Ketika Mai tiba di
rumah tengahari itu kereta Irfan sudah ada di hadapan rumahnya. Perlahan dia
mengeluh. Apa lagi alasan yang harus dia berikan kepada lelaki ini? Pasti Irfan
akan marah lagi seperti minggu lepas apabila dia pulang ke kampung Syamsul tanpa memberitahu lelaki itu. Dan seperti
yang dijangkakannya, air muka Irfan yang begitu keruh sekali menceritakan
segala perasaan yang lelaki itu rasakan saat itu.
“Mai balik kampung
dia lagi?” tanya Irfan apabila dia keluar untuk membuka pintu pagar rumah.
Tanpa menghiraukan
kemarahan lelaki itu, Mai membuka pintu pagar dan kembali semula ke dalam
kereta untuk memandu masuk ke dalam kawasan rumahnya. Irfan mengelak ke tepi
untuk memberi ruang kepada kereta Toyota Vios Mai masuk. Hatinya panas
melihatkan sikap Mai yang sebegitu.
“Mai... abang tanya
ni...,” bentaknya setelah Mai keluar dari keretanya. Mai mengeluh sambil
berdiri tegak menghadapi bekas suaminya itu.
“Abang... Mai baru
sampai ni... sekurang-kurangnya biarlah
Mai masukkan kereta dulu... lepas tu kita cakaplah...,” kata Mai perlahan.
Mindanya masih lagi memikirkan alasan yang perlu dibuatnya kali ini.
“Abang cari Mai
.... cuba telefon Mai... tapi tak dapat.... Mai pergi mana...? Honeymoon ya?” sindir Irfan dengan nada
geram.
“Abang.... mak
Syamsul baru buat rawatan jantungnya
minggu lepas. Dia baru aje keluar dari hospital semalam. Tak kanlah tak boleh
kalau Mai pergi ziarah mak mertua sendiri?” kali ini Mai pula yang membentak.
Cepat-cepat Mai
meninggalkan Irfan untuk masuk ke dalam rumah. Dia masih belum menunaikan solat
Zohor sedangkan jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 3.00 petang. Apabila Mai
membuka pintu utama dan Irfan menunggu seolah-olah ingin turut masuk ke dalam
rumah, Mai kembali berdiri menghadapinya.
“Bang, Mai nak
solat dulu. Abang tunggu kat luar ni ye kejap? Nanti Mai buatkan air. Abang dah
makan? Kalau belum, ni ada nasi yang Mai beli tadi, kalau nak bolehlah abang
makan nasi ni... Tapi... emm... kena tunggu Mai kat luar ni ok?”
Berubah muka Irfan
mendengarkan kata-kata Mai itu.
“Bang... maaf...
abang tak boleh masuk ke dalam... Kita bukan suami isteri lagi...,” ucap Mai
seperti merayu. Mengharapkan lelaki itu faham akan maksudnya.
Irfan mengeluh
keras sekali. Dia terpaksa akur dengan keadaan itu. Lantas dia bergerak ke
kerusi kayu cengal yang terletak di luar rumah. Mai meletakkan bungkusan nasi
yang dibelinya tadi di atas meja kecil di sisi kerusi tempat Irfan duduk.
Suasana petang dengan angin yang bertiup membuatkan terasa hangat sekali untuk
sesiapapun duduk di situ. Tetapi dia tiada pilihan lain. Tidak mungkin dia akan
membenarkan Irfan masuk ke rumah yang pernah mereka kongsi satu ketika dulu.
Terlalu banyak nostalgia indah untuk dikenang nanti. Dan yang pasti, mereka
tidak sepatutnya pun dilihat bersama begini. Bagaimana perasaan Syamsul nanti jika dia melihat isterinya berdua
bersama lelaki begini. Walaupun
pernikahan ini hanya sementara, Mai tahu dia mesti menjaga maruahnya
sebagai seorang isteri. Lantas kata-kata yang Syamsul ucapkan pagi tadi kembali singgah di telinganya.
“Nanti Mai buatkan
air ye bang...?” ucapnya perlahan.
Irfan hanya
mengangguk. Cepat-cepat Mai masuk untuk menyediakan sejug air oren yang sejuk
sekali. Sekurang-kurangnya mungkin ini mampu untuk menyejukkan hati Irfan
selepas ini. Dia membawa keluar air itu bersama dua biji gelas serta sudu dan garfu untuk Irfan menjamah nasi
bungkusnya sementara menunggu dia solat.
“Abang makanlah
ye... Mai pergi solat sekejap. Sekejap aje ya?” katanya kepada lelaki itu
sambil menuangkan jus oren ke dalam gelas.
Irfan hanya diam.
Lantas Mai meninggalkan lelaki itu dan menutup dan mengunci pintu geriji rumah. Dia tidak mampu membayangkan
seandainya Irfan masuk ke rumah apabila dia sedang solat. Keadaan Irfan amat
teruk sekarang ini dan Mai tahu dia mungkin tergamak melakukan apa sahaja dalam
keadaan marah begini. Pantas sekali dia naik ke tingkat atas untuk mandi dan
solat sementara Irfan menunggu di luar.
Irfan mengetap
bibirnya. Rahangnya bergerak-gerak akibat marah dengan keadaan ini. Sejak hari
Jumaat dia mencari Mai di sekolah pada waktu dia sepatutnya pulang. Bila
melihatkan Mai tiada di sekolah, dia datang ke rumah ini dan masih Mai tiada.
Bila dia menelefon, Mai tidak menjawab telefon itu. Mai seolah-olah ingin
menjauhkan diri. Sperti mahu melarikan diri darinya dan tidak lagi mahu
menghubunginya semula. Mengapa dan kenapa? Apabila dia kembali semula ke rumah
ini pada hari Sabtu, masih lagi Mai tiada. Dia cuba menghubungi salah seorang
teman yang mengajar bersama dengan Mai, namun temannya itu tidak tahu ke mana
Mai pergi. Hendak menghubungi orang lain, dia tidak mampu kerana tidak punya
nombor untuk dihubungi. Dan dia sedar kini betapa dia tidak pernah menyimpan nombor
telefon kawan-kawan sekolah Mai. Malah selama ini dia tidak pernah ambil tahu
tentang keadaan kerja isterinya itu.
Selepas setengah
jam Mai turun kembali untuk mendapatkan Irfan. Terasa sedikit segar tubuhnya
selepas mandi dan solat. Sepanjang waktu dia mandi beribu alasan yang dia cuba
reka di mindanya demi untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dirasakan bakal
dipersoalkan oleh Irfan. Namun tidak satu pun dirasakan mampu untuk meyakinkan
dirinya. Lantas dia membiarkan sahaja. Biarlah apa jua jawapan yang akan
diberikan. Dan biarlah apa jua kemarahan yang akan dihamburkan kepadanya kerana
menghilangkan diri sebegitu. Dia akan cuba berlagak sejujurnya.
Bila dia tiba di
sisi Irfan didapati lelaki itu sedang merenung jauh ke tengah padang yang
terbentang luas di hadapan rumah yang pernah mereka kongsi bersama. Rambutnya
yang terjuntai ke dahi terbuai-buai ditiup angin petang yang masih hangat
terasa mengelus di pipi. Walau dalam
keadaan resah sebegini lelaki ini masih lagi mampu menjaga perwatakannya yang
sentiasa kemas bergaya. Buat Mai kadang kala tertanya, samada benarkah
betul-betul ada gundah di hatinya.
“Abang tak makan?”
tanya Mai perlahan sambil matanya tertumpu pada bungkusan nasi yang langsung
tidak dibuka oleh IrfanAair oren yang telah dituangnya untuk Irfan tadi telah
berbaki separuh.
“Abang tunggu Mai
...,” lirih suara itu bagaikan cuba untuk membelai hatinya.
Mai senyum sambil
matanya menjelajahi wajah tampan Irfan. Cuba menanggapi erti yang ingin di
sampaikan. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Irfan tetapi bagaikan sudah tiada
lagi keinginan yang sama di hatinya. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Pernah
satu ketika dia mengangankan perkara yang sama. Sehingga sanggup membiarkan
lelaki ini membuat keputusan buat dirinya.
“Makanlah..., tak payah
tunggu Mai ,”
“Mai tak lapar?”
“Tak apa... abang
makanlah.. nanti kalau lapar Mai boleh buat apa yang ada kat dapur tu..,” entah
mengapa saat itu ingatannya kembali kepada saat di mana dia dan Syamsul memasak murtabak mee segera. Terasa pecah liur
mengingatkan juadah itu. Dan tak semena-mena masih terasa lagi hangat genggaman
jari jemari kasar itu ketika ia cuba memanaskan jari-jemarinya awal pagi tadi.
Lantas Mai memejamkan matanya. Cuba menghayati kembali keindahan yang dirasakan
ketika bersama Syamsul pagi tadi. Serasa
seperti tidak ingin dia melepaskan rasa itu.
“Abang cari Mai
sejak hari Jumaat lagi. Kenapa Mai tak jawab telefon abang?”
Mai diam. Dia sudah
tahu, pasti soalan itulah yang akan ditanya oleh Irfan. Dia sendiri tidak tahu
mengapa dia membiarkan sahaja panggilan Irfan tidak terjawab sepanjang masa dia
di rumah keluarga Syamsul. Sebenarnya dia tidak mahu diganggu. Dia ingin
ketenangan sepanjang masa d sana. Sesuatu yang tidak pernah dirasakan selama
ini. Tenang dan bahagia melayan kerenah anak-anak, debar yang menggila ketika
melayan kerenah Syamsul dan perasaan
senang ketika mendngar usik-usikan dari Shuhaida buat dia ingin terus menjadi
sebahagian dari mereka. Tidak mahu melepaskan perasaan bahagia itu biarpun
sesaat cuma.
“Entah la bang...
sibuk sikit dengan keluarga dia tu... anak dia yang kecil tu... asyik ikut Mai ke sana ke mari je.... penat melayan
soalan-soalan dia tau bang... tapi seronok..,” kata Mai.
Tanpa sedar ada
sinar bahagia di matanya dan sedikit pun perasaan itu tidak terlepas dari
pandangan mata Irfan. Hatinya terasa makin tidak sedap dengan perkembangan
terbaru ini.
“Berapa umur
anak-anak dia tu?”
“Emmm... yang kakak
tu sembilan tahun, yang adiknya enam tahun...,” jawab Mai dengan wajah yang
ceria.
“Mai seronok balik
kampung dia?”
“Seronok bang...
rumah mak dia tu kat tepi pantai. Dia sebenarnya tengah buat chalet kos rendah kat tapak rumah
emaknya tu. Dah ada buah dua dalam pembinaan. Cuma tinggal kerja-kerja
penyudahan je.. simenkan lantainya, pasang tingkap, dan wiring. Tapi terpaksa berhenti sebab modal tak cukup. Bila mak dia
sakit, dia terpaksa gunakan duit simpanannya. Kesian dia bang...,”
Dan sedikit pun
Irfan tidak terlepas pandang kegembiraan Mai yang jelas terpancar di wajahnya.
Buat dia rasa takut tiba-tiba.
“Mai gembira ye kat
sana?”
“Ehem.... memang
gembira...,” jawabnya ringkas. Mula memahami perasaan Irfan saat itu. Namun dia
tidak mampu berbuat apa-apa. Itu yang dirasakan dan dia tidak mampu menipu
perasaannya. Biarlah, biarlah seketika ini Irfan tersinggung dengan apa yang
dirasakannya. Biarlah dia merasakan bagaimana tersinggungnya Mai dengan nasib
yang menimpanya selama ini.
Irfan diam sambil
meneguk perlahan air oren dari gelasnya. Bungkusan nasi yang sudah terhidang di
hadapannya dijeling sahaja. Seleranya hilang saat itu. Biarpun sebentar tadi
perutnya terasa lapar, namun kini dia bagaikan tidak berselera langsung.
“Hari minggu ni,
mak dengan abah panggil kita balik. Mereka nak buat kenduri cukur jambul anak
Pia,” tiba-tiba Irfan membuka cerita.
Kata-kata yang
membuatkan Mai tergamam. Perlahan dia mengetap bibirnya. Saat itu timbul rasa
bersalah kerana masih lagi menyembunyikan status hubungan mereka kepada
keluarga Irfan. Semua itu adalah atas dasar permintaan Irfan. Namun mampukah
dia untuk terus berpura-pura. Mampukah rahsia ini terus disembunyikan dari
pengetahuan kedua emak dan abah Irfan. Tambahan lagi dalam keadaan begini?
“Bang... macam mana
ni... kalau balik rumah mak... nanti tak kan kita nak duduk sebilik,” sanggah
Mai dalam keadaan luar sedar. Bila dapat melihat ada perubahan di wajah Irfan,
barulah dia menyedari sikap terburu-burunya yang buat dia terlanjur kata.
Irfan memandang
isterinya itu dengan penuh tanda tanya. “Kenapa Mai kata macam tu...?” katanya
perlahan.
“Emmm...maksud Mai
... eemmm... kita kan bukan lagi suami isteri. Kalau balik rumah mak, mesti dia
bagi kita tidur sebilik...,”
“Mai dah tak suka
sebilik dengan abang?”
“Bang.... mana
boleh... haram kan?”
Irfan memejamkan
matanya. Jika itu alasan mengapa Mai tidak mahu bersama dengannya, dia tidak
mampu berkata-apa-apa. Dia tahu berdosa tinggal sebilik dengan yang bukan
muhrim. Apa-apa sahaja mampu berlaku antara mereka. Tambahan lagi dia amat
rindu pada bekas isterinya ini.
“Insyaallah....
abang akan cuba tahan diri abang. Bila dengan Mai nanti abang akan cuba tahan
godaan syaitan,”
“Tapi....,”
“Mai... mak dengan
abah masih belum tahu hal kita. Kalau boleh kita sembunyikan dari mereka ye
Mai?”
“Tapi bang... mana
boleh....,” pantas Mai memberikan alasan.
“Kita terpaksa
Mai... nanti mereka tahu rahsia kita,”
Mai bangun sambil
memeluk tubuhnya. Dia tidak sanggup untuk berlakon sebegitu. Rambutnya yang
masih separuh basah itu terbuai ditiup angin petang itu. Cuaca yang panas
menyebabkan cepat sekali rambutnya kering.
“Bang... mana
boleh... kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi..,”
“Mai... kenapa
cakap macam tu. Kita kan tengah nak baiki hubungan kita ni... nanti bila
Syamsul ceraikan Mai, kita akan dapat
bersama semula...,” kata Irfan dengan penuh harapan. Dan seketika it Mai merasakan
begitu bersalah sekali kerana hatinya cuba menafikan perkara itu.
“Harap Mai kotakan
kata-kata Mai hari tu... Abang dah tak
larat lagi tunggu Mai ...,”
“Abang... boleh tak
kalau kita tak balik...,”
“Nanti mak dengan
abah mesti rasa pelik... Selalunya kita mesti balik kalau mereka nak buat
kenduri macam ni,”
Mai mengeluh
perlahan. Terasa begitu tidak berdaya saat itu. Antara janji dan harapan. Dia
bagai tidak ingin untuk mengecewakan janjinya terhadap Irfan. Namun, dia juga
tidak mampu untuk mengecewakan harapan Syamsul
terhadapnya untuk menjaga diri dan maruahnya sebagai seorang isteri.
“Apa kata kalau
kita sewa kat hotel je. Tak perlu tidur kat rumah mak dan abah. Kita balik
lewat sikit supaya semua bilik kat rumah mak dah ada penghuninya. Adik beradik
abang semuanya balikkan?” tiba-tiba idea itu timbul. Dia sedikitpun tidak
menyedari perasaan kecewa Irfan terhadap kata-kata itu.
“Mai macam dah tak
suka sangat dengan abang. Sampaikan ... nak habiskan masa satu malam dengan
abang pun dah tak mahu..,” katanya.
“Abang... mana
boleh... kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi...,” kata Mai separuh
membentak. Cepat-cepat dia menjauhkan dirinya dari Irfan yang entah bila sudah turut sama berdiri di
sebelahnya. Begitu hampir sekali seolah-olah cuba untuk menggodanya.
“Kita bukannya nak
buat apa. Kita cuma duduk berbual sudahlah. Kalau mengantuk Mai tidurlah atas
katil. Abang boleh tidur atas kerusi atau atas karpet tepi katil tu,”
“Bang.... duduk
berdua macam tu... kan ada yang ke tiga datang menggoda. Mai tak mahu. Kalau
nak balik rumah mak, kita kena sewa kat hotel. Mai tak nak tidur kat rumah mak.
Kalau tidak, Mai akan beritahu mak apa yang dah berlaku pada kita. Mai tak nak
terus buat dosa bang..,”
Irfan terdiam
mendengarkan ugutan itu. Hatinya begitu tersinggung dengan kata-kata Mai itu.
Dia tahu hakikat sebenarnya hubungan mereka. Namun bila kata-kata sebegitu
terhambur dari bibir Mai dia merasakan seperti hati Mai bagaikan sudah berubah.
Mai bagaikan lebih senang bersama Syamsul
dan keluarganya.
“Mai, abang takut
sangat sekarang ni,”
Kata-kata itu
membuatkan Mai berpaling ke arahnya. Mata mereka bertatapan tapi hanya tatap
yang tidak memberikan apa-apa kesan lagi di hati Mai.
“Apa maksud
abang? Mai tak faham. Kenapa abang
takut? Abang takutkan apa?”
“Abang takut Mai
dah jatuh cinta pada dia. Dan abang takut Mai dah tak mahu kembali kepada
abang,”
Terdiam bila
mendengarkan itu. Ingin sekali dia
menidakkan perkataan Irfan itu. Ingin sekali dia meyakinkan Irfan bahawa
hatinya tidak akan berubah. Namun dia sendiri tidak yakin dengan perasaannya.
Dan dia sendiri takut untuk menghadapi kenyataan di masa hadapan. Dia juga
tidak sanggup untuk melepaskan perasaan indah yang dirasakannya setiap kali dia
mengenangkan Syamsul. Ah, dia keliru... sunggu dia keliru.
“Mai ...,” dalam
berbisik suara Irfan bagaikan merayu hatinya.
Mai berpaling ke
arah lelaki itu.
“Mai jangan jatuh
cinta pada dia ye?”
Mai menarik
nafasnya. Dia hanya memandang ke wajah Irfan. Mengharapkan dia mampu untuk
menjanjikan semua itu. Namun ternyata dia tidak mampu.
20 comments:
mai tetapkan hati untuk syamsul yer... irfan your past syamsul your future... xmo ikut irfan blk tau.. sedih abg syam nanti..
Hmm.... kesian mai yg berada di dlm state of confusion.... Cinta kat Syamsul baru nak berputik, itupun penuh dgn kesangsian di hati Syamsul...
Sementara cinta terhadap bekas suami pun masih berbaki....
Berharap sgttttt.. Mai teruskan perkahwinannya dgn Shamsul. Biar Irfan terima pembalasannya krn mudah melafazkan talak, lebih2 lg talak 3!!
sian lak kt si irfan nih..bg die dgn adik syamsul je la..
gila talak dah irfan nie..
cian syamsul... huhuhuu
rasa mcm ntah apa2 jer mai ni..tegas la ckit..mcm xe pendirian jer..xpayah pergi kenduri tu...tau dosa tp buat jugak...mcm irfan nak syam pun nak..rs mcm a bit slow la story ni
please la writer..harap xyah la meleret2 yer...mcm kisah idayu & lukman tu ok sgt2..citer berkembang dgn cepat..
just my thought hopefully xde yg terasa..
Cpt smbg.....
Best cire nie.....
Dear Laila,
Jalan cite ini sudah bagus, cuma harap jgn dipanjangkan hingga meleret2 mcm Anon diatas cakap. Harap n3 baru kisah Irfan dan Mai sudah tamat dan digantikan dgn kisah baru diantara Syam dan Mai. Tak sabar nk tggu n3 baru..:)
hehe ... Has n Anon.... bukan senang nak senang.... bukan mudah nak temui cinta yang membawa kita ke syurga....kalaupun dah jumpa, banyak sekali halangannya. percayalah.... thanks for the comment. citer ni mungkin rasa slow skit sebab slow je saya post ni, nanti kalau baca yang bercetak harap tak rasa slow macam ni ye...
TQ. 3 bab dalam 1 bulan.
Pada saya cerita ni menarik...sbb melibatkan 3 watak utama...dgn irfan yg msh mengharap....mai pula keliru dgn perasaan...shamsul jg cb membuang perasaan yg dia mula sukakan mai....hope dpt kembangkan lg watak & konflik antara mereka...
Mai, jangan berubah hati ye, tetapkan kat abang Syamsul je, please
tamau mai ngan ipan
bagitau je parent ipan tuh
yes...bagus mai
jgn belakangkan hukum
mai jgn belakangkan agama,kena ingat jika berdua dengan lelaki bukan muhrim.tuh haram....ingatlah kat suami disana.
kena berterus terang dgn keluarga irfan....
walaupun syam tu tidak sesempurna irfan,mai kena ingat syam tu adalah suaminya yang sah.
mai tetapkan pendirian...jgnlah dok ikut sngt telunjuk irfan tu...
stkat ini, rasanya syam yg boleh mmbimbing mai ke arah menjadi isteri solehah..jg solat, jg maruah diri dan suaami..
Akak, janganlah bagi Mai ikut Irfan balik.. :-( biarlah terbongkar rahsia mereka dah berpisah, biarlah family Irfan tau.. bagi Irfan tu betul2 menyesal... Takutnya kalau Mai ikut Irfan, kang ada juga Irfan tu plan bukan-bukan...kang mengamuk pula Syamsul.. Baru nak rasa bahagia dgn hubungan yg makin baik antara Mai dan Syamsul...
Hehehe..banyak tul kemungkinan yg terlintas di fikiran saya.. Thanks Kak Laila.. cerita yg mantap..! Tak sabar menunggu sambungan seterusnya.. :-)
mai jgn pernah berubah hatimu pd syamsul.... kuatkn diri tok terus mencintai syamsul ok... irfan abaikan je dia x mampu nk membahagiakn mai....
salam dik..mengikuti citer ni..akak dan juga yr die hard fan pun berada dalam keadaan dilema..kerana irfan adalah lelaki yg dicintai sepenuh hati..lelaki yg pertama mengetuk pintu hatinya dan mereka pernah melayari hidup berumahtangga dan saling menyintai..tetapi takdir tuhan tak ada siapa yg dpt menduga..ikatan kasih yg mrk ingat akan simpul sampai mati itu..terlerai jua kerana takdir..bila irfan melafazkan talak 3 pada Mai..dan kerana penyesalan yg maha hebat dan disebabkan irfan masih mencintai Mai sepenuh jiwa dan raganya ..mereka mencari org menjadi cina buta ..agar Mai dan irfan dapat bersatu semula..
itulah kan..perencanaan manusia tak sama dengan perencenaan takdir tg telah tersurat untuk mereka.. Mai jatuh cinta buat kali yg keduanya dengan Syam..suami yg sepatutnya mennceraikannya setelah sampai tempuhnya..dan begitu juga Syam ada menaruh hati kepada Mai..
Akak menjadi begitu teruja bila Mai selalu membuat perbandingan diantara 2 lelaki yg hadir dalam hidupnya..iatu Irfan masa lalunya dan bersama Syam ..masa kininya..dan nampak gayanya..hatinya telah dicuri oleh Syam ..bagaimanakah Mai hendak meluahkan perasaan hatinya pada Syam yg dia tidak mahukan perpisahan kerana dia bahgia bersama keluarga Syam yg kecil dan happening..dimana syam tidak pernah mengokong kehidupannya dan bagaimana pula dia hendak menandingi atau bersemuka dengan bekas suaminya irfan untuk menyatakan yg hatinya bukan miliknya lagi..bile memikirkan mengenai Irfan terasa sedih pulak..seakan Mai menipu dan memainkan perasaannya yg masih mengharap kehadiran Mai dalam kehidupannya..Walaupun Mai sembahyang istiharah dan mendapat ilham..siapakah yg patut dipilihnya..tetapi..masih ada seorg lelaki yg akan luka hatinya kan... pergh...sedih giler..
Post a Comment