Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

 
Bab 14
Telefon bimbitku bergetar minta diangkat. Aku memandang paparan pada skrin. Nama Abang Izwan terpapar lagi di situ. Aku hanya memandang tanpa menjawab panggilan itu. Termasuk kali ini, sudah lapan kali panggilannya tidak aku jawab. Rasa tersinggung dan kecil hatiku masih lagi belum berlalu.
Selepas hari kedua aku di sini, baru dia menelefonku. Setahu aku semalam Suzana mengatakan yang dia tetap akan memberitahu Abang Izwan tentang keadaanku ini walaupun aku tidak membenarkannya.
“Kenapa tak jawab telefon tu,” kata pembantu wad yang sedang berada hampir dengan katilku untuk membersihkan lantai dan mengambil sampah dari bakul sampah yang terletak berdekatan.
Bibirnya tersenyum melihatkan gelagatku. Riak simpati tergambar di wajahnya. Mungkin keadaan sepertiku ini sudah biasa baginya. Maklumlah, hari-hari dia berada di kalangan pesakit yang mengalami pelbagai jenis penyakit akibat dari kehamilan. Mungkin dia sudah lali dengan keluhan-keluhan pesakit di sini menyebabkan dia sudah tidak berminat lagi dengan masalah mereka. Dia hanya menjalankan tugasnya tanpa mahu bermesra dengan pesakit di sini.
Terkejut juga aku dengan pertanyaannya tadi. Mungkin dia memerhatikanku yang sejak dari tadi membiarkan telefonku bergetar sendiri tanpa diangkat. Aku senyum kembali kepadanya.  Dengan rasa malas aku menekan butang hijau untuk menjawab panggilan tersebut. Aku diam menantikan dia memulakan bicara.
“Hello Unie,”
Aku diam, menelan air liur yang kurasakan teramat pahit saat ini. Hatiku sebak kembali mendengarkan suaranya. Suara yang amat ku rindui. Terasa ingin sekali aku menyuarakan keinginanku untuk bersamanya saat ini. Namun suaraku tersekat di tekakku. Tak mampu untuk keluar dari bibirku.
“Suzana cakap Unie masuk wad...,”
Aku diam lagi. Cukup sedih hati ini bila mendengar suaranya yang cemas begitu. Untuk apa bertanya khabar kalaulah dia sibuk di sana? Lebih baik dia tumpukan dengan tugasnya di sana. Untuk  apa dia menghubungiku? Ah... rajukku datang lagi.
“Unie, say something please... Abang rindu sangat pada Unie,”
Kenapa hari ini baru mahu menyatakan rindu di hati. Mengapa tidak waktu-waktu sebelum ini? Kalau biasanya bicaranya melalui telefon kedengarannya begitu ringkas sekali. Sedikitpun tidak pernah ingin membicarakan rasa hati.
Mengapa ketika aku dalam keadaan begini barulah dia mahu mengucapkan kata-kata rindu. Adakah hanya untuk memujuk hatiku yang sudah terluka ini? Atau adakah kerana sekarang kehamilanku telah disahkan, maka bicara mula kembali bersulam dengan kata-kata rindu?
“Unie ... janganlah macam ni. Unie tak sihatkan? Abang tahu... Esok abang balik, everything will be ok. Janganlah merajuk dengan abang macam ni,” pujuknya lembut.
Aku diam lagi. Di dalam hati terdetik rasa gembira, dia akan pulang esok. Namun rajukku masih belum mahu membenarkan bibirku berkata apa-apa.
“Unie tak nak cakap dengan abang ye...? Marah  pada abang ye...?”
Aku menarik nafas panjang. Rasa bersalah menghambat hati. Patutkah aku meneruskan rajukku ini?
“Unie...,”
“Abang kan sibuk... siapkanlah kerja abang kat sana tu.” Akhirnya aku bersuara perlahan.
Kedengaran dia menarik nafas. Lega? Atau marah dengan sindiranku itu?
At last... ada juga suara sayang abang ni...,”
Aku diam kembali.
“Semua kerja abang kat sini dah siap. Petang ni abang nak pergi shopping sikit. Unie nak pesan apa-apa ke?”
Aku diam lagi.
“Sayang...,”
“Tak... tak nak apa-apa,” jawabku malas.
“Sure?”
Aku teragak-agak untuk menuturkannya.
“Unie ..., Unie nak abang...,”  kataku perlahan. Airmata yang sejak tadi bergenang di tubir mata mula jatuh ke pipi. Kedengaran ketawa bahagianya dari hujung talian.
“Hem... esok ye... abang balik...,” katanya dengan nada penuh romantis.
Aku diam mendengarkan kata-katanya. Hanya yang kedengaran esak tangisku.
“Unie, jangan nangis ye sayang...  Abang pun rindu Unie. Tak sabar rasanya nak balik,”
Aku diam semula. Cuma mendengarkan bicaranya yang riuh menceritakan tentang kursusnya di sana. Berselang dengan soalan-soalannya tentang keadaanku di sini yang menuntut jawapan segera dariku. Saat itu hatiku bagaikan keliru.
Mengapa dengan mudah hati ini terpujuk dengan bicara lembutnya. Seketika tadi aku sungguh marah padanya. Tidak mahu sedikit pun berbicara dengannya. Namun setelah hanya dengan sepatah dua kata-kata romantis darinya hati ini jadi terpujuk. Marahku bagaikan mula menjauh. Tidak mampu bertahan dengan apa yang ingin aku pertahankan sebelum ini.
Ah cinta..., mampu melembutkan hati yang keras. Mampu membuat hati memaafkan seribu kesilapan. Walau kerananya hati bisa hancur bak kaca yang berderai, namun bila cinta dilafazkan, serpihan itu bagaikan mampu dicantumkan kembali.
****
Waktu melawat petang itu aku dikejutkan dengan kehadiran mereka-mereka yang sedikitpun tidak aku duga. Kak Reen, Mak Ngah dan emak mertuaku datang melawatku. Aku tersenyum dari jauh ketika mereka melihat aku yang terbaring lemah di katil. Hatiku yang terasa sunyi dan resah sejak dari mula masuk ke sini semalam lantas berlagu riang.
Ketibaan mereka aku sambut dengan rasa penuh girang. Tersenyum bahagia bak sang pungguk yang dapat menemui bulan yang dirindukan selama ini. Bahagia sekali  aku rasakan saat itu. Aku bangkit dari perbaringanku perlahan-lahan. Tidak mampu untuk bergerak pantas kerana bimbang rasa loya dan mualku mungkin datang lagi.
Itulah yang berlaku sekiranya aku bergerak pantas. Bila ku ajukan kepada jururawat bertugas mereka menasihatiku supaya tidak banyak bergerak. Seboleh-bolehnya aku perlu menghadkan pergerakanku supaya tidak mengalami mabuk-mabuk lagi.
Setelah bersalaman, Kak Reen duduk di birai katil bersebelahan denganku. Wajah emak dan Mak Ngah  masam-masam kelat sahaja ketika memandang ke arahku. Ini merupakan kali pertama aku bertemu muka dengan Kak Reen setelah bergelar isteri Abang Izwan. Serba-salah aku rasakan. Tidak tahu bagaimana untuk aku membuka bicara.
“Kenapa Unie tak beritahu Kak Reen yang Unie masuk hospital?”
“Tak ada apa-apa kak, doktor cuma nak Unie rehat aje,” kataku lemah. “Dari mana Kak Reen tahu Unie kat sini?”
“Abang Izwan telefon pagi tadi,”
Aku mengangguk perlahan. Mataku menetap wajah Mak Ngah dan emak mertuaku. Senyumanku mereka sambut dengan senyuman yang menggambarkan perasaan serba-salah.
“Mak... dengan Mak Ngah sihat...?” aku bertanyakan khabar. Ingin sekali aku runtuhkan tembok resah antara kami. 
“Alhamdulillah Unie...Unie macamana?” sapa Mak Ngah mesra. Namum aku dapat merasakan yang kemesraan itu seperti dibuat-buat. Tiada keikhlasan di situ.
Pasti mereka gembira mendengarkan berita yang aku sudah hamil. Bukankah ini yang mereka kehendaki sejak dari dulu? Wajah emak mertuaku masih lagi kelat. Aku hadiahkan sekuntum senyuman kapadanya. Tidak pasti apa yang patut aku katakan padanya.
“Hemm... sakit langsung tak beritahu pada kami kat sini. Ada ke patut, orang jauh yang tahu dulu? Macamlah kita kat sini langsung tak ambil tahu pasal dia...,” pedas sekali kata-kata sindiran yang keluar dari bibir emak.
Hatiku tiba-tiba dilanda hiba. Dalam kaedaanku begini, emak masih lagi tidak mampu memahami keadaanku. Bukankah sesungguhnya selama ini dia tidak pernah mengambil tahu tentang diri ini. Hanya ayah mertuaku sahaja yang pernah beberapa kali menelefonku untuk bertanya khabar sejak Abang Izwan pergi.
Kunjunganku ke rumahnya pada minggu terakhir sebelum Abang Izwan berangkat juga tidak mendapat sambutan yang mesra darinya. Waktu itu aku juga jadi malas untuk berbual dengannya. Sudahlah juadah mee kari yang aku bawa untuknya disambut acuh tak acuh saja. Diletakkannya sepi di atas meja.
Akhirnya Abang Izwan yang mengajakku menghidangkan jaudah itu dan menjemput emak dan ayah untuk menjamu selera. Hatiku tersentuh lagi apabila emak menggomel mengatakan mee kari yang aku beli itu tidak memenuhi citarasanya. Waktu itu masalah alahanku baru sahaja bermula dan aku tidak mampu untuk memasak. Manalah aku tahu mee kari itu rasanya terlebih masin sehinggakan dia tidak mahu menjamahnya lagi selepas sesuap makanan itu masuk ke mulutnya.
“Unie tak tahu sebenarnya mak... tak larat sangat... Suzana yang telefon abang...,” jawabku lemah.
“Ni... macamana boleh jadi macam ni? Teruk sangat ke alahan tu?” sinis sekali suara yang keluar dari bibirnya.
Mungkin emak menyangka aku pura-pura sakit. Mungkin dia  menyangka aku terlalu manja. Terlalu melayan rasa tidak sihat yang aku rasakan sekarang. Aku cuma diam. Terasa malas untuk menjawab pertanyaannya itu. Kegembiraan yang aku rasakan semasa mereka tiba tadi beransur hilang. Untuk apa dia kemari jika hanya untuk menghina diriku. Aku bukannya bodoh untuk berpura-pura tentang perkara begini.
Kak Reen memandangku penuh simpati. Dia memegang tanganku erat sambil senyum padaku. Terlalu hambar aku rasakan senyuman itu. Kesedihan di wajahnya tidak mampu untuk disembunyikan olehnya. Apakah yang dirasakannya saat itu? Aku juga keliru dengan apa yang aku rasakan. Hanya mampu menatap wajahnya. Menunggu dia yang meneruskan bicara.
Emak dan Mak Ngah mula menegur pesakit yang di tempatkan  di katil bersebelahan dengan katilku. Kebetulan emak pesakit itu ada bersamanya. Mereka mula berbual. Nampak cukup mesra bertanyakan khabar dan penyakit yang dialami oleh kakak yang mengandungkan anak yang ke sepuluh itu. Meninggalkan aku dan Kak Reen  berdua. Ah, nampaknya mereka lebih berminat bertanyakan khabar orang lain daripada bertanyakan khabar diriku, menantunya sendiri.
“Bila Unie  mula alahan ni?” tanya Kak Reen  setelah lama kami berdiam diri.
“Minggu lepas, masa tu Unie duduk kat rumah Suzana, kawan Unie,”
“Kenapa duduk rumah kawan, tak duduk rumah sendiri? Kan dekat sikit kalau duduk kat rumah sendiri,”
“Abang tak bagi. Dia... tak nak... Unie duduk sendirian. Dia... minta Unie duduk kat rumah mak, tapi... Unie ... Unie ... tak sanggup kak. Mak... tak suka pada Unie,” jawabku perlahan.
Bukannya aku ingin mengadu kepadanya. Cuma saat itu ingin sekali aku berkongsi rasa. Meluahkan segala kesedihan yang aku rasakan.
“Jangan cakap macam tu, mak sebenarnya baik. Cuma... mungkin dia... tak boleh terima apa yang Abang Izwan buat ni. Unie sabar ye, satu hari nanti mesti dia dapat terima Unie. Tambahan lagi sekarang Unie dah mengandung. Bila ada anak nanti mesti dia suka sangat. Mungkin masa tu... dia lebih sayangkan Unie dari akak,” sayu kedengaran suara Kak Reen meluahkan rasa.
Ah, dia juga sebenarnya sedih dengan apa yang menimpa dirinya. Rasa rendah dirinya kelihatan begitu kuat sekali. Aku bagaikan mampu untuk merasakan apa yang ada dalam hatinya. Ah... Kak Reen... kita mengalami rasa yang sama rupanya. Gundah masih terus kuat bertapak di hati walaupun pada pandangan mata kasar kelihatan seperti kami menerima keadaan ini dengan redhanya. Kak Reen meraih jari-jemariku. Dia menatap jauh ke dalam mataku. Terasa bagaikan ada sesuatu yang ingin dikatakannya.
“Unie, Kak Reen rasa gembira sangat bila dapat tahu Unie dah mengandung. Cepat sangat kan? Agaknya sebab niat Unie suci, kahwin dengan Abang Izwan sebab nak berikan dia anak, Allah makbulkan doa kami ni...,”
“Insyaallah kak...,” kataku perlahan.
Ya, anak dalam kandunganku ini kuharapkan nanti menjadi tali penghubung antara aku dan Kak Reen. Kalau sebelum ini kami selalu menyediri dengan hal masing-masing, aku berharap semuga anak ini akan dapat mengembalikan kemesraan antara kami. Mungkin tidak semesra dulu. Namun, kehadirannya ku harapkan dapat memecahkan tembok yang terbina antara kami.
“Kak Reen, Unie nak tanya satu soalan boleh?”
“Apa Unie, tanyalah...,”
“Emmmm.... Abang Izwan, kalau dia jauh dari kita macam ni.... memang dia selalunya malas nak telefon kita ye?” tanyaku perlahan.
Kedengaran perlahan suara Kak Reen mentertawakan aku.
“Dengan Unie pun dia buat macam tu?”
Aku menatap wajahnya dan merenung ke dalam matanya. Cuba memahami apa maksud pertanyaannya itu. Dia  senyum, mesra sekali.
“Dia.... macam tak nak cakap dengan Unie aje bila Unie telefon dia. Macam sibuk sangat.,” ucapku perlahan.
 Aku sudah tidak endahkan apa tanggapan Kak Reen ketika itu. Aku perlukan penjelasan. Aku perlu tahu sikap suamiku itu. Walaupun dari maduku sendiri.
“Abang Izwan ni... romantiknya waktu dia ada bersama kita aje. Bila jauh, dia macam tak pandai nak berbual dalam telefon. Tak usah risaulah tentang dia, dia sebenarnya ambil berat tentang kita. Cuma bila jauh, kita tak nampak perasaannya itu.,”
Aku cuma mampu mengangguk perlahan.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts