Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's


Bab 13
Pemergian Abang Izwan aku hitung hari demi hari. Seminggu berlalu, aku sudah bagaikan separuh gila menanti dia menghubungiku. Sememangnya sebelum ini tidak pernah aku ketahui begini sikapnya. Bila dekat aku disayangi, namun bila jauh aku bagai dilupakan. Langsung dia tidak menghubungiku. Sebelum  dia pergi meninggalkanku seminggu yang lalu, dia membisikkan cintanya padaku. Meminta supaya aku cepat-cepat menyampaikan berita gembira tentang kehamilanku sekiranya doktor telah mengesahkannya.
Namun, setiap kali aku menghubunginya, dia sering saja sibuk. Perbualan hanya berkisar kepada perkara yang amat penting sahaja. Tiada lagi sikap romantisnya seperti yang ditunjukkan kepadaku setiap kali kami bersama. Ada saja alasannya sehinggakan aku terpaksa mematikan talian telefon. Dia bagaikan terlalu sibuk dan tidak mahu melayan aku berbicara. Tambahan lagi bila ku katakan bahawa aku masih belum menemui doktor untuk mengesahkan kehamilanku.
“Unie, betul ke dia sayangkan kau ni. Bila jauh macam ni langsung tak telefon. Bila kau telefon pun cakap sekejap aje. Dia buat kat kau macam ni, bukan macam orang sayang kan bini ni,” rungut Suzana bila aku mengadu hal ini kepadanya.
Aku menarik nafas panjang.
“Ada masanya terdetik juga di hati macam tu. Tapi masa dia dekat dengan aku dia sayang sangat pada aku. Walau pun dia selalu tak ada bila balik rumah Kak Reen, tapi bila dia balik rumah aku dia layan aku cukup baik. Sampaikan aku yakin sangat dengan perasaan dia pada aku,”
“Ye ke ni... atau sebenarnya dia hanya nak pujuk hati kau. Kan dia nakkan  anak dengan kau, mungkin nak pujuk hati kau supaya sanggup beranak untuk dia dengan Kak Reen kau tu?”
Aku terdiam mendengarkan kata-kata Suzana. Benarkah begitu? Benarkah dia Cuma mahukan anak yang ku kandungkan ini? Mungkinkah sebenarnya dia berpura-pura mencintai diriku untuk tujuan itu. Mungkinkah  sebenarnya dia hanya inginkan anak ini tanpa memerlukan aku sebagai isterinya?
Atau terlalu sibukkah dia di sana sehinggakan tiada masa untuk kami berbual mesra seperti selalu. Ah... sugguh aku tidak mengerti suamiku ini. Sikap ini menimbulkan rasa sebak di hati. Sungguh aku amat tersinggung dengan layanannya padaku ketika berjauhan begini.
Lalu akhirnya aku tidak lagi menelefonnya. Hanya menanti dan terus menanti dia menghubungiku. Terasa bagaikan menunggu buah yang tidak jatuh. Sesungguhnya dia terlalu komited dengan apa sahaja yang dilakukan di sana.  Sehinggakan dia lupa ada hati-hati yang merinduinya di sini.
Selepas seminggu, demamku sudah lama kebah. Tetapi, pening kepala sedikit pun tidak berkurangan. Tidak  mampu untuk aku gambarkan betapa sakitnya ketika ia datang menyerang. Kesihatanku memang benar-benar terganggu, batuk dan sakit tekakku menjadi-jadi.
Walaupun dalam keadaan yang lemah begitu, aku tidak mengambil  cuti sakit. Aku lebih rela menghabiskan masaku di tempat kerja daripada tinggal di rumah sendirian. Lagipun terlalu banyak kerja yang aku perlu selesaikan memandangkan peperiksaan akhir semester akan berlangsung tak lama sahaja lagi.
Pelajar-pelajar Profesor Suriani pasti memerlukan bantuanku saat itu untuk kerana peperiksaan akhir semester akan berlangsung tidak lama lagi. Jawatanku sebagai Pembantu Penyelidik Prof Suriani merangkumi semua tugas-tugas membuat penyelidikan untuknya disamping  membantu dia melayan kerenah pelajar-pelajarnya. 
Selain dari itu, aku juga bertanggungjawab untuk menjadi pembantu pengajar bagi kelas tutorialnya. Tugas yang amat aku senangi. Dan sering dalam hati aku memasang angan-angan untuk menyambung pengajianku ke peringkat yang lebih tinggi.
Aku punya angan-angan untuk menjadi seorang pensyarah. Dan Abang Izwan begitu menyokong keinginanku itu. Tanpa ragu-ragu dia menggalakkan minatku untuk menyambung pengajian. Namun, saat ini aku rasakan masanya belum sesuai. Tunggulah, pasti masa yang sesuai akan tiba nanti. 

****

Selama dia tiada, aku menumpang di rumah Suzana. Walaupun jarak antara Subang Jaya dengan Serdang sememangnya jauh, aku lebih sanggup menumpang di rumahnya. Namun, hari demi hari aku mula merasakan terbeban akibat dari jarak perjalanan yang jauh itu.
Ada ketikanya sekembali dari UPM, aku terlalu letih sehinggakan tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Malamnya aku hanya mampu berbaring sambil merehatkan diri. Malah sesungguhnya saat itu aku bagaikan dapat merasakan bahawa aku memang sedang mengandung. Ada satu rasa penat  yang tidak mampu digambarkan olehku setiap kali pulang dari kerja. 
Tarikh kedatangan haidku sudah lama dilepasi tanpa ada sebarang tanda untuk ia hadir. Buah dadaku ada ketikanya terasa berdenyut-denyut,  tekakku sentiasa mual dan aku sering tidak mampu untuk menghabiskan makananku seperti selalu. Setiap kali aku makan, pastinya aku akan memuntahkannya kembali. Ah... seksa sungguh aku rasakan saat itu.
Namun, semua itu aku sembunyikan dari pengetahuan Abang Izwan. Cukup marah aku rasakan dengan sikap endah tak endahnya terhadap diriku apabila perpisahan berlaku. Aku membawa rajukku sendiri. Sungguh.... sungguh aku tidak mengerti sikap lelaki ini.
Suzana pula tak sudah-sudah dengan bebelannya. Ada ketikanya hatiku cukup tersinggung mendengarkan kutukannya pada Abang Izwan. Dia cukup marah bila aku ceritakan padanya tentang sikap Abang Izwan bila kami berjauhan  begini. Aku tahu aku juga marah pada suamiku itu, tetapi aku rasakan Suzana tidak layak untuk menilai Abang Izwan sebegitu.
Mungkin dia terlalu sibuk dengan jadual hariannya sehinggakan tidak mampu untuk berbicara lama denganku. Aku terpaksa terima hakikat bahawa suami ku ini bukanlah seorang yang petah bicaranya bila berhubung melalui telefon. Namun cintaku padanya mampu memaafkan semua kelemahan itu. Kerana aku tahu dia juga amat mencintai diriku.
Perasaan tersinggung dengan kutukan Suzana pada Abang Izwan ada ketikanya begitu kuat merenggut tangkai hatiku. Sehinggakan pada minggu terakhir perpisahan antara aku dan Abang Izwan aku tidak mampu lagi untuk tinggal di rumah teman baikku itu. Aku jadi cukup sensitif. Semua kata-katanya bagaikan mencuit hatiku, membuatkan aku jadi marah dan berkecil hati padanya.
Akhirnya aku membuat keputusan untuk kembali tinggal di rumahku sendiri. Alasanku hanya satu iaitu ingin mempastikan keadaan rumahku baik semasa Abang Izwan pulang nanti.  Aku dapat rasakan Suzana sedar akan perasaan tersinggungku terhadapnya. Kerana selepas dari itu saban hari dia akan menelefonku untuk bertanyakan khabar tentang kesihatanku. Mungkin rasa bersalah menyebabkan dia bertindak begitu.
Pujukannya untuk aku kembali tinggal bersamanya aku tolak dengan sopan. Aku berikan alasan bahawa aku sudah penat berulang pada jarak yang jauh dari rumahnya ke tempat kerjaku.  Satu alasan yang cukup munasabah aku rasakan ketika itu.
Kesihatanku pula semakin teruk. Aku semakin lemah. Untuk bergerak ke sana ke mari pun aku bagaikan sudah tidak mampu. Pening kepalaku tak mampu aku tahan lagi rasanya.  Tidak pernah aku lihat teman-temanku yang hamil mengalami keadaan begini.  Keadaanku yang tidak mampu untuk mengambil sedikit makanan pula memburukkan lagi keadaanku. Tubuhku yang sudah sedia kurus, bertambah kurus lagi dengan keadaan ini.
Tiga hari sebelum Abang Izwan pulang aku meminta Suzana membawaku pergi berjumpa doktor untuk mendapatkan cuti sakit. Aku juga perlu mengesahkan kehamilanku. Aku tidak berbuat begitu terlebih awal kerana sebenarnya ingin memberontak dengan sikap Abang Izwan.
Biarlah... biarlah dia marah denganku kerana tidak mendapatkan pengesahan ini lebih awal. Jika aku lakukan begitupun, bukannya dia ambil tahu. Bukannya dia mahu menghubungiku. Untuk memberitahu tentang kepulangannya pun hanya disampaikan melalui sistem pesanan ringkas.
Kali ini Suzana tidak membebel lagi. Hanya perasaan bimbang sahaja yang dapat aku lihat terpamer di wajahnya. Tanpa banyak soal dia terus datang dan membawaku ke klinik. Memang sudah banyak kali dia mengajak aku ke klinik. Aku sahaja yang berdegil. Ingin menunggu doktor benar-benar dapat mengesahkan kehamilanku.
Terharu hatiku dengan kesungguhannya dalam membantuku. Sedikit pun sikap sensitifku tidak diendahkannya. Malah dia terus bersedia membantuku di saat aku dalam kesusahan. Sanggup mengambil cuti rehat hanya untuk menghantar aku ke klinik. Sungguh sahabatku ini seorang sahabat sejati. Sahabat tempat aku bergantung dalam susah dan senangku. Yang aku kasihi sampai mati. Malah kasihku padanya mungkin melebihi kasihku untuk Abang Izwan.
Teringat aku akan keluargaku sendiri. Aku punya emak saudara, bapa saudara, sepupu-sepupu serta ipar duai. Namun untuk mengadu masalahku kepada mereka aku tidak mampu. Sering aku merasa diri ini dipinggirkan kerana statusku sebagai isteri kedua Abang Izwan. Ramai yang membenci dan tidak dapat menerima keadaan diriku kerana perkara itu. Malah jika ada yang rapat denganku, mereka mengatakan kebimbangan mereka jika hubungan mereka denganku mampu membuatkan Kak Reen tersinggung. 
Aku sedar akan perkara itu. Sudah lama aku sedar. Inilah bahananya berkahwin dengan suami orang. Malah labih parah lagi bila bermadu dengan sepupu sendiri. Aku sebenarnya mencipta keadaan yang membuatkan semua orang serba salah.

****

“Cik Suzana, keadaan Puan Munirah ni teruk sangat. Saya dah bagi dia drip, nanti oklah tu. Tapi dia kena pergi hospital. Tahap heamoglobin dia rendah, tekanan darah dia rendah. Keadaan macam ni tak elok untuk dia dan kandungannya. A... boleh saya tahu suami dia di mana?”
Kedengaran suara Doktor Maznah berbicara dengan Suzana seteleh kehamilanku disahkan. Aku yang sedang terbaring di katil rawatan hanya memandang mereka dengan lemah. Sungguh aku tidak bermaya ketika itu. hanya mampu memandang mereka berbicara di meja doktor itu.
“Suami dia kursus kat UK. Mungkin dua tiga hari lagi baliklah ...,”
“Saya nasihatkan, jangan tunggu sampai suami dia balik. Nanti terus bawa dia ke hospital. Saya akan sediakan surat laporan kesihatan dia. Saya rasa dia kena masuk wad dengan keadaan dia macam ni,”
“Saya tak faham lah doktor, biasanya orang mengandung taklah sampai macam ni keadaannya. Pelik betul dengan keadaan dia ni,”
“Cik, alahan semasa mengandung ni biasa berlaku dalam trimester pertama kehamilan,”
“Trimester pertama?”
“Maksudnya tiga bulan pertama kehamilan. Biasanya berlaku apabila baru bangun dari tidur, tapi ada juga yang akan mengalaminya sepanjang hari. Teruknya alahan ni bergantung kepada individu. Ada yang bernasib baik yang tak ada alahan langsung. Ada sesetengah tu yang mengalaminya sampai waktu bersalin,”
“Kenapa boleh jadi macam tu doktor?”
“Punca sebenarnya masih kurang jelas. Ada yang kata, ia disebabkan oleh perubahan fizikal dan hormon pada badan. Ada juga pendapat yang kata alahan mungkin disebabkan oleh ketidak seimbangan paras gula dalam darah,”
“Oh, macam tu...,”
“Sebab tu sebaiknya Puan Munirah dibawa ke hospital. Di sana puncanya dapat dikenalpasti dan dia akan mendapat rawatan yang sepatutnya,”
Suzana mengangguk-anggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan pendapat Doktor  Maznah. Sedikitpun dia tidak bertanyakan pandanganku samada setuju ataupun tidak. Dan aku, saat itu tidak ada sesuatu perkara lain pun yang aku boleh fikirkan. Otakku terasa terlalu lemah untuk berfikir.
“Dalam keadaan alahan teruk macan Puan Munirah ni, bayi dalam kandungan mungkin akan mengalami kekurangan nutrisi untuk membesar. Kesihatan dia pun akan terjejas. Lebih teruk lagi kalau sampai tahap dia mengalami dehidrasi, iaitu kekurangan air dalam badan. Saya nampak, melalui simptom-simptom yang dia alami, dia ni macam dah mula nak mengalami dehidrasi. Jadi, sebaiknya dia dibawa terus ke hospital,”
“Oklah doktor, kalau boleh doktor siapkan lapurannya secepat mungkin. Dia tengah lemah benar tu. Rasanya dia tidak akan tolak kalau saya bawa dia ke hospital,” sahut Suzana sambil matanya beralih ke wajahku. Ada riak bimbang memenuhi wajahnya saat mata kami bertaut. Aku lantas memejamkan mataku. Tidak mampu untuk aku berkata apa-apa.
Setelah dua botol cecair suplimen tambahan dimasukkan ke tubuhku, aku merasa sedikit segar. Lantas bila begitu, aku terus menyatakan hasratku untuk tidak ke hospital. Ingin menunggu Abang Izwan pulang terlebih dahulu.
“Unie ... kau dengarkan apa kata Doktor Maznah tadi. Kau tu sekejap aje ok ni... bila badan kau dah guna semua zat-zat yang ada dalam air tu tadi, kau akan lemah balik...,”
“Tak apalah Su, aku ok ni. Aku kena kemas rumah. Abang Izwan nak balik tiga hari lagi,”
“Kau jangan nak mengarut. Kau tengah lemah macam ni jangan berangan nak kemas-kemas rumah ni. Balik ni ambil pakaian kau untuk dua tiga hari. Aku hantar ke hospital,”
“Tak nak lah ... kau hantar aje aku balik. Lepas tu tak apalah, kalau aku tak sihat esok aku panggil teksi pergi hospital sendiri. Aku tahulah yang aku ni menyusahkan kau,” kataku dengan nada merajuk. Ah, aku sendiri tidak mengerti mengapa rajukku mudah saja datang menyapa hati ini. Masalah bawaan budak agaknya.
“Tengok tu... merajuklah tu...,”
Aku diam. Mataku aku alihkan keluar tingkap kereta. Namun sekejap saja aku boleh memandang kenderaan-kenderaan yang bergerak pantas. Peningku datang lagi. Lantas aku mencapai plastik yang diletakkan dalam bekas untuk menadah muntahku.
Selepas memejam mataku rapat, aku kembali merasa sedikit lega. Nasib baik tak jadi muntah, bisik hatiku sendiri. Suzana kelihatan menggeleng-gelengkan kepalanya. Kedengaran dia mengeluh dengan kedegilanku. Tingkap kereta dibuka untuk membenarkan angin masuk bagi melegakan rasa loyaku.
“Ok, kalaulah dalam perjalanan balik ni kau boleh tahan tak muntah. Lepas  tu bila balik nanti kau boleh makan makanan yang aku beli tadi, tanpa muntah balik, aku tak bawa kau pergi hospital. Tapi kalau kau muntah, jam tu jugak aku nak kau pergi hospital dengan aku. Boleh?” kata Suzana memberikan syarat. Aku diam lagi kerana aku tahu aku mungkin tidak dapat memenuhi syaratnya itu.
Walaupun sedar dengan kelemahan yang aku alami waktu itu, aku tetap cuba bertahan. Setibanya kami di rumah, aku memaksa diriku makan makanan yang Suzana beli. Nasib baik dia belikan aku tomyam kurang pedas. Sekurang-kurangnya dapat juga aku menelan makanan kegemaranku itu. 
Semua perlakuanku aku lakukan dengan perlahan. Makan, berjalan, malah bernafaspun aku lakukan dengan perlahan demi untuk mengelakkan aku dari muntah. Namun, belum sempat pun aku menghabiskan makananku aku muntah lagi. Suzana cepat-cepat mengingatkan aku dengan syaratnya tadi. Dan akhirnya aku akur dengan kehendaknya, terpaksa ke hospital untuk rawatan selanjutnya bagi penyakitku ini.
Seperti yang dijangkakan aku ditahan di wad ibu mengandung Hospital Serdang.  Aku perlu ditahan kerana kesihatanku memang benar-benar terganggu. Doktor mengatakan tahap haemoglobin dalam darahku tersangat rendah.   Aku megalami penurunan berat badan yang amat ketara.
Doktor di hospital ini juga menyokong pendapat Doktor Maznah yang mengatakan aku mengalami keadaan yang dikenali sebagai “hyperemesis gravidarum” iaitu dihidrasi dan juga electrolytes imbalance iaitu penurunan  kadar galian dalam badan. Menurut doktor yang merawatku, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini. 
Mahu tak mahu terpaksalah aku menjalani rawatan di hospital ini supaya doktor dapat mengenalpasti punca sebenar masalah alahanku ini supaya rawatan yang bersesuaian boleh dijalankan. Aku cuma akur kerana saat itu aku tidak mampu lagi berbuat apa-apa. Terlalu lemah ku rasakan tubuhku ini. Ah... Abang Izwan, inilah harga pengorbanan seorang isteri yang ingin menzahirkan kehendak hati seorang suami.
Terdetik jauh di sudut hati, jika inilah kesengsaraan yang dialami oleh seorang isteri yang bakal bergelar ibu, maka apakah pengorbanan yang mampu dibuat oleh seorang suami untuk seorang isteri? Tidak banyak yang diinginkan oleh seorang isteri. Cukup baginya jika disayangi, dicintai dan dihargai. Lantas ingatanku kembali kepada Abang Izwan dan Kak Reen. Mampukah Abang Izwan menghargai pengorbananku dan pengorbanan Kak Reen?
Lantas airmataku mengalir di pipi. Suzana yang ketika itu sedang mengemas barang-barang keperluanku di atas kabinet kecil bersebelahan dengan katil menyedari kesedihan yang tiba-tiba mengocak kedamaian di tasik hatiku. Lantas dia duduk di kerusi bertentangan denganku dan menggenggam erat jejariku. Menyuntik sedikit kekuatan di hatiku.
“Kau nak aku call Abang Izwan ?”
Lama aku diam. Sungguh aku tidak pasti dengan apa yang aku inginkan waktu itu.
“Atau sesiapa?”
Aku menggelengkan kepalaku. Siapa? Siapa lagi yang ada untukku mengadu resahku selain dari teman di hadapanku ini?
“Aku call Kak Reen ye?”
Aku menggelengkan kepalaku lagi. Suzana mengeluh, mungkin mengerti akan kesedihan yang aku rasakan saat ini. Lama kami begitu. Melayan perasaan masing-masing.
“OK, kau rehat dulu... aku pergi belikan something untuk kau makan ye?”
“Tak payahlah Su,” kataku lemah.
“Unie, doktor dah cakap, kau kena makan something kalau kau nak anak kau selamat,”
“Aku tak ada selera,”
“Aku belikan roti ke... biskut ke... untuk kau nibble, OK?”
Aku cuma diam. Suzana bangun meninggalkanku. Perlahan-lahan aku menyeka airmataku.
“Su,”
Panggilanku menyebabkan dia terhenti dan berpaling kepadaku. Ada airmata bergenang di tubir matanya.
“Thanks,” ucapku sepatah.
Dia senyum lantas berlalu pergi

1 comments:

IVORYGINGER said...

huhuhu.. . mmg betul kew abg izwan kahwin ngan semata-mata pasal ank??? cam xcaya ja.
ke ada pkara lain yg mganggu???
hope xcamtu lah. hope dia betul2 syg unie spt dl.

Post a Comment

Popular Posts