Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 1

Idayu mencecahkan hujung jari kakinya ke dalam air jeram yang mengalir perlahan. Dengan segera riak-riak ombak kecil terbentuk. Damai hatinya, sedamai riak-riak ombak kecil itu. Ya, dia ke sini lagi seperti selalu. Menyendiri di kawasan jeram kecil di belakang rumahnya. Kawasan yang sering mendamaikan setiap keresahan yang singgah di hatinya. Deru air jeram itu seperti selalu, bagaikan memberikan seribu ketenangan di jiwa.

Mana mungkin dia melupakan tempat ini. Terlalu banyak kenangan indah yang mendamaikan tasik hatinya berlaku di sini. Di sinilah waktu kecilnya dihabiskan bermain-main bersama kucing kesayangannya, Montok. Di sini juga dulu, petangnya dihabiskan dengan menangkap anak-anak ikan sempilai, puyu dan haruan. Masih diingat lagi, bagaimana dia menyusun batu-batu kecil untuk dijadikan empangan bagi mengepung anak-anak ikan tersebut.

Di sini jugalah tempat dia mengadu segala keluh kesahnya. Ada ketikanya dia ke mari hanya untuk mengelamun, memasang angan-angan yang tak pernah ada kesudahan. Sikap suka menyendiri menyebabkan dia sering terlalu asyik melayan perasaan. Walaupun bercupak leteran emak dengan sikapnya itu, Idayu bagaikan tidak mengendahkan. Ah... bukannya dia mengganggu sesiapa. Dia ke mari pun bukannya untuk bertemu sesiapa.
Masih ingat lagi bagaimana dulu dia menemukan tempat ini. Waktu itu emak mengajaknya mengutip pucuk paku di pinggir sungai untuk dibuat lauk tengahari. Dia tidak menyangka langkahnya pagi itu, akan membawa dia ke sini. Sejak itu, kawasan yang mendamaikan ini sering menjadi tempat kunjungannya.

Ada waktunya dia datang untuk menghabiskan kerja sekolah di sini, menelaah buku-buku ketika peperiksaan menjelang, membaca novel yang dipinjam dari perpustakaan sekolah atau hanya berkunjung untuk menikmati kesegaran udaranya. Waktu yang paling digemarinya adalah waktu selepas hujan turun. Sungguh damai dan nyaman udaranya.
Tapi, entah mengapa suasana petang ini dirasakan agak berbeza. Ketenangan yang dirasakan petang ini, tidak seperti biasa. Bagaikan terasa yang tempat ini bukan lagi milik peribadinya. Terdetik juga dihatinya, mungkinkah ada seseorang yang sedang bersembunyi, memerhatikannya di balik rimbunan pohon-pohon kecil di sekelilingnya?

Cepat-cepat dia mematikan detik hatinya itu. Ah... siapalah gerangannya yang akan ke mari? Bukankah selama ini hanya aku saja yang selalu ke sini? Selama ini tidak pernah dia berkongsi tempat ini dengan sesiapapun, kecuali Montok. Dan jika boleh dia tidak ingin berkongsi kedamaian ini dengan sesiapa pun.

Redup petang itu memberi isyarat supaya dia pulang. Sudah hampir dua jam dia di situ melayan perasaan. Dia tahu, kalau lewat lagi pulangnya, dia akan dileteri emak seperti hari-hari lalu. Suara emak yang damai itu ada ketikanya mampu menyentuh hati gadisnya. Dia sedar, leteran emak itu hanya untuk melahirkan rasa tak puas hati dengan sikapnya yang suka menyendiri. Mak, Idayu senang begini, getus hatinya.

****

“Idayu.... ke mana aje kau ni, senja-senja begini baru balik?” sapa Mak Su Jah. Dia merenung wajah anak gadis itu. Risau di hati melihat sikap anak dara suntinya yang amat suka menyendiri.

“Tak ke mana mak...” ucap Idayu lembut. Jangan risau mak.... Idayu bukannya buat benda tak elok, getus hatinya.

Idayu memandang sekilas pada emak dan ayahnya yang sedang duduk di beranda rumah pusaka itu. Pak Dollah telah siap mandi dan berpakaian lengkap untuk ke masjid. Sebagai ketua kampung, dia memang tak pernah ketinggalan dari bersolat jemaah di masjid.

“Idayu masuk dulu ye mak... ayah...,” ucapnya sambil berlalu. Langkahnya hanya diikuti oleh sorotan mata emaknya.

“Habis, budak-budak tu nanti nak dok kat sini berapa lama?” kedengaran suara Mak Su Jah bertanyakan kepada Pak Dollah.

“Dua minggu...”

“Abang Lah suruh dia tinggal di rumah siapa?”

“Itulah... mereka tu tak boleh tinggal di rumah kita. Kita ada anak dara. Tak manis nanti anak dara dengan anak teruna tinggal serumah. Sementara ni mereka tinggal di rumah Sahak. Tapi tak sesuai pulak sebab anak–anak Sahak tu ramai. Tak selesa pulak budak-budak tu nanti. Masa tanya Sahak hari tu, dia terima aje. Abang pun tak terfikirkan masalah ni dulu. Nantilah, abang tanya Pak Soh. Dia tinggal berdua aje dengan Mak Dah tu. Anak-anak semuanya dah tak tinggal sekali dengan dia. Kalau dia nak, mungkin budak-budak tu boleh tinggal di rumah dia.” Terang Pak Dollah panjang lebar. Susah juga hatinya kerana terpaksa meninggalkan tanggungjawab itu kepada orang lain.

“Nak ke Pak Soh dengan Mak Dah tu terima. Mereka kan orang susah. Kesian pulak nanti kena tanggung dua orang anak muda. Menyusahkan pulak nanti,” sahut Mak Su Jah.

“Tak apa, budak-budak tu bukannya datang dengan tangan kosong. Keluarga yang ambil anak angkat ni diberikan RM 30 sehari untuk seorang anak angkat. Sekurang-kurangnya bolehlah buat belanja mereka. Kalau Pak Soh nak ambil dua-dua, lagilah mudah,” sahut Pak Dollah.

Dari dalam rumah Idayu mencuri dengar perbualan kedua-dua emak dan ayahnya. Agaknya tentang program anak angkat dari Hospital Universiti Kubang Kerian yang diceritakan oleh emak semalam, Idayu meneka sendiri. Menurut emaknya semalam, dua orang pelajar bidang kedoktoran dari HUSM datang untuk buat kajian tentang tahap kesihatan penduduk di kampung ini. Sepatutnya Pak Dollah yang perlu mengambil tanggungjawab ke atas mereka sepanjang masa mereka di sini. Tapi, mana mungkin ayah akan menerima anak teruna tinggal di rumah ini sedangkan dia punya anak dara.

Pak Dollah seorang yang tegas, terutamanya dalam urusan berkaitan adat melayu dan adab sopan dalam agama. Setiap perlakuan Idayu sentiasa di bawah perhatiannya. Apa sahaja perlakuan yang tidak manis gadis itu akan ditegurnya melalui Mak Su Jah. Idayu tahu, ayahnya sanggup melakukan apa saja demi menjaga maruah agama dan peradaban Melayu. Malah, dirasakan, jika dia melakukan sesuatu perkara yang sumbang ayahnya pasti tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman. Terbayang dia pada watak Tok Penghulu dalam filem P.Ramli, “Sumpah Semerah Padi”. Ya, ayah sememangnya mempunyai perwatakan sebegitu. Tegas dengan pendiriannya dalam hal-hal keagamaan.

Dari kejauhan terdengar sayup-sayup azan Maghrib berkumandang. Pak Dollah bangun dan mula melangkah ke motosikalnya untuk ke masjid. Cepat- cepat Idayu beredar ke biliknya untuk mandi dan solat Maghrib. Tak mahu dia tertangkap ketika mencuri dengar perbualan ayah dan emaknya. Saat itu hatinya terdetik, sanggupkah dua anak muda itu tinggal di kampung yang serba kekurangan ini? Sudahlah jauh dari kota, kemudahan yang ada hanya di tahap minima.

Ah, tak mungkin anak-anak muda yang datang dari bandar itu dapat bertahan lama di kampung ini. Maklumlah, sudah biasa senang. Tertanya-tanya dalam hati, mengapa mereka memilih kampung terpencil ini untuk membuat kajian. Tak ada kampung lain ke yang boleh mereka pilih.

****

Persoalan itu diajukan kepada emaknya malam itu. Mak Su Jah hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Alah... ayah kata tempat ini dipilih oleh universiti. Mereka kena buat kajian di banyak tempat. Kawasan bandar, kawasan kampung dan kawasan hulu macam kat sini...” terang Mak Su Jah.

“Emmm... seronok ye mak, dapat masuk universiti. Belajar jadi doktor tu mesti susahkan? Mak rasa Ayu nanti dapat lulus dan masuk universiti tak mak?”

“Ayu rasa macamana? SPM baru ni boleh lulus tak? Ayu kan dah usaha. Kalau ada rezeki, mesti boleh masuk unversiti...”

“Tapi mak, Ayu rasa tak yakin sangatlah... takut lulus, tapi tak capai tahap yang diterima masuk U. Cikgu Harun kata, nak masuk U kena lulus tinggi...,” keluh Idayu sedikit kesal dengan sikapnya yang kurang bersungguh-sungguh sebelum peperiksaan SPM tempohari.

“Itulah... dulu mak selalu cakap, jangan leka sangat. Tapi Ayu buat tak tahu aje. Kita ni duduk di kampung, kemudahan belajar kurang. Kalau kita tak usaha sendiri, macam mana nak berjaya. Tengok tu, belum keluar keputusan, diri sendiri dah menyesal...” tempelak Mak Su Jah.

Idayu terdiam seketika, menyesali sikapnya yang agak acuh tak acuh dengan pelajaran. Memang dia akui, dia agak leka sebelum peperiksaan SPM akhir tahun lepas. Cuma dua bulan sebelum tarikh peperiksaan, barulah dia mula bersungguh-sungguh. Itupun akibat nasihat dari Cikgu Maria, guru pelatih yang datang ke sekolah untuk latihan praktikalnya tiga bulan sebelum peperiksaan SPM. Guru itulah yang banyak menasihati dia dan teman-temannya untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita di masa hadapan.

Masih ingat lagi kata-kata Cikgu Maria bahawa, tiada siapa yang boleh mengubah nasib diri kita melainkan kita sendiri. Hasil dari nasihat dan usaha gigih Cikgu Marialah, dia dan temah-teman sekelas mula berusaha. Tapi, waktu itu tarikh peperiksaan sudah terlampau dekat. Terlalu banyak yang perlu dipelajarinya semula. Kalaulah Cikgu Maria datang menjalani latihan praktikalnya lebih awal, tentu dia sudah mulakan usahanya sejak dari awal lagi. Tapi, apa lagi yang nak dikesalkan. Dia telah buat setakat yang dia mampu. Kini, dia hanya dapat bertawakkal kepada Allah, semuga keputusan peperiksaannya nanti akan dapat menempatkannya ke mana-mana IPTA. Itu harapannya

“Sudahlah Ayu, jangan asyik dok berangan aje. Kita tu anak dara. Kalau tak lulus nanti, kahwin aje lah...” usik Mak Su Jah sambil tersenyum.

“Ala mak.... Ayu tak naklah kahwin lagi. Muda lagi.... baru lapanbelas tahun. ..,” rengek gadis itu manja.

“Ah... mak hari tu enambelas tahun dah kahwin dengan ayah...,” usik emaknya.

“Em.. tak nak lah... Kalau tak lulus, Ayu nak belajar semula, ambik periksa SPM semula, sampai lulus dapat masuk U,” luah Idayu bersungguh-sungguh.

“Amboi, senangnya hati, habis tu, nak belajar lagi, mana nak cari duit? Ingat ayah tu banyak sangat duit nak tanggung Idayu ambik SPM semula ?” ungkit Mak Su Jah.

“Biarlah, kalau ayah tak ada duit, Idayu kerja. Pergi Kota Bharu, cari kerja sambilan, lepas tu Ayu belajarlah...”

Tergelak besar Mak Su Jah mendengarkan kata Idayu.

“Hai, kerja apalah yang Ayu boleh buat, hemm...?”

“Buatlah apa-apa pun, Jadi orang gajipun Ayu sanggup... asalkan dapat belajar semula....” rungut Idayu.

Mak Su Jah menghabiskan ketawa yang bersisa. Gelihati dia melihat kesungguhan Idayu ketika itu. Kalaulah kesungguhan itu ada pada anak gadisnya sejak awal tingkatan empat dan limanya dulu, alangkah baiknya. Tapi, sekarang dia tidak begitu yakin dengan anaknya itu.

“Apa-apa pun, kita tunggu keputusan SPM keluar nanti. Ha... masa tu bolehlah buat keputusan....,” rungut Mak Su Jah. Idayu mendengus perlahan. Kekesalan tergambar di wajahnya. Kalaulah dulu lagi dia sedar, tentu sekarang dia lebih yakin dengan kemampuannya itu. Kesal dulu berpatutan, kesal kemudian, apalah gunanya.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts