Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 2

Mata Hairi terus merenung atap yang tidak ditutupi siling. Dalam kesamaran malam kelihatan beberapa ekor cicak merayap pada kekisi atap rumah. Di waktu malam begini, kedinginannya menggigit hingga ke tulang hitam. Kalau di waktu tengahari, panasnya bagai berada dalam sauna. Begitulah suasana kampung. Bagaikan tidak percaya yang dia kini berada di sini. Pada awalnya dia membantah kerana ditempatkan untuk membuat kajian di perkampungan yang agak terceruk begini. Seumur hidupnya dia tidak pernah tinggal di kampung.

Berasal dari bandar Pulau Pinang, dia tidak tahu bagaimana untuk hidup di kampung sekecil ini. Kedudukannya agak jauh dari bandar besar dan kemudahan yang ada cukup terhad. Namun, atas nasihat penyelia projek tahun akhirnya dia datang juga ke sini. Mulanya dia difahamkan akan tinggal di rumah tok penghulu kampung ini, tapi akhirnya dia dan Razlan ditempatkan di rumah abang Sahak yang agak kurang selesa ini. Malah, mereka hanya diberikan tikar, bantal dan selimut sahaja. Bilik yang ada hanya sebuah dan dihuni oleh Abang Sahak, Kak Midah dan anaknya yang bongsu.

Terpaksalah dia dan Razlan tidur di ruang tamu ini bersama dua orang anak-anak Abang Sahak yang paling besar, Aiman dan Hamdi. Untuk menukar pakaian pun terpaksa dilakukan di ruang tamu. Rumah kecil ini hanya ada tiga ruang sahaja, ruang tamu, satu bilik tidur dan dapur yang agak luas. Memang betul-betul asas kemudahannya. Tiada satu pun bilik mandi di dalam rumah. Cuma yang ada hanyalah ruang yang menempatkan sebuah perigi yang dipagari oleh dinding konkrit separas bahu. Tanpa privasi, dia terpaksa mandi air perigi yang sejuknya hingga ke tulang hitam. Tandas disediakan kira-kira 50m dari pintu dapur. Dia tidak dapat membayangkan kalaulah dibuatnya sakit perut di malam hari, terpaksalah meredah gelap malam untuk ke tandas.
Selama duapuluh lima tahun hidupnya, dia tidak pernah membayangkan sebuah kehidupan yang sebegini daif. Dilahirkan dalam keluarga yang agak mewah, ibunya adalah seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan ayahnya seorang ahli perniagaan, dia tidak pernah merasakan kesusahan dalam kehidupan. Walaupun ini baru hari keduanya, dia sudah tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke Hospital USM Kubang Kerian, tempat pengajiannya. Belajar di tahun akhir dalam bidang perubatan memaksa dia membuat kajian ke atas penyakit-penyakit yang berkaitan dengan persekitaran. Dan, malangnya dia terpaksa mengkaji kaitan persekitaran terpencil kepada kesihatan penduduknya. Tempat ini pula dipilih oleh penyelianya yang memang gemar membuat kajian di tempat-tempat terpencil begini.

Hairi mengeluh sambil memandang pada Razlan yang lena di sebelahnya. Razlan kelihatan begitu selesa berada di sini. Tidak seperti dirinya yang merasakan berada di sini, bagaikan satu beban amat berat untuk ditanggung. Mungkin kerana Razlan berasal dari kampung, maka dia tidak merasa terbeban berada di kampung terpencil begini. Walaupun kampung Razlan tidaklah sejauh ini dari bandar dan mempunyai kemudahan asas yang lebih baik, tapi dia sudah biasa dengan kehidupan yang sederhana.

Fikiran Hairi kembali menerawang mengenangkan peristiwa petang tadi. Sewaktu dia meninjau-ninjau kawasan di pinggir sungai belakang rumah Abang Sahak, dia terjumpa sebuah jeram kecil yang terletak di satu kawasan yang agak tersembunyi. Dengan batu-batan yang pelbagai saiz dan pohon-pohon yang pelbagai jenis, kawasan itu dirasakan amat menarik.

Yang lebih menarik lagi sedang dia termanggu-manggu di situ, kelibat seorang gadis manis tiba di situ. Terpaku dia melihat raut wajah gadis itu. Orangnya tinggi lampai, berkulit cerah dan sekali pandang dia seakan-akan dapat mengagak bahawa gadis itu berusia dalam lingkungan akhir belasan tahun. Wajahnya sedehana sahaja. Cuma, yang menariknya ialah keayuan dan kelembutannya. Perwatakannya lembut dan agak berlainan sekali dengan gadis-gadis lain yang ditemuinya sepanjang dua hari dia berada di kampung ini.

Gadis itu tidak menyedari kehadirannya menyebabkan lebih mudah untuk dia mengamati perlakuannya yang sungguh ayu. Berbaju kurung dan bertudung, walaupun berada di kawasan terpencil sebegitu. Sesekali dia menyelak kainnya untuk mencecahkan kakinya ke dalam air sungai, menampakkan kaki dan betisnya yang cantik bak bunting padi. Pemandangan yang mengasyikkan itu sedikit sebanyak dapat melegakan hatinya yang gundah kerana terpaksa datang ke tempat terceruk sebegini.

Pada mulanya ingin sekali Hairi menegur gadis itu untuk memulakan salam perkenalan. Tetapi apabila dilihatnya keasyikan gadis itu pada waktu itu, dia mendiamkan sahaja dirinya. Menikmati sahaja pemandangan menarik yang disajikan di depan mata. Terdetik juga di hatinya kalau-kalau perlakuannya diketahui orang. Tak pasal-pasal pulak nanti dia ditangkap mengintai anak dara orang. Baru saja dua hari berada di sini, sudah buat hal. Tapi, dia tidak dapat mengelak dari terus memandang. Dan kedudukannya yang berada di sebalik batang pokok besar mampu menyembunyikan dia dari pandangan gadis itu. Mungkin gadis itu dapat merasakan kehadirannya kerana sesekali dia memandang sekeliling, seakan-akan tercari-cari disekitar kawasan tersebut.
Agak lama gadis itu termenung sendirian. Sesekali dia tersenyum bagaikan terkenangkan sesuatu. Dan apabila gadis itu melangkah untuk pulang bagaikan ada satu perasaan sayu melanda di hatinya. Timbul rasa bimbang di hati yang dia tidak akan bertemu lagi dengan gadis itu. Untuk menegur dan berkenalan, Hairi merasakan terlalu awal. Tapi, Hairi merasakan terlalu sayang untuk melepasnya pergi begitu sahaja, tanpa dikenali dengan lebih dekat lagi.

Tapi kini, di saat hati ini berbicara sendiri, terasa cukup kesal di hati kerana melepaskan gadis itu pergi tanpa mengetahui siapa gerangan empunya diri. Kesal kerana tidak berani untuk menunjukkan diri dan mengambil peluang yang terbentang di depan mata. Dia nekad, jika diberi peluang sekali lagi, dia akan cuba untuk mengenali gadis ini. Keayuan dan kelembutan yang sebegitu agak jarang ditemuinya sekarang ini. Rata-rata kenalan perempuannya agak agresif dan lincah. Maklumlah, mereka terdidik sebegitu, sebagai bakal doktor yang perlu sentiasa bersedia untuk menjalankan tugasnya nanti.

Siapakah dia gadis itu? Akan bertemu lagikah dengannya? Di mana dapat aku menemuinya lagi? Semua persoalan itu bagaikan tidak terjawab di mindanya. Dia nekad, jika bertemu lagi, dia akan memulakan salam perkenalan. Daya tarikan gadis itu begitu kuat dirasakannya. Seumur hidupnya, Hairi tak pernah terkenangkan mana-mana gadis, tapi yang satu ini lain sekali perwatakannya, sehinggakan tak lena tidur dibuatnya. Ah, milik siapakah gadis itu......

***

“Tengahari ni... Mak Su Jah, isteri Pak Dollah tu, ajak makan di rumahnya. Nak berkenalan katanya...” jelas Sahak kepada dua anak teruna yang menumpang di rumahnya.

“Lagipun, katanya nak minta maaf sebab sepatutnya kamu berdua tinggal di rumahnya,
tapi Mak Su Jah tu tak setuju sebab mereka ada anak dara. Tak manislah nanti kalau dua anak teruna tinggal sebumbung dengan anak dara dia. Lagipun Idayu tu, pemalu orangnya, nanti tak selesa pulak dia di rumah sendiri.” sambung Sahak lagi
Hairi dan Razlan yang sedang menghirup kopi mereka pagi itu tersenyum sesama sendiri. Masing-masing agak terharu dengan layanan yang diberikan kepada mereka sejak berada di kampung ini. Hari pertama mereka di sini, Pak Dollah telah membawa mereka melawat sekitar kampung. Dia telah menjelaskan perkara itu kepada mereka. Dan sementara itu mereka ditempatkan di rumah Sahak sehinggalah mendapat tempat lain yang lebih selesa lagi.

“Abang Sahak ni bukan apa, rasanya terkilan jugak sebab kamu berdua terpaksa duduk kat rumah kami yang kecil ni sementara dapat tempat lain. Mesti kamu rasa tak selesa kan? Tapi dalam keadaan tergesa-gesa ni susah nak cari orang yang sanggup tumpangkan kamu berdua. Orang kampung ini kebanyakkannya susah hidupnya. Malu juga nak tumpangkan orang bandar di rumah kami. Takut nanti tak selesa selama di sini.” Jelas Sahak apabila melihat kedua-dua pemuda itu diam tanpa kata.

“Alah... tak apalah Abang Sahak. Tinggal di sini pun dah cukup selesa. Tak ada halnya....” ujar Razlan.

“Betul kata Razlan tu. Sekurang-kurangnya kami ada pengalaman tinggal di kampung... bolehlah cerita kat kawan-kawan dan keluarga kami nanti bagaimana seronoknya tinggal di kampung ni.” sahut Hairi untuk menyedapkan hatinya sendiri. Tak mau dia menyinggung perasaan Abang Sahak yang baik hati itu.

“Memang kat sini kebanyakkannya macam Abang Sahak ni, hidupnya susah. Ialah , kerja kampung kampunglah katakan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang nak bagi anak bini makan. Pak Dollah tu, dulunya polis, jadi dia senanglah sikit banding dengan kami, ada pencen...” cerita Sahak tanpa ditanya.

“Anak dia ramai jugak ke Bang Sahak...” tanya Razlan ingin tahu.

“Tak adalah... Idayu tu seorang ajelah anak dia. Itupun, anak angkat. Pak Dollah dengan Mak Su Jah tu tak ada anak sendiri. Mereka ambik Ayu tu sebagai anak angkat masa dia kecil lagi, masa tu mereka tinggal di Perak. Tapi, layanan mereka pada dia langsung tak macam anak angkat. Sayang sungguh mereka padanya. Budaknya pun baik. Baru aje lepas SPM baru ni. Anak dara suntilah katakan.... manis orangnya. Nanti kamu tengoklah, kut-kut ada yang berkenan, nanti boleh buat bini...” usik Sahak mengundang tawa besar kedua-dua tetamunya itu.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts