Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 7

Pertama kali dalam hidupnya dia melangkah kaki untuk memulakan satu pertemuan dengan insan bernama lelaki. Kini dia pasrah, jeram kecil ini bukan lagi milik pribadinya. Ada insan lain yang telah turut sama menemui keindahan itu. Dan di saat ini dia akan bersama-sama berkongsi kedamaian dan keindahan ini. Turut bersama berkongsi rasa hati yang memendam seribu perasaan. Tapi, sanggupkah dia? Serba-salah dibuatnya.
Dengan langkah yang lemah, dia menghampiri tempat yang selalunya menjadi rahsia. Hatinya bagaikan sedang berperang dengan seribu perasaan. Malu, takut, bercambur baur dengan rasa ingin tahu. Hatinya terus meneka, tetapi mindanya takut untuk mengiakan. Ingin sekali dia berpatah balik, tak mahu menghadapi kenyataan ini. Tetapi, rasa ingin tahunya begitu membuak-buak.

Adakah yang diteka itu betul atau salah? Adakah penulis surat itu adalah dia yang ditemuinya dulu di tepi jeram kecil ini? Hairi ....nama itu meniti di bibirnya. Tersenyum sendiri. Lantas debar di dada jadi kian kencang. Patutkah aku pergi....? Idayu bertingkah sendiri. Dalam ragu-ragu langkahnya diteruskan jua. Biarlah, ketepikanlah rasa malu ini buat seketika. Mungkin dengan ini akan terjawab segala persoalan di hati.

Setibanya di tepi jeram, hatinya jadi tak keruan. Tiada sesiapa pun di situ. Untuk mengatakan dia terlalu awal, azan Asar sudah agak lama berkumandang. Terlalu asyik bertingkah, samada datang atau tidak, dia membiarkan waktu itu berlalu. Dan selepas berfikir entah untuk kali yang ke berapa, barulah dia mengambil keputusan untuk datang. Apakah aku sudah terlewat? Adakah dia sudah berlalu pergi, kerana bosan menunggu ketibaanku yang begini lewat...?, hatinya tertanya sendiri. Agak kecewa dirasakan kerana terlalu lama membiarkan hatinya di palu oleh pelbagai persoalan. Hinggakan... kini dia telah pergi. Lantas dengan rasa kecewa Idayu berpaling untuk pergi.

“Ayu...,”

Suara itu mematikan langkahnya. Membuat dia membatu di tempat dia berdiri sejak tiba tadi. Tak berani berpaling, dia mendiamkan diri sambil menghitung debaran di hati yang jadi kian kencang.

“Dah lama abang tunggu...., ingatkan Ayu tak sudi datang...,”

Halimunankah lelaki ini, hati Idayu tertanya sendiri. Sebentar tadi, tiada sesiapa pun di sini. Bila aku berpaling untuk pergi, tiba-tiba suaranya bergema.

“Ayu...,”

Idayu jadi tak tentu arah dibuatnya. Ingin berpaling, terasa malu. Ingin menyahut, terasa takut. Betulkah keputusannya ini? Betulkah apa yang dibuatnya ini? Bersendirian bersama lelaki di sini, pastinya boleh mengundang kemarahan ayahnya. Bersendirian di sini bersama lelaki ini, boleh mengundang fitnah. Bersendirian di sini bersama lelaki ini, akan membuka rahsia hati yang masih terpendam.

“Duduklah sekejap. Abang nak cakap dengan Ayu...” pujuk Hairi lembut.

Dengan rasa serba salah Idayu duduk di satu sudut yang agak jauh jaraknya dari kelibat lelaki itu. Dia masih belum berani untuk berpaling memandang pada Hairi. Namun hatinya pasti, lelaki itu Hairi. Suaranya yang sering bergema di kotak ingatannya sejak dari pertemuan kali pertama dulu masih belum dilupakan lagi. Begitu gemersik meruntun kalbu gadisnya.

Agak lama mereka diam membisu. Tak mampu untuk bersuara. Tak tahu apa yang perlu dikatakan. Hairi yang juga bungkam memandang wajah Idayu dengan penuh kerinduan. Dan bermula esok, kerinduan itu akan bertambah parah lagi. Sekurang-kurangnya di sini, dia dapat juga mencuri pandang pada gadis ini. Melihat dari kejauhan bila rindu datang melanda. Esok, bila dia mula bertapak pulang semula ke Kampus Kesihatan USM, wajah Idayu akan ditinggalkan pergi. Bagaimana dapat dia mengubat hati yang parah merindu nanti. Ah.. tak dapat dibayangkan olehnya di saat ini.

“Ayu, perlu ke abang .... ulang apa yang ...abang tulis dalam surat pagi tadi?”

Idayu diam. Lama kemudian dia menggelengkan kepalanya perlahan.

“Ayu .. faham apa yang abang maksudkan, tentang..... perasaan abang?”

Dengan teragak-agak Idayu menganggukkan kepalanya. Hairi tersenyum melihatkan
gelagat Idayu. Lega di hati kerana isi hatinya dapat disampaikan dan gadis ini memahaminya.

“Hai, main angguk dan geleng aje? Macamana nak diubat rindu di hati abang ni kalau tak dengar suara Ayu ?” Hairi memberanikan diri menyentuh soal hati.

Wajah Idayu kelihatan merona merah. Ah, cukup pemalu gadis ini. Dengan kata-kata sebegitu pun, sudah merona merah wajahnya, bisik Hairi dalam hati.

“Ayu terima...?” lambat-lambat soalan itu diajukan.

Idayu terus diam. Tak mengerti dengan kehendak hatinya sendiri. Terima atau tidak? Hendak di terima, hatinya masih lagi ragu-ragu. Hendak ditolak, terasa begitu sayang sekali dengan hubungan yang baru sahaja mahu berputik ini. Tapi, untuk apa dia ke mari? Apakah hanya untuk menjawab persoalan yang menghantuinya sejak pertama kali menerima bait-bait irama tanpa suara dari Hairi seminggu yang lalu? Idayu mengeluh lembut. Sungguh dia sendiri tidak mengerti apa yang tersirat di hatinya sendiri.

“Esok abang akan balik semula ke USM...,” ujarnya lembut. Meneliti reaksi di wajah Idayu.

Terkesima Idayu mendengarkan kata-kata itu. Ah...di saat hati mula berbicara, perpisahan pula yang bakal tiba. Baru sahaja hati mula mengayam rindu, jarak pula yang bakal memisahkan mereka. Sayu hatinya mendengarkan kata-kata Hairi sebentar tadi. Dalam diam, hatinya meronta penuh sendu.

“Abang pasti akan rindu pada Ayu,”

Ah... begitu telus, tanpa segan silu dia meluahkan perasaannya.

“Abang ingat, abang nak bagi handphone ni pada Ayu. Nanti, kalau rindu abang boleh call Ayu,”

Kata Hairi sambil menunjukkan telefon bimbitnya kepada Idayu. Idayu hanya memandang dengan ekor matanya ke arah lelaki itu. Tak pasti apa yang patut dikatakan.

“Nanti, abang transfer nombor-nombor lain ke handphone abang yang satu lagi dan tinggalkan nombor abang aje. Kalau ada apa-apa, Ayu boleh call abang,”

“Mmm... tak nak lah...nanti ayah marah. Ayu pun tak suka terima apa-apa barang dari orang,” laju suara Idayu memecah kebeningan antara mereka.

Jawapan Idayu mengecewakan Hairi. Suara yang dirinduinya saat ini, berbicara untuk pertama kali dalam pertemuan ini hanya untuk menolak kemahuannya. Tidak disangka sama sekali Idayu akan menolak pemberiannya itu. Rasanya kalau gadis lain, sudah pasti akan menerima pemberian ini dengan tangan terbuka.

“Habis... macamana nanti abang nak call Ayu. Nak cakap dengan Ayu, bila abang ingatkan Ayu. Bila abang rindu pada Ayu ...,” ucap Hairi dengan nada kecewa.

“Ambillah Ayu. Please....,” rayunya lagi.

Idayu hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dengan laju. Dia tidak akan...tidak akan... menerima pemberian itu. Kalaulah betul rindu seperti yang dikatakannya, telefon rumahkan ada. Bukannya dia tak nak, tapi pasti dia akan dimarahi emak atau ayahnya jika menerima pemberian ini. Kalaupun nak dirahsiakan, sampai bila? Pasti satu hari nanti emak atau ayah akan tahu. Dan ketika itu, Hairi tiada untuk membelanya. Kalau dikatakan Hairi yang beria-ia dan memaksanya menerima pemberian ini, apa buktinya? Nanti tak pasal-pasal pulak emak dan ayah menuduhnya terlalu mudah menerima pemberian orang. Terlalu senang disogok dengan pemberian-pemberian yang bertujuan untuk memikat hatinya. Tidak...tak mungkin dia akan menerima pemberian ini, bisik hatinya sendiri.

Hairi jadi tak tentu arah bila melihatkan Idayu terus enggan menerima pemberiannnya. Bagaimana mungkin dia dapat menghubungi gadis ini apabila mereka terpisah nanti. Hendak menghantar email, dia tak pasti samada gadis ini punya alamat email atau tidak. hendak berhubung dengan YM, pastinya dia tidak punya kemudahan internet di rumah. Berada jauh di ceruk kampung begini, manalah ada kemudahan-kemudahan sebegitu.

“Ayu ada alamat email? Yahoo massenger ke?” Hairi mengharap.

“Ada, tapi.... tak ada komputer kat rumah...,”

“Ayu selalunya surf internet kat mana?”

“Dulu... masa kat sekolah..,”

“Nanti abang email pada Ayu ye. Pergilah sekolah, boleh kita terus berhubung. ”

“Sekolah Ayu jauh. Dulu duduk kat asrama,”

“Tak ada CC ke kat kampung ni?”

“Tak...,”

Hairi kecewa lagi.

“Ayu ambik lap top abang...?”

Timbul rasa hairan di hati Idayu. Sampai begini sekali lelaki ini menawarkan barang kepunyaannya. Sanggup dia menyerahkan komputernya hanya untuk memastikan dia boleh menghubungiku? Seorang yang hanya dua minggu dikenalinya? Rasa seperti tak masuk dek akal.

“Tak nak... , handphone pun mak boleh marah, inikan pulak lap top” jawab Idayu ragu-ragu.

Hairi kecewa lagi. Buntu untuk terus berfikir bagaimana untuk dia menghubungi gadis ini bagi melepaskan rindunya nanti. Semua yang ditawarkan, ditolak bulat-bulat. Bagaiamana mungkin dia dapat meneruskan hubungan ini? Dia tidak mahu melepaskan hubungan yang baru saja nak bermula ini. Tidak...

Cara yang ada, hanyalah melalui talian telefon tetap di rumahnya. Itu sahajalah satu-satunya cara untuk membolehkan dia mendengar suara lembut gadis ini untuk menghilangkan rindunya nanti. Tapi, jika berhubung dengan talian telefon tetap, pastinya kurang privacy. Pastinya Idayu menjawab panggilannya nanti di bawah pemerhatian emak atau ayahnya. Pastinya tak boleh berbicara lama-lama dengan gadis idamannya ini. Tapi kalau sudah tak ada pilihan lain, apa dia boleh buat, detik hatinya sendiri. Ya, dia mengingatkan dirinya untuk meminta nombor itu dari Pak Dollah nanti, ataupun Abang Sahak. Dia pasti jika dia meminta dari Idayu, gadis ini pastinya tidak akan memberikan nombor itu.

“Nombor telefon rumah Ayu ada tak... Boleh bagi abang tak?” dia mencuba nasib.

Idayu hanya menggelengkan kepalanya. Hairi tak pasti apa maksudnya. Adakah samada di rumahnya tiada talian telefon, ataupun dia sengaja tidak mahu memberikan nombor itu. Tak mungkin tak ada talian telefon. Rumah ketua kampung perlu ada talian telefon, untuk mudah dihubungi oleh mereka yang perlu berurusan dengan Pak Dollah. Hairi yakin, gelengan kepala Idayu tadi menunjukkan dia tidak mahu memberikan nombor telefon rumahnya. Mengapa....? detik hati Hairi. Ah... mengapa begini susah untuk mendekati gadis ini. Yang diinginkan, begitu sukar untuk didekati. Yang tak diinginkan, beratus yang datang menyerah diri. Hai... dah nasib badan. Tiba-tiba timbul satu idea di mindanya. Ah, apa salahnya jika dia mencuba. Lagipun, dia pasti itu yang diinginkan dalam hubungan ini.

“Ayu...boleh tak ...emmm...abang pinang Ayu...?,”

Terkejut Idayu mendengarkan kata-kata Hairi yang berterus terang. Lantas dia terus berpaling kepada Hairi. Memandang wajah tampan itu dengan hati yang cukup berdebar. Tak pernah termimpi pun dia akan kemungkinan ini. Bertunang? Dengan lelaki ini? Lelaki yang hanya baru dikenali namanya, yang tidak pernah diketahui asal-usulnya, yang terlalu asing baginya dan yang ..... mencintai dirinya. Ah....apa yang perlu dikatakan pada lelaki ini ?

Mereka berpandangan seketika. Hati masing beperang dengan pelbagai perasaan. Bila sedar dirinya direnung penuh kasih, Idayu melarikan wajahnya. Apakah perasaan yang dilihat dalam mata lelaki ini satu kenyataan? Adakah renungan yang tersirat seribu makna itu boleh dipercayai? Ataupun hanya satu angan-angan yang sukar untuk digapai. Idayu resah lagi.

“Janganlah main-main.... ,” bisik Idayu hampir tidak dapat didengari oleh Hairi.

“Abang tak main-main.... abang serius ni...,” ucapnya sambil matanya mengelus lembut wajah Idayu.

Seakan ingin diusapnya wajah gadis di hadapannya ini. Seakan ingin dipeluknya tubuh tinggi lampai gadis ini. Kalaulah tiada iman di hati sudah pastinya di saat ini dia sudah mendekati gadis ini. Sudah pasti tubuh itu kini berada di dalam dakapannya. Ah...syaitan, pergi kau dari sini, pergi.... Aku tidak mahu digoda di saat ini. Aku ingin terus berada di sisi gadis ini. Jika bisikan kau aku ikutkan, pastinya aku akan kehilangan gadis ini. Ya, pasti.... , kerana gadis ini bukanlah calang-calang gadis yang boleh dibuat sesuka hati. Untuk memilikinya, pastinya halangan yang paling besar perlu ditempuhi adalah ayahnya.

Ya, dia perlu mendekati gadis ini melalui ayah dan emaknya. Menunjukkan kesungguhan hati, melalui kedua orang tuanya. Hairi nekad, petang ini juga dia akan menghubungi mama dan abahnya di Pulau Pinang. Akan dibincangkan hal ini dengan mereka. Mungkin Pak Soh dan Mak Dah sudi membantu. Hairi tersenyum sendiri. Idayu...., nantikan ya....., akan abang buktikan...., hati Hairi berbisik bahagia.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts