Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 5

Wajah mulus yang manis menawan itu ditatapnya penuh rasa rindu. Renungan menggoda sepasang mata bundar itu bagaikan sebilah keris, menikam menusuk ke kalbu. Senyuman lembut bibir munggil yang sedikit terbuka itu bagaikan merayu-rayu, menggoda hati lelakinya. Sesekali lirikan manja itu menyapanya dalam diam. Perlakuan manja gadis di depannya itu bagaikan meruntun-runtun tangkai hatinya. Terasa sejuk hatinya bak dedaunan kering yang disirami embun pagi. Ah… rindu yang ditanggungnya sejak dua hari lalu terasa terubat jua akhirnya.

“Hei Hairi … apa senyum-senyum sorang ni… berangan ke…?”

Lamunan Hairi dikejutkan oleh tepukan kuat yang menyinggah di bahunya. Tersentak, bagaikan hampir luruh jantungnya. Hairi berpaling kepada Razlan yang duduk tercongok di tepi tilam sambil memandangnya dengan wajah penuh tandatanya.

“Aku tanya ni… berangan ke?” ulang Razlan apabila Hairi tidak memberi sebarang respon. Cuma matanya sahaja yang terkebil-kebil memandang pada wajah Razlan yang mula tersenyum mengusik. Mindanya bagaikan belum dapat menangkap apa yang berlaku. Ah… aku berangan rupanya, getus hatinya.

“Mana ada…,” dia cuba menyangkal kenyataan.

“Habis tu… yang tersenyum sorang-sorang tu, apa ke helnya yoep,” kata Razlan mula tergelak. Dia tak pernah melihat temannya ini dalam keadaan sebegini. Satu pembaharuan….

“Tak adalah…,” Hairi masih lagi cuba berdalih.

Razlan masih tersenyum lucu melihatkan perlakuan Hairi yang terus-terusan menidakkan apa yang telah dilihatnya sebentar tadi. Hei, nak tipu aku ye. Nanti, siap kau, getus hati Razlan.

“Aku kan.. pelik betul sekarang ni…,” Razlan cuba menukar topik.

“Pelik apa…?” kata Hairi cuba melarikan diri dari persoalan yang diperbualkan.

“Aku perasan dah dua tiga petang ni…kau asyik hilang aje. Kau ke mana…?”

“Ada… saja jalan-jalan..,”

“Ye ke… atau jumpa awek? Selalunya nak ke mana-mana kau mesti ajak aku. Tapi kan kali ini, pergi sorang-sorang…aje, Kau ke mana sebenarnya…” Razlan masih lagi belum lagi berpuas hati dengan jawapan Hairi yang seolah-olah cuba untuk menyembunyikan
sesuatu.

“Ada la…,” jawab Hairi ringkas menyebabkan Razlan naik geram.

“Engkau jangan nak sembunyi dari aku… Nanti kang aku pergi intai kang… haru…,”

Hairi tergelak. Hai, apa yang nak diintaikan. Dah dua hari dia ke sana, tempat pertemuan pertama di tepi jeram itu, tapi bayang Idayu tak muncul tiba. Terkulat-kulat dia menunggu bagaikan orang bodoh. Ah… bodoh pun bodohlah… janji satu hari nanti pasti dapat jumpa, getus hatinya .

“Hei… berangan lagi ke. Kau ni dah angau ke apa ni…Nampak macam nak tembus siling atap rumah ni kau tenung. Wajah sapa depan mata tu…,” Razlan masih tak puas hati.

Hairi yang kelihatan diam seketika tak bersuara kembali merenung jauh tanpa arah tujuan. Matanya bagaikan terbayang wajah mulus Idayu, gadis yang dalam diamnya, dalam malu-malunya, mampu mengusik hati lelakinya yang selama ini degil sekali kalau dalam bab melayan perempuan.

“Aku dah jatuh cinta lah Lan...,” luah Hairi dengan satu keluhan akhirnya.

“Masyaallah..., dengan siapa ni. Kau biar betul. Mentang-mentanglah berjauhan, baru kau sedar yang kau dah jatuh cinta. Selama ni kau buat tak kesah aje pada dia,”
Tercengang Hairi menatap wajah Razlan yang becok berkata-kata. Siapa yang dimaksudkan?

“Siapa maksud kau...?”

“Laaa... Intan lah. Siapa lagi...,”

Terlintas wajah manis Intan, teman sekuliahnya yang sama-sama belajar di USM. Intan? Mengarut betullah Razlan ni. Mata Hairi kembali menatap atap bata rumah Pak Soh. Wajah Idayu kembali datang menerpa.

“Bukan Intan...,” jawabnya selamba.

Terkejut Razlan mendengarkan kata-kata Hairi itu.

“Habis... siapa...?”

“Idayu...”

“Hah...?”

“Idayu..,”

“Idayu...? siapa ...?,”

“Anak Pak Dollah ...,”

Terdiam Razlan seketika. Cuba menangkap makna kata-kata Hairi. Bila menyedari maksud Hairi, terbeliak matanya memandang temannya itu.

“Maksud kau... anak ketua kampung ni. Idayu ..?,”

Senyum Hairi mengiakan kata-kata temannya itu.

“Hei... gila kau... Kau pernah jumpa dia ke..?”

“Tiga kali..”

“Bila...?”

“Pertama kali, masa hari pertama kita kat sini, kali kedua, sehari selepas kita makan tengahari di rumahnya. Dan kali ketiga, petangnya...,” ucap Hairi sambil matanya terus menatap bayangan wajah Idayu di atap rumah tanpa siling itu. Satu-satu kenangan dia bertemu Idayu bermain di depan matanya.

“Kau ni biar betul Ri... Tak kan lah tiga kali berjumpa dah jatuh cinta kut. Love at the first sightla ni ye...,”

“Itulah... aku pun tak sangka aku boleh jatuh cinta pada pandangan pertama. Selama ni aku tak percaya benda-benda macam tu.,.” jawab Hairi perlahan. Sekali lagi mengeluh.

“Dia dah tau ke..?”

“Siapa..?”

“Apa namanya tu... Idayu.... Wah...siap ingat lagi nama tu... Dulu, rasanya Abang Sahak yang beritahu kita nama tu kan?”

“Hem..,”

“Tak sangka ya... akhirnya jatuh cinta jugak kau ye... Selama ini aku ingat kau immune dengan perempuan. Rupanya tak... rupanya ini taste kau ye... pendiam, pemalu kan?” ulas Razlan perlahan-lahan.

“Hem..,”

“Hoi...hoi... dah lah berangan tu. Ni ha... aku nak tanya ni. Kau dah edar ke semua soal selidik kita tu? Feedbacknya dah dapat ke? Kalau dah.. cepatlah kita boleh analisa. Jangan dok berangan aje breder....kang kerja tak siap, tak pasal-pasal kita kena extend masa kita kat sini,”

“Extend pun tak apa... Dapat tengok dia lama sikit.” Ucap Hairi perlahan.

“Hai, baru aje minggu lepas aku dengar kau kata tak suka dok kat sini. Tak sabar-sabar nak balik ke Kota Bharu, emm... senangnya hati berubah bila dah terpikat kan?” usik Razlan sambil tersenyum.

Hairi hanya memandang temannya tanpa sebarang bicara. Ya, hatinya sudah terpikat pada kampung ini. Sebenarnya, pada seseorang yang istimewa dari kampung ini. Ah.. mudah sekali persepsi manusia boleh berubah. Jika ada yang disukainya, perkara yang pernah dibenci pun mampu berubah menjadi rindu. Hairi senyum lagi.

“Hoi Hairi, dah lah berangan tu... aku tanya ni, macamana dengan soal selidik kita tu?”

Lamunan Hairi tersentak lagi dan dia kini cuba kembali kepada alam nyata. Terasa berat untuk melontarkan angan-angannya ke tepi seketika. Ada perkara lain yang sama pentingnya yang perlu dilaksanakan.

“Masalah jugaklah yang itu...Lan,”

“Hei, ingatkan aku je yang bermasalah. Kau pun... sama ke..,”

Hairi mengangguk pantas

“Ini.. orang kampung ini, ramai yang tak tahu membaca. Kalau ada yang tahu pun, dia orang tak faham Bahasa Melayu yang kita gunakan dalam soal-selidik tu. Sudahnya kenalah aku bacakan dan explain pulak soalan-soalan tu pada mereka. Kena buat macam interview pulak. So, ambil masa jugalah untuk dapatkan feedback yang aku nakkan tu.,” keluh Hairi.

“Aku pun rasa macam tu lah Ri. Mencabar betullah buat kajian kat kampung ni. Dah lah macam tu, ada setengah tu, malu nak diinterview. Tak orang tahu pendapat dia agaknya.”

“Kita cuma ada tempoh seminggu aje lagi. So kita kenalah pastikan kita dapat cukup data-data yang kita nak tu,”

Razlan mengangguk mengiakan kata-kata Hairi .

“Apa apa pun...pastikan kerja kita beres. Jangan asyik dok berangan, sampaikan semua kerja tak jalan. Ingat kita ada masa satu minggu aja lagi kat sini,” kata Razlan sambil mengangkat jari telunjuknya menunjukkan tanda satu.

Ya... aku cuma ada masa satu minggu saja lagi, aku perlu lakukan sesuatu, gatus hati Hairi.

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts