu... Yang…. sedikit pun saya tak mampu buang jauh dari ingatan saya sejak lama dulu….,” ucapnya lambat-lambat.

Terdiam aku mendengarkan kata-katanya yang jadi sedikit romantis. Membuatkan debaran kembali singgah di hati saat ini.

“Tahu tak? Lepas kita jumpa dulu saya menyesal sebab tak cuba berkenalan dengan Unie. Masa tu saya tak sangka yang saya akan jadi angau macam tu. Dan bila satu hari Adah balik dari kampus, dia beritahu dia dah jumpa Unie, saya rasa gembira sangat. Kebetulan kawan sebiliknya dulu student Unie,”

“Oh... sebab tu Unie tak kenal dia. Rupanya melalui kawan...,”

“Ya.... Tapi lepas tu dia beritahu yang Unie dah kahwin. Unie tengah mengandung. Dan asyik cuti aje. Kawan dia beritahu yang Unie ni kuat alahan masa mengandung. Selalu kena masuk hospital, selalu MC dan tak dapat datang kerja. Masa tu saya frust sangat. Baru aje jumpa yang kita dah berkenan, rupa-rupanya dah jadi isteri orang,”

Aku menarik nafas panjang.

“Bila kita jumpa lagi kat dalam komuter tu…, kenangan lama datang balik. Tapi saya akur, Unie bukan jodoh saya. Unie… dah bersuami, dah ada anak... Masa tu… saya belum tahu yang Unie dah... putus dengan suami Unie tu,” katanya perlahan-lahan seolah-olah cuba untuk tidak menyinggung perasaanku.

“Tapi bila kita jumpa lagi kat kondomanium kita…, saya rasakan ada sesuatu di sebalik pertemuan-pertamuan kita tu. Saya rasa… ia bukan satu kebetulan. Allah memang nakkan kita berjumpa. Mungkin…, jodoh kita kuat, hinggakan kita dipertemukan semula. Dan bila saya dapat tahu yang Unie dah berpisah dengan suami, saya jadi lebih yakin yang… Allah memang nak satukan kita. Sebab tu.... saya beritahu Kak Pah dan Suzana yang saya sukakan awak,”

“Suzana?”

“Ya, dia yang ceritakan segala-galanya tentang awak pada saya,”

Aku menelan air liurku. Terkedu lagi. Rupa-rupanya masih ada kejutan yang aku belum tahu lagi. Selama ini aku hanya menyangka Kak Pah yang membawa cerita. Langsung aku tidak menyangka yang Suzana juga ada peranannya dalam semua ini. Ah... sungguh aku tidak percaya.

“Unie,” serunya apabila melihatkan aku lama mendiamkan diri.

Aku berpaling menatap wajahnya. Kami bertatapan, lama sekali. Kebetulan ketika itu MPVnya diberhentikan kerana berada di persimpangan lampu trafik.

“Saya betul-betul serius dengan apa yang saya katakan petang tadi,”

“Huh.... ,” keluhku sambil ketawa perlahan.

“Kenapa Unie ketawa. Sinis sangat, Unie tak percaya,”

“Sanggup ke awak? Nak ke awak hadapi semua ni dengan saya. Awak ingat senang ke? Dah hampir lima bulan sejak saya balik, saya cuba kumpul kekuatan untuk bersemuka dengan dia. Tapi sampai hari ni saya belum berani. Saya bimbang nanti kalau dia tahu, dia akan terus tak benarkan Sarah keluar. Dia mungkin akan halang saya dari jumpa Sarah. Dia mungkin akan sekat kebebasan Sarah. Anak saya tu kecil sangat lagi untuk mengerti semua ni. Dan saya.... kalau itu yang berlaku, saya... tak tahu apa yang patut saya lakukan lagi. Saya tak sanggup terus kehilangan Sarah,” kataku perlahan.

Dia diam, langsung tidak memberikan apa-apa reaksi dengan kata-kataku itu. Seolah-olah tidak mendengar kata-kataku itu. Hinggakan aku merasakan seperti tidak yakin sama ada betulkah aku yang berkata-kata sebentar tadi. Meluahkan apa yang terbuku di hati. Dan dia terus membisu, tanpa kata. Membuatkan aku turut sama membisu.

Kami akhirnya tiba ke destinasi kami. MPVnya diberhentikan di tempat parkirnya. Namun sedikitpun kami tidak berganjak dari tempat duduk kami. Terasa seolah-olah tidak mahu berpisah. Terlalu banyak yang ingin aku katakan padanya. Terlalu banyak yang ingin aku kongsikan bersamanya. Menyedari hakikat itu, aku terasa seperti terhimpit dengan rasa bersalah. Layakkah aku???

“Tapi sampai bila awak nak terus jumpa dia secara sembunyi-sembunyi macam ni?” Tanya dia tiba-tiba.

Ah… dia dengar rupa-rupanya akan kata-kataku tadi. Sangkaku dia tidak mendengar dek kerana sikapnya yang membisu. Rupa-rupanya tidak, dia mendengar sebanarnya. Namun tidak mendesak supaya aku terus menceritakannya. Lama aku mengambil masa untuk menjawab soalannya itu.

“Sampai bila-bila.... sampai saya cukup kuat nak hadapi Abang Izwan,” akhirnya aku bersuara.

“Itu nama dia ye?”

Aku berpaling kepadanya. Mengangguk lesu.

“Pada mulanya saya pelik tengok awak selalu keluar setiap hari Ahad. Bila saya berbual dengan Suzana, barulah saya tahu masalah awak tu. Jadi saya ekori awak. Saya nak tengok sendiri apa yang awak buat. Awak sepatutnya jumpa dia. Bincang dengan dia baik-baik,”

“Huh.. nak berbincang dengan Abang Izwan? Awak tak kenal dia. Dia bukan jenis manusia yang boleh diajak berbincang. Dia... ego dia tinggi sangat. Kalau tidak, takkan lah dia ceraikan saya tanpa sebarang sebab. Dia tak pernah mahu berbincang dengan saya. Tak pernah beri peluang untuk saya tahu apa salah saya. Bila ditanya dia kata saya curang. Saya sendiri tak tahu bila atau dengan siapa saya curang. Dia... kejam sangat,” kataku sambil menahan sebak.

“Mungkin Unie boleh rujuk peguam syarie?”

“Saya tak mampu nak bayar khidmat lawyer Rafiki,”

“Mungkin awak boleh dapatkan khidmat nasihat Biro Guaman?”

“Saya dah pergi jumpa mereka,”

“Apa kata mereka?”

“Mereka kata kes saya ni susah sikit nak menang sebab dalam kes ini Sarah sudah dalam keadaan baik. Kebajikan dia dah terjaga bila dia tinggal dengan ayahnya. Memang sebenarnya hak penjagaan anak yang belum mumaiyiz ni lebih kepada pihak ibu, tetapi keadaan saya yang belum setabil ni, mungkin akan menjejaskan kebajikan Sarah. Dalam hal penjagaan anak ni, mahkamah selalu pentingkan kebajikan anak itu. Mereka nasihatkan supaya saya tidak menuntut hak penjagaan. Lebih baik kalau saya bincang baik-baik dengan Abang Izwan supaya saya diberi peluang untuk berjumpa Sarah. Kalau dia setuju, saya tak perlu turun naik mahkamah hanya untuk menghadapi kekalahan,”

Lama dia diam. Mungkin sedang memikirkan sesuatu.

“Kalau saya bantu awak? Kita cari peguam? Saya boleh bayarkan...”akhirnya dia berkata perlahan.

Terkejut aku mendengarkan kata-katanya itu. Cepat-cepataku menggelengkan kepalaku.

“Jangan... jangan.... saya... tak akan terima itu dari awak. Saya tak akan.... saya ulang sekali lagi... tak akan... terima budi awak,”

Dia mengeluh perlahan. Dia mengetap bibirnya. Matanya terus tertancap ke wajahku.

“Awak nak pergi jumpa dia… maksud saya, Izwan?” tanyanya akhirnya.

“Saya... belum berani lagi. Macam yang saya katakan tadi, saya bimbang kalau saya jumpa dia, lepas ni saya langsung dah tak boleh jumpa Sarah lagi.,”

“Saya temankan awak pergi jumpa dia?”

Aku merenung ke wajahnya. Cuba untuk memahami maksudnya. Tidak tersalah dengarkah aku kali ini? Atau mungkin dia cuma bergurau?

“Saya serius,”

“Kenapa?”

“Masa pertama kali saya dapat tahu yang Unie dah berpisah dengan dia hari Unie pindah masuk ke apartmen kita ni, saya dapat rasakan kesedihan yang Unie rasakan tu. Saya rasa simpati sangat. Sampaikan saya jadi lupa diri. Tidak sepatutnya saya memegang tangan Unie masa tu kan? Tapi, waktu tu saya rasa saya perlu buat sesuatu untuk buang riak sedih di wajah Unie tu. Saya betul-betul nak bantu Unie, saya nak hapuskan kesedihan Unie tu,”

Aku terdiam. Aku tidak mampu untuk berfikir apa-apa saat itu. Semuanya jadi buntu.

“Boleh tak Unie? Izinkan saya jadi pendamping Unie. Bila dengar cerita Suzana tentang kesedihan dan kesengsaraan Unie selama ni, saya turut rasa sedih. Saya nak Unie bahagia. Dan…, saya nak bahagia dengan Unie,”

Aku menarik nafasku panjang-panjang. Cukup terkejut dengan pengakuannya itu. Memang selama ini aku bagaikan dapat meneka perasaannya terhadapku. Namun, kata-katanya yang cukup tegas kali ini membuatkan aku tertanya-tanya. Ada keikhlasankah dalam kata-kata itu?

“Kenapa awak kata macam tu? Awak lelaki yang sempurna. Awak ada segala-galanya. Kenapa awak nak susahkan diri untuk saya. Kenapa awak nak dampingi orang yang malang macam saya? Mummy awak tentunya tak suka kan? Saya janda Rafiki, tak punya apa-apa. Cuma yang ada, kesedihan dan kekecewaan,” ucapku lembut.

Mataku terus merenung ke hadapan. Di celah-celah kegelapan malam kelihatan permandangan indah kawasan perumahan yang berdekatan begitu luas terbentang. Namun kerdipan lampu-lampu neon dari kawasan perumahan itu langsung tidak mampu menandingi keindahan kerdipan bintang-bintang di langit. Sungguh indah dan mendamaikan ciptaan tuhan itu. Malangnya kedamaian seindah itu sedikitpun tidak mampu untuk melegakan perasaanku saat ini.

“Sebab itu saya nak bersama Unie. Saya nak buang semua kesedihan dan kekecewaan itu,”

Cukup aku terharu dengan kata-katanya itu. Airmata mula bergenang di tubir mata. Sungguh tidak aku menyangka ini akan berlaku. Sungguh aku tidak percaya ada hati yang cukup mulia yang ingin melihat aku kembali bahagia.

“Kalau Unie sudi, boleh tak terima saya? Saya nak hubungan yang halal dengan Unie. Saya nak jadi suami Unie, nak kembalikan kebahagiaan yang sekian lama dah hilang dalam hidup Unie,”

Ya Allah, benarkah semua ini? Benarkah apa yang dikatakan ini? Bermimpikah aku? Sering dalam hati ini menafikan daya tarikan yang ada antara kami. Sering aku cuba lari dari hakikat bahawa aku sudah terpikat kepadanya. Hanya kerana menyedari siapa diri ini. Tapi kini, kata-kata itu tadi keluar terus dari bibirnya yang cukup menawan itu. Yang sering aku dambakan kehangatannya dalam angananku.

“Unie?”

“Tapi... perasaan awak tu salah. Saya, tak layak untuk awak,” jawabku perlahan.

“Tak ada yang salahnya Unie, tak ada. Jangan nafikan tarikan antara kita. There’s a strong chemistry between us. Saya dapat rasakan. Dan saya tahu Unie juga dapat rasakan,”

“Tapi... keluarga awak? Mummy dan ayah awak?”

“Kami dah bincang tentang perkara ini. Dah lama dah, sejak saya jumpa Unie semula,” katanya lagi lembut sungguh bicaranya itu.

Bagaikan memujuk hati ini. Bagaikan menjelaskan bahawa itulah yang sebenarnya. Yang sebaiknya untuk aku dan dia

“Boleh ke mereka terima saya?” ucapku penuh nada ragu-ragu.

“Pada awalnya mummy ada sikit rasa ragu-ragu. Tapi bila saya yakinkan dia, dia nampaknya setuju. Macam tadi, dia nampak teruja bila dapat jumpa Unie. Sampaikan masa nak balik tadi dia siap ajak Unie datang ke rumah untuk kenal semua ahli keluarga saya kan? Itu menunjukkan penerimaan dia terhadap Unie,”

Aku diam seketika. Terasa begitu tertekan saat ini. Ya Allah, sesungguhnya terlalu banyak rahsia yang aku ketahui dalam masa satu hari ini. Terlalu banyak sehinggakan tidak dapat aku terima semuanya dalam satu masa begini. Bantulah aku ya Allah. Aku buntu... buntu.

“Ayah awak?”

“Ayah tak pernah ada halangan. Dia hanya doakan kebahagiaan saya saja,”

Aku diam lagi. Lama. Dan dia hanya memandangaku dalam jarak waktu itu. Bingung aku jadinya. Dia? Sarah? Yang mana satu patut aku pilih? Sarah? Dia? Ah... aku mahukan kedua-duanya. Bisakah aku ya Allah... bisakah aku memilikku kedua-duanya?

“Saya tak nak desak Unie. Mungkin Unie perlukan masa. Fikirkanlah. Buat sembahyang Istikharah. Biar Allah tunjukkan apa yang lebih baik untuk Unie. Dan saya pun akan terus berdoa supaya saya akan jadi yang terbaik untuk Unie,”

Kata-kata itu membuatkan aku kembali menatap wajahnya. Suasana malap dari lampu di tempat parkir itu memberikan satu rasa syahdu di hati ini. Ya, sungguh aku juga cintakan dia. Semua yang ada pada dirinya. Bukan cinta biasa. Cinta yang lahir dari kesucian hati. Yang terbit dari keimanan yang dizahirkan dalam tingkah dan bicaranya. Namun layakkah aku? Layakkah aku menerima keajaiban ini? Dan bagaimana pula nanti dengan Sarah?

Lama kami bertatapan begitu. Berbicara tanpa suara. Bermadah rindu dalam diam. Menyulam cinta dalam kebisuan. Namun dalam kesuraman cahaya lampu itu, sedikitpun dia tidak mengambil kesempatan pada diri ini. Sedikitpun dia tidak menyentuhku, walaupun ada ketikanya aku dapat rasakan yang dia ingin sekali berbuat begitu. Dan aku, entah mengapa bagaikan terlalu percaya pada dirinya. Bagaikan terlalu yakin dengan keikhlasannya.

Ah .... Munirah, kau mahu menempah sengsara lagi ? Ingin kembali terjerumus dalam keadaan yang menyakitkan itu lagi? Ingin kembali mengalami kekecewaan itu lagi? Tidak serikkah engkau? Dulu kau sudah separuh mati dikecewakan. Hanya Allah sahaja yang memberikan kekuatan waktu itu. Dan kini kau mahu mengalaminya semula?


*************

Salam pada semua pembaca e novel ini,

merupakan bab terakhir di sini.... kalau tidak ada pelawaan dari penerbit, insyaallah akan di habiskan nanti di sini....

terima kasih keranan setia membaca. nantikan cerita yang lain pula ok?

salam sayang buat semua....
laila hanni

19 comments:

MaY_LiN said...

alahai unie..terimala rafiki tu..
xsabar nak tau end cite ni..
pepe pun kite follow..

blinkalltheday said...

vote for rafiki...

AniLufias said...

kak laila hanni : tahniah...aduiii mmg best...

hud said...

alalala....

mesti nanti rindu pada unie dan rafiki...

kak laila, sambung SCB ye?? bole tak??

fard_kay said...

best ...chaiyok rafiki

aqilah said...

bezzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz
confirm punya penerbit ambil cite ni!!!!!!!!!!!!!!
tahniah!!!!!!!!!!!!!!!!
apapun, i followwwwwwwwwwwwwwwwwwwww

yanadi said...

stuju ..... superb la...
sy sntiasa skong akak...

laila hanni said...

thnx semua..... for being so supportive. luv u all....

Seorg wanita... said...

tertinggal bab ni... best sgt... family Umar Rafiqi semua boleh terima Uni..layan dgn baik... Uni pun dah ngaku dia cintan Umar Rafiqi, cumernya masih belum berani utk teruskan hubungan based on past experience dia dgn Izwan... bestnyer kalau jumper somebody mcm Rafiqi ni..bertuah sgt Unie ni... :-) Thanks K.Laila atas citer yg best ini...

Anonymous said...

bila nak ada n3 ni........dah lama tggu.....

Anonymous said...

xcted sgt2 novel nie..thumb up 2 k.laila...congrate 4 the nice novel...n3 bru hrp2 akn menyusul..hehe

Anonymous said...

xcited sgt n tk sabar nk baca endingnya. akak harap sangat jodoh unie dgn rafiki bkn dgn izwan yang dayus. no ........... jgn jodohkan mereka ...... tautkan hati unie dgn rafieki ...... satukan hati mereka laila hanni ............

wida said...

novel nih kuar versi cetak ke...

Anonymous said...

dah lama tak update e-novel nie kan? versi cetak dah kuar ke?

laila hanni said...

Anon, versi cetak dah pun keluar... boleh dapatkan di pasaran, dah ada kat kedai2 buku. tapi kalau nak yang ada signature, nanti PM saya di fb ye? TQ..:)

laila hanni said...

Insyaallah Wida, SYKT dah keluar versi cetak...:)

Chenta Eyfa Latieyfa said...

dah abis ke ..ending camtu jek ea..hehehe

Chenta Eyfa Latieyfa said...

best cite nih.congrats kak laia hanni

celoretcute said...

agak lwt sy dptkan nvl ni...bc snopsis mcm takut nk bc ceritanya...tp..Alhamdulillah..jln cerita yg baik..byk pngajarn...sy suka bl Unie temui bahagia dgn org lain...jgn terikat dgn kisah smlm..sdgkan bahgia tbentang di depan mata...Tahniah Laila Hanni

Post a Comment

Popular Posts