Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 10
Memang sesungguhnya hidup bermadu bukanlah satu kehidupan yang semanis madu itu sendiri. Aku sendiri masih tercari-cari bagaimana mulanya nama itu boleh dipilih untuk menggambarkan kehidupan berpoligami. Mungkin itulah yang menyebabkan Allah telah menyediakan Payung Siti Fatimah untuk para isteri  yang redha dengan kehidupan berpoligami. Derita hati tuhan sahaja yang tahu. Bisikan syaitan yang sering menggoda, supaya timbul rasa cemburu dan irihati bukanlah mudah untuk disingkirkan dari mengganggu ketenteraman di jiwa. Sering ia merenggut-renggut perasaan ketika leka itu datang bertakhta di hati.
“Kau ni kenapa Unie, awal-awal lagi dah sampai kat rumah aku ni,” tanya Suzana apabila aku melangkah masuk ke rumahnya pagi Ahad itu.
“Tak boleh ke aku datang? Atau kau ada plan lain ke hari ni?” kataku pantas. “Maaflah... sebab tak telefon dulu. Selepas mandi tadi aku terus bersiap dan datang ke mari,”
Saat  itu hatiku merasa sungguh sebak dek rasa rindu yang membuak-buak pada Abang Izwan. Sudah dua hari dia di rumah Kak Reen. Hari ini hari Ahad. Kebetulan minggu ini adalah giliran Abang Izwan menghabiskan hari minggunya di rumah Kak Reen. Termasuk hari ini sudah tiga hari dia di sana.
Awal pagi lagi dia sudah menelefonku bertanyakan khabar. Menitipkan rindu di skrin telefon bimbitku dalam keadaan bersembunyi. Katanya saat itu dia menelefonku dari dalam bilik mandi. Tidak mahu Kak Reen berkecil hati jika dia tahu kami berhubungan di kala Abang Izwan sepatutnya berada di sisinya. Dia terpaksa akur dengan janjinya untuk adil dalam menetapkan giliran kami. Walaupun saat ini dia juga merinduiku separuh mati katanya.
Sebelum dia menghubungiku pagi tadi, aku sudah akur dengan keadaan ini. Telah dapat menerima segalanya dengan penuh redha. Tapi, demi sahaja aku mendengar bicaranya, aku terus jadi sebak. Lantas aku mengambil keputusan untuk ke rumah Suzana. Menghabiskan hari mingguku bersamanya.
“Tak ada... Cuma tengahari ni aku ingat nak pergi Mid Valley kejap. Dah lama tak pergi ronda-ronda kat sana. Bolehlah singgah MPH jap. Intai novel baru. Yang ada dalam koleksi semua dah dibaca,”
“Ok... bolehlah aku ikut nanti,” jawapku sambil tersenyum puas.
“Eh... engkau tu dah jadi isteri orang. Tak marah ke Abang Izwan kau tu nanti kalau keluar merambu dengan anak dara macam aku ni. Hari ni giliran dia kat sana ye. Itu yang kau cari aku tu. Kalau tak, nak tanya khabar aku pun kau malaskan?”
Aku cuma senyum bodoh untuk menutup rasa bersalahku. Memang itu yang berlaku. Sepanjang tempoh dua minggu selepas bernikah, aku sekalipun tidak pernah menelefonnya bertanyakan khabar. Terlalu indah detik-detik bersama Abang Izwan aku rasakan. Hinggakan aku lupakan segalanya. Hanya dia yang memenuhi segenap ruang hidupku saat dia di sisi.
“Jom breakfast, aku beli nasi lemak ni tadi kat gerai dekat rumah aku tu. Sedap tau. Ada sambal tumis kerang ... ada rendang lagi....mmmm,” kataku untuk cuba melarikan diri dari topik yang Suzana persoalkan.
“Itu nak lari dari topik la tu...,” katanya sambil matanya menjeling padaku.
Bibirnya menguntum senyum. Biar pun betapa sinisnya aku rasakan senyuman itu, aku tetap membalasnya. Dia satu-satunya temanku yang sanggup menerima keputusanku walau bagaimana bodoh sekali pun keputusan yang aku buat. Sesungguhnya dia memang tidak suka pernikahan ku dengan Abang Izwan. Dia menentangnya habis-habisan sebelum kami bernikah. Tetapi setelah keputusan itu aku ambil, dia akur. Malah dia sanggup mendoakan kebahagiaan untukku. Dan saat ini hanya dia yang ada untukku. Satu-satunya teman yang mampu menceriakan perasaanku.
Kami duduk menghadap sarapan pagi yang aku bawa. Dua cawan milo ‘kaw’ yang masih berasap dia sediakan untuk kami. Tanpa sepatah kata aku menikmati nasi lemak yang memang ternyata sedap itu. Nasi lemak Kak Timah ini diperkenalkan oleh jiranku kepada Abang Izwan semasa kami mula-mula berpindah ke rumah sewa selepas berkahwin tempohari. Dan disebabkan tidak mahu kehabisan nasi inilah, maka pagi-pagi lagi aku sudah keluar rumah. Selepas membeli, aku terus memandu ke rumah Suzana.
“So, macamana hidup berumah tangga?”
Soalan Suzana yang keluar tiba-tiba dari mulutnya membuatkan aku tersedak. Cepat-cepat aku mencapai air milo panasku dan meneguk laju. Lebih pantas pula aku meletakkan kembali mug itu.  Tumpah sedikit air milo yang masih berasap itu dan terkena pada jari tangan kiriku. Kepanasan itu ternyata membuatkan aku terkejut. Pijar terasa bibirku. Aku mengibas-ngibas jejariku  untuk mengurangkan rasa pedih pada jari jemariku itu. Mataku menjeling padanya sambil aku mencebikkan bibirku padanya.
“Itulah... minum tak baca bismillah...,”
Aku senyum kembali padanya sambil berdehem beberapa kali.
“Nak ubah topik lagi?”
“Mana ada aku ubah topik..,”
“Habis tu... soalan aku kau tak jawab, ”
Aku diam. Mengapa saat itu dia mesti bertanyakan soalan yang meresahkan jiwaku? Tak bolehkah kalau dia tanya tentang perkara lain? Perkara  yang lebih menggembirakan mungkin?
“Seronok...,” kataku sepatah.
Suzana merenung tepat ke wajahku. Menantikan kata-kataku yang selanjutnya.
“Habis tu hari ni....? Seronoklah ye... bila suami kena pergi rumah isteri pertama?” katanya menyindir.
Tersentuh hatiku mendengarkan kata-katanya itu.
“Entahlah Su, aku nak cakap apa pun tak tau. Seronok memang la seronok, bila dia ada dekat aku. Tapi bila tiba giliran Kak Reen, sedih pula rasanya,”
“Alah engkau yang tempahkan? Kau terima ajelah...,”
Aku memandang ke wajah Suzana yang terus menyuapkan nasi lemaknya tanpa memandang padaku. Memang tersentuh hati ini dengan kata-katanya. Namun, aku tak mampu untuk membencinya hanya kerana bisa kata-katanya itu. Dia satu-satunya teman yang aku ada. Yang sejak di tahun pertama pengajianku dulu menjadi tempat aku mengadu dukaku. Hubungan kami sudah terlalu erat untuk aku putuskan hanya kerana kehadiran Abang Izwan dalam hidupku.
“Itulah Su, masa mula-mula Abang Izwan nak buat giliran malamnya, hati aku dah rasa kecut sangat. Masa mula-mula kereta dia bergerak keluar dari pintu pagar rumah pagi itu hati aku dah mula rasa hiba,” aku memulakan cerita. Meluahkan apa yang aku rasa.
Masih aku ingat lagi malam itu, saat pertama kali Abang Izwan memulakan giliran membahagi malamnya. Malam itu aku manangis terus-terusan. Entah pukul berapa aku terlena pun aku tidak pasti. Yang  pastinya malam itu dia mesti pulang ke rumah Kak Reen, selepas tujuh hari kami bersama menghabiskan masa-masa yang begitu indah sekali. Aku tahu di mana hakku sebagai isteri kedua, tetapi masih lagi hati ini tersentuh dengan hakikat itu.
Abang Izwan telah menetapkan pembahagian malamnya selam dua hari di rumah kami. Dua malam di rumah Kak Reen dan kemudian dua malam pula di rumahku. Manakala hari minggu pula dia akan bergilir pulang antara rumah kami. Jika minggu ini dia habiskan bersamaku, minggu depan pula dia akan menghabiskan sehari hari minggunya di rumah Kak Reen.
 “Lepas pukul 12 malam aku masih lagi tak dapat lena. Aku terus pergi buat sembahyang malam. Solat hajat, solat taubat dan macam-macam solat lagi. Aku buang jauh  semua perasaan jahat yang ganggu tidur aku malam tu. Kak Reen tu terlalu baik dengan aku. Aku tidak sepatutnya simpan rasa cemburu dan iri hati pada Kak Reen. Kalau bukan kerana dia tak kan aku dan Abang Izwan akan kahwin,” kataku perlahan.
Ya,  kalau tidak kerana keizinannya, tak mungkin aku akan menemui kembali cintaku yang telah lama terkubur pada Abang Izwan, detik hatiku sendiri. Kata-kata itu tidak mampu aku ucapkan di hadapan Suzana. Selama ini aku hanya memberi alasan permintaan Kak Reen yang menyebabkan aku bersetuju menerima Abang Izwan. Tidak pernah aku nyatakan perasaan sebenarku padanya. Pasti Suzana akan marah padaku kerana masih lagi menyimpan perasaan sebegitu kepada Abang Izwan. Setelah sekian lama menyangka perasaan itu telah terkubur. 
“Kau tahu tak? Ke mana sahaja aku pergi, macam ade aje yang mengutuk, mengata aku perampas suami orang.  Tiap kali aku tengok ada yang berkumpul di satu-satu tempat, aku jadi curiga. Mula menyangka yang bukan-bukan. Bila sahaja aku pergi dekat mereka, cepat-cepat mereka tukar topik lain untuk berbual. Mesti mereka sebenarnya cakap pasal aku. Jiran-jiran aku pulak sikit pun tidak membantu legakan rasa sedih kat hati aku ni. Sebelum Abang Izwan mulakan giliran malamnya, dia beritahu jiran sebelah yang aku  ni isteri keduanya. Kata dia... dia buat tu supaya ada yang boleh menjenguk kalau aku dalam kesusahan. Masalahnya sekarang ni satu taman tu dah tahu tentang aku. Yang perempuan kat taman tu dah pandang aku semacam aje. Tapi, apa boleh aku buatkan?  Macam yang kau katakan tadi, semua ni aku sendiri yang tempahkan?” keluhku panjang.
Seleraku yang tadinya meluap-luap menginginkan nasi lemak itu jadi terbantut. Diragut dek perasaan sedih yang mula bertakhta di hati. Suzana juga terhenti dari terus menyuap nasi lemaknya. Dia berpaling kepadaku seketika. Mungkin bila melihat ada riak sedih di mataku dia mengusap lembut pipiku dengan tangan kirinya. Cuba melegakan perasaan gundahku itu.
“Dahlah... jangan sedih macam ni... Nanti tengahari kita pergi Mid Valley, window shopping. Mesti kau gembira.  Ok ?”
****
“Hei Unie tengok ni... cantikkan gelang ni...,”
Suzana menbelek-belek gelang kristal yang baru dibelinya. Pastinya sedang mengkagumi keindahan kemilau batu kristal swarovski yang bergemerlapan di pergelangan tangannya. Aku yang ketika itu sedang mengintai-intai meja kosong di dalam restoren Kenny Roger Roosters itu membuat endah-tak endah dengan gelagatnya. Restoren yang penuh sesak itu menjadi pilihan kami untuk makan tengahari itu. Entah mengapa, tiba-tiba sahaja aku terasa ingin menjamah hidangan di situ.
Kecur liurku bila teringatkan ayam bakarnya yang dimakan bersama tiga pasta pilihan dan muffin pisangnya. Hem ... tentu sedap sekali rasanya. Pelayan restoren yang tersenyum kepadaku memberi isyarat supaya kami mengikutnya. Nampaknya sudah ada satu meja yang telah dikosongkan. Kami mengikuti langkah anak muda itu ke satu meja yang dikhaskan untuk dua orang. Hati terasa amat bersyukur kerana akhirnya kami mendapat tempat untuk makan di sini.
Kalau melihatkan pelanggan yang panjang beratur di luar restoren, tentunya sampai petang restoran ini akan dipenuhi pelanggan. Tidak kurang dari tiga puluh orang yang beratur di situ, aku menghitung satu persatu. Satu senario biasa di sini setiap tibanya hari minggu. Setelah mengambil tempat duduk, pandanganku kembali kepada Suzana. Tak sudah-sudah dia membelek gelang di tangannya.
Suzana memang bergaya orangnya. Koleksi aksesori kristalnya sudah begitu banyak tidak terhitung. Namun masih lagi setiap kali keluar membeli-belah dia akan membeli sesuatu untuk dirinya. Di segi pemakaiannya pula, dia sentiasa mengikut trend semasa.  Lain pula dengan diriku. Aku lebih suka dengan kesederhanaan. Bukan tidak suka bergaya, tetapi tidak tergamak pula rasanya bergaya sakan dengan aksesori yang berlebihan dan pakaian yang dihiasi manik-manik bertaburan. Bagaikan hendak pergi kenduri pula rasanya dengan pakaian sebegitu.
Ada ketikanya hatiku teringin juga untuk memakai pakaian seperti itu. Tetapi  bila mengenangkan betapa cerewetnya untuk menjaganya aku batalkan niatku. Ah... lebih senang dengan gaya sempoiku. Cukuplah sekadar pakaianku itu menutup auratku. Cukup sekiranya pakaianku itu cukup longgar dan tidak menyerlahkan lekuk-lekuk di tubuhku ini. Cukup juga bagiku sekiranya tudungku cukup labuh bagi menyembunyikan dadaku dari ditatap oleh lelaki lain selain dari Abang Izwan.
“Eh Unie, mana beg plastik novel yang aku beli tadi...,”
Tiba-tiba lamunanku dikejutkan oleh suara kalut Suzana. Kelihatan dia sedang membelek-belek beg palstik yang diletakkan di tepi meja.
“Tak adalah Unie ...,”
“Kau letak kat mana? Cuba cari, ada tak?”
“Tak ada lah... , alamak apa aku nak buat ni... lima buah novel aku beli tadi. Kalau hilang habislah aku...,” dia mengeluh hampa.
“Kau tertinggal kot, cuba ingat kita lalu kat mana tadi,”
“Haah lah... agaknya tertinggal kat kedai kristal tu tadi kot. Aku pergi tengok kejap ye? Kau tunggu aku kat sini Ok?
“Pergilah..., jangan lama-lama sangat tau..,”
Dia lantas bangun meninggalkanku. Tidak lama selepas dia pergi, tiba-tiba perutku terasa memulas. Pedih sekali rasanya. Memang sejak menjamah nasi lemak Kak Timah yang pedas membara pagi tadi, perutku mula meragam. Selalunya tidak begitu. Selalunya sambal yang lebih pedas daripada itupun aku mampu menghabiskannya tanpa sebarang masalah. Tapi kali ini, ia membuatkan perutku meragam walaupun aku memakan hanya beberapa suap sahaja pagi tadi.
Kalut rasanya hatiku. Macamana ni, kalau ditinggalkan meja itu sekarang pastinya akan ada yang mendudukinya. Nak menunggu Suzana kembali, terasa seperti tak sempat pula.  Bimbang pula kalau-kalau aku ter.... di sini. Pasti malu nanti. Aku perlahan-lahan bangun. Beg plastik yang berisi barangan yang kami beli sebentar tadi aku kutip satu-persatu. Lantas aku memanggil salah seorang pelayan yang berdekatan.
“Dik... akak ada emergencylah... kena pergi toilet. Meja ni... jangan berikan pada orang lain ye? Nanti sekejap lagi kawan akak datang,” kataku meminta pengertian darinya.
“OK kak, barang tu letak kat kaunter tu. Nanti hilang, susah pulak...,” jawabnya.
Lega terasa di hatiku dengan pengertiannya. Aku cepat-cepat meninggalkan restoren itu untuk ke bilik air. Sambil itu aku menelefon Suzana memberitahunya situasiku saat itu. Tidak  mahu dia bimbang pula nanti bila melihatkan aku tiada di restoren itu. Hampir sepuluh minit juga aku di bilik air. Selepas selesai qada hajatku, cepat-cepat aku bergegas kembali ke restoren. Pasti Suzana sudah kembali ke situ. Mungkin pesanan kami sudah sampai dan dia sudah pun kenyang menjamu seleranya. Aku menjilat bibirku mengenangkan Kenny Roger Rooster yang menjadi idamanku. Hemm... yummy... Hai mulut, entah kenapa dua tiga hari ini seleraku bertambah. Macam selera gajah pulak tu. Dan bila aku menghajatkan sesuatu, bagaikan tidak sabar-sabar rasanya untuk aku menikmatinya. Kalau berterusan begini, pasti naik pula berat badanku nanti. 
Namun, setibanya aku di meja kami, lain pula yang jadinya. Kelihatan di situ, seorang pemuda sedang santai menjamu selera. Bersamanya seorang gadis sunti yang ku kira mungkin adiknya. Hatiku tiba-tiba jadi meluap-luap marah. Mengapa pula meja kami diduduki orang lain? Dan, mereka kelihatan telah menerima pesanan yang kemungkinan besarnya makanan yang aku dan Suzana pesan tadi. Aku mendekati mereka  dengan perasaan marah sekali.
“Encik ni... kenapa duduk kat meja saya...?” kataku marah tanpa berfikir panjang.
Dia yang baru sahaja mula menyuapkan makanannya terus terdiam. Perlahan-lahan dia mendongak memandang ke wajahku yang pastinya sedang mencuka saat itu. Ooops, kacaknya.... detik hatiku.
“Mana ada nama atas meja ni yang kata meja ni hak awak. Dah kosong, kami duduklah...,”
“Tadi kami duduk kat sini... saya keluar kejap aje dah ada orang lain duduk. Itu ha... yang awak makan tu, mesti makanan yang kami pesan...,”
Lelaki itu meletakkan makanannya lantas bangun dengan perlahan. Ternyata dia jauh lebih tinggi dari aku. Mataku hanya separas dadanya. Aku terpaksa mendongak untuk memandang ke wajahnya. Keadaan yang mampu menggugat kemarahan yang aku rasakan. Timbul pula sedikit rasa takut di hatiku. Hanya dengan ketinggiannya sahaja aku sudah merasa kecut perut sebegini.
“Cakap baik-baik sikit ye... Siapa suruh awak tinggalkan meja ni. Dan makanan ini kami yang pesan. Awak ingat awak aje yang mampu makan kat sini. Kami ni lebih dari mampu tau tak....,” katanya dengan nada suara yang menggetarkan sukmaku. Tergambar api kemarahan di matanya.
Masyaallah, apa yang telah aku lakukan ini. Aku bukannya pandai bergaduh. Tapi, melihatkan dia tadi, hatiku cukup panas sehinggakan aku bertindak di luar kawalanku. Aku jadi terkedu melihatkan kemarahannya. Aku memandang ke kiri dan kanan. Semua pelanggan restoren yang duduk di meja berdekatan kelihatan sedang memandang pada kami. Ah... malunya. Bagaimana aku boleh mencetuskan situasi memalukan sebegini? Tanpa disedari, aku menzahirkan sikap bodohku ini. Aku terasa mata lelaki itu terus memandang padaku. Kemarahannya masih jelas kelihatan bila mataku menjeling sekilas ke wajahnya. 
Dalam kekalutan yang aku rasakan, kelibat Suzana muncul dari pintu masuk restoren. Di tangannya terbimbit sebuah beg plastik dengan lebel MPH. Terus hatiku kembali lega melihatkannya. Suzana selalunya mahir dalam dalam situasi sebegini. Dia memang pandai bergaduh. Tidak seperti aku yang sering beralah dengan keadaan. Dia mendekati kami. Bersamanya pelayan restoren yang aku minta untuk memerhatikan meja ini supaya tidak diduduki oleh orang lain.
“Kenapa ni Unie?” tanya Suzana.
“Ini... encik ni Su, dia duduk kat meja kita masa aku keluar sekejap tadi,” kataku seperti mengadu kepada Suzana. Kelihatan Suzana juga sudah mula marah.
“Kak... maaf, tadi saya tak sempat beritahu kawan saya yang meja ni dah ada pelanggannya. Dia bagi meja ni pada encik ni. Kami dah sediakan meja lain untuk akak. Itu di sana, mari....,” kata  pelayan restoren yang berada di belakang Suzana sebelum sempat dia berkata apa-apa.
Tiba-tiba hatiku jadi kecut lagi bila mendengarkan kata-kata pelayan itu. Alamak,  memanglah situasi ini sungguh memalukan. Sepatutnya aku bertenang dan menghubungi pelayan itu dahulu sebelum datang  dan marah-marah pada lelaki ini. Kelihatan gadis sunti yang duduk berhadapan dengannya juga sudah mula panik dengan keadaan itu. Matanya laju sahaja memandang kepada lelaki itu, kemudian kepadaku sebelum kembali semula ke wajah lelaki itu.
“Maaf encik..., tadi memang akak ni duduk kat sini. Tapi... dia ada emergency. Jadi tinggalkan meja ni sekejap. Encik... teruskanlah makan ye. Jangan marah ye... kesilapan kami sebenarnya,” kata pelayan itu pula kepada lelaki itu.
Dia mengetap bibirnya. Mendengus marah. Kelihatan rahangnya bergerak-gerak menahan kemarahannya. Aku terus memalingkan wajahku ke arah lain. Tidak mampu untuk berhadapan dengannya. Malu dengan diriku sendiri. Bila pelayan restoren itu meninggalkan meja itu, aku menuruti langkahnya tanpa sepatah kata. Malu untuk berpaling dan meminta maaf kepadanya. Kesal sungguh rasa di hati kerana membiarkan emosi mempengaruhi akalku sebentar tadi. Hei... Unie ... Unie ....
“Maaf encik... kawan saya tu tak tahu... maaf ye...,” kedengaran Suzana memohon maaf sebelum dia juga mengikuti kami.
Setelah mengambil tempat di meja yang jaraknya selang tiga meja dari meja yang diduduki lelaki itu, aku menjeling sekilas kepadanya. Dia sudah mengambil tempatnya semula. Matanya masih lagi tertancap ke wajahku. Masam sekali mukanya. Mungkin masih menahan marah. Kulit sawo matangnya kelihatan semakin gelap. Mungkin darahnya naik ke kepala dek rasa marahnya kepadaku.
Sebentar kemudian,  pelayan tadi menghulurkan makanan yang kami pesan tadi. Namun, semangatku yang tadi berkobar-kobar untuk menghabiskan makanan kali ini jadi terbantut semula. Seleraku hilang lagi. Terasa mual pula tekakku untuk menghabiskan ayam bakar ini. Tambahan lagi dengan insiden yang memalukan tadi.  Dan mata itu.... yang terus memandang wajahku... dengan kemarahan yang masih bersisa.

5 comments:

Strawberi Comei said...

hehe..terharu!! sbb ade nam unie.. name manje saya dikalangan family n frends.. ^.~

Laila Hanni said...

oh... ye ke Unie....
nama penuhnya apa? hehehe....

IVORYGINGER said...

huhuhu... another hero coming.
Awat la lambat br muncul klu x ada chance nk tackle unie. Skrg Unie not available dah. ahaks...
;D

IVORYGINGER said...

akak adakah hero ini penyelamat atau org yg meruntuhkan masjid unie???? siap bdendam lg.
ke kenalan unie yg slama ni ikuti pkembangan unie??? he...

laila hanni said...

Ivory,
That's what will happend actually. Pendamping yang ikuti perkembangan dan akan jadi penyelamat Unie. Dah muncul sebenarnya. hehehe.... siapa ye? Cuba teka k...

Post a Comment

Popular Posts