Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 1

Seorang demi seorang penumpang MH124 dari Perth ke Kuala Lumpur bangun dan meninggalkan pesawat. Aku masih lagi melekat di tempat dudukku. Kalau boleh tidak mahu aku meninggalkan pesawat ini. Kalau boleh ingin sahaja aku kembali semula ke Perth. Tak ingin rasanya aku untuk menjejakkan kakiku ke bumi Malaysia yang telah tiga tahun aku tinggalkan. Kalaulah aku mampu berbuat begitu, pasti itulah yang akan aku lakukan.

Akhirnya aku turut bangun sebaik sahaja melihat semua penumpang sudah meninggalkan pesawat. Aku menarik nafasku panjang-panjang. Kemudian perlahan-lahan nafas itu aku lepaskan. Mengumpul semua kekuatan yang ada dalam diri. Beg sandangku yang terletak di tempat bagasi aku capai dengan perasan serba-salah. Memang sejak semalam lagi aku perasaan serba salah ini melanda hatiku. Kalaulah bukan kerana aku terikat dengan kontrak perjanjianku dengan universiti tempat aku bekerja, pasti aku teruskan dengan niatku untuk menetap di Perth. Tempat itu lebih memberikan ketenangan kepada diri ini. Walaupun sering rasa rindu itu terus-terusan mengganggu ketenangan yang aku kecapi di sana.

Rindu. Sememangnya itulah satu-satunya perkataan yang melekat dalam sanubari. Sejak tiga tahun pemergianku perasaan itulah yang kemas tertanam dalam hati. Tapi, rindu pada siapa? Pada dia atau pada Sarah? Pada Sarah sudah pasti. Ibu mana yang tidak merindui anaknya. Tambahan lagi bila anak kecil itu terpaksa aku tinggalkan pada usia yang terlalu kecil. Sering saban malam aku menangis meratap nasib diri yang telah ditentukan Allah. Sering kekuatan diri aku cari dengan terus bermunajat, meminta pada Allah. Ini ketentuannya. Maka aku akur pada ketentuan itu.

Tapi bagaimana pula dengan dia? Masih adakah lagi rindu ini pada dia? Sejak hakikat pernikahan kami aku ketahui, rasanya rindu itu sudah mati. Mati bersama dengan kata-kata Kak Reen yang diucapkan lama dulu. Mati bersama sikapnya yang acuh tak acuh dengan keputusan yang aku buat dulu. Mati bersama keengganannya mendengar kata-kata penjelasan dariku. Semuanya jelas tergambar di situ. Tidak perlu dijelaskan lagi. Dia sememangnya tidak memerlukan diri ini dalam hidupnya. Yang dia mahukan hanyalah Sarah. Bukan aku.

Senyum pramugari yang memberikan ucapan terimakasih kerana menaiki pesawat ini aku sambut dengan perasaan hambar. Perlahan-lahan aku keluar dari perut pesawat. Pertama kali aku melangkah ke balai ketibaan KLIA, hatiku bagaikan sudah dipenuhi dengan satu tekad. Aku tidak akan diperalatkan lagi. Akan aku terukan kehidupan ini. Tanpa dia? Itu sudah pasti. Tapi, tanpa Sarah ? Mampukah aku?

****

“Cik, rumah ni macam tak ada orang aje? Gelap aje?”
Aku senyum mendengarkan kata-kata pemandu teksi itu. Kerisauan jelas tergambar di wajahnya.

“Tak apa encik, kawan saya pergi kursus. Dia beritahu dia tinggalkan kunci pada jiran sebelah. Saya dah talipon akak tu masa mula-mula sampai tadi. Dia memang tengah tunggu saya ni,” Jawabku dengan yakin.

“Baguslah kalau macam tu. Saya bukannya apa cik, malam-malam macam ni bahaya kalau seorang-seorang. Sambil buka kunci rumah pun mungkin ada tengah menunggu nak cekup kita,”

Aku senyum lagi mendengarkan kepertihatinan pemandu teksi yang tidak aku kenali itu. Rasa curiga yang bertandang dalam hati sejak dari mula-mula menaiki teksinya tadi terus hilang. Baik rupanya dia. Tadi, semasa menaiki teksi ini aku terus mengambil maklumat tentang teksi ini. Bimbang juga dalam hati kalau-kalau dia melakukan sesuatu yang tidak kuingini. Sekurang-kurangnya jika ada apa-apa yang berlaku, dengan mudah aku boleh membuat lapuran polis nanti. Kata-kata Suzana yang mengingatkan aku tentang situasi di bandaraya Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini masih lagi terngiang-ngiang lagi di telinga.

“Macam nilah, sambil saya keluarkan barang-barang cik dari bonet teksi ni cik pergilah panggil jiran tu. Tidaklah nanti cik sorang-sorang aje. Malam-malam macam ni bahaya cik,”

Aku mengerling kepada jam ditanganku. Jarum jam menunjukkan ke angka 12.00. Sudah tengah malam rupanya. Patutlah pemandu teksi ini kelihatan begitu resah. Sepanjang masa dalam teksi tadi aku hanya mendengar bicaranya yang tidak henti-henti tentang kota yang telah lama aku tinggalkan ini. Sesekali aku menjawab bila dia bertanyakan soalan. Tidak sangka parjalanan yang kurasakan pendek itu sebenarnya mengambil masa lebih satu jam.

“Ok... saya pergi panggil akak tu dulu ye?” jawapku sambil keluar dari perut teksi. Pemandu itu menganggukkan kepalanya sambil turut keluar untuk mengeluarkan bagasiku dari bonet.

Serba-salah juga rasanya untuk mengganggu jiran Suzana untuk mengambil kunci rumahnya. Tapi bila wajah lembut Kak Maziah ku tatapi buat pertama kalinya, aku dapati orangnya cukup mesra. Lega rasanya bila dia memberitahuku yang dia masih lagi belum masuk tidur kerana menunggu suami yang akan pulang dari tugas syif malammya sebentar lagi. Setelah mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pemandu teksi dan Kak Maziah, aku terus masuk ke rumah. Penat rasanya badan ini kerana perjalanan yang agak panjang itu. Lega kerana akhirnya aku tiba juga ke destinasiku.

Mataku terus melatari suasana dalam rumah teres dua tingkat itu. Ringkas sekali keadaannya. Seringkas tuan punya rumah ini. Sudah tiga tahun Suzana menginap di sini sendirian. Tidak mahu berkongsi rumah dengan orang lain katanya kerana tidak ingin menangani kerenah teman serumah yang tidak dikenali. Jawatannya sebagai seorang akauntan di sebuah bank membenarkan dia mendapat kemewahan ini. Mampu untuk membeli sebuah rumah untuk dirinya. Dan saat ini aku rasa cukup beruntung mengenalinya. Tanpa dia aku tidak pasti di mana dapat aku tumpung semantara aku dapat mencari rumah sendiri.

Mengenangkan hakikat diri yang sendirian di dunia ini membuatkan rasa sedihku datang lagi. Perasaan pilu di hati tak mampu untuk aku gambarkan. Lantas aku segera membersihkan diri untuk menghadap tuhan. Ingin aku lupakan segalanya. Ingin aku tinggalkan segalanya. Agar tenang jiwaku, damai hatiku dan hilang resahku. Mampukah aku?

****

“Unie... please... jangan buat abang macam ni... Abang tak mampu nak tanggung semua ni sendiri,”

Aku menatap wajah tampan Abang Izwan dalam-dalam. Untuk apa kini kami dipertemukan? Air mata yang bergenang di tubir mata aku seka. Semalam, buat pertama kalinya setelah enam tahun, kami dipertemukan dalam suasana yang sepatutnya membahagiakan. Tapi, bila saja mata ini menatap wajahnya, rasa gembira itu hilang. Rasa pilu yang aku simpan selama enam tahun itu perlahan-lahan kembali membaluti hati ini.
Semalam Abang Izwan datang ke rumah Mak Ngah bersama Kak Reen. Mereka baru saja pulang dari membeli belah barangan untuk majlis perkahwinan mereka yang akan berlangsung seminggu sahaja lagi. Aku yang sejak dari mula tiba di rumah Mak Ngah, begitu teruja untuk mengenali bakal suami Kak Reen. Namun, bila menatap wajah lelaki yang tiba bersamanyam, aku amat terkejut sekali. Tidak percaya dengan apa yang kulihat. Dunia ini kecil rupa-rupanya. Sungguh aku tidak menyangka akan bertemu lagi dengan Abang Izwan.

“Abang pun serba salah.... majlis kami cuma tinggal seminggu saja lagi. Tak kan lah abang nak batalkan semuanya dalam tempoh sesingkat ini,”

Aku tak mampu berkata-kata. Mendengarkan kata-katanya itu membuatkan aku sedar. Walaupun sebelum itu dia meluahkan rasa hatinya yang kononnya tulus untukku, namun kata-katanya sebentar tadi meranapkan semua harapan yang aku bina lama dulu. Di awal pertemuan tadi, katanya cintanya padaku tak pernah padam. Tapi dengan kata-kata yang diluahkan sebentar tadi, jelas cintanya padaku tidak sedalam yang diucapkan. Jelas dia tidak mampu untuk menjelaskan perasaannya terhadapku pada Kak Reen.

“Lepas STPM hari tu, abang langsung tak dapat hubungi Unie. Abang nak cari tapi tak tau nak cari kat mana. Bila pergi minta alamat dan nombor telefon Unie dengan kerani sekolah, dia bagi tapi tak dapat hubungi jugak. Akhirnya abang give up. Berharap sangat kita akan jumpa balik,”

Aku diam lagi. Hanya mampu mendengar kata-kata yang keluar dari bibirnya. Terimbau kembali kenangan lalu. Kami belajar di sekolah yang sama. Waktu itu aku di tingkatan satu dan dia di tingakatan enam atas. Perkenalan terjalin semasa minggu suaikenal. Selepas itu, dia bersungguh-sungguh menyatakan hasratnya ingin mengambilku menjadi adik angkat. Setelah hampir enam bulan dia mengejarku, barulah aku bersetuju untuk menerimanya. Hubungan yang mulanya adik dan abang angkat akhirnya menjadi lebih serius. Dia mengatakan cintanya padaku. Aku yang waktu itu masih terlalu naif, menerimanya tanpa sebarang rasa ragu.

Waktu itu hati remajaku rasa cukup bahagia kerana mendapat perhatian darinya, seorang yang tampan lagi menawan. Hubungan kami aku gunakan sebaik mungkin. Di waktu petang dia pasti akan menjadi tutorku, membantu aku menyiapkan kerja-kerja sekolah yang sentiasa bertimbun. Malam pula waktu prep dia masih setia bersamaku. Kami bersekolah di sekolah berasrama penuh, menyebabkan mudah sekali untuk kami bertemu terutamanya di waktu petang dan malam. Sering aku dicemuhi taman-teman yang sememangnya cemburu dengan hubungan kami. Aku tak punya ramai kawan waktu itu. Hanya dia yang memenuhi ruang waktuku.

“Masa cuti sekolah tu kami sekeluarga kemalangan. Semua keluarga Unie, mak, ayah adik dan abang Unie meninggal. Unie trauma lama sangat sampaikan tak boleh tinggal di asrama. Mak Ngah ambil Unie duduk dengan dia. Sebab tu abang tak boleh nak hubungi Unie,”

Airmata yang ku tahan sejak tadi terus meluncur laju menuruni pipi. Teringat kembali saat itu, betapa aku hampir gila kerana kehilangan semua ahli keluargaku sekaligus. Aku trauma waktu itu. Sehinggakan aku sering terbayang semua ahli keluargaku datang untuk membawaku pergi. Pernah sekali aku hampir jatuh dari beranda bangunan asrama kerana terbawa-bawa dengan mimpiku. Hinggalah pihak sekolah meminta supaya aku dibawa pulang supaya keselamatanku lebih terjamin. Keluarga Mak Ngahlah yang membantu aku mengatasi masalahku itu. Kak Reen yang waktu itu berada di tingkatan empat juga banyak membantu aku menerima hakikat bahawa aku perlu meneruskan kehidupanku tanpa ahli keluarga yang lain. Tak mungkin aku dapat melupakan jasa mereka sekeluarga.

“Unie, semalam bila abang tengok Unie, abang jadi serba salah. Selama ni abang harap sangat dapat jumpa Unie balik. Tapi, tak jumpa-jumpa juga. Mak abang dah lama suruh abang kahwin, tapi abang selalu tangguhkan.. Akhirnya mak merajuk. Abang terpaksa bersetuju. Dia yang carikan calon untuk abang. Kebetulan Mak Ngah Unie kawan dia. Ini semua kaluarga yang aturkan Unie. Abang tak pernah kenal Reen sebelum ni. Kami tunang pun tak lama sebab mak abang dah tak sabar nak bermenantu, nak bercucu.,”

“Alhamdulillah... bang, Kak Reen baik. Mesti dia boleh jadi isteri yang baik untuk abang,” kataku menahan sebak di dada.

“Tapi abang cintakan Unie,”

“Jangan bang, jangan ucap kata-kata tu lagi, abang kena belajar cintakan Kak Reen. Mula dari sekarang,”

“Macamana abang boleh buat macam tu kalau hari-hari terpaksa berhadapan dengan orang
yang abang betul-betul cinta? Cuba Unie beritahu abang? Macamana abang boleh lupakan Unie bila setiap kali balik rumah mak Reen abang akan jumpa dengan Unie?”
Aku menarik nafas panjang. Akukah yang perlu bertindak, melakukan sesuatu? Akukah yang perlu lari dari keadaan ini? Ah... buntu jadinya.

“Tak pe, nanti Unie pastikan yang Unie tak akan balik bila abang dengan Kak Reen balik rumah Mak Ngah,”

“Abang tak boleh lari dari hakikat cinta abang Unie,”

Aku diam. Buntu memikirkan keadaan ini?

“Kita kahwin....,”

Terkejut aku mendengarkan cadangannya yang gila itu. Kahwin? Dengan dia? Dan seterusnya melukakan hati Kak Reen dan Mak Ngah? Sanggupkah aku lakukan itu?

5 comments:

[Miss Eriqa] said...

best2.. sambung la lagi.. kali nie takmo la skip2 lagi ek kak hanni...

Ana Joe said...

betul3,,,sambung!

Fahimah Mahayuddin said...

best!

adra adiella said...

first time singgah bace semalam yang ku tinggalkan..

bile agaknya sy boleh jadi sebagus ini ye..

Zanans said...

tahniah... cerita yg bagus, akak baru je jumpa blog ni... tumpang baca ye

Post a Comment

Popular Posts