Advertise Here

Laila Hanni

- Another Blogger Blog's

Bab1

Buntu…. Buntu… buntu…… hatinya buntu. Apa yang patut dia lakukan? Mengapa dalam amarah yang meluap-luap dia jadi lupa? Selalu dia tidak macam ni. Selalunya semua tindakannya terancang, walaupun sering dipengaruhi oleh emosi. Memang inilah yang selalu disebut oleh Mai. Kebimbangan sebeginilah yang sering jadi keluh kesah isterinya itu. Tapi tak sekali-kali pernah diendahkan olehnya.

Sangkanya dia mampu mengawal keadaan. Sangkanya dia kuat dalam menangani masaalah rumahtangga mereka. Tapi akhirnya ini jadinya. Menyesal kini sudah tidak berguna lagi. Semuanya sudah terlambat. Sudah tiada apa lagi yang mampu dia, maupun Mai lakukan untuk membetulkan keadaan ini. Semuanya gara-gara sikap egonya yang tidak bertepi. Semuanya kerana pergaduhan yang terus berlaku walaupun berpunca dari perkara yang kecil. Perkara kecil yang merebak menjadi perbalahan besar, dan diakhiri dengan perbuatan cabar mencabar.

Dia pun sudah tidak ingat sejak bila mulanya timbul pergaduhan antara dia dengan Mai. Dahulu mereka adalah pasangan yang cukup bahagia. Bernikah atas dasar cinta yang bersemi sejak Mai berada di tahun satu di universiti dulu. Dia yang senior setahun dari Mai pertama kali mengenali gadis manja itu ketika sama-sama terlibat menjadi fasilitator untuk program Khidmat Bakti yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa yang sama-sama dianggotai mereka. Program seminggu yang dijalankan di sebuah kampung di selatan tanahair itu menjadi titik tolak perhubungan mereka. Bila cinta mula bersemi, hati yang sama-sama parah menanggung rindu itu sering meruntun, meminta pertemuan demi pertemuan diadakan.

Dan atas nasihat teman-teman, disokong pula oleh pensyarah-pensyarah yang mengenali mereka, keduanya disatukan. Walaupun pada awalnya ada penolakkan oleh kedua ibubapa mereka, tetapi setelah diterangkan tentang risiko sekiranya mereka tidak di satukan, akhirnya kedua ibubapa kedua belah pihak bersatuju. Bimbang juga di hati tua mereka kedua anak-anak ini akan terjebak ke dalam kemaksiatan akibat terlalu menurut perasaan. Akhirnya seawal di tahun dua, Mai sudah menjadi isterinya yang sah. Cukup bahagia dirasakan saat itu. Tiada lagi resah gelisah, tiada lagi perasaan gundah menahan rindu dendam. Melayari bahtera cinta yang diredhai.

Ternyata, kehidupan berumahtangga langsung tidak mengganggu kehidupan mereka berdua sebagai mahasiswa. Malah mereka mampu untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Mungkin disebab oleh ketenangan yang dirasai hasil dari kebahagiaan rumah tangga yang mereka bina, akhirnya mereka berdua sama-sama berjaya menamatkan pengajian mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Setelah bergraduat awal setahun dari Mai, dia berjaya menjawat jawatan jurutera di sebuah kilang kereta yang tersohor di Shah Alam.
Setahun selepas itu Mai juga berjaya menamatkan pengajiannya dan diterima bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah, juga di Shah Alam. Sungguh mudah dirasakan perjalanan hidup mereka. Bahagia kerana semuanya bagaikan teratur, tanpa ada masalah yang datang mengganggu.

Cuma ketiadaan sesuatu yang amat dirasakan kini, menyebabkan terasa ada kekurangan dalam kehidupan berumah tangga mereka . Di peringkat awal perkahwinan, mereka tidak begitu bimbang akan kekurangan ini. Agak bersyukur kerana kekurangan itu sekurang-kurangnya tidak akan mengganggu kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Namun, tahun demi tahun, kekurangan itu mula di rasakan. Di tahun akhir pengajian, Mai sudah mula sering merasa gundah akibat dari kekurangan ini. Setiap bulan dia akan mula menunjukkan kesedihannya apabila apa yang ditunggu-tunggunya menunjukkan hasil yang mengecewakan. Tapi, apa yang mampu mereka buat? Sudah belum ada rezeki, kata doktor yang mereka lawati untuk mendapatkan nasihat pakar dalam menangani masaalah ini.

Ya, anak. Kesukaran mendapatkan zuriat sebagai penghubung kasih antara dua suami isteri, merupakan kekurangan yang mereka terpaksa terima. Sudah hampir tujuh tahun perkahwinan, masih belum ada apa-apa tanda yang menunjukkan mereka akan dikurniakan dengan nikmat yang satu itu. Sudah pelbagai petua, pelbagai cara yang mereka lakukan, masih belum ada lagi tanda-tanda menunjukkan Mai akan mengandung. Doktor pakar yang mereka temui untuk mendapatkan nasihat juga buntu. Mengikut doktor, mereka berdua normal, tiada masaalah kesuburan. Namun, apalah kebijaksanaan doktor pakar dibandingkan dengan kebijaksanaan Allah Subhanahuwataala. Walaupun pelbagai kaedah telah disarankan oleh doktor dan diikuti pula dengan penuh harapan oleh mereka suami isteri, jika Allah masih lagi belum mahu memberikan rezeki, maka sudah tentunya setiap usaha mereka itu tetap mengalami kegagalan.

Dan akibat dari kegagalan ini, hubungan mereka mula jadi renggang. Sikapnya sendiri yang begitu acuh tak acuh dengan kesedihan yang dialami oleh Mai mula meretakkan hubungan mereka. Dia juga sedih dengan keadaan ini. Siapa kata dia tidak sedih bila kelelakiannya tercabar apabila gagal membuatkan isterinya mengandung? Dan untuk mengurangkan rasa kecewa yang menghambat hati, dia melekakan dirinya dengan tugas-tugas harian. Dia mula pulang lewat dari kerja. Dia mula mengabaikan Mai. Sesuatu yang tidak sepatutnya dia lakukan. Tapi pada saat khilaf itu dilakukan, dia langsung tidak sedar tentang kesilapan itu. Akibatnya Mai mula menunjukkan sikap merajuknya yang tidak sudah-sudah. Bosan dengan sikap Mai itu, dia semakin buat tak acuh pada Mai sehinggalah Mai mula menuduhnya bukan-bukan.

Sehinggalah kemuncaknya, sebulan yang lalu, Mai terserempak dengannya ketika bersama Maya, salah seorang teman sekerja yang dibawanya untuk sama-sama menghadiri satu mesyuarat di kilang cawangan lain tempat mereka bekerja. Dia tak nafikan, memang dia suka berkawan dengan Maya yang manja dan begitu menyenangkan. Malah dia sering memberikan Maya dengan hadiah-hadiah untuk menunjukkan tanda penghargaannya kepada gadis itu. Malah baju yang dipakai oleh Maya pada hari dia terserempak dengan Mai tempohari juga adalah hadiah darinya atas bantuan yang diberikan oleh Maya dalam menyiapkan tugas yang terpaksa dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Baju itu dibelikan bersama-sama Mai, yang dia sendiri minta Mai pilihkan. Cuma silapnya dia tidak memberitahu hal sebenarnya kepada Mai ketika meminta Mai memilih pakaian itu. Dikatakan pada Mai baju itu adalah untuk dihadiahkan kepada Syira adiknya. Bukan niatnya mahu menipu Mai, tetapi dia tidak berani memberitahu hal sebenarnya bagi tidak mengeruhkan keadaan.

Dan atas sebab itulah, timbulnya curiga di hati Mai. Itulah yang menjadikan punca pergaduhan mereka. Hal yang sekecil itu terbawa-bawa menjadi besar. Mai terus-terus menyalahkan dirinya yang dikatakan mula menjalinkan hubungan dengan perempuan lain. Memang ada waktunya, timbul niat di hatinya untuk melakukan itu. Tetapi, selalu fikiran waras mampu mempengaruhinya supaya menghindari perkara sebegitu. Cuba untuk tidak terus mengeruhkan keadaan.

Ah cukup-cukup menyesal dengan keterlanjuran ini. Sikapnya yang tidak berterus terang pada Mai menyebabkan timbul curiga di hati isterinya. Salahkah jika Mai curiga? Salahkah kalau Mai cemburu? Bukakah kalau dulu, di awal perkahwinan dia cukup gembira bila Mai menunjukkan sikap cemburunya? Malah dia pernah membuat onar semata-mata untuk melihat setakat mana cinta Mai untuknya. Dan cukup seronok rasanya ketika itu saat dia berjaya memujuk hati Mai dengan belaian mesranya. Mai dengan mudah sekali terubat rajuknya dan kembali semula memadu cinta. Ah, perempuan, sekeras-keras hatinya, bila dipujuk rayu, dengan mudah hilang rajuknya. Bak kata pepatah, Sekeras-keras kerak nasi, bila direndam lembut juga akhirnya.

Namun itu dulu. Mungkin waktu itu Mai masih lagi muda remaja. Hati muda mudah dipengaruhi. Bila masa mengubah usia, kematangan seseorang juga berubah. Mai turut berubah. Dia sudah tidak mudah lagi dipujuk. Segala kesilapan yang dilakukan di luar sedarnya, kini dengan mudah dijadikan bahan sindiran oleh Mai. Ada ketika dia merasakan tercabar dengan kata-kata yang terkeluar dari bibir mulut isterinya itu. Ah .... Berlainan sekali dengan sikapnya dulu yang mudah mengalah, mudah menyerah.
Sikap inilah akhirnya menjadi pemangkin kepada selisih faham mereka yang terus menjadi-jadi sehingga akhirnya mengundang peristiwa yang tidak diingini itu.

Sesungguhnya kini akhirnya dia menyesal dengan kata-katanya yang terlafaz bagaikan air dari sungai yang mengalir. Bagaimana kini dia cukup menyesal melafazkan ucapan keramat yang sering dihindari oleh semua pasangan suami isteri. Buka satu, buka dua lafaznya itu, tapi tiga.... tiga sekaligus. Semuanya terlafaz di luar sedar. Namun, apa saja alasannya, semuanya tidak lagi boleh ditarik balik. Kata-kata itu telah terlafaz. Talaq sudah jatuh walau sekuat mana pun dijeritkan pada dunia yang dia tidak bermaksud untuk melafazkan kata-kata itu. Sungguh... dia tidak mampu hidup tanpa seorang Maizatul Hafizah binti Ariffin di sisinya. Tidak mampu....

2 comments:

Christine Zye said...

wow..satu permulaan yang menarik...suke suke

AniLufias said...

kakkkk...talak 3
aduiiiii
berat nie...huhuhuuhuhuuhu

Post a Comment

Popular Posts