Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 1

“Ya Allah Ila.... banyaknya barang-barang kau....,” rungut Nadia sambil matanya melatari tiga buah beg dan dua buah kotak bersaiz sederhana milik Fazila yang diletakkan satu persatu  di dalam bonet kereta ayahnya.

“Itula... Yaya, aku pun tak sangka barang aku banyak gini. Tengok dalam almari tu macam sikit je...,” kata Fazila dengan suara yang direndahkan. Cuba tidak menarik perhatian Encik Zulkifli , ayah Nadia. “Eh... tak pe ke? Nanti kang menyusahkan kau je nak letak semua ni kat rumah kau...,”sambungnya lagi.

“Memang pun... mana entah mak aku nak letakkan semua ni.... hish kau ni...,”

“Tapi, kat mana lagi aku nak letak semua ni.... kau aje kawan aku yang tinggal kat sini... takkan aku nak bawak balik semua ni... nanti bila daftar semester depan kena bawak ke sini balik...jauh tu,” rungut Fazila sambil menggigit jarinya, cuba untuk meraih simpati dari Nadia.

“Eleh… tak payah buat muka kesian….,” kata Nadia sambil mencebirkan bibirnya. Fazila membalas kata-kata itu dengan menjelirkan lidahnya kepada Nadia.

“Jelirlah... aku gigit kang lidah tu...,” gertak Nadia terhadap temannya. Cuba menangkap tubuh tinggi lampai Fazila yang mula melarikan dirinya dan bersembunyi di belakang Puan Rosnah, emak Nadia. Perlakuan dua anak dara itu menjadi bahan ketawa oleh emak dan ayah Nadia. Sungguh mereka gembira melihatkan keakraban yang dikongsi bersama sejak dari tahun pertama pengajian kedua anak gadis itu lagi.

Fazila tahu semua kata-kata yang keluar dari bibir itu cuma gurauan semata dari Nadia. Temannya itu memang mulutnya sedikit laser, tetapi hatinya baik. Kalau tidak, tak mungkin Nadia sanggup mencadangkan supaya dia menyimpan barang-barangnya di rumah sahabatnya itu sepanjang cuti semester kali ini. Maka tidaklah perlu untuk dia membawa semua barangnya pulang ke kampungnya nun jauh di pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Hei... sudah-sudahla bergurau tu... kita kena bergerak sekarang ni.  Nanti kang lambat sampai pulak. Malam nanti Ila nak balik Kelantan kan? Lewat sampai nanti kang terkocoh-kocoh pulak nak kejar bas...,” kata Encik Zulkifli mengingatkan dua anak gadis itu tentang jadual aktiviti mereka hari ini. Seperti biasa semuanya perlu diingatkan. Kalau tidak, tentunya ada yang tertinggal dan ada yang terlewat. Masing-masing masih lagi lemah mengatur waktu walaupun usia dah meningkat ke bilangan nombor yang ke 24 tahun.

“Dah angkat semua barangnya Ila?” tanya Puan Rosnah kepada Fazila.

“Dah makcik,” jawab Fazila sambil tersengeh.

“Ok... kalau dah tak ada apa-apa lagi yang tertinggal.... kita gerak sekarang..,” cadang Encik Zulkifli.

“Eh.... aku rasa ada lagilah yang tertinggal....,” kata Nadia, tiba-tiba memetik sambil matanya dicelikkan ke wajah Fazila.
“Dah.... aku dah ambik semua la....,” kata Fazila, cuba mengingatkan kembali kalau-kalau ada lagi barangnya yang tertinggal di dalam bilik sewaannya tadi. Malah pintu rumah sewa mereka itu pun telah dia kuncikan untuk diserahkan kepada Pak Hamzah, wakil penyewa rumah yang tinggal selang beberapa pintu dari rumah sewa mereka ini.

“Ada.... ,” jawab Nadia dengan nada serius. “Tertinggal yang ini, habisla kau...,”

“Apa?”

“Fauzi.....,” kata Nadia sambil mencelikkan lagi matanya. Gelak ketawanya membuatkan semua yang ada di situ tahu bahawa kata-kata itu adalah gurauan darinya. Cepat-cepat Fazila memukul lengan temannya itu sambil mengetap bibirnya tanda geram.

“Huh...,” katanya sambil terus meninggalkan Nadia untuk menutup bonet kereta Encik Zulkifli. Merah mukanya bila kedua emak dan ayah Nadia turut ketawa bersama anak mereka. Mempermainkan dirinya lagi. Aduhhh...

Setelah semuanya masuk ke perut kereta, Encik Zulkifli mula memandu perlahan. Mereka singgah di rumah Pakcik Hamzah, wakil penyewa yang menguruskan rumah-rumah sewa di perumahan Taman Sri Skudai bagi pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak di Skudai, Johor itu. Kedudukan Taman Perumahan yang letaknya kurang dari 10 minit perjalanan ke UTM Skudai menyebabkan ia menjadi pilihan ramai pelajar untuk menyewa di situ. Fazila dan Nadia juga begitu. Kemudahan pengangukutan awam juga menjadi syarat utama mengapa mereka memilih untuk tinggal di situ sejak dari awal pengajian mereka lagi.
Fazila menyerahkan kunci rumah sewanya kepada Pakcik Hamzah dengan janji untuk membayar deposit bagi menyambung tempoh sewaan untuk semester akan datang, sekiranya permohonannya untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana diluluskan nanti.

Akhirnya kawasan Taman Perumahan Seri Skudai itu mereka tinggalkan. Ada janji yang terpatri di hati Fazila bahawa perginya kali ini adalah juga untuk seketika. Dia akan kembali untuk menyambung semula jejak-jejak langkahnya demi meraih cita-citanya.


****

Tiket bas yang dihulurkan oleh pemandu bas disimpan kembali ke dalam beg sandangnya. Dia mula menapak naik melalui tangga sempit bas ekspress dua tingkat yang akan membawanya pulang ke tempat asalnya. Semua tempat duduk di dalam bas telah dipenuhi menandakan semua penumpang sudah naik. Hanya dia seorang sahaja yang naik di Perhentian Bas Kulai ini. Bermakna selepas ini perjalanan ke Kota Bharu Kelantan, akan diteruskan tanpa perlu berhenti mengambil penumpang lain di destinasi seterusnya. Cepat-cepat Fazila mendapatkan tempat duduknya yang terletak tiga tempat duduk dari barisan paling belakang. Terhoyong hayang dia dibuai oleh bas yang mula bergerak perlahan.

Sedang elok saja dia duduk di kerusinya, dia hanya menyapa penumpang yang duduk di sebelahnya dengan sebuah senyuman. Kemudian terus memejamkan mata kerana malas untuk bertegur sapa dengan lelaki yang hampir sebaya dengannya itu. Terus fikirannya melayang. Ingatannya  kembali kepada perbualan telefonnya dengan Fauzi sebentar tadi. Setibanya di Perhentian Bas Pekan Kulai, Fauzi menghubunginya melalui telefon bimbit Nadia. Masih ingat lagi nada marah temannya itu sebentar tadi.

“”La... habis saya dah siapkan semuanya. Report tesis pun saya dah submit, so buat apa tunggu lagi.... balikla....,” jawabnya pada pertanyaan Fauzi yang kedengaran ada nada marah.

“Sekurang-kurangnya cakaplah sepatah kat aku kau balik malam ni... Dah la tak ada handphone, nak contact pun susah..,” rungut  Fauzi di hujung talian.  

“Ok.... drop that matter please.. dah banyak kali saya explain pada awak pasal tu. so, malaslah nak ulang-ulang lagi...,” jawab Fazila. “Pasal apa awak call saya ni?”

“Haritukan aku ajak kau keluar malam ni... kebetulan tesis aku pun dah selesai semuanya. Tinggal nak hantar aje lagi esok pagi. Jadi nak ajak kau celebrate sebelum masing-masing balik.. Tak sangka la pulak kau dah nak balik...,”

“La... hari tu kan dah celebrate.... dah pergi dinner pun ngan awak... berapa kali nak celebrate ni...,” rungut Fazila.

‘Hari tu keluar ramai-ramai.... aku nak keluar sorang-sorang dengan kau...gi lepak kat JB ke.....,”

“Emmm... sorryla Fauzi.... apasal lambat sangat bagitau saya...,” Fazila tergelak, sambil di dalam hatinya terdetik kata-kata... “Sorryla nak lepak berduaan dengan engkau ....”

“Eleh... kau tu bukannya nak keluar dengan aku. Elok-elok dah setuju, alih-alih dia boleh cancel last minute.  Elok-elok je janji nak keluar berdua, tengok-tengok dia boleh bawak orang lain buat teman.... sabar ajelah aku...,” Fauzi merungut lagi. Melahirkan perasaan tidak puas hatinya terhadap sikap Fazila yang terlalu menjaga pergaulannya. Walaupun ada ketikanya kelihatan tanpa segan dia bebas dan santai bergaul, namun masih sukar untuk gadis ini dibawa keluar dari kepompongnya. Ada sahaja alasan yang diberikan untuk mengelakkan dirinya dari didekati secara lebih dekat, terutamanya dalam hal-hal berkaitan dengan hati.

“Mana ada.... tak ada lah...,”

“Tak ada kata kau... habis, bila aku belanja kau pergi dinner Kelab Silat hari tu, kenapa engku pergi belanja orang lain temankan kau...?”

Fazila tergelak sendirian mengingatkan peristiwa lebih dua bulan lepas apabila diajak Fauzi untuk ke Majlis Makan Malam Anjuran Kelab Silat Gayung ngeri Johor tempohari. Kebetulan Fauzi adalah ahli kelab itu di peringkat universiti. Dia telah mengajak Fazila ke majlis tersebut. Fazila telah bersetuju, tapi di saat akhir, dia rasa meyesal kerana mudah sekali dia menyatakan persetujuan. Masih terlihat di matanya wajah kecewa Fauzi bila dia membawa Siti Khairiah, juniornya untuk menemani dia ke majlis makan malam tersebut.  Sangka Fauzi, bolehlah mereka dipandang seperti pasangan lain yang datang bersama, bolehlah duduk di kerusi bersebelahan di meja makan maupun di atas bas universiti yang membawa mereka ke Hotel Selesa di bandar Johor Bahru di mana majlis itu diadakan. Namun semua itu hampa bagi Fauzi, sehinggakan keesokkan harinya Fauzi datang kepadanya sebelum waktu kuliah Professor Nordin bermula untuk memberitahunya bahawa dia sudah mengalah dalam usahanya untuk memikat Fazila untuk menjadi couplenya.

Fazila tergelak sendirian lagi. Tiba-tiba terasa bagaikan sedang diperhatikan. Fazila membuka mata, memandang sekeliling dan mendapati rupa-rupanya penumpang lain sedang memerhatikannya tergelak sendirian dalam kesamaran lampu dalam bas tersebut. Lalu dia tersengih kepada penumpang di sebelahnya yang sedang memerhatikannya itu. Segan pula rasanya. Mesti ada yang mengatakan dia gedik kerana tergelak sendirian. Ah.... suka hati merekalah.... yang penting aku tak kacau orang..., detik hatinya sendiri. Lalu dia kembali memejamkan matanya untuk terus melayan anganan.

Fauzi. Sejak awal pertemuan mereka di tahun kedua pengajian lagi pemuda itu sudah begitu yakin ingin menawan hatinya. Namun mana mungkin. Dia punya perinsipnya sendiri. Dia datang ke universiti untuk belajar. Bukan untuk mencari teman lelaki. Masih banyak agenda dalam hidupnya yang perlu dia laksanakan. Lagipun tidak mungkin dia akan menerima seseorang yang sebaya dengannya untuk dijadikan teman lelaki, apatah lagi seorang pasangan hidup seperti yang selalu Fauzi bayangkan kepadanya. Sekadar kawan, itu jawabnya sejak dulu lagi. Namun Fauzi kelihatan begitu nekad sekali untuk mencuba. Sering menjadi teman yang menjaga kebajikannya. Selalu bertanya khabar tentang dirinya, selalu ada dalam saat kepayahan yang dia lalui dan selalu bersama dalam saat gembira yang dia rasai. Sepanjang hampir lima tahun pengajian mereka Fauzilah yang seolah-olah menjaganya dari gangguan dari mana-mana lelaki. Terkadang terasa lebih selamat bila diberi perlindugan sebegitu kerana sememangnya dia masuk ke universiti ini untuk mengejar segulung ijazah, bukannya untuk mencari teman lelaki.

Tambahan lagi dia bukan termasuk dalam senarai pelajar yang popular di kampus. Sebagai pelajar di bidang kejuruteraan, dia dan teman-teman wanita yang sekuliah dengannya tidak termasuk dalam golongan yang menarik. Mereka bagaikan ada dunia mereka tersendiri. Dilihat berpewatakan kasar kerana cara berpakaian yang menuntut mereka untuk melakukan kerja-kerja lasak di bengkel kejuruteraan.  Mana mungkin mereka mampu bergaya sakan ke kuliah sekiranya terpaksa masuk bengkel mesin untuk amali dalam kerja kimpalan arka maupun kimpalan gas, kerja-kerja fabrikasi logam di bengkel mesin larik dan bengkel kepingan logam. Itulah dunia mereka yang bakal bergelar jurutera mekanikal.

Ada waktunya dia juga merasakan terpinggir dalam dunia ini. Naluri gadis sudah pasti menuntut dirinya untuk kelihatan cantik dan menarik. Namun semua itu terpaksa dilupakan. Kalau pelajar kursus lain boleh bergaya sakan dengan gincu di bibir dan eyeshadow di kelopak mata, Fazila terpaksa menerima bahawa dia tak boleh lepas dari minyak pelincir yang terpercik dari mesin larik dan juga percikan api dari alat kimpalan arka yang mampu menghasilkan lubang-lubang kecil di pakaiannya jika outfit yang tidak sesuai untuk tugas-tugas sebegitu dikenakan. Lantas dia perlu akur dengan ketetapan berpakaian yang ditetapkan oleh pihak fakulti dalam aktiviti hariannya. Namun masih dia mampu menjaga auratnya dari terdedah di mata teman-teman sekuliah yang majoritinya lelaki.

Berkecimpung dalam bidang kejuruteraan yang majoritinya adalah kaum lelaki sebegini bukan menjadi cita-cita Fazila pada asalnya. Berlatarbelakangkan kelulusan agama di sekolah agama sehingga ke peringkat SPM membuatkan dia begitu teliti menjaga penampilan dan perlakuannya untuk tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan dalam Islam.  Namun dalam dunia yang menuntut untuk dia menerima apa sahaja kemungkinan yang datang membuatkan dia terpaksa akur. Dia bukan anak orang kaya yang mampu mengatur segalanya.  Peluang pengajian sebegini terpaksa dia terima kerana inilah satu-satunya peluang yang ada. Untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang diminati adalah tidak mampu kerana dia hanya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang ini setelah gagal mendapat tempat di bidang yang dia inginkan. Maka mau ataupun tidak dia terpaksa menerima. Cuma yang diharapkannya nanti agar dia mampu membalas jasa kedua emak dan abahnya yang telah banyak berkorban untuk dirinya dan adik-adik.

“Mak...... Ila dah nak balik ni....,” hatinya berbisik dalam senyuman yang terukir di bbir saat membayangkan wajah emaknya yang selalu tenang dan mendamaikan.


****
   

Senyuman wanita separuh umur yang berdiri di kaki lima Terminal  Bas Kota Bharu itu membuatkan hatinya terlonjak riang. Mak.... suara dalam hatinya berbisik. Kalau boleh dia ingin bas yang dinaikinya itu berhenti cepat-cepat supaya dia boleh turun untuk memeluk emak yang amat dia rindukan itu. Tapi keadaan sesak di pagi itu menyebabkan bas tersbut perlu menunggu giliran untuk berhenti di terminal yang ditetapkan. Sabar je la Fazila..... detik hatinya lagi. Lalu dia melambaikan tangannya untuk meraih perhatian emaknya yang masih sabar menunggu. Kelihatan abah yang berdiri di sebelah emak menunding jari kepadanya untuk memberitahu emaknya tentang anak mereka yang kelihatan gembira di atas bas.

Sungguh dia rindu pada mereka. Keluarganya adalah segala-galanya bagi Fazila. Lebih dua bulan tidak menemui emak dan abah membuatkan rindunya bagaikan membuak-buak dirasakannya. Selalunya dia akan pulang sebulan sekali untuk melepaskan rindu. Namun apa daya dia, kesibukkan dengan peperiksaan akhir dan juga projek tahun akhirnya membuat dia tidak dapat pulang sekerap mungkin. Walaupun emak selalu marah kerana dia sanggup menghabiskan duitnya untuk membeli tiket bas, namun tidak diendahkannya. Dia rela mengikat perut semata-mata untuk membeli tiket bas untuk pulang menemui emak, abah dan adik-adik.

Bila bas berhenti, cepat-cepat Fazila turun. Terus pergi memeluk emak yang sudah berada berhampiran pintu bas.

“Makkk....,” jeritnya manja sambil memeluk erat tubuh separuh gempal itu. Puan Norhayati hanya senyum melihatkan gelagat anak sulungnya itu.

“Eh... pergilah ambil beg dulu...,” tegur Encik Dahlan, abahnya.

“Biarla bah.... malas nak berebut... nanti orang lain dah ambil, kita pergilah ambil.. Ila nak peluk mak ni dulu...,” ucapnya manja sambil terus memeluk tubuh emaknya.

“Habis, abah Ila tak nak peluk...?” kata Encik Dahlan.

“Nak....,” jawab Fazila manja sambil melepaskan emaknya dan memeluk abahnya pula. Tersenyum-senyum Encik Dahlan bila dibuat begitu di khalayak ramai. Ramai yang memerhatikan gelagat mereka itu, namun langsung tidak diendahkan oleh Fazila. Lantaklah apa orang nak kata, yang dia peluk ini adalah emak dan abahnya. Kalau gadis lain tentunya merasa segan untuk berbuat demikan. Tapi kenapa perlu segan? Bukankah emak dan abah, atau mama dan papa, atau ibu dan ayah, atau daddy dan mummy itu lebih layak untuk dipeluk cium berbanding dengan orang lain?

“Mak dengan abah sihat?”

“Alhamdulillah...,” jawab Puan Norhayati. “Ila pun nampak sihat,” jawab Puan Norhayati sambil senyum.

“Jom kita ambil barang Ila, tak kan nak borak kat sini pulak. Orang lain pun nak turun dari bas jugak,” kata Encik Dahlan mengingatkan bahawa mereka masih lagi berdiri di hadapan pintu bas, menghalang laluan penumpang lain untuk turun.

“Haah ekk.... lupa..,”  kata Fazila sambil berpaling ke pintu bas di mana seorang penumpang sedang menunggu untuk turun. Dia tersengeh sambil bibirnya mengucapkan kata maaf.

Terus dia beredar ke tempat simpanan barang bersama Encik Dahlan memberi ruang kepada penumpang lain turun dari bas. Fazila antara yang terakhir turun. Jadi tiada yang marah bila dia tidak mampu untuk menahan hatinya yang cukup teruja menyebabkan dia beraksi sepontan dengan emak dan ayahnya  sebenatar tadi.

Sepuluh minit kemudian mereka sudah berada di atas kereta untuk meninggalkan stesen bas. Suasana pagi agak sibuk dengan kenderaan keluar masuk di kawasan perniagaan yang menempatkan banyak gedung-gedung besar  seperti Tesco, kedai pakaian Gulatis dan lain-lain lagi berhampiran dengan terminal bas tersebut. Tambahan lagi Tesco Kota Bharu dibuka seawal jam 8.30 pagi di hari minggu begini untuk memudahkan pelanggan mereka datang membeli-belah di awal pagi.

“Kenapa Ayis dengan Noni tak datang sama mak... kalau tak boleh pergi breakfast nasi kerabu, dah lama tak makan nasi kerabu. Emmm....sedap,”

“Nak bawa macam mana... lepas subuh tadi masing-masing tarik selimut semula. Semalam entah pukul berapa tidur... dok mengadap tv,” rungut Puan Norhayati.

“Ala... Singgah beli je.... balik makan kat rumah...,” kata Encik Dahlan.

“Tak bestla makan kat rumah, kat kedai boleh order teh tarik...  Ila belanja... ,”

“Tengah banyak duit ke? Orang lain tengah kering nak tunggu gaji hujung bulan, Ila siap nak belanja lagi..,” kata Puan Norhayati pula.

“Ala mak... bukannya mahal pun nasi kerabu tu... bukan macam kat JB tu, breakfast pun dah sampai tujuh lapan ringgit seorang,” sambut Fazila mengingatkan kos sara hidup yang tinggi di Johor Bharu. Puan Norhayati tersenyum mendengarkan kata-kata Fazila.

“Tapi, sekarang ni pun dah mahal kat sini... bandingkan dengan dulu...,” katanya perlahan.

“Habis, kalau semua harga barang dah naik.... macam mana penjual nak jual murah...,” jawab Encik Dahlan pula.

“Ala.... abah ni... mula la tu... tak naklah cakap hal gitu-gitu..... Ila baru je balik ni....,” rungut Fazila manja. Dia tahu, kalaulah abah dah mula sebut hal-hal sebegitu, nanti panjang lebarlah khutbahnya. Tak mau.... tak mau.....

Encik Dahlan ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Oklah.... jom kita pergi makan nasi kerabu... dah ada yang kempunan tu....,” katanya dalam tawa yang meniti di bibir.



4 comments:

Kak Yang said...

Yeay!!! Dah ada cerita baru! Macam mana perkembangan SCB?

Laila Hanni said...

Insyaallah kak yang... dalam proses kut... hehe...

Kak rozi said...

Permulaan yg bagus.. Tak sabar nak baca next one...

Unknown said...

setia menanti.
^^

Post a Comment

Popular Posts