Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 4

Suasana lepas hujan petang itu kembali menggamit Idayu untuk bersendiri lagi di tepi jeram, tempat kegemarannya. Mundar mandir dia sambil mengutip ranting kayu dan daun-daun yang gugur akibat hujan lebat sebentar tadi. Langit yang sedikit gelap, memungkinkan hujan akan turun lagi nanti. Entah mengapa sejak tengahari tadi hatinya meronta-ronta untuk datang ke mari.
Lamunan Idayu tiba-tiba dikejutkan oleh kocakan air jeram. Dia berpaling ke arah bunyi itu. Terkaku seketika bila mengetahui yang dia tidak sendirian di situ. Di satu sudut berhampiran batu besar yang selalu didudukinya, kelihatan seorang pemuda tercegat sambil memandang padanya. Hatinya tak semena-mena berdebar apabila melihat pemuda itu.
Doktor muda yang datang ke rumah pagi tadi? Eh... apa dia buat kat sini? Macamana dia jumpa tempat aku ni? Hati Idayu tertanya-tanya sendiri. Tiba-tiba hatinya merasa sedikit takut kerana sedar yang hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Pemuda itu melangkah perlahan menghampirinya dan berhenti kira-kira lima kaki darinya. Idayu berfikir-fikir untuk pergi dari situ, tapi kakinya terasa bagaikan kaku di tempat dia berdiri.
“Assalamualaikum,”
Sunyi.
“Tak baik salam tak di jawab,” lembut sekali kedengaran suara itu.
Sepi lagi.
“Salam wajib dijawab...,”
“Waalakumsalam,” akhirnya Idayu menjawab antara dengar dengan tidak. Suasana sunyi semula. Idayu lantas berpaling untuk pergi.
“ Tunggu dulu.....,”
Suara pemuda itu menyebabkan langkah Idayu terhenti. Dia tahu dia tidak sepatutnya berada berduaan dengan lelaki ini di tempat sunyi begini. Hatinya tertanya-tanya bagaimana lelaki ini menjumpai tempat kegemarannya itu. Sedikit marah kerana sekarang tempat ini bukan rahsianya lagi.
“Tak apa kalau saya duduk di sini? Saya sukakan keindahannya....” tanya Hairi menduga.
Sebal hatinya sebentar tadi apabila Idayu berpaling untuk pergi. Dia ingin berbual dengan gadis ini, memang itulah tujuannya datang ke sini selepas hujan reda tadi. Dia menunggu penuh sabar kedatangan gadis ini. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang untuk menegurnya kali ini.
“Tak apa... tempat ni memang dalam tanah ayah tapi, keindahannya bukan milik peribadi sesiapa...” lembut Idayu menutur kata tanpa memandang pada Hairi. Terasa sejuk hati Hairi, bagaikan disiram dengan salju mendengarkan tutur bicara perlahan, antara dengar dengan tidak, yang keluar dari bibir gadis ini.
“Idayu selalu ke datang ke sini?” tanya Hairi bersahaja. Sengaja mencari-cari idea untuk terus berbicara.
Tersentak Idayu mendengarkan namanya disebut lancar oleh pemuda itu. Hai, dari mana dia tahu namaku, detik hati kecilnya. Ah, mungkin dari Pak Soh dan Mak Dah kut.
“Em... doktor tahu nama saya?” teragak-agak Idayu memberanikan diri bertanya untuk menjawab persoalan di hatinya. Matanya masih lagi tidak dapat memandang wajah kacak pemuda itu. Hairi tersenyum. Ah, jerat dah mengena. Sengaja dia menyebut nama Idayu supaya timbul tanda tanya di hati gadis ini. Sekurang-kurangnya ada topik yang dapat menjadi sebab untuk dia meneruskan bicara dengan gadis ini.
“Ramai yang sebut nama Idayu, Abang Sahak, Pak Soh, Mak Dah...., sampaikan saya tertanya-tanya siapa gerangan empunya nama yang semanis ini....,” ucap Hairi sambil matanya melirik memandang wajah Idayu yang separuh berpaling ke arah lain.
Gelisah Idayu jelas nampak dipandangan mata lelakinya. Hairi bagaikan dapat merasa debaran hati gadis itu dari riak wajahnya yang kelihatan malu-malu. Idayu terdiam mendengarkan kata-kata Hairi. Debar di hati semakin kencang.
“Idayu, boleh kita berbual-bual sekejap ?” tanya Hairi dengan penuh harapan. Matanya terus merenung wajah gadis itu yang masih lagi menunduk. Idayu terus diam. Serba salah dengan permintaan pemuda itu. Hatinya bagaikan terpanggil untuk bersetuju tetapi akalnya bagai menyanggah. Bagaimana nanti kalau ayah dan emak tahu, tentu mereka marah kerana tidak manis untuk dua orang yang bukan mahram duduk berdua-duaan di tempat sunyi begini. Perlakuan sebegini boleh mendatangkan fitnah.
“ Bolehkan Idayu?” rayu Hairi lagi.
“A.... tak baik doktor, ...berdua macamni......,” kata Idayu setelah agak lama dia mendiamkan diri.
“Saya tak nak Idayu panggil saya dengan gelaran tu. Belum layak lagi. Nama saya Hairi. Panggil Hairi saja atau abang Hairi,” kata Hairi tegas.
Sunyi menyulami suasana yang agak damai ketika itu. Kedengaran kicauan burung layang-layang yang sedang terbang pulang ke sarang menandakan waktu Maghrib hampir tiba. Idayu teragak-agak, dia tahu, dia perlu pulang ketika itu kalau tidak mahu dimarahi emaknya. Hairi pula masih terdiam mencari idea untuk meneruskan bicara. Dia sedar akan keresahan Idayu dan dia pasti gadis ini sudah mahu pulang. Tapi, hatinya bagaikan tidak sanggup melepaskan gadis ini pergi. Masih belum puas dia berbicara dengan Idayu. Agak terkilan kerana Idayu datang agak lewat ke tempat ini.
“Idayu balik dulu ye doktor...,”
“Hairi..” potong Hairi megingatkan Idayu dengan permintaannya sebentar tadi. Kedengaran begitu tegas di telinga Idayu. “Tunggu dulu, saya nak tanya Idayu satu soalan,” sambungnya.
Dia perlu tahu. Dia tidak perduli apa kata Idayu. Yang pastinya dia perlu tahu dari mulut Idayu sendiri. Idayu hanya mengangkat mukanya memandang wajah Hairi. Hatinya tertanya-tanya apa soalan yang akan keluar dari mulut pemuda itu nanti.
Debaran hati dua insan yang berpandangan ini mengandungi makna yang berbeza. Tak lama mata bertentangan, Idayu tunduk semula tanpa kata. Hairi terus merenung wajah ayu di hadapannya. Mulutnya bagaikan berat untuk meneruskan kata tapi, persoalan di hatinya perlu dirungkaikan segera. Dia tahu, masih terlalu awal untuk dia mendapatkan kepastian tetapi dia tidak peduli. Perasaan yang timbul sejak pertama kali melihat gadis ini tiga hari yang lalu perlu ditenangkan supaya damai waktu tidurnya dan aman waktu jaganya.
“Idayu ...dah... ada yang punya....?” terpacul soalan itu di bibir Hairi.
Berkerut kening Idayu cuba memahamkan maksud soalan itu. Matanya terus menatap wajah Hairi dengan penuh kehairanan. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh pemuda itu. Demi terpandang wajah Hairi yang terpancar dengan harapan, Idayu jadi kaku.
Sedikit demi sedikit dia dapat menangkap makna yang tersirat dari pertanyaan Hairi tadi. Sedikitpun tidak menyangka lelaki ini akan begitu telus bertanya. Kali kedua bertentang mata, persoalan itu sudah berani ditanya. Tak perlu dengan seribu kata-kata. Hanya dengan pandangan mata yang tersirat penuh makna, dia bagaikan dapat menelah hati dan perasaan lelaki ini. Lantas dia melarikan matanya dari terus memandang wajah pemuda itu.
“Idayu....saya perlukan kepastian....,”
Idayu diam.
“Idayu...”
Ah, malunya.... apa perlu aku katakan, bisik hati Idayu.
“Idayu...”
“Kenapa....,” akhirnya Idayu bersuara, separuh berbisik. Suara yang bagaikan tidak mampu untuk keluar dari bibirnya.
“Saya.....perlu tahu.....,”
“Tapi ...kenapa...,” kedengaran suara Idayu agak gugup, setelah lama membisu. Hairi menunggu penuh debar.
“Saya......tak pasti kenapa.....tapi, saya perlu tahu.” Mata Hairi tidak lepas dari memandang Idayu. Dia sendiri agak terkejut dengan persoalan yang dibangkitkan itu. Lain yang ingin ditanya tadi, tapi lain pula yang keluar dari mulutnya. Mungkin persoalan ini sebenarnya yang meruntun-runtun di hatinya. Jadi, dalam kekalutan untuk menghalang Idayu dari pergi meninggalkannya, persoalan itu terpacul tanpa sedar.
“Idayu...” dia masih menunggu. Resah di hatinya kerana Idayu bagaikan tidak mahu bersuara.
“Ada....,” jawab Idayu akhirnya. Dia menjeling sekilas ke wajah pemuda itu. Wajah yang penuh harapan itu berubah serta-merta. Terpancar kini rasa kecewa di wajah ala artis Bollywood itu.
“Mak dan ayah...” sambung Idayu sambil bibirnya tersenyum sekilas. Malu dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya, Idayu lantas melangkah pergi dengan pantas. Dia dapat merasakan panahan mata Hairi menikam jantungnya sekilas sebelum dia melangkah pergi. Di hati, berbunga sekuntum harapan.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts