Bab 20
Senyuman lemah wanita separuh umur itu begitu mesra
sekali menyapa pandangannya. Mai kembali
tersenyum kepada emak mertuanya. Pertama kali dia melihat senyuman mesra dari
wajah lemah itu, membuatkan ada rasa bahagia membaluti sekeping hatinya yang
selama ini dahagakan kasih seorang ibu. Tiba-tiba rasa sebak datang bertandang, membawa rasa
panas di pinggir mata. Dan tanpa dia sedar ada titis jernih bergenang di kolam
matanya saat salamnya disambut penuh mesra. Dan bila tubuh kecilnya ditarik
lemah ke dalam pelukan wanita itu, titis jernih itu terus berlari meniti di pipi.
Semasa Mai pulang seminggu yang lalu, lain sekali keadaan
emak mertuanya ini. Waktu itu dia hanya terbaring lemah di atas katil dengan
wayar untuk membantu pernafasan dan wayar-wayar lain yang berselirat di
tubuhnya yang kurus itu. Mereka hanya mampu berbicara dengan isyarat mata
sahaja waktu itu. Dia kelihatan cukup lemah dengan nafas yang tersekat-sekat.
Wajahnya yang pucat serta jejarinya kelihatan kebiru-biruan akibat tidak cukup
oksigen dalam darah, menurut kata doktor. Melihatkan perubahan pada diri orang
tua itu hari ini membuatkan Mai merasakan amat bersyukur sekali. Wajahnya kini
kelihatan lebih bercahaya biarpun masih kelihatan lemah. Dan dia juga tidak
lagi bergantung kepada wayar oksigen untuk membantu pernafasannya. Tempoh empat
hari selepas rawatan angioplasti yang jalankan ini telah mengubah keadaan
wanita separuh umur itu kepada seorang yang lebih sihat berbanding seminggu
yang lalu.
“Apa khabar.... mak...?,” sapanya pelahan selepas pelukan
dileraikan. Terasa teragak-agak untuk
dia menyebut panggilan itu. Terasa amat bersalah kerana selama ini dia tidak
menghiraukan perasaan wanita itu. Dia sanggup membiarkan wanita itu menanti dia pulang untuk
menemuinya seperti yang di ceritakan oleh Shuhaida tempohari. Penantian yang
penghujungnya sebegini. Dan untuk itu dia merasakan amat bersyukur kerana masih
diberikan peluang untuk mengenali wanita berkulit hitam manis ini yang
senyumnya sentiasa menghiasi wajahnya biarpun dalam keadaannya yang cukup
lemah.
Makcik Nisah hanya senyum sambil mengangguk perlahan.
Kelihatan agak lemah untuk berkata-kata. Cuma matanya sahaja yang menggambarkan
kegembiraannya dapat menatap wajah menantunya itu. Wajah yang ingin
ditatapnya kerana telah mampu untuk
membawa sinar baru dalam hidup anaknya yang sepi. Walau dia tidak mengerti akan
pelbagai alasan yang dibuat oleh Syamsul apabila Mai tidak mahu pulang untuk
menemuinya selepas pernikahan mereka tempohari, tetapi dia menerima seadanya.
Mungkin benar kata Syamsul, bahawa Mai sibuk dengan tugas di sekolah.
Melihat wanita muda ini di hadapan matanya, dia menyaksikan
seorang yang baik hatinya. Mungkin tidak terlalu sempurna dari segi paras rupa
mahu pun tingkah laku, tetapi bila dia sanggup menyumbangkan sejumlah wang yang
banyak untuk membantu rawatannya, Makcik Nisah dapat melihat ada ketulusan di
situ. Bukan mudah untuk menyumbang wang yang begitu banyak dalam tempoh
pernikahan yang sesingkat itu. Namun wanita muda ini telah membuktikan
keikhlasannya itu. Buat hati tuanya merasakan cukup terharu.
“Mari... duduk kat mak ni...,” katanya lemah sambil
menepuk perlahan tempat kosong di sebelahnya di atas katil. Dan tanpa berlengah
lagi Mai duduk sambil matanya menatap sekilas ke dalam mata Syamsul yang berdiri di sebelah sana katil, sedang
menuangkan segelas air kepada emaknya. Tidak dia sedari sejak tadi lagi Syamsul sedang memerhatikan setiap tingkahnya.
“Macam mana rasanya sekarang ni mak?”
“Alhamdulillah... lega betul rasanya...,” jawabnya lemah.
“Nak bernafas pun dah tak payah pakai wayar tu lagi ...,”
Mai tersenyum kepada Makcik Nisah. Kembali membalas renungan
Syamsul yang masih lagi lekat di
wajahnya. Dan sesaat itu hatinya berdebar kencang. Bagai ada sesuatu yang dia
lihat dalam sekilas pandangnya yang bertembung dengan anak mata suaminya
sebelum Syamsul menjatuhkan pandangannya
ke arah gelas yang telah penuh berisi air.
“Mai nampak mak dah sihat banding dengar minggu lepas.
Masa Ida cakap doktor nak buat rawatan pada mak hari Isnin lepas, terus Mai
rasa tak sabar nak balik... nak tengok mak... tapi Mai tak dapat ambil cuti.
Cuti Mai dah habis... terpaksa tunggu hari minggu macam ni,” entah mengapa
terasa ingin menjelaskan duduk perkara sebenar di sebalik ketidak
hadirannya semasa proses rawatan itu
berlangsung hari Isnin yang lepas.
“Tak apa Mai,
Syamsul ada...,” kata Makcik Nisah. Sambil matanya menatap ke wajah Shamsul
Hasni. Tersenyum dalam sembunyi melihatkan sinar bahagia di mata anaknya itu.
Sinar yang sebelum ini bagaikan suram. Ada rindu yang tergambar di situ
semalam, tetapi saat ini, rindu itu
bagaikan telah pegi menjauh.
“Jadi macam mana sekarang? Apa kata doktor?”
“Doktor kata kalau tak ada apa-apa, esok mak dah boleh
balik,” kata Makcik Nisah dengan wajah penuh ceria.
“Ia?” ucap Mai sepatah, dengan perasaan gembira yang
entah datangnya dari mana. Dia tidak mengerti mengapa dia perlu merasakan
kegembiraan itu. Namun rsa itu bagaikan membawa debar di hati yang sungguh
tidak dimengertikan. Biar pun cukup tidak dimengertikan, tetap juga perasaan itu ingin terus
dirasakannya. Getar bahagia yag tak pernah dialaminya sejak sekian lama.
“Doktor kata, mak dah boleh balik esok. Tapi rawatan
susulan mesti kena ikut sampai dia dah
betul-betul sembuh. Jadi mak kena datang ikut temujanji dia,” kata Syamsul.
Mai mengangguk perlahan. Memang begitu selalunya. Selagi
tidak betul-betul sembuh, setiap pesakit sepatutnya mendapatkan rawatan susulan
untuk mempastikan penyakit yang dialami mendapat pemantauan yang sepatutnya.
Mindanya mencerna apa yang katakan lalu hatinya bagaikan faham apa sebenarnya
yang ingin kisampaikan oleh Syamsul. Mungkin Syamsul menyatakan bahawa dia perlu terus berada di
samping emaknya dan tidak lagi dapat kembali ke Shah Alam. Dan entah mengapa
perasaan itu terasa bagaikan menjerut hatinya. Dia menarik nafas panjang.
“Bila Mai nak balik semula ke Shah Alam?” tanya Makcik
Nisah.
“Mai ambil tiket kapalterbang pukul 6.15 pagi Isnin nanti
mak...,”
“Mmm... hari ni hari Jumaat, ada dua harila kat sini ye?”
“Ye mak... dan .. nanti cuti sekolah, hari-hari Mai ada
kat sini..,” jawabnya tanpa sedikit pun berfikir panjang dengan apa yang dikatakannya.
Kata=kata yang membuatkan Syamsul
terkejut bila mendengarkannya. Dan dalam diam, terbit rasa marah di hati
lelaki itu. Mengapa Mai berkata begitu? Tidakkah dia memberikan harapan untuk
emaknya? Dan jika harapan itu terpaksa didustai, bagaimana nanti emak mampu
menerimanya. Bagaimana nanti semua mampu menerimanya. Perasaan bahagia yang
dirasakan sebentar tadi bagaikan tercalar dengan kenyataan Mai itu. Walaupun
terselit rasa gembira di hatinya dengan pengakuan isterinya itu, dia tahu Mai
tidak akan mampu untuk memenuhinya. Namun untuk tidak diketahui emaknya tentang
hal ini, Syamsul hanya mendiamkan sahaja
apa yang terpendam di hatinya. Bila ada luang waktu nanti pasti dia akan
menyedarkan Mai dengan kata-katanya yang diluahkan tanpa sedarnya itu. Ya...
pasti.
Dan tanpa lengah, sejam kemudian ketika mereka berjalan
menuju ke tempat parkir motosikalnya, Syamsul
terus bertanyakan hal ini kepada Mai. Dia ingin Mai jelas dengan keadaan
kesihatan emaknya. Dia tidak mahu Mai menyesal dengan keterlanjuran
kata-katanya tadi. Dia tidak mahu Mai membiarkan emaknya, anak-anaknya dan
mungkin juga dia, menaruh harapan dengan kata-kata Mai itu tadi.
“Aku tak suka kau bagi harapan pada mak aku macam tadi
tu. Dia belum sihat lagi...!” bentaknya apabila mereka tiba di sebelah
motosikal Syamsul yang terletak di
tempat yang agak jauh dari pendengaran orang ramai.
“Maksud awak?” kata Mai sambil mengerutkan keningnya. Mai
memberanikan diri untuk membalas renungan dari Syamsul. Entah mengapa pandangan yang diberikan oleh
suaminya itu kali ini dirasakan indah sekali saat itu. Pandangan yang
membuatkan dia terpaku seketika kerana tidak mampu untuk memusatkan mindanya ke
arah apa yang dikatakannya sebentar tadi. Perlahan pula Syamsul menarik nafas, cuba menumpukan mindanya
dengan apa yang ingin disampaikannya kepada wanita muda ini yang kelihatannya
begitu senang menabur harapan yang pastinya dia sendiri tidak mampu untuk
kotakan.
“Tadi kau cakap kat mak yang kau nak tinggal kat sini
cuti sekolah nanti. Kau boleh buat ke semua tu?”
“Kenapa pulak saya tak boleh buat? Kan cuti sekolah
namanya. Jadi saya dak perlu pergi sekolah, dari duduk melangut kat rumah
seorang-seorang, baik saya balik ke sini...,”
Balik.... perkataan yang sepatah itu bermain di minda
Syamsul. Mai berkata-kata seolah-olah ini tempat asalnya. Ada rasa bahagia di
hati bila Mai berkata begitu. Namun masih lagi tetap ada rasa ragu di hatinya
dengan pengakuan isterinya itu.
“Nak ke engkau duduk kat sini. Sini bukan macam KL atau
Shah Alam. Ini kampung Mai, boleh ke engkau tahan duduk kat kampung aku yang
tak ada apa-apa tu...?”
“Kat kampung awak ada laut.... ada pantai... ada
angin....,” dan ada awak.... sambungnya dalam hati. Dan dia sendiri terkejut
dengan bisikan yang terlintas di hatinya
tanpa dia sedari. Buat tiba-tiba terasa panas wajahnya kerana ada rasa
malu yang singgah di hatinya. Dan ternyata ada sirna di wajahnya yang
membuatkan Syamsul terpesona dengan apa
yang dilihat di hadapan matanya. Membuatkan dia menelan liurnya tanpa sedar.
“Aku tak suka kau cakap aje, tapi tak mampu nak buat.
Jangan bagi harapan kat mak dan anak-anak aku. Lepas tu harapan tu kau sendiri
yang tak mampu nak tunaikan,” katanya setelah sedar dari lamunan pesonanya.
“Saya suka kampung awak. Laut dan pantainya, saya suka
sangat. Selama ni saya memang suka pantai. Selalunya pergi berkelah aje atau
habiskan masa bercuti kat resort tepi pantai. Tapi kali ni, saya dapat tinggal
di tepi pantai. Saya tak akan lepaskan peluang tu. Walaupun hanya untuk masa
cuti sekolah ni....” katanya penuh yakin. ‘dan walaupun sesaat cuma....’
hatinya berbisik lagi.
“Irfan tak marah ke nanti?”
Soalan yang buat Mai terkejut. Syamsul berfikir hingga ke tahap itu?
“Saya buat apa yang saya nak buat. Tak ada kena
mengenanya dengan dia,”
“Ia? Begitu ye? Jadi apa yang kau buat dulu tu,
sebenarnya apa yang kau nak buatlah?” kata Syamsul menduga.
Terpukul rasanya dia dengan kata-kata itu. Sungguh Mai
tidak menyangka Syamsul akan terfikir ke
arah itu. Lantas dia memuncungkan bibirnya tanda marah. Berpaling ke arah lain
untuk menutup perasaan malunya. Tapi, mana mampu dia menyembunyikan semua itu.
Dia tertangkap dengan kata-katanya yang tidak mampu menyokong perbuatannya
tempohari. Dan hatinya terasa semakin sakit apabila Syamsul terus ketawa sinis bagaikan sesuatu yang amat
lucu sedang berlaku. Buat muncungnya makin panjang.
“Nak balik ke tak
ni...? Kalau nak naiklah cepat
...,” sapa Syamsul nakal apabila melihatkan Mai terus diam di tempat dia
berdiri. Tidak menyedari yang suaminya itu sudah pun menunggang motosikalnya.
Lantas dia mendekati Syamsul dengan
perasaan yang serba salah, antara marah dengan malu. Dan apabila Syamsul memakaikan topi keledar di kepalanya, debar
yang seringkali memenuhi ruang rasanya kini, bertandang kembali. Dia
menundukkan pandangannya apabila ternyata mereka terpaksa berhadapan dalam
kedudukan yang rapat sekali sepanjang masa Syamsul mengikat topi keledar itu. Dan di sepanjang
waktu itu dia dapat merasakan mata Syamsul yang dalam diam, bagaikan nakal
mengamati setiap inci wajahnya. Buat dadanya terus berdebar lagi. Terasa
bagaikan degupan jantungnya itu kuat sekali menghentam dadanya. Dan bagaikan
dapat dia melihat ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik wajah Syamsul yang
begitu tenang tanpa sebarang riak.
Syamsul sengaja melambat-lambatkan
kerjanya. Cuba mencuri peluang untuk menatap wajah yang bibirnya sedang muncung
itu dari jarak dekat. Di matanya, Mai tidaklah teramat sempurna kecantikkannya.
Wajahnya tidaklah secantik gadis-gadis lain yang pernah ditemuinya. Namun ada terselit
kemanisan di riak wajahnya setiap kali dia senyum, terutamanya ketika senyuman
yang sepontan terukir d bibirnya.
Dan, di saat ini bibir mucung yang menyapa itu begitu
menggetarkan perasaan. Buat dia ingin sekali menyentuhnya. Dia cuba sekali
untuk mengelakkan diri dari terus melakukan apa yang dirasakannya itu, tetapi
bagaikan tak mampu. Cepat-capat dia menyudahkan mengikat tali topi keledar
untuk menutup perasaannya itu. Tidak mahu
hingga Mai menyedari apa yang dirasakannya saat itu.
Bila Mai menaiki motosikal untuk menunggang di
belakangnya, getaran di hatinya jadi semakin kuat. Sungguh dia tidak mengerti
mengapa dia merasakan sebegitu. Dan sungguh dia tidak mampu untuk membuang rasa
itu. Tambahan lagi bila Mai memeluknya erat di sepanjang perjalanan mereka yang
memakan masa hampir satu jam itu. Jantungnya terus berdetak hinggakan terasa
lemah seluruh tubuhnya. Namun dia terus cuba bertahan sehingga ke hujung
perjalanan.
Dari jauh kelihatan Nabil terlompat-lompat kegirangan
melihatkan motosikalnya masuk ke kawasan rumah emaknya. Bila Mai turun dari
motosikal, Syamsul langsung tidak lagi mampu untuk bertahan.
Cepat-cepat dia meninggalkan Mai yang sedang disambut oleh peluk cium dari
Nabil sehinggakan isterinya itu terpinga-pinga melihatkan dia berlalu pergi
dengan tiba-tiba. Perasaan marah pada diri sendiri yang dirasakan saat itu
kerana tidak mampu untuk menahan perasaan
terhadap isterinya sedikit pun tidak dapat disembunyikan. Lantas dia
terus menjauhkan diri dengan beralasan untuk menunaikan sembahyang Asar apabila
ditanya oleh Shuhaida.
“Kenapa dengan abang tu kak?” sepatah pertanyaan itu
keluar dari bibir Shuhaida terhadap kakak iparnya yang sedang dipeluk oleh
Nabil. Anak kecil itu kelihatan begitu teruja sekali dengan kehadiran ibu
tirinya. Sesuatu yang membuatkan Mai merasakan sangat gembira kerana diterima
di dalam keluarga kecil suaminya itu.
“Entahlah Ida... tadi elok aje dia. Tapi, tiba-tiba
aje... macam marah pada akak.. kenapa ye Ida? Akak ada buat silap apa ye?” Mai
seakan-akan mengadu kepada adik iparnya.
Hatinya terasa amat bersalah. Cukup tidak mengerti dengan
kemarahan yang dilihatnya di dalam mata Syamsul
sebentar tadi. Apakah silapnya kali ini sehinggakan Syamsul berkelakuan sebegitu terhadapnya. Tiba-tiba
suaminya itu marah tanpa sebab. Apakah kesilapan yang telah dilakukannya?
Dia cuba menutup kekecewaan yang dirasakannya dengan
sikap Syamsul itu. Perlahan-lahan dia
bangun dari kedudukannya yang bertinggung di hadapan Nabil. Dia kemudiannya
memimpin tangan Nabil untuk sama-sama naik ke atas rumah kecil emak mertuanya
itu. Namun kekecewaannya itu telah dapat dihidu baunya oleh Shuhaida hinggakan
timbul pula rasa hairan dan marah gadis itu terhadap abangnya.
“Akak ada cakap apa-apa ke tadi?”
“Rasanya macam tak cakap apa-apa yang salah pun. Cuma dia
tak percaya bila kak Mai cakap yang kak Mai nak balik ke sini masa cuti sekolah
nanti. Dia ingat kak Mai main-main...,”
“Eh... ummi nak balik sini cuti sekolah ni? Yeay ....,”
sorak Nabil secara tiba-tiba. Sejak tadi lagi dia sibuk bertanyakan itu dan ini
kepada Mai. Kegembiraannya dengan kepulangan Mai langsung tidak mampu disembunyikan.
“Ya Nabil. Ummi balik sini nanti... Nabil suka tak..?”
kata Mai sambil memberikan senyuman paling manis buat anak kecil itu. Terasa
seperti hatinya dielus bila panggilan ‘ummi’ digunakan oleh Nabil buat dirinya.
Tanpa meminta dan tanpa dipaksa, panggilan itu begitu tulus terlantun dari
bibir Nabil. Membuatkan dia merasa amat senang sekali diterima begitu.
“Suka... suka... nanti boleh main air hujan dengan Nabil
...,”
Bulat mata kecil itu memandang ke wajahnya dengan penuh
harapan. Sesuatu yang membuatkan Mai merasa amat diterima dalam keluarga ini.
Lalu dia memeluk anak kecil itu dengan perasaan yang cukup teruja. Tidak sabar
rasanya menanti tiba saatnya dia akan di sini menghabiskan hampir dua bulan
tempoh cuti persekolahannya nanti.
Shuhaida mencapai beg pakai yang dibimbitnya sejak tadi.
Turut terseyum mendengarkan kata-kata kakak iparnya itu. Terus dia jadi lupa
pada persoalan tentang kemarahan yang dilihat di mata Syamsul sebentar tadi.
Mai cuma melihat sahaja Shuhaida membawa beg pakaiannya
ke dalam bilik Syamsul. Dia berharap agar Syamsul akan cepat-cepat bersiap dan
kembali ke hospital untuk menemani emaknya seperti ketika dia pulang ke sini
minggu lepas. Sepanjang menantikan waktu itu, dia amat bersyukur kerana telah
menunaikan solat asarnya secara jamak iaitu dihimpunkan bersama solat zohor di
lapangan terbang Subang tengahari tadi. Kalau tidak, pastinya akan terasa kekok
kerana terpaksa berkongsi bilik bersama dengan Syamsul.
Sepanjang petang itu Mai tidak lagi melihat Syamsul.
Terlalu asyik melayan Nabil yang mengajaknya bermain di gigi air. Deruan ombak
yang agak keras menerjah ke pantai membuatkan dia larut dengan keindahan yang
agak tercalar oleh suasana persekitaran yang agak kotor di tepi pantai. Sampah
berselerakan di tepi pantai, dibawa oleh ombak besar yang melanda di hujung
tahun begini. Seperti yang disebut oleh Shuhaida minggu lepas, di musim
tengkujuh keadaan cuaca tidak menentu. Adakala angin begitu lembut bertiup dan
ada ketikanya pula begitu keras melanda pantai. Di saat ini, terjahan angin
petang begitu keras menampir pipinya. Membuatkan dia merasa agak takut dengan
rahsia laut yang masih terlalu dalam untuk dia terokai. Membuatkan ada rasa
gerun untuk dia meneruskan peejalanannya di gigi air itu. Dan entah mengapa di
saat itu, laut bagaikan mengingatkan dia kepada lelaki itu. Yang kini tanpa
kompromi lagi sudah mula memenuhi ruang mindanya saban waktu.
18 comments:
best2...nak lagi..nak lagi....
tq cik writer....suka tau...
next n3 plz...kiki:)
akakkk, suke sangat cerita akak ni, laaaagiiiii suke kalau kak Laila sudi nak post n3 baru 4 kali sebulan ke, hehe, nak merayu k laila la ni, boleh tak, sambil buat muka nak kena lempang, hehe
x sabar tggu mai cuti sekolah..
Aduhai Laila... Walau seksa sangat menanti sebulan 1 n3.. Rozie sabarkan jua.. Runtun jiwa... Alahai Syamsul.. Alahai Mai.. Nyatakanlah yang terpendam.. psst.. Laila.. manuskrip tak buat lagi ke? Cepatlah publish!
Best sgt... nak lagi.. nak lagi..
Suka sangat-sangat. harap nanti akan menjadi ke versi cetak.
Laila ni mmg suka mendera betul perasaan sy. Lps sebulan baru nak bagi n3 baru, sakit jiwa tau sy kat sini asyik-2 tgk blog awk nk tggu n3 baru. Terima kasih sbb bagi n3 yg panjang-2 dan sy puas hati sgt-2 sehingga nak ckp "nak lagi" dgn muka kesian. heheheeee
Saya pun suke..heheheh tiap2 bulan mesti ternanti2 n3 ni...lama sgt rase
hehe... thanks semua yang baca dan ikuti n3 dalam blog saya ni. hem... kalau ikutkan hati memang nak post hari-hari... tapikan, tulis yang ni memang betul2 mencabar minda. agaknya sebab tajuknya kut, minta sesaat je, allah pun bagi sesaat lagi... idea selalu macam tak mo keluar bila ngadap lappie... makanya lambat la sikit siapnya dah dekat tiga tahun tulis yang ni... huhuhu....
Lamanya, tp berbaloi juga sbb ramai yag tggu walaupun sesaat. Terima kasih kerana sudi memerah idea untuk menyambung kisah Mai dgn Syam. Really appreaciate dear, dan teruskan lah berkarya kerana kami pembaca setia sentiasa menyokong laila dari belakang.
memang best.. nak en3 baru
thanks has.... senyum ni.... hicks...
Terdapat salah ejaan seperti pelahan, dengar sepatutnya dengan, pegi, kisampaikan, mucung, beg pakai, terseyum, peejalanannya..
emm... itula, bila dah post baru perasan. masa nak post, tak sempat nak baca elok2. itu versi belum edit sebenarnya. teruja sangat nak post... maaf ye. next time saya akan cuba buat lebih baik...:)
Best... :-)
Seronok baca karya tulisan K.Laila walaupun ideanya mengikut saat... Thanks K.Laila..
Rasa tenang bila Mai balik kampung, geram sikit dgn Sham ni, Mai datang jauh-jauh dia pula yg buat perangai... Moga Shuhaida atau Nabil dapat jadi pendamai antara mereka berdua... :-)
terus sabar menunggu sambungan sesaat berikutnya... :-)
sy suka..
menggetar sukma betul
Post a Comment