Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's



Bab 22



Suasana pagi itu terasa dingin sekali. Hujan yang turun mencurah-curah sejak semalam membuatkan suasana begitu gelap walaupun jam di dinding sudah menunjukkan ke pukul 8 pagi. Sepatutnya Syamsul bertolak ke hospital sejak awal pagi lagi. Tetapi disebabkan hujan yang turun tanpa henti, suaminya itu masih lagi tidak dapat ke sana. Tentu basah nanti bila sampai di hospital jika dia menaiki motosikalnya.

Semalam, selepas ditinggalkan sendirian di bilik, Mai tidak habis-habis memikirkan tentang bagaimana caranya untuk dia mengelakkan dari terpaksa sebilik bersama Syamsul apabila emak mertuanya dan Shuhaida balik nanti. Malam tadi mungkin dia mampu melepaskan diri bila Syamsul  memilih untuk tidur di luar bilik bersama Nabil. Tapi bagaimana nanti bila emak mertuanya dan Shuhaida ada nanti? Alasan apakah yang boleh dibuatnya untuk mengelakkan diri dari sebilik dengan lelaki itu. Mungkinkah dia boleh menawarkan diri untuk menemani emak mertuanya? Dia terfikir sendiri. Ya, alasan itulah yang akan digunakannya nanti untuk mengelakkan dia dari terpaksa menghabiskan malam itu sebilik bersama Syamsul. Sesuatu keadaan yang tidak sama sekali diinginkannya saat ini kerana dia sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku sekiranya mereka tidur sebilik nanti. Dia tidak mampu untuk mempercayai Syamsul sebagaimana dia tidak mampu untuk mempercayai dirinya sendiri.

Bila waktu mula menghampiri jam 9.00 pagi, Syamsul sudah mula resah. Dia sepatutnya sudah ke hospital sekarang, tetapi hujan yang turun mencurah-curah di pertengahan bulan November itu bagaikan menjanjikan suasana yang tidak sesuai untuk sesiapapun juga untuk menunggang motosikal walau ke mana jua destinasi mereka. Namun bagaimana jika hanya itu sahaja kenderaan yang dia ada?

“Aku kena pergi jugak ni...” keluhnya perlahan. Matanya liar memandang ke luar tingkap rumah. Cuba menebak cuaca yang kelihatannya seperti langsung tidak mahu berpihak kepadanya.

“Tapi hujan ni awak ....,”

“Aku tau... nampak pun memang macam hujan tu..,” katanya dengan nada sinis. Kata-kata Syamsul yang bagaikan sindiran itu buat Mai mengetap bibirnya menahan kemarahan. Namun dibiarkannya sahaja sindiran itu berlalu bersama hujan yang bagaikan tidak mahu berhenti.

“Ada tak sesiapa yang kita boleh minta tolong... maksud saya, kita upah sesiapa yang ada kereta untuk pergi ambil mak?”

Syamsul  memandang ke wajah Mai. Ingin sekali dia bertanya mengapa wanita manis ini begitu mengambil berat sedangkan selama ini dia tidak pernah menunjukkan minat terhadap keluarganya. Mengapa tiba-tiba begini? Tuluskah atau hanya satu permainan darinya?

“Kenapa awak tengok saya macam tu?”

Syamsul  terus memandang ke dalam mata Mai. Cuba mencari keikhlasan di situ. Yang terlihat hanya cahaya indah yang merenungnya kembali. Lantas Syamsul  melarikan anak matanya ke arah lain. Wajah selamba itu menyebabkan sesuatu berlaku di jantungnya sekali lagi. Ahhh.. dia tidak boleh biarkan itu berlaku kepadanya.... Tidak bolehhh...

“Kenapa....? Sejak bila pulak aku tak boleh tengok muka isteri aku?” sindirnya lagi.

Kata-kata itu buat Mai mendengus marah. Dia tidak mampu lagi menerima sindiran demi sindiran sebegini.

“Awak... tolonglah... saya serius ni...,”

Syamsul diam mendengarkan keluhan Mai. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu menyindir begitu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia perlu buat Mai marah. Atau mungkin kerana sikap Mai itu membuatkan dia merasakan sakit hati bila mengenangkan bagaimana wanita berwajah manis ini akan meninggalkan mereka nanti. Tentu banyak hati yang akan terluka nanti. Dia pasti dengan hakikat itu.

Tanpa menghiraukan kata-kata Mai, Syamsul  mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula mendail satu nombor. Dia kemudian diam menanti jawapan dari hujung talian.

“Hello Kak Yah... Assalamualaikum,” katanya sambil bangun sambil terhencot-hencot meninggalkan Mai yang sama-sama duduk di pangkin dapur tempat keluarga Syamsul menjamu selera.  Kakinya yang pendek sebelah menyebabkan dia tidak mampu membetulkan langkahnya sehingga ke akhir hayatnya nanti. Itu kecacatan kekal yang tidak mungkin akan mampu dia hindari akibat dari kemalanagn lima tahun yang lalu. Suasana sejuk seperti pagi ini sememangnya menjadi masalah baginya. Sengal di pahanya membuatkan dia tidak mampu untuk berjalan dengan selesa. Sesuatu yang perlu ditanggungnya hingga ke akhir hayatnya akibat dari kemalangan itu. Betul kata orang, luka mungkin tidak lagi berdarah, namun parutnya kekal selagi hayat ada. Sakitnya masih terus menyeksakan biarpun hadirnya sekali sekala sahaja.

Mai memandang Syamsul  berlalu meninggalkannya. Dia perasan dengan keadaan Syamsul  yang terhencot-hencot luar dari keadaan biasanya. Hatinya jadi tertanya... sakitkah suaminya itu? Selalunya langkahnya tidaklah seteruk itu walaupun terhencot-hencot. Seketika kemudian Syamsul  kembali menghampirinya. Masih lagi terhencot-hencot seperti tadi. Riak wajahnya menggambarkan rasa tidak selesa.

“Awak sakit ke?” sepatah Mai bertanya. Namun diam yang menjawab sapaannya itu. Ah ... sungguh dia tidak mengerti sikap lelaki ini. Makin dia cuba untuk  memperbaiki keadaan di antara mereka, makin Syamsul  bersikap acuh tidak acuh kepadanya.  Sungguh dia tidak mengerti.

“Syam ...?” katanya geram. Terasa sakit hatinya melihatkan perilaku suaminya itu.

“Apa... apa kau kesah... aku sakit ke... aku sihat ke... suka hati akulah. Sejak bila pulak kau ambil berat pasal semua tu? Jangan cakap kau nak jadi isteri yang solehah pulak... tak perlu berlakon depan mata aku.,” ucap Syamsul  dengan nada marah.

Tersentap hati Mai mendengarkan kata-kata itu. Sungguh dia tidak mengerti mengapa Syamsul  harus marah kepadanya. Bagaikan diramas perasaannya saat itu. Apa salahnya kali ini sehinggakan Syamsul  berkata begitu kepadanya.

“Sampai hati awak kata macam tu. Niat saya baik... kalau sakit, mungkin saya boleh bantu. Tak apalah kalau macam tu. Mungkin saya ni penyibuk... Maaf...,” ucapnya dalam nada merajuk.

Cepat-cepat dia bangun dan meninggalkan Syamsul  yang masih termangu berhampiran tingkap dapur. Perlahan Syamsul  memejamkan matanya. Dia tahu yang dia sudah membuat satu lagi kesilapan. Dia mengeluh perlahan, melepaskan sesak di dada. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia merasakan ada kemarahan yang memenuhi ruang rasanya saat itu. Sungguh dia tidak mengerti...



****

Kereta Abang Derasid bergerak perlahan meninggalkan kawasan rumah kecil itu. Rupa-rupanya Syamsul  menelefon sepupunya Kak Mariah untuk meminta bantuan mereka untuk menghantarnya ke hospital dan mengambil emaknya sekiranya sudah dibenarkan pulang nanti. Kebetulan hari ini Abang Derasid yang bekerja sebagai nelayan tidak turun  ke laut kerana hujan dan laut yang bergelora. Maka dia bersedia untuk membantu. Biarpun keretanya hanyalah kereta usang, namun sudah cukup bagi mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain terutamanya dalam keadaan hujan sebegini. Pada mulanya Mai teringin juga untuk turut sama menjemput emak mertuanya, tetapi memandangkan tiada yang akan tinggal bersama Nabil dan Wawa, maka dia membatalkan niatnya itu. Dan dalam hatinya menetapkan tekad, cuti sekolah nanti dia akan pulang membawa keretanya. Harapannya itu akan memudahkan semua pihak bila ada keperluan untuk mereka ke mana-mana nanti. Sejak pagi Wawa cuba mengelakkan diri darinya. Mai tahu dia tidak mampu untuk memenangi hati anak tirinya itu buat masa ini. Tetapi entah mengapa hatinya terpanggil untuk berbuat sesuatu supaya tiada salah faham pada diri Wawa terhadapnya. Jika Wawa menyangka yang dia akan mengambil tempat umminya, maka dia silap. Jika perkahwinan ini kekal lebih lama dari yang dia harapkan, dia perlu pastikan Wawa akan dapat menerimanya sekurang-kurangnya sebagai kawan.

Tengahari itu Mai cuba mengambil hati anak-anak tirinya dengan memasak makanan tengahari. Sudah sekian lama dia tidak memasak. Sejak berkahwin dengan Syamsul, selalu lelaki itu yang memasak makanan tengahari sebelum dia keluar ke restoren. Dan bila dia pulang dari sekolah sering ada sahaja makanan yang sudah terhidang di meja makan. Dia cuma perlu memanaskannya sahaja. Tapi hari ini dia tahu dia perlu menyediakan sesuatu untuk mereka. Dan hidangannya itu perlulah sesuai dimakan oleh emak mertuanya nanti.

Bila melihat di dalam peti ais di dapur, Mai mendapati terdapat ayam dan beberapa rencah yang sesuai digunakan untuk memasak sup ayam. Lalu dia mengambil keputusan untuk menyediakan hidangan itu buat mereka. Sambil itu dia juga menyediakan sedikit bubur nasi untuk emak mertuanya. Sebenarnya dia tidak begitu pasti apa jenis hidangan yan sesuai untuk pesakit jantung. Tapi dia tahu bahawa sup ayam selalunya di sediakan untuk juadah bagi pasakit-pesakit di hospital. Dan kerjanya jadi lebih menyeronokkan apabila Nabil datang ke dapur untuk ‘membantu’. Dengan kata lain, anak kecil itu sebenarnya lebih berperanan untuk menemaninya dengan pelbagai soalan-soalan yang ada ketikanya tidak mampu untuk dia menjawab. Tapi tetap dia merasa begitu gembira sekali kerana dapat melayan kerenah anak kecil itu. Cuma yang membuatkan dia sedikit terkilan adalah dengan sikap Wawa yang masih terus tidak menghiraukannya. Dan dia berjanji pada dirinya, keadaan tegang antara dia dengan Wawa perlu dia selesaikan. Dia suka anak itu dan dia rasakan mereka boleh jadi kawan yang baik sekiranya Wawa mampu menerima dirinya seadanya. Bukan sebagai pengganti umminya, tetapi sebagai seorang ibu yang sepatut dihormatinya. Hakikat itu membuatkan Mai merasa sedikit terkilan. Mampukah dia terus menjadi ibu kepada kedua anak ini sedangkan dia sendiri telah menetapkan syarat kepada Syamsul bahawa penikahan mereka ini tidak akan kekal lama. Mai mengeluh lagi bila mengingatkan keadaan itu. Keadaan yang dia sendiri tetapkan demi untuk kembali kepada Irfan.



****



Syamsul, Shuhaida dan emak mereka tiba di rumah kira-kira jam 4.00 petang itu. Cepat-cepat Mai membawa emak mertuanya merehatkan diri di dalam biliknya yang telah dikemas rapi sebelum itu. Selepas memasak dan makan tengahari bersama Nabil, dia telah membersihkan bilik emak mertuanya supaya sesuai untuk digunakan. Bilik yang telah agak lama ditinggalkan sejak orang tua itu dimasukkan ke hospital kira-kira sebulan yang lalu, dikemas sebersih-bersihnya dibantu oleh Nabil. Wawa hanya memerhatikan dari jauh sahaja aktiviti kedua ibu dan anak itu dengan ekor matanya. Ada juga dia mempelawa Wawa untuk turut sama. Tetapi anak gadis itu hanya diam tanpa mengendahkan pelawaannya.

Kepulangan emak mertuanya turut disambut oleh jiran-jiran yang tidak berkesempatan untuk mengunjunginya di hospital sebelum ini. Entah dari mana mereka tahu akan kepulangan ini pun Mai sendiri tidak pasti. Mungkin dari Kak Mariah yang telah mengetahuinya selepas mereka meminta bantuan untuk menggunakan kereta suaminya untuk membawa pulang emak mertuanya itu pagi tadi. Sehingga ke maghrib, tidak putus-putus tetamu yang hadir mengunjungi orang tua itu. Dan dikesempatan itu juga, masing-masing mengambil peluang untuk berkenalan degan menantu barunya. Pada mulanya Mai merasa tidak selesa. Tetapi, setelah mendapati dirinya seolah-olah diterima oleh ahli keluarga Syamsul, terbit rasa bahagia di hati.  Ingin  sekali rasanya dia untuk terus membiarkan rasa itu kekal berada di hatinya.

***

“Mak... malam ni Mai tidur dengan mak ye?” ucapnya perlahan kepada emak mertuanya.

“Eh... mana boleh.... tak kan akak nak tidur dengan mak. Apa kata abang nanti...,” usik Shuhaida yang memasang telinganya yang bagaikan telinga lintah.

“Ida....,” lirih suara Mai dek kerana malu akibat diusik sebegitu. Merona merah di pipinya  dengan usikan Shuhaida.

Mereka baru sahaja berkumpul di ruang tamu rumah kecil itu setelah selesai menjamu selera dengan masakan yang dimasak oleh Mai tengahari tadi. Gembira sungguh hatinya apabila melihatkan semua begitu berselera sekali menjamah sup ayam yang dimasaknya. Malah emak juga mampu menghabiskan semangkuk bubur nasi bersama dengan sup tersebut. Berbaloi rasanya penat lelahnya menyediakan masakan tersebut tadi. Wawa juga makan dengan berselera walaupun tidak sedikit pun memberikan apa-apa komen tentang masakannya. Cuma Syamsul  sahaja yang dengan   agak sinis mengatakan sup itu sedikit masin. Tapi kenyataannya itu disanggah oleh Shuhaida membuatkan Mai yakin Syamsul  hanya ingin menyakitkan hatinya sahaja dengan kata-katanya itu.

“Iye kak..., mana boleh... hari tu, masa ustazah cerita bab nikah kahwin kat surau lama tu... dia kata haram para isteri meninggalkan tempat tidur suaminya tanpa izin. Usahkan tinggalkan...,berpaling belakangkan suami masa tidur pun dah berdosa katanya”

Dan kata-kata itu bagaikan belati yang cukup tajam yang menoreh luka di hati Mai. Betapa selama ini, itulah yang dia lakukan kepada Syamsul. Membiarkan Syamsul  tidur sendirian, makan sendirian dan hidup sendirian di rumahnya. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Syamsul  bertahan dengan sikap buruknya itu. Kalaulah lelaki lain, sudah pasti semua ini akan dijadikan alasan untuk menyalahkan dirinya. Menjadikan semua ini sebagai  punca perbalahan yang pastinya akan tercetus antara mereka.  Tetapi tidak dengan Syamsul, lelaki itu masih lagi sanggup menjaga maruahnya sebagai seorang wanita sedangkan dia memberi syarat-syarat yang keterlaluan dalam hubungan mereka. Semua syarat itu dia sendiri yang tetapkan hanya kerana menurut kata Irfan yang terlalu menjaga egonya sediri. Hinggakan sering dia hilang pertimbangan dalam membuat keputusan.

“Tak apalah Ida, biar kak Mai kau tu yang temankan mak. Lagipun pagi esok kami nak kena keluar awal. Kapalterbang pukul 6.15 pagi. Kena daftar masuk pukul 5.00 pagi, maknanya pukul 4.00 dah kena bertolak. Nak sampai ke airport, ambil masa sejam jugak.  Memang kena bangun awal tu...,” sindir Syamsul  dari tempat dia duduk bersama anak-anaknya di hadapan television.

“Ala abang ni.... kalau macam tu macam mana nak lepaskan rindu...,” kata Shuhaida dalam nada gurau. Ketawanya pecah memeriahkan suasana. Kemudian dia menyambung, “Eh... lupa.. tak apa... nanti Kak Mai balik masa cuti nanti... bolehla abang lepaskan rindu puas-puaskan?” dan Shuhaida ketawa lagi.

“Ida ni...,” kata Mai terkejut dengan usikan adik iparnya itu. Terjerit gadis itu bila jari jemari Mai singgah di pehanya.

Syamsul  turut tertawa bersama adiknya. Makcik Nisah juga senyum lemah sambil memandang kepada anak-anaknya. Sesungguhnya dia cukup gembira dengan keadaan ini. Sudah lama dia tidak mengalami kegembiraan sebegini. Sangat lama, sejak kematian Suhaila  lima tahun yang lalu.

“Tak apalah Mai..., Mai tidurlah kat dalam. Mak tak apa. Lagipun Wawa dengan Nabil pun nak tidur dengan mak juga. Mai pergilah tidur kat dalam... nanti penat... susah pulak nak bangun pagi esok....,” kata Makcik Nisah perlahan.

Dari ekor matanya Mai dapat melihat Wawa bangun dengan cepat sekali menuju ke biliknya. Mungkin meluat bila mendengarkan perhatian semua orang terhadap ibu tirinya itu.  Perlakuan Wawa itu tidak lepas juga dari ekor mata Syamsul. Dia mengeluh perlahan memikirkan sikap anaknya itu. Sedikitpun dia tidak menyalahkan Wawa kerana bersikap begitu. Anak itu masih belum mengerti tentang kehidupan. Dan tiada sesiapapun yang boleh buat dia mengerti saat ini seandainya dia sendiri tidak mahu membuka ruang dalam dirinya untuk semua itu.

“Pagi esok Abang Derasid nak tolong hantar engkau ke airport. Janji dengan dia dalam pukul 3.30  ... kau ok tak?” tanya Syamsul kepada Mai setelah beberapa ketika semua diam.

“Eh... abang... kenapa panggil kak Mai.... kau....? Teruknya....,” komen Shuhaida dengan nada cukup terkejut. Mai dan Syamsul  jadi terdiam. Ah ...          satu alasan lagi yang terpaksa mereka cipta. “Tak baik tau panggil isteri dengan panggilan macam tu... panggillah yang manja-manja sikit....          ,” sambungnya lagi.

“Oklah mak nenek.....,” kata Syamsul,  sekadar untuk menutup bicara adiknya itu.

Sebentar kemudian dia bangun dan mula melangkah ke bilik.

“Elok tidur sekarang. Nanti nak kena bangun awal,” dengan selamba dia bersuara kepada Mai. Mtanya bagaikan menyampaikan sesuatu kepada isterinya. Menyatakan bahawa malam ini tiada peluang untuk Mai melepaskan diri dari tidur sebilik dengannya. Dan bersama senyum sinis, dia menyambung kata-kata,  “mak, Syam tidur dulu ye...?”

Bila melihatkan emak mertuanya mengangguk, Mai tahu dia tidak boleh lepaskan dirinya lagi. Malam ini, dia terpaksa berada sebilik dengan Syamsul.

22 comments:

Anonymous said...

Best......
Nak lgi.....

Lieynaim mohd noor said...

hahahhaahah... takut jgk mai dgn syamsul ye kak laila

syiela said...

ha.. Mai dah takut!

che`leen said...

wawa oh wawa...
nampaknya mai kena buang semua syarat yg x masuk akal tu.
(terima kasih laila)

Unknown said...

memendam rasa la syam ngan mai ni..harap2 mai sabar je ngan sikap syam tu.. tq kak laila..

Anonymous said...

Saya percaya penulis tahu Syam akan membawa balik emak dan adiknya dari hospital hari itu? Sepatutnya cerita hendak pergi ke hospital dengan motosikal tidak perlu apatah lagi ketika waktu hujan atau pun shuhaida boleh membawa ibunya pulang dengan teksi.

IVORYGINGER said...

terbaik la kak. xsabar nk baca full version. ;D

Anonymous said...

best ..tp lambat benar smbgnya...kdg2 tu sapa terpaksa ulang balik eps lepas....sbb tok ingt jla crite..apa2 pon crite nie mmg best sgt2....

Unknown said...

best...tu je dpt ckp

cik orkid said...

best la kak laila..tapi jangan la lambat sangat update..tak sabar nk tunggu..cerita semakin menarik...

Laila Hanni said...

terima kasih atas komen ini. saya nak menjawab komen ini dan harap saudara/saudari dapat menerimanya. ada sebabnya mengapa saya menulis plot ini. pertama adalah untuk menunjukkan sikap perihatin syamsul kepada ibunya. sememamngnya shuhaidah boleh bawa emaknya pulang sendiri dengan teksi. tetapi atas dasar tanggung jawab sebagai seorang anak lelaki, syamsul rela datang sendiri. penerangan detail tentang hal ini akan saya masukkan dalam manuskrip penuh novel saya ini supaya pembaca mampu lebih faham tentang apa yang nak saya ketengahkan di sini. bukan sekadar cerita tanpa pengertian yang lebih mendalam mengapa mai jatuh cinta pada sy. terima kasih atas keperihatinan asudar/saudari ini. komen sebegini mampu buat saya dapat menulis dengan lebih baik lagi. soooo many thanks to u..

Anonymous said...

xnmpk tulisan la. background menyerlah. skit aty nk bca xnmpk. huhu

Laila Hanni said...

thanks back Che'Leen...:)

ainulrida said...

Bilalah Mai ni nak sedar. Yang dia nak ikut sangat kata Irfan nak buat apa?

Laila Hanni said...

ia ke tak nampak... aduhai... kena baikila ni... insyaallah jika ada masa, saya akan baiki nanti....

Anonymous said...

Salam...jutaan trima kasih sebab rase awal skit akak sambung...bestnye kalo mai ditakdirkn mgdung nanti...mcm mana plak ya prsaan mai kalo dh mgdung. ..Heheheh

Kim Razel said...

Hmm.. betullah tu, sakit mata sikit nak menghabiskan baca...

Unknown said...

keluarga bahagia... sweet..

Anonymous said...

Nak lagi...nak lagi...nak lagi.... Bestnyer...

muda_13 said...

bukak blog kak Laila, jumpa n3 baru pulak, sukeeeee, hehe, panjang pulak tu, dan n3 kali ni, buat makin berdebar2 je, ape yang jadi ek karang, hhe. thanks kak Laila

Anonymous said...

Itulah kasihnya seorang anak. Akak tak nampak sebarang masalah bila dikisahkan gelojak jiwa Syamsul untuk kepulangan ibunya. Teruskan Laila. Bila penceritaan menggunakan pihak ketiga tentunya pengisahannya agak panjang demi memberi gambaran berbanding watak aku. Itu lebih mudah kerna rasa itu lebih kesampaian. Ini sekadar pendapat akak yang tidak pernah tahu berkarya. Baca pandai! Ha! Ha! Aduhai Laila, cinta dah nak mula bertapak namun tergugat kerna sebuah janji.... Siksanya batin cuba menafikan hak dek kerna yang telah diakurkan. Mai... harapnya sedar sebelum rasa itu makin menghilang.. Syam.. sabarlah meraih hak walau dapatnya melalui cara yang agak janggal lagi kurang menyenangkan... More n3 Laila.. Selamat Hari Raya. Psst... penulis yang baik memang selalu peka pada sekeliling...

laila hanni said...

Thanks Akak... susah jugak nak buat peka pada sekeliling ni... Anyway... Laila akan terus cuba untuk menghasilkan sesuatu yang baik....walaupun bukan yang terbaik..

Post a Comment

Popular Posts