Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 20

Senyuman lemah wanita separuh umur itu begitu mesra sekali menyapa pandangannya.  Mai kembali tersenyum kepada emak mertuanya. Pertama kali dia melihat senyuman mesra dari wajah lemah itu, membuatkan ada rasa bahagia membaluti sekeping hatinya yang selama ini dahagakan kasih seorang ibu. Tiba-tiba  rasa sebak datang bertandang, membawa rasa panas di pinggir mata. Dan tanpa dia sedar ada titis jernih bergenang di kolam matanya saat salamnya disambut penuh mesra. Dan bila tubuh kecilnya ditarik lemah ke dalam pelukan wanita itu, titis jernih itu  terus berlari meniti di pipi.

Semasa Mai pulang seminggu yang lalu, lain sekali keadaan emak mertuanya ini. Waktu itu dia hanya terbaring lemah di atas katil dengan wayar untuk membantu pernafasan dan wayar-wayar lain yang berselirat di tubuhnya yang kurus itu. Mereka hanya mampu berbicara dengan isyarat mata sahaja waktu itu. Dia kelihatan cukup lemah dengan nafas yang tersekat-sekat. Wajahnya yang pucat serta jejarinya kelihatan kebiru-biruan akibat tidak cukup oksigen dalam darah, menurut kata doktor. Melihatkan perubahan pada diri orang tua itu hari ini membuatkan Mai merasakan amat bersyukur sekali. Wajahnya kini kelihatan lebih bercahaya biarpun masih kelihatan lemah. Dan dia juga tidak lagi bergantung kepada wayar oksigen untuk membantu pernafasannya. Tempoh empat hari selepas rawatan angioplasti yang jalankan ini telah mengubah keadaan wanita separuh umur itu kepada seorang yang lebih sihat berbanding seminggu yang lalu.

“Apa khabar.... mak...?,” sapanya pelahan selepas pelukan dileraikan.  Terasa teragak-agak untuk dia menyebut panggilan itu. Terasa amat bersalah kerana selama ini dia tidak menghiraukan perasaan wanita itu. Dia sanggup membiarkan  wanita itu menanti dia pulang untuk menemuinya seperti yang di ceritakan oleh Shuhaida tempohari. Penantian yang penghujungnya sebegini. Dan untuk itu dia merasakan amat bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk mengenali wanita berkulit hitam manis ini yang senyumnya sentiasa menghiasi wajahnya biarpun dalam keadaannya yang cukup lemah.

Makcik Nisah hanya senyum sambil mengangguk perlahan. Kelihatan agak lemah untuk berkata-kata. Cuma matanya sahaja yang menggambarkan kegembiraannya dapat menatap wajah menantunya itu. Wajah yang ingin ditatapnya  kerana telah mampu untuk membawa sinar baru dalam hidup anaknya yang sepi. Walau dia tidak mengerti akan pelbagai alasan yang dibuat oleh Syamsul apabila Mai tidak mahu pulang untuk menemuinya selepas pernikahan mereka tempohari, tetapi dia menerima seadanya. Mungkin benar kata Syamsul, bahawa Mai sibuk dengan tugas di sekolah.

Melihat wanita muda ini di hadapan matanya, dia menyaksikan seorang yang baik hatinya. Mungkin tidak terlalu sempurna dari segi paras rupa mahu pun tingkah laku, tetapi bila dia sanggup menyumbangkan sejumlah wang yang banyak untuk membantu rawatannya, Makcik Nisah dapat melihat ada ketulusan di situ. Bukan mudah untuk menyumbang wang yang begitu banyak dalam tempoh pernikahan yang sesingkat itu. Namun wanita muda ini telah membuktikan keikhlasannya itu. Buat hati tuanya merasakan cukup terharu.

“Mari... duduk kat mak ni...,” katanya lemah sambil menepuk perlahan tempat kosong di sebelahnya di atas katil. Dan tanpa berlengah lagi Mai duduk sambil matanya menatap sekilas ke dalam mata Syamsul  yang berdiri di sebelah sana katil, sedang menuangkan segelas air kepada emaknya. Tidak dia sedari sejak tadi lagi Syamsul  sedang memerhatikan setiap tingkahnya.

“Macam mana rasanya sekarang ni mak?”

“Alhamdulillah... lega betul rasanya...,” jawabnya lemah. “Nak bernafas pun dah tak payah pakai wayar tu lagi ...,”

Mai tersenyum kepada Makcik Nisah. Kembali membalas renungan Syamsul  yang masih lagi lekat di wajahnya. Dan sesaat itu hatinya berdebar kencang. Bagai ada sesuatu yang dia lihat dalam sekilas pandangnya yang bertembung dengan anak mata suaminya sebelum Syamsul  menjatuhkan pandangannya ke arah gelas yang telah penuh berisi air.

“Mai nampak mak dah sihat banding dengar minggu lepas. Masa Ida cakap doktor nak buat rawatan pada mak hari Isnin lepas, terus Mai rasa tak sabar nak balik... nak tengok mak... tapi Mai tak dapat ambil cuti. Cuti Mai dah habis... terpaksa tunggu hari minggu macam ni,” entah mengapa terasa ingin menjelaskan duduk perkara sebenar di sebalik ketidak hadirannya  semasa proses rawatan itu berlangsung hari Isnin yang lepas.

 “Tak apa Mai, Syamsul ada...,” kata Makcik Nisah. Sambil matanya menatap ke wajah Shamsul Hasni. Tersenyum dalam sembunyi melihatkan sinar bahagia di mata anaknya itu. Sinar yang sebelum ini bagaikan suram. Ada rindu yang tergambar di situ semalam, tetapi  saat ini, rindu itu bagaikan telah pegi menjauh.

“Jadi macam mana sekarang? Apa kata doktor?”

“Doktor kata kalau tak ada apa-apa, esok mak dah boleh balik,” kata Makcik Nisah dengan wajah penuh ceria.

“Ia?” ucap Mai sepatah, dengan perasaan gembira yang entah datangnya dari mana. Dia tidak mengerti mengapa dia perlu merasakan kegembiraan itu. Namun rsa itu bagaikan membawa debar di hati yang sungguh tidak dimengertikan. Biar pun cukup tidak dimengertikan,  tetap juga perasaan itu ingin terus dirasakannya. Getar bahagia yag tak pernah dialaminya sejak sekian lama.

“Doktor kata, mak dah boleh balik esok. Tapi rawatan susulan mesti  kena ikut sampai dia dah betul-betul sembuh. Jadi mak kena datang ikut temujanji dia,” kata Syamsul.

Mai mengangguk perlahan. Memang begitu selalunya. Selagi tidak betul-betul sembuh, setiap pesakit sepatutnya mendapatkan rawatan susulan untuk mempastikan penyakit yang dialami mendapat pemantauan yang sepatutnya. Mindanya mencerna apa yang katakan lalu hatinya bagaikan faham apa sebenarnya yang ingin kisampaikan oleh Syamsul. Mungkin Syamsul  menyatakan bahawa dia perlu terus berada di samping emaknya dan tidak lagi dapat kembali ke Shah Alam. Dan entah mengapa perasaan itu terasa bagaikan menjerut hatinya. Dia menarik nafas panjang.

“Bila Mai nak balik semula ke Shah Alam?” tanya Makcik Nisah.

“Mai ambil tiket kapalterbang pukul 6.15 pagi Isnin nanti mak...,”

“Mmm... hari ni hari Jumaat, ada dua harila kat sini ye?”

“Ye mak... dan .. nanti cuti sekolah, hari-hari Mai ada kat sini..,” jawabnya tanpa sedikit pun berfikir panjang dengan apa yang dikatakannya. Kata=kata yang membuatkan Syamsul  terkejut bila mendengarkannya. Dan dalam diam, terbit rasa marah di hati lelaki itu. Mengapa Mai berkata begitu? Tidakkah dia memberikan harapan untuk emaknya? Dan jika harapan itu terpaksa didustai, bagaimana nanti emak mampu menerimanya. Bagaimana nanti semua mampu menerimanya. Perasaan bahagia yang dirasakan sebentar tadi bagaikan tercalar dengan kenyataan Mai itu. Walaupun terselit rasa gembira di hatinya dengan pengakuan isterinya itu, dia tahu Mai tidak akan mampu untuk memenuhinya. Namun untuk tidak diketahui emaknya tentang hal ini, Syamsul  hanya mendiamkan sahaja apa yang terpendam di hatinya. Bila ada luang waktu nanti pasti dia akan menyedarkan Mai dengan kata-katanya yang diluahkan tanpa sedarnya itu. Ya... pasti. 

Dan tanpa lengah, sejam kemudian ketika mereka berjalan menuju ke tempat parkir motosikalnya, Syamsul  terus bertanyakan hal ini kepada Mai. Dia ingin Mai jelas dengan keadaan kesihatan emaknya. Dia tidak mahu Mai menyesal dengan keterlanjuran kata-katanya tadi. Dia tidak mahu Mai membiarkan emaknya, anak-anaknya dan mungkin juga dia, menaruh harapan dengan kata-kata Mai itu tadi.

“Aku tak suka kau bagi harapan pada mak aku macam tadi tu. Dia belum sihat lagi...!” bentaknya apabila mereka tiba di sebelah motosikal Syamsul  yang terletak di tempat yang agak jauh dari pendengaran orang ramai.

“Maksud awak?” kata Mai sambil mengerutkan keningnya. Mai memberanikan diri untuk membalas renungan dari Syamsul.  Entah mengapa pandangan yang diberikan oleh suaminya itu kali ini dirasakan indah sekali saat itu. Pandangan yang membuatkan dia terpaku seketika kerana tidak mampu untuk memusatkan mindanya ke arah apa yang dikatakannya sebentar tadi. Perlahan pula Syamsul  menarik nafas, cuba menumpukan mindanya dengan apa yang ingin disampaikannya kepada wanita muda ini yang kelihatannya begitu senang menabur harapan yang pastinya dia sendiri tidak mampu untuk kotakan.

“Tadi kau cakap kat mak yang kau nak tinggal kat sini cuti sekolah nanti. Kau boleh buat ke semua tu?”

“Kenapa pulak saya tak boleh buat? Kan cuti sekolah namanya. Jadi saya dak perlu pergi sekolah, dari duduk melangut kat rumah seorang-seorang, baik saya balik ke sini...,”

Balik.... perkataan yang sepatah itu bermain di minda Syamsul. Mai berkata-kata seolah-olah ini tempat asalnya. Ada rasa bahagia di hati bila Mai berkata begitu. Namun masih lagi tetap ada rasa ragu di hatinya dengan pengakuan isterinya itu.

“Nak ke engkau duduk kat sini. Sini bukan macam KL atau Shah Alam. Ini kampung Mai, boleh ke engkau tahan duduk kat kampung aku yang tak ada apa-apa tu...?”

“Kat kampung awak ada laut.... ada pantai... ada angin....,” dan ada awak.... sambungnya dalam hati. Dan dia sendiri terkejut dengan bisikan yang terlintas di hatinya  tanpa dia sedari. Buat tiba-tiba terasa panas wajahnya kerana ada rasa malu yang singgah di hatinya. Dan ternyata ada sirna di wajahnya yang membuatkan Syamsul  terpesona dengan apa yang dilihat di hadapan matanya. Membuatkan dia menelan liurnya tanpa sedar.

“Aku tak suka kau cakap aje, tapi tak mampu nak buat. Jangan bagi harapan kat mak dan anak-anak aku. Lepas tu harapan tu kau sendiri yang tak mampu nak tunaikan,” katanya setelah sedar dari lamunan pesonanya.

“Saya suka kampung awak. Laut dan pantainya, saya suka sangat. Selama ni saya memang suka pantai. Selalunya pergi berkelah aje atau habiskan masa bercuti kat resort tepi pantai. Tapi kali ni, saya dapat tinggal di tepi pantai. Saya tak akan lepaskan peluang tu. Walaupun hanya untuk masa cuti sekolah ni....” katanya penuh yakin. ‘dan walaupun sesaat cuma....’ hatinya berbisik lagi.

“Irfan tak marah ke nanti?”

Soalan yang buat Mai terkejut. Syamsul  berfikir hingga ke tahap itu?

“Saya buat apa yang saya nak buat. Tak ada kena mengenanya dengan dia,”

“Ia? Begitu ye? Jadi apa yang kau buat dulu tu, sebenarnya apa yang kau nak buatlah?” kata Syamsul  menduga.

Terpukul rasanya dia dengan kata-kata itu. Sungguh Mai tidak menyangka Syamsul  akan terfikir ke arah itu. Lantas dia memuncungkan bibirnya tanda marah. Berpaling ke arah lain untuk menutup perasaan malunya. Tapi, mana mampu dia menyembunyikan semua itu. Dia tertangkap dengan kata-katanya yang tidak mampu menyokong perbuatannya tempohari. Dan hatinya terasa semakin sakit apabila Syamsul  terus ketawa sinis bagaikan sesuatu yang amat lucu sedang berlaku. Buat muncungnya makin panjang.

“Nak balik ke tak  ni...?  Kalau nak naiklah cepat ...,” sapa Syamsul nakal apabila melihatkan Mai terus diam di tempat dia berdiri. Tidak menyedari yang suaminya itu sudah pun menunggang motosikalnya. Lantas dia mendekati Syamsul  dengan perasaan yang serba salah, antara marah dengan malu. Dan  apabila Syamsul  memakaikan topi keledar di kepalanya, debar yang seringkali memenuhi ruang rasanya kini, bertandang kembali. Dia menundukkan pandangannya apabila ternyata mereka terpaksa berhadapan dalam kedudukan yang rapat sekali sepanjang masa Syamsul  mengikat topi keledar itu. Dan di sepanjang waktu itu dia dapat merasakan mata Syamsul yang dalam diam, bagaikan nakal mengamati setiap inci wajahnya. Buat dadanya terus berdebar lagi. Terasa bagaikan degupan jantungnya itu kuat sekali menghentam dadanya. Dan bagaikan dapat dia melihat ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik wajah Syamsul yang begitu tenang tanpa sebarang riak.

Syamsul  sengaja melambat-lambatkan kerjanya. Cuba mencuri peluang untuk menatap wajah yang bibirnya sedang muncung itu dari jarak dekat. Di matanya, Mai tidaklah teramat sempurna kecantikkannya. Wajahnya tidaklah secantik gadis-gadis lain yang pernah ditemuinya. Namun ada terselit kemanisan di riak wajahnya setiap kali dia senyum, terutamanya ketika senyuman yang sepontan terukir d bibirnya.

Dan, di saat ini bibir mucung yang menyapa itu begitu menggetarkan perasaan. Buat dia ingin sekali menyentuhnya. Dia cuba sekali untuk mengelakkan diri dari terus melakukan apa yang dirasakannya itu, tetapi bagaikan tak mampu. Cepat-capat dia menyudahkan mengikat tali topi keledar untuk menutup perasaannya itu. Tidak mahu  hingga Mai menyedari apa yang dirasakannya saat itu.

Bila Mai menaiki motosikal untuk menunggang di belakangnya, getaran di hatinya jadi semakin kuat. Sungguh dia tidak mengerti mengapa dia merasakan sebegitu. Dan sungguh dia tidak mampu untuk membuang rasa itu. Tambahan lagi bila Mai memeluknya erat di sepanjang perjalanan mereka yang memakan masa hampir satu jam itu. Jantungnya terus berdetak hinggakan terasa lemah seluruh tubuhnya. Namun dia terus cuba bertahan sehingga ke hujung perjalanan.

Dari jauh kelihatan Nabil terlompat-lompat kegirangan melihatkan motosikalnya masuk ke kawasan rumah emaknya. Bila Mai turun dari motosikal,  Syamsul  langsung tidak lagi mampu untuk bertahan. Cepat-cepat dia meninggalkan Mai yang sedang disambut oleh peluk cium dari Nabil sehinggakan isterinya itu terpinga-pinga melihatkan dia berlalu pergi dengan tiba-tiba. Perasaan marah pada diri sendiri yang dirasakan saat itu kerana tidak mampu untuk menahan perasaan  terhadap isterinya sedikit pun tidak dapat disembunyikan. Lantas dia terus menjauhkan diri dengan beralasan untuk menunaikan sembahyang Asar apabila ditanya oleh Shuhaida.

“Kenapa dengan abang tu kak?” sepatah pertanyaan itu keluar dari bibir Shuhaida terhadap kakak iparnya yang sedang dipeluk oleh Nabil. Anak kecil itu kelihatan begitu teruja sekali dengan kehadiran ibu tirinya. Sesuatu yang membuatkan Mai merasakan sangat gembira kerana diterima di dalam keluarga kecil suaminya itu.

“Entahlah Ida... tadi elok aje dia. Tapi, tiba-tiba aje... macam marah pada akak.. kenapa ye Ida? Akak ada buat silap apa ye?” Mai seakan-akan mengadu kepada adik iparnya.

Hatinya terasa amat bersalah. Cukup tidak mengerti dengan kemarahan yang dilihatnya di dalam mata Syamsul  sebentar tadi. Apakah silapnya kali ini sehinggakan Syamsul  berkelakuan sebegitu terhadapnya. Tiba-tiba suaminya itu marah tanpa sebab. Apakah kesilapan yang telah dilakukannya?

Dia cuba menutup kekecewaan yang dirasakannya dengan sikap Syamsul  itu. Perlahan-lahan dia bangun dari kedudukannya yang bertinggung di hadapan Nabil. Dia kemudiannya memimpin tangan Nabil untuk sama-sama naik ke atas rumah kecil emak mertuanya itu. Namun kekecewaannya itu telah dapat dihidu baunya oleh Shuhaida hinggakan timbul pula rasa hairan dan marah gadis itu terhadap abangnya.

“Akak ada cakap apa-apa ke tadi?”

“Rasanya macam tak cakap apa-apa yang salah pun. Cuma dia tak percaya bila kak Mai cakap yang kak Mai nak balik ke sini masa cuti sekolah nanti. Dia ingat kak Mai main-main...,”

“Eh... ummi nak balik sini cuti sekolah ni? Yeay ....,” sorak Nabil secara tiba-tiba. Sejak tadi lagi dia sibuk bertanyakan itu dan ini kepada Mai. Kegembiraannya dengan kepulangan Mai  langsung tidak mampu disembunyikan.

“Ya Nabil. Ummi balik sini nanti... Nabil suka tak..?” kata Mai sambil memberikan senyuman paling manis buat anak kecil itu. Terasa seperti hatinya dielus bila panggilan ‘ummi’ digunakan oleh Nabil buat dirinya. Tanpa meminta dan tanpa dipaksa, panggilan itu begitu tulus terlantun dari bibir Nabil. Membuatkan dia merasa amat senang sekali diterima begitu.

“Suka... suka... nanti boleh main air hujan dengan Nabil ...,”

Bulat mata kecil itu memandang ke wajahnya dengan penuh harapan. Sesuatu yang membuatkan Mai merasa amat diterima dalam keluarga ini. Lalu dia memeluk anak kecil itu dengan perasaan yang cukup teruja. Tidak sabar rasanya menanti tiba saatnya dia akan di sini menghabiskan hampir dua bulan tempoh cuti persekolahannya nanti.

Shuhaida mencapai beg pakai yang dibimbitnya sejak tadi. Turut terseyum mendengarkan kata-kata kakak iparnya itu. Terus dia jadi lupa pada persoalan tentang kemarahan yang dilihat di mata Syamsul  sebentar tadi.

Mai cuma melihat sahaja Shuhaida membawa beg pakaiannya ke dalam bilik Syamsul. Dia berharap agar Syamsul akan cepat-cepat bersiap dan kembali ke hospital untuk menemani emaknya seperti ketika dia pulang ke sini minggu lepas. Sepanjang menantikan waktu itu, dia amat bersyukur kerana telah menunaikan solat asarnya secara jamak iaitu dihimpunkan bersama solat zohor di lapangan terbang Subang tengahari tadi. Kalau tidak, pastinya akan terasa kekok kerana terpaksa berkongsi bilik bersama dengan Syamsul.

Sepanjang petang itu Mai tidak lagi melihat Syamsul. Terlalu asyik melayan Nabil yang mengajaknya bermain di gigi air. Deruan ombak yang agak keras menerjah ke pantai membuatkan dia larut dengan keindahan yang agak tercalar oleh suasana persekitaran yang agak kotor di tepi pantai. Sampah berselerakan di tepi pantai, dibawa oleh ombak besar yang melanda di hujung tahun begini. Seperti yang disebut oleh Shuhaida minggu lepas, di musim tengkujuh keadaan cuaca tidak menentu. Adakala angin begitu lembut bertiup dan ada ketikanya pula begitu keras melanda pantai. Di saat ini, terjahan angin petang begitu keras menampir pipinya. Membuatkan dia merasa agak takut dengan rahsia laut yang masih terlalu dalam untuk dia terokai. Membuatkan ada rasa gerun untuk dia meneruskan peejalanannya di gigi air itu. Dan entah mengapa di saat itu, laut bagaikan mengingatkan dia kepada lelaki itu. Yang kini tanpa kompromi lagi sudah mula memenuhi ruang mindanya saban waktu.

18 comments:

Eema Lahadi said...

best2...nak lagi..nak lagi....

jaja_eja said...

tq cik writer....suka tau...
next n3 plz...kiki:)

Anonymous said...

akakkk, suke sangat cerita akak ni, laaaagiiiii suke kalau kak Laila sudi nak post n3 baru 4 kali sebulan ke, hehe, nak merayu k laila la ni, boleh tak, sambil buat muka nak kena lempang, hehe

blinkalltheday said...

x sabar tggu mai cuti sekolah..

Anonymous said...

Aduhai Laila... Walau seksa sangat menanti sebulan 1 n3.. Rozie sabarkan jua.. Runtun jiwa... Alahai Syamsul.. Alahai Mai.. Nyatakanlah yang terpendam.. psst.. Laila.. manuskrip tak buat lagi ke? Cepatlah publish!

Anonymous said...

Best sgt... nak lagi.. nak lagi..

Farisya Natasha said...

Suka sangat-sangat. harap nanti akan menjadi ke versi cetak.

has_1309 said...

Laila ni mmg suka mendera betul perasaan sy. Lps sebulan baru nak bagi n3 baru, sakit jiwa tau sy kat sini asyik-2 tgk blog awk nk tggu n3 baru. Terima kasih sbb bagi n3 yg panjang-2 dan sy puas hati sgt-2 sehingga nak ckp "nak lagi" dgn muka kesian. heheheeee

Roza mamat said...

Saya pun suke..heheheh tiap2 bulan mesti ternanti2 n3 ni...lama sgt rase

laila hanni said...

hehe... thanks semua yang baca dan ikuti n3 dalam blog saya ni. hem... kalau ikutkan hati memang nak post hari-hari... tapikan, tulis yang ni memang betul2 mencabar minda. agaknya sebab tajuknya kut, minta sesaat je, allah pun bagi sesaat lagi... idea selalu macam tak mo keluar bila ngadap lappie... makanya lambat la sikit siapnya dah dekat tiga tahun tulis yang ni... huhuhu....

has_1309 said...
This comment has been removed by the author.
has_1309 said...

Lamanya, tp berbaloi juga sbb ramai yag tggu walaupun sesaat. Terima kasih kerana sudi memerah idea untuk menyambung kisah Mai dgn Syam. Really appreaciate dear, dan teruskan lah berkarya kerana kami pembaca setia sentiasa menyokong laila dari belakang.

iezzlucky said...

memang best.. nak en3 baru

Laila Hanni said...

thanks has.... senyum ni.... hicks...

Anonymous said...

Terdapat salah ejaan seperti pelahan, dengar sepatutnya dengan, pegi, kisampaikan, mucung, beg pakai, terseyum, peejalanannya..

Laila Hanni said...

emm... itula, bila dah post baru perasan. masa nak post, tak sempat nak baca elok2. itu versi belum edit sebenarnya. teruja sangat nak post... maaf ye. next time saya akan cuba buat lebih baik...:)

Seorg Wanita said...

Best... :-)

Seronok baca karya tulisan K.Laila walaupun ideanya mengikut saat... Thanks K.Laila..

Rasa tenang bila Mai balik kampung, geram sikit dgn Sham ni, Mai datang jauh-jauh dia pula yg buat perangai... Moga Shuhaida atau Nabil dapat jadi pendamai antara mereka berdua... :-)

terus sabar menunggu sambungan sesaat berikutnya... :-)

Unknown said...

sy suka..
menggetar sukma betul

Post a Comment

Popular Posts