Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 3

Pak Dollah dan Mak Su Jah menyambut mesra ketibaan Sahak, Hairi dan Razlan. Keluarga ini memang baik dan bersopan santun pada pandangan Hairi. Terasa amat dihormati apabila Mak Su Jah memanggil dia dan Razlan dengan panggilan doktor. Timbul juga rasa malu di hati. Dia sebenarnya masih belum layak lagi diberi gelaran itu.
Rumah pusaka milik Pak Dollah kelihatan cantik, bersih dan dihias sederhana. Diperbuat dari kayu cengal, suasana di dalamnya juga nyaman dan selesa. Keluasannya sederhana namun ia mengundang rasa nyaman kerana beratapkan bata tanahliat. Seperti rumah Abang Sahak, rumah ini juga tidak mempunyai siling. Namun ia masih dapat memberikan suasana sejuk walaupun di waktu tengahari begini. Sambil berbual, dia tidak melepaskan peluang untuk mengamati suasana nyaman dalam rumah itu. Berlainan sekali dengan rumah Abang Sahak yang panas dan merimaskan. Terdetik di hatinya mungkin Pak Dollah ini lebih berada orangnya.
Ketika asyik berbual dengan tuan rumah, sekali-sekala dia mencuri pandang ke arah dapur. Kelibat seseorang di dapur mencuri perhatian Hairi. Tiba-tiba dia merasakan debaran membadai di hatinya apabila melihat gadis yang ditemuinya di jeram kecil semalam sedang mundar-mandir di dapur menyediakan hidangan makan tengahari itu. Hatinya tak semena-mena melonjak riang. Ah... gadis itu, tidak susah rupanya untuk dia menemukannya semula. Idayu ........ Bisikkan di hati mengingatkan dia kembali nama yang disebut oleh Sahak pagi tadi. Lembut nama itu selembut empunya diri. Dia bagaikan tidak dapat memberi perhatian kepada topik perbualan bersama dengan tuan rumah tersebut. Tak sabar rasa hatinya untuk menatap wajah gadis itu dengan lebih jelas. Idayu... keluarlah, aku ingin menatap wajahmu..., bisik hati Hairi.
Seketika kemudian Mak Su Jah berlalu ke dapur. Mungkinkah untuk mengajak gadis itu keluar dan memperkenalkannya? Hairi mengharap dalam hati. Tapi, sebentar kemudian Mak Su Jah keluar semula dengan membawa sebidang tikar mengkuang. Hampa merenggut tangkai hati anak muda itu kerana hajatnya tidak kesampaian. Tak apa, mungkin selepas ini Idayu akan keluar menghantar hidangan, bisik hati Hairi lagi.
Namun begitu harapannya hampa lagi. Gadis bernama Idayu itu tidak juga keluar dari dapur. Hanya Mak Su Jah saja yang berulang alik ke dapur mengangkat bakas air basuh tangan, dulang air minuman dan talam berisi nasi dan lauk-pauk. Dan apabila dijemput makan, hati Hairi masih mengharap supaya Idayu keluar makan bersama, walaupun dia tahu perkara itu mustahil akan berlaku.
Walaupun tak dapat menatap wajah manis gadis itu, Hairi masih merasakan sedikit kegembiraan. Sekurang-kurangnya dia dapat merasa masakan bekas air tangan gadis itu. Suapannya begitu berselera lagi. Masak lemak pucuk ubi dengan ikan gelama goreng itu cukup membangkitkan selera. Disertakan dengan sambal tumis ikan bilis, telur masin dan ikan kering. Hemmm... sedap betul.
“Tambah lagi Dr Hairi, Dr Razlan... jangan malu-malu.” Sapa Mak Su Jah.
“Makcik, tak payahlah panggil saya doktor. Saya ni belum jadi doktor lagi...,” ujar Hairi merendah diri. Mak Su Jah hanya tersenyum memandang anak muda yang sopan, berwajah iras-iras artis Bollywood.
“Sedap betul masakan makcik, berselera saya dibuatnya. Bukan tak biasa makan masak lemak pucuk ubi kat bandar tu, tapi masakan makcik ni lain rasanya,” sahut Razlan.
“Alah, lauk kampung aje. Bahan-bahannya segar. Santan diperah sendiri, pucuk ubi pun yang ditanam, dipetik sendiri, itulah yang sedap tu...” ujar Abang Sahak. Dia juga kelihatan berselera sekali.
Hairi mendiamkan diri sambil menikmati juadah tengahari itu. Tapi, terdetik di dalam hatinya, tentulah sedap, dimasak sendiri ... oleh gadis pujaan hati.
“Hai Hairi, senyap aje, tambahlah lagi,” suara Pak Dollah lagi.
“Ye... ye pakcik, terima kasih, mak cik tak makan sama?” tanya Hairi. Di hati masih mengharapkan Idayu keluar. Ingin ditatapnya wajah itu dari jarak yang lebih dekat.
“Silalah makanlah dulu,” sepatah Mak Su Jah menjawab sambil senyum meniti di bibir. Berselera betul budak-budak ni makan, detik hatinya.
“Sambil makan tu, pakcik nak beritau ni. Pak Soh dengan Mak Dah yang tinggal kat rumah sebelah tu dah setuju untuk tumpangkan Hairi dengan Razlan di rumahnya. Mereka tu tinggal berdua aje, jadi selesalah sikit kamu berdua nanti. Tak adalah berebut-rebut dengan anak-anak Sahak ni nanti.” Jelas Pak Dollah sambil menunding jarinya ke rumah Pak Soh yang letaknya kira-kira 100 m dari rumahnya.
“Petang ni bolehlah pindah. Nanti lepas ni bolehlah singgah sekejap di rumah Pak Soh, kenal-kenal dulu,” kata Pak Dollah lagi.
Tak semena-mena hati Hairi berlagu riang. Rumah Pak Soh yang disebut tadi berdekatan dengan rumah Pak Dollah. Sekurang-kurangnya ada peluanglah dia untuk bertembung dengan Idayu nanti, dia berharap.
***
Idayu berlari-lari anak menuju ke arah van Pak Wan Hamat yang menjual pelbagai lauk-pauk dan sayur-sayuran. Pagi tadi Pak Dollah telah menyembelih dua ekor ayam dan Idayu disuruhnya menggulai ayam tersebut. Pak Dollah juga berpesan supaya dia menghantarkan sedikit gulai ayam itu ke rumah Mak Jah. Jadi Idayu perlulah mendapatkan rencah-rencah untuk masakannya. Lagi pun, beberapa bahan asas seperti bawang dan lada kering sudah hampir habis.
“Hai Idayu, nak masak apa hari ni?” tegur Pak Wan Hamat. Hatinya selalu girang apabila terpandangkan gadis ini. Kelembutannya sering mendamaikan hati tua Pak Wan Hamat.
“Ayah sembelih ayam pagi tadi. Nak gulailah ni. Pak Wan bawa sayur apa hari ni?” sahut Idayu mesra.
“Macam-macam ada... pilihlah,”
Selepas membayar barangan yang dibeli, dia membawa bahan-bahan tersebut pulang ke rumah. Setibanya di tangga dapur rumah, sebuah kereta memasuki kawasan rumah dan berhenti berhampiran dengannya. Dia kenal kereta itu, milik salah seorang orang doktor yang datang bertandang ke rumahnya tengahari semalam. Doktor muda itu keluar dari kereta dan merenungnya tajam.
Bibir Idayu menguntum senyum penuh ragu-ragu apabila mata mereka bertemu untuk kali pertama. Entah mengapa, bagaikan ada getaran di hati Idayu apabila senyuman berbalas. Pemuda berkulit hitam manis, berdarah kacukan India itu menghampirinya perlahan dan untuk seketika dia bagaikan tak dapat berkata-kata. Hanya merenungnya tanpa kata. Idayu jadi tak menentu.
“Assalamualaikum,” ucapan pertama.
“Waalaikum salam,” jawab Idayu. Dia resah diperhatikan begitu.
“Pak Dollah ada?” lembutnya suara itu.
“Tak... em...ayah ke kebun. Tengahari ni baliklah...em.. doktor nak jumpa dia?” tanya Idayu teragak-agak sambil menundukkan pandangan. Tak tahan hatinya menghadapi renungan tajam itu. Mata Hairi galak merenung Idayu dari hujung kepala ke hujung kaki. Masih tetap bertudung gadis ini, getus hati kecil Hairi.
“Tak apalah... kalau tak ada, nanti saya datang lagi,” ucap Hairi dengan nada yang girang.
“Em... ya...,” Idayu mengangguk.
Pemuda itu masuk semula ke dalam kereta dan diam sejenak. Matanya masih lagi merenung Idayu. Tak mahu rasanya dilepaskan pandangan ini. Hai, tak lena tidur lagilah dia malam ini.
Idayu lantas berpaling untuk meninggalkan pemuda itu. Di hatinya tertanya-tanya mengapa pemuda itu masih lagi enggan berlalu pergi. Hatinya resah gelisah direnung begitu. Setelah Idayu menaiki tangga dan memasuki rumah, barulah kereta itu bergerak pergi.
Eeei, kenapa dia pandang aku macam tu. Ada apa-apa yang tak kena ke? bisik Idayu sendiri. Setelah meletakkan bahan-bahan yang dibeli tadi di meja dapur, Idayu ke bilik. Dia merenung wajahnya di cermin, melihat apa-apa yang tak kena pada dirinya. Manalah tau kalau-kalau auratnya terbuka atau rambutnya terjuntai. Ah... semuanya kelihatan baik aje, jadi apa yang dipandangnya sampai tak berkelip-kelip matanya, getus hati Idayu. Terasa sedikit gembira di hati Idayu kerana diberi perhatian begitu. Tambahan lagi dari pemuda sekacak itu, ala-ala Hrithik Roshan. Idayu tersenyum sendiri.....

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts