Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 12

“Eh… kalau ikutkan hati… nak sangat aku beritahu budak Hairi tu pasal Idayu tu. Apalah yang budak Hairi tu nampak pada Idayu tu. Bukannya cantik sangat pun. Rasanya Maziah aku tu lebih kurang aje cantiknya...,”

Kata-kata Mak Yam yang kedengaran pedas itu menujah masuk ke telinga Idayu. Dia terpaku di tempat dia berdiri. Apa yang dibualkan mereka tentang dirinya? Tentang diri Hairi ? Kedengaran teman seperbualan Mak Yam tertawa mendengarkan kata-kata Mak Yam sebentar tadi.

“Engkau bandingkan si Maziah dengan Idayu ?”

“Yelah... Maziah kan kecik comel orangnya, si Idayu tu tinggi lampai tubuhnya. Sebab tu lah masa mula-mula Abang Dollah dan Kak Jah bawa dia balik ke sini, ramai yang pelik. Macamanalah mereka berdua yang kecik, rendah macam ayam kapan tu boleh dapat anak yang besar tinggi macam Idayu tu. Masa tu mereka tak tau yang budak tu anak angkat....,”

“Yelah... kan Abang Dollah dengan Kak Jah tu tak ada anak... apa salahnya dia orang tu ambik anak angkat..., rasanya Hairi pun dah tahu pasal tu. Semua orang tahu pasal tu. Bukannya salah pun...,”

“Bukan itu yang aku maksudkan. Maksud aku... Idayu tu... kan dia tu anak haram... anak luar nikah.... Hah yang tu, tak ramai yang tahu. Abang Dollah pun tak bagi Abang Mat beritahu sesiapa. Kalau bukan sebab laki aku tu jadi saksi masa dia isi borang ambil Idayu tu jadi anak angkat dia, kami pun tak tahu...,”

Dan kata-kata selanjutnya bagaikan tidak lagi kedengaran di telinganya. Tubuhnya menggeletar, tak mampu lagi berdiri. Lantas dia menyandarkan diri di pangkal pohon mangga di tepi jalan itu. Pandangannya mula kabur.

“...kan dia tu anak haram... anak luar nikah....,”
“...kan dia tu anak haram... anak luar nikah....,”
“...kan dia tu anak haram... anak luar nikah...,”

Kata-kata yang diucapkan dengan suara yang amat perlahan itu, bagaikan belati tajam menyiat seluruh tangkai hatinya. Bagaikan sembilu yang menusuk ke jantungnya. Bagaikan duri yang menikam seluruh urat sarafnya. Menyebabkan dia jadi lemah, lumpuh tak bermaya.

****

Selepas peristiwa itu, Idayu tidak lagi berkata apa-apa. Perasaannya dipendam sendiri. Pertanyaan demi pertanyaan dari emaknya tidak diendahkannya lagi. Diamnya menyepi diri menambahkan gusar di hati emaknya. Dia tidak akan lupa kata-kata itu. kata-kata yang bagaikan menghancur lumatkan perasaannya.

Mak Su Jah memberitahu Pak Dollah tentang pertanyaan Idayu itu sekembalinya dari masjid. Gusar hati Pak Dollah mendengarkan penerangan Mak Su Jah itu. Siapalah yang pandai-pandai membawa cerita ini? Cerita yang tersimpan kemas sejak lapanbelas tahun yang lalu. Cerita yang memang tak ingin di sentuh dan tak mahu di bongkar lagi.

Cerita yang boleh membawa aib dalam diri Idayu sekiranya ia diketahui ramai.
Memang tak ramai yang tahu tentang perkara ini. Selain dari dia suami isteri, ketuanya yang mencadangkan dia mengambil Idayu, dan beberapa orang teman lain, hanyalah Abang Mat, suami Cik Yam, yang merupakan saksi semasa dia mengisi borang pengambilan anak angkat. Itupun, dia telah meminta supaya Abang Mat merahsiakan hal ini dari sesiapa pun. Macam mana pula perkara ini boleh terbongkar? Nampaknya Abang Mat dah pecah amanah rupanya.

Apabila ditanyakan tentang perkara ini pada Pak Mat dan Mak Yam, kedua-duanya dengan rasa yang cukup bersalah mengiakannya. Mak Yam mengakui bahawa dia tersilap membuka rahsia semasa berbual dengan kakaknya. Wanita itu memohon beribu keampunan darinya, dari Mak Su Jah dan juga dari Idayu. Malah mereka datang ke rumah bertemu Idayu untuk memohon maaf. Tapi, semuanya sudah terlambat. Rahsia telah terbongkar. Ada hati yang telah terluka. Ada jiwa yang telah merana kerana kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan demi menjaga aib seseorang.

Ya, Idayu memang anak luar nikah. Ditinggalkan di pintu pagar balai polis tempat Pak Dollah bekerja lapanbelas tahun yang lalu. Tanpa ada pengenalan yang mengesahkan siapa dirinya, ibunya menulis nota ringkas memberitahu bahawa anak yang ditinggalkannya itu adalah hasil dari perbuatan khianat akibat dirogol oleh beberapa lelaki. Salah dirinya juga kerana terlalu mudah terpedaya dengan pujuk rayu teman lelaki. Setelah diperdaya oleh teman lelaki, tubuhnya ditawarkan pula untuk melayan nafsu serakah kawan-kawan teman lelakinya.

Dalam masa satu malam, sepuluh lelaki menodainya. Selepas itu dia ditinggalkan oleh teman lelaki yang sebelum itu menabur seribu janji. Dan, akibat dari itu dia mengandung dan dibuang keluarga. Setelah lama merempat, saat melahirkan anak kecil ini dia tidak tahu ke mana hendak dituju. Anak itu akhirnya dilahirkan dan ditinggalkan di situ. Hanya dibungkus dengan kain batik dan diletakkan di dalam sebuah kotak, anak kecil itu ditinggalkan untuk menghadapi dunia yang penuh dengan dugaan ini sendirian.

Ketika diberitahu tentang anak kecil itu oleh ketuanya, Pak Dollah jadi jatuh kasihan padanya. Dan apabila ketuanya membawa anak kecil yang berusia lima hari itu ke rumahnya, dia dan Mak Su Jah terus jatuh kasih kepada anak kecil yang belum mengerti apa-apa. Lantas anak itu diambilnya sebagai anak angkat. Bermulalah episod kehidupan yang lebih bermakna untuk anak itu.

Masih ingat lagi Pak Dollah akan nasihat yang diberikan oleh imam masjid yang biasa dikunjungi di kawasan perumahan yang didudukinya waktu itu. Imam itu menasihatkan dia untuk mendidik anak ini dengan sebaik-baiknya, memelihara anak yang terlantar sebegini adalah perbuatan yang cukup mulia. Dikatakan mulia kerana ia adalah sebahagian dari perbuatan memelihara nyawa manusia, lebih-lebih lagi jika anak itu di asuh dengan iman dan amal.

Anak ini akhirnya diberi pelajaran dunia dan akhirat secukup-cukupnya. Harapannya anak ini kelak akan menjadi anak yang soleh lagi matang pemikirannya. Dididik anak itu supaya tahu bahawa bani adam itu adalah sebaik-baik makhluk. Dan kemuliaan di dunia dan akhirat seseorang itu tidak bergantung pada rupa parasnya, susur galur keturunannya, bangsanya maupun harta kekayaannya. Tetapi kemuliaan itu dipandang sejauh mana ketaqwaannya kepada Allah. Bukankah setiap manusia itu dilahirkan dalam keadaan fithrah, suci bersih. Tidak membawa setitik pun dosa dari ibu bapa, datuk dan neneknya. Dan setiap manusia itu tidak menanggung perbuatan dosa yang dilakukan oleh orang lain. Siapa yang melakukan dosa, dialah sendiri yang menanggungnya. Orang lain tidak mungkin akan menanggung dosanya.

Namun bagaimana untuk dia menerangkan perkara ini kepada Idayu? Dalam usianya yang masih muda dan fikiran yang masih belum cukup matang, banyak andaian yang boleh dibuat. Dalam keadaannya yang diam membisu, Idayu seakan-akan menolak segala kata-kata nasihat yang diberikan. Dia seolah-olah tidak lagi mahu mendengar apa-apa yang diperkatakan oleh Pak Dollah dan Mak Su Jah. Hairi juga jadi buntu dengan keadaan murung Idayu. Anak muda yang bingung itu dibiarkan sahaja sepi setiap kali menghubunginya. Langsung tidak lagi mahu berbicara dengan tunangannya itu. Idayu menjadi seorang anak yang cukup pendiam, murung dan tidak lagi ceria seperti dahulu.
Pak Dollah pula merasakan bahawa tidak layak untuk dia membuka pekong di dada kepada Hairi. Tidak sanggup dia memberitahu Hairi tentang siapa Idayu. Buntu jadinya dengan keadaan ini.

Tempoh seminggu berlalu dan Idayu mula menjejakkan kakinya ke UiTM. Bermula satu episod baru dalam kehidupannya. Hairi tidak lagi diendahkannya. Kesibukkan Hairi menghadapi peperiksaan akhirnya memberi peluang kepada Idayu untuk menjauhkan diri. Telefon bimbit yang Hairi hadiahkan untuknya tidak diambilnya, menunjukan dia tidak mahu dihubungi. Setiap kali Hairi meminta alamatnya untuk dihubungi melalui Pak Dollah, Idayu hanya membiarkan permintaan itu berlalu pergi. Dia seakan-akan ingin lari dari semua keadaan. Hati Pak Dollah juga jadi gusar bila setiap kali Hairi menghubunginya bertanyakan tentang Idayu. Berat sekali bibirnya untuk memberitahu Hairi perkara yang sebenarnya. Bimbang kalau-kalau pelajaran Hairi terganggu. Dan setiap kali itu juga hanya satu jawapannya untuk anak muda itu, “nantilah... pakcik tanya Idayu”.

****

Tidur Idayu malam tadi diganggu igauan itu lagi. Sejak dua bulan dia di sini, tidurnya tak pernah lena. Setiap malam bisikan-bisikan halus mengganggu dan mengejeknya. Perasaan hina akan dirinya itu tidak sudah-sudah menghambat ke mana sahaja dia pergi. Teman-teman juga sudah masak dengan dirinya yang suka menyendiri, tidak menghiraukannya. Mereka memandangnya seakan-akan seperti seorang yang bermasaalah. Dia tidak mesra dengan sesiapa pun. Tidak ada seorang pun yang diterimanya sebagai seorang teman rapat. Lebih senang begini, daripada punya kawan yang akhirnya akan menghinanya apabila diketahui akan rahsia dirinya.

Pembelajarannya untuk dua bulan ini berjalan dengan lancar sekali. Walaupun berada dalam kemurungan dia masih mampu mengikuti semua subjek yang dipelajarinya dengan baik. Tekad hati untuk lulus dengan cemerlang, menjadi pembakar semangatnya untuk terus berjaya. Biarlah dia dikatakan seorang yang pelik, menyendiri, wierd, membosankan dan entah apa-apa lagi, dia tak ambil kisah. Yang penting, dia tidak mengganggu sesiapa. Dan akhirnya, dia juga tidak diganggu oleh sesiapa pun.
Dalam tempoh dua bulan itu juga ingatan Idayu pada Hairi tak pernah lekang. Malamnya, sering dibuai mimpi indah yang akhirnya bertukar menjadi satu igauan ngeri. Setiap kali dalam mimpinya, Hairi datang kepadanya. Dia melihat Hairi tersenyum kepadanya, dan dia tersenyum kembali. Namun pada saat itu, pasti akan ada suara yang membisikkan pada Hairi tentang dirinya.

“...dia anak haram... anak luar nikah....”
“...dia anak haram... anak luar nikah....”
“...dia anak haram... anak luar nikah....”

Lantas pada waktu itu juga wajah Hairi bertukar menjadi satu wajah ngeri yang sungguh menakutkan. Hairi benci padanya. Status dirinya yang hina ini menjadi penghalang dalam hubungan mereka. Ya, dia mesti memberhentikan semua ini. Dia perlu memutuskan hubungan ini sebelum terlambat. Sebelum Hairi mengetahui semuanya dan menghina dirinya. Biarpun rasa kasih itu baru saja berputik di hati, dia terpaksa memutuskan hubungan mereka. Tak mahu mendengar penghinaan ke atas dirinya.

Mungkin Hairi boleh menerimanya tetapi, bagaimana dengan ibubapa dan kaum keluarganya. Dan yang pastinya satu hari nanti rahsia ini akan terbongkar jua. Dan pada ketika itu semuanya sudah terlambat. Ketika itu dia sudah benar-benar jatuh cinta pada lelaki itu. Biarlah... biarlah di saat ini, ketika cinta ini belum lagi tersemai teguh di hati, dia memutuskan segalanya. Sekurang-kurangnya sakit yang diterimanya ini tidaklah separah mana.

Cuti pertengahan semester itu, Idayu pulang dengan satu nekad. Tanpa bertanya atau pun berbincang dengan emak dan ayahnya, dia memulangkan cincin pertunangan yang selama ini bertakhta di jari manisnya kepada Mak Dah dan Pak Soh. Tiada apa-apa alasan yang diberikan, cuma meminta kedua Engku Maryam itu memulangkannya kepada Hairi .

0 comments:

Post a Comment

Popular Posts