Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab 20

Idayu terjaga dari tidurnya tepat jam 4.00 pagi. Termanggu dia sebentar di atas katil sambil mindanya berputar, memikirkan adakah pengalaman semalam hanya satu mimpi. Dengan malas dia bangun membersihkan diri. Separuh yakin bahawa peristiwa yang berlaku antara dia dan Engku Lokman semalam hanya satu mimpi.

Tapi, mengapa kain tuala yang digunakan semalam masih lagi membaluti tubuhnya? Kenangan semalam kembali menerjah ke dalam ingatannya. Gementar hatinya mengingatkan apa yang telah berlaku. Peristiwa antara dia dan Engku Lokman kembali berputar bagaikan tayangan wayang di layar perak. Masih terasa hangat desah nafas Engku Lokman saat bibir lelaki itu menyentuh bibirnya walaupun hanya seketika. Masih terasa bergelodak jiwanya tika kumis lelaki itu menyentuh hidungnya.

Jejari Idayu menyentuh lembut bibirnya yang kini tidak lagi suci. Tidak dapat digambarkan betapa menyesalnya dia. Menyesali diri kerana cuai dan membiarkan keadaan semalam berlaku. Menyesali diri kerana membiarkan bibirnya disentuh buat pertama kalinya oleh lelaki yang bukan suaminya.

Ah.. lelaki ini, tidakkah dia sedar perlakuannya itu sungguh kurang sopan. Perlakuan yang bukan sahaja melanggar tatasusila adat melayu malah juga melanggar syariat. Bukankah perlakuan sebegitu dilarang keras oleh Islam. Perlakuan yang mengundang kepada dosa yang lebih besar seperti zina. Ah...

Tapi, bukankah aku yang bersalah. Mengapalah aku cuai, menanggalkan pakaian di tempat terbuka begitu. Aku sepatutnya lebih berhati-hati dengan apa yang aku lakukan, getus hatinya menyesali diri. Ah, bukannya kau tahu dia ada di rumah waktu itu. Selalunya pun, kau sendirian. Malah, tiada satu pun tanda yang menunjukkan kehadirannya, manalah kau sedar yang dia ada di rumah, hatinya kembali berbisik, membela dirinya. Satu keluhan berat dilepaskan.

Dalam perasaan yang masih terbuku, Idayu cepat-cepat mandi membersihkan diri dan melakukan solat Isyak yang belum sempat ditunaikannya semalam. Malah solat Maghrib juga dia tertinggal. Semuanya gara-gara usikan Engku Lokman. Bisikan nakal Engku Lokman kembali menampar-nampar di gegendang telinganya. Bagaikan ketika ini lelaki tersebut berada hampir dengannya, hatinya kembali berdebar tidak keruan.

“Jangan sekali-kali keluar dari bilik awak macam ni.... Awak tak tahu apa yang saya boleh buat pada awak.... Tengok awak macam ni..... emm... seksi sangat....,”

dan,

“Sekarang..., baik awak pergi ke bilik awak... Kalau tidak....,”

Apakah kata-kata lelaki itu satu teguran, gurauan atau amaran? Menggeletar seluruh badan Idayu mengingatkan bisikan lelaki itu. Perasaan kesal kembali bertakhta di hati kerana tidak menyalin pakaian basahnya di bilik. Kalaulah dia mengambil kain tuala dan terus ke bilik, tentu kejadian itu tidak berlaku. Tapi, bukan salahnya kerana dia telah memastikan bahawa kereta lelaki itu tiada di perkarangan rumah.
Malah, ketika dia memasuki rumah, keadaan dalam rumah begitu gelap sekali menandakan tiada sesiapa di rumah pada waktu itu. Siapa sangka yang Engku Lokman ada di rumah waktu itu? Tambahan lagi lelaki itu jarang sekali pulang ke rumah besar ini. Entah apa maunya pulang ke sini petang semalam.

Bila dikenangkan kejadian semalam, Idayu jadi malu sendiri. Selama ini dia tidak pernah membuka auratnya di rumah itu. Terutama sekali apabila Engku Lokman dan Engku Badrul mengunjungi Engku Maryam. Berhadapan dengan Engku Badrul dia merasakan tidak sukar untuk menjaga auratnya kerana lelaki itu menghormatinya walaupun dia hanya jururawat peribadi Engku Maryam. Tidak pernah sesekalipun Engku Borhan mengambil kesempatan ke atasnya. Tapi, sejak Engku Lokman berpindah balik dari Kuala Lumpur tiga bulan lalu, Idayu mula merasa sedikit tidak selesa. Terutama sekali apabila sesekali Engku Lokman berkunjung atau bermalam di rumah besar ini. Nasib baiklah Engku Lokman tidak mengambil keputusan untuk tinggal di sini sebaliknya terus menetap di kondominium miliknya di Kota Seri Mutiara.

Teringat Idayu pada cerita Mak Nab mengenai bonda Engku Lokman yang sudah lama tiada, sejak pemuda itu berusia sebelas tahun lagi, kira-kira dua puluh satu tahun yang lalu. Selepas berkahwin dengan Puan. Khatijah kira-kira lima belas tahun yang lalu, Engku Badrul terus tinggal di rumah ini sehinggalah lima tahun yang lalu dia berpindah ke rumah sendiri di Tanjung Mas, kira-kira 5 km dari rumah besar ini.

Menurut Mak Nab, Engku Maryam tidak begitu sukakan Puan Khatijah. Tak pandai mengambil hati Engku Maryam katanya. Entahlah, Idayu pun tak tahu kisah sebenarnya. Tetapi memang dia merasakan yang Puan Khatijah tidaklah begitu mesra dan serius orangnya. Malah sejak Idayu bekerja enam bulan yang lalu, dilihatnya Puan. Khatijah amat jarang bertandang ke rumah ini. Setiap hari Engku Badrul datang sendirian sebelum masuk kerja dan selepas kembali dari kerja di sebelah petangnya untuk menjenguk bondanya. Selepas memastikan yang Engku Maryam dalam keadaan yang baik, barulah dia pulang ke rumahnya.

Fikiran Idayu kembali ke kejadian semalam. Terus-terusan menyalahkan dirinya atas kecuaiannya semalam. Ah ... benda dah berlaku. Lain kali aku mesti beringat-ingat supaya perkara yang seumpamanya tidak berlaku lagi di masa akan datang, detik hati Idayu. Dia melepaskan satu keluhan yang begitu berat. Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaannya ketika ini. Berfikir sendiri, bagaimana untuk dia menghadapi pemuda itu di masa akan datang. Dan jika ada orang lain yang tahu, mesti ada yang menyangka bahawa dia sengaja melakukan perkara semalam untuk menggoda pemuda itu. Ah...malunya.

Selesai melakukan sunat taubat dan bertahajjud memohon keampunan dari Allah kerana kekilafan yang dilakukan semalam, Idayu mengintai ke perkarangan rumah. Memang sah, kereta Engku Lokman tiada. Lantas hatinya tertanya-tanya, apakah pemuda itu bermalam di rumah ini semalam? Nasib baik dia ingat untuk mengunci pintu bilik selepas kejadian itu. Kalau tidak, tak taulah apa akan terjadi padanya.

Selesai solat Subuh, Idayu memerap sahaja di bilik pagi itu kerana mengelak dari berjumpa dengan Engku Lokman. Tidak sanggup rasanya untuk berhadapan dengan pemuda itu. Terus-terusan berdiam diri di bilik sedangkan masih banyak kerja yang menanti. Pakaian kotor Engku Maryam perlu dicuci serta bubur nasi dan lauk-pauk untuk Engku Maryam perlu disediakan. Kalau lambat dia mulakan, lambatlah nanti dia ke hospital. Tidak sanggup dimarahi oleh Engku Maryam itu sepertimana berlaku pada Mak Nab semalam.

****

Hampir pukul 11.00 pagi barulah Engku Lokman meninggalkan rumah. Kelihatan kereta kawannya menunggu di pintu pagar. Ketika membuka pintu pagar dia menoleh ke arah rumah. Matanya melilau seakan-akan menanti Idayu menunjukkan diri. Tersenyum sendiri mengenangkan kejadian semalam. Ah, manis sungguh gadis itu. Entah mengapa terasa seperti ada sesuatu yang masih belum selesai antara dia dan Idayu. Masih ada kekosongan yang belum terisi. Pagi tadi, dia sengaja menunggu Idayu keluar dari biliknya. Terasa ingin ditatap lagi wajah itu. Dan dia sendiri tidak pasti mengapa tiba-tiba gadis manis itu seakan-akan mula mengambil tempat jauh di sudut hatinya. Mungkin kerana keayuan dan keindahan yang disaksikannya semalam menyebabkan terbit kerinduan di hati untuk menatap lagi wajah itu.

Sejak pagi dia menunggu dan terus menunggu, tetapi Idayu terus menyepikan diri. Ingin sekali diusiknya gadis itu untuk menyaksikan lagi betapa menggelabahnya dia. Entah mengapa perasaan begitu bermain di fikirannya. Biasanya dia dapat mengawal perasaannya dari tertarik pada seseorang. Tapi, entah mengapa saat ini bagaikan terasa seakan-akan Idayu pula yang mengawal perasaannya. Sikap Idayu yang menggelabah semalam bagaikan terbayang-bayang di matanya lantas menyejukkan kalbunya.

Tak apa, pasti kita akan bertemu lagi dan aku akan mempastikan Idayu tidak akan lari darinya sebelum diusik, getus hati Engku Lokman. Bibirnya tak semena-mena, mengukir senyum nakal. Tanpa melengahkan masa dia terus menaiki kereta yang dipandu oleh Astri, teman wanita yang dihubunginya sebentar tadi. Dia terpaksa pergi kerana jam 12.00 tengahari nanti dia perlu menemui clientnya. Sebelum itu dia perlu singgah di bengkel untuk mengambil keretanya yang telah siap dibaiki. Gadis di sebelahnya menghadiahkan senyuman yang sungguh menggoda. Lantas hilang seraut wajah yang ditunggunya sejak pagi.
Bab 19

Setelah melabuhkan diri di sofa ruang keluarga sekembalinya dari tempat kerja tadi, Engku Lokman terlena. Tidurnya begitu nyenyak sekali kerana tubuh yang letih akibat berjaga hampir semalaman untuk menyiapkan kerja. Sesedarnya dari lena, kelihatan kelibat Idayu berjalan terjengket-jengket terus ke bilik utiliti. Kelihatan pakaiannya basah lencun. Dalam kesamaran cahaya senja itu dia mengamati gadis yang tidak menyedari kehadirannya di situ. Dia bangun, mengikuti gadis itu untuk meminta Idayu menyediakan makan malam kerana perutnya terasa begitu lapar sekali. Sejak tengahari, dia belum makan dan terasa malas untuk keluar kerana hujan yang lebat sejak dari tadi. Tambahan lagi, keretanya masih lagi di bengkel kerana buat hal petang tadi dan tidak dapat disiapkan oleh mekanik akibat dari kerosakkan yang memerlukan alat ganti perlu dipesan dari pembekal.

Namun, apabila tiba di dapur lain pula jadinya. Niatnya untuk meminta Idayu menyediakan makanan mati begitu sahaja. Hatinya berdebar kencang bila melihatkan Idayu sedang menanggalkan pakaiannya di situ. Ah, dia memang tidak sedar akan kehadiran ku, getus hati Engku Lokman. Matanya terus memandang tanpa sepatah kata. Tersenyum sendiri bila melihat kenaifan gadis itu ketika itu. Hai, berani dia berbuat begitu sedangkan dia tidak tahu apa yang ada di dalam rumah ketika ini. Idayu... nama gadis itu meniti di sudut hatinya. Manis nama itu.

Memang sejak dari dia kembali ke mari tiga bulan yang lalu, dia tidak pernah mengambil tahu tentang gadis ini. Apatah lagi untuk bertegur sapa. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Mungkin kerana tiada apa yang hendak dibualkan, atau tiada apa yang menarik minatnya terhadap gadis ini. Teringat Engku Lokman dengan insiden yang berlaku kali pertama mereka bertemu. Tersenyum sendiri mengenangkan tingkah Idayu yang cukup menggelabah ketika itu. Sehinggakan gadis itu tidak sedar dalam keghairahannya ingin menutup aurat, hijab yang lain pula yang terbuka. Engku Lokman senyum lagi. Bukan Engku Lokman tidak pernah perasan dengan keayuan Idayu, tapi dirasakan bahawa apa yang ada pada gadis manis ini masih belum dapat memenuhi citarasa lelakinya. Terlalu pendiam, tak banyak cakap, nampak terlalu naif dan cepat menggelabah.

Ya, dia lebih sukakan wanita yang berkerjaya, berkeyakinan diri, periang dan dapat memeriahkan suasana hidupnya, selain dari anggun bergaya. Gadis ini pula terlalu sederhana, menyebabkan dia tidak nampak apa kelebihan yang ada pada gadis ini. Tambahan lagi gadis ini hanyalah jururawat peribadi nendanya. Mana mungkin dia ingin mendampingi gadis sepertinya.

Tapi, malam ini keayuan gadis ini begitu terserlah apabila tanpa disedari dia telah membuka hijabnya kepada mata lelaki ini. Tubuh tinggi lampai gadis ini bagaikan menggamit perasaan lelakinya. Rambutnya yang panjang ke paras pinggang, walaupun dalam keadaan basah, kelihatan cukup menggiurkan. Terasa ingin di larikan jari jemarinya di celah-celah helaian rambut itu. Kulit yang cerah itu, bagaikan bersinar dijamah cahaya lampu neon bilik utiliti menambahkan gelora di hati lelakinya. Dia mengetap bibirnya dan perlahan-lahan menghampiri gadis di hadapannya itu.

****

Selesai memasukkan pakaian basahnya ke dalam mesin basuh, Idayu berpaling untuk ke biliknya. Langkahnya terhenti apabila baru disedarinya satu susuk tubuh sasa berada di pintu masuk bilik utiliti. Terperanjat buka kepalang membuatkan perasaan gelabahnya terpamer di raut wajahnya yang ayu. Mulutnya bagaikan terkunci. Untuk bersuara pun dia tak mampu, apatah lagi untuk menjerit. Mata galak lelaki itu merenungnya nakal. Senyuman yang menguntumkan seribu makna di sebalik kumis dan jambangnya itu manggambarkan ada sesuatu yang tersirat dalam hatinya. Merah padam muka Idayu ketika itu akibat menanggung perasaan malu yang teramat sangat. Menyedari keadaannya auratnya yang sedang diratah mata galak lelaki itu, Idayu mengemaskan pegangannya pada kain tuala yang bagaikan tidak menyembunyikan apa-apa. Dagupan jantungnya jadi semakin kencang.

Engku Lokman perlahan-lahan menghampirinya tanpa sepatah kata. Tubuh Idayu mula menggeletar. Dia juga sedar bahawa hanya mereka berdua sahaja yang berada di dalam rumah besar itu. Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan, mengapa Engku Lokman menghampiriku, adakah dia ingin mengambil kesempatan ke atas diriku..., satu persatu persoalan berhambat di mindanya, menambahkan lagi kegelisahan di hatinya.
Mata Idayu memandang ke kiri dan ke kanan, mencari sesuatu yang boleh dijadikan senjata jika dia diserang. Matanya terpandang pada batang penyapu yang tersangkut di dinding sisi kirinya. Tapi, tak mungkin dapat dicapai kerana tubuh Engku Lokman sudah berada terlalu hampir dengannya, menghalang dia dari bergerak. Dia pasti, jika dia bergerak walau selangkah pun, tubuhnya akan bersentuhan dengan tubuh Engku Lokman.

Idayu jadi semakin takut. Tubuhnya semakin menggeletar. Apakan daya yang ada pada dirinya seandainya Engku Lokman bertindak melakukan sesuatu di luar batasan. Mampukan dia melawan tenaga lelaki yang ada di hadapannya ini. Ya Allah, berikan aku kekuatan....., getus hatinya yang semakin ketakutan.

“Eng ...engku....., sa.....saya...,” dia memberanikan diri untuk bersuara perlahan.

Tetapi, tidak tahu apa yang patut diperkatakannya. Matanya tidak lagi mampu untuk menatap wajah tampan lelaki di hadapannya, lantas dipejamkannya sambil menundukkan wajah. Jelas kedengaran perasaan takutnya di telinga Engku Lokman, menambahkah lagi keseronokan lelaki itu untuk mengusiknya. Airmata Idayu telah mula merembes keluar bergenang di tubir mata.

Dan, lelaki itu terus tersenyum nakal. Matanya tidak lepas dari merenung wajah manis Idayu. Ketakutan yang jelas tergambar di wajah bujur telur itu menambahkan lagi keayuannya. Jejari Engku Lokman perlahan menyentuh juntaian rambut di bahu Idayu yang masih lagi ada titisan air akibat hujan tadi. Dielusnya rambut yang basah itu dan dibawa ke bibirnya. Matanya tidak lepas dari terus memandang keindahan yang selalunya tersembunyi ini.

“Hem... wangi...,” bisiknya nakal.

Idayu dapat merasakan hembusan nafas lelaki ini ke mukanya. Airmata ketakutan yang tadinya bergenang di tubir mata, tak dapat dibandung lagi terus mengalir laju di pipinya. Otaknya ligat cuba untuk memikirkan apa yang patut dilakukannya. Buntu dengan keadaan itu Idayu terus memejamkan matanya. Lututnya yang lemah serasa seperti tidak lagi dapat menampung tubuhnya. Lantas dia bersandar pada mesin basuh pakaian yang berada di belakangnya. Ketakutan menghalangnya dari berfikir. Dia hanya ingatkan Allah ketika itu.

Jari jemari Engku Lokman beralih ke wajahnya. Dari pipi, ibu jari lelaki itu bergerak mengusap lembut bibir munggil Idayu yang menggeletar. Matanya galak memerhatikan ketakutan di wajah gadis ini. Bukan maksudnya untuk menakutkan gadis ini, tapi seronok rasanya dapat menyakat Idayu ketika itu. Ah... sungguh manis, kalaulah dia dapat memiliki tubuh lembut gadis ini, alangkah seronoknya.

Engku Lokman terus mendekatkan wajahnya ke wajah Idayu, berpura-pura untuk mencium gadis itu. Bila tiba pada jarak yang terlalu dekat, dia berhenti. Diangkatnya sedikit wajah Idayu. Mata Idayu masih terpejam rapat. Desah nafas yang turun naik serta tubuhnya yang menggeletar membuatkan timbul sedikit simpati di hati Engku Lokman terhadap gadis itu.

“Jangan sekali-kali keluar dari bilik awak macam ni.... Awak tak tahu apa yang saya boleh buat pada awak.... Tengok awak macam ni..... emm... seksi sangat....,” bisiknya lembut di telinga Idayu. Ada nada girang mengusik di dalam suaranya. Lantas sesaat, hanya sesaat, bagaikan angin lalu, bibirnya menyentuh lembut bibir Idayu.

Idayu teresak ketakutan. Jantungnya hampir pecah akibat ketakutan yang amat sangat. Dia terus memejamkan matanya. Nekad di hati, jika Engku Lokman masih meneruskan niatnya, dia akan menjerit, meronta dan melakukan apa saja untuk melepaskan diri. Airmatanya terus laju mengalir di pipi. Namun, seperti angin lalu juga, tiba-tiba dirasakan rambutnya dilepaskan.

“Sekarang..., baik awak pergi ke bilik awak... Kalau tidak....,” Engku Lokman tidak menghabiskan kata-katanya. Dan Idayu, tanpa memandang kepada lelaki itu, terus berlari sepantas mungkin. Lututnya yang tadi longlai, bagaikan didatangi satu kekuatan. Dia bagaikan dapat mendengar ketawa galak Engku Lokman.

Idayu merebahkan tubuhnya ke katil dengan hemburan airmatanya yang tidak dapat dibendung. Ah... lelaki ini bagaikan menghina aku, sanggup dia melakukan aku sebegitu, getus hatinya. Kenangan lima tahun lalu, ketika Hairi melakukan perkara yang hampir serupa kepadanya saat perpisahan melanda, kembali merenggut perasaannya. Ah.. kenapa dia membiarkan dirinya diperlakukan sebegini. Idayu menangis dan terus menangis.
Bab 18

Idayu mempercepatkan langkah kakinya. Walaupun badannya sudah basah lencun, dia terus juga berlari-lari anak melawan hujan lebat dan angin kencang. Dia mesti cepat sampai ke rumah majikannya. Azan Maghrib sudah lama berkumandang melalui corong radio dalam bas yang dinaiki tadi. Kesal di hati kerana tidak mengambil teksi untuk pulang dari hospital. Gara-gara nak jimat tambang, dia menaiki bas untuk pulang. Akibatnya dia terpaksa berjalan hampir 300 meter dari jalan besar ke rumah Mak Engku ini dalam keadaan hujai yang lebat membadai.

Blaus putih paras lutut dan seluar slack merah yang dipakainya sudah melekat pada tubuhnya. Keadaan yang agak gelap ketika itu membuatkan hatinya rasa berdebar. Bimbang kalau-kalau kepulangan yang selewat ini akan mendatangkan bahaya untuk dirinya. Maklumlah waktu lewat senja begini, kebanyakkan rumah di Taman Uda Murni itu sudah mula sunyi. Penghuninya sudah masuk ke rumah untuk menunaikan solat Maghrib. Tambahan lagi dengan cuaca yang buruk begini, sudah pastinya masing-masing tak mahu berada di luar rumah.

Terdetik di hatinya, kalaulah di waktu ini ada peragut yang memerhatikannya, nahaslah. Tapi, dengan hujan lebat begini, tak mungkin peragut sanggup berada di kawasan terbuka. Tambahan lagi kilat yang sabung menyabung amat menggerunkan siapa saja berada dalam keadaan begini. Dia berdoa di dalam hati agar dilindungi Allah dalam perjalanan yang singkat begini.

Akhirnya dia tiba di rumah majikannya dengan selamat. Bersyukur di hati kerana kelihatan kereta Engku Lokman tiada di perkarangan rumah. Sekurang-kurangnya tidak perlulah dia menghadapi cucu Engku Maryam yang sombong itu. Sememangnya Engku Lokman tidak tinggal bersama nendanya, tetapi ada ketikanya dia akan pulang bermalam di rumah itu.

Sudah seminggu kini Engku Maryam itu ditahan di hospital kerana perlu disuntik antibiotik mengikut masa yang ditetapkan akibat paru-paru berair. Sejak itu dia dan Mak Nab terpaksa bergilir-gilir menemankan Engku Maryam itu di hospital. Dan malam ini adalah giliran Mak Nab menemankan Engku Maryam di hospital. Petang tadi, Mak Nab tiba agak lewat kerana terpaksa mengambil teksi untuk ke hospital.

Biasanya Pak Mat, pemandu Engku Badrul yang mengambil dan menghantar mereka berdua ke hospital. Tapi, kebetulan hari ini Pak Mat, terpaksa menghantar Pn Khatijah ke Kuala Terengganu atas urusan keluarga. Engku Badrul pula tiada kerana ke Kuala Lumpur meninjau urusan syarikatnya di sana. Jadi, untuk tidak menyusahkan orang lain, mereka berulang alik ke hospital dengan teksi. Kebetulan pula, Engku Maryam pula buat hal petang tadi. Dia inginkan Idayu menyuapkannya bubur nasi yang dibawa oleh Mak Nab. Akibatnya hampir lewat petang barulah dia dapat meninggalkan hospital. Nasib baiklah bas yang ditunggunya tak lama tiba. Cuma, masalahnya bila hujan turun, perjalanan pulang itu jadi agak perlahan.

Suasana gelap senja menyambutnya apabila pintu utama dibuka. Melangkah masuk perlahan-lahan, titis-titis air yang membasahi pakaiannya menitis pula ke lantai sepanjang perjalanan Idayu dari pintu masuk ke bilik utiliti yang menempatkan mesin membasuh pakaian. Selalunya di situ ada kain tuala bersih. Jadi tidak perlulah dia terus ke bilik tidurnya. Nanti habis pulak basah satu rumah akibat dari titisan air dari pakaiannya.

Dia mula membuka tudung kepala yang menutupi rambutnya yang panjang separas pinggang itu dan memasukkannya terus ke dalam mesin basuh. Dia mencapai tuala bersih yang sedia terlipat dan tersusun kemas dalam bilik utiliti tersebut. Memang biasanya Mak Nab akan terus melipat kain-kain yang siap dicuci di situ dan kemudian barulah dihantar ke bilik-bilik majikannya.

“Ah, tanggal baju di sini ajelah.... Mana ada orang lain sekarang ni. Aku seorang aje yang ada di rumah besar ni...,” rungut Idayu sendiri.

Biasanya dia tidak pernah keluar dari biliknya tanpa menyarungkan tudung kepalanya jika anak cucu Engku Maryam balik mengunjungi Engku Maryam itu. Dia masih tau di mana batas auratnya dan siapa mahramnya. Lebih-lebih lagi jika Engku Lokman dan Engku Badrul ada. Memanglah dia tahu, Engku Lokman tidak pernah pun ambil tahu tentang dirinya. Kalau setakat memandang tanpa apa-apa perasaan tu biasalah. Idayu sedar siapa dirinya, hanya orang gaji yang bekerja untuk majikannya. Jika ditanya barulah menjawab dan jika ada masalah barulah bersuara. Yang pastinya dia bukan orang yang penting dalam rumah besar itu. Namun, aurat tetap aurat dan ianya perlu dijaga sebaik mungkin.

Kain tuala bersih dibalutkan ke tubuhnya yang tinggi lampai dan satu persatu pakaiannya yang basah dilurutkan. Dia perlu mandi untuk membersihkan tubuhnya. Tak mau dia terkena selsema pulak nanti. Susahlah nanti dengan keadaan kesihatan Engku Maryam yang masih belum pulih sepenuhnya. Dia tidak mahu kesihatannya pulak yang terganggu dan tidak dapat menemani Engku Maryam itu di hospital.

Keasyikkannya menyebabkan Idayu tidak sedar perlakuannya diperhatikan oleh sepasang mata dari dalam gelap senja itu. Hanya lampu bilik utiliti sahaja yang terpasang ketika itu, menyerlahkan lagi bentuk tubuhnya yang hanya dibaluti kain tuala separas lutut. Lelaki itu melangkah perlahan ke arahnya. Matanya tidak lepas dari memandang tubuh tinggi lampai gadis di hadapannya. Tidak disangka-sangka di sebalik tudung dan pakaian longgar yang selalu dipakai oleh gadis itu, tersembunyi satu keindahan yang begitu mengasyikkan. Tidak sia-sia dia menumpang kereta Hassan yang tinggal berhampiran dengan rumah nendanya ini untuk pulang ke sini, setelah keretanya buat hal petang tadi.
Bab 17

Satu persatu Idayu menyuapkan bubur kacang ke mulut Mak Engku. Tersenyum sendiri bila mengenangkan sikap manja majikannya ini terhadapnya. Biasalah, bila seseorang sudah meningkat usianya ke usia emas, selalu sikapnya akan kembali seperti anak-anak kecil. Makan minta disuap, mandi minta ditemankan. Apa tah lagi dengan tugas-tugas yang lebih perlu. Ubat perlu diberikan mengikut waktu. Tempat tidur perlu ditukar cadarnya setiap selang dua hari. Penyakit kencing manisnya juga perlu dipantau selalu. Jika perlu, insulin perlu disuntik mengikut dos yang ditetapkan oleh doktor yang datang melawatnya setiap minggu. Tanpa banyak kerenah, Mak Engku pasti akan memberikan kerjasama apabila semua tugas itu ingin dilaksanakan.

Walaupun menghidapi penyakit kencing manis, Mak Engku masih tetap lagi menggemari makanan yang manis-manis. Selalu juga Idayu menegur tentang kegemarannya yang boleh mengganggu kesihatan itu dan seperti biasa, jawapannya:

“Mak Engku dah tua Ayu, sebelum tutup mata ni, biarlah Mak Engku makan. Bukan banyak pun,” kedegilannya terserlah ketika itu.

Sememangnya Mak Engku tak makan banyak. Paling banyak pun lima sudu, sudah dikatakan kenyang. Yang akan dipaksanya menghabiskan makanan itu nanti, Mak Nab dan dirinya. Kalau nak dibeli, Engku Maryam itu tak mahu. Tak sesedap yang dimasak sendiri, katanya. Terpaksalah Mak Nab memasak juadah yang diminta walaupun sedikit. Dan ada waktunya, makanan itu menjadi rezeki Abang Yaakob sekeluarga, pengawal keselamatan di rumah besar itu.

“Makanan untuk malam ni dah siap ke Ayu,” pertanyaan Engku Maryam mengejutkan Idayu dari lamunannya.

“Tu, Mak Nab tengah masak lah tu...,” jawab Idayu dengan senyum meniti bibir mulusnya.

“Lokman balik nanti mesti dia suka, dapat makan makanan kegemarannya. Esok suruh Nab buat roti jala dengn kuzi ayam pulak ye...,”

“Ye Mak Engku.... nanti Ayu beritau Mak Nab ,”

Hai makanan untuk pagi esok pun dah dirancangkannya. Betullah Mak Engku ni seronok sangat nak terima kepulangan cucu kesayangan. Kalau dengan Engku Aref dan Engku Farida anak Puan Khatijah, taklah pulak begini seronoknya Engku Maryam ni menunggu. Yelah, cucuanda yang berdua itu, balik tiap-tiap minggu. Cucuanda yang ni pulak, agaknya kalau tak Hari Raya tak balik agaknya, hati Idayu menduga sendiri. Malah, selama tiga bulan dia bekerja di rumah besar ini, tidak pernah Engku Lokman pulang menemui nendanya.

“Bila kali terakhir .... Engku Lokman balik Mak Engku?”

Engku Maryam itu mengerutkan keningnya, cuba mengingati bila kali terakhir cucuandanya itu balik.

“Entah lah... tak ingatlah Mak Engku. Dah lama dia tak balik. Tahun lepas agaknya...” Rungut Engku Maryam dengan nada sedih.

“Mana ada... engku bonda ni...., baru je tiga bulan lepas Man balik kan?”

Suara garau yang bergema dari pintu bilik Engku Maryam mengejutkan Idayu yang sedang duduk membelakangkan pintu. Tubuhnya terus jadi kaku, hatinya lantas berdebar-debar. Suara siapakah itu? Tak berani untuk berpaling. Dia yang ketika itu tidak menutup aurat, terus jadi tidak keruan. Selalunya pun ketika bersama Engku Maryam dan Mak Nab di rumah ini, dia tidak mengenakan tudung di kepala. Namun kehadiran mengejut lelaki bersuara garau ini cukup-cukup memeranjatkannya.

Dalam kekalutannya itu dia terus meletakkan mangkuk bubur kacang di atas meja sisi di tepi sofa yang diduduki oleh Engku Maryam dan berlari masuk ke biliknya yang terletak bersebelahan dengan bilik Engku Maryam. Melintasi lelaki itu, Idayu tak berani untuk mengangkat muka. Pintu biliknya yang bersambung dengan bilik Engku Maryam ditutup dengan kuat. Setelah berada di biliknya itu, barulah akal menguasai hatinya yang bertindak di luar fikiran sebentar tadi. Malu membaluti hati ketika ini.

Alamak, apa yang aku dah buat ni? Marahkah nanti Mak Engku pada ku dengan perlakuan kalutku ini. Gema suara garau lelaki itu menggelakkannya menambah lagi rasa malunya. Idayu jadi serba salah. Apa yang patut dilakukannya sekarang? Memakai tudung di kepala, kembali ke bilik Engku Maryam dan berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku atau terus duduk di dalam bilik ini sehingga dia dipanggil? Atau bagaimana? Ah... buntu dibuatnya.

Semalam katanya akan datang untuk makan malam. Tapi kenapa waktu begini, jam 5.30 petang sudah muncul dengan tiba-tiba. Mak Nab pun satu, tak bagi sikitpun warning tentang kehadiran tetamu ini. Tetamu? Hei Idayu, tak sedar diri ke? Dia tu tuan rumahlah.... bukannya tetamu. Hatinya berbicara sendiri. Pintu biliknya tiba-tiba diketuk, bergema menyentap tangkai hatinya.

“Saudari.... nenda aku panggil..,” meleret suara garau itu menyapanya dari balik pintu. Terkaku Idayu, tak mampu untuk berkata-kata.

“Saudari....,”

“A...ia...ia...saya datang...,” tersekat-sekat suaranya. Cepat-cepat dia menyanggul
rambutnya yang dilepaskan terurai sebentar tadi dan mengenakan tudung di kepala. Dengan teragak-agak dia memusingkan tombol pintu. Menarik nafas perlahan-lahan, pintu dikuak.

Idayu melangkah kembali ke dalam bilik Engku Maryam dengan debaran di dada. Jantungnya bagaikan gendang yang sedang dipalu. Kelihatan di ekor matanya lelaki yang bertubuh sasa, dengan ketinggian hampir enam kaki itu berdiri di sisi sofa tempat duduk Engku Maryam. Berdekatan dengan tempat dia duduk sebentar tadi. Kelihatan lelaki itu sedang tertunduk dan matanya merenung ke lantai di sisi sofa.

Tanpa memandang ke wajah lelaki itu, mata Idayu turut memandang pada tumpahan bubur kacang di atas lantai. Alamak, bubur tu tumpah. Dalam kalutnya tadi mungkin dia tersalah meletakkan mangkuk bubur itu dan menyebabkan ia jatuh ke lantai. Ah... malunya.

“Huh... ingatkan dah pengsan tadi... bukan main laju aje larinya. Ingatkan saya ni hantu ke...,” lirih suara itu merenggut tangkai hatinya. Dia disindir lelaki ini.

Idayu memejamkan matanya sambil menelan air liur. Dia menahan nafas sambil mengetap bibirnya. Bersedia untuk dimarahi samada oleh Engku Maryam maupun Engku Lokman.

“Kenapa ni Ayu?” kedengaran suara Mak Engku menyapanya. Tiada nada marah di situ.

Mata Idayu perlahan-lahan beralih menatap wajah Engku Maryam. Juga tiada riak marah di situ. Cuma, kelihatan Engku Maryam tersenyum lucu melihatkan gelagat Idayu yang begitu kalut. Perlahan dia melepaskan nafas. Hatinya terasa lega melihatkan reaksi Engku Maryam itu.

“Maaf... Ayu ... tak pakai tudung tadi...,” jawab Idayu ditujukan kepada Engku Maryam.

“Tak apa... nanti bersihkan ye...,” pujuk Engku Maryam.

Idayu menjeling sekilas pada lelaki yang masih bediri di tepi sofa Engku Maryam. Macamana nak dibersihkan kalau dia terus tercegat di situ. Dia tahu, mata lelaki itu sedang tertancap ke wajahnya. Marahkah dia? Cepat-cepat Idayu mencapai tuala kecil dan berlutut untuk mengelap sisa-sisa bubur yang tumpah. Sepantas itu juga lelaki itu berundur.

“Hei budak ni... menggelabah tak tentu pasal pulak dah....,” kedengaran suara garau itu mengeluh.

“A...a... maaf..,” ucap Idayu perlahan.

Dia kini melutut di tepi katil sambil tangannya menyapu sisa bubur kacang yang bertaburan di situ. Tidak sedar yang dia sebenarnya berada dalam keadaan seolah-olah merangkak, mempamerkan susuk tubuhnya yang langsing kepada lelaki ini. Baju kurung dari kain lembut yang dipakainya melurut menuruti tubuhnya yang kelihatan begitu menggiurkan di mata lelaki itu pada kedudukan sebegini. Sekilas senyum nakal melintasi bibir Engku Lokman.

Nak tutup rambut kononnya, at last, pemandangan yang lebih menarik dia sajikan kepada aku, detik hati Engku Lokman. Ingin disuarakan kata-kata itu, tetapi akhirnya dia mengambil keputusan untuk mendiamkan sahaja. Bimbang apa pula perlakuan kalut gadis ini jika dia tahu pada kedudukan begini dia kelihatan cukup menggiurkan. Engku Lokman menjilat bibirnya yang terus tersenyum nakal di sebalik kumis dan jambangnya yang kemas menghiasi wajah tenangnya ketika itu. Bagaikan masih dapat dihidunya wangian dari rambut Idayu ketika gadis itu berlari melepasinya dalam kekalutan untuk menutup auratnya. Dan rambut yang panjang mengurai itu, bagaikan melambai-lambai mengocak naluri lelakinya yang tenang sebelum ini.

“Lokman....,” lirih Engku Maryam.

Gelagat nakal cucundanya itu tidak lepas dari pandangan mata tuanya yang sudah sedikit kabur.
Bab 16

Tiga bulan berada di rumah Engku Maryam adalah masa yang paling membahagiakan dalam hidup Idayu. Dia yakin, jika dia terpaksa menghabiskan sisa hidupnya dengan Engku Maryam seperti Mak Nab, dia sanggup berbuat begitu. Di sini hidupnya aman, tidak perlu menghadapi situasi yang meresahkan. Tiada sesiapa yang ambil tahu tentang masa silamnya. Rahsia dirinya masih tersimpan kejap. Mak Nab ada juga menyelidik, ingin memperkenalkan kepada seseorang katanya, berkenan dengan sikap Idayu yang menyenangkan hatinya. Tapi pelawaan Mak Nab itu hanya disambut oleh Idayu dengan gurauan.

“Janganlah Mak Nab..., Ayu baru aje kerja. Tak kan lah nak suruh Ayu kahwin pulak. Nanti, siapa nak jaga Mak Engku.... kesian pulak dia... Selama ni dia sentiasa bersedih. Tapi, sejak akhir akhir ni dia happy sangat nampaknya. Senyum aje selalu. Kesihatan dia pun nampak makin baik...,” gurau Idayu satu hari bila Mak Nab sekali lagi memberitahu rasa berkenannya dengan sikap lembut Idayu.

“Kalau macam tu Ayu kahwinlah dengan Engku Badrul. Jadi bini nombor dua dia, bolehlah jaga mak mertua...,” kata Mak Nab sambil ketawa.

“Alah Mak Nab ni... orang tua... tak nak lah...,”

“Tua-tua pun, masih handsome lagi kan? Apa salahnya. Dia tu kaya, mampu nak kahwin lebih dari satu,”

Sepintas wajah Engku Badrul yang masih kacak di usia awal enam puluhan itu menerjah mindanya. Dan sedetik itu juga wajah lembut tapi serius Puan Khatijah bermain di matanya. Tersenyum sendiri dengan gurauan Mak Nab. Nak mati.....?

“Hem... apa kata Mak Nab aje yang kahwin dengan dia?” kata Idayu sambil ketawa.

“Hah... dengan Mak Nab? Engku Maryam macam kita ni siapalah yang nak...? Kalau dengan Ayu, mungkin dia terliur jugak. Muda, manja...,”

Kata-kata Mak Nab mengundang tawa di bibir Idayu. Geli hatinya mendengarkan kata-kata Mak Nab. Ah, mana mungkin.

“Kalau tak nak, kahwin aje dengan Engku Lokman, dia pun dah nak balik ke sini jugak.
Kata Puan Khatijah, minggu depan dia akan balik dan terus menetap di Kota Bharu ni. Nak bantu uruskan syarikat Engku Badrul kat sini katanya.

“Ia ke... bagus lah tu... dekat dengan keluarga, dekat dengan nendanya... tentu Mak Engku gembira kan Mak Nab?”

“Mestilah.... sejak Puan Khatijah beritahu semalam, senyum memanjang Engku Maryam tu..., Ayu pun, tentu seronok nak jumpa anak lelaki majikan sendiri kan.... asyik dok dengar cerita aje.... sekarang bolehlah tengok sendiri macamana orangnya kan...?”

“Aah ye Mak Nab, handsome ke orangnya...,?” Idayu bergurau lagi. seronok rasanya menggiat Mak Nab yang kelihatan begitu teruja dengan topik yang diperbualkan, ‘match making’.

“Mestilah handsome.... kerabat dirajalah katakan. Kulit putih melepak, badan tinggi, tegap sasa, muka ....apa orang kata tu.... macho....,”

“Hem... pandailah Mak Nab...mana belajar perkataan macho ni...?” gelak Idayu bagaikan lagu riang.

“Ia.... itulah yang Hidayah selalu sebut..., Mak Nab tiru cakap dia aje...,”
Idayu menghabiskan gelaknya yang masih bersisa.

“Tapi kan.... Mak Nab tak berapa suka lah dengan perangai dia,” Tiba-tiba wajah Mak Nab menjadi serius.

“Kenapa Mak Nab?”

“Nak kata sombong tu taklah. .... Cuma, liar sikit. Suka berfoya-foya.... orang senanglah katakan.... handsome pulak tu.... petik jari, berlari anak dara dan janda yang datang nak menggoda. Entah-entahkan.. bini orang pun nak datang mencuba agaknya....,” kata-kata itu diperlahankan sedikit. Bimbang didengari oleh majikannya. Ketawa Idayu kembali pecah bila melihatkan gelagat Mak Nab.

“Ayu tak nak cuba...?”

“Alah Mak Nab ni.... janganlah buat Idayu berangan pulak. Kita ni pipit, mana layak nak terbang dengan enggangkan....,”

Dengan ketawa yang masih bersisa, Idayu angkat punggung. Mencapai dulang minuman petang Mak Engku. “Dahlah mengarut tu Mak Nab, Ayu nak bawa minuman petang Mak Engku ni. Nanti kalau dah sejuk air ni, tak sedap pulak Mak Engku nak minum,” katanya sambil berlalu, diikuti oleh ekor mata Mak Nab.

Gelak tawa Idayu mendamaikan jiwa Mak Nab. Tiga bulan berada di sini Mak Nab merasa cukup menyayangi gadis ini. Mungkin kerana kehadirannya mengingatkan Mak Nab pada anaknya Hidayah. Idayu seorang yang cukup perahsia orangnya. Tapi, dia mudah diajak bermesra. Satu sikap yang sudah cukup untuk menjadikan dia amat digemari oleh Mak Engku. Mak Nab belum pernah lagi melihat Mak Engku suka pada sesiapa pun selama ini. Tetapi sikap lembut, mesra dan mendamaikan yang ada pada Idayu ternyata telah menghangatkan kedinginan di hati Mak Engku.

Mak Nab tersenyum sendiri bila mengingatkan bagamana Mak Engku begitu bergantung harap pada Idayu. Makan minum, nak Idayu yang suapkan. Lenanya, nak Idayu yang temankan. Mandi dan berwuduk, nak Idayu yang membantu. Sembahyang, ada ketikanya mahu Idayu yang imamkan. Dan tadarus Al-Quran, nak Idayu yang temankan. Gadis ini ternyata sudah mendapat tempat di hati Engku Maryam.

****

Idayu mengetuk pintu bilik Mak Engku. Kelihatannya dia sudah selesai menunaikan sembahyang Asar. Selalunya Idayu yang mengimamkan solat mereka, tetapi, memandangkan ketika ini dia sedang dalam keuzuran, sengaja ditinggalkan Engku Maryam itu tadi untuk menunaikan solat sendirian. Lantas mengambil kesempatan itu untuk bermesra dengan Mak Nab.

“Mak Engku dah siap...? Mari kita minum petang..,” sapanya mesra pada Engku Maryam yang sedang di atas sejadahnya yang dibentangkan di atas katil. Engku Maryam bersolat sambil duduk kerana sudah tidak larat lagi untuk bersolat sambil berdiri. Sememangnya solat itu menjadi tuntutan ke atas setiap umat yang menggelarkan dirinya Islam. Waima sedang sakit sekali pun, jika termampu, wajib dilakukan sama ada secara duduk mahu pun secara berbaring.

“Ayu pergi mana tadi? Dah lama Mak Engku siap, nak baca Quran, Ayu pulak tak boleh. Mak Engku takut tersalah baca nanti, kalau Ayu tak temankan. Mata tua ni bukannya boleh diharap lagi,” rengek Engku Maryam perlahan dengan suaranya yang tersekat-sekat.

Hem... nak bermanjalah tu... detik hati Idayu. Tapi dia senang dengan sikap Engku Maryam. Terhibur juga rasa di hati. Menurut Mak Nab suara Engku Maryam satu ketika dulu memang tidak difahami langsung akibat tidak mampu mengawal otot di bahagian mulutnya selepas diserang angin akhmar. Tapi, setelah menjalani terapi, dan urutan sejak setahun lalu, terdapat peningkatan dalam cara dia bertutur. Kini, suaranya dengan mudah dapat difahami oleh orang di sekelilingnya, walaupun masih lagi kedengaran pelatnya.

“Ni, ambil minuman petang Mak Engku. Mak Engku nak makan kat mana? Kat sini ke atau kita pergi tepi kolam ikan?” mesra Idayu memberikan cadangan.

“Hah... tepi kolam lah... boleh tengok Ayu bagi ikan makan,”

“Kejap ye Mak Engku, nanti Ayu panggilkan Mak Nab untuk bawa dulang ni keluar,”

“Ajak sekali Mak Nab minum sama. Seronok sikit minum ramai-ramai,” ujar Engku Maryam perlahan-lahan.

“Baik Mak Engku... Ayu pergi dulu ye...,” Idayu berlalu selepas mendapat izin dari majikannya.

Minum petang itu dimeriahkan lagi dengan khabar gembira yang dibawa oleh Engku Badrul dan Puan Khatijah yang datang bertandang sekembali mereka dari tempat kerja masing-masing. Engku Lokman akan pulang esok. Kepulangannya dipercepatkan kerana semua tugasnya di Kuala Lumpur telah dapat diselesaikan lebih awal dari yang dijangkakan. Perkhabaran ini diterima dengan hati yang cukup gembira oleh Engku Maryam.

“Alhamdulillah, balik jugak dia ke sini. Ingatkan dah tak nak lagi balik tinggal kat sini. Maklumlah, apalah Kota Bharu ni nak dibandingkan dengan KL tu,”

“Itupun saya dah puas pujuk dia Engku Bonda...,” kata Engku Badrul kepada bondanya.

Idayu yang sedang menyuapkan kuih lompat tikam ke mulut bondanya ditatap dengan senyuman. Gadis itu membalas senyuman itu dengan penuh sopan. Gembira sekali Engku Badrul melihatkan perubahan yang begitu ketara pada bondanya ini. Dia yakin perubahan ini adalah kerana hadirnya Idayu dalam rumah besar ini. Baru sahaja dalam perjalanan tadi dia membincangkan perkara ini dengan isterinya. Kehadiran gadis ini bagaikan membawa sinar harapan kepada bondanya. Dan ada ketikanya hatinya sedikit bimbang sekiranya gadis ini mendapat tawaran bekerja di tempat lain. Pasti hati bondanya akan bersedih. Berkira-kira di hati, jika benar saat itu akan tiba, dia akan pastikan Idayu tidak akan meninggalkan rumah ini. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mengekalkan gadis ini di rumahnya, demi untuk memastikan bondanya bahagia dalam menghabiskan sisa-sisa hidupnya itu.

“Malam esok, kami akan makan malam kat sini. Mak Nab masak sedap-sedap ye,” kata Puan Khatijah kepada Mak Nab yang kebetulan sedang mendekati mereka dengan menatang dulang minuman petang yang dikhaskan untuk dia dan suaminya.

Matanya dapat menangkap renungan mata suaminya kepada Idayu sebentar tadi. Hai, janganlah Abang Engku terpikat dengan gadis ini pulak nanti, detik hatinya. Lantas dia mencuit lengan suaminya sambil tersenyum manja. Menyedari keterlanjurannya Idayu memalingkan muka. Dan Engku Badrul pula tertawa bahagia melihatkan isterinya cemburu. Menggelabah seketika Idayu dibuatnya. Bimbang perlakuannya akan dimarahi oleh Puan Khatijah, cepat-cepat dia meminta diri untuk masuk ke dalam.

Di saat itu hatinya digaru resah. Bimbang kehadirannya boleh mengganggu kebahagiaan orang lain. Idayu tekad, kehadirannya tidak sekali-kali akan dibiarkan mengganggu kebahagiaan orang. Dia tahu batasannya. Dia tahu siapa dirinya dan dia tidak mahu itu dijadikan alasan sehinggakan dia diberhentikan kerja. Dia suka dengan kerjanya sekarang. Di sini rahsia hidupnya boleh disimpan rapi. Dia lebih tenang di sini. Dan jika boleh dia sama sekali tidak mahu ketenangan itu dikocak.
Bab 15

Hari yang dijanjikan tiba. Idayu tiba di stesen bas Kota Bharu tepat pada masa yang dijanjikan. Puan Khatijah mengambilnya di situ dan terus membawanya ke rumah besar milik majikannya di Taman Uda Murni. Setibanya di situ, terpegun seketika melihatkan kemewahan rumah majikannya. Menurut Puan Khatijah, hanya Engku Maryam dan pembantu rumahnya Mak Nab sahaja yang tinggal di rumah tersebut. Dia dan keluarganya, tinggal di rumah mereka sendiri di kawasan yang berdekatan.

Hai, rumah sebesar ini hanya dua orang sahaja yang tinggal? Terdetik hairan di hati Idayu. Teringatkan penduduk di kampung sendiri. Ada setengah mereka berkongsi tinggal dengan anak-anak yang seramai sepuluh orang di rumah yang lima kali lebih kecil dari rumah ini. Setengahnya pula ada yang berkongsi dengan anak-anak, cucu dan cicit di rumah yang sama. Sungguh jauh perbezaan antara cara hidup orang kaya dengan orang miskin yang biasa dan sederhana. Namun, Idayu yakin mereka lebih bahagia dibandingkan dengan hati majikannya itu. Bersendirian sepi di rumah yang tersergam indah ini.

“Silakan masuk Cik Idayu,” sapa seorang wanita yang kelihatan lebih tua dari Puan Khatijah, pembantu rumah besar itu agaknya. Idayu menghadiahkan sebuah senyuman yang cukup tulus untuk wanita yang kelihatan baik itu. Lantas dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan wanita separuh abad itu.

“Panggil saya Ayu aje mak cik....,”

“Ini Mak Nab, pembantu rumah ni. Dialah yang temankan Mak Engku di rumah ni...,”

Puan Khatijah memperkenalkan mereka. Mak Nab membalas huluran tangan Idayu.
Menurut Puan Khatijah, sejak jururawat tetap yang lepas berhenti, Engku Maryam dijaga oleh Mak Nab, pembantu rumahnya di siang hari. Di waktu malam pula, seorang jururawat peribadi sambilan akan datang untuk bertugas mula jam enam petang sehinggalah ke pukul 6.00 keesokkan paginya. Mak Nab pula tidak tinggal di dalam rumah ini. Untuknya telah disediakan sebuah rumah kecil di belakang rumah besar ini oleh Engku Badrul.

Agak terharu Idayu mendengarkan situasi tersebut. Engku Maryam keseorangan rupa-rupanya. Tak punya anak ramai, cuma Engku Badrul, suami Puan Khatijah sahajalah anaknya yang masih hidup. Cucunya yang sulung, bekerja di Kuala Lumpur menguruskan syarikat import eksport milik keluarga dan dua lagi, masih kecil. Baru bersekolah di tingkatan dua dan tahun enam.

Apabila diperkenalkan dengan Engku Maryam, hatinya berdebar kencang. Terselit rasa sayu di hati melihatkan kehidupan majikannya yang sepi ini. Punya harta berjuta, kekayaan tidak terhingga, tetapi hanya ditemani oleh seorang pembantu rumah. Patutlah kalau dia menjadi seorang yang cukup cerewet. Apabila salam dihulur dan bersambut, Idayu dapat merasakan penolakkan Engku Maryam terhadap dirinya. Engku Maryam yang dipanggil Mak Engku oleh Mak Nab, hanya mengangguk kepala kepadanya tanpa senyuman. Agak sedih dengan penerimaan terhadap dirinya yang dingin itu. Tetapi disingkar cepat-cepat perasaan itu. Tidak mahu ada prasangka buruk terhadap Engku Maryam ini. Idayu faham perasaan yang dialami oleh Engku Maryam ketika ini.

“Cik Idayu jangan kecil hati dengan Mak Engku ye, dia memang macam tu. Tapi, hati dia baik. Kalau tak, tak kan lah Mak Nab boleh kerja lama kat sini. Cuma, kita kena tahanlah sikit dengan perangai dia tu,” luah Mak Nab selepas Puan Khatijah berlalu pergi meninggalkan dia dan Mak Nab petang itu. Engku Maryam pula ketika itu sedang berehat dibiliknya.

“Dah lama ke Mak Nab kerja kat sini?”

“Dah dekat sepuluh tahun. Masa tu Mak Nab dengan anak tak tau mana nak pergi lepas suami Mak Nab meninggal. Kami merempatlah ke sini. Mak Engku ambik Mak Nab kerja kat sini. Sekarang ni anak Mak Nab, Hidayah tu tengah belajar kat UPSI. Dah banyak jasa Engku Maryam tu pada kami. Jadi, Mak Nab terus tinggal kat sini. Insyaallah, selagi diperlukan, Mak Nab akan terus kerja kat sini. Tak susahpun sebenarnya. Temankan dia, jaga makan pakai dia,” cerita Mak Nab panjang lebar. Di wajahnya tergambar rasa hormat pada Engku Maryam.

“Kenapa Puan Khatijah dan suaminya, .... a.. apa namanya tadi?”

“Engku Badrul...,”

“A.. ya, Engku Badrul, tak tinggal kat sini Mak Nab?”

“Mak Engku tu cerewet orangnya. Dia tu tak suka sangat dengan Puan Khatijah. Puan Khatijah tu baik, cuma dia jenis yang tak mesra orangnya. Mak Engku selalu bandingkan dia dengan isteri Engku Badrul yang pertama dulu,”

“Oh... ada dua isteri...,”

“Tak, arwah Puan Sarah, isteri pertama Engku Badrul, dah meninggal lebih kurang duapuluh tahun dulu, anak sulungnya Engku Lokman, yang dok kat KL tu, anak Engku Badrul dengan Puan Sarah. Dah 33 tahun umurnya. Bila Pn Sarah meninggal, Engku Badrul sedih sangat dan hantar Engku Lokman ke England, belajar kat sana,”

“Masa tu umur dia berapa Mak Nab?”

“Katanya dalam duabelas tahun, Mak Nab pun kurang pasti,”

“Sekecil tu dah berpisah dengan keluarga ye Mak Nab,”

“Emm, lepas lima tahun Puan Sarah meninggal barulah Engku Badrul kahwin dengan Puan Khatijah. Engku Lokman tak rapat sangat dengan Puan Khatijah sebab selama ni dia duduk di England. Baru aje tahun lepas balik ke Malaysia. Itupun selepas dipaksa oleh ayahandanya. Dulu, kalau sesekali balik ke Kelantan ni, dia menginap kat sini. Tapi, sejak dia beli kondo kat Kota Seri Mutiara tu, dia dah jarang bermalam kat sini...,”

Idayu diam, dia dapat menyelami kesepian yang dirasakan oleh Engku Maryam tatkala mendengar sedikit kisah keluarga kerabat diraja ini. Sayu hatinya tertumpah pada majikannya.

“Cik Idayu...,”

“Eh... Mak Nab, tadikan saya minta panggil Ayu aje. Tak suka lah kalau bercik...cik ni..., tak mesra..,” kata Idayu sambil tersenyum. Cuba menyuntik sedikit kemesraan dalam suasana yang agak tegang ini.

“Selalunya Mak Nab buat apa masa Mak Engku rehat macam ni?”

“Buat kerja rumahlah.... kalau dia sedar, temankan dia bercakap. Mak Engku suka bercakap, cerita masa dia muda-muda dulu, masa dia kahwin, masa tiga dari anak-anaknya meninggal, hinggalah sampai tinggal Engku Badrul seorang saja yang masih hidup. Nanti dengan Ayu, mesti dia akan bercerita jugak. Kalau nanti Ayu bosan dengar, cubalah buat-buat tak bosan. Sebab hatinya kena dijaga. Kalau tak, bila dia merajuk ke... mengamuk ke... susah...,” kata Mak Nab sambil tersenyum. Idayu turut tersenyum melihatkan cara Mak Nab bercerita. Cukup bersunguh-sungguh.

“Selalu ke dia mengamuk... merajuk ni Mak Nab...,?”

“Aah... boleh katakan tiap-tiap hari. Dia bosan sebenarnya. Asyik duduk aje terperap kat rumah,”

“Nanti, kalau Ayu bawak dia berjalan keliling taman perumahan ni, waktu pagi ke, petang ke... dia suka tak Mak Nab?”

“Hai... mesti dia suka... ada orang yang nak layan dia. Kadang-kadang Mak Nab ada jugak bawa dia berjalan-jalan. Tapi, tak selalu. Kalau pagi tu mesti tak sempat sebab banyak kerja rumah nak dibuat. Mak Engku ta suka rumahnya berdebu. Jadi, hari-hari kena bersihkan habuk, lap mana-mana patut. Ayu dah ada ni, boleh lah layan dia, bawa berjalan-jalan..,”

“Ok, nanti, Ayu minta izin dengan Puan Khatijah. Tak mau nanti dia kata Ayu ni memandai-mandai pulak...,” kata Idayu sambil senyum singgah di bibir.

Mak Nab menatap wajah lembut gadis ini. Pada awal pertemuan tadi, dilihatnya gadis ini agak dingin orangnya. Tapi sekarang dengan senyuman manisnya, hati Mak Nab jadi sedikit lega. Sekurang-kuranya hilanglah sepinya nanti bila ada teman untuk berbual. Lembut dan manis orangnya, sejuk mata memandang wajah yang tenang itu. Harap-harap dia mampu mengambil hati Engku Maryam dan mengembalikan sedikit keriangan di hatinya. Harap-harap dapatlah gadis ini menghilangkan kebosanan dalam hati tua yang sedang menghabiskan sisa-sisa hidupnya itu.
Bab 14

“Cik Idayu yakin ke nak kerja kat rumah Mak Engku ni...?”

Wanita itu mengulang lagi pertanyaan tersebut. Dengan penuh yakin Idayu mengangguk lagi. Terasa agak pelik di hati wanita pertengahan umur itu dengan kesanggupan gadis ini menerima jawatan yang ditawarkan. Jarang ada gadis semuda ini yang datang untuk ditemuduga bagi jawatan begini. Gadis semuda ini selalunya tidak gemar untuk bekerja di rumah orang, walaupun gaji yang diberikan setimpal dengan kelulusan yang mereka ada dan setaraf dengan gaji mereka yang bekerja di hospital kerajaan.

Sememangnya suaminya, Engku Badrul telah berpesan supaya jururawat peribadi bondanya perlu diberikan gaji setimpal dengan kelulusan mereka walaupun mereka hanya bekerja di rumah Engku Maryam. Mereka lebih dari mampu untuk mengambil seorang jururawat peribadi untuk tinggal bersama ibu mereka yang telah uzur itu. Namun, selama ini tawaran gaji yang agak lumayan ini sering tidak mendapat perhatian gadis-gadis muda. Kalau yang ada datang memohon, selalunya yang tidak punya apa-apa kelulusan.
Engku Maryam merupakan bekas pesakit angin ahmar dan memerlukan perhatian yang lebih. Sebagai menantu Puan Khatijah tidak mampu untuk berbuat demikian kerana sibuk dengan tugasnya sebagai penyelia beberapa buah tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak di sekitar beberapa taman perumahan di bandar Kota Bharu ini. Dia tidak mampu untuk menjaga ibu mertuanya yang cukup cerewet itu. Tak pasti di mana puncanya, ada saja salahnya di mata Engku Maryam. Namun dia terus mendiamkan sahaja perkara ini. Dapat dirasakan suaminya juga sedar tentang perkara ini tetapi, dia
turut sama mendiamkan diri..

Puan Khatijah sedar, kedinginan Engku Maryam terhadapnya bermula apabila dia dan Engku Badrul berpindah ke rumah mereka sendiri sejak lima tahun yang lalu. Engku Maryam memang enggan melepaskan anak, menantu dan cucu-cucunya berpindah dari rumah besarnya. Dia sebolehnya mahu semua anak cucunya tinggal bersamanya. Namun, Puan Khatijah masih tetap berdegil untuk pindah kerana tidak tahan dengan kerenah ibu mertuanya itu. Untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan antara kedua wanita yang cukup disayanginya itu, Engku Badrul mengambil keputusan untuk berpindah. Keputusan itu sudah tentunya mengundang kecewa di hati bondanya.

Wajah gadis di hadapannya itu ditatapnya lagi. Manis orangnya, walaupun tidak termasuk dalam kategori yang sempurna cantiknya. Tambahan lagi sikapnya yang cukup sopan, mendatangkan damai di hati Puan Khatijah. Gadis di hadapannya ini menghadiahkan segaris senyuman kepadanya, menambahkan lagi kemanisan di wajah mulusnya.

“Melihatkan kelulusan awak ni, awak dulu bersekolah di sekolah agama kan? Macamana pulak boleh sambung ke bidang kejururawatan ni?” tanya Puan Khatijah untuk menduga.

Dia perlu tahu sedikit sebanyak latar belakang gadis ini. Lagipun jawatan yang
ditawarkan ini amatlah penting. Untuk menjaga ibu mertuanya. Untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya dia sendiri yang lakukan. Idayu jadi terpana seketika. Tidak menyangka soalan sebegitu yang akan di tanya. Ya, mengapa dia mengambil jurusan ini? Adakah kerana dia minat? Ah, tidak pernah terlintas pun dihatinya untuk mengambil jurusan ini dulu. Tidak sejak Hairi mencadangkannya.

“....abang cadangkan.. Ayu buat metrik lepas tu, ambik kursus kejururawatan. Kat USM ada kursus tu...,” Sebaris senyuman Hairi yang terukir saat dia mengucapkan kata-kata itu mengundang resah di hati Idayu. “...bila dah setabil kewangan, saya ingat nak buka klinik persendirian. Bolehlah nanti Ayu kerja bersama saya aje masa tu nanti...,” tekad Hairi yang dilihat pada saat ucapan itu meniti bibir anak muda itu kembali mengguris hati. Ya, kalaulah dulu dia tidak mengambil keputusan yang terburu-buru itu, pastinya kini mereka sudah bersama melayar bahtera kehidupan disulami dengan rasa cinta.

Kepiluan segera melintas di hati apabila nama itu hadir dalam ingatannya. Walaupun peristiwa hitam itu telah lama berlalu, namun hatinya masih tetap terguris bila terkenangkannya. Jarak masa lebih lima tahun itu ternyata masih belum cukup lama untuk meredakan resah dan gusar dihatinya bila sesekali kenangan menjengah di hati. Ada ketika, kekesalan menghambatnya dengan kedegilannya ketika itu. Tapi, apa lagi yang mampu dilakukan. Bukankah dia sendiri yang nekad untuk mengambil keputusan tersebut. Jadi, biarlah dia menanggung kecewanya sendiri.

“Cik Idayu....,” lamunannya dikejutkan. Lupa seketika di mana dia berada apabila ingatannya dibuai kisah lama.

“A...a...ya.. apa puan kata tadi...?” Idayu menggelabah.

“Saya tanya tadi.... macamana pulak boleh sambung ke bidang kejururawatan ni sedangkan awak dulu sekolah di sekolah agama ?” Puan Khatijah mengulang pertanyaannya tadi. Agak hairan dengan raut wajah Idayu yang tiba-tiba kelihatan sungguh sedih sebentar tadi. Mungkin, ada kisah lama yang mengganggu fikirannya ketika itu. Kalau tidak takkanlah ada riak sugul dan sedih apabila persoalan itu ditanyakan sebentar tadi.

“A... saya ingat... dulu kat kampung... selalu ada masalah dengan doktor dan jururawat yang kerja kat kampung. Jadi, saya nekad nak kerja bidang ini. Nak buat jurusan perubatan, kelulusan saya tak seberapa. Jadi, saya ambil keputusan buat jurusan ni. Mungkin... satu hari saya dapat balik kerja kat kampung,” kata Idayu dengan nada teragak-agak.

Yang nyata dia berbohong. Tapi, tak mungkin dia akan menceritakan hal yang sebenarnya kepada wanita yang baru sahaja dikenalinya ini. Lagipun, dia sendiri tidak pasti mengapa dia mengambil keputusan untutk mengikuti jurusan ini. Mungkin kerana dia masih lagi ingin menggapai kenangan yang dilepaskan dulu. Mungkin dia masih mahu mengenang lelaki itu dalam mimpinya. Dan mungkin inilah satu-satunya cara untuk dia dekat dengan kenangan itu.

Puan Khatijah tersenyum mendengarkan kata-kata Idayu. “Idayu akan tinggalkan rumah Engku Maryam bila dapat kerja dengan mana-mana hospital nanti ?”

“Emmm... sebenarnya saya dah memohon kerja dengan Kementerian Kesihatan, tapi masih belum dapat apa-apa berita. Mungkin jawatan tu masih belum dibuka untuk diisi agaknya. Jadi sementara itu, dari tak berbuat apa-apa, apa salahnya jika saya bekerja kat sini kan puan? Sekurang-kurangnya dapatlah sikit pengalaman,” jawab Idayu sejujurnya. Dia tidak mahu berselidung apa-apa. Puan Khatijah memberikan senyuman kepada gadis di hadapannya itu.

“Saya sebenarnya mencari seorang yang boleh kekal lama dengan Engku Maryam. Tak mau pulak nanti, kerja tiga bulan, terpaksa cari pengganti pulak. Sejak dia mula sakit tahun lepas, dan dekat dua puluh orang yang datang kerja dengan kami. Tapi, semuanya tak kekal lama. Ada tu cuma datang untuk dua hari saja. Kalau boleh kali ni kami tak nak macam tu. Ganggu proses penyembuhan Engku Maryam,” jelasnya kepada Idayu.
Idayu menganggukkan kepalanya tanda setuju. Dia faham keadaan itu.

“Insyaallah puan, selagi saya diperlukan di sini saya akan terus bekerja. Lagipun jawatan yang saya pohon tu, tak tau bila nak dibuka. Dengan keadaan gawat macam sekarang ni, rasanya lambat sikit kut. Saya pun tak berharap sangat.”

“Kalau macam tu, baguslah. Saya minat dengan cik Idayu sebab cik Idayu ada kelulusan dalam bidang ni. Tentu tahu macamana nak berhadapan dengan situasi Engku Maryam nanti. Lagipun saya dah cakap tadikan yang kami perlukan seseorang yang boleh tinggal terus di rumah Engku Maryam. Tak ada komitmen lain. Cuma saya nak ingatkan semula... Engku Maryam ni cerewet orangnya. Mesti pandai ambil hati dia, mesti ikut cakap dia, mesti sanggup tinggal di rumahnya dan paling penting mesti pandai baca Al-Quran.... Selalunya syarat yang terakhir tu yang susah nak cari. Cik Idayu dulu sekolah kat sekolah agama. Mungkin tak ada masalah kut dengan syarat yang terakhir tu?”

“Insyaallah puan, saya taklah bagus sangat. Emm .. dulu saya biasa bantu emak mengajar mengaji pada budak-budak kat kampung. Lagipun, saya ahli Rakan Masjid masa kat universiti dulu. Antara aktiviti kami, belajar Al-Quran di masjid. Sambil tu kami yang boleh membaca... diminta mengajar kawan-kawan yang kurang baik bacaannya. Semua tu dipantau oleh penasihat kelab...,” jujur sekali jawapan itu kedengaran di telinga Puan Khatijah.

Kata-kata Idayu itu disokong oleh sijil-sijil yang ada di dalam fail peribadinya. Tak mungkin dia menipu. Malah Puan Khatijah dapat melihat terdapat beberapa sijil penyertaan pertandingan tilawah yang dimenangi Idayu di peringkat sekolah dan institusi tempat dia belajar. Dia yakin dengan kata-kata Idayu sebentar tadi. Berpuas hati dengan temuduga ini, Puan Khatijah yakin dia sudah menemukan dengan calon yang sesuai untuk tugas ini. Tetapi ada satu lagi perkara yang ingin ditanya kepada gadis bertubuh tinggi lampai, berwajah bujur telur ini.

“Kenapa Idayu nak kerja kat rumah orang macam ni? Selalunya gadis semuda awak, lebih suka kerja kat tempat yang boleh jumpa ramai orang. Kat rumah macam ni boring kata mereka,” ujar Puan Khatijah ingin tahu. Benar, itulah selalunya kata-kata yang meniti di bibir anak gadis yang pernah dikenalinya.

“Saya... lebih suka macam ni... emm ... tak perlu rushing ke... tempat kerja,”

Dia lebih suka begini. Di sini dia tak perlu bergaul dengan ramai orang. Dia tak perlukan ramai kawan. Kawan-kawan yang ramai memungkinkan rahsia dirinya terbogkar. Biarlah dia dengan dunianya sendiri. Dia lebih tenang begini. Selama inipun, dia tidak pernah ada ramai kawan. Yang ada cuma Saniah, teman sebilik semasa belajar dahulu.

Saniah, teman sebilik yang baik. Dia seorang teman yang begitu perihatin tetapi tidak terlalu mengambil tahu hal perbadi Idayu. Dia hanya mendengar tentang apa yang diceritakan oleh Idayu. Tidak lebih dari itu. Itulah yang menyebabkan Idayu senang bergaul dengan Saniah. Kini Saniah bekerja di Hospital Pakar Kajang setelah mereka sama-sama menamatkan pengajian mereka dalam jurusan Sarjana Muda Kejururawatan dua bulan yang lalu.

“Oklah..Cik Idayu cuba dulu. Saya bagi tempoh sebulan. Gaji macam yang kita bincang tadi,”

Idayu mengangguk pantas sambil tersenyum. Setuju sekali dengan tawaran yang diberikan.

“Lepas sebulan, jika Cik Idayu nak teruskan, saya akan berikan gaji tambahan jika kami berpuas hati dengan khidmat Cik Idayu . Tapi, kalau nak berhenti, Cik Idayu kena bagi notis sebulan supaya kami boleh cari pengganti. Kalau perlu, kita buat kontrak. Ini untuk kebajikan bersama. Kami perlu berhati-hati dalam hal ini. Sebab sebelum ni ada pekerja yang tiba-tiba berhenti sebab tak suka dengan sikap Engku Maryam. Dia memang cerewet orangnya, ramai yang tak tahan dengan mulutnya, tapi hati dia baik sebenarnya. Jadi, kalau Cik Idayu nak berhenti, harap bagi dulu notis sebulan untuk kami cari penggantinya,” luah Puan Khatijah panjang lebar.

“Insyaallah puan,” kata Idayu sambil menggangguk laju.

“So..bila boleh mula? Awal bulan nanti boleh ?”

Idayu berkira-kira sendiri. Awal bulan, maknanya seminggu lagi. sempatlah dia pulang ke kampung untuk memberitahu emaknya dan mangambil semua barang-barang keperluannya.

“Ok..,”

Persetujuan dibuat. Idayu diminta untuk datang sehari lebih awal sebelum memulakan tugasnya. Tanpa banyak soal Idayu terus bersetuju dengan cadangan tersebut.

Bab 13

“Apa yang Ayu buat ni…?”


Suara Pak Dollah bergema di keheningan malam yang dingin itu. Sekembalinya dari masjid sebentar tadi, Pak Dollah terus mengamuk, memarahi Idayu yang hanya diam membisu ketika ini. Pastinya Pak Soh telah memberitahu ayahnya tentang keputusannya memutuskan pertunangan dengan Hairi semasa di masjid tadi, Idayu yakin tentang perkara itu.


“Kenapa Ayu ambil keputusan macam ni?”


Diam Idayu menambahkan lagi kemarahan ayahnya.


“Idayu , jawab.. kenapa buat macam ni...?


Marah Pak Dollah makin menyinga. Hatinya cukup sakit dengan kebisuan Idayu. Tak sangka anak gadisnya itu sanggup mengambil keputusan sebegitu.


“Ayu.... jangan buat ayah marah... jawab cepat pertanyaan ayah tu...,” rayu Mak Su Jah. Tak sanggup melihat anak kesayangannya itu dimarahi sebegitu.


Idayu menarik nafas penjang. Bersedia untuk menerima apa saja kemungkinan. Dia tahu, lambat laun ini akan berlaku. Ayah tidak akan sekali-kali menerima keputusannya ini. Dan ayah tidak akan sekali-kali membiarkan dia membuat sesuatu keputusan tanpa apa-apa alasan.


“Ayu...tak boleh teruskan ayah... Ayu.... tak mahu dia....tahu tentang Ayu.... biarlah. Mungkin tak ada jodoh...,” akhirnya Idayu bersuara dalam sendu yang memilukan.


“Apa salah dia... Ayu buat macam tu. Ayu sepatutnya jumpa dengan dia, terangkan duduk perkara yang sebenarnya. Mungkin dia boleh terima Ayu seadanya...,”


“Tidak ayah... tidak... biarlah... Ayu tak nak dia tahu. Ayu tak nak dihina nanti. Biarlah...,”


Suasana sepi seketika. Pak Dollah jadi buntu bagaimana untuk dia meyakinkan Idayu tentang betapa silapnya keputusan yang dipilih itu.


“Ayu, tak semua orang menghina keadaan Ayu tu. Mak dan ayah dah terima Ayu dan didik Ayu jadi anak yang baik. Tonjolkan kebaikan diri Ayu tu, tunjukkan sifat Ayu yang baik. Tentu nanti mereka akan lupa dengan kekurangan yang ada pada Ayu. Lagipun, bagi mak dan ayah, Ayu tak pernah kurang....,” pujuk ayahnya dengan suara yang lembut.


Terdiam Mak Su Jah mendengarkan kata-kata Pak Dollah. Tak pernah dia mendengar suaminya itu memujuk sesiapapun sepanjang perkahwinan mereka. Malah dirinya pun tak pernah dipujuk, walau bagaimana sekalipun rajuknya bila ada pertelingkahan antara mereka. Selalunya jika berlaku pertelingkahan dialah yang terpaksa mengalah pada suaminya itu. Ego lelaki..... Tetapi , hari ini Pak Dollah, melupakan egonya buat seketika. Memujuk anak gadis mereka supaya tidak mengambil tindakan yang bodoh ini. Ah, begitu besar harapan Pak Dollah terhadap hubungan ini.


“Ayah, kalau Ayu kahwin dengan abang Hairi, bermakna Ayu akan kahwin dengan keluarganya. Mungkin dia boleh terima Ayu. tapi macamana dengan emak dan ayahnya, kaum keluarganya yang lain... boleh ke dia orang terima Ayu... Anak haram ayah..., orang yang tak tentu asal keturunan ayah. Dibuang oleh keluarga sendiri.... Walau sebaik manapun Ayu ni ayah... orang tak akan lupa asal usul diri Ayu. Ayu ni dari benih haram ayah...mak... ” ucap Idayu dengan suara yang cukup sayu meruntun hati dan perasaan Pak Dollah. Mak Su Jah yang sejak tadi berdiam diri, mengesat air mata yang mengalir di pipi.


“Mereka keluarga baik-baik Ayu, mungkin....,”


“Boleh terima Ayu.... itu ke ayah nak cakap..?” Idayu terdiam seketika.


Sekilas di hatinya menaruh harapan, tapi seketika kemudian, Idayu menggelengkan kepalanya. Sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku. Ya, sebut sahaja tentang status diriku, tentunya semua orang akan lari jauh meninggalkanku. Diriku ini bagaikan barah dalam masyarakat. Nak diterima salah, nak dibuang pun salah. Jadi apa sudahnya? Lebih baik aku mengundurkan diri sebelum luka di hati jadi lebih parah lagi.


“Nanti ayah bincang perkara ni dengan abah Hairi. Mungkin ada jalan penyelesaiannya...,” kata Pak Dollah setelah lama keadaan sepi. Setelah lama mereka tiga beranak diam membisu.


“Tak perlu dibincangkan lagi ayah. Ayu dah nekad, sebelum Ayu terus dijadikan bahan penghinaan, sebelum Ayu menyusahkan orang, biarlah semua ni kita putuskan. Ayu dah penat fikir selama ni. Ayu dah tak nak fikir apa-apa lagi sekarang...,” entah dari mana datang kekuatan itu untuk dia bersemuka dan memberikan keputusan kepada ayahnya. Pak Dollah juga agak terpana dengan sikap Idayu yang begitu berani meluahkan kata. Jelas kejadian ini menyebabkan Idayu jadi lebih berani. Berani untuk berterus terang dan meluahkan rasa hati. Sesuatu yang selama ini tidak pernah dilakukan oleh gadis ini.


****


Petang itu, selepas solat Asar Idayu menapak ke tepi jeram kecil. Pagi esok dia akan pergi. Perginya kali ini untuk merawat luka di hati yang kian parah. Pemergian yang tidak pasti bila akan kembali. Mungkin selepas luka dihatinya sembuh nanti. Entah bila... dia pun tak pasti.


Deruan air jeram yang mengalir deras melegakan sedikit perasaannya yang begitu hiba. Hiba dengan keadaan yang memaksa dia mengambil keputusan begitu dan hiba kerana terpaksa melepaskan sesuatu yang begitu berharga dalam hidupnya. Abang Hairi, mengapa begini jadinya? Apa hikmahnya semua ini ditakdirkan menimpa diri kita. Cinta yang baru mula berputik ini tidak mampu untuk aku pertahankan. Kekurangan dalam diri ini akan terus menjadi penghalang. Ianya bak duri dalam hati. Bergerak ke arah mana sekalipun akan ada yang tertikam, akan ada yang sakit dan akan ada yang terluka.


Lamunannya yang panjang tiaba-tiba dikejutkan apabila tangannya terasa disentap. Gemuruh jantungnya bagaikan mahu pecah.


“Ayu.... I need some explaination...,” suara Hairi beritu keras sekali kedengaran di telinga. Matanya merah berapi menunjukkan perasaan marahnya. Idayu terpinga-pinga akibat dek terkejut. Tidak disangkanya mereka akan bertemu kembali. Tidak disangkanya Hairi akan datang hari ini. Bukankah hari ini hari bekerja. Dia yang sekarang sepatutnya sedang sibuk dengan klinikalnya, telah meninggalkan Kampus Kasihatan USM untuk menemuinya. Pertemuan yang tidak diinginkan oleh Idayu. Pertemuan yang pastinya mengundang seribu pertanyaan dari anak muda itu. Bagaimana untuk dia menjawab semua persoalan itu nanti? Bagaimana....?


“Kenapa Ayu...kenapa.., sekurang-kurangnya, beritahulah pada abang sebabnya...,”


Idayu tak mampu berkata. Mindanya tidak mampu mengawal hatinya yang sedih pilu ketika itu. Airmata yang begitu murah sejak akhir-akhir ini kembali laju meniti di pipi. Mengapa...? Mengapa dia tidak terfikirkan kemungkinan ini? Langsung tidak menyangka Hairi akan datang menuntut penjelasan.

Genggaman Hairi di pergelangan tangannya semakin kuat, terasa begitu menyakitkan. Idayu cuba untuk melepaskan tangannya. Pertama kali lelaki ini menyentuhnya, hanya untuk menyakitkannya. Mungkin sebagai balasan kerana dia sendiri menyakitkan hati lelaki ini kerana kebisuannya.


“Ayu...,” bentak Hairi .


“Ayu... Ayu... tak nak cakap apa-apa... tolonglah, lepaskan Ayu... sakit ni...,”


“Abang tak akan lepaskan sehingga Ayu beritahu abang kenapa...,”


Ah.. apa alasan yang sepatutnya diberikan? Perlukah dia berterus terang ? Tidak... aku tak akan beritahu dia. Aku tak mampu nak ucapkan pun nama dan status itu. Ya Allah, hinanya diri ini.


“Apa Ayu...... jumpa orang lain...?” Hairi meneka. Masih keras lagi bicaranya.


Ya, sejak Idayu bersikap dingin kepadanya tiada alasan lain yang dirasakan logik untuk difikirkan. Idayu sudah punya teman lain, yang mungkin telah menyebabkan dia berubah begini rupa. Siapa lelaki itu? Di mana dia bertemu dengan lelaki itu? Teringat akan sikap dingin Idayu kepadanya sepanjang tempoh pertunangan mereka. Mungkin sejak dari saat awal pertunangan lagi Idayu tidak senang dengannya, tetapi cuba disembunyikan oleh gadis ini. Selama ini Idayu sering mengelak untuk keluar bersama, tidak mahu bersikap mesra kepadanya dan selalu cuba menjauhkan dirinya darinya. Adakah itu tanda-tanda awal yang dia sebenarnya sudah punya idaman hati yang lain. Mungkin selama ini dia tidak berani menjelaskan semuanya. Tapi, mengapa pula sekarang? Mengapa tidak sejak awal lagi dia menolak peminangan ini.


“Kalau Ayu ada orang lain... cakap... cakap... jangan buat abang tertanya-tanya...,” Hairi terus membentak.


Tubuh Idayu digoncangnya kuat. Hampir jatuh Idayu di situ, mujurlah tangannya masih dalam gengaman Hairi. Kalau tidak pasti dia sudah jatuh tersungkur akibat dari perlakuan kasar Hairi. Tidak disangkanya Hairi sebenarnya panas baran orangnya. Selama ini dia hanya mengenali Hairi dengan sikap romantis, tenang dan cerianya. Perlakuan ini sungguh diluar jangkaannya. Tangannya disentak kasar lagi oleh Hairi. Lebih kasar dari sebelumnya.


Abang....buatlah apa sahaja. Tapi, Ayu tidak mungkin akan memberitahu apa sebabnya. Terlalu sedih rasanya, terlalu hina diri ini. Biarlah perasaan ini Ayu tanggung sendiri. Ayu tidak sekali-kali akan melibatkan abang dengan masalah ini.


“Siapa dia Ayu.... cakap... bila Ayu jumpa dia...?” semakin keras suara anak muda itu menuntut penjelasan.

Idayu terus menggelengkan kepalanya. Masih tidak mahu membuka rahsia kerana dia pasti kini, Hairi tidak akan mengendahkan hal itu. Dia tahu Hairi terlalu cintakan dirinya. Tergambar jelas dari kata-kata dan tingkahnya selama ini. Idayu yakin tentang perasaan anak muda itu terhadapnya. Dan dia juga yakin bahawa Hairi pasti akan mahu meneruskan hubungan ini. Dan mangsanya nanti ialah dirinya sendiri. Mana mungkin dia dapat menghadapi kaum keluarga lelaki ini dengan keadaan dirinya begini. Mana mungkin.... Malah, untuk membayangkan keadaan itu pun dia tidak mampu.


Melihatkan Idayu diam membisu, Hairi lantas menarik gadis itu ke dalam dakapannya. Terperanjat dengan perlakuan itu, Idayu cuba meronta-ronta. Namun, rontaannya itu menguatkan lagi dakapan Hairi. Akhirnya setelah yakin yang dia tidak mampu untuk melepaskan diri dengan cara itu, Idayu mendiamkan diri. Menyembamkan wajahnya di dada Hairi. Usapan lembut jari jemari Hairi di belakangnya bagaikan mengucapkan pujuk rayu yang membelai jiwa. Perlakuan yang mengundang seribu keresahan di tasik hatinya itu membuatkan dia gelisah. Apabila Hairi membenamkan wajahnya ke sisi kepalanya yang bertudung, Idayu jadi semakin takut.

Walau mereka masih belum bersentuh kulit kerana berlapik dengan pakaian masing-masing, namun degup jantung masing-masing dapat didengar jelas, kehangatan tubuh masing-masing dapat dirasakan. Meruntun naluri halus dalam hati masing-masing.


“Kenapa Ayu...kenapa.... siapa dia... apa lebihnya dia ...? Hingga Ayu dengan senang terima dirinya. Abang yang dah lama menagih cinta Ayu... tapi Ayu selalu mengelak. Kenapa...?”


Suara Hairi sudah bertukar nadanya. Kalau tadi dia marah, kini suara itu seakan-akan merayu, memujuk hatinya. Pilu hati Idayu ketika itu. Airmatanya terus-terusan mengalir membasahi pipi mulusnya. Hairi terus mendakap tubuh Idayu yang kaku itu.


Ya, dia sering mengangankan perkara ini. Dia selalu ingin mendakap gadis idamannya sebegini. Sering, dalam angannya tubuh Ayu didakapnya dengan penuh rasa cinta, kasih, sayang dan rindu. Selalu dalam mimpinya Ayu didakap dengan rasa bahagia yang akhirnya membawa damai ke tasik jiwa remajanya yang bergelora. Tetapi, bukan dalam keadaan begini. Hari ini dakapannya dicalarkan oleh rasa dendam, benci dan sakit hati.


“Dia ... ada.... segala-galanya...,” akhirnya Idayu bersuara dengan nada yang tersekat-sekat.


Terkaku Hairi mendengarkan kata-kata Idayu. Dia? Siapa?


“Dia kaya... kalau Ayu bersamanya, mesti Ayu akan senang nanti. Dia pun sayang dan cintakan Ayu. Jadi.... apa lagi yang Ayu mahukan...?”


Hairi melonggarkan pelukan yang begitu kemas sebentar tadi. Matanya menatap wajah Idayu yang sedang tunduk. Mencari-cari kejujuran di dalam mata gadis itu. Idayu memalingkan wajahnya. Di saat pembohongan ini dibuat dia tidak sanggup bertentang mata dengan lelaki ini. Pasti Hairi dapat menelah isi hatinya jika mata mereka bersatu. Pasti dia tidak dapat menyembunyikan kepiluan yang dirasakan ketika ini.


“Maksud Ayu...?”


Hairi masih lagi mencari-cari anak mata Idayu. Lantas Idayu memejamkan matanya.


“Dengan dia semuanya ada..., kekayaan, kesenangan, kuasa... Dengan abang, Ayu terpaksa menunggu untuk semua itu. Ayu tak nak menunggu...,”


Idayu nekad. Dia terpaksa berbohong supaya Hairi melepaskannya. Bukan setakat melepaskan dakapannya, tapi supaya Hairi akan terus melepaskannya pergi. Biarlah... biarlah akan ada hati yang terluka. Hatinya lebih lagi terluka dengan kenyataan penuh dusta ini. Maafkan Ayu bang..., hatinya berdetik.


Dan akhirnya dia berjaya. Hairi lantas melepaskan dakapan eratnya sebentar tadi. Menolak tubuhnya dengan kasar. Hampir dia jatuh akibat tolakan Hairi itu. Cepat-cepat Idayu menjarakkan diri mereka. Tidak mahu lagi perkara seumpama itu berlaku pada mereka. Berdosa bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, apatah lagi untuk berdakapan sebegitu. Ya Allah, ampunilah diriku.


Dia memalingkan tubuhnya dari Hairi. Tidak mahu Hairi mengesan pembohongan yang dilakukan kerana ketika ini, jika Hairi tidak terlalu tenggelam dalam emosinya, pasti dia dapat melihat betapa kecewanya Idayu. Kesedihan yang terpancar di wajahnya pasti tidak dapat membohongi lelaki itu.


“Ayu ke yang cakap macam ni...?” tanya Hairi dengan nada yang cukup meruntun hati. Kecewa sungguh anak muda itu. Kecewanya bertambah lagi apabila kata-kata itu keluar dari bibir Idayu. Gadis yang selama ini cukup tinggi budi pekertinya, rupa-rupanya punya hati yang begini tamak, kotor.


“Selama ini abang cukup hormat pada Ayu. Tak sangka sikit pun yang Ayu akan terfikir benda-benda macam tu. Abang silap rupanya. Macamana abang boleh tak nampak semua itu...,”


Hairi mula melangkah pergi. Dalam linangan airmata, Idayu memejamkan matanya, meratapi perpisahan ini. Ketika ini, ingin sekali dia berlari mendapatkan Hairi. Ingin sekali dia memeluk lelaki itu dan meluahkan segalanya. Namun, kakinya terus kaku di tempat dia berdiri.


“Abang, maafkan Ayu... Ayu terpaksa...,” bisiknya dalam kebisuan. Hatinya meronta, mengharapkan agar Hairi kembali memujuknya. Dan, dia yakin jika Hairi berbuat begitu, pastinya dia tidak akan mampu bertahan. Pasti akan terluah segalanya, terungkai segala rahsia.


“Abang harap Ayu akan jumpa kebahagiaan yang Ayu cari tu. Kejarlah... semoga Ayu berjaya meraihnya...,”


Dan dengan kata-kata itu, Hairi berlalu pergi. Pergi meninggalkan Idayu dengan hati yang lara. Meninggalkan Idayu dengan kedegilan yang mengundang seksa di jiwa. Meratapi nasib diri yang telah ditentukan sebegini.

Ya Allah, Kau yang menentukan segalanya. Aku pasrah jika ini yang Kau tentukan. Siapalah aku untuk menolak ketentuan ini. Diri ini milikMu sepenuhnya. Dan jika itu yang Kau takdirkan untukku, aku terima dengan tangan terbuka. Cuma, kupinta Kau kuatkanlah hati ini, penuhkanlah semangat ini untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.



Popular Posts