Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's



Ketika Mai tiba di rumah tengahari itu kereta Irfan sudah ada di hadapan rumahnya. Perlahan dia mengeluh. Apa lagi alasan yang harus dia berikan kepada lelaki ini? Pasti Irfan akan marah lagi seperti minggu lepas apabila dia pulang ke kampung Syamsul  tanpa memberitahu lelaki itu. Dan seperti yang dijangkakannya, air muka Irfan yang begitu keruh sekali menceritakan segala perasaan yang lelaki itu rasakan saat itu.

“Mai balik kampung dia lagi?” tanya Irfan apabila dia keluar untuk membuka pintu pagar rumah. 

Tanpa menghiraukan kemarahan lelaki itu, Mai membuka pintu pagar dan kembali semula ke dalam kereta untuk memandu masuk ke dalam kawasan rumahnya. Irfan mengelak ke tepi untuk memberi ruang kepada kereta Toyota Vios Mai masuk. Hatinya panas melihatkan sikap Mai yang sebegitu.

“Mai... abang tanya ni...,” bentaknya setelah Mai keluar dari keretanya. Mai mengeluh sambil berdiri tegak menghadapi bekas suaminya itu.

“Abang... Mai baru sampai ni... sekurang-kurangnya  biarlah Mai masukkan kereta dulu... lepas tu kita cakaplah...,” kata Mai perlahan. Mindanya masih lagi memikirkan alasan yang perlu dibuatnya kali ini.

“Abang cari Mai .... cuba telefon Mai... tapi tak dapat.... Mai pergi mana...? Honeymoon ya?” sindir Irfan dengan nada geram.

“Abang.... mak Syamsul  baru buat rawatan jantungnya minggu lepas. Dia baru aje keluar dari hospital semalam. Tak kanlah tak boleh kalau Mai pergi ziarah mak mertua sendiri?” kali ini Mai pula yang membentak.

Cepat-cepat Mai meninggalkan Irfan untuk masuk ke dalam rumah. Dia masih belum menunaikan solat Zohor sedangkan jam sudah menunjukkan hampir ke pukul 3.00 petang. Apabila Mai membuka pintu utama dan Irfan menunggu seolah-olah ingin turut masuk ke dalam rumah, Mai kembali berdiri menghadapinya.

“Bang, Mai nak solat dulu. Abang tunggu kat luar ni ye kejap? Nanti Mai buatkan air. Abang dah makan? Kalau belum, ni ada nasi yang Mai beli tadi, kalau nak bolehlah abang makan nasi ni... Tapi... emm... kena tunggu Mai kat luar ni ok?”

Berubah muka Irfan mendengarkan kata-kata Mai itu.

“Bang... maaf... abang tak boleh masuk ke dalam... Kita bukan suami isteri lagi...,” ucap Mai seperti merayu. Mengharapkan lelaki itu faham akan maksudnya.

Irfan mengeluh keras sekali. Dia terpaksa akur dengan keadaan itu. Lantas dia bergerak ke kerusi kayu cengal yang terletak di luar rumah. Mai meletakkan bungkusan nasi yang dibelinya tadi di atas meja kecil di sisi kerusi tempat Irfan duduk. Suasana petang dengan angin yang bertiup membuatkan terasa hangat sekali untuk sesiapapun duduk di situ. Tetapi dia tiada pilihan lain. Tidak mungkin dia akan membenarkan Irfan masuk ke rumah yang pernah mereka kongsi satu ketika dulu. Terlalu banyak nostalgia indah untuk dikenang nanti. Dan yang pasti, mereka tidak sepatutnya pun dilihat bersama begini. Bagaimana perasaan Syamsul  nanti jika dia melihat isterinya berdua bersama lelaki begini. Walaupun  pernikahan ini hanya sementara, Mai tahu dia mesti menjaga maruahnya sebagai seorang isteri. Lantas kata-kata yang Syamsul ucapkan  pagi tadi kembali singgah di telinganya.

“Nanti Mai buatkan air ye bang...?” ucapnya perlahan.

Irfan hanya mengangguk. Cepat-cepat Mai masuk untuk menyediakan sejug air oren yang sejuk sekali. Sekurang-kurangnya mungkin ini mampu untuk menyejukkan hati Irfan selepas ini. Dia membawa keluar air itu bersama dua biji gelas serta  sudu dan garfu untuk Irfan menjamah nasi bungkusnya sementara menunggu dia solat.

“Abang makanlah ye... Mai pergi solat sekejap. Sekejap aje ya?” katanya kepada lelaki itu sambil menuangkan jus oren ke dalam gelas.

Irfan hanya diam. Lantas Mai meninggalkan lelaki itu dan menutup dan mengunci pintu geriji  rumah. Dia tidak mampu membayangkan seandainya Irfan masuk ke rumah apabila dia sedang solat. Keadaan Irfan amat teruk sekarang ini dan Mai tahu dia mungkin tergamak melakukan apa sahaja dalam keadaan marah begini. Pantas sekali dia naik ke tingkat atas untuk mandi dan solat sementara Irfan menunggu di luar.

Irfan mengetap bibirnya. Rahangnya bergerak-gerak akibat marah dengan keadaan ini. Sejak hari Jumaat dia mencari Mai di sekolah pada waktu dia sepatutnya pulang. Bila melihatkan Mai tiada di sekolah, dia datang ke rumah ini dan masih Mai tiada. Bila dia menelefon, Mai tidak menjawab telefon itu. Mai seolah-olah ingin menjauhkan diri. Sperti mahu melarikan diri darinya dan tidak lagi mahu menghubunginya semula. Mengapa dan kenapa? Apabila dia kembali semula ke rumah ini pada hari Sabtu, masih lagi Mai tiada. Dia cuba menghubungi salah seorang teman yang mengajar bersama dengan Mai, namun temannya itu tidak tahu ke mana Mai pergi. Hendak menghubungi orang lain, dia tidak mampu kerana tidak punya nombor untuk dihubungi. Dan dia sedar kini betapa dia tidak pernah menyimpan nombor telefon kawan-kawan sekolah Mai. Malah selama ini dia tidak pernah ambil tahu tentang keadaan kerja isterinya itu.

Selepas setengah jam Mai turun kembali untuk mendapatkan Irfan. Terasa sedikit segar tubuhnya selepas mandi dan solat. Sepanjang waktu dia mandi beribu alasan yang dia cuba reka di mindanya demi untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang dirasakan bakal dipersoalkan oleh Irfan. Namun tidak satu pun dirasakan mampu untuk meyakinkan dirinya. Lantas dia membiarkan sahaja. Biarlah apa jua jawapan yang akan diberikan. Dan biarlah apa jua kemarahan yang akan dihamburkan kepadanya kerana menghilangkan diri sebegitu. Dia akan cuba berlagak sejujurnya.

Bila dia tiba di sisi Irfan didapati lelaki itu sedang merenung jauh ke tengah padang yang terbentang luas di hadapan rumah yang pernah mereka kongsi bersama. Rambutnya yang terjuntai ke dahi terbuai-buai ditiup angin petang yang masih hangat terasa mengelus  di pipi. Walau dalam keadaan resah sebegini lelaki ini masih lagi mampu menjaga perwatakannya yang sentiasa kemas bergaya. Buat Mai kadang kala tertanya, samada benarkah betul-betul ada gundah di hatinya.

“Abang tak makan?” tanya Mai perlahan sambil matanya tertumpu pada bungkusan nasi yang langsung tidak dibuka oleh IrfanAair oren yang telah dituangnya untuk Irfan tadi telah berbaki separuh.

“Abang tunggu Mai ...,” lirih suara itu bagaikan cuba untuk membelai hatinya. 

Mai senyum sambil matanya menjelajahi wajah tampan Irfan. Cuba menanggapi erti yang ingin di sampaikan. Dia tahu apa yang dimaksudkan oleh Irfan tetapi bagaikan sudah tiada lagi keinginan yang sama di hatinya. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Pernah satu ketika dia mengangankan perkara yang sama. Sehingga sanggup membiarkan lelaki ini membuat keputusan buat dirinya.

“Makanlah..., tak payah tunggu Mai ,”

“Mai tak lapar?”

“Tak apa... abang makanlah.. nanti kalau lapar Mai boleh buat apa yang ada kat dapur tu..,” entah mengapa saat itu ingatannya kembali kepada saat di mana dia dan Syamsul  memasak murtabak mee segera. Terasa pecah liur mengingatkan juadah itu. Dan tak semena-mena masih terasa lagi hangat genggaman jari jemari kasar itu ketika ia cuba memanaskan jari-jemarinya awal pagi tadi. Lantas Mai memejamkan matanya. Cuba menghayati kembali keindahan yang dirasakan ketika bersama Syamsul  pagi tadi. Serasa seperti tidak ingin dia melepaskan rasa itu.

“Abang cari Mai sejak hari Jumaat lagi. Kenapa Mai tak jawab telefon abang?”

Mai diam. Dia sudah tahu, pasti soalan itulah yang akan ditanya oleh Irfan. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia membiarkan sahaja panggilan Irfan tidak terjawab sepanjang masa dia di rumah keluarga Syamsul. Sebenarnya dia tidak mahu diganggu. Dia ingin ketenangan sepanjang masa d sana. Sesuatu yang tidak pernah dirasakan selama ini. Tenang dan bahagia melayan kerenah anak-anak, debar yang menggila ketika melayan kerenah Syamsul  dan perasaan senang ketika mendngar usik-usikan dari Shuhaida buat dia ingin terus menjadi sebahagian dari mereka. Tidak mahu melepaskan perasaan bahagia itu biarpun sesaat cuma.

“Entah la bang... sibuk sikit dengan keluarga dia tu... anak dia yang kecil tu... asyik  ikut Mai ke sana ke mari je.... penat melayan soalan-soalan dia tau bang... tapi seronok..,” kata Mai. 

Tanpa sedar ada sinar bahagia di matanya dan sedikit pun perasaan itu tidak terlepas dari pandangan mata Irfan. Hatinya terasa makin tidak sedap dengan perkembangan terbaru ini.

“Berapa umur anak-anak dia tu?”

“Emmm... yang kakak tu sembilan tahun, yang adiknya enam tahun...,” jawab Mai dengan wajah yang ceria. 

“Mai seronok balik kampung dia?”

“Seronok bang... rumah mak dia tu kat tepi pantai. Dia sebenarnya tengah buat chalet kos rendah kat tapak rumah emaknya tu. Dah ada buah dua dalam pembinaan. Cuma tinggal kerja-kerja penyudahan je.. simenkan lantainya, pasang tingkap, dan wiring. Tapi terpaksa berhenti sebab modal tak cukup. Bila mak dia sakit, dia terpaksa gunakan duit simpanannya. Kesian dia bang...,” 

Dan sedikit pun Irfan tidak terlepas pandang kegembiraan Mai yang jelas terpancar di wajahnya. Buat dia rasa takut tiba-tiba.

“Mai gembira ye kat sana?”

“Ehem.... memang gembira...,” jawabnya ringkas. Mula memahami perasaan Irfan saat itu. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Itu yang dirasakan dan dia tidak mampu menipu perasaannya. Biarlah, biarlah seketika ini Irfan tersinggung dengan apa yang dirasakannya. Biarlah dia merasakan bagaimana tersinggungnya Mai dengan nasib yang menimpanya selama ini.

Irfan diam sambil meneguk perlahan air oren dari gelasnya. Bungkusan nasi yang sudah terhidang di hadapannya dijeling sahaja. Seleranya hilang saat itu. Biarpun sebentar tadi perutnya terasa lapar, namun kini dia bagaikan tidak berselera langsung.

“Hari minggu ni, mak dengan abah panggil kita balik. Mereka nak buat kenduri cukur jambul anak Pia,” tiba-tiba Irfan membuka cerita. 

Kata-kata yang membuatkan Mai tergamam. Perlahan dia mengetap bibirnya. Saat itu timbul rasa bersalah kerana masih lagi menyembunyikan status hubungan mereka kepada keluarga Irfan. Semua itu adalah atas dasar permintaan Irfan. Namun mampukah dia untuk terus berpura-pura. Mampukah rahsia ini terus disembunyikan dari pengetahuan kedua emak dan abah Irfan. Tambahan lagi dalam keadaan begini?

“Bang... macam mana ni... kalau balik rumah mak... nanti tak kan kita nak duduk sebilik,” sanggah Mai dalam keadaan luar sedar. Bila dapat melihat ada perubahan di wajah Irfan, barulah dia menyedari sikap terburu-burunya yang buat dia terlanjur kata.

Irfan memandang isterinya itu dengan penuh tanda tanya. “Kenapa Mai kata macam tu...?” katanya perlahan.
“Emmm...maksud Mai ... eemmm... kita kan bukan lagi suami isteri. Kalau balik rumah mak, mesti dia bagi kita tidur sebilik...,”

“Mai dah tak suka sebilik dengan abang?”

“Bang.... mana boleh... haram kan?”

Irfan memejamkan matanya. Jika itu alasan mengapa Mai tidak mahu bersama dengannya, dia tidak mampu berkata-apa-apa. Dia tahu berdosa tinggal sebilik dengan yang bukan muhrim. Apa-apa sahaja mampu berlaku antara mereka. Tambahan lagi dia amat rindu pada bekas isterinya ini.

“Insyaallah.... abang akan cuba tahan diri abang. Bila dengan Mai nanti abang akan cuba tahan godaan syaitan,”

“Tapi....,”

“Mai... mak dengan abah masih belum tahu hal kita. Kalau boleh kita sembunyikan dari mereka ye Mai?”

“Tapi bang... mana boleh....,” pantas Mai memberikan alasan.

“Kita terpaksa Mai... nanti mereka tahu rahsia kita,”

Mai bangun sambil memeluk tubuhnya. Dia tidak sanggup untuk berlakon sebegitu. Rambutnya yang masih separuh basah itu terbuai ditiup angin petang itu. Cuaca yang panas menyebabkan cepat sekali rambutnya kering. 

“Bang... mana boleh... kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi..,”

“Mai... kenapa cakap macam tu. Kita kan tengah nak baiki hubungan kita ni... nanti bila Syamsul  ceraikan Mai, kita akan dapat bersama semula...,” kata Irfan dengan penuh harapan. Dan seketika it Mai merasakan begitu bersalah sekali kerana hatinya cuba menafikan perkara itu.

“Harap Mai kotakan kata-kata Mai hari tu... Abang  dah tak larat lagi tunggu Mai ...,”

“Abang... boleh tak kalau kita tak balik...,”

“Nanti mak dengan abah mesti rasa pelik... Selalunya kita mesti balik kalau mereka nak buat kenduri macam ni,”

Mai mengeluh perlahan. Terasa begitu tidak berdaya saat itu. Antara janji dan harapan. Dia bagai tidak ingin untuk mengecewakan janjinya terhadap Irfan. Namun, dia juga tidak mampu untuk mengecewakan harapan Syamsul  terhadapnya untuk menjaga diri dan maruahnya sebagai seorang isteri.

“Apa kata kalau kita sewa kat hotel je. Tak perlu tidur kat rumah mak dan abah. Kita balik lewat sikit supaya semua bilik kat rumah mak dah ada penghuninya. Adik beradik abang semuanya balikkan?” tiba-tiba idea itu timbul. Dia sedikitpun tidak menyedari perasaan kecewa Irfan terhadap kata-kata itu.

“Mai macam dah tak suka sangat dengan abang. Sampaikan ... nak habiskan masa satu malam dengan abang pun dah tak mahu..,”  katanya.

“Abang... mana boleh... kita dah tak ada apa-apa hubungan lagi...,” kata Mai separuh membentak. Cepat-cepat dia menjauhkan dirinya dari Irfan  yang entah bila sudah turut sama berdiri di sebelahnya. Begitu hampir sekali seolah-olah cuba untuk menggodanya.

“Kita bukannya nak buat apa. Kita cuma duduk berbual sudahlah. Kalau mengantuk Mai tidurlah atas katil. Abang boleh tidur atas kerusi atau atas karpet tepi katil tu,”

“Bang.... duduk berdua macam tu... kan ada yang ke tiga datang menggoda. Mai tak mahu. Kalau nak balik rumah mak, kita kena sewa kat hotel. Mai tak nak tidur kat rumah mak. Kalau tidak, Mai akan beritahu mak apa yang dah berlaku pada kita. Mai tak nak terus buat dosa bang..,”

Irfan terdiam mendengarkan ugutan itu. Hatinya begitu tersinggung dengan kata-kata Mai itu. Dia tahu hakikat sebenarnya hubungan mereka. Namun bila kata-kata sebegitu terhambur dari bibir Mai dia merasakan seperti hati Mai bagaikan sudah berubah. Mai bagaikan lebih senang bersama Syamsul  dan keluarganya. 

“Mai, abang takut sangat sekarang ni,”

Kata-kata itu membuatkan Mai berpaling ke arahnya. Mata mereka bertatapan tapi hanya tatap yang tidak memberikan apa-apa kesan lagi di hati Mai.

“Apa maksud abang?  Mai tak faham. Kenapa abang takut? Abang takutkan apa?”

“Abang takut Mai dah jatuh cinta pada dia. Dan abang takut Mai dah tak mahu kembali kepada abang,”

Terdiam bila mendengarkan itu. Ingin sekali dia  menidakkan perkataan Irfan itu. Ingin sekali dia meyakinkan Irfan bahawa hatinya tidak akan berubah. Namun dia sendiri tidak yakin dengan perasaannya. Dan dia sendiri takut untuk menghadapi kenyataan di masa hadapan. Dia juga tidak sanggup untuk melepaskan perasaan indah yang dirasakannya setiap kali dia mengenangkan Syamsul. Ah, dia keliru... sunggu dia keliru. 

“Mai ...,” dalam berbisik suara Irfan bagaikan merayu hatinya.

Mai berpaling ke arah lelaki itu.

“Mai jangan jatuh cinta pada dia ye?”

Mai menarik nafasnya. Dia hanya memandang ke wajah Irfan. Mengharapkan dia mampu untuk menjanjikan semua itu. Namun ternyata dia tidak mampu.

20 comments:

Unknown said...

mai tetapkan hati untuk syamsul yer... irfan your past syamsul your future... xmo ikut irfan blk tau.. sedih abg syam nanti..

Anonymous said...

Hmm.... kesian mai yg berada di dlm state of confusion.... Cinta kat Syamsul baru nak berputik, itupun penuh dgn kesangsian di hati Syamsul...

Sementara cinta terhadap bekas suami pun masih berbaki....

Unknown said...

Berharap sgttttt.. Mai teruskan perkahwinannya dgn Shamsul. Biar Irfan terima pembalasannya krn mudah melafazkan talak, lebih2 lg talak 3!!

blinkalltheday said...

sian lak kt si irfan nih..bg die dgn adik syamsul je la..

Lieynaim mohd noor said...

gila talak dah irfan nie..
cian syamsul... huhuhuu

Anonymous said...

rasa mcm ntah apa2 jer mai ni..tegas la ckit..mcm xe pendirian jer..xpayah pergi kenduri tu...tau dosa tp buat jugak...mcm irfan nak syam pun nak..rs mcm a bit slow la story ni

please la writer..harap xyah la meleret2 yer...mcm kisah idayu & lukman tu ok sgt2..citer berkembang dgn cepat..

just my thought hopefully xde yg terasa..

Anonymous said...

Cpt smbg.....
Best cire nie.....

has_1309 said...

Dear Laila,

Jalan cite ini sudah bagus, cuma harap jgn dipanjangkan hingga meleret2 mcm Anon diatas cakap. Harap n3 baru kisah Irfan dan Mai sudah tamat dan digantikan dgn kisah baru diantara Syam dan Mai. Tak sabar nk tggu n3 baru..:)

laila hanni said...

hehe ... Has n Anon.... bukan senang nak senang.... bukan mudah nak temui cinta yang membawa kita ke syurga....kalaupun dah jumpa, banyak sekali halangannya. percayalah.... thanks for the comment. citer ni mungkin rasa slow skit sebab slow je saya post ni, nanti kalau baca yang bercetak harap tak rasa slow macam ni ye...

Anonymous said...

TQ. 3 bab dalam 1 bulan.

Anonymous said...

Pada saya cerita ni menarik...sbb melibatkan 3 watak utama...dgn irfan yg msh mengharap....mai pula keliru dgn perasaan...shamsul jg cb membuang perasaan yg dia mula sukakan mai....hope dpt kembangkan lg watak & konflik antara mereka...

muda_13 said...

Mai, jangan berubah hati ye, tetapkan kat abang Syamsul je, please

MaY_LiN said...

tamau mai ngan ipan
bagitau je parent ipan tuh

Unknown said...

yes...bagus mai
jgn belakangkan hukum

Anonymous said...

mai jgn belakangkan agama,kena ingat jika berdua dengan lelaki bukan muhrim.tuh haram....ingatlah kat suami disana.

kena berterus terang dgn keluarga irfan....

walaupun syam tu tidak sesempurna irfan,mai kena ingat syam tu adalah suaminya yang sah.

Anonymous said...

mai tetapkan pendirian...jgnlah dok ikut sngt telunjuk irfan tu...

che`leen said...

stkat ini, rasanya syam yg boleh mmbimbing mai ke arah menjadi isteri solehah..jg solat, jg maruah diri dan suaami..

Seorg wanita... said...

Akak, janganlah bagi Mai ikut Irfan balik.. :-( biarlah terbongkar rahsia mereka dah berpisah, biarlah family Irfan tau.. bagi Irfan tu betul2 menyesal... Takutnya kalau Mai ikut Irfan, kang ada juga Irfan tu plan bukan-bukan...kang mengamuk pula Syamsul.. Baru nak rasa bahagia dgn hubungan yg makin baik antara Mai dan Syamsul...

Hehehe..banyak tul kemungkinan yg terlintas di fikiran saya.. Thanks Kak Laila.. cerita yg mantap..! Tak sabar menunggu sambungan seterusnya.. :-)

iezzlucky said...

mai jgn pernah berubah hatimu pd syamsul.... kuatkn diri tok terus mencintai syamsul ok... irfan abaikan je dia x mampu nk membahagiakn mai....

kak ida said...

salam dik..mengikuti citer ni..akak dan juga yr die hard fan pun berada dalam keadaan dilema..kerana irfan adalah lelaki yg dicintai sepenuh hati..lelaki yg pertama mengetuk pintu hatinya dan mereka pernah melayari hidup berumahtangga dan saling menyintai..tetapi takdir tuhan tak ada siapa yg dpt menduga..ikatan kasih yg mrk ingat akan simpul sampai mati itu..terlerai jua kerana takdir..bila irfan melafazkan talak 3 pada Mai..dan kerana penyesalan yg maha hebat dan disebabkan irfan masih mencintai Mai sepenuh jiwa dan raganya ..mereka mencari org menjadi cina buta ..agar Mai dan irfan dapat bersatu semula..
itulah kan..perencanaan manusia tak sama dengan perencenaan takdir tg telah tersurat untuk mereka.. Mai jatuh cinta buat kali yg keduanya dengan Syam..suami yg sepatutnya mennceraikannya setelah sampai tempuhnya..dan begitu juga Syam ada menaruh hati kepada Mai..
Akak menjadi begitu teruja bila Mai selalu membuat perbandingan diantara 2 lelaki yg hadir dalam hidupnya..iatu Irfan masa lalunya dan bersama Syam ..masa kininya..dan nampak gayanya..hatinya telah dicuri oleh Syam ..bagaimanakah Mai hendak meluahkan perasaan hatinya pada Syam yg dia tidak mahukan perpisahan kerana dia bahgia bersama keluarga Syam yg kecil dan happening..dimana syam tidak pernah mengokong kehidupannya dan bagaimana pula dia hendak menandingi atau bersemuka dengan bekas suaminya irfan untuk menyatakan yg hatinya bukan miliknya lagi..bile memikirkan mengenai Irfan terasa sedih pulak..seakan Mai menipu dan memainkan perasaannya yg masih mengharap kehadiran Mai dalam kehidupannya..Walaupun Mai sembahyang istiharah dan mendapat ilham..siapakah yg patut dipilihnya..tetapi..masih ada seorg lelaki yg akan luka hatinya kan... pergh...sedih giler..

Post a Comment

Popular Posts